Thursday, October 29, 2009

CKKAZ II - Bhg 1 : Pengembaraan Seorang Hamba.



Tajuk : CKKAZ II- Bhg 1 : Pengembaraan Seorang Hamba

Artikel Oleh : Sangtawal Sakranta.


Intro :

Jika Siri CKKAZ – I (Cabaran Kepada Kebangkitan Akhir Zaman) yang lepas berkisar kepada betapa pentingnya mempelajari ilmu terutamanya ilmu sains dan teknologi di zaman yang serba maju dan canggih ini tanpa meninggalkan ilmu-ilmu asas agama agar Bangsa Melayu Islam tidak ketinggalan atau terus dihanyutkan oleh arus kejahilan dan kemunduran, kini siri CKKAZ – II saya teruskan lagi atas rasa tanggungjawab demi survival sebuah bangsa yang amat saya sayangi ini - iaitu Bangsa Melayu- Islam untuk menghadapi era kebangkitan akhir zaman.

Secara ringkasnya siri CKKAZ II ditulis dengan cara saya yang tersendiri dan akan dipecahkan kepada beberapa bahagian pula untuk mengupas ciri-ciri yang perlu ada pada setiap orang melayu-islam yang menggelarkan diri mereka sebagai seorang pejuang sejati , memahami secara menyeluruh dari mana sebenarnya asal kita, untuk apa tujuan kita dilahirkan dan kemana akhirnya kita akan dikembalikan .Siri ini akan menyentuh juga serba sedikit pendekatan atau bagaimana untuk mengenal diri kita sendiri dari perspektif tasawuf dan ilmu sains, mengungkap sejarah tokoh-tokoh islam yang pernah terbilang dan sekaligus menyuntik semangat juang dan memantapkan jati-diri seorang insan yang bergelar melayu -islam. Kesimpulannya, siri CKKAZ II akan membangunkan alter-alter tersembunyi dan pelbagai kecerdasan yang sedia ada dalam diri manusia Melayu dari segi Fizikal, Emosi, Spiritual dan Ketuhanannya selari dengan petunjuk dan Mukjizat Al-Quran yang mulia.


Bhg -1 : Pengembaraan Seorang Hamba.




Pernahkah saudara mendengar kata kata hikmat Ahli sufi ini :

* Awal agama(hidup) itu mengenal Allah,

* Kenal Allah maka kenal diri,

* Kenal diri maka kenallah Tuhan,

* Kenal Tuhan Binasalah diri,

* Bila binasa diri,nyatalah Tuhan.

Untuk mengenali diri kita, dalam artikel ini saya mengambil jalan tengah iaitu ingin memulakannya dengan mengetahui secara berhikmah awal kejadian kita dalam kandungan ibu iaitu bagaimana proses persenyawaan benih ibu (ovum) dan bapa (sperma) berlaku sehinggalah terbentuknya embrio dan seterusnya janin manusia dalam kandungan ibu dan berlakunya tiupan Ruh Ketuhanan.

Sesungguhnya pengembaraan ini adalah satu pengembaraan yang amat panjang, bermula di alam arwah sewaktu lafaz “KUN” lagi, malah semuanya itu sudah ada dalam Ilmullah.

Seperti firman Allah swt dalam surah Al Baqarah : 156 bermaksud :

"Daripada Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali"


Maka , bermula dari alam – alam yang tinggi kita pun mengembara sehingga ke alam Mithal iaitu kandungan bapa dan seterusnya ke alam Ajsan iaitu kandungan ibu kita mengikut ketentuan atau fitrah yang telah ditetapkan oleh Allah swt sebagai Yang Maha Pencipta dan Yang Maha Bijaksana



Firman Allah swt dalam surah Ar-Rum, ayat 30 yang bermaksud :

“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah); (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”

*Lihat bentuk dan kedudukan Embrio manusia seperti orang yang sedang sujud/Tunduk.

Baginda rasulullah saw juga pernah bersabda yang berbunyi :

“Setiap yang lahir itu, dilahirkan dengan keadaan Fitrah”
( Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Apakah maksud sebenar Fitrah itu saudara ?

Tafsiran fitrah mengikut Syeikh Al-Qardawi ialah :

“Fitrah yang disediakan oleh Allah kepada makhluknya untuk mengenaliNya (Tuhannya)”
[Ruj : Lisan al-Arab, 5/56 ; Khasois al-Islam, Al-Qaradawi, hlm 39; rujukan tambahan Tafsir Al-Qurtubi, 24/23]


Jika Socrates pernah berkata :

“Gnothi Teauton” yang bermaksud : “Kenalilah dirimu sendiri”

Jika Saidina Ali Bin Abi Thalib yang menjadi pintu kepada khazanah keilmuan Rasulullah saw juga pernah berkata :

“Sesiapa yang mengenal dirinya maka dia akan mengenal Tuhannya”

Maka mengapa kita tidak bertafakur dan merenung sejenak ….. lalu bertanya kepada akal dan hati nurani kita yang paling dalam …. Siapakah diriku ini yang sebenarnya ???

* Lihat bentuk dan kedudukan otak manusia seperti orang yang sedang bersujud/Tunduk.

Bukankah bertafakur sejenak itu lebih baik dari beramal seribu tahun?

Marilah kita renungi kembali Firman Allah swt dalam Surah Al-Waqiah, ayat 57 hingga 60 seperti berikut :

“Kamilah yang telah menciptakan kamu daripada tiada kepada ada, maka adalah baik jika kamu mempercayainya” ( Al-Waqiah : 57 )

“Tidakkah kamu memikirkan keadaan air mani yang kau pancarkan kedalam rahim itu ?
(Al-Waqiah : 58)

“Adakah kamu yang menciptakannya atau kami yang menciptakannya?”
(Al-Waqiah : 59)

“Kamilah yang akan menentukan dan menetapkan masa kematian setiap orang dari kamu dan kami tidak sekali-kali dikalahkan atau dilemahkan”
(Al-Waqiah : 60 )

Jika penemuan tentang ilmu embriologi dianggap sesuatu yang baru, maka Al-Quran sejak 1400 tahun yang lampau sudahpun menerangkan secara terperinci tentang proses-proses perkembangan embrio dan janin manusia dalam kandungan ibu ini dengan begitu tepat dan spesifik sekali


Wahai saudaraku, marilah kita merenung kembali, mengkaji dan mengenali siapa diri kita sebenarnya dan marilah kita memasang niat dan cita-cita untuk berjalan menuju kepada yang kita cintai, yang telah menciptakan kita dari tiada kepada ada melalui jalan –jalan yang diredhai Oleh Nya agar kita bisa sampai ke kampung akhirat yang kekal abadi selama-lamanya dengan penuh kesejahteraan dan kebahagiaan.

Ingatlah janji Allah swt seperti firmanNya dalam surah al-Insyiqaaq ayat 6 yang bermaksud :

“Hai manusia, jika sesungguhnya kamu telah bekerja dengan bersungguh sungguh menuju Tuhanmu,maka pasti kamu akan menemuiNya”

Marilah kita berjuang dijalan Allah , semoga kita diredhai olehNya dan ditunjukkan jalan-jalan yang lurus olehNya. Firman allah dalam surah Al-Ankabut ayat 69 yang bermaksud :

“Mereka yang berjuang dalam jalan Kami, akan kami tunjukkan jalannya kearah kami”

Maka sebelum kita berjalan atau mengembara, maka kenalilah diri kita atau carilah dahulu rahsia siapa diri kita yang sebenarnya! Firman Allah dalam satu hadis Qudsi bermaksud :

“Manusia itu adalah rahsiaKu, dan Akulah rahsianya”


Pengembaraan kita memang jauh saudara!!!


1. Rahsia dalam rahsia.....
2. Ketika rahsia turun ke ubun-ubun bapa kita bernama....
3. Ketika rahsia masuk ke ubun-ubun bapa kita bernama ……
4. Ketika rahsia dalam ubun-ubun bapa kita bernama ……
5. Ketika rahsia didalam otak bapa kita bernama……
6. Ketika rahsia bergerak di dalam otak bapa kita bernama…..
7. Ketika rahsia di dalam ruang mata bapa kita bernama……
8. Ketika rahsia turun ke dalam dada bapa kita bernama…..
9. Ketika rahsia turun ke dada bapa kita bernama......
10.Ketika rahsia turun ke pusat bapa kita bernama Di,
11.Ketika rahsia turun ke pinggang bapa kita bernama Wadi,
12.Ketika rahsia dihujung zakar bapa kita bernama Mani.
13.Ketika bapa dan ibu kita bersama kita bernama Junuban.
14.Ketika rahsia…..rahsia…rahsia….bernama.. ......

sila pelajari dan cari sendiri!


Bila berpindah kita ke dalam rahim ibu kita bernama Maknikam

Bernama Nutfah di umur kita 14 hari

Bernama Khalqah di umur kita antara 41 – 80 hari

Bernama Mukhallaqah di umur kita 81-119 hari.

Ketika di umur 120 hari – maka nyatalah jalan hidup kita….Di antara hari ke-120 ke hari yang ke 145 inilah nyawa kita ditiupkan kedalam jasad.

Telunjuk kanan kita terbentuk di umur 130 hari.

Kepala terbentuk di hari ke 131

Jadilah 2 tangan di hari 132

Terbentuklah tulang-tulang kita di hari ke 134 ke 360 hari.

Dan terus kita mengembara dalam rahsia…rahsia…rahsia…

sila cari dan pelajari sendiri!
....

Bila genap umur kita 280 hari kita pun dilahirkan dengan kalimah Fayakun….

Kita lahir bersama tangisan… ketika menagis itu kita bernama Zuq.

Ketika kita mula ketawa kita bernama Somad,

Ketika kita mula berjalan jatuh kita bernama Muhammad Yatim,

Ketika kita mula berkata-kata kita bernama Rahmat Allah.

Ketika kita cukup umur dan akhil baligh barulah kita bernama Muhammad!
[Waktu inilah segala perintah Allah swt kepada kita adalah wajib!]

Jadilah kita bernama MANUSIA yang bermaksud “Dirimu Itu Mengandungi Rahsia”

*Fetus manusia yang berumur 3 bulan.

Sebagai penutup artikel ini terimalah sebuah puisi dari saya – Sangtawal Sakranta.

MANUSIA

Episod bermula
Sperma perkasa dari testis
Mencari-cari ovum dari tabir kelembutan ovari
Pertemuan penuh makna
Sapaan mesra senyum berbalas
Percantuman penuh hikmat
Tersirna sebutir mutiara nan indah!
Bernama zigot
Lambang sebuah cinta,kasih sayang.

Hari berganti
Pengembaraan pun bermula
Dari lorong sepi Fallopia
Dataran subur uterus destinasimu
Fenomena ajaib mitosis pun bermula
Wajah zigot berubah
Embrio menjelma.

Manusia....
Plasenta penyambung kasih
Oksigen dan makanan berkunjung
lalu mendewasakanmu
Bagai pepohon kasih yang tumbuh subur
Berputik lalu berbunga.
Fetus...lenamu tenang diperaduan amnion.

Empat purnama berlalu
Roh menjenguk lalu terus bermukim dijasadmu.
Unsur langit bumi bergabung
Rezeki,jodoh dan maut mendapat ketentuan
Insaflah...
Itu semua adalah ketetapan Tuhan.
Bukan milikmu yang abadi
Tapi milik Tuhan yang hakiki.

Sembilan purnama kini...
Otot uterus mula gelisah
Kembang kucup umpama degup jantung
Perit pedih mula terasa..

Tiba saatnya...
Terdengar sebuah tangisan gemersik
Memecah kesunyian.
Terukir senyuman dibibir alam
Menyambut tamu kerdil
Bakal mewarnakan lukisan alam.

Buat ibu yang tercinta...
Nyawa jadi taruhannya.
Suatu pengorbanan..
Janji syahid dari Tuhan,bukan mimpi.
Syurga dibawah telapak kakimu...

Manusia...
Wajah alam terus berubah
Dewasa dikau bersama pengembaraan ini
Keremajaanmu menyerikan suasana
Semakin pantas mencalit warna alam...
Pasrah menentukan...
Merah jingganya warna kehidupan.

Akal diciptakan Tuhan
Jadi medan suatu gelanggang.
Iman-takwa pandu kebaikan
Syaitan-nafsu pandu kemungkaran
Beraksi dimedan tempur maha hebat
Takwa menang...
alhamdulillah selamat!
Nafsu jadi juaranya...
Kau bakal merasa pedihnya siksa neraka.

Bumi tersenyum tawar
mengorbit mentari
Alam tua mendatangi diri...
Pohon kasih yang dulunya subur...
Bunga yang dulunya berseri...
Kini akar tunjangnya sudah patah,
Bunga rebah hilang serinya...
Mata berbalam kabur pandangan
Kantanya buta cahaya....
Hilang kenyalnya
Retina pudar hijaunya,pilu hatinya..
Sel rod tersungkur
Sel kon rebah
Lalu fobea terkubur tanpa nesannya..
segalanya kabur sudah dimamah usia.
Lambaian kehidupan....
Gamitan rindu kematian....

Wahai manusia...
Sebelum aku berlalu...
Ingin kutitipkan wasiat ini...
Buat bekalan kembaramu...

Turunlah engkau dari takhta keangkuhanmu..
Sedarlah engkau dari lena kealpaanmu

Berkacalah didalam diri..
Sujudlah pada Tuhan..
Syukurilah nikmatNya.
Senangi hati ayah bondamu.
Bersihkan dosa-noda hitam alam mu...
Kau dan alam adalah satu..

[nukilan : Sangtawal Sakranta….@ 3.12.2008 @ 6.50 am]

8 comments:

NJ said...

Salam sejahtera dari saya buat Saudara. Terima kasih di atas artikel-artikel Saudara sehingga kini.

Salam.

Anonymous said...

Assalamualaikum.
Post u yang the latest ni amat berat Amanahnya. Allahyarham abah ade kitab tentang ilmu2 Hakikat Insan ni. Saye ade curi2 baca, tapi kantoi. Allahyarham abah ade pesan, jangan baca sembarangan sebab yg boleh bagi shyafaat menuntut ilmu ni, guru die. Kalau bace curi2, die cakap ilmu tu takde 'mata rantai' dari Rasulullah.. Cume die ade pesan, kalau nak belajar, berguru lah...

Sangtawal Sakranta said...

salam buat NJ,
Terima kasih atas komen dan sokongan.

Salam buat anon @ 5.52am.

Terima kasih atas komen.

ramai orang keliru dengan hakikat insan... itu sebabnya ilmu tasawuf ini semakin di pelajari semakin sulit... yang dinamakan Hakikat insan itu ialah ketika kita berada di alam wahdiah atau disebut Nur Muhammad di maqam Rodhiah pada peringkat Takyun Tsani pada
martabat asma di alam malakut.

Ya..belajar ilmu ini mesti berguru.

Bukan tujuan saya untuk membicarakan soal-soal tasawuf yang sulit dalam siri artikel saya ini, cuma saya ingin membandingkan dengan ilmu sains agar nampak selari dan mudah difahami oleh golongan yang berpendidikan moden atau sekular juga!Ini adalah kerana ilmu ini juga milik mereka yang dilupakan, bukan hak milik mutlak pelajar pondok saja. semoga mereka tertarik dengan ilmu-ilmu tasawuf ini yang merupakan kunci kepada jati-diri bangsa untuk hari kebangkitan.

Wassalam.

narasukma said...

Salam Sangtawal,

Boleh saudara terangkan perbezaan antara Allah dengan Tuhan.Dalam kata hikmat tu disuruh kenal Allah,diri kemudiaan baru Tuhan.Apakah martabat Tuhan itu lebih tinggi.
Maaf, saya budak baru belajar.

Nara Sukma

Sangtawal Sakranta said...

salam nara sukma,

Tiada Tuhan melainkan Allah!

wassalam.

Stairway to heaven said...

~~Salam,terima kasih kerana berkongsi ilmu,saya benar teruja..yg penting niat kamu baikkan...''petunjuk itu izin ALLAH...,Alhamdullilah..Semoga ALLAH melimpahkan kamu rezeki ilmu yg melmpah ruah tanpa sebarang kepayahan dan irihati dari manusia..dan moga sentiasa mndapat petunjuk darinya dan di tetapkan iman kamu.Amin..Saya minta izin untuk lawati blog kamu setiap hari ya.TQ sekali lagi...

. said...

Salam kasih.
"Datang kosong..pulang juga kosong".
Rahsia antara rahsia.

muhammad asyraf said...

MashaAllah...terbuka hati...Alhamdulillah,lepas bace tersedar kecil nye diri sebagai hamba Allah.....