Tajuk : Bukan Matamu Yang Sakit Tetapi Hatiku Yang Sakit !
Artikel oleh : Sangtawal Sakranta
Barangkali anda semua pernah mendengar lirik lagu ini suatu masa dahulu iaitu :
“Pandangan mata selalu menipu, pandangan akal selalu tersalah, pandangan nafsu selalu melulu, pandangan hati itu yang hakiki”
Allah juga berfirman didalam Al-Quran , surah Al-Hajj, ayat 46 yang bermaksud :
“Tidakkah mereka mahu mengembara di muka bumi ini sehingga hati mereka dapat memahami, dan telinga mereka dapat mendengar? Bukanlah mata mereka yang buta, tetapi hati mereka yang ada di dalam dada”
Entah bagaimana pula terdetik untuk menulis sedikit tentang mata.Mungkin kerana beberapa hari yang lalu mata saya sakit, mungkin dimasuki sedikit habuk atau kuman lalu pandangan mata agak terganggu sedikit, imej nampak berbalam dan sedikit bertindih! Apa orang kata, Diplopia!. Jadi bila nak baca sesuatu saya terpaksa julingkan sedikit mata, barulah nampak terang dan jelas sedikit! Mungkin saya terlalu lama menyelam di lautan alam cyber!
Mungkin juga sejak akhir-akhir ini mata agak silau terlihat angka-angka Ringgit Malaysia yang terlalu banyak dari seseorang hamba Allah hinggakan belanja untuk beli sebuah katil pun mahal sekali! tu baru katil, belum tilamnya lagi! bertuahlah badan orang tersebut sebab ada orang yang sanggup memberikannya wang sebegitu banyak sebab terlalu sayangkan dirinya !
Nak tahu macam mana Diplopia? sila letak hujung jari telunjuk anda atas bola mata anda di kelopak atas mata anda dan tekankan sedikit, anda akan nampak imej bertindih bukan?
Mungkin juga terlintas dihati untuk menulis tentang mata untuk membetulkan sedikit persepsi kita tentang mata dan penglihatan kita daripada disalahtafsirkan oleh mereka yang ada kepentingan dan lebih parah lagi bila ia ditafsirkan oleh Tok Bomoh atau Penjual ubat jalanan yang tidak bertauliah! Para penjaja ubat mata ini boleh kita lihat dimana-mana, hatta dengan belanja RM10 ke RM 20 saja semua penyakit mata termasuk ‘cataract’ dapat diubati dikaki-kaki lima atau di pasar-pasar malam saja!
Lebih hebat lagi bila ada penjaja ubat dan Tok Bomoh itu mengurut mata pelanggannya, dan tiba-tiba penglihatan kembali menjadi terang benderang dan ajaib sekali, padahal kecerahan mata itu hanya bersifat sementara- ini boleh berlaku dalam kes “Lens Dislodge” atau Lens dislocate ( kanta mata tercabut) akibat urutan (digital massage) tadi!
Bagi orang yang tidak tahu konsep mata menjadi cerah tiba-tiba itu adalah merupakan satu perkara yang ajaib dan pelik baginya , ditambah pula si penjual ubat tadi pandai memberi ucapan mengalahkan doktor pakar mata , disertai dengan ayat-ayat Al-Quran dan keratan-keratan akhbar sebagai bukti / testimoni keajaiban dan menjadinya ubat beliau yang berselerakan itu… maka sebab itulah orang ramai pun datanglah berduyun-duyun melihat persembahan mereka.
Tetapi bagi orang yang sudah tahu sebab-akibat mengapa ia jadi begitu (boleh cerah tiba-tiba!) pertunjukan mereka itu adalah perkara biasa, tidak pelik dan boleh dihuraikan dengan mudah! Cuma mungkin orang itu tidak mahu mengeruhkan lagi suasana atau tidak mahu mengacau periuk nasi si penjual ubat itu jika dia berhujah biarpun saban hari dia diajak dan dicabar untuk berhujah di kaki lima itu.
Senangnya mereka mencari rezeki dengan menipu orang demi mencari sesuap nasi! Pelbagai produk kesihatan yang dapat memulihkan penglihatan mata atau boleh menambahkan kecerahan mata dijual dengan bebas dan ada yang terlepas ke pasaran tanpa pemantauan pihak Farmasi!
Oleh itu berhati-hatilah kita dengan ubat sedekian rupa .Sayangilah mata kita dan hargailah nikmat anugerah mata dan penglihatan oleh Allah ini.Tanpa mata hilanglah peluang untuk menikmati keindahan alam ciptaan Allah ini.
Mata adalah satu pancaindera yang dikurniakan oleh Allah swt kepada kita untuk melihat.Oleh itu jagalah kesihatan mata kita sebaik mungkin kerana kerosakan mata sukar diubati!
Pelbagai jenis penyakit boleh dikaitkan dengan mata seperti jangkitan kuman, kerosakan pada otak di kawasan lobus oksipital dimana semua input saraf imej akan diproses, kerosakan mata seperti buta sejak azali (congenital) , kerosakan saraf optik mata, trauma atau chemical injury (contohnya terkena asid atau alkali) , dan masalah mata yang kebanyakan kita hidapi ialah Refractive Error seperti rabun jauh atau rabun dekat. Ia boleh dibetulkan dengan memakai cermin mata atau lebih moden dan nampak lebih bergaya lagi dengan memakai contact lens.
Seperti contact lens yang nampak hebat dan pelbagai jenis atau jenama itu ditambah lagi dengan produk yang berbagai warna, maka berebut-rebutlah anak-anak muda atau mak-mak janda untuk menjadikan mata mereka berwarna hijau atau biru padahal jika mereka perhatikan kebanyakan doktor pakar mata sendiri pun hanya memakai cermin mata biasa, bukannya tidak ada duit untuk membelinya atau tidak ada masa untuk menukar dan menjaga contact lens tetapi mesti ada sebabnya.Tetapi ramai yang tidak mahu bertanya mengapa mereka ( doktor pakar tadi) lebih suka pakai cermin mata berbanding contact lens, mungkin jawapan yang diberikan oleh mereka akan membuatkan si penanya terkejut dan berfikir seketika bahawa mereka (doktor pakar mata) takutkan jangkitan kuman atau corneal ulcer!
Maksud tersirat dari cerita di atas yang ingin saya sampaikan di atas ialah, jangan suka mengikut sangat perkembangan fesyen semasa atau terus menari mengikut rentak orang lain secara membabi-buta, belajarlah, berfikirlah , bertanyalah dan berbincanglah dengan orang yang lebih arif berkaitan dengan ilmu tersebut jika kita tidak tahu, jangan mudah menuduh secara melulu jika tidak benar-benar tahu kerana tuduhan melulu akan membenihkan fitnah dan fitnah itu akan membuahkan permusuhan dan permusuhan itu boleh menyuburkan dosa, menggelapkan hati kita dengan zulmat dan menambahkan pecah belah ummah! Bila dosa kita bertambah , Iblis akan tergelak lalu masuklah kita dalam golongan kiri atau jadilah kita wali setan.
Kepada mereka yang berkata boleh berkawan dengan setan itu, kemungkinan besar dia juga Wali Setan atau Wali Plastik sedangkan Allah swt berkali-kali menegaskan seperti dalam Surah Yaasin bahawa Setan itu adalah musuh kita yang paling nyata. Maka takutlah kita semua dari mengikut Wali Setan ini kerana sudah pasti kita akan termasuk dalam golongan orang-orang musyrikin, Firman Allah swt dalam Surah Al-An’am, ayat ke 121 yang bermaksud :
“Sesungguhnya syaitan itu membisikkan kepada wali-walinya agar mereka membantahi kamu (Muhammad) dan jika kamu menuruti mereka, sesungguhnya kamu tentulah menjadi orang-orang musyrik”
Tidak ramai yang mempunyai masalah mata yang disebut Diplopia atau Double Vision (Imej Bertindih/berkembar). Diplopia diambil dari perkataan Greek : Diplo- double, Opia- Vision. Diplopia boleh dikelaskan lagi kepada 2 jenis iaitu jenis Monocular dan Binocular.
Diplopia bukan krisis, ia adalah masalah mata.Diplopia bukanlah sama erti dengan kejulingan mata (strabismus-misalignment of the eyes from birth) tetapi jika dikatakan strabismus itu salah satu penyebab kepada binocular diplopia, ia bolehlah diterima dalam bidang perubatan atau lebih spesifik lagi Ophthalmology. Oleh itu jika tidak tahu, jangan mudah kita membuat tafsiran melulu!
Antara penyebab lain Binocular Biplopia ( Double vision terjadi pada kedua-dua belah mata) selain dari strabismus ialah , kerosakan pada saraf yang mengawal otot extraocular mata, Diabetes,Graves disease, Myasthenia Gravis, trauma kepada bola mata atau tulang orbit sekitar mata.
Antara penyebab kepada Monocular Diplopia ( Double Vision yang terjadi pada satu mata sahaja) ialah astigmatism, keratoconus, pterygium, cataract, lens dislocation, xeropthalmia atau masalah pada retina mata.
Oleh itu untuk mengatakan Diplopia itu disebabkan oleh “Kejulingan Mata” sahaja tidak cukup biarpun bagi mereka yang “tidak tahu” atau “jumud dengan ilmu yang sedia ada” atau “tidak mahu belajar dan menerima pendapat orang lain”, kenyataan di atas itu sudah cukup hebat dan bagus!Oleh itu, untuk tahu penyakit mata kita kena betul betul belajar pasal mata! Jangan turut melibatkan orang lain pula supaya termakan atau menerima bulat-bulat fahaman kita.Jangan biarkan orang lain mengikut persepsi kita sahaja!
Strabismus (mata juling) boleh dikelaskan pula kepada beberapa jenis seperti berikut :
Terimalah kenyataan bahawa objek yang kita lihat ini sebenarnya telah menipu kita dan semuanya adalah terbalik sebenarnya ! Tetapi Allah swt amat menyayangi diri kita dengan memberikan Anugerah memahami objek supaya membuat persepsi bahawa OBJEK yang TERBALIK hasil dari mekanisma cahaya masuk melalui iris mata , difokuskan di kanta mata (lens) dan di paparkan di retina, diproses oleh sel kon dan sel rod itu, dihantar ke otak melalui saraf optic, bersilang di Kiasma optic itu DITAFSIRKAN oleh otak sebagai TIDAK TERBALIK!
Maka dapatlah kita lihat sepohon pokok yang pucuknya di atas dan akarnya dibawah, lembu yang dikatakan bodoh itu berjalan dengan kakinya di bawah dan kepalanya di atas! Semua ini adalah anugerah Allah swt kepada kita!!! Maka haruslah kita selalu bersyukur kepadanya, jika ditarik sedikit nikmat ini, maka terbaliklah segala dunia dan isinya ini pada pandangan kita!
Jadi benarlah Firman Allah swt, bahawa bukan mata itu yang buta, tetapi Hati yang didalam dada! Atau secara saintifiknya bukan mata itu yang buta, tetapi fikiran kita yang buta.Oleh itu lihatlah sesuatu objek atau perkara itu dengan mata dan fikiran juga.
Disini saya ingin berkongsi satu cerita berkaitan dengan mata ini dengan saudara semua, semoga ia menjadi iktibar buat kita semua.
Pernahkah saudara mendengar kisah seorang tokoh ulama sufi yang masyhur ini iaitu Imam Sheikh Junaid Al-Bagdadi.Beliau adalah seorang wali Allah dan seorang jutawan di kota Bagdad ketika itu, namun hatinya tidak terikat dengan dunia.
Suatu ketika ketika beliau diserang penyakit mata yang agak teruk, dia pun memanggil seorang Doktor kristian merawatnya.Lalu kata Doktor itu selepas merawatnya :
“Jika matamu masih merasa pedih, elakkan dari terkena air”. Selepas itu Doktor itu pun pulang.
Selepas itu bila masuk waktu solat, Imam Junaid mahu solat tetapi wudhuknya telah terbatal.Dia pun terus mengambil wudhuk tanpa menghiraukan nasihat si Doktor Kristian tadi.Selepas solat dia pun tidur.
Setelah terjaga dari tidur, tiba-tiba matanya sudah menjadi sembuh seperti tidak pernah sakit sebelumnya!Ketika itu juga beliau terdengar satu seruan :
“Junaid telah rela mengorbankan matanya demi nikmatKu, sekiranya untuk tujuan yang sama dia berdoa kepadaKu untuk semua penghuni neraka, nescaya Aku perkenankan doanya”
Keesokan harinya Doktor tadi datang kembali untuk merawat Imam Junaid, alangkah terkejutnya dia bila melihat mata Imam Junaid telah sembuh.Dia hairan kerana mengikut pengajiannya penyakit mata yang dihidapi oleh Imam junaid itu agak kronik, dan tak mungkin sembuh dengan begitu cepat sekali!
“Aya yang telah kamu lakukan?” , Tanya Doktor itu.
“Aku berwudhuk lalu solat” jawab Imam Junaid.
Mendengar jawapan itu, Doktor itu berfikir seketika dan menundukkan kepala serta sangat terharu.Dia sedar bahawa agama Junaid ini adalah benar.Lalu dia pun berkata :
“Kesembuhan ini tentu dari Tuhan Yang Maha Mencipta!, bukan dari makhluk-makhluk ciptaanNya” .Dia pun memeluk islam ketika itu juga.
Doktor Kristian itu berkata lagi :
“Selama ini, Hatikulah yang sakit, bukan matamu dan engkaulah pengubatnya!”
Pada kisah yang lain pula, di suatu hari, di sebuah dewan tempat Imam Junaid mengajar agama,ada seorang Pemuda Kristian di antara orang ramai yang sedang mendengarnya .Tiba-tiba pemuda itu bangun lalu bertanya :
“Wahai Sheikh Junaid! Rasulullah saw bersabda: ‘Waspadalah engkau terhadap firasat orang mukmin kerana dia dapat melihat dengan Nur Allah’.Apakah maksudnya?"
Lalu Sheikh Junaid pun tunduk sebentar lalu mengangkat semula kepalanya serta memandang tepat ke muka pemuda itu lalu berkata :
“Sesungguhnya masa keislamanmu sudah dekat, Oleh itu , maka islamlah kamu!” jawab Sheikh Junaid.
Orang ramai terkejut dan terpinga-pinga dengan soalan dari Pemuda itu dan jawapan dari Sheikh Junaid, mereka tidak tahu yang pemuda bersama mereka itu adalah seorang Kristian.Pada waktu itu juga pemuda itu terus memeluk islam!
Saudaraku sekalian, itulah antara contoh-contoh tauladan yang ditunjukkan oleh orang-orang soleh dan kekasih Allah dimasa lalu bagaimana cara dakwah yang penuh hikmah.Ia menjadi kuntuman sejarah yang harum mewangi sepanjang zaman!
Itulah Konsep Dakwah yang kita perlu contohi, berdakwah dengan Ilmu dan Hikmah bukan dengan Nafsu dan Fitnah! Konsep atau cara berdakwah banyak! Janganlah kita mudah atau cepat menuding jari kearah orang yang kita tidak suka sedangkan empat jari lagi menunjuk kearah kita! Berhujahlah dengan ilmu dan janganlah kita terperangkap dengan fahaman kita dan merasa hanya diri kita atau jemaah kita atau parti kita saja yang mengikut segala sunnah nabi yang betul, sedangkan orang lain tidak! Mana kita tahu apa yang ada dalam hati orang? Kita bukan wali seperti Imam Junaid Al-Baghdadi!
