Artikel Pilihan.
Sumber : http://business.fortunecity.com/rocke/24/sriwijaya_m4.html
Sebaliknya mereka yang menerima bahawa sejarah orang-orang Melayu melangkau ribuan tahun sebelum Melaka bukan saja akan mengetahui usul-asal bangsa mereka malahan akan mudah memahami adat, budaya, sistem nilai dan sistem kepercayaan yang diwarisi dan sebahagian besar masih diamalkan orang Melayu sehingga ke hari ini. Mereka akan memahami cara berfikir dan sikap malahan keperibadian orang-orang Melayu itu sendiri. Mereka tidak akan kebingungan mithalnya memerhatikan ada orang Melayu, yang mengaku Islam, memakai tangkal untuk menolak penyakit atau berdo'a di "keramat-keramat" untuk mencapai sesuatu hajat, atau meminta kebenaran "tok nenek" apabila hendak membuang air di belukar-belukar.
Seorang penulis Barat sangat hairan melihat Indonesia yang majoriti besar rakyatnya Islam tidak memandang janggal Garuda dijadikan lambang negara mereka walhal si penulis tahu bahawa Garuda merupakan tunggangan Vishnu, satu daripada tiga Tuhan Besar ugama Hindu! Sebaliknya ramai orang-orang Melayu tidak menyedari bahawa pulut kuning yang dibentuk seperti gunung di hadapan pengantin melambangkan Gunung Mahameru iaitu tempat kononnya bersemayam tuhan-tuhan Hindu.
Siapakah yang dikatakan Melayu?
Sebelum tertubuhnya Indonesia sebagai konsep politik, ahli-ahli geografi, sejarah, anthropologi dan keilmuan lain mendefinisikan seluruh kepulauan yang merangkumi Indonesia Malaysia Brunei Singapura termasuk Semenanjung Tanah Melayu sebagai "The Malay Archipelago" atau Gugusan Pulau-Pulau Melayu.
Untuk memudahkan perbincangan, kita akan gunakan istilah Gugusan Pulau-pulau Melayu ini.
Menurut kajian sejarah dan anthropologi, orang yang dikenali umum sebagai "Melayu" berasal dari Selatan Benua Cina dan berhijrah ke seluruh Gugusan Pulau-pulau Melayu. Penghijrahan ini bermula antara tiga hingga tujuh ribu tahun dahulu dan melibatkan dua gelombang. Gelombang pertama adalah orang-orang yang disebut "Proto Malays". Gelombang kedua dan terakhir adalah orang-orang yang disebut sebagai "Deutero-Malays".
Budaya yang dibawa oleh gelombang pertama adalah "neolithic" (istilah anthropologi yang bermaksud tamadun yang ciri-cirinya berasaskan alat dan senjata yang dibuat daripada batu yang digosok licin serta cara pertanian yang primitif). Di kalangan mereka ada terdapat juga budaya "megalithic" (batu besar, terutamanya sebagai kubur ). Keturunan mereka di zaman sekarang termasuklah orang Dayak di Borneo, orang Toraja di Sulawesi dan orang Batak di Sumatera.
Golongan kedua, "Deutero-Malays", mempunyai budaya yang lebih tinggi pada zaman itu, iaitu budaya yang dikenali sebagai "Dong Son", dari kawasan yang sekarang ini di utara Vietnam; mereka menguasai logam, alat dan senjata serta pertanian dan penternakan binatang yang lebih canggih. Dengan kedatangan gelombang kedua ini, gelombang pertama lama kelamaan berundur ke pendalaman. Itulah sebabnya orang Dayak, Toraja dan Batak terdapat jauh dari pantai, di bukit-bukit dan kawasan-kawasan pendalaman sambil orang Melayu terdapat di kawasan-kawasan dekat pantai di seluruh Gugusan Pulau-pulau Melayu.
Kerajaan "Melayu"
Dari segi sejarah, Jambi seharusnya merupakan tempat yang amat penting kepada orang Melayu kerana di sinilah berasalnya nama "Melayu" itu sendiri. Di sinilah tumbuh dan berkembangnya sebuah kerajaan purba yang besar dan gagah bernama "Melayu" (ahli sejarah Barat menyebutnya sebagai "Melayu, the great ancient kingdom of the Batang Hari"). Daripada Kerajaan yang bernama "Melayu" inilah orang Melayu keseluruhannya mendapat namanya.
Kerajaan Melayu purba ini sudah wujud dalam tahun 400an lagi kerana pada masa itu sudah pun direkodkan menghantar "bunga emas" ke Negeri Cina. Berapa lama sebelum itu Kerajaan Melayu ini diasaskan tidak dapat ditentukan setakat ini tetapi yang jelas ianya mendahului Kerajaan Sriwijaya