Wednesday, April 15, 2009

Ekspedisi Jihad (4 ) - Penyebaran Dakwah islam Ke Sulu




Artikel Pilihan :


Tajuk : Penyebaran Dakwah Islam Ke Sulu.

Sumber : Klik Sini @ http://tausug-global.blogspot.com/2008/09/islam-di-sulu.html

artikel disiarkan pada Ahad, 2008 September 14.



Kedatangan Islam


ISLAM telah datang terlebih dahulu ke wilayah kepulauan Sulu berbanding pulau-pulau lain di Filipina, mungkin disebabkan kedudukannya yang tersorok antara Pulau Mindanao dan Borneo yang menjadi tempat laluan perdagangan atau juga disebabkan kepulauannya yang indah dan cantik. Pembawa ajaran Islam di Kepulauan Sulu adalah para ulamak yang kebanyakannya adalah orang-orang Arab di kalangan Ulamak Ahlul-Bait (Keturunan Rasulullah s.a.w) yang datang samada dari Makkah/Madinah atau dari Yaman.


Para pendakwah terdiri dari kalangan pengamal tasawwuf seperti juga pendakwah-pendakwah di seluruh Nusantara. Ulamak Sufi telah cepat diterima oleh para penduduk se-kitar Nusantara disebabkan sikap dan teknik dakwahnya lemah lembut panuh dengan kesantunan.


Islam & Tausug

Mengapa perlunya kita membicarakan kedatangan Islam ke Sulu terlebih dahulu? Apakah relevannya dan apakah kepentingannya terhadap masyarakat Tausug dan kepulauan Sulu? Hanya satu jawapan yang boleh diberi terhadap semua persoalan di atas. Tanpa Islam maka tiadalah apa-apanya orang-orang Moro itu. Tanpa pancaran nur (ajaran) Muhammad s.a.w yang menyinari hati-hati orang-orang Tausug itu maka tiadalah kegemilangan mereka itu tercatat dalam lipatan sejarah seperti yang kita ketahui hari ini.


Tiada sesiapa pun dari kalangan orang Tausug yang boleh menyangkal bahawa agama Islamlah yang menyebabkan mereka mulia, terbilang dan gemilang hinggakan selama beberapa kurun lamanya tidak dapat dikalahkan mahupun dijajah oleh musuh mereka hingga ke hari ini. Setakat setipis bawang pun iman mereka, tetap menyatakan mereka pertahankan negara dan bangsa mereka dari kuffar itu adalah disebabkan perintah Allah dan Rasul-Nya dan kiranya mereka mati kerananya maka syahidlah mereka. Tanyalah kepada mereka, sejahil-jahil mereka pun tetap memberi jawapan yang sama. Maka itulah kepentingan Islam pada mereka. Rahsia kekuatan mereka ialah Islam itu sendiri.



Islam telah datang kepada mereka dengan wasilah dari para Ahlul Bait Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Pada sesetengah keadaan kadang-kadang para Ahlul Bait datang berdakwah bersama barang dagangan, bukannya tujuan berdagang semata-mata. Walhal untuk menyampaikan risalah dakwah mengajak kepada Agama Allah s.w.t, hanyasanya berdagang untuk mengelak dari meminta-minta. Akhlak sufi menjadi pakaian mereka dengan pendekatan Mazhab Syafi'e yang sederhana telah menambat hati orang-orang Moro Sulu dan Mindanao menganut Islam.



Mereka keluar beramai-ramai dari agama Hindu-Buddha dan anutan Animisma mereka tanpa peperangan dan paksaan untuk menganut Islam, dengan sungguh-sungguh mempertahankannya hingga ke titisan darah yang terakhir. Inilah agama anutan orang-orang Moro Sulu dan juga Mindanao hingga hari ini. Para penjajah silih berganti ingin merampas negara mereka tetapi tidak berjaya sebab itu telah dibuat perancangan begitu rapi bagaimana memurtadkan mereka. Kerja-kerja memurtadkan mereka tidak berjaya hingga hari ini kerana dengan hanya memurtadkan mereka sahaja kerajaan Kesultanan Sulu dan Kesultanan Maguindanao akan dapat dikuasai sepenuhnya oleh penjajah. Ini tidaklah berlaku dan ini diakui sendiri oleh para penjajah.


Peranan Ahlul Bait

Apabila kita memperkatakan tentang kedatangan Islam ke Selatan Filipina maka tidak akan sempurna kalau Ahlul Bait Rasulullah s.a.w ini tidak disebut terlebih dahulu. Kerana sistem Kesultanan Sulu dan Maguindanao bermula di tangan mereka walaupun mungkin bukanlah mereka (Ahlul-Bait) yang awal-awal membawa Islam ke Filipina Selatan itu. Kerana Dunia Islam lebih banyak menyebut tentang riwayat Ahlul Bait yang mengasas Kesultanan Sulu dan Maguindanao. Pengislaman secara meluas juga berlaku di tangan mereka di seluruh wilayah itu. Berikut adalah susunan kedatangan para ulamak ke Sulu termasuk para Ahlul Bait:


1. Tuan Masha'ika (Tuan Syeikh) dan Tuhan (Tuan) Maqbalu pada 710 H bersamaan 1310 M (sezaman dengan Batu Bersurat Terengganu 1303)


2. Karimul Makhdum (Tuan Syarif Aulia) dan Makhdum Aminullah
(Sayyid Un-Nikab)


3. Raja Baguinda (Dari Minangkabau Sumatera)


4. Sayyid Abu Bakar (Syariful Hasyim) Pengasas Kesultanan Sulu bermula
1450 atau 1457 M.


5. Syed Alawi Balpaki ( Datang 1735 M)



Melihat senarai nama-nama di atas maka jelaslah bahawa kedatangan Islam ke Sulu adalah kebanyakannya dibawa oleh para Ahlul Bait. Malah di sekitar Nusantara pun para Ahlul Baitlah yang banyak disebut sebagai penyebar utama agama Islam ini termasuk wali-wali Songo di Indonesia serta penyebaran Islam di Tanah Melayu oleh para makhdumin. Berikut adalah penjelasan dari senarai nama-nama ulamak di atas:


1. Tuan Masha'ika (Tuan Syeikh) dan Tuhan (Tuan) Maqbalu

Salasilah Sulu menyatakan bahawa Tuan Masha'ika adalah seorang arab yang datang ke Sulu, telah berkahwin dengan anak perempuan Raja Sipad (Sripaduka) dan perlu di-nyatakan juga bahawa Raja Sipad bukanlah seorang Islam ketika itu. Daripada perkahwinan ini lahirlah anak-anak Tuan Masha'ika iaitu Tuan Hakim dan Aisha serta cucu-cucu beliau yang sudah tentunya mereka ini adalah orang-orang Islam.[1] Dan tentunya juga Tuan Masha'ika ini adalah seorang ulamak yang memulakan dakwah melalui perkahwinan dengan puteri Raja Sipad di Sulu itu. Ini bermakna sebelum kedatangan Islam lagi Sulu sudah punya raja. Cuma tidaklah tersusun seperti sistem yang diperkenalkan oleh Sultan-sultan Sulu selepas itu yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi.


Berkenaan dengan Tuhan atau Tuan Maqbalu pada 710 H bersamaan 1310 M itu tidaklah diketahui riwayat hidupnya di Sulu sama ada beliau seorang muballigh atau pedagang atau pun berkemungkinan beliau adalah ketua kaum di Sulu. Yang pastinya kubur beliau yang berada di Bud Dato adalah sezaman dengan Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 702 H (1303 M) yang juga punya gelaran yang hampir sama iaitu 'Seri Paduka Tuhan' bermaksud Seri Paduka Tuan berdasarkan pada batu nesannya.[2]



2. Karimul Makhdum (Tuan Syarif Aulia) dan Makhdum Aminullah
(Sayyid Un-Nikab)


Makhdum Aminullah (Sayyid Un-Nikab) Karimul Makhdum sudah pastinya seorang Ahlul Bait berdasarkan gelaran Syarif Aulia oleh orang-orang tempatan terhadapnya. Nama asal beliau ialah Sayyid Ibrahim Zainul Al-Akbar @ Karimul Makhdum bin Sayyid Jamaluddin Hussein Al-Kubra bin Sayyid Ali Amir Ahmad Shah Jalaluddin bin Sayyid Amir Abdullah Khan bin Sayyid Abdul Malik bin Sayyid Alwi Amal Al-Faqih (di sini nasabnya bertemu dengan Sayyid Abu Bakar @ Syariful Hashim). Karimul Makhdum adalah Ayahanda kepada beberapa orang Wali Songo. Dan beliau juga adalah seorang pendukung Sufi yang punya karamah (bercakap dengan kertas, berjalan atas air, terbang di udara dan menyelamatkan orang dari mati lemas) hinggakan karamah ini diakui sendiri oleh seorang ahli Jesuit, Francisco Combes bahawa kuasa-kuasa magis itu memang wujud ketika awal-awal kedatangan Islam ke Sulu.[3] Beliaulah yang datang ke Buansa melalui Tapul, dan mendirikan sebuah masjid di Tubig Indangan dan dikebumikan di Tandu Banak, Sulu.


Makhdum Aminullah pula adalah seorang pedagang, juga seorang muballigh yang datang melalui China. Berdasarkan namanya (Sayyid Un-Nikab) beliau juga adalah dari Ahlul bait dan dikebumikan di Bud Agad, Sulu.[4]



3. Raja Baguinda (Putera Raja dari Minangkabau, Sumatera)

Raja Baguinda bukanlah seorang ulamak tetapi berkemungkinan besar membawa bersamanya beberapa orang ulamak Minangkabau. Beliau belayar dari Sumatera dan mendarat di pantai Zamboanga dan kemudian ke Basilan. Tetapi kedatangannya ke Sulu menambahkan lagi kekuatan dan semangat persaudaraan sesama rumpun Melayu Islam di Sulu.



4. Sayyid Abu Bakar (Pengasas Kesultanan Sulu 1457 M)


Sayyid Abu Bakar setelah menjadi Sultan Sulu yang pertama telah memakai gelaran Sultan Syariful Hasyim. Sebelum Sayyid Abu Bakar sampai ke Sulu, telah tercatat dalam catatan sejarah Melayu lama berkenaan dengan kedatangan Sayyid Abu Bakar ke Melaka di masa pemerintahan Sultan Mansur Syah dalam tahun 1456 -1477 M dengan membawa sebuah kitab bernama Ad-Durr Al-Manzum (Karangan Abu Ishak As-Syirazi) [5] yang ditulis dalam bahasa Arab. Setelah berdakwah di Melaka beliau pergi pula ke Palembang, dari Palembang ke Brunei dan dari sana terus ke Sulu. Di Sulu Sayyid Abu Bakar berkahwin dengan anak Raja Baguinda yang bernama Paramisuli (Permaisuri).[6] Setelah menjadi Sultan maka beliau menetapkan agama Islam sebagai agama rasmi Kerajaan Sulu. Dan beliaulah yang berjaya mengislamkan ramai orang Tausug samada yang tinggal di pantai (Baklaya & Taguimaha) atau orang Tausug di pergunungan (Buburanun) sedangkan sebelum ini sebahagian besar mereka adalah kafir.[7] Syariful Hasyim telah tinggal lebih kurang 30 tahun di Buansa, Sulu dan sempat meninggalkan beberapa orang keturunannya iaitu Kamaluddin yang telah menggantikan ayahandanya sebagai Sultan di Sulu.



5. Syed Alawi Balpaki

Berkenaan Syed Alawi Balpaki, ulamak ini adalah pendakwah yang dikenali seperti yang dinyatakan oleh Sir John Hunt yang berada di Sulu pada tahun 1814 bahawa ketika pemerintahan Sultan 'Azimuddin-I (naik takhta pada 1735 M) seorang lagi Syarif telah datang dari Mekah bernama Syed Berpaki ke-rana beliau berjaya mengislamkan hampir-hampir seluruh penduduk di sana. Beliau pernah berdakwah di Borneo kemudian ke Tawi-tawi dan meninggal dunia di Tubig Dakulah, Sulu.[8] Syed Alawi Balpaki ini juga jelas dari pada Ahlul Bait berdasarkan namanya terdapat Syed atau Sayyid (dari keturunan Sayyidina Hussein ra).


Prof. Cesar Adib Majul telah menjelaskan pada kita dalam bukunya yang terkenal Islam Di Filipina bahawa terdapat kekeliruan dalam penggelaran makhdum kepada ulamak-ulamak itu. Makhdum bermaksud orang yang di hormati dan penggelaran dengan hanya memanggil makhdum tanpa menyertakan nama sebenar adalah mengelirukan. Walhal mereka semua para ulamak itu adalah Makhdumin (orang-orang yang dihormati).



Ini tidaklah menghairankan apabila orang-orang Sulu memanggil makhdum kesemua ulamak terdahulu tanpa nama penuhnya disebabkan tiada tarikh atau sebarang catatan khusus yang boleh dirujuk tentang makhdum-makhdum itu sendiri melainkan apa yang telah tertulis dalam Salasilah Sulu yang ada di tangan orang-orang Sulu itu (catatan peristiwa-peristiwa tanpa tarikh).



Sebagaimana kekeliruan tentang penggelaran makhdum, kekeliruan juga turut berlaku pada penggelaran Sayyid @ Syed atau Syarif @ Sharif (Salip). Dalam konteks masyarakat Moro Sulu, gelaran Sayyid (keturunan dari Sayyidina Hussein r.a.) dan Syarif (keturunan dari Sayyidina Hassan r.a.) kedua-duanya digelar Syarif atau dalam pelat orang-orang Sulu disebut Salip. Satu kebiasaan bagi orang-orang Sulu hanya memanggil Syarif (Salip) kepada kesemua pendakwah yang datang ke Sulu dari kalangan Ahlul Bait itu. Di alam Melayu seperti Tanah Melayu, Indonesia, Brunei atau Pattani mereka kebiasaannya membezakan keturunan Sayyidina Hussein r.a. dengan gelaran Syed, Sayyid atau Habib manakala keturunan Sayyidina Hassan r.a. digelar Syarif. Di Malaysia hari ini kita biasa mendengar nama-nama yang bermula dengan Nik, Wan, Tuan, Abang (Sarawak), Meor yang juga dikaitkan dengan Ahlul Bait Rasulullah saw.


Maka jelaslah bahawasanya Islam itu datang ke Sulu adalah atas usaha para Ahlul Bait. Orang-orang Sulu atau Tausug itu telah menjadi terbilang dan gemilang setelah mereka masuk Islam keseluruhannya. Mereka ditanamkan semangat jihad yang tiada dalam agama anutan mereka sebelum ini. Para ulamak membawa kalimah tauhid ke hati-hati orang Tausug itu walaupun para ulamak itu telah pergi meninggalkan mereka namun semangat mempertahankan aqidah mereka tetap utuh sehingga ke hari ini. Semangat mereka menakutkan bangsa-bangsa penjajah yang datang menjajah negara dan aqidah mereka hinggakan mereka digelar Juramentado (Berani Mati).[9]


Sultan-sultan Sulu dan para Datu masih meneruskan semangat kepimpinan para makhdumin itu di Sulu hingga ke hari ini mereka telah dan masih menjadi sumber inspirasi orang-orang Tausug. Hanyasanya mereka menjadi lemah sejak akhir-akhir ini setelah berjayanya para egen-egen penjajah mencetuskan perang moden ke atas bangsa dan negara mereka yang menyebabkan mereka bertaburan menjadi pelarian. Rancangan kuffar yang begitu rapi ini menyebabkan mereka kehilangan arah mencari pemimpin yang sebenar. Inilah matlamat peristiharan undang-undang tentera oleh Ferdinand Marcos yang akhirnya Kesultanan Sulu seolah-olahnya telah terhapus di Kepulauan Sulu itu.


No comments: