Thursday, November 25, 2010

Musim Budak Melayu Masuk ‘Jawi’



Tajuk : Musim Budak Melayu Masuk ‘Jawi’

Artikel Oleh : Sangtawal Sakranta.


Musim cuti sekolah akhir tahun dinanti dengan penuh debaran oleh kanak-kanak melayu. Apa tidaknya ‘kerbau’ mereka akan disembelih oleh orang tua mereka samada dengan cara rela atau paksa-rela!

Budak melayu zaman ini bernasib baik kerana biasanya sudah tidak ada lagi istilah batang pisang, pisau tok mudim dan buluh pengapit. Kini budak melayu tidak lagi perlu fobia dengan benda-benda itu semua. Sekarang ini kaedah berkhatan atau circumcision dilakukan dengan kaedah yang lebih moden dan selamat. Ubat penahan sakit seperti lignocaine atau lidocaine digunakan sebagai local anaesthesia (ubat bius) menyebabkan budak melayu mampu tersenyum semasa ‘kerbau’ mereka disembelih oleh Doktor , Tok Mudim atau PPP@MA. Lagi canggih, kini kaedah berkhatan telah diinovasikan , contohnya kaedah Smat Klamp.

Tentang hikmah berkhatan ini, teringat pula saya kepada satu kisah perumpamaan bijak yang diajar oleh Ulamak tersohor Tok Kenali.Bila seorang anak muridnya bertanya beliau apakah hikmah berkhatan, maka Tok Kenali pun mengambil sebutir buah pisang lalu diberikan kepada orang yang bertanya itu menyuruhnya memakan pisang itu dengan kulitnya sekali, lalu pelajarnya berkata mana sedap makan pisang sekali dengan kulit!!! Lalu fahamlah mereka apa maksud tersirat Tok Kenali itu.



Berikut saya siarkan artikel yang dipetik dari satu blog tentang ibadah berkhatan, klik untuk membaca artikel sepenuhnya :


[[… Menurut pendapat ulama seperti Imam Ahmad, sebahagian mazhab Hanafi, Ibn al-Qayyim dan lain-lain, waktu paling sesuai mengkhatankan anak lelaki ialah semasa berusia 7 hari. Kitab al-Fatawa al-Hindiyyah fi al-Fiqh al-Hanafiyyah menyatakan waktu yang digalakkan ialah sejak anak-anak berusia 7 tahun hingga 12 tahun.

Ibadah berkhatan

Syukur kepada Allah yang menetapkan syariat berkhatan sesuai dengan fitrah manusia. Dalam satu hadis yang dilaporkan oleh Abu Hurayrah, Nabi s.a.w berkata,

الْفِطْرَةُ خَمْسٌ أَوْ خَمْسٌ مِنْ الْفِطْرَةِ الْخِتَانُ وَالِاسْتِحْدَادُ وَنَتْفُ الْإِبْطِ وَتَقْلِيمُ الْأَظْفَارِ وَقَصُّ الشَّارِبِ

“Di antara fitrah ada lima perkara; khitan, memotong bulu kemaluan, mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan memotong misai".

[Hadis direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim.]

Fitrah di sini bererti sunnah yang disyariatkan bagi ummat Islam bagi menjaga kebersihan dan kesucian badan daripada pelbagai kotoran. Topik khitan dan lain-lain mengenai penjagaan diri dibahaskan oleh ulama fikah di dalam Bab Toharah (bersuci). Ini menunjukkan betapa Islam menitik beratkan soal kesucian diri dan menjaga imej ummahnya agar sentiasa tampil segar dan kemas.

Topik ini juga membuktikan salah satu keindahan ajaran Islam. Hari ini, berkhatan turut diamalkan di kalangan non muslim kerana mereka juga mahu faedah positif daripadanya.

Maha suci Allah yang menjadikan amalan kebersihan sebagai salah satu ibadah penting dalam Islam. Pernahkah ditemui di dalam Bible atau kitab-kitab agama lain yang mengatakan berkhatan sebahagian daripada ibadah? Jika ada pun, ia adalah dari syariat Allah pada nabi-nabi terdahulu yang masih tersisa kebenarannya.

Menurut hadis yang direkodkan oleh Imam Bukhari, orang pertama yang berkhatan ialah Nabi Ibrahim. Apa yang penting diketahui ialah amalan berkhatan sudah wujud sejak beribu tahun yang lalu. Dan ia bukan baru disyariatkan kepada Nabi Muhammad s.a.w serta ummatnya. ..]]

