Tuesday, February 03, 2009

Hikayat sangtawal (3) - Champa




Champa :
Kerajaan Rumpun Melayu Terawal?
192M – 1832M


Champa (abad ke-2M hingga ke-19M1) merupakan kerajaan Melayu kuno terawal yang ditubuhkan. Pada abad yang sama kerajaan Hindu Langkasuka (abad ke-2 hingga ke-9) yang keluasannya meliputi kawasan-kawasan dari Segenting Kra (dari selatan Senggora [Songkhla] iaitu keseluruh Patani) hingga ke Kedah Lama dan Kelantan, muncul sebagai kerajaan Melayu kedua dan maju berkembang sebagai pusat pertukangan dan pengeluar barang-barang terutamanya daripada perak dan barang-barang keluaran Langkasuka terkenal hingga ke semenanjung Arab.


Di Sumatera pula pada abad ke-7 terdiri kerajaan Buddha Srivijaya (abad ke-7 hingga ke-12) yang berpusat di Palembang sebagai kuasa Melayu yang agak berbeza daripada Champa dan Langkasuka kerana kekuatannya bukan dari segi peranannya sebagai pusat dagangan, tetapi sebagai kerajaan Melayu pertama yang mementingkan kuasa ketenteraan daripada perdagangan.



Kemudian diikuti oleh Perlak, sebuah pusat dagang penting di Sumatera di kawasan yang kini di dalam Propinsi Aceh, diasaskan dalam tahun 804 (abad ke-9) dan merupakan Kerajaan Melayu-Islam pertama di rantau ini. Dengan munculnya kekuatan Srivijaya timbullah perebutan kawasan dan jajahan dan pada abad ke-9 Langkasuka jatuh ke tangan Srivijaya dan bermulalah pengembangan jajahan Srivijaya ke Tanah Melayu (termasuk juga ke Pahang dan Terengganu).


Kejatuhan Langkasuka diganti dengan terdirinya Patani yang kemudiannya dikenal sebagai Patani Darus Salam. Patani yang tekenal sebagai pusat dakwah Islamiah serta mempunyai ramai ulamak-ulamak yang terkenal di serata dunia Islam, berkembang maju sehingga pertengahan abad ke-19 apabila ianya jatuh ke tangan Siam. Proses perebutan wilayah dan dominasi kuasa ini berterusan apabila kerajaan Hindu Majapahit di Pulau Jawa (abad ke-10 hingga ke-14) muncul sebagai kekuatan yang baru dan akhirnya pada abad ke-12 Srivijaya dijatuhkan oleh Majapahit. Dalam kesebokan Majapahit dengan misi-misi tenteranya, pada 1403 di Tanah Melayu muncul pula Kerajaan Melayu (pada awalnya Hindu dan kemudiannya bertukar kepada Islam) yang baru di Melaka (awal abad ke-15 hingga ke-16).


Sesuai dengan panggilannya oleh pedagang-pedagang Arab dengan nama Mulaqat yang bermakna ‘Tempat Berhimpun Pedagang-pedagang’, Melaka termasyhur sebagai pusat dagangan terbesar di dunia ketika itu, sehinga pernah dilaporkan sebagai mempunyai simpanan emas terbesar di dunia. Dengan kejayaan yang dicapai oleh Melaka, ia tidak sunyi daripada gangguan Majapahit.


Akan tetapi seperti mana dikisahkan dalam Hikayat Hang Tuah, pahlawan Majapahit yang termasyhur, Adi Taming Sari telah dikalahkan oleh Hang Tuah dalam satu pertarungan sehingga keris keramatnya yang terkenal dengan segala kesaktian telah dapat dirampas oleh Pahlawan Melaka itu. Dengan itu lenyaplah ambisi Majapahit ke atas Melaka. Majapahit jatuh pada 1478 dan terdiri pula kerajaan Islam di Demak. Melaka pula jatuh ke tangan penjajah Portugis, pada 1511.


Ketahanan Champa sebagai sebuah kerajaan melampaui satu ruang masa yang lama meskipun ianya tidak sunyi daripada serangan-serangan dari negara-negara jirannya. Berbeza dengan kerajaan-kerajaan Melayu lain yang terus hancur apabila dikalahkan, Champa terus wujud sebagai kerajaan meskipun keluasan kawasan pemerintahannya semakin mengecut dari masa ke masa.


Champa sering disebutkan dalam sejarah kerajaan-kerajaan Melayu lama, akan tetapi tak banyak diceritakan tentangnya. Dalam sastera-sastera Melayu pula Champa banyak dikaitkan dalam mitos-mitos sehingga gambaran yang diperolehi adalah seolah-olah negeri ini terletak di kayangan atau pun ia hanya negara khayalan sasterawan dahulukala. Sejarah Champa penting dalam kajian tentang ulamak-ulamak Patani serta dalam mengkaji susur galur keturunan Wan, Nik, Long dan Tuan.


Negara Champa (chäm-’pä) sering dikaitkan terutamanya dengan sejarah-sejarah kedatangan Islam ke Patani, Malaysia, Jawa, Sulawesi dan Sumatera. Akan tetapi banyak tanda-tanya dan kekeliruan yang timbul tentang Champa disebabkan terlampau sedikit maklumat yang terdapat tentang kerajaannya dan orang-orang Cham. Ada yang berpendapat bahawa Cham itu sebuah Negara.


Qaul-qaul yang lain pula berpendapat bahawa Champa adalah sebuah negeri yang ditubuhkan oleh sekumpulan orang Patani bersama dengan mubaligh-mubaligh dari Yaman dan Parsi, di suatu kawasan yang hampir dengan Siam dan Kemboja. Ramai juga yang menyangka bahawa Champa adalah Kemboja atau Cambodia, dan malahan ada yang berpendapat bahawa ianya sebuah negeri di India. Sir Stamford Raffles, dalam ‘History of Java’ yang dikarangnya pada 1817 berpendapat bahawa Champa merupakan sebuah tempat yang terletak di Acheh, yang dikenali dengan nama Jeumpa.


Lin Yi


Rekod terawal tentang negara kaum yang didirikan oleh kaum Cham, terdapat dalam manuskrip-manuskrip China yang dicatat oleh dua orang wakil Maharaja Wu, bernama Kang Thai dan Zhu Ying, bertarikh pertengahan abad ke-3 Masihi. Rekod itu adalah keterangan tentang Kerajaan Funan dan dinyatakan bahawa ‘Kerajaan Funan terletak lebih dari 3000 li3 ke barat Negara Lin Yi’.


Kerajaan ini yang di gelar oleh pengkaji sejarah sebagai Champa dikenali di kalangan orang China sebagai Lin Yi (yang Bermakna ‘hutan yang penoh dengan keganasan’); dan L�m-Âp, Ho�n-Vúòng, dan Chi�m-Thánh oleh orang-orang Vietnam. Adalah dipercayai bahawa kerajaan ini wujud semenjak tahun 192M di bawah pemerintahan raja Hindu bernama Sri Mara. Pengkaji sejarah menganggap Lin Yi yang dikenali juga sebagai Indrapura atau Angadvipa, sebagai negara Champa yang terawal.


Ada pendapat yang mengatakan bahawa kerajaan Lin Yi bermula semenjak 137M setelah kejatuhan Dinasti Han di negara China. Akibat daripada kejatuhan ini maka Pegawai Tinggi Han yang mentadbir wilayah tersebut telah mendirikan sebuah kerajaan di kawasan yang sekarang ini terletaknya bandar Hue di Vietnam dan melantik dirinya sebagai raja. Pada ketika itu kawasan itu diduduki oleh suku-suku yang senantiasa berperang dengan kawasan-kawasan jajahan China di Tonkin. Suku-suku ini dikenali sebagai puak-puak Cham dan adalah daripada rumpun Malayo-Polynesian yang berbudaya India (’Indianised Culture’).


Negara Champa

Terdapat banyak perkaitan sejarah, budaya dan agama antara Lin Yi dan wilayah-wilayah lain yang didiami oleh orang-orang Cham. Sekitar 400M terbentuk satu persekutuan antara suku-suku tersebut dan terdirilah lima wilayah atau negeri yang dikenali sebagai Nagara Champa. Disebabkan pengaruh India dan budaya Hindu terlampau kuat di kalangan orang Cham maka kelima-lima wilayah tersebut dikenali mengikut tempat-tempat di India, iaitu:
� Indrapura (Lin Yi),
� Amravati (Quang Nam),
� Vijaya (Binh Dinh),
� Kauthara (Nha Trang) dan
� Panduranga (Phan Rang).


Malahan nama Champa juga adalah sempena atau mengikut nama sebuah kerajaan Hindu di India Selatan. Penyatuan kelima-lima wilayah ini berlaku di atas kebijaksanaan Raja Bhadravarman I yang juga menjadi raja pertama yang memerintah persekutuan lima wilayah ini.


Disebabkan kelima-lima wilayah tersebut adalah di pesisir laut maka Champa mempunyai kekuatan dari segi angkatan laut. Mereka terkenal sebagai pelayar dan pedagang laut dan juga sebagai lanun. Berbeza dengan jiran-jiran mereka, Kaum Cham lebih berjaya dalam bidang perdagangan laut dan tidak dalam pertanian. Ekspot utama mereka adalah kayu gaharu yang termasyhur keseluruh dunia pada ketika itu.


Pada abad Ke-5M Lin Yi atau Champa telah menjelma sebagai satu kuasa yang kuat sehingga dapat menyediakan sebanyak lebih seratus kapal-kapal untuk dihantar menyerang pantai-pantai Sino-Vietnam di utara. Tetapi malangnya mereka tidak dapat menundukkan kuasa China yang lebih kuat dan pihak China telah menyerang balas. Akibatnya berlakulah penjarahan terhadap ibu negara Champa di Hue dan tentera China telah merampas lebih 100,000 pound emas tulen sebagai rampasan perang.

Kaum tertua


Meskipun kaum Cham merupakan kaum tertua di Indo-China, terlalu sedikit maklumat yang terdapat tentang kerajaan dan tamadun mereka. Mereka merupakan pewaris tradisi yang merangkumi satu zaman yang melebihi dua ribu tahun terdahulu. Tamadun mereka lebih tua dan awal daripada kerajaan Kemboja (Cambodia) yang bermula hanya sekitar 550M dan juga sebelum kerajaan Vietnam bermula sebagai satu kuasa penjajah ke kawasan-kawasan di selatan Delta Sungai Merah di Tonkin yang hanya bermula pada pertengahan abad ke-10M.


Kaum Cham dihukum Tuhan?


Pada kemuncak kekuasaan, sekitar 12 abad dulu, kaum Cham menguasai tanah-tanah yang subur bermula di Hue Utara di Annam Tengah sehingga Delta Mekong di Cochin China. Kawasan-kawasan ini kini menjadi sebahagian daripada negara Vietnam yang terdapat bandar-bandar Da Nang dan Nha Trang. Kesan-kesan Cham yang tinggal kini hanyalah rumah-rumah berhala sepi yang penuh misteri yang di kenali sebagai Menara Cham (’Cham Towers’).



Kehilangan negara atau kerajaan Champa dari bumi ini seolah-olah merupakan satu keganjilan kerana yang tinggal hanyalah warisan-warisan sejarah dan keturunan yang berselerak. Apakah agaknya bala yang telah diturunkan ke atas mereka sehingga menjadi seakan-akan negaranegara yang dihancurkan (’Perished Nations’) yang disebut dalam Al-Quran. Ke mana perginya keturunan mereka?

Siapakah Kaum Cham?


Mengikut sejarah Cham, kebudayaan Hindu lebih terserlah di kalangan kaum Cham disebabkan mereka merupakan kaum pedagang dan pelaut yang mempunyai sejarah perhubungan yang lama dengan India dan Jawa. Kedua-dua negara tersebut adalah pusat agama Hindu.


Orang-orang Cham berbahasa Malayo-Polynesian (Austronesian) berbeza dengan jiran-jiran mereka (Khmer dan Vietnam) yang berbahasa Mon-Khmer atau Austroasiatic. Dari segi perbandingan bahasa pula bahasa Cham lebih mirip kepada bahasa-bahasa di kepulauan Nusantara dan Pasifik terutamanya bahasa-bahasa yang dipertuturkan di Malaysia, Kalimantan, Sumatera, Java, Bali dan di kepulauan Indonesia lain di Lautan Pasifik.


Bahasa, Perawakan kaum Cham


Bahasa Cham dipertuturkan juga di kawasan pergunungan di Banjaran Annam atau kawasan pergunugnan Troung Son. Suku orang-orang bukit seperti Chru, Ed�, Hroy, Jörai, Rhade (Koho), dan Raglai menggunakan bahasa yang banyak persamaan dengan bahasa Cham. Dengan sebab ini mereka juga diiktiraf juga sebagai orang-orang Cham.


Dari segi perawakan pula, kaum Cham lebih mirip kepada keturunan Melayu dan Jawa dan ada teori-teori bahawa asal mereka adalah pendatang dari tanah-tanah tersebut. Malahan terdapat persamaan adat di antara orang Cham dan orang Pagar Ruyung atau Minangkabau, di mana kaum perempuan mempunyai kuasa adat dan perwarisan (matriarchal system), yakni keturunan menurut garis Ibu, sebagai salah satu ciri khas kebudayaan. Sistem materilinial ini telah membawa konsekwensi kepada budaya meneroka atau berkelana yang selalunya diamalkan oleh kaum lelaki.


..Ada pula pendapat bahawa orang-orang Aceh adalah daripada keturunan orang Cham. Dalam perkembangan agama meskipun Hindu Brahmana menjadi agama rasmi kerajaan Champa, terdapat juga perkembangan dan pengaruh agama Buddhisma Mahayana.



Dalam sejarah Champa, perhubungan dan pertalian antara Champa dan kerajaan-kerajaan di Indonesia, seperti Sri Vijaya atau Majapahit adalah berdasarkan kepada agama Hindu yang menjadi kesamaan antara mereka. Dan perhubungan dengan Sailendra (di Jawa Tengah) pula adalah di atas pertalian agama Buddhisma Mahayana yang pada ketika itu berpusat di Borobudur. Kerajaan Baru Champa di Panduranga, adakah ini kerajaan Islam Champa?



Dengan kejatuhan Vijaya pada 1471 maka ibu negara Champa berpindah untuk kesekian kalinya dan kali ini ke Panduranga. Mengikut sejarah, semenjak perlantikan Po Tri Tri sebagai raja untuk keseluruh Champa dan dengan perpindahan beliau ke Panduranga maka bermulalah perkembangan Islam secara besar-besaran di Champa.


Bahasa Sanskrit yang selama ini menjadi bahasa rasmi Champa juga tidak digunakan lagi. Semenjak era inilah Champa bertukar corak. Tidak pasti sama ada Champa terus menerus diperintah oleh raja Islam sehingga kejatuhannya ke Vietnam, akan tetapi berdasarkan kepada keunikan sistem pentadbiran yang diamalkan di Champa di mana terdapat pelbagai kerajaan dalam satu wilayah pada masa yang sama, maka berkemungkinan bahawa ada raja-raja Islam yang memerintah Champa pada zaman tiga abad selepas kejatuhan Vijaya.



Mengikut rekod sejarah Johor, pada 1594 kerajaan Champa telah menghantar bala tenteranya untuk membantu Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II Sultan Johor (memerintah: 1571 � 1597) dalam peperangannya dengan Portugis. Daripada rekod-rekod Belanda pula terdapat catatan bahawa perhubungan baik antara Kerajaan Melayu Johor dan Champa wujud pada 1607, iaitu sewaktu Champa di bawah pemerintahan Po Nit dan Johor pula di bawah Sultan Alauddin Riayat Shah II (memerintah: 1597 � 1614). Ini tak mungkin berlaku sekiranya tidak ada persamaan atau ikatan yang kuat antara kedua negara tersebut. Apakah asas setiakawan antara mereka? Adakah kerana mereka menganuti agama yang sama atau disebabkan oleh persamaan rumpun bangsa?


Daripada rekod-rekod yang terdapat di Belanda pula, terdapat maklumat yang meperkukuhkan pendapat bahawa pada tiga abad tersebut, Raja Champa adalah terdiri daripada raja yang beragama Islam dan Bahasa Melayu pula digunakan dengan meluas di Champa. Terdapat sepucuk surat yang dikirimkan oleh Raja Champa pada 1680 kepada Penguasa Syarikat Dutch East Indies (’VOC’) di Betawi, dalam bahasa Melayu.


Raja Champa sewaktu itu, Po Saut, di dalam surat tersebut telah menggelarkan dirinya sebagai ‘Paduka Seri Sultan’. Dengan gelaran ini sebagaimana yang diterangkan, besar kemungkinan bahawa kedudukannya adalah sebagai ‘Raja kepada Raja-raja di Champa’! Pada zaman itu, pengaruh Bahasa Melayu di negara-negara pesisiran pantai di Asia Tenggara sungguh meluas sehinggakan Raja Kemboja juga menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa diplomatik dalam perhubungan surat menyuratnya dengan pihak-pihak Portugis dan Belanda.

Kelantan ada kaitan Champa?

Ini satu kemungkinan sekiranya berdasarkan kepada kewujudan pertalian antara Kelantan dan Champa semenjak dahulu kala. Di Kelantan terdapat nama-nama yang ada kaitan dengan Champa seperti Pengkalan Chepa, Kampung Chepa dan Gong Chepa; dan nama-nama pakaian dan perhiasan seperti tanjak Cepa, kain tenun Cepa, sutera Cepa, sanggul Cepa dan keris Cepa. Masjid Kampung Laut, yang merupakan antara masjid yang tertua di Malaysia juga dipercayai dibina oleh orang-orang Champa yang singgah di Kampung Laut dalam perjalanan ke Demak di pulau Jawa pada awal abad ke-16.



Malahan ada sebuah hikayat Cham yang bertajuk Nai Mai Mang Makah (Puteri dari [Serambi] Mekah) yang meriwayatkan tentang seorang puteri diraja Kelantan (Serambi Mekah) yang datang ke Champa untuk mengajak seorang Raja Champa kepada Islam.



Artikel oleh : faizn in From the lost Malay Kingdom of Champa

Sumber : http://faizn.blog.friendster.com/category/from-the-lost-malay-kingdom-of-champa/

1 comment:

urangCam said...

(1) Suku orang-orang bukit seperti Chru, Ed�, Hroy, Jörai, Rhade (Koho), dan Raglai menggunakan bahasa yang banyak persamaan dengan bahasa Cham. Dengan sebab ini mereka juga diiktiraf juga sebagai orang-orang Cham......

Kaum Rande bkn kaum Kahaow. Kahaow kumpulan etnik yang lain pula. Ede ialah Rande di dalam Vietnam, smentara Kahaow dikenali sbg Chil. Org2 bukit ialah rakyat Campa, tetapi bkn org Cam, mereka diiktiraf sebagai bangsa Campa, tetapi mereka bkn org Cam. Sama hal dgn orang Iban yg diiktiraf sebagai bangsa Malaysia tetapi mereka bukan orang Melayu.


(2) Mengikut rekod sejarah Johor, pada 1594 kerajaan Champa telah menghantar bala tenteranya untuk membantu Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II Sultan Johor (memerintah: 1571 � 1597) dalam peperangannya dengan Portugis. Daripada rekod-rekod Belanda pula terdapat catatan bahawa perhubungan baik antara Kerajaan Melayu Johor dan Champa wujud pada 1607, iaitu sewaktu Champa di bawah pemerintahan Po Nit dan Johor pula di bawah Sultan Alauddin Riayat Shah II (memerintah: 1597 � 1614). Ini tak mungkin berlaku sekiranya tidak ada persamaan atau ikatan yang kuat antara kedua negara tersebut. Apakah asas setiakawan antara mereka? Adakah kerana mereka menganuti agama yang sama atau disebabkan oleh persamaan rumpun bangsa?........

Campa diserang perlahan2 oleh Yawana (Vietnam) bmula pd abad ke-10. Oleh itu ramai rakyat Campa yang lari ke kawasan lain termasuk kepulauan Melayu dan Sumatera. Dan di situ mereka menabur bakti pula kpd tanah tumpangan. Hakikat ini boleh didapati daripada sajak dalam Bahasa Melayu ttg perang di Sulawesi Selatan oleh orang Makasar terhadap Belanda pada thn 1660. Utk maklumat lanjut sila rujuk hasil kajian Abdul Rahman Al-Ahmadi.