Thursday, November 12, 2009

CKKAZ II : Bhg 4 - Fenomena Eureka



Tajuk : CKKAZ II : Bhg 4 - Fenomena Eureka

Artikel Oleh : Sangtawal Sakranta.


300 tahun sebelum Masihi, Dalam sebuah Istana raja, seorang tukang emas terkenal di Kota Syracus kelihatan pucat lesi mukanya, buntu fikirannya dan berdebar-debar degup jantungnya setelah si Raja Hieron berkata buat kali ketiganya “Aku curigakan Mahkota ini!”. Dia sedar bahawa kata-kata si Raja itu adalah umpama hukuman mati baginya!Haruskah dia berterus terang dengan Raja atau Raja hanya ingin menguji dirinya?

*Dari masalah Mahkota Raja , membawa kepada Fenomena Eureka!

Fikirnya , mungkin Raja sudah mengetahui perbuatan khianatnya iaitu dengan membuat sebuah Mahkota Raja yang tidak tulen, iaitu dari emas 24 karat seperti yang diingini oleh si raja! Bagaimana si Raja tahu dia mencampurkan sedikit tembaga dalam pembuatan Mahkota Raja itu dan sedikit emas yang sepatutnya di buat Mahkota Raja disimpannya dengan tujuan untuk dijualnya! Ahh… bukannya banyak , sedikit sahaja… tetapi apa yang menghairankannya, bagaimana si Raja mengetahuinya? Padahal waktu dia membuatnya itu, didalam rumahnya yang tertutup dan hanya dia seorang yang terlibat membuatnya!

Kisah diatas begitu masyhur sekali , ini kerana penglibatan seorang yang pintar dizamannya iaitu Archimedes.Dialah yang sebenarnya memberikan maklumat kepada Raja Hieron mengenai mutu mahkota emas yang tidak murni itu! Namun bagaimana Archimedes mampu membuat kesimpulan begitu? Sedangkan pada zamannya, ukuran atau parameter matematik yang diketahui adalah setakat segitiga, segiempat, bulatan dan bentuk-bentuk ringkas sahaja!

Ceritanya begini, Archimedes pun merasa gementar dan kebingungan bila dipanggil oleh Raja Hieron yang bertanya bagaimana ingin mengetahui sama ada mahkota itu tulen atau tidak.Walaupun dia terkenal sebagai seorang yang pintar dizamannya, namun dihadapan Raja waktu itu, dia terasa sangat bodoh sekali kerana pada waktu itu dia hanya pandai mengira atau mengukur benda-benda yang bentuknya teratur saja! Tetapi Mahkota yang ada dihadapannya itu sangat aneh,berbentuk tidak sekata dan penuh dengan hasil seni ukiran yang menarik dengan bucu-bucu yang tidak sekata!

Pada mulanya Archimedes memohon kepada Raja untuk meleburkan semula dan menjadikan mahkota itu berbentuk segiempat dan rata, tetapi Raja tidak mengizinkannya! Kerana Raja sangat menyayangi Mahkota itu dan tidak mahu ianya menjadi rosak! Archimedes samakin kebingungan!

Maka, pulanglah Archimedes kerumahnya dan terus memikirkannya untuk beberapa hari, namun dia masih gagal memecahkan persoalan itu.

*Archimedes balik kerumahnya dan cuba memikirkan masalah itu,namun dia buntu!

Pada suatu hari, dia pun pergilah ke tengah Kota Syracus, iaitu ke tempat mandi para aristokrat untuk mandi menenangkan fikirannya seketika, dia cuba untuk tidak mengingati masalah tersebut barang seketika…. Ketika dia mula masukkan dirinya kedalam bekas mandi tersebut perlahan - lahan … dia terasa tenang dan santai…..



Tetapi secara tiba-tiba beliau bangun tanpa seurat benang pun dan berkata :

“Aha… Eureka,Eureka, Eureka!” bermaksud “Aha.. aku dapat, aku dapat,aku dapat!” Beliau sangat gembira dan seperti orang histeria lalu terus berlari pulang kerumahnya!