Semoga yang Haq tetap Haq dan yang Bathil tetap Bathil dan semoga yang Haq akan mengalahkan yang bathil!
Mungkin pada hari ini kita ditimpa masalah atau kesempitan dalam hidup, mungkin pada hari ini kita diuji oleh Allah swt, kerana setiap insan yang beriman tidak boleh mengaku dia sudah beriman sedangkan dia masih belum diuji apatah lagi bila kita mengaku pejuang islam, sudah pasti dugaan dan ujiannya bukan sedikit.Allah pasti akan menguji tahap keimanan kita.
Maka bersabarlah! itulah ubat yang paling mujarab ketika ini.Jika kita boleh memberikan nasihat begitu kepada orang lain, dan ia berlaku kepada diri kita pula, mengapa kita tidak boleh bersabar? Mungkin ada hikmahnya disebalik semua itu.Jika selama ini kita terlalu vokal atau ekstrem dalam memberikan sesuatu pendapat, sehingga orang pun menghukum fahaman kita itu dengan emosi atau perasaan bukannya dengan fikiran , lalu jadilah ia satu fitnah yang akan berlarutan dan tiada kesudahannya.
Mungkin antara hikmahnya ialah selepas ini kita mesti lebih berhati-hati supaya orang lain yang juga berilmu atau orang yang lebih tua dari kita tidak mudah tersinggung atau terguris hati kecilnya. Atau mungkin selepas ini kita tergerak hati untuk membelek kitab kitab lama ilmu Tasawuf pula, mana tahu barangkali! jangan asyik dok bertajdid je! barulah keilmuan kita jadi lengkap kerana Ulama sebenar ialah ulama yang menuntut dan mengajarkan ketiga-tiga jenis ilmu ini iaitu Feqah, Usuluddin dan Tasawuf!
Tetapi setiap kesabaran itu pun ada tahapnya.Jika ia melibatkan maruah diri dan cabaran berupa halangan dalam penyampaian ilmu , maka ada rasionalnya kesabaran itu tercabar. Maka bangunlah berjuang demi kebenaran!.Kita akan melihat dan menilainya secara jujur siapakah berada di pihak yang benar nanti!
Saudaraku sekalian, Kembalilah kita kepada sirah dan perjuangan Nabi Muhammad saw yang sebenar! mengapa kita harus berpecah belah dengan isu yang boleh diselesaikan dengan cara paling baik dan berhemah? Musuh-musuh islam sedang bertepuk tangan dan bergembira melihat telatah umat islam yang bermusuhan dan tidak bersatu! Mereka hanya menunggu saat dan ketika yang sesuai untuk meratah dan menyembelih umat islam hidup-hidup!darah kita ini sudah lama halal bagi mereka! Mereka sudah pasti tidak akan takut berbuat demikian kerana mereka tahu umat islam sendiri pun suka melihat saudaranya termusnah!
Mungkin doa atau munajat Rasulullah dalam Perang Uhud ini ,yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad ini boleh kita renungkan, fikirkan dan amalkan selalu .Saya ambil doa munajat ini dari sebuah Buku berjudul - Jihad Peperangan Rasulullah Saw , m/s 301-303 : Ahmad Adnan Fadzil, terbitan Pustaka Syuhada.
[“Ya Allah, Wahai Tuhan kami!, bagi-Mu segala pujian.Ya Allah wahai Tuhan kami, tiada siapa yang dapat menahan apa yang Engkau berikan, tiada sesiapa yang dapat memberi apa yang Engkau tahankan., Tiada yang dapat memberi petunjuk kepada sesiapa yang Engkau sesatkannya, Tiada sesiapa yang dapat menyesatkan sesiapa yang yang Engkau beri petunjuk kepadanya.Tiada siapa yang dapat memberi kepada sesiapa yang Engkau tegahkan pemberian kepadanya, Tiada yang dapat menghalang sesiapa yang Engkau berikan kepadanya, Tiada sesiapa yang dapat menghampirkan sesiapa yang Engkau jauhkan, Tiada sesiapa yang dapat menjauhkan sesiapa yang Engkau hampirkan.
Ya Allah,wahai Tuhan kami, hulurkanlah kepada kami daripada keberkatan-Mu, rahmat-Mu, kurnia-Mu, dan rezeki-Mu.
Ya Allah wahai Tuhan kami, aku memohon kepadaMu nikmat yang tetap, yang tidak terhalang, dan tidak hilang.
Ya Allah, wahai Tuhan kami, aku memohon kepadaMu pertolongan di Hari kesempitan dan ku mohon keamanan di Hari ketakutan.
Ya Allah wahai Tuhan kami, aku berlindung denganMu daripada kejahatan yang Engkau jadikan berlaku kepada kami dan kejahatan yang Engkau tegahkan kami.
Ya Allah ,wahai Tuhan kami, jadikanlah kami ini kasih kepada iman dan hiaskanlah iman-iman itu di dalam hati-hati kami, jadikanlah kami benci kepada kufur, fasik dan maksiat dan jadikanlah kami termasuk di kalangan orang-orang yang mendapat petunjuk.
Ya Allah , wahai Tuhan kami, matikanlah kami di dalam islam, hidupkanlah kami di dalam islam, dan masukkanlah kami di kalangan orang-orang soleh, bukan orang-orang yang dihina dan tidak pula yang difitnah.
Ya Allah, wahai Tuhan kami, perangilah orang-orang kafir yang membohongi rasul-rasulMu, dan menyekat jalan agamaMu, dan jadikanlah keatas mereka azab seksa-Mu.
Ya Allah , wahai Tuhan kami, perangilah orang-orang kafir yang dikurniakan kitab (yakni ahli al-kitab) . Wahai Tuhan Yang Maha Benar.”]
Mengapa dalam keadaan yang genting dan sibuk berperang itu, Rasulullah menyuruh tenteranya membuat saf dan Baginda bermunajat dengan doa yang panjang lebar??? Mengapa tidak membaca doa pendek atau niat saja dalam hati? Bukankah doa baginda kekasih Allah ini akan terus termakbul tanpa hijab atau halangan untuk sampai kepada Tuhan? Tetapi Rasulullah tetap mahu mengajar umatnya Kecerdasan Spiritual yang tinggi! Sila baca turutan doa baginda, baginda hanya meminta untuk mengalahkan musuh-musuhnya di perenggan terakhir doanya,mengapa? kalaulah kita … dalam situasi perang sebegitu mungkin kita doakan biarlah kita menang dan musuh kalah dari awal doa sampai habis doa! Betul tak???
Maka fikir-fikirkanlah sauadaraku sekalian!
Maafkanlah segala kesilapan saya jika ada yang terguris dengan artikel saya di atas!
*Tak lupa buat adik-adik yang sedang menghadapi exam SPM, semoga berjaya di dunia dan akhirat ! berusaha, berdoa dan bertawakkallah selalu!
[sepatutnya artikel ini saya poskan kelmarin, tapi talian internet saya bermasalah sikit]
Sekian , Wassalam.
Sangtawal Sakranta.
5 comments:
Salam,
Ok gak mata hijau mcm dlm pic. tu. Bleh jd hulk.
salam buat anon@6.03pm
Terima kasih atas komen. :)
wassalam.
Salam. Fuyo. Bes artikal ne. 5/5*
Salam buat Segisega...
Amboi.. panjangnya nama, susah nak sebut:)
Terima kasih atas komen dan sokongan.
Teruskan membaca.
salam, terima kasih artikel yg simple dan jelas(mudah difahami) tapi mendalam isi kandungannya.. tapi saya telah menculik munajat rasulullah ketika perang uhud.. mohon izin dan maaf nya ya Sang Tawal Sakranta
Post a Comment