Artikel Oleh : Sangtawal Sakranta.
Manusia lahir ke alam dunia ini dengan tangisan kerana dia tahu pasti dia akan memikul satu amanah atau Rahsia Ketuhanan yang sangat besar dari sisi Penciptanya dimana amanah ini dulunya pernah ditawarkan oleh Allah kepada makhluk lain seperti gunung ganang tetapi mereka tidak sanggup menerima dan memikulnya.Hanya makhluk Allah swt yang bernama Manusia atau Khalifah Allah saja yang sanggup memikulnya. Firman Allah swt dalam Surah al-Nahl ayat 78 yang bermaksud :
“Dan Allah mengeluarkan kamu daripada perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui suatu apa pun, dan Dia memberi kamu pendengaran,penglihatan dan hati agar kamu bersyukur”
Untuk menjaga amanahnya itu, manusia dibekalkan oleh Allah swt dengan Akal ,nafsu dan Qalbu.Dalam artikel ini saya ingin menekankan konsep memahami otak dan fungsi akal secara menyeluruh supaya generasi Melayu-Islam yang akan bangkit nanti mempunyai pengetahuan yang kukuh tentang apa itu Kecerdasan Masa Depan atau Kecerdasan / Kekuatan Spiritual yang kini sedang dicari-cari oleh musuh-musuh agama islam dan musuh Allah swt sebagai senjata termoden untuk menghancurkan kebangkitan ummah!
Otak dan akal memang mempunyai hubungan yang sangat rapat .Akal adalah lebih merujuk kepada pemahaman,pengertian dan fikiran.Akal lah yang membezakan antara manusia dan binatang.Binatang juga mempunyai otak tetapi mereka tidak mempunyai akal.Sekiranya kita tidak menggunakan akal selari dengan bimbingan wahyu Ilahi,maka taraf kita akan disamakan oleh Allah dengan binatang,sebagaimana Firman Allah dalam Surah Al-Furqan ayat 44 yang bermaksud : “Atau apakah kamu mengira bahawa kebanyakan mereka itu mendengar atau memahami.Mereka itu tidak lain hanyalah seperti haiwan ternakan,bahkan mereka lebih sesat jalannya(daripada haiwan ternakan itu)” Sememangnya otak tidak dapat dipisahkan dengan akal.Bila disebut sahaja otak, pasti kita akan mengaitkannya dengan akal samada seseorang itu mempunyai akal yang waras, bijak ataupun sebagainya.Otak berkembang dan berfungsi mengikut fitrahnya.
*Anatomi otak manusia :
Sudah sekian lama manusia percaya bahawa organ otak yang terletak di kepala itulah yang melakukan aktiviti-aktivitinya sehingga melahirkan pemikiran .Manusia juga percaya bahawa sebelum manusia boleh berfikir secara rasional (logik), mereka terlebih dahulu menggunakan perasaannya (fikiran emosional) .Penemuan sains terkini membuktikan perasaan atau emosi manusia adalah berkaitan dengan sistem limbik dalam otak tengah dan berkembang lebih awal jika dibandingkan dengan cara berfikir rasional atau logik yang banyak didominasi oleh bahagian otak lebih luar iaitu di bahagian cerebrum otak / kulit otak.
Mengikut kajian evolusi manusia, kepala yang terletak di kedudukan paling atas itu menunjukkan kesempurnaan kepada keadaan fizikal manusia.Semakin tegak kedudukan tubuh manusia itu, semakin sempurna pula fungsi otaknya.Inilah sebabnya manusia digelar Homo Erectus ( Makhluk yang berdiri tegak). Manusia juga disebut Homo Sapiens (Makhluk yang bijaksana) adalah kerana fungsi otaknya yang lebih maju berbanding makhluk lain.Kebijaksanaan itu akan berkembang seiring dengan pembesaran otak dan berkadar terus dengan perkembangan sinap-sinap pada saraf neuronnya.
Otak tidak akan jemu untuk berkembang walaupun ianya berada dalam tempurung kepala yang berlapis-lapis dan kuat.Begitulah hebatnya otak. Ia umpama CPU dalam sebuah sistem Komputer bagi tubuh manusia malah lebih hebat dari itu lagi.