Rupa-rupanya Archimedes seolah-olah mendapat ‘ilham’ untuk menyelesaikan persoalan Raja yang begitu menghantui fikirannya! Ketika dia memasukkan dirinya perlahan-lahan kedalam kolam tempat mandi itu, airnya turut menaik hinggalah ia melimpah keluar bila Archimedes menenggelamkan keseluruhan tubuhnya ke dalam bekas mandi itu, maka dia terus membuat kesimpulan berdasarkan pemikiran kreatifnya bahawa jumlah berat bahan yang masuk kedalam bekas itu mestilah sama dengan berat air yang melimpah keluar ! Lalu terhasillah Hukum Archimedes! Cerita ini dihuraikan dengan panjang lebar oleh Isaac Asimov dalam tulisannya The Eureka Phenomenon, dalam Norton Reader, edisi ke-6.

*Sehingga kini, Potensi sebenar otak dan akal yang masih menjadi misteri!

Archimedes mengira kemurnian atau keaslian emas yang terkandung dalam mahkota raja itu mengikut rumusan yang dikenali oleh ahli kimia sekarang sebagai berat jenis. Berat jenis emas ialah 19.3gram per sm3 air.Ini bermaksud, 1 sm3 (sentimeter padu) air akan melimpah keluar dari sebuah bekas yang penuh berisi air jika emas murni seberat 19.3 gram dimasukkan.

Berat tembaga pula ialah 8.92 gram per sm3 air, jadi mengikut Archimedes, jika berat emas murni mahkota raja yang mengandungi emas tulen itu seberat 100 gram ,maka sudah pasti air yang melimpah keluar ialah seberat 5.18 sm3.

Oleh kerana Mahkota Raja itu tidak tulen dan dicampur sedikit tembaga untuk menjadi emas suasa, maka menurut Archimes sudah tentu jumlah berat air yang keluar itu tidak sama kerana pada prinsipnya, benda yang sama mestilah mempunyai berat jenis yang sama!




Mari kita belajar dari pengalaman Archimedes, ternyata penyelesaian kepada sesuatu masaalah itu terjadi dengan izin Tuhan ketika kita berada dalam suasana yang tenang atau gelombang otak kita berada pada gelombang Alfa! Ilham (Eureka) itu muncul selepas kita penat berfikir dan berusaha keras !

Pengajarannya ialah, jika kita ingin mendapatkan suatu jawapan atau kesimpulan kepada persoalan rumit dalam hidup kita, kita mesti berusaha terlebih dahulu, seperti berfikir dan berusaha bersungguh-sungguh kemudian tenangkan diri kita seketika dan pohonlah petunjuk dari Allah swt. Biasanya jawapan akan muncul disaat kita dalam keadaan santai atau fikiran kita terputus sejenak dengan masalah yang sedang kita hadapi.


Bagaimana pula untuk mendapatkan ketenangan? Bukankah Allah berfirman bahawa bila kita mengingatiNya hati kita akan menjadi tenang?

Marilah kita berfikir , berzikir , berdoa dan selalu bersembahyang kepadaNya

*Inilah Rahsia kepada segala rahsia,maka marilah kita bersolat dengan khusyuk/fokus!

Di atas hanya satu contoh dari pelbagai jenis cerita berkaitan dengan cara dan gaya berfikir manusia – manusia hebat atau Genius yang cuba saya paparkan! Contoh cerita Archimedes ini bagi saya cukup menarik, kerana ia melibatkan hasil pemikiran kreatif menghasilkan output pemikiran berupa ilham yang datang tiba-tiba, fenomena ini lain dari yang lain! Kerana ia menemukan perkara baru hingga menerbitkan formula sains yang boleh merubah dunia.


Bagaimana pula dengan kisah Sir Isaac Newton , dilahirkan pada 1642 , merupakan ahli fizik Inggeris terkenal yang menulis buku Philosophiae Naturalis Principia Mathematica yang diterbitkan pada 5 Julai 1687. Dalam buku tersebut, Newton menerangkan daya Tarikan Graviti alam dengan Hukum Pergerakan dan ini telah menjadi asas kepada mekanik klasik. Beliau juga pengasas kalkulus pembezaan.