*Yang kat atas ni kena paksa-rela !!! he he he...


Dibawah ini pula saya siarkan satu artikel dari forum tentang berkhatan menurut islam . Klik untuk baca artikel asal.


[[...KHATAN semakin menjadi amalan bagi masyarakat berbilang bangsa. Malah, pada kini dianggarkan sepertiga lelaki di seluruh dunia berkhatan sama ada disebabkan anjuran agama seperti Islam dan Yahudi, mahupun kerana faktor kesihatan.

Dalam Islam, khatan atau khitan adalah perkara khilafiyah dibincangkan dalam semua mazhab, namun menurut pendapat sahih dalam Mazhab Syafie, ia wajib ke atas lelaki dan perempuan. Demikian juga pendapat kebanyakan ulama silam.

Imam Ahmad bin Hambal mengatakan wajib manakala Imam Malik dan Imam Abu Hanifah berpendapat khatan itu hukumnya sunat bagi lelaki dan perempuan.

Tetapi ada pula pendapat dalam Mazhab Abu Hanifah mengatakan wajib bagi lelaki dan sunat bagi perempuan.

Antara dalil yang dijadikan hujah dalam melaksanakan khatan ialah firman Allah yang bermaksud:

"Ikutilah wahai Muhammad susunan agama Ibrahim."


Hadis diriwayatkan Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Nabi Ibrahim berkhatan ketika berusia 80 tahun di suatu tempat bernama 'al-Qudum' (di Syam). (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Diriwayatkan Imam Ahmad daripada Syaddad bin Aus dengan terputus sanadnya dan juga oleh Imam Baihaqi daripada Saidina Ali, beliau berkata berkhatan itu sunat bagi lelaki dan suatu perkara yang terpuji bagi perempuan.

Selain itu Imam Abu Daud, Ibnu Sandah dan Ibnu 'Asakir meriwayatkan suatu hadis daripada ad-Dahak bin Tias, katanya di kota Madinah ada seorang wanita bernama Ummu 'Atiyyah kerjanya mengkhatankan anak gadis.

Rasulullah s.a.w berkata kepada wanita itu: "Apabila engkau mengkhatankan anak perempuan jangan engkau potong terlampau banyak kerana potongan itu jika disederhanakan akan menambahkan seri muka dan menyebabkan suami lebih gembira."

Dalam amalan perubatan di Malaysia, khatan bagi perempuan hanya melukakan kulit atas faraj yang berbentuk segi tiga. Bahagian itu adalah kulit lebihan di sebelah atas dan tidak sampai ke pangkalnya.

Bagi lelaki, ada dua kaedah iaitu tradisional dan moden. Kaedah tradisional ialah memotong bahagian kulit berlebihan pada zakar menggunakan pisau. Zakar terlebih dulu dibius pada bahagian atas, tepi dan hujung supaya kebas, kemudian dipotong, dilipat dan dijahit dengan benang larut sendiri.

Bagaimanapun, kaedah moden lebih mudah kerana hanya menggunakan plastik yang sudah berbentuk bulat [sangtawal: smart klamp] untuk diletakkan pada bahagian hujung kulit zakar. Ia bertujuan menghentikan perjalanan darah dalam tempoh seminggu dan secara tidak langsung akan gugur dengan sendiri.

Selain mengikut sunnah generasi terdahulu, khatan mempunyai banyak kelebihan, terutama dari sudut kesihatan.

Bagi perempuan, khatan dapat menundukkan naluri nafsu yang membuak-buak, walaupun sesetengah pihak menentang amalan itu kononnya menghilangkan kenikmatan ketika bersama pasangan.

Khatan kepada lelaki mempunyai banyak kebaikan dari sudut kesihatan, terutama menghindarkan diri daripada terkena virus berbahaya seperti HIV.

Hasil kajian pakar Eropah dan Afrika di empat bandar Afrika mendapati berkhatan menghindarkan tiga kali ganda daripada dijangkiti virus HIV.

"Kami mempunyai bukti berkhatan boleh mencegah risiko dijangkiti HIV di kalangan lelaki yang sememangnya berita baik berikutan beberapa laporan mengecewakan sebelum ini," demikian menurut rencana ditulis Marie-Louise Newell dan Till Barnighausen daripada Universiti KwaZulu-Natal di South Africa dan Fakulti Kesihatan Awam, Universiti Harvard.

Di wilayah Kwazulu-Natal yang kes HIV sangat tinggi, penyelidik mendapati kadar penduduk berkhatan amat rendah.

Sebanyak 35,000 jangkitan baru mungkin dapat dicegah pada 2007 jika 2.5 juta lelaki di sana berkhatan.

Penyelidik Amerika Syarikat, Richard Bailey, ketika berucap di persidangan mengenai Aids di Sydney, sebelum ini, menggesa pihak berkuasa setiap negara mempromosi amalan berkhatan kerana bukti saintifik menunjukkan ia boleh mengurangkan jangkitan HIV sebanyak 60 peratus.

Menurutnya, tiga kajian yang dijalankan di Afrika mengesahkan kepercayaan sedia ada mengenai keberkesanan khatan dalam mengurangkan jangkitan virus itu.

"Sudah tiba masanya untuk bertindak. Melengahkan amalan berkhatan boleh mendatangkan lebih banyak keburukan," kata pensyarah Universiti Illinois itu.

Amalan berkhatan juga dapat mencegah lelaki daripada menghidap barah zakar. Media melaporkan, satu kajian mendapati 87 daripada 89 kes barah zakar adalah di kalangan lelaki yang tidak berkhatan…]]]

****************************************************************



Gambar di atas adalah gambar proses berkhatan yang telah diamalkan oleh kaum Egypt pada tahun lebih kurang 2300 sebelum masihi. Ia digelar sebagai 'pengkhatanan Anakhmahor'. Gambar ini membuktikan bahawa berkhatan bukanlah sesuatu perkara yang baru bagi manusia, malah ia dipercayai telah dilakukan oleh manusia sejak awal kurun 3000 sebelum masihi yang diamalkan oleh kaum yahudi. Walau bagaimanapun tarikh yang tepat dah sahih mulanya diperkenalkan masih dalam kekaburan.

Untuk perbincangan bersama , bilakah masanya pula perkataan berkhatan itu disebut jawi di tanah jawi ini? Apakah orang melayu di Nusantara ini dulunya telah menganut agama Nabi Ibrahim a.s kerana ibadah ‘jawi’ amat sinonim dengan melayu jawi? Sama-sama kita fikirkan!

*[ Artikel ke-208 Sangtawal Sakranta ]

Sunday, November 14, 2010

Siri Ilmu Alam Ghaib di TV



Tajuk : Siri Ilmu Alam Ghaib di TV.

Artikel Oleh : Sangtawal Sakranta.


Atas nama kaedah perubatan atau rawatan cara islam dan perubatan alternatif lain, siri Ilmu Alam Ghaib di stesen TV3 kini semakin mendapat tempat dihati penonton.Maklumlah penonton kita selalu disajikan dengan cerita-cerita seram sebelum ini pasti teruja dengan siri ini yang dianggap mereka cukup mistik. Tidak dinafikan mudahnya orang melayu-islam kita terpengaruh dengan benda-benda sebegitu. Apa tidaknya ibu bapa kita dulu-dulu sering mengancam atau mengusik anak-anak mereka dengan perkataan hantu walaupun mereka sendiri pun belum pernah melihat hantu di alam realiti.



Walaupun saya tidak pernah menonton siri-sirinya yang lain sebelum ini, namun salah satu siri berkaitan dengan merawat seorang gadis yang didakwa selalu dihilangkan oleh makhluk halus menarik perhatian saya, lalu saya pun meluangkan sedikit waktu melihat sekejap rancangan tersebut.

Beberapa persoalan timbul di fikiran saya lalu saya rasa perlu saya luahkan disini atau sekurang-kurangnya dapat kita berbincang disini bersama.

Pertama, berkenaan dengan perawatnya.Apakah dia seorang yang betul-betul mahir dalam ilmu berkaitan dengan makhluk halus ini sehingga digelar dengan “Pakar mengenal jin dan makhluk halus”! apakah gelaran Pakar ini diberikan oleh stesen TV atau orang yang benar-benar layak dalam ilmu ini? Perawat atau ustaz yang sedang meningkat naik namanya atau kita sebut ‘sedang glamour’ ini juga telah dijemput memberikan pendapat dan ulasan dalam siri Al-Kulliyah juga, yang saya rasa tidak berapa sesuai jika topik atau tajuk itu bukan dari bidangnya.Lagipun tujuan perawat ini ke Mesir dulu untuk mendapatkan Ijazah di Universiti Al Azhar, tapi rasanya separuh jalan saja dan tak kesampaian.Rezekinya baik kerana dia bertemu dengan gurunya dalam bidang yang lain pula [tok bomoh] , jadi dapatlah dia bawa balik Ijazah Perbomohan dari gurunya itu pula. Siapa pula guru perawat ini dan apakah fahaman atau akidah gurunya itu perlu juga kita ketahui sedikit sebanyak. Perawat ini juga pernah berkata boleh scan makhluk halus, hanya scan dengan tangan atau guna lidi saja! Pasti mengejutkan pakar-pakar radiologi terutamanya dibidang CT Scan atau MRI! apakah ini satu dakwaan yang benar atau sebaliknya? kadang-kadang ustaz tadi melaga-lagakan kedua jari telunjuknya untuk mengesan cas letrik ditangannya untuk merawat makhluk halus! teringat pula saya kepada seorang perawat yang boleh mengalirkan tenaga elektrik dibadannya dan boleh menyalakan sebiji mentol dulu, tak silap saya di pusat perubatan Cakra Alam.

Kedua, adakah gadis itu benar-benar dilarikan atau dihilangkan oleh makhluk halus? Apakah gadis ini tidak mempunyai masalah kesihatan yang lain? Dimaklumkan gadis ini boleh memandu kereta dan ada telefon bimbit.Disamping berubat secara tradisional, rasanya perlu juga gadis ini dibawa berjumpa pakar perubatan , terutamanya Pakar Psikiatri, kerana dalam ilmu perubatan moden pun ada masalah seperti disebut malingering ; ia merupakan sejenis penyakit dimana pesakit sengaja mereka-reka cerita atau buat-buat sakit. Anda boleh baca untuk mengetahui ciri-ciri penyakit ini disini, Klik

Kalaulah benar gadis ini mempunyai penyakit diatas( Malingering) , ubat-ubatan dari Group SSRI (Serotonin Selective Reuptake Inhibitor ) seperti setraline atau fluoxetin adalah boleh membantu atau jika keluarga pesakit ini tidak keberatan, bawalah anak gadis ini menjalani sesi kaunseling Psikoterapi untuk mengubah pola pemikiran gadis ini bahawa sebenarnya dia tidak sakit! Jenis psikoterapi yang boleh membantu ialah jenis CBT (Cognitive Behavioral Therapy).

Ketiga, cara perawatannya seperti mencurahkan cuka keatas garam (asid bertemu alkali pasti ada chemical reaction…) berasap-asap menusuk hidung pasti akan memukau penonton atau orang awam! ia seperti cerita-cerita seram yang pernah kita tonton sebelum ini.Agak-agaknya jin boleh mati ke kena cuka tu? Kalau nak lari, jin atau syaitan tu akan lari waktu mereka melaungkan azan tu lagi.

Lagi mengejutkan saya bila saya lihat banyak garam (agak-agak berapa kilogram garam telah habis ye?) digunakan sehingga diletakkan keatas dahan-dahan pokok kayu! Hebat hebat…. Perlu ke semua tu jika kita dah bersandar pada ayat Al-Quran , tawakkal atau yakin sepenuhnya kepada Allah swt ?

Maafkan Saya kerana melihat siri Ilmu Alam Ghaib ini dari sisi yang berbeza.Bukan niat saya untuk menidakkan perubatan islam atau saya tidak mempercayai adanya alam ghaib dan makhluk halus seperti jin dan syaitan.Tetapi apa yang saya persoalkan , apakah objektif siri ini sebenarnya? Apakah kita digalakkan untuk belajar subjek ilmu alam ghaib ini melalui siri tv saja? Bolehkah kita belajar dan mengamalkan ilmu atau ayat-ayat Al-Quran itu tanpa kita berguru secara lansung dengan guru sebenar? Saya bimbang siri-siri sebegini boleh mempengaruhi penonton lalu menimbulkan minat mereka untuk mempelajari ilmu alam ghaib ini melebihi minat mereka untuk belajar ilmu Tauhid dan Feqah.

Natijahnya boleh kita baca di akhbar-akhbar seperti kisah ibu ditetak anak sehingga mati dan sebagainya.Memang tidak dinafikan pemuda tersebut juga positif dadah jenis ganja dalam air kencingnya sewaktu kejadian, tetapi pengaruh ilmu mistik yang diminati dan dipelajarinya juga turut menjadi faktor yang menyumbang kepada kejadian ini. Anda boleh baca di bawah :

Dakwa Jelmaan Saka : Klik

Anak Tetak Ibu Hingga Mati : Klik


Memang tidak dapat dinafikan juga, sejak kerapkali masuk rancangan tv , rezeki perawat tersebut semakin bertambah. Keputusannya untuk meletakkan jawatan sebagai ustaz sekolah rendah adalah betul.

Tidak terkecuali juga , dalam setiap apa usaha yang kita buat itu , pasti ada juga benda-benda yang tak sedap didengar. Diharap kepada setiap perawat, hendaklah menerima segala kritikan dan tohmahan dengan hati yang terbuka dan kalau boleh selesaikan segala isu yang berbangkit dengan cara yang berhikmah, bukan dengan cara ingin menegakkan benang basah atau masuk bakul angkat sendiri kerana mungkin secara tidak sedar jin atau syaitan yang berada dalam tubuh pesakit yang anda ubati itu pula akan menghasut perawat-perawat islam lalu menyemarakkan lagi api permusuhan sesama saudara seagama dan menyuburkan sifat-sifat mazmumah dalam diri perawat.Ini amat bahaya.

Serangan dan usikan sebegini bukanlah perkara baru, ia sudah dianggap sebagai asam-garam dalam dunia perubatan islam.Contohnya :

Hantu Raya Berkepak : Klik

Ustaz Sharhan Merapu Lagi : Klik

Sebagai seorang sahabat sesama islam , saya pun tumpang gembira dengan kejayaan yang dikecapinya sekarang, namun saya ingin menasihati dirinya agar berhati-hatilah dalam setiap langkah di dunia perubatan yang bersangkut paut dengan alam ghaib ini, berwaspadalah dengan setiap rezeki yang Allah swt berikan, mungkin itu semua ujian dariNya.Cuma satu permintaan saya, berkaitan dengan pusat rawatan yang dibuka dikampungnya itu, usahlah meletakkan caj yang terlalu tinggi kerana kebanyakan orang kampung adalah dari golongan yang kurang berada. Ambil contoh Pusat Perubatan Darul Syifa Dato’ Dr Harun Din tu, letakkan kotak disitu saja , pesakit akan bagi seikhlas hati mereka ke dalam tabung itu. Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui tentang apa yang kita buat secara zahir atau yang tersembunyi!

Kepada semua peminat ilmu untuk menghalangi diri dari serangan makhluk halus atau berkaitan ilmu alam ghaib , anda semua hendaklah belajar secara berguru, bukan melalui buku-buku, siri-siri tv, internet dan sebagainya. Juga jangan lari dari landasan ilmu yang digariskan dalam Al-quran dan Sunnah , jangan mereka-reka atau mencipta ilmu baru selain dari apa yang Nabi saw ajarkan.

Semoga keberkatan terus berkekalan buat semua Perawat Perubatan Islam sebenar yang berlandaskan Al-Quran dan Sunnah!

* [ Artikel ke- 207 Sangtawal Sakranta ].



Tuesday, November 09, 2010

Imam Syafie



Tajuk : Imam Syafie

Artikel Oleh : Sangtawal Sakranta


Nama sebenar Imam Syafie ialah Muhammad Bin Idris Bin Abbas Bin Uthman bin Syafie Bin Saib Bin Abdu Yazid Bin Hasyim Bin Abdul Mutalib Bin Abdul Manaf.

Imam Syafie adalah berasal dari keturunan arab Quraisy.Nasabnya berkait dengan Nabi Muhammad saw.

Beliau dilahirkan di Kota Gaza Palestin pada bulan Rejab 150 Hijrah.Ada yang mengatakan pada malam beliau dilahirkan itu Imam Abu Hanifah (Imam Hanafi) meninggal dunia akibat diracun oleh Khalifah Abu Jaafar al-Mansur dari Bani Abbasiyah sewaktu Imam Hanafi berada dalam penjara.Beliau dipenjara , diseksa dan dirotan kerana tidak mahu memberikan kerjasama kepada Khalifah Bani Abbasiyah yang zalim itu dengan menolak tawaran untuk menjadi Hakim kerajaannya.

