Sunday, April 12, 2009

Ekspedisi Jihad (3) - Penyebaran Islam Ke Kalimantan




Artikel Pilihan 1 :


Tajuk : Penyebaran Islam Oleh Para Ulama Kelantan-Patani di Kalimantan


Sumber : Klik sini


Oleh:
DRS. ABDUL RAHMAN AL AHMADI



Hubungan khusus Semenanjung Melayu dengan Kalimantan Barat dapat dijejaki dari sejarah baru bahawa pada tahun 1139 H = 1727 M telah datang raja Opu Daeng Menambon yang berasal dari Sulawesi ke Terengganu yang terletak di Pantai Timur Semenanjung Melayu, Malaysia bagi upacara perlantikan Zainal Abidin menjadi raja Terengganu dengan gelaran Sultan Zainal Abidin.


Dalam perlantikan ini dihadiri oleh raja Nang Cayang Patani iaitu seorang raja perempuan Patani kerana Zainal Abidin adalah anak angkat kepada raja Nang Cayang dan juga sebagai saudara iparnya.


Dengan kehadiran Opu Daeng Menambon itu yang kemudian menjadi raja di Mempawah dalam tahun 1740M ini bererti adanya kontak antara Kalimantan Barat dengan Terengganu dan Patani yang terletak di Pantai Timur Semenanjung Melayu dan ketika terjadi peperangan tak putus-putus antara Patani dengan Siam sejak abad ke-15 lagi maka dalam tahun 1740M ada sebanyak 40 buah perahu Patani yang dipimpin oleh seorang ulama Patani bernama Syeikh Ali bin Fakeh Al-Patani datang ke Membaweh disambut oleh Raja Opu Daeang Menambon dan tidak lama kemudian Tuan Syeikh Ali bin Fakeh Al-Patani ini diangkat menjadi Mufti besar di Kerajaan Mempawah menggantikan Syed Hussein Al-Qadri yang meninggal dunia.


Lama sebelum kedatangan Syeikh Ali ke Kalimantan Barat iaitu kira-kira dalam tahun 1700M telah datang terlebih dahulu seorang ulama dari Patani bernama Syeikh Abdul Jalil Al-Patani. Beliau menyebar Islam di Kalimantan Barat dan beliau meninggal dunia di Sambas di kalangan rakyat setempat, beliau dikenali dengan keramat Lumbang, kerana makamnya terletak di Lumbang, Sambas.


Sesudah itu datang pula berturut-turut ulama dari Kelantan, Terengganu yang berketurunan Patani, salah seorang daripadanya jauh memasuki perhuluan sungai Kapuas dan beliau meninggal dunia di daerah Jongkang.


Sesudah Syeikh Abdul Jalil Al-Patani, maka tak putus-putus sehingga menjelang Perang Dunia Ke-2, ulama dari Kelantan, Patani pergi ke Kalimantan Barat antaranya ialah Haji Ahmad bin Mamat atau lebih terkenal Haji Pak Muda seorang qari al-Quran di Kelantan dalam tahun 1930-an. Beliau dilahirkan di Pasir Mas, pernah belajar al-Quran di Mekah dengan Haji Omar Pakleh yang berasal dari Kota Bharu.


Haji Omar ini adalah murid kepada Abdullah Sanggora seorang guru al-Quran dan ahli Tajwid terkenal di Mekah. Haji Ahmad bin Ahmad menunaikan fardu Haji ke Mekah dalam sekitar tahun 1912. Sepulangnya dari Mekah beliau mengajar al-Quran di sana sini di Kelantan lebih-lebih lagi di kampungnya di Pasir Mas.


Ramai murid yang datang belajar dengannya. Selain dari negeri Kelantan juga dari negeri-negeri lain di Semenanjung Tanah Melayu, dari Medan, Sumatera Timur, Jambi dan Palembang, dari Inderagiri, Pontianak dan Kemboja. Dalam tahun 1930-an Haji Ahmad ini pergi ke Pontianak, Kalimantan Barat bersama-sama dengan Haji Yusuf, paman kepada Mufti Besar Kelantan, Mohamad Nur Ibrahim. Di Pontianak, Haji Ahmad Mamat mengajar al-Quran kepada sekitar 40 orang murid selama beberapa bulan.
Waktu itu Haji Ismail Abdul Majid, seorang ulama dari Kelantan sedang bertugas menjadi Mufti kepada Kerajaan Pontianak, Sumantara.



Mufti Haji Ismail Haji Abdul Majid, dilahirkan di Labok, Machang, Kelantan pada tahun 1876 mula-mula belajar di Kelantan dan kemudian di Mekah. Setamat pengajiannya di Mekah pulang ke Kelantan dan pergi ke Kemboja berdakwah dan kemudiannya ke Pontianak dalam tahun 1909 mengikuti jejak gurunya iaitu Sayyid Abdullah Al-Zawawi yang mula-mulanya lari ke Riau kemudian ke Pontianak kerana diburu oleh kaum Wahabi sekitar tahun 1914 di Mekah di mana ramai ulama Nusantara mati dibunuh di Taif.


Di Pontianak, Ismail Abdul Majid mendapat perlindungan daripada Syeikh Muhamad Yasin, seorang ulama besar yang berasal dari Kedah tetapi sayang beliau tidak lama di rumah induk semangnya itu kerana Syeikh Muhamad Yasin meninggal dunia lalu Ismail Abdul Majid tinggal menumpang di rumah Nik Wan Iaitu seorang ulama Tasawuf yang berasal dari Patani.


Kerana pengetahuan agamanya yang mendalam, Ismail Abdul Majid disambut di mana-mana sahaja beliau pergi mengajar baik di Pontianak mahupun di Sambas kerana tenarnya beliau dalam bidang agama, lalu beliau diambil menjadi menantu oleh seorang hartawan Bugis di kampung Sungai Itik Darat. Hasil perkahwinan ini beliau mendapat tiga orang anak perempuan.


Sambil mengajar beliau mengubah khutbah Jumaat ke dalam bahasa Melayu yang selama ini dilakukan dalam bahasa Arab, hal ini mendapat reaksi daripada masyarakat setempat lalu diadukan kepada Sultan Pontianak Syarif Muhamad Syarif Yusof al-Qadri.
Beliau dapat mempertahankan alasan-alasannya akan keharusan berkhutbah dalam bahasa Melayu itu kemudian beliau dilantik menjadi Mufti pontianak dalam tahun 1328-1356H = 1910-1937M. sambil itu beliau mengajar pula tafsir dalam bahasa yang mudah difahami oleh orang awam. Salah seorang muridnya ialah Abdul Ghani bin Muhamad (1978). Di samping mengajar dan bertugas menjadi Mufti, beliau sempat pula mengarang sebuah kita Pedoman Pedoman Kemulian Manusia, kitab ini dicetak di Kota Bharu Kelantan pada tahun 1938M.


Beliau juga mempunyai sebuah Hotel di Pontianak yang terletak di Sungai Kapuas. Dalam tahun 1937M, beliau kahwin kali kedua di Pontianak dengan Jamaliah seorang yang berasal dari Tasikmalaya, Jawa Barat.


Mereka kemudian pulang ke Kelantan untuk naik haji ke Mekah dalam tahun 1938. Selain Ismail terdapat pula seorang dari Malaysia bernama Abdul Rahman Hussin al-Kelantan. Beliau diangkat oleh Penembahan Mempawah menjadi Kadi besar di Mempawah. Beliau adalah Kadi terakhir di Mempawah dalam tahun 1971. Beliau juga meninggal dunia dalam tahun yang sama.

2 comments:

spotthebloggers@gmail.com said...

Laman blog anda telah disenaraikan di dlm:

http://spotthebloggers.blogspot.com

Sila emailkan bantahan sekiranya tidak mendapat izin/perkenan dari anda. Komen/cadangan dialu-alukan. T.k.

sangtawal said...

Salam spotthebloggers@gmail...

terima kasih...silakan..