Bapa Newton meninggal tiga bulan sebelum kelahirannya, dan dua tahun kemudian ibunya berkahwin dengan lelaki lain dan meninggalkan Newton dengan neneknya.

Pada suatu hari Newton yang sedang duduk di kebun dan melihat sebiji epal luruh.

Beliau pun bertanya kepada dirinya sendiri, mengapa ia hanya jatuh ke tanah, tidak ke atas? Lalu beliau sedar bahawa, seperti juga daya graviti menarik buah epal ke bumi, graviti memastikan bulan sentiasa berada dalam orbitnya. Hal ini boleh dibandingkan seperti seutas tali yang terikat ke seketul batu yang anda putarkan di sekeliling kepala, jika tali putus batu akan tercampak jauh.

Tanpa graviti, bulan akan melayang ke angkasa lepas. Newton cuba mencipta teleskop untuk mengkaji bintang, tetapi mendapati bahawa jika beliau menggunakan kanta, imej yang terang mempunyai tepi bewarna.Lalu dia pun bertanya lagi dirinya, mengapa ia berwarna?

Semasa mencari sebab mengapa hal ini berlaku, beliau telah berjaya mencipta teleskop cermin. Teleskop ini tidak menimbulkan tepi bewarna dan banyak daripada teleskop masa kini adalah berdasarkan rekaan Isaac Newton.

Beliau berulang kali bertanyakan soalan tentang tepi bewarna sehinggakan beliau menjadi orang yang pertama menyedari bahawa cahaya puteh adalah campuran semua warna.Beliau telah menemui Hukum gerakan Newton.

Sir Isaac Newton pernah dikatakan gila kerana asyik memikirkan kenapa buah epal jatuh dari pokok. Masakan tidak gila, kalau kita tentu dah ambil buah epal tu dan makan. Buat apalah nak penat-penat fikir. Akibat gilanya itu wujudlah teori graviti.Sikapnya yang suka bertanya itu menjadikan dirinya seorang yang hebat!

Pernahkah anda mendengar cerita kesungguhan dan percubaaan demi percubaaan selepas kegagalan seorang manusia bernama Thomas Edison yang merupakan orang pertama mencipta lampu ? Tahukah kita bahawa dia juga pernah dikatakan gila dan tidak siuman oleh gurunya sendiri? Malah pernah dianggap ‘bodoh’ oleh rakan-rakannya.Sekolah pun hanya bertahan setakat 3 bulan dan kemudian dibuang sekolah kerana dianggap manusia pelik dan tidak boleh diajar.

Namun, sejarah manusia dan peradaban sudah pasti tidak boleh meminggirkan hasil usaha Thomas Edison ini, kerana tanpanya sudah pasti seluruh manusia bergelap tanpa cahaya lampu di malam hari!

*Albert Einstein: Orang Abad Ini !

Bagaimana dengan Albert Einstein pula? Tokoh yang dilahirkan pada tahun 1879 di Jerman dan berketurunan Yahudi ini adalah seorang ilmuwan Fizik tersohor yang tidak perlu saya perkenalkan lagi , beliau adalah ilmuwan terbesar dalam abad ke-20. Dia mengemukakan teori Relativiti dan juga banyak menyumbang kepada perkembangan ilmu mekanik kuantum, mekanik statistik, dan kosmologi.

Dia dianugerahkan Penghargaan Nobel dalam Fizik pada tahun 1921 untuk penjelasannya tentang kesan fotoelektrik dan “Pengabdiannya bagi Fizik Teoretis. Pada tahun 1999, Einstein dinamakan “Orang Abad Ini” oleh majalah Time. Untuk menghargainya, sebuah Persatuan dalam fotokimia dinamai Einstein, sejenis unsur kimia juga dinama Einsteinium , malah sebuah asteroid juga dinamakan Einstein pada tahun 2001.

Jangan fikir siapa dia, mari kita dengar apa yang dia kata . Berikut adalah pemikiran dan kata-kata Hikmah dari Einstein :

* Sesiapa yang tidak pernah melakukan kesalahan, maka dia tidak pernah mencuba sesuatu yang baru

* Saya ingin memahami pemikiran Tuhan; selebihnya adalah soal biasa saja.

* Pengetahuan tanpa agama adalah pincang. Sedang agama tanpa pengetahuan adalah buta.

* Belajarlah dari masa lalu, hiduplah untuk masa depan. Yang paling penting adalah tidak berhenti bertanya.

* Kecerdasan tidak banyak berperanan dalam proses penemuan. Ada suatu lompatan dalam kesedaran, ia disebut intuisi atau apapun namanya, penyelesaiannya muncul begitu saja dan kita tidak tahu bagaimana atau mengapa.
[ Bukankah dari ayatnya di atas Einstein juga pernah mengalami Eureka?]

* Sesuatu yang terindah yang kita alami adalah: Pengalaman misteri kita; Ia-lah sumber dari seni dan pengetahuan sejati.

* Agama Sejati adalah kehidupan nyata, hidup dalam jiwa manusia, hidup dalam kebajikan dan hidup dalam kebenaran, bagi semua.

* Tuhan tidak mempermainkan semesta seperti dadu.

* Kebahagiaan dalam melihat dan memahami merupakan anugerah terindah alam.

* Hakikatku adalah yang aku fikirkan, bukan apa yang aku rasakan.

* Orang-orang seperti kita, yang percaya pada Fizik, mengetahui bahawa perbezaan antara masa lalu, masa kini, dan masa depan hanyalah sebuah ilusi yang terus menerus ada.

* Mencari kebenaran lebih bernilai dibandingkan menguasainya.

* Usaha pencarian kebenaran dan keindahan merupakan kegiatan yang memberi peluang bagi kita untuk menjadi kanak-kanak sepanjang hayat.

* Aku Berfikir terus menerus berbulan bulan dan bertahun tahun, sembilan puluh sembilan kali dan kesimpulannya salah. Untuk yang ke seratus itu aku benar.

* Kebanyakan orang mengatakan bahwa kecerdasanlah yang melahirkan seorang ilmuwan besar. Mereka salah, karakterlah yang melahirkannya.

* Lebih mudah mengubah plutonium dari pada mengubah sifat jahat manusia.

* Bila mana jalan keluar terasa mudah, Tuhan-lah yang memberikan jawapan.
[Jadi , siapa kata Einstein tidak mempercayai Tuhan?]

* Hanya kehidupan bagi kehidupan lain sajalah, yang bermanfaat .
[apakah yang dimaksudkan Einstein itu? Adakah ia berkaitan dengan alam akhirat?]

* We cannot solve our problems with the same thinking we used when we created them.

* If you can’t explain it simply, you don’t understand it well enough.

* In the middle of difficulty lies opportunity.

*Once we accept our limits, we go beyond them.

*Anyone who has never made a mistake has never tried anything new.

* Learn from yesterday, live for today, hope for tomorrow. The important thing is not to stop questioning.

* Logic will get you from A to B. Imagination will take you everywhere.




Itulah antara beberapa kata hikmah dari seorang insan yang bernama Albert Einstein, jadi tidak hairan lah jika ramai manusia yang hidup selepasnya begitu mengkagumi pemikirannya biarpun Dia dikatakan juga seorang anggota freemason!

Rahsia otak Einstein menjadi objek kajian saintis terkini! :



Di atas adalah renretan kisah-kisah manusia hebat yang berlaku ratusan tahun dahulu.Semuanya sudah menjadi satu sejarah. Hari pun silih berganti dan pepatah ada mengatakan yang patah pasti akan ada tunas baru yang akan tumbuh silih berganti.

Mari kita baca pula kisah-kisah manusia hebat yang ada disekitar kita pula!

Satu Artikel Pilihan saya kali ini adalah dipetik dari blog hebat Saifulislam.com
Selamat membaca, Klik Sini :

Topik : Sukarnya Menjadi Genius

[Semasa kecil, emak beberapa kali mengingatkan saya tentang seorang kanak-kanak genius yang sudah mampu membaca surat khabar di usia tiga tahun. Mohd. Shukri Hadafi, nama diberi.

Kanak-kanak istimewa ini kemudiannya diambil berlakon oleh Jins Shamsuddin di dalam filemnya Menanti Hari Esok (1976/7) dan filem itu sentiasa menjadi titik yang mengingatkan saya kepada adanya seorang kanak-kanak pintar di usia yang hampir sama dengan saya, sebagai inspirasi untuk berjaya.

Tetapi Mohd. Shukri Hadafi hilang ditelan masa. Seolah-oleh tiada esok baginya (tajuk filem lain oleh Jins Shamsuddin pada 1979) dan tiba-tiba kita dikejutkan dengan berita pada akhir 90′an bahawa beliau bekerja sebagai penebar roti canai! Ada cerita yang memberitahu beliau menjual kelapa di Padang Terap, malah yang tidak enaknya ialah kisah beliau menjadi penagih dadah.

Anak angkat Prof. Diraja Ungku Aziz ini terbuang dari kelebihan yang pernah menjadikannya begitu terkenal di seluruh negara. Di mana silapnya?

ADI PUTRA

*Si Pintar Adi Putra

Ingatan kita kepada kanak-kanak pintar seperti Mohd. Shukri Hadafi kembali menghiasi muka depan akhbar Malaysia, apabila Adi Putra Abdul Ghani muncul dengan kelebihan luar biasanya di dalam Matematik.

Keupayaannya yang mengatasi tahap pelajar universiti di bidang itu, sejak awal-awal lagi telah mengheret Adi Putra ke pelbagai konflik. Dari sekolahnya di Sekolah Kebangsaan Matang Buluh, Bagan Serai, perjalanan penuh liku untuk mencari program yang sesuai dengan beliau berterusan ke International Islamic School di Gombak. UNISEL juga tidak pasti dengan perjalanan beliau, dan saya berdoa agar kelebihan yang ada pada adik Adi, tidak menjadi ’sumpah’ ke atasnya sebagaimana Mohd. Shukri Hadafi 3 dekad yang lalu.

Bertuahnya Chan Yao-ban, seorang lagi anak kecil istimewa kelahiran Malaysia. Beliau yang kini menjadi pemegang PhD termuda dari Universiti Melbourne. Di usia 21 tahun, Chan Yao-ban telah menjadi salah seorang tenaga pengkaji penting di Universiti Melbourne, mengendalikan projek kajian metod statistik bagi mengenalpasti anomaliti protein di dalam otak untuk mendiagnos schizophrenia dan bipolar disorder.

*Si Pintar Chan Yao ban

Biar pun lahir di Malaysia, Chan Yao-ban telah dibesarkan di New Zealand. Beliau melalui proses home schooling oleh ibunya, seorang Mikrobiologist dan ayahnya, pengarah di sebuah syarikat industri makanan terkemuka, Heinz.

Chan Yao-ban telah bertemu dengan ‘perjuangan’ yang bakal memanfaatkan kelebihannya.

Apakah seseorang itu perlu ‘melarikan diri’ dari Malaysia, demi mencari program yang boleh menyokong kanak-kanak genius seperti Chan Yao-ban , Adi Putra dan Mohd. Shukri Hadafi? Mengapa kita masih tidak tentu arah dalam menentukan jalan yang betul untuk Adi Putra? Tidakkah kita belajar sesuatu daripada apa yang berlaku ke atas Mohd. Shukri Hadafi, juga tercabar oleh kejayaan Chan Yao-ban ?

SUFIAH YUSOF

Soalan ini menjadi lebih meruncing dengan kegemparan kita terhadap seorang lagi anak Malaysia yang genius, Sufiah Yusof.

Beribukan Halimahton dari Muar dan bapanya, Yusuf, berasal dari Pakistan, Sufiah Yusuf mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila beliau diterima masuk ke pengajian di Universiti Oxford pada usia 13 tahun. Namun pada usia 15 tahun, Sufiah telah menghilangkan diri dari kampus hingga kemudiannya ditemui di Bournemouth, bekerja di sebuah hotel di sana.

Enggan pulang kepada keluarga, yang disifatkannya seperti hidup dalam neraka, Sufiah diletakkan di bawah jagaan sebuah pertubuhan sosial untuk kembali penyambung pengajian sarjananya di Oxford. Hidup Sufiah terus dilambung ombak, apabila perkahwinannya pada usia 19 tahun dengan Jonathan Marshall, runtuh hanya kira-kira setahun selepas diijabkabulkan.

Beberapa bulan yang lalu, ingatan kita kepada Sufiah Yusuf dikejutkan dengan berita buruk apabila bapanya ditangkap atas dakwaan mencabuli dua kanak-kanak berusia 15 tahun yang mengikuti kelas tusyen accelerated learing kendaliannya.

Dan segala-galanya mencapai kemuncak, apabila wartawan akhbar News of the World (NOTW), berjaya mengesan Sufiah Yusuf, yang terhumban ke lembah hitam dengan nama samarannya Shilpa Lee, sebagai pelacur di Manchester dengan bayaran £130!

Sufiah Yusuf yang begitu sopan, tertib dan berada di dalam segala kurniaan ketika di awal usianya di St. Hilda’s College yang berprestij itu, menempuh kehidupan yang tidak menentu hingga berakhir dengan sesuatu yang tidak terbayangkan fikiran kita mengenainya. Seorang lagi kanak-kanak genius (muslim? melayu?) menjadi ‘mangsa’.
Apakah semua ini?

JOHN NASH

Masih ingatkah kita kepada John Forbes Nash? Penerima anugerah Nobel bagi kehebatan Matematiknya di Universiti Princeton ini, menempuh dekad-dekad yang penuh liku akibat masalah schizophrenia yang mengongkong kehidupannya. Ia adalah suatu contoh yang amat besar tentang perlunya suatu pendekatan di luar kotak, untuk menampung kegeniusan seorang seperti John Forbes Nash ini. Anda boleh mendalami kisah mengenai Nash dengan menonton filem favourite saya, A Beautiful Mind.



Pencapaian IQ yang luar biasa sememangnya lazim terkait dengan ketidak sihatan mental. Hal ini diperkatakan oleh Daniel Martin di dalam artikelnya yang tersiar di Daily Mail bertarikh 11 Februari 2007.

Katanya,

More than half a million people in the UK are believed to suffer from a form of the condition, which causes disordered ideas, beliefs and experiences. The most common ages for it to develop are 15-25 in men and 25-35 in women.

Kerana itu, saya sering khuatir dengan anak-anak muda yang memiliki idea yang hebat, tetapi memiliki ketidak seimbangan sikap yang sesuai dengan kehebatan itu. Teringat saya kepada sebuah ceramah berkaitan masalah ini yang disampaikan di HUKM tidak lama dulu. Penceramah itu memberitahu bahawa statistik menunjukkan, di mana-mana sahaja bilik atau dewan tempat manusia berkumpul, maka 1/4 daripadanya mempunyai masalah berkaitan mental!

Saya masih ingat kepada seorang lagi kanak-kanak genius, Chiang Ti Ming, yang telah menempuh episod hidup yang luar biasa. Menjadi pelajar termuda di California Institute of Technology (CalTech) lebih dua dekad yang lalu, Chiang Ti Ming telah meninggal dunia pada awal Januari 2007 di Seremban, selepas khabarnya mengalami tekanan perasaan yang amat teruk hingga dimasukkan ke HKL pada tahun 2002.

PENGAJARAN

Semua ini harus menjadi pengajaran buat kita.

Pengajaran buat kerajaan untuk memikirkan tanggungjawabnya terhadap pendidikan.

Atau mungkinkah segala ini membuktikan bahawa kerajaan sepatutnya tidak campur tangan dalam soal pendidikan sebagaimana yang terakam dalam sejarah tamadun Islam yang panjang itu?

Sejarah Islam merakam ramai tokoh yang genius di zaman kanak-kanaknya. Figura seperti al-Syafie, al-Ghazzali, al-Nawawi, malah tokoh lewat era Moden seperti Muhammad Abduh dan Badi’ al-Zaman Said al-Nursi, telah mempamerkan ketokohan mereka semenjak di usia kecil.

Apakah rahsia mereka?

Saya fikir, persoalan ini memerlukan kepada kajian yang mendalam. Namun, sepintas lalu kita akan dapat melihat bahawa tokoh-tokoh ini mendapat pendidikan awal mereka dari sentuhan ibu bapa. Proses pendidikan juga tidak berlaku di sekolah-sekolah rasmi milik pemerintah, sebaliknya setiap mereka dibesarkan dengan model pendidikan yang tersendiri lagi khusus.

Malah di era Moden, tokoh seperti al-Tahtawi dan Muhammad Abduh berdepan dengan krisis diri semasa bersekolah di sekolah kerajaan, sehinggalah mereka melarikan diri dan mencari model sendiri yang lebih responsif kepada keperluan mereka dan keperluan semasa.

BUAT PENDAKWAH

Pengajaran juga buat para pandakwah. Bahawa usaha memahami masalah manusia bukannya seperti kelakuan pembaris yang hanya tahu melukis lurus.

Rayau-rayau saya di laman sesawang, menemukan saya dengan komen-komen mudah ramai pihak yang secara simplistik menyalahkan Sufiah dengan alasan genius beliau hanya pada IQ tetapi lemah spiritual. Tentu sahaja saya tidak menolak peranan spiritual dan hubungkaitnya dengan depression. Tetapi menyarankan secara mudah bahawa agama sebagai penyelesaian, harus lebih diperincikan lagi.

Perlu diingat bahawa antara simptom masalah mental berkaitan depression lazim terkait pula dengan obsesi seseorang kepada agama!

Malah mungkin sisi ini diperlukan untuk kita menilai semula beberapa perlakuan ganjil genius Muslim di dalam sejarah untuk menjustifikasikan perihal yang berlaku ke atas mereka.

Apabila kegagalan hidup berlaku ke atas sesetengah manusia, apatah lagi insan genius seperti Mohd. Shukri Hadafi, Sufiah Yusof malah John Nash dan Chiang Ti Ming, jangan terlalu dangkal memberikan alasan ‘lemah didikan agama’ atau ‘hidup tidak mengikut sunnah’.

Sesungguhnya agama mengajar manusia untuk lebih bertadabbur dan bertafakkur tentang peranannya sebagai khalifah, pentadbir alam, bahawa manusia itu sangat seni kehidupannya. Ketelitian dalam mencari jalan mengacu dan membentuk manusia, adalah syarat survival ummah.

Keperluan melihat aspek psikologi manusia, harus diterima sebagai sebahagian daripada tuntutan agama itu sendiri.

Saya mengangkat tangan memohon doa untuk masa depan yang lebih baik untuk adik Adi Putra yang sedang menyusuri jalan yang penuh liku itu.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur ]]



Sebagai kesimpulannya, Eureka adalah anugerah Ilahi, Namun perlukah kita menjadi seorang yang Genius dahulu , barulah kita dapat mengalami pengalaman Eureka? Tidak adakah cara lain atau apakah dalam ajaran agama kita islam mempunyai cara bagaimana ingin selalu berEureka ini?

Jawapannya sudah pasti : ADA! , dalam Agama Islam yang sempurna ini, dan dalam ajaran Nabi Muhammad SAW sebagai Manusia Contoh dan Ikutan yang paling sempurna, Pasti ada pelbagai kaedah untuk mencapai Eureka(Ilham), malah untuk mencapai apa yang lebih hebat dari Eureka seperti Karomah, Kasyaf dan Laduni pun ada!!! Tapi bagaimana???

Nabi Muhammad saw mengalami pengalaman yang lebih hebat dari Eureka, iaitu ketika Israk Mikraj!

Kata Kunci : Kembali kita kepada Al-Quran, Zikrullah, Solat.

Nantikan siri CKKAZ II- Bhg 5 nanti !

Wassalam!

Sangtawal Sakranta.


5 comments:

Olllaa said...

salam;
org yg kaji/jumpa graviti bukan isaac newton tp sarjana islam yg buat kajian 600 thn lebih awal drd newton tp x ingt nama plk....

isaac newton temberang bnyk

Sangtawal Sakranta said...

Salam buat Olllaa,

Terima kasih atas komen,
Sapa nama dia? tak ingat pulak???
he he he :) kalau jumpa nama dia nanti , tolong bagi info untuk dikongsi bersama kat sini ok!

ok, ingat kata kunci CKKAZ ini : Kembali kita kepada Al-Quran!

Kembali kita kepada Al-Quran, lebih awal dari apa yang saudara katakan itu lagi! lebih kurang 1400 tahun lalu...

Firman Allah dalam Surah Al Insyiqaq ayat 1 hingga 4:

"Apabila langit terbelah. Dan patuh kepada Tuhannya, dan sudah semestinya langit itu patuh. Dan apabila Bumi diratakan. Dan dilemparkan apa yang ada di dalamnya dan menjadi kosong."

Yang dimaksudkan bila dilemparkan itu ialah segala objek yang berada di atas bumi akan terpelanting menjauhi bumi, maka tinggallah bumi itu kosong!

Maksud langit terbelah ialah bila hukum graviti itu hilang!

Mungkin ada pembaca yang boleh menghuraikan ayat diatas dengan lebih baik lagi, saya alu-alukan.

Banyak lagi ayat Quran yang menyebut tentang gunung-ganang berterbangan, salah satunya ialah Surah Al Ma'arij ayat 9 dan Surah Al Muzammil ayat 14.

Satu lagi ayat Quran Surah Al Namlu ayat 88 bermaksud:

"Dan kamu lihat gunung-gunung itu, kamu sangka ia tetap di tempatnya, padahal ia berjalan sebagai jalannya awan. (Begitulah) perbuatan Allah yang membuat dengan kukuh tiap-tiap sesuatu, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."

Al-Quran sejak dahulu lagi menyebut gunung "berlari" sebagaimana awan!bukankah itu hukum fizik untuk diteroka oleh umat Muhammad saw!

Cuba kita fikir apa akan terjadi jika Bumi berhenti bergerak, adakah gunung akan lagi berada di tempatnya? Sudah tentu tidak kerana gunung juga akan turut terlepas ke angkasa bahkan permukaan bumi akan menjadi rata!!

Disebabkan Bumi bergerak/berputar maka gunung berada kukuh di atas permukaan Bumi. Ayat 88 Surah Al Namlu memang berkait dengan ayat 1 hingga 4 Surah Al Insyiqaq dan ayat 9 Al Ma'arij serta ayat 14 Al Muzammil dan ketiga-tiga surah ini jelas menonjolkan konsep graviti dengan begitu jelas sekali!

wassalam!

hohhhooo said...

einstein mmg genius tp isaac newton x
bnyk tiru org!!! bodo dia tuuu

mcm mn laaa dia buleh dok kt senarai org ke-2 terpengaruh di dunia x lyk lngsg

hgyyou said...

org yahudi bngsa plg bijak skali...

bangsa aku=0

sedih btoi :(

kalo nk hrp panglima awang jaaa ehmmm

Sangtawal Sakranta said...

salam buat hohhhoo0,

Nama awak bunyi macam aha eureka je! :)

Kalau ada fakta pasal newton tu, kongsi-kongsi la kat sini jugak!

Kebijaksanaan itu terletak kepada penilainya!itu sebabnya sejarah selalu ditulis oleh mereka yang menang!


Salam buat hgyyou,

Memang orang yahudi mempunyai genetik yang bijak, itu sebab bangsa israel selalu disebut dalam Al-Quran, tetapi kebijaksanaan mereka digunakan untuk menolak kebenaran islam!

mereka tidak boleh menerima Nabi akhir zaman itu dari bangsa arab, bagi mereka bangsa lain bertaraf rendah, hanya bangsa mereka yang paling baik dalam segala segi!

Jadi janganlah terlalu bersedih dengan bangsa sendiri! kesedihan melampau akan mewujudkan kecelaruan emosi dan akal, seterusnya menjadi depression.Tekanan berpanjangan akan melemahkan jiwa.Bangsa yang jiwanya lemah akan dipijak-pijak dan tidak akan berjaya!

Jangan harapkan orang lain saja membangunkan bangsa dan jati diri bangsa kita, kitalah yang patut berjuang bersama!

wassalam!