Imam Syafie menghafal Al-Quran sewaktu berumur 9 tahun.Beliau menghafal Kitab al-Muwatta’ yang ditulis oleh Imam Malik (Mazhab Maliki) selama 10 tahun.Beliau mempunyai kecerdikan dan daya ingatan yang sangat luar biasa.Dibenarkan memberikan fatwa sendiri oleh gurunya sewaktu berusia 15 tahun sewaktu mengajar di Masjidil Haram.

Sebelum melahirkan beliau, ibunya bermimpi melihat sebutir bintang keluar dari perutnya lalu naik ke langit.Lalu bintang itu pecah lalu jatuh bertaburan jatuh ke bumi.Cahaya dari bintang pecah yang jatuh itu menerangi seluruh muka bumi.Ibunya terkejut bila mengetahui suaminya juga mengalami mimpi yang sama iaitu dia melihat ada sebutir bintang yang keluar dari perut isterinya.

Imam Syafie penentang amalan bidaah.Kata beliau , semua perkara yang diadakan menyalahi Quran dan sunnah atau ijmak ulama adalah bidaah yang keji dan sesat manakala mana-mana perkara atau kebaikan yang tidak menyalahi sedikitpun dari kesemua itu adalah bidaah yang terpuji.

Imam Syafie berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti juga 3 orang Imam Mazhab lain yang terkenal seperti Imam Hanafi,Imam Maliki dan Iman Ahmad Bin Hambal (mazhab Hambali).Fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah ini dicetuskan oleh ulamak sebelu mereka iaitu Syeikh Abu Hasan Asyaari dan Syeikh Abu Mansur al-Maturidi.

Imam Syafie juga melarang Taklid, baik taklid kepada dirinya sendiri ataupun kepada sesiapa saja.Beliau selalu berpesan : “Janganlah mereka-reka dalam perkara agama mengguna-pakai taklid sahaja kepada perkataan ataupun tindakan yang tidak disertai dengan keterangan ataupun alasan dari Quran dan hadis”. Beliau juga berpesan : “Tiap-tiap perkara yang saya katakan padahal kata Rasulullah bertentangan dengan perkataan saya, Rasulullah itulah lebih utama perlu dituruti”

Antara pujian atau pandangan ulamak-ulamak lain kepada Imam Syafie ialah :

Imam Malik bekas gurunya pernah berkata : “Tidak ada lagi keturunan Quraisy yang lebih pandai daripada Imam Syafie”

Imam Ahmad Bin Hambal berkata : “Wahai anakku, Imam Syafie itu seperti matahari bagi dunia dan seperti kesihatan bagi tubuh.”.Beliau juga berkata : “Saya belum faham mengenai ilmu hadis kecuali selepas belajar dengan Imam Syafie”.Kata Imam Ahmad lagi : “setiap ahli hadis yang memegang tinta adalah terhutang budi kepada Imam Syafie”

Imam Muhammad al-Hakam berkata : “Saya belum berjumpa seorang yang lebih mengetahui, cerdik akalnya,lebih cerdas fikirannya, lebih cermat amalannya,lebih fasih lidahnya daripada Imam Syafie”.Beliau berkata lagi : “Saya belum berjumpa seorang yang lebih mengetahui berkenaan usul Fiqah selain dari Imam Syafie”

Menyelusuri perjalanan hidup dan proses pembelajaran Imam Syafie amat menarik sekali.Ayah beliau meninggal sewaktu Imam Syafie masih kecil, ada riwayat yang mengatakan sewaktu beliau masih dalam kandungan ibunya lagi.Gurunya yang pertama secara tidak formal ialah ibunya sendiri.Ibunya megajar beliau mengenal huruf dan mengaji al-Quran.Setelah berumur 9 tahun beliau sudah dapat menghafal Al-Quran.

Bila ibunya membawa Imam Syafie untuk berguru dengan Imam Ismail Kustantani, seorang guru ilmu Al-Quran yang terkenal waktu itu, Imam Ismail pada mulanya menolak kerana Imam Syafie baru berusia 9 tahun sedangkan dia hanya menerima orang menjadi muridnya setelah berumur 12 tahun.Namun setelah dia menguji hafalan dan ingatan Imam Syafie tentang Al-Quraan, beliau amat tertarik dengan daya ingatan dan suara Imam Syafie yang merdu lalu terus mengambil Imam Syafie menjadi muridnya.Apabila Imam Ismail ada urusan lain , Imam Syafie pula disuruh menggantikan tempatnya mengajar disitu!

Imam Syafie juga amat meminati syair dan puisi, beliau pernah berguru dengan Mas’ab bin Zubair seorang penyair terkenal.Dalam masa 3 bulan saja, Imam syafie mampu menghafal 10,000 rangkap syair kaum Bani Huzail.Pernah suatu kali Imam Syafie memasuki pertandingan syair atas desakan kawan-kawannya, lalu mengalahkan gurunya Mas'ab pula.

Imam Syafie berguru pula dengan Imam Sufian Ainiah dalam ilmu hadis sehingga menjadi pakar dalam bidang hadis dan diberi kepercayaan oleh gurunya untuk mengajar menggantikannya sewaktu ketiadaannya.

Selepas itu Imam Syafie berguru pula dengan Imam Muslim al-Zanji dalam bidang Feqah pula.Akhirnya dia diakui oleh gurunya dan dibenarkan mengajar serta memberikan fatwa pula.Namun Imam Syafie masih merasakan kurang ilmunya lalu dalam diam beliau mula membaca dan menghafal Kitab Muwatta’ yang dikarang oleh Imam Malik bin Anas pula.

Imam Syafie juga pernah belajar ilmu peperangan dan bermain senjata dengan gurunya iaitu Amiruddin, seorang bekas tentera.Selepas itu Imam Syafie terkenal sebagai seorang pemanah yang handal.

Imam Syafie pernah mengembara ke Madinah yang mengambil masa selama 8 hari dengan menaiki unta sambil sempat mengkhatamkan Al-Quran sebanyak 16 kali untuk menemui dan berguru dengan Imam Malik yang ketika itu menjawat jawatan Mufti Kota Madinah.Imam Syafie belajar dari Imam Malik selama 8 bulan.

Selepas itu Imam Syafie merantau pula ke Iraq untuk belajar dengan anak murid Imam Hanafi iaitu Imam Muhamad al-Hassan dan Imam Abu Yusof.Beliau telah menghafal Kitab al-Awsat karangan Imam Hanafi dalam masa 3 hari saja telah mengejutkan kedua orang gurunya itu kerana biasanya murid-murid mereka yang lain mengambil masa paling kurang 1 tahun untuk menghafalnya.

Imam Syafie juga belajar ilmu firasat dengan Maulana Arif di Yaman.Di Yaman beliau berkahwin dengan wanita bernama Hamidah dari keturunan Khalifah Uthman Bin Affan.Mereka dikurniakan 3 orang anak.

Semasa di Najran, Imam Syafie difitnah oleh Gabenor as-Saud iaitu Gabenor Najran kononnya Imam Syafie sedang menghasut rakyat untuk memusuhi dan menjatuhi kerajaan Bani Abbasiyah yang diperintah oleh Khalifah Harun ar-Rashid. Akibat dari fitnah tersebut Imam Syafie dan anak muridnya telah ditangkap, tangan dan kaki mereka dirantai .Mereka juga dipaksa berjalan kaki dari Najran ke Kota Kufah.

Walau bagaimanapun dengan izin Allah swt Imam Syafie terlepas dari hukuman oleh Khalifah dan orang yang memfitnah mendapat hukuman yang setimpal.Diantara ayat Al-Quran yang dibacakan oleh Imam Syafie, yang membuatkan hati dan jiwa raga Khalifah Harun ar-Rashid terpesona ialah Firman Allah swt dari Surah al-Hujurat, ayat 6 yang bermaksud : “ Hai orang yang beriman, sekiranya datang kepadamu orang fasiq yang membawa suatu berita,periksalah dengan teliti supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”

Itulah diantara liku-liku perjalanan yang ditempuh oleh Imam Syafie dalam menuntut ilmu.Banyak lagi guru dan tempat beliau belajar yang tidak dinyatakan disini. Beliau sangat menyintai ilmu.Pernah suatu masa Imam Malik memuji beliau dengan berkata : “Sekiranya ada orang yang bahagia kerana ilmunya, inilah orangnya!” sambil merujuk kepada Imam Syafie.Berkaitan dengan kegunaan ilmu pula Imam Syafie pernah berkata : “Sesiapa yang mempelajari Quran, besar harga dirinya.Siapa yang mempelajari hadis, tinggi martabatnya.Siapa yang mempelajari bahasa,lembut hatinya.Siapa yang mempelajari ilmu hisab, tajam pandangannya dan siapa yang tidak memelihara dirinya, tidak bererti ilmunya”. Oleh kerana kecintaan beliau yang begitu mendalam terhadap ilmu ,jadi tidak hairanlah jika Imam Syafie telah menulis 142 buah kitab semasa hayatnya.

Imam Syafie meninggal dunia selepas waktu isyak, malam jumaat 28 Rejab tahun 204 Hijrah ( tahun 820 M) di rumah Abdullah bin Hakam sewaktu berumur 54 tahun di bumi Mesir. Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Bani Zaharah.

Semasa Abu Ali al-Hasan menjadi perdana menteri Iraq, beliau telah mengarahkan ketua tentera Mesir Badr bin Abdullah menggali dan memindahkan kubur Imam Syafie ke Baghdad.Setelah digali mereka menemui batu bata yang tersusun membentengi liang lahad Imam Syafie.Selepas mereka memecahkan batu-bata itu, mereka amat terkejut kerana tercium bau yang sangat harum dari dalam liang lahad itu malah ada beberapa orang dari mereka yang pengsan.Bila perkara ini diketahui oleh perdana menteri Iraq itu, maka beliau pun membatalkan terus usaha memindahkan kubur itu.Pada tahun 608 Hijrah, sebuah Kubah telah dibina .Tidak lama kemudian sebuah masjid didirikan disitu dengan nama Masjid Imam Syafie.Makam Ulama hebat ini terus dikunjungi orang ramai hingga kini.

Antara kata-kata menarik Imam Syafie :

1.Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia dapat menjaga dan membuat kamu cemerlang di dunia dan akhirat.Ia juga amalan para Nabi, Rasul dan orang soleh.

2.Marah adalah salah satu antara panah-panah syaitan yang mengandungi racun.Oleh itu hindari ia supaya kamu dapat menewaskan syaitan dan bala tenteranya.

3.Hati adalah Raja dalam diri.Oleh itu, lurus dan betulkan ia supaya empayar kerajaan dirimu tegak di atas al-haq yang tidak disertai oleh iringan-iringan pasukan kebathilan.

*[ Artikel diatas saya sunting dari buku : Imam Syafie Pejuang Kebenaran; ditulis oleh Abdul latip Talib ]



*Dibawah ini saya siarkan 10 pesan imam Syafie untuk renungan kita bersama :

Sumber : Klik

Sebelum Imam Shafie meninggal dunia, beliau sempat mengajak sahabat-sahabatnya agar membuat perubahan jiwa ke arah yang lebih baik. Beliau menyebut bahawa barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat, maka lakukanlah 10 perkara:

1. Hak kepada diri, iaitu dengan mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

2. Hak kepada Malaikat maut, iaitu menqada’kan segala kewajipan yang tertinggal, iaitu dengan memohon maaf daripada orang yang dizalimi, membuat persiapan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah s.w.t.

3. Hak kepada kubur iaitu membuang tabiat suka menabur fitnah, jangan suka kencing merata, memperbanyakkan solat tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.

4. Hak kepada Malaikat Mungkar dan Nakir, iaitu jangan berkata dusta, sering berkata benar, meninggalkan maksiat dan memberi nasihat.

5. Hak kepada Mizan, iaitu menahan kemarahan, banyakkan berzikir, ikhlas dalam amalan dan sanggup menanggung kesulitan.

6. Hak kepada titian sirat, iaitu buang tabiat suka mengumpat, wara’, bantu orang beriman dan hidup dalam suasana berjamaah.

7. Hak kepada Malaikat Malik, iaitu menangis lantaran takutkan kepada Allah s.w.t., membanyakkan sedekah, membuat kebaikan kepada ibubapa dan memperbaiki akhlak.

8. Hak kepada Malaikat Ridwan, penjaga syurga, iaitu redha kepada qada’ Allah s.w.t., sabar menerima bala’ dan bertaubat.

9. Hak kepada Rasulullah s.a.w., iaitu dengan sering bersalawat kepada baginda, berpegang kepada sunnahnya dan bersaing mencari kelebihan dalam beribadah.

10. Hak kepada Allah, iaitu mengajak manusia kepada kebaikan, mencegah manusia daripada melakukan kemungkaran, bencikan kepada sebarang maksiat dan tidak melakukan kejahatan.

*[ Artikel ke-206 Sangtawal Sakranta ]