Jika kehebatan dan kecanggihan sebuah komputer terletak pada microprocessor-nya(otak komputer) iaitu dengan mengolah dan memproses data dengan begitu canggih sekali , tetapi kerja otak manusia adalah lebih hebat dari otak komputer (microprocessor) itu sebenarnya!
Kehebatan otak untuk menyimpan dan mengolah data sangat menakjubkan. Menurut Mark Rizonzen Wigh, maklumat yang diterima oleh otak pada seseorang yang berusia 60 tahun adalah 60 tahun x 365 hari x 24 jam x 60 saat x 10 pesanan = 1,921,600,000 data.Itu baru dikira dengan hanya 10 pesanan sehari, bayangkan berapa banyak input sehari yang otak boleh terima? Tiada had!!!
Dengan menggunakan mikroskop electron, otak kelihatan penuh dengan zarah.Mengikut Stephen Hawking, dalam teori kuantumnya, terdapat 1026 atau 100 juta bilion-bilion zarah otak!Sel sarafnya saja berjumlah trilion sel.Sel otak , sinap dan hubungan –hubungan neurotransmitter (pembawa pesanan) ini membentuk kecerdasan manusia.
Salah satu hasil kerja otak ialah pemikiran.Pemikiran manusia memang hebat, tidak seperti organ fizikal lain yang terikat dengan ruang dan waktu, fikiran bebas berkeliaran kemana saja sesuai dengan keinginannya!
Ketika manusia mula percaya adanya fungsi otak dan betapa misterinya kerja otak, mereka pun mulai menerokai dan mengkaji otak manusia secara fizikal.
Peta pertama otak manusia ditemui pada sekeping kertas papyrus Mesir yang dijangka di buat 2,500 – 3,000 tahun sebelum masihi!!!Galen, seorang doktor yunani pada tahun ke-2 masihi menemui 7 daripada 12 pasang saraf otak.
Sekitar abad ke-16, seorang doktor yang bernama Andreas Vesalius ( klik sini ) telah mengambil kepala mayat-mayat penjahat yang telah dihukum bunuh di tali gantung untuk dikaji dan di bedah, lalu beliau pun menulis sebuah buku anatomi yang terkenal bertajuk De Humani Corporis Fabrica. Beliau telah membincangkan mengenai isi kepala dan otak manusia dengan kaedah mengupas kulit kepala terlebih dahulu!
Selepas itu seorang ahli falsafah dan matematik Perancis Rene Descartes telah memperkenalkan teorinya berkaitan dengan tubuh manusia tetapi kesilapan besar beliau ialah memisahkan anatara 2 komponen iaitu tubuh(res cogitans) dan jiwa(res Ekstensa).Beliau yang juga digelar pelopor kepada falsafah moden dan dalam karyanya yang berjudul Traite de L’Homme, telah membuat satu ilustrasi menarik kelenjar pineal ( Pineal Gland ), sebagai bahagian otak titik jiwa dan badan bertemu! Tanpa disedari, teori beliau itu telah memberi pengaruh besar besaran kepada perkembangan ilmu sains dan falsafah abad seterusnya.
Pada tahun 1990 hingga 2000, bekas Presiden Amerika , Bush telah menamakan tempoh masa10 tahun itu sebagai Era Otak (Brain Era) dimana kajian dan penyelidikan berkaitan anatomi dan fungsi otak berkembang dengan pesatnya! Penemuan Molecular Biology Of Cognition - MBC mampu menggambarkan bagaimana organ ciptaan tuhan ini melampaui apa yang diketahui selama ini.Penemuan MBC menunjukkan perkara-perkara yang berkaitan dengan jiwa manusia , seperti berfikir, berperasaan, emosi, ingatan dan persepsi yang selama ini menjadi hak mutlak bagi bidang falsafah dan psikologi dan sangat spekulatif kini dapat dikaji dengan lebih mudah dan jelas oleh sesiapa saja.Terdapat sesuatu proses biologi dan kimia berkaitan sebenarnya yang mengawal dan mengatur perilaku manusia seperti neurotransmitter,amigdala dan sistem limbik yang memberikan pengetahuan mengenai apa yang disebut AKAL!
