Oleh : Sangtawal sakranta.
Hari ini adalah hari yang agak istimewa buat saya.Setiap tahun saya pasti menyambutnya dalam keadaan yang cukup sederhana biarpun ia bukan dari ajaran islam.Cuma saya jadikan ia sebagai hari untuk mereka yang dekat di sisi saya untuk menghargai saya.
Hari kelahiran saya kalau mengikut kalendar hijrah islam bukan hari ini,tetapi jika mengikut tahun masihi,jatuhnya pada hari ini.
Tepat jam 12.01 am tadi saya telah dihadiahkan sejambak bunga ros oleh isteri tercinta dan sebiji kek dari anak-anak saya.Biarpun harga sejambak bunga Ros itu hanyalah RM30.00 dan sebiji kek itu hanyalah berharga RM15.00 ,saya cukup gembira dan cukup-cukup menghargainya!Apakah perasaan anda jika anak-anak anda yang sebaya dengan umur anak saya 10 tahun itu mengambil duit simpanan dalam tabungnya semata-mata untuk membeli hadiah untuk anda,orang tuanya biarpun harganya tidak seberapa! yang penting disitu ialah ingatan mereka buat kita,bukan nilai harga hadiah itu. Bukan saya tidak mampu menyambutnya di hotel yang bertaraf 5 bintang atau diluar negara,namun cukuplah bagi saya menyambutnya dirumah sahaja,bersama orang-orang yang tersayang.Ucapan “Selamat harijadi ,ayah!” dari anak-anak dan “Happy birthday ,sayang!” dari isteri yang tercinta sudah cukup bagi saya.Mereka dan ibu saya adalah segala-galanya bagi saya.
Isteri saya tahu saya seorang yang sukakan bunga Ros.Anak-anak saya juga tahu saya sukakan warna hijau.Bunga Ros dan warna hijau adalah favourate saya . Lihatlah warna kek dan warna bunga di kek pilihan anak saya itu! Saya meminati bunga dan kehijauan kerana ia melambangkan kehidupan,kesegaran,kasih sayang, keindahan, keharuman , harapan dan cita-cita!
Saya dilahirkan dalam sebuah keluarga kampung yang miskin,kehidupan semasa kecil saya penuh dengan duri dan ranjau.Perjalanan hidup saya penuh liku dan air mata.Mencari ikan di sungai dan sawah,melastik burung di hutan,bermain dari petang sampai senja.Bertumbuk dan bergaduh dengan teman sepermainan itu lumrah biasa.Kehidupan saya penuh lasak.Kesekolah berjalan kaki.Wang saku ke sekolah kadang-kadang bawa,kadang-kadang tiada.
Ayah berpisah dengan emak meninggalkan saya sewaktu saya berumur 5 tahun.Dulu saya sangat membenci ayah,tapi kini, setelah ayah tiada di dunia ini saya amat menyesalinya.Saya sempat melihat genangan airmata ayah sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.Saya sempat memohon ampun dan maaf darinya.Saya tahu dia menyesal dan bersedih dengan jalan hidup yang dia pilih sendiri.Hidup ayah tiada bahagia ke akhir hayatnya.Hidup emak cukup tenang dan bahagia berkat kesabarannya dahulu.Emak sudah ke Mekah buat haji dan umrah dan masih sihat sehingga kini .
Kehidupan saya dahulu cukup susah dan dibenci oleh masyarakat kerana kemiskinan kami.Saudara mara malu untuk mengaku waris.Emak selalu berhutang kerana tidak cukup wang untuk membiayai kami 7 beradik,tetapi emak akan menjelaskan hutang itu secepat mungkin.Emak seorang yang tabah ,sabar dan penuh tawakkal.Tapi kini bila hidup sedikit selesa, emak dan saya menjadi ramai saudara mara.Ramai yang mengaku menjadi waris warah.Emak menjadi tempat mengadu orang-orang kampung pula.Emak tak kisah,dia tidak pernah berdendam dan berasa hati.Ramai orang yang dia tolong biarpun saya tahu orang itu dulunya pernah menghina emak dan kami semua.Emak kata tidak baik berdendam dan bermusuh dengan orang.Itulah dunia.Putaran kehidupan,sekali kita diatas dan akan tiba masanya kita akan berada dibawah.
Kadang-kadang saya menjadi seorang pemarah juga,tapi emak kata itu tidak baik,marah itu hasutan syaitan dan nafsu yang bertahap rendah.Emak banyak mengajar saya erti kehidupan.Walaupun emak tidak ada kelulusan tinggi ,namun didikannya cukup berbekas dihati saya dan anak anak yang lain.Namun ada ketikanya emak saya kata saya adalah anak yang tabah,tinggi cita-cita dan kental jiwanya.Saya tidak tahu apakah kata emak itu betul atau tidak,namun saya tahu setiap apa yang saya hajati dalam hidup ini biasanya akan tercapai dengan izin Allah.
Setiap kali saya bangun tidur untuk kesekolah,emak telah siap menyediakan sarapan pagi yang paling ringkas.Emak selalu sediakan susu dan madu untuk saya.Saya juga pernah makan ubi kayu untuk ke sekolah.Emak selalu berkata,jika malas belajar hidup saya akan susah dan anak-anak saya nanti akan makan ubi kayu macam saya juga.Itulah cara emak mendidik kami.Falsafahnya tentang hidup ini adalah sangat tinggi.Emak akan pergi menoreh getah seawal 6.30 pagi meredah hutan belukar dalam embun kesejukan bertemankan sebilah parang demi membesarkan kami semua.Sebelum saya ke sekolah saya selalu jamah bantal kekabu emak,bantalnya selalu basah kerana air mata.Emak tidak pernah memarahi atau memukul saya menyuruh saya belajar dari dulu sampai saya ke universiti.Jika saya masukkan dua jari saya kedalam lubang hidung saya setiap pagi sudah pasti ada warna hitam melekat dek kerana asap pelita yang saya gunakan setiap malam untuk belajar.Cita-cita saya sangat tinggi.Pernah dulu ,ketika saya bersekolah rendah di kampung,saya beritahu guru saya dalam kelas cita-cita saya,guru saya ketawa mengejek saya dan kawan-kawan saya yang lain diam saja.Waktu saya dalam darjah 5,guru besar saya mengambil saya menjadi anak angkatnya,tinggal dirumahnya ,belajar bersama anaknya dibawah cahaya lampu kalimantang untuk menghadapi Peperiksaan darjah 5 sehingga selesai peperiksaan..Biarpun berat rasa hati emak untuk melepaskan saya,tapi demi pelajaran,anak-anak, emak merelakannya. Berkat kegigihan saya dan doa emak, dengan izin Allah saya berjaya agak cemerlang berbanding anak guru besar saya.Saya telah ditawarkan belajar di 2 buah MRSM ,1 sekolah sains dan satu sekolah agama.Emak dan datuk saya memilih untuk menghantar saya ke Sekolah Menengah Agama Falahiah Pasir Pekan.Saya sangat manja dengan emak dan tidak boleh berjauhan dengannya.Saya berhenti dari sekolah itu dalam masa seminggu kerana jiwa dan cita-cita saya berlainan dari aliran agama.Saya balik bersekolah biasa di kampung halaman saya sehingga ke tingkatan 5.Selepas tingkatan 5 saya terpaksa berjauhan dengan emak iaitu belajar di matrikulasi.Ditahun kedua matrik saya telah terpilih untuk menyambung pelajaran dalam bidang yang saya minati ke luar negara,namun saya memilih untuk belajar di dalam negara.Keputusan untuk belajar dalam negara menjadi punca keretakan hubungan saya dengan orang yang pernah saya sayangi.Lagipun emak tidak berapa merestui hubungan kami kerana saya miskin dan mereka orang berpangkat dan kaya raya. Pertemuan dengan orang yang pernah saya kenali disekolah Menengah membuahkan cinta dan kasih sayang kembali sehingga kini.Saya amat gembira sekali bila dapat belajar dalam negeri yang saya cintai iaitu negeri Cik Siti Wan Kembang ini.Hampir setiap minggu saya boleh balik berjumpa emak!
Ditahun kedua pengajian, saya berkahwin.Di tahun ke-3 pengajian saya sudah mempunyai seorang anak! Di tahun akhir pengajian saya mempunyai 2 cahaya mata.Sewaktu saya masih bergelar mahasiswa,isteri saya bekerja.Setelah saya mula bekerja,isteri saya berhenti kerja dan telah menjadi suri rumahtangga sepenuh masa sehingga kini.setelah beberapa tahun bekerja dengan kerajaan,saya cepat bosan dan sekarang saya bekerja sendiri.saya minat berniaga.Saya jadi bos dan sayalah kulinya.Hidup saya tenang.Keluarga saya sangat bahagia!
Pernah suatu hari anak sulung lelaki saya balik dari sekolah dan bertanya saya
“ ayah,ramai kawan-kawan along tanya kenapa along panggil ayah dan emak saja ,orang lain panggil abah,mama,papa,mummy untuk ibubapa mereka.mereka kata panggilan nama ayah dan emak itu hanya untuk orang dulu-dulu je”
Saya tersenyum mendengar pertanyaan anak saya yang sememangnya suka bertanya itu.Saya jawab tak apalah,hidup ni jangan suka ikut orang sangat.Saya dan isteri suka dengan panggilan itu.Sukar untuk saya menerangkan kepada mereka kenapa .Sebenarnya bila anak-anak menggil saya “ayah” saya berasa saya seorang melayu yang asli.Setiap kali panggilan ayah terdengar,saya teringat kehidupan saya yang miskin dulu,saya ingat asal usul saya,kampung halaman saya,saya teringat bau sawah padi dan busuk getah sekerap dijari saya dulu,saya teringat waktu makan nasi dengan ikan kering dan budu dahulu.Syukur kepada Allah kerana memberikan saya rezeki kini.Cuma saya cukup cukup bimbang kalau anak-anak saya nanti lupa diri,sombong,riya’ dengan segala pemberian Allah ini.
Sesungguhnya kemiskinan dan kekayaan itu ujian dari Allah.Namun bagi saya lebih baik menjadi orang kaya yang hidupnya penuh berkat dan diredhai Allah dari menjadi seorang miskin kerana kepapaan itu boleh membawa kepada kecelakaan.
Bila membandingkan kehidupan saya dulu yang miskin dan kehidupan kini yang agak selesa saya merasakan ujian kesenangan ini sebenarnya lebih kuat dan hebat dari ujian ketika miskin.Mungkin itulah sebabnya para wali Allah dan orang-orang yang dekat denganNya memilih jalan zuhud dan kefakiran supaya hati tidak berpaling menyintai dunia yang sementara ini melebihi akhirat yang kekal abadi.
Terima kasih ibuku,terima kasih isteriku,terima kasih anak-anakku dan terima kasih yang tidak terhingga kepada Mu Ya Allah atas segala rahmat dan nikmatMu ini.
Buat Anak-anak ku dan diriku sendiri…hayatilah Nasihat Luqman Al-hakim kepada anak-anaknya ini :
25 NASIHAT LUQMAN AL HAKIM
01 - Hai anakku: ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yang bernama TAKWA, ISInya ialah IMAN dan LAYARnya adalah TAWAKKAL kepada ALLAH.
02 - Orang - orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari ALLAH. Orang yang insaf dan sedar setalah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemuliaan dari ALLAH juga.
03 - Hai anakku; orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada ALLAH, maka dia tawaduk kepada ALLAH, dia akan lebih dekat kepada ALLAH dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada ALLAH.
04 - Hai anakku; seandainya ibu bapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya ibu bapamu adalah bagaikan baja bagi tanam-tanaman.
05 - Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.
06 - Dan selalulah berharap kepada ALLAH tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai ALLAH. Takutlah kepada ALLAH dengan sebenar-benar takut (taqwa), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat ALLAH.
07 - Hai anakku; seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak melamunkan hal hal yang tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.
08 - Hai anakku; engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada semua itu, adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang jahat.
09 - Hai anakku; janganlah engkau mengirimkan orang yang bodoh sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan.
10 - Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang berbahaya.
11 - Hai anakku; bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.
12 - Janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan kepada anjing sahaja.
13 - Hai anakku; janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan saja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.
14 - Makanlah makananmu bersama-sama dengan orang-orang yang takwa dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulama dengan cara meminta nasihat dari mereka.
15 - Hai anakku; bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yang mencari kayu bakar, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.
16 - Hai anakku; bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura-pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu, maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati-hatilah.
17 - Selalulah baik tuturkata dan halus budibahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.
18 - Hai anakku; bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.
19 - Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya yang akan mendatangkan cela pada dirimu.
20 - Hai anakku; janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan olah dunia saja kerana engkau diciptakan ALLAH bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.
21 - Hai anakku; usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.
22 - Hai anakku; janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia-siakan hartamu.
23 - Barangsiapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi racun, dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan menyesal.
24 - Hai anakku; bergaullah rapat dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.
25 - Hai anakku; ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu
Sangtawal Sakranta…
3 comments:
Salam buat Rantong,
terima kasih atas komen dan galakan anda.Teruskan membaca.
wassalam.
Sedihnya baca post ni...
Muhammad Firdhaus
(along_firdhaus@yahoo.com)
Terbaik,,,,kemah
Post a Comment