Thursday, August 30, 2012

Merdekalah Jiwa Bangsaku



Tajuk : Merdekalah Jiwa Bangsaku! 

Artikel Oleh : Sangtawal Sakranta. 

Kita di ambang tarikh merdeka.Elok rasanya kita mengenang sejenak sejarah dan perjuangan nenek moyang kita sebagai iktibar untuk semua.Tidak dinafikan lagi teramat perit dan jerih mereka berjuang dalam menuntut kemerdekaan, namun lebih perit lagi bagi kita generasi kini dan mendatang untuk mengisi erti kemerdekaan itu. 

Kesultanan Melayu Melaka yang gah selama 110 tahun musnah dan tumbang dalam masa 10 hari saja oleh Portugis. Selepas itu kita dijajah oleh kuasa-kuasa asing silih berganti. Sifat mementingkan diri sendiri, dengki khianat dan perpecahan sesama sendiri adalah punca kelemahan dan jatuhnya Empayar Melayu. 

Kuasa-kuasa asing dari dulu hingga kini amat mengidam untuk menakluki tanah melayu, kerana bumi yang kita pijak ini kaya dengan emas, bijih timah, bijih besi dan subur untuk tanaman getah, kelapa sawit dan sebagainya. 

Oleh kerana bimbang kuasa raja dan orang melayu hilang, pada tahun 1909 raja-raja melayu telah mencadangkan kepada British agar ditubuhkan satu pasukan tentera yang terdiri dari orang-orang melayu.Untuk mengambil hati raja-raja melayu, maka pihak British bersetuju menubuhkan Rejimen Askar Melayu pada 1 Febuari 1933, itupun selepas mengambil masa berpuluh tahun. Apakan daya, hanya 25 orang anak melayu yang terpilih dari 100 orang calon untuk menjadi rekrut pertama Askar Melayu.Walaupun pada namanya Askar Melayu, tetapi mereka telah dilatih oleh Pegawai tentera British.


   

Percubaan pengambilan rekrut askar melayu tahun 1933 telah meyakinkan Pihak British untuk menambahkan lagi bilangan anggotanya lalu mereka telah menubuhkan sebuah Rejimen Askar Melayu yang terdiri daripada 150 orang anggota pada tahun 1935. Diantara mereka yang terawal memasuki Rejimen Askar Melayu ialah Adnan Saidi pada umur 18 tahun, yang kemudiannya dinaikkan pangkat dengan pantas kerana kecemerlangannya kepada pangkat Leftenan. Beliau adalah satu-satunya Askar Melayu yang diberi kepercayaan untuk terlibat dalam pembarisan memberi hormat dalam upacara pertabalan King George VI di London. Ketika di sana, Leftenan Adnan telah dihadiahkan sepasang Uniform Tentera British oleh King George, Raja England yang baru.  

Rupa-rupanya 2 batalion askar melayu yang ditubuhkan oleh British hanya untuk dijadikan perisai pertahanan untuk menangkis serangan tentera Jepun dalam Perang Dunia Kedua, itu saja.Ternyata penubuhan Rejimen Askar Melayu yang disyorkan oleh Raja-Raja Melayu, hanya memberi manfaat kepada British bukan sebaliknya.Satu batalion askar melayu ditempatkan di Pantai Cahaya Bulan Kelantan untuk menyekat kemaraan tentera Jepun dan satu batalion lagi diletakkan di Bukit Candu Singapura. 

Sayang seribu kali sayang, kita kehilangan seorang perwira melayu tulen seperti Allahyarham Leftenan Adnan Saidi. Beliau mati syahid dalam menentang musuh tanahair di Bukit Candu. Sesetengah orang tua berpendapat mengapa British meletakkan pasukan askar yang diketuai oleh Leftenan Adnan di Bukit Candu adalah kerana mereka tahu pasukan askar melayu itu akan berperang dengan bersungguh-sungguh dengan memperjudikan nyawa mereka demi tanahair mereka dan Bukit Candu adalah merupakan kubu terakhir British di Tanah Melayu. 

Tentera British sangat licik dengan menjadikan pasukan askar melayu sebagai benteng manusia, iaitu jika tentera Jepun menyerang Bukit Candu, mereka akan dapat melarikan diri melalui Pasir Panjang dan jika mereka diserang di Pasir panjang, mereka akan meloloskan diri mereka melalui Bukit Candu. Mereka sendiri tidak yakin dengan tentera British, India, Australia ataupun Sikh yang meyertai mereka kerana bumi Melayu bukanlah tanahair mereka untuk dipertahankan sehinggakan terpaksa menggadaikan nyawa. Kalaulah Raja-Raja Melayu telah diberikan kuasa untuk memilih dan membentuk pasukan askar melayu, saya berpendapat Jepun pasti akan dikalahkan dengan mudah. Ambil contoh pertempuran di Pasir Panjang , Askar Melayu dibawah pimpinan Leftenan Adnan telah berjaya mengalahkan tentera Jepun sehingga tentera Jepun terpaksa berundur , tetapi atas arahan Jeneral A.E Percival, mereka telah diarahkan berpindah dan mempertahankan Bukit Candu. Ia sebenarnya adalah satu muslihat, untuk memudahkan semua tentera British melarikan diri dan mengosongkan markas di Bukit Candu ke Alexandra! Kalau dikira, tidak ada apa-apa pun yang penting di Bukit Candu untuk dipertahankan oleh askar melayu, kalau ada pun hanya ada sebuah Kilang candu milik British di atas bukit tersebut. 

Arwah Leftenan Adnan berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir bersama anggota-anggota askar melayu lain yang berjiwa kental dan berani di Bukit Candu. Mereka berjuang dengan laungan takbir Allahuakbar !. Amat sedih bila mengenangkan pasukan askar melayu yang benar-benar berani itu hanya menjadi benteng untuk British. Bila mereka terkepung dan kehabisan peluru, Leftenan Adnan ditangkap, dipukul dan diikat pada sebatang pokok ceri sebelum ditikam dengan bayonet di perutnya oleh Leftenan Renya Mutuguchi. Mayat arwah ditikam bertubi-tubi dengan bayonet dan pedang oleh anggota-anggota tentera jepun yang berdendam atas kematian rakan-rakan mereka ditangan pasukan Leftenan Adnan sebelum itu . Akhirnya mayat arwah Leftenan Adnan yang telah hancur robek itu dibakar pula. 

Kuasa British dalam mencengkam tanah melayu sekian lama hanya dihancurkan oleh tentera Jepun dalam masa 69 hari saja! Jeneral Yamashita telah mengotakan janjinya sehari lebih awal setelah berjanji dihadapan Maharaja Jepun untuk menakluk Tanah Melayu dalam masa 70 hari!

Apa rahsia kejayaan tentera Jepun? Anda semua sudah maklum….jawapannya ialah : semangat juang Kamikaze tentera Jepun … Kesungguhan dan perjuangan jihad Leftenan Adnan dan pasukannya di Bukit candu juga tidak kurang hebatnya. Tentera melayu sebenarnya masih belum diuji dalam ertikata sebenar berperang, berdepan di medan juang. 

Sejarah yang lalu banyak mencatatkan bahawa kekalahan biasanya akibat ditipu oleh musuh.

Bukannya kita sudah lupa bagaimana beraninya tentera Selempang Merah pimpinan Kiyai Salleh untuk menghapuskan seluruh cina komunis di bumi Johor setelah Cina Komunis beberapa kali melanggar  perjanjian damai melayu-cina .Lupakah kita bagaimana cina komunis yang diketuai oleh Ah Seng membunuh pegawai daerah Batu Pahat iaitu Ismail dan selepas itu membunuh pula Qadi daerah Batu Pahat iaitu Tuan Haji Abdullah kerana marah Qadi itu tidak melarang orang melayu islam berkumpul dan sembahyang berjemaah di Masjid seperti yang pihak komunis mahukan. Setelah mengetahui akan kemarahan Kiyai Salleh dan tindakan yang akan diambil , mereka sangat gerun  terutamanya yang tinggal di Batu Pahat dan Muar, malah ada cina komunis yang lari masuk ke hutan semula. Kiyai Salleh digelar “malaikat maut” dikalangan komunis!. 

Nasib baik ada Dato Onn yang ketika itu menyandang jawatan Pegawai Daerah yang baru menghalang niat Kiyai Salleh untuk menyerang cina komunis di Batu Pahat. Kata-kata Dato Onn telah melembutkan hati Kiyai Salleh berbunyi : 

“ Wahai Salleh, aku diamanahkan oleh Sultan Johor (Sultan Ibrahim) untuk mewujudkan perdamaian di Batu Pahat.Sekiranya kamu tidak mahu mendengar cakap aku sebagai pegawai daerah di sini, maka bunuh saja aku.Aku rela korbankan nyawa aku , kemudian kamu buatlah apa-apa sahaja yang kamu suka”. 

Sepatutnya orang cina komunis perlu berterima kasih banyak kepada Dato Onn dalam hal ini kerana jika tidak, sudah pasti seluruh bangsa cina-komunis akan dihapuskan di bumi Johor, atau mungkin ia akan merebak ke seluruh tanahair kerana ketika itu pun perjuangan jihad Kiyai Salleh telah mendapat sokongan yang padu dari orang-orang melayu terutamanya di Batu Pahat dan Muar. 

Sejarah bercerita kepada kita, pejuang dan pendekar sufi melayu tidak pernah kalah berjuang dari dulu hingga sekarang… Tok Janggut, Mat Kilau, Datuk Bahaman , Dol Said , Si Bongkok Tanjung Puteri, Datuk Siamang Gagap dan ramai lagi pejuang disebut PENDERHAKA oleh penjajah untuk membelenggu jiwa anak cucu mereka.Oleh itu sehingga kini jiwa kita masih belum merdeka dalam erti kata yang sebenar. 

Bila diteliti sejarah rupanya Moyang Leftenan Adnan yang bernama Alang adalah berasal dari Pagar Ruyung , menetap di Naning dan pernah berjuang menentang penjajah bersama Dol Said. Dalam perang Naning Pertama orang melayu menang keatas tentera British setelah dibantu oleh orang-orang Rembau dan Seri Menanti. Namun dalam perang Naning kedua pada tahun berikutnya, tentera British dapat mengalahkan orang melayu Naning kerana mereka berjaya memujuk dan memperdaya orang-orang Rembau dan Seri Menanti untuk tidak membantu Naning.Dol Said ditipu lalu menyerah kepada British. Setelah dijanjikan pangkat Penghulu dan diberi pengampunan. 

Alang tidak bersetuju untuk menyerah diri kepada British lalu mengambil kesempatan untuk melarikan diri bersama isterinya dari Gunung Pasir ke Kampung Repah.Anak mereka bernama Mukmin adalah ayah kepada Kahar. Kahar inilah pahlawan melayu yang digelar Datuk Siamang Gagap. Dialah pahlawan yang memimpin angkatan perang Seri Menanti menentang Inggeris dalam Perang Bukit Putus.Dalam perang ini mereka kalah kerana Inggeris telah dibantu oleh pasukan Datuk Kelana Sungai Ujung yang ramai. Datuk Siamang Gagap masih tidak mahu menyerah kalah lalu berpindah ke Kampung Juaseh dalam daerah Jempol. Dari daerah itu seorang anaknya berpindah dan mudik ke Sungai Beranang lalu menetap di Sungai Ramal dan menyembunyikan identiti dan asal usul mereka kerana tidak mahu diburu oleh Inggeris. Dia adalah ayah kepada Saidi, datuk kepada Leftenan Adnan. 

Cerita bangsat tentera Jepun bukan tamat setelah berjaya membunuh Leftenan Adnan, mereka pergi pula ke kampung Sungai Ramal untuk menangkap bapa Leftenan Adnan, iaitu Pak Saidi. Jeneral Yamashita begitu berdendam dengan Leftenan Adnan kerana dikatakan adik kandungnya maut dirodok dengan bayonet oleh Leftenan Adnan.Walaupun Pak Saidi tahu tentera Jepun datang untuk menangkapnya dan orang-orang kampung sudah puas memujuknya untuk bersembunyi atau melarikan diri, namun darah pejuang yang mendidih ditubuhnya tidak mengizinkan cucu kepada Datuk Siamang Gagap itu untuk berganjak atau berundur walaupun setapak. Malah dia telah bersedia menanti kedatangan tentera Jepun dengan hanya berbekalkan sebilah keris pusaka. 5 orang tentera Jepun maut dibaham kerisnya, manakala 15 orang tentera Jepun cedera parah. Oleh kerana bilangan tentera Jepun yang lengkap bersenjata terlalu ramai, Pak Saidi akhirnya tewas jua oleh peluru tembakan tentera Jepun.

Itulah lembaran cerita pilu sebuah keluarga dan keturunan pejuang tulen.Pak Saidi gugur sebagai pejuang setelah 2 orang anaknya iaitu Adnan dan Ahmad yang juga seorang tentera gugur terkorban. 

Sempena menyambut Hari Kemerdekaan , saya berseru dan mengajak semua orang melayu yang beragama islam, agar dapat bersatu padu dan berkasih sayang semula. Hentikanlah permusuhan sesama kita.Marilah kita merdekakan jiwa kita dan kita bina semula Empayar Melayu Islam. Hayatilah lagu “Setanggi Kasih” ini untuk mengisi jiwa merdeka! Padamkan permusuhan, hindari kejahatan dengan satu kebaikan, agar bangsa melayu kita bangkit kembali mebina sebuah empayar melayu islam yang terkemuka! 


   


MARI KITA NYALAKAN, 
SETANGGI KASIH YANG MEWANGI.. 
DI SELURUH SEMESTA, 
PADA SEPANJANG KEMBARA... 

KITA AKAN TEMUI, 
BUNGA-BUNGA KEBAIKAN, 
HULURKAN SALAM, 
BERSYUKUR KEPADA TUHAN... 

HINDARI KEJAHATAN, 
DENGAN SATU KEBAIKAN, 
AGAR KAU KAN RASAI, ERTI KEMANISAN IMAN, 

INI SETANGGI KASIH, 
DI PERSADA CINTA TUHAN, 
SUBURKAN CINTA KITA SESAMA INSAN... 

TIADA SELAIN TUHAN, 
BERKUASA MENDAMAIKAN, 
TIADA SELAIN TUHAN, 
YANG DAPAT MENYATUKAN INSAN, 

PASTI KAU TEMUI NANTI, 
DURI-DURI PERMUSUHAN, 
HADAPI SEGALANYA, 
DENGAN KESABARAN... 

DAN TEMPUHILAH RINTANGAN DENGAN KEYAKINAN... 

MARI KITA PADAMKAN, 
NYALAAN BENCI YANG MEMBAKAR, 
DI SEPENUH BUANA, 
PADA SELURUH MANUSIA... 

KITA AKAN SEDARI, 
TITIK-TITIK PERSAMAAN, 
TABURKAN DAMAI, 
BERSYUKUR KEPADA INSAN... 

TIADA SELAIN TUHAN, 
BERKUASA MENDAMAIKAN, 
TIADA SELAIN TUHAN, 
YANG DAPAT MENYATUKAN INSAN, 

PASTI KAU TEMUI NANTI, 
DURI-DURI KEJAHATAN, 
HADAPI SEGALANYA, 
DENGAN KESABARAN... 

DAN TEMPUHILAH RINTANGAN DENGAN KEYAKINAN... 

HINDARI KEJAHATAN, 
DENGAN SATU KEBAIKAN, 
AGAR KAU KAN RASAI, 
ERTI KEMANISAN IMAN, 

INI SETANGGI KASIH, 
DI PERSADA CINTA TUHAN, 
SUBURKAN CINTA KITA SESAMA INSAN... 
HULURKAN SALAM, 
BERSYUKUR KEPADA TUHAN... 


Salam Kemerdekaan ….. 

Tema Kemerdekaan Sangtawal : Melayu Berjiwa Merdeka Mampu Menggegar Dunia

*[ Artikel ke-254 Sangtawal Sakranta ... ]

Monday, August 06, 2012

Badiuzzaman Said Nursi




Tajuk : Badiuzzaman Said Nursi. 

Artikel Oleh : Sangtawal Sakranta. 


Bersempena dengan sambutan hari Nuzul al-Quran hari ini, saya dedikasikan artikel ini untuk seorang wali Allah swt Badiuzzaman Said Nursi.

 

Badiuzzaman Said Nursi adalah merupakan seorang pejuang, pemikir islam Turki dan seorang Wali Allah swt.Membaca kisah hidup dan liku-liku perjuangannya membuatkan air mata saya mengalir. Pengorbanan yang dilakukan oleh beliau amat besar maknanya buat seluruh rakyat Turki dan seluruh dunia islam.

Ketika Negara Turki bertukar menjadi sebuah Negara Republik dan mengenakan dasar sekular, Allah swt telah mempersiapkan seorang Mujahid unggul untuk menentang segala agenda musuh-musuh Allah swt ke atas seluruh umat islam yang berpusat di Turki.

Beliau seorang manusia yang pintar dan bijaksana, sehinggakan didalam biliknya ketika dia menjadi pelajar dahulu , dia menulis dan menggantung ayat : “Di sini akan diselesaikan setiap permasalahan yang rumit dan setiap soalan akan dijawab, tanpa mengemukakan sebarang soalan kepada orang lain.”

Beliau adalah seorang ulama yang memperjuangkan agama dan menegakkan syariat.Beliau juga turut dianugerahkan ilmu ladunni oleh Allah swt.Dia juga pernah berkata : “Sesungguhnya agama adalah sinaran bagi hati, sedangkan ilmu-ilmu moden adalah cahaya bagi akal”

Maka benarlah seperti Sabda Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad ra : “Sesungguhnya Allah akan membangkitkan bagi umat ini di setiap permulaan kurun, orang-orang yang memperbaharui urusan agama mereka”


 

Ternyata Mujahid yang dibangkitkan pada kurun itu bukan dikalangan ahli sufi. Badiuzzaman Said Nursi selalu menyebut bahawa zamannya itu bukannya zaman tasawuf atau tareqat, tetapi adalah zaman bagi menyelamatkan iman.Tulisan-tulisan beliau dalam Risalah An-Nur yang masyhur itu bukanlah risalah-risalah sufi, tetapi ia berkaitan dengan persoalan-persoalan akidah.

Beliau menulis : “Sesungguhnya aku andaikan sekiranya Syeikh Abdul al-Qadir al-Jaylani, Shah al-Naqshabandi dan Iman Rabbani sekiranya hidup pada zaman kita ini, nescaya mereka akan mencurahkan segala kemampuan mereka bagi memperteguhkan hakikat keimanan dan akidah islam.”

Sifat luarbiasa Said Nursi terjadi ketika beliau masih bayi lagi.Pada setiap bulan puasa, pada siang harinya dia tidak mahu menyusu dan hanya menyusu pada sebelah malam sahaja. Kepintarannya terserlah sejak dari kecil lagi.

Pernah suatu masa beliau pergi menuntut ilmu dengan Molla Abdul Karim.Gurunya itu pada mulanya tidak mahu mengambilnya sebagai murid kerana usianya baru 15 tahun, tetapi Said Nursi tetap mahu berguru dengannya, oleh itu Molla Abdul Karim pun menyuruh dia membaca dan memahami dulu 7 buah kitab , kerana ketika itu murid-muridnya yang lain sedang belajar kitab yang ke-8. Said Nursi pun menghabiskan membaca 8 buah kitab hanya dalam masa 3 hari sahaja dan faham kesemua isi kandungannya sehinggakan dia dikagumi oleh gurunya dan seluruh pelajar disitu.Ketika itu juga dia ditawarkan oleh gurunya untuk menjadi seorang guru di madrasah itu namun ditolak dengan baik oleh Said Nursi.

Dia pun bertolak ke Madrasah Beyazid untuk berguru dengan Syeikh Muhammad Jejali pula.Tempoh belajar yang biasanya diambil oleh kebanyakan murid gurunya untuk belajar ilmu dengan Sheikh tersebut biasanya memakan masa 15 tahun, tetapi telah dihabiskan oleh Said Nursi hanya dalam masa 3 bulan sahaja! Dengan kejayaannya itu Said Nursi dikurniakan Ijazah oleh gurunya dan diberi gelaran “Molla Said” serta ditawarkan menjadi guru di madrasah itu, “kamu sudah boleh memakai jubah dan serban ulama” kata gurunya itu namun ditolak dengan baik oleh Said Nursi dengan berkata “ Saya lebih suka memakai pakaian darwis sahaja”

Ketika berjumpa dengan abangnya Abdullah selepas 8 bulan tidak bertemu kerana masing-masing sibuk menuntut ilmu ,abangnya dengan bangga memberitahu bahawa dia telah membaca dan mengkaji kitab syarh asy syamsi dan beberapa buah kitab lagi sehingga dia layak dan diberikan kebenaran untuk membuka sebuah madrasah tempat pengajian agama oleh gurunya. Lalu dia bertanya pula kepada Said Nursi sebanyak mana pula ilmu yang telah Said Nursi pelajari. Dengan merendah diri Said Nursi menjawab bahawa beliau telahpun membaca dan menghafal 80 buah kitab termasuk syarh asy syamsi! Abdullah terkejut dan tidak percaya pada mulanya, tetapi setelah diuji, ternyata adiknya itu seorang yang pintar dan berkata benar.Abdullah sangat gembira lalu memohon untuk menjadi murid adiknya itu pula.

Oleh kerana kepintarannya yang luar biasa Said Nursi telah diberi gelaran “Badiuzzaman” yang bermaksud “Kekaguman Zaman” kepadanya oleh gurunya Sheikh Fathullah Efendi. Beliau pernah berdebat dengan seorang guru ilmu Geografi dari Eropah dan hanya mengambil masa 24 jam untuk membaca kesemua buku berkaitan dengan ilmu alam sebagai persediaan lalu mengalahkan guru itu.

Beliau juga pernah berdebat dengan seorang ahli Fizik dari Eropah tentang ilmu fizik dan hanya mengambil masa selama 4 hari untuk mentelaah kesemua buku-buku fizik dan memahami hukum-hukum fizik lalu mengalahkan ahli fizik yang telah menghabiskan masa selama 4 tahun untuk mendalaminya. Keadaan itu menyebabkan ahli fizik tersebut berasa kagum dan terus menjadi anak murid Said Nursi pula.

Setelah Said Nursi membaca kesemua buku-buku yang terdapat di dalam perpustakaan Tahir Pasya, dia telah dapat menguasai ilmu-ilmu sains moden seperti matematik,astronomi, fizik, kimia,falsafah, sejarah , kaji hayat dan banyak lagi menyebabkan ilmunya begitu dikagumi pada zaman itu. Oleh kerana kebijaksanaannya itu maka ada segelintir pihak yang benci dan irihati terhadap kemasyhuran Said Nursi lalu memfitnahnya sebagai mengidap penyakit jiwa.Dia pernah ditangkap dan pernah suatu hari seorang doktor merawatnya.Dia memberikan sebuah buku perubatan dan yang belum pernah dibaca oleh Said Nursi.Dengan izin Allah swt Said Nursi membaca sepintas lalu sebanyak lima mukasurat lalu memberikan semula buku itu kepada doktor itu.Dia mula membaca semula apa yang tertulis sebanyak lima mukasurat itu sambil disemak oleh doktor itu tanpa meninggalkan sepatah perkataan pun.Doktor tersebut terkejut dan dalam keadaan takjub itu beliau berkata : “Sesungguhnya tuan bukan seorang yang gila tetapi seorang yang luar biasa!”.Selepas itu Said Nursi dibebaskan dan tuduhan gila keatasnya gugur setelah doktor itu mengesahkan Said Nursi seorang yang sihat .

Ketika dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan fitnah mencetuskan kekacauan, beliau dengan berani berkata di depan hakim : “Sekiranya saya ada seribu nyawa, saya sanggup mengorbankan semuanya demi untuk syariat islam.Kerana syariat itu adalah sumber kesejahteraan dan kebahagiaan, keadilan sejati serta kebajikan” Bila ditanya oleh hakim apa pendapat said Nursi terhadap pemerintah, beliau dengan tegas menjawab : “Ketua sebuah Negara adalah hamba kepada Negara itu.Selagi seseorang ketua Negara itu menurut sunnah Rasulullah maka dia pemimpin kami dan kami patuh dengan arahannya.Tetapi sekiranya ketua sesebuah Negara tidak mengikut sunnah, maka dia adalah perompak”

Beliau seorang yang berani dan pernah berjuang menentang tentera rusia dengan menubuhkan pasukan “Tentera Songkok Bulu” yang amat digeruni oleh musuh.Didapati bom tidak meletup jika dilemparkan ke arahnya dan peluru tidak pernah singgah ke tubuh wali Allah swt itu.

Antara kekeramatan beliau yang lain ialah, boleh berjalan di atas air, boleh membuka gari ditangannya sendiri untuk mengambil wuduk, boleh ghaib dan keluar dari sel tahanan di penjara sebanyak dua kali dan pergi bersolat jumaat di tiga tempat berlainan dalam satu masa.Beliau juga diracun berpuluh-puluh kali ketika dalam tahanan tetapi masih selamat dengan izin Allah swt.

Tekanan lebih hebat dikenakan ke atas beliau, terutamanya selepas kejatuhan kerajaan khilafah Uthmaniah dimana Kamal Attartuk menjadi Presiden Republic Turki. Said Nursi telah dibuang ke daerah pendalaman dan dikenakan hukuman penjara berkali-kali selama lebih dari 30 tahun dengan tujuan untuk menghapuskan pengaruh dakwah wali Allah swt yang terkenal ini.

Selepas Badiuzzaman Said Nursi meninggal dunia, orang ramai berduyun-duyun menziarahi pusara beliau.Keadaan ini menyebabkan pihak keselamatan terpaksa memindahkan kubur Said Nursi ke satu tempat yang tersembunyi.Bila kuburnya diselongkar, ternyata jasad wali Allah swt berserta kain kafannya itu masih utuh , tidak hancur walaupun setelah tiga bulan beliau disemadikan.

Walaupun dia sering mendakwa bukan seorang sufi, namun cara hidup dan amalannya adalah mirip seorang ulama sufi.Ketika meninggal dunia beliau hanya meninggalkan seutas jam tangan, jubah, serban dan wang sebanyak 20 lira.

Karangan beliau yang termasyhur iaitu Risalah al-Nur telah diterjemah kedalam 40 bahasa dan disebarkan keseluruh dunia.Ia merupakan satu tafsiran al-Quran yang disusun melebihi 130 tajuk.Secara umumnya risalah ini berkisar kepada persoalan-persoalan berkaitan dengan akidah dan keimanan.Satu-satunya sumber rujukan untuk risalah ini ialah kitab suci al-Quran. Kebanyakan dari risalah – risalah tersebut ditulis ketika beliau dibuang daerah dan semasa beliau ditahan di dalam penjara.


Untuk membaca keseluruhan kisah hidup Badiuzzaman Said Nursi, ada sebuah buku yang ditulis oleh Novelis Abdul Latip Talib amat bagus untuk dibaca.Saya telah membaca buku tersebut selepas anak saya, peminat setia buku-buku tulisan Pak Latip telah membelinya beberapa bulan yang lalu.Buku tersebut elok dibaca oleh setiap melayu muslim.Kisah perjuangan dan pengorbanan beliau amat menarik untuk dihayati.

Al-Fatihah buat Allayarham Badiuzzaman Said Nursi, seorang pejuang dan pemikir islam yang bijaksana serta seorang pejuang kebenaran al-Quran.

*[Artikel ke- 253 Sangtawal Sakranta ]....