Di waktu dunia barat baru menyambut Era Otak, sebenarnya sudah sekian lama ilmuan islam seperti Ibnu Sina, Ibn Rusyd dan Al-Ghazali membicarakannya, malah konsep dan ruang lingkup perbicaraan mereka lebih luas iaitu mencakupi persoalan AKAL!
Para ilmuan dan ahli hakikat yang mendalami ilmu kesufian islam terlebih dahulu membicarakan soal otak, akal,nafs,ruh dan Qalbu.Mengapa mereka ini mempunyai ilmu yang melangkaui zamannya??? Jawapannya adalah tidak lain dan tidak bukan kerana mereka mengambil sumber ilmu dari AL-QURAN yang mulia!
Marilah kita kembali kepada Al-Quran pula .Bagaimanakah Akal itu dibicarakan dari perspektif Al-Quran pula?.Perkataan Akal (Aql) telah disebut oleh Allah sebanyak 49 kali dalam 28 surah.Sebanyak 31 kali dalam 19 surah ketika Nabi Muhammad saw berada di Mekah dan 18 kali dalam 9 surah ketika Baginda di Madinah.
Dalam islam ,akal yang berfungsi mempunyai pengertian ibadah.Segala hukum agama adalah terbatal dengan sendirinya jika seseorang itu dikatakan tidak berakal.Oleh itu kita boleh membuat kesimpulan bahawa akal itu adalah berkait rapat dengan kesedaran manusia.
Menurut Sheikh Yusuf Qardhawi, penyebutan kata dalam bentuk Istifham inkari atau disebut pertanyaaan retorik seperti ‘afala ta’qilun atau “tidakkah kamu fikirkan ? ” disebut banyak kali dalam Al-quran kerana ingin mengambil perhatian manusia disamping bagi bertujuan memberikan motivasi, memberi semangat dan mendorong manusia menggunakan akalnya.
Bentuk ayat – ayat berkaitan dengan akal dalam al-quran adalah seperti berikut :
2. la’allakum ta’qilun- bermaksud “Semoga kamu fikirkan” sebanyak 8 kali.
3. La ya’qilun – bermaksud “Tidak mereka fikirkan” sebanyak 7 kali.
4. in kuntum ta’qilun – bermaksud “Sekiranya kamu fikirkan” sebanyak 2 kali.
[rujukan- buku Revolusi IQ-EQ-SQ- Taufik Pasak, m/s 209]
Pada pendapat saya pula, ayat yang merupakan pertanyaan itu “Tidakkah kamu fikirkan?” adalah paling banyak disebut kerana ia ditujukan kepada seluruh manusia.Oleh itu ia berbentuk soalan.Disamping ia boleh mencetuskan kaedah berfikir Allah swt melalui firmaNya di dalam Al-Quran juga seakan mencabar seluruh makhluknya untuk berfikir.
Ayat “semoga kamu fikirkan” adalah merupakan ayat yang ditujukan kepada mereka yang telah beriman atau orang islam secara umum, ia adalah merupakan ayat suruhan atau ayat motivasi.Ia juga ayat berupa harapan dari PenciptaNya semoga makhluknya sentiasa berfikir.Ia juga mirip ayat “Iqra’” atau “bacalah” iaitu ayat pertama yang diturunkan oleh Allah melalui Malaikat Jibril kepada nabi Muhammad saw.
Ayat “Tidak mereka fikirkan” pula pada pendapat saya ditujukan kepada mereka yang sudah beriman dan sudah mampu berfikir atau sudah mempunyai kecerdasan berfikir, Cuma mereka tidak berfikir seperti apa yang disarankan oleh Penciptanya.Mereka akan dapat memahaminya dengan sedikit usaha berfikir sahaja.
Ayat “Sekiranya kamu fikirkan” pula pada pendapat saya adalah ditujukan kepada mereka yang khusus di sisi Allah.Ayat ini menggambarkan seseorang yang sudahpun mempunyai tahap kecerdasan ataupun kemahiran berfikir yang tinggi dan mampu berfikir pada tahap yang dikehendaki oleh penciptanya, Cuma manusia tidak terfikir seperti apa yang dikehendaki oleh PenciptaNya dan manusia di kelas ini akan cepat dan mudah memahami setiap ilmu dan kadang-kadang mudah beroleh ilham dari Penciptanya!
Perkembangan dan kajian keatas otak juga telah memperkenalkan berbagai teori kecerdasan manusia oleh sarjana barat seperti teori IQ(Intelligence Quotient) oleh William Stern sejak 100 tahun yang lalu.Selepas itu muncul pula teori EQ (Emotional Quotient) oleh Danial Goleman dan selepas itu diikuti pula teori SQ(Spiritual Quotient) yang diperkenalkan oleh sepasang suami isteri iaitu Danah Zohar dan Ian Marshal.Danah Zohar mendapat inspirasi dari hasil penemuan saintis Vilyanus Ramachandran dan Michael persinger berkaitan dengan Titik Tuhan atau God Spot di kawasan Temporal otak dan berkait rapat dengan Kelenjar Pineal atau Pineal gland yang dipercayai oleh kebanyakan orang Hindu dan Yogi sebagai jendela atau mata ke-3 manusia!
Howard Gardner memperkenalkan teori MI (Multiple Intelligence) atau Kecerdasan Majmuk sejak 10 tahun lalu yang menggabungkan IQ-EQ-SQ iaitu dibahagikan kepada tujuh jenis kecerdasan iaitu Linguistik, Matematik ,Visual ,Kinestatik , Muzik, Interpersonal dan Intrapersonal yang ada dalam setiap orang manusia tetapi mempunyai tahap – tahap kemampuan atau kecerdasan yang berbeza dari seseorang dengan yang lain.
Howard Gardner yang juga seorang pakar psikologi dalam sebuah bukunya yang terakhir pada 1999 yang berjudul Intelligence Reframe telah menambahkan lagi 3 komponen lain kecerdasan manusia kepada teori Kecerdasan Majmuknya iaitu Kecerdasan semulajadi,Kecerdasan kewujudan dan Kecerdasan spiritual menjadikannya 10 jenis.Pada bahagian akhir dari bukunya beliau membuat satu kesimpulan yang menarik iaitu kecerdasan yang paling tinggi , unggul dan paling utama ialah Kecerdasan Spiritual!
Selain itu pelbagai teori lain tentang otak dikemukakan, diantaranya yang paling menarik ialah teori otak kanan dan otak kiri atau disebut teori dua otak oleh Roger Walcott Sperry sehingga beliau menggondol anugerah Hadial Nobel pada tahun 1981.
Apakah anda seorang yang berfikir dengan otak kanan ataupun otak kiri???
Mungkin youtube dibawah boleh membantu anda mengenali gaya pemikiran anda!!!
Sekiranya anda melihat kaki kanan wanita itu berpusing dengan kakinya ‘twist’ ikut arah jam, maka anda seorang yang berfikir menggunakan otak kanan dan sebaliknya jika anda melihat kaki kanan wanita tersebut bergerak melawan arah jam, maka anda seorang yang berfikir menggunakan otak kiri.Lihat sekali lagi, anggapkan kaki kanan wanita itu adalah jarum jam yang bergerak di atas permukaan jam yang diletakkan secara horizontal, mungkin ia boleh membantu anda! Samada keputusannya berbeza dengan rakan sebelah anda, sila jangan bergaduh, kedua-duanya adalah betul! Itulah cara anda berfikir!
Berlainan dengan Sperry, seorang pakar Psikobiologi Paul Mc Lean membahagikan otak kepada tiga bahagian yang utama mengikut cara ia berfungsi iaitu Batang Otak (brainstem), Sistem Limbik dan Kulit Otak (Cerebrum) .Pemikiran berkaitan dengan Batang otak disebut otak Reptilia [fungsi motorik deria, penerusan hidup seperti makan,membiak,tempat tinggal,melawan atau lari], pemikiran berkaitan dengan Sistem limbik disebut Otak Mamalia [ perasaan dan emosi, ingatan, bioritmik seperti denyutan jantung,hawa nafsu seks, lapar, tidur, tekanan darah, dan imuniti tubuh] dan pemikiran berkaitan dengan Kulit Otak disebut Otak Manusia [ berfikir secara bijak, penalaran, kewarasan, bahasa, intuisi, kerohanian]
Mengambil inspirasi dari Teori Roger Sperry seorang pendidik dan pakar pengurusan Amerika Ned Hermann membahagi pula otak kepada 4 bahagian atau kuadran iaitu otak kanan atas-bawah dan otak kiri atas-bawah.Kuadran otak kiri atas berfungsi dalam Pemikiran Analisis atau Analytic Thinking , kuadran otak kiri bawah pula berfungsi dalam Pemikiran Perlaksanaan atau Implentation Thinking manakala kuadran otak kanan bawah berkait dengan Pemikiran Sosial atau Social Thinking .Kuadran yang ke empat iaitu kuadran otak kanan atas berkait dengan Pemikiran Masa Depan atau Future Thinking!
Apa yang menariknya ialah fungsi otak kanan bahagian atas ini jarang dimaksimakan. Pada kuadaran ini terletaknya gaya pemikiran yang holistik, intuitif, Integrasi, sintesis manakala aplikasi pemikiran pada bahagian ini ialah berbentuk imaginasi, artistik, sintesis dan bukan linear.
Apakah teori-teori yang dikemukakan oleh saintis dan ilmuan barat itu dapat mengukur keupayaan sebenar kekuatan akal manusia anugerahi Ilahi yang sebenar??? Jawapannya sudah pasti : tidak! dalam artikel yang berikut nanti saya akan cuba sedaya upaya saya untuk menolak Teori Titik Tuhan atau God Spot oleh Donah Zahar dan Ramachandran itu dengan hujah saya yang tersendiri.
Bagi saya teori TITIK TUHAN atau GOD SPOT ini adalah satu perancangan sulit Dajjal dan Freemason untuk memerangkap pemikiran manusia supaya mengakui perasaan beragama itu adalah sama pada setiap manusia atau ia terbentuk secara semulajadi selari dengan perkembangan evolusi manusia dan ini sebenarnya lebih kepada kecenderungan pendapat pemikiran Orientalis dan Liberalisasi agama kearah Agama Dajjal yang satu dalam kerangka mereka menyambut kedatangan Dajjal dan New World Order (NWO).
Gagasan para ilmuan mereka semakin jelas untuk mengkaji dan memaksimakan aspek kerohanian dan spiritual ini seperti saranan dari Stephen R.Covey ini, katanya :
“Kita hidup di dunia yang di dominasi oleh otak kiri,ketika kata kata dan ukuran logik berkuasa .Kita melupakan aspek kreatif,intutif dan perasaan kita”
Mari renungi pula kata-kata hikmat Sir Muhammad Iqbal ini :
“Jangan kau ikuti jejak intelek yang bertabur ribuan muslihat!Kembalilah ke jalan cinta yang jauh lebih unggul.Dalam menunjukkan tujuan tunggal,apakah kau ingin menyusuri lorong cinta dalam sorotan sinar intelek? Engkau bagaikan mencari terang mentari dalam keredupan kerdipan lilin”
Melalui kata-katanya itu Muhammad Iqbal secara sinis menyindir usaha sarjana barat yang ingin menghuraikan ilmu akal dan unsur kerohanian atau spiritual dengan menggunakan akal logik atau pemikiran rasional mereka yang diumpamakan seperti cahaya kerdipan lilin sahaja sedangkan sebagai seorang muslim kita sudahpun mempunyai sumber cahaya iaitu sinar mentari yang terang benderang sebagai penyuluh ilmu iaitu Al-Quran yang mulia melaui bimbingan wahyu Ilahi!
Oleh itu marilah kita umat melayu-islam berdoa semoga kita termasuk di dalam golongan orang yang beriman dan menggunakan akal pemberian Allah swt ini dengan sebaik mungkin semoga kita tidak menyesal dikemudian hari seperti peringatan Allah dalam surah Al-Mulk ayat 10 yang bermaksud :
“Dan mereka berkata : Sekiranya kami mendengar atau memikirkan (peringatan itu), nescaya tidaklah kami termasuk penghuni-penghuni neraka yang menyala-nyala”
Fungsi otak bergantung kepada bekalan darah yang diterima.Otak amat sensitif kepada oksigen.Kekurangan oksigen selama 3 minit akan menyebabkan kita boleh pitam dan jika otak tidak dibekalkan oksigen dari 8 hingga 10 minit kita boleh menjadi koma atau meninggal dunia (brain death), oleh itu pengawalan tekanan darah,pengurangan kolesterol dalam darah,pemakanan seimbang dan mengambil vitamin B12 yang mencukupi disamping aktiviti bersenam boleh meningkatkan kesihatan otak!
Kedudukan senaman paling baik untuk mengalirkan darah ke otak ialah ketika kita sujud dalam sembahyang!!! Jadi mengapa harus dicari senaman yang lain jika itulah aktiviti fizikal(sembahyang) yang paling baik buat otak kita!
Hasil penemuan terkini juga menyatakan untuk mengelakkan sifat pelupa/nyanyuk dan kematian sel saraf atau neuron, otak mestilah selalu diberi tugasan iaitu input berupa maklumat kerja-kerja berfikir mestilah sentiasa berterusan.Rahsia yang paling besar sekali untuk menyegarkan otak ialah dengan selalu membaca Al-Quran dan berzikir kepada Allah swt !!!. Ini adalah bertepatan sekali dengan sebuah hadis nabi yang bermaksud “Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad”. Ini menunjukkan otak ataupun akal tidak pernah jemu atau letih dalam proses belajar!
Kesimpulannya, selain dari menjaga kesihatan tubuh badan fizikal dan emosi kita, satu aspek yang paling penting iaitu spiritual atau kerohanian kita perlu dijaga dengan sebaik mungkin! Dengan kata lain, generasi melayu-islam perlulah sentiasa menjaga kesihatan otak mereka!Jauhkanlah diri anda dari unsur-unsur negatif yang boleh merosakkan daya kesedaran otak dan akal anda seperti dadah, alcohol, Tembakau, candu, ectasy, Rempit, bohsia, pondan, gay, hiburan yang melalaikan dan banyak lagi!
Wassalam.
Sangtawal Sakranta
5 comments:
Apakah hujah pihak barat tentang kewujudan 'God Spot'?Adakah 'God Spot' itu sebenarnya satu istilah yang melambangkan maksud lain?
Salam M.O,
terima kasih atas komen.
Mereka sebenarnya sengaja tidak mahu mengakui kebesaran dan kewujudan Allah swt yang maha pencipta! padahal mereka tahu akal manusia terbatas untuk menerokai ilmullah yang paling tinggi.
hujah mereka mengatakan adanya God spot ialah :
1.menggunakan mesin ECG(alat perakam gelombang otak) menunjukkan adanya gelombang-gelombang tertentu bila seseorang mengalami perasaan mistik atau ditanya berkaitan dengan hal-hal keagamaan.
2.Ayunan 40 Hz yang ditemui oleh Denies pare dan Rodolfo Llinas, dan dikembangkan oleh danah Zohar dalam teori kecerdasan spiritualnya.
Gelombang atau ayunan 40 Hz ini terjadi ketika otak tanpa pengaruh ransangan pancaindera sama sekali dan gelombang itu bertindak secara seragam.mereka membuat kesimpulan adanya hubungan intrinsik antara thalamus dan kulit otak (cerebral cortex) antara mereka sendiri tanpa apa-apa maklumat empirik. jadi mereka berkata kesedaran intrinsik inilah asas kepada kesedaran manusia.
Titik Tuhan atau God Spot mengikut Ramachandran berada di lobus temporal otak.dia berkata kononnya kawasan itu aktif bila mereka yang di uji disebut atau ditanya berkaitan tuhan,agama dan perkara perkara mistik. oleh itu mereka membuat kesimpulan bahawa titik itu memang wujud secara semulajadi.
kesedaran beragama atau rasa bertuhan itu wujud dalam setiap manusia.oleh itu mereka menganggap semua agama itu adalah atas pilihan individu sendiri mengikut citarasa masing-masing TETAPI sebenarnya mereka adalah DALAM KESATUAN sama AGAMA!
Hujah saya menolak TITIK TUHAN di lobus temporal otak :
1.Allah tidak bertempat secara khusus dalam diri manusia.
2.Akal adalah makhluk Allah, jadi tidak ada keraguan lagi bahawa Otak mempunyai ayunan 40 Hz walaupun tanpa ransangan kerana otak atau akal itu hidup di sisi Tuhan.
3.jika itu titik tuhan, mengapa sewaktu pesakit di bius, ayunan 40 Hz itu hilang? adakah Tuhan juga sudah mati? walaupun manusia di bedah tetapi fungsi jantung,
pernafasan dan fungsi otak bawah sedar masih berfungsi.ini menunjukkan manusia itu sebenarnya bergantung kepada Nyawa atau Ruh yang diberikan oleh Allah untuk hidup, bukan Titik Tuhan.
4.Kawasan lobus temporal adalah berkaitan dengan pentafsiran input deria bau dan pendengaran, manakala input penglihatan ditafsir di bahagian belakang otak (occipital lobe).jadi jika di lobus temporal ada titik tuhan,maka secara analoginya tuhan hanya boleh dihidu, dan didengar suaranya sahaja tetapi tidak boleh nampak!sebab untuk nampak atau imaginasi memerlukan occipital lobe!
5.ujikaji dan soalan yang ditanya oleh Ramachandran dan pasukannya adalah secara umum dan subjek yang dipilih walaupun dari pelbagai agama.... jadi bila disebut Tuhan... bagi subjek Kristian...dia akan nampak tiang salib dan suasana dalam gereja, bagi subjek hindu-budha dia akan nampak tokong atau patung dan suasana dalam kuil... bagi subjek yang beragama islam pula... jangan marah... kebanyakan penganut yang beragama islam yang kurang ilmu tasaufnya bila disebut akan Allah...mereka akan terus membayangkan Tulisan atau khat Huruf Allah atau menggambarkan kubah masjid atau bulan bintang... jadi .. otak-otak subjek ini akan berfikir dengan mengaplikasikan data yang sedia ada ini!!!! oleh itu terhasillah teori titik tuhan yang merapu ini!!!
ada banyak lagi hujah secara saintifiknya saudara M.O ...insyaAllah akan saya tulis satu artikel mengenainya!
saya ulangi.... hanya dengan mempelajari Al-Quran dan tasawuf sahaja mereka akan mampu meneroka alam-alam mistik dalam islam. inilah RAHSIA yang paling ditakuti oleh Dajjal.
bagi saya kawasan Titik Tuhan yang disebut itu memang ada disebutkan oleh ahli hakikat dan makrifat... ada satu alam yang halus lagi tersembunyi berada di antara dua kening kita... betul-betul DI HADAPAN God spot itu.. iaitu Alam Qo Baqousaini... yang pernah dibincangkan secara panjang lebar oleh Tokku Paloh! disitulah tempat masuknya cahaya !!!
wassalam.
Assalamualaikum, saya selalu mengikuti blog saudara dan banyak ilmu yang saya pelajari dari sini, saya berharap saudara teruskan perjuangan saudara, saya juga akan menyokong saudara.
p/s: saya tergerak untuk menulis komen sebab ada nama Iqbal disitu, saya Iqbal juga, tapi Iqbal Nasir la...senang2, lawatlah blog saya...terima kasih...
salam iqbal,
terima kasih atas komen.
selamat membaca! :)
wassalam.
Assalamualaikum wbt, :)
"salam perjuangan dan kemenangan untuk sangtawal ya"
terbukaminda.
wassalam :)
Post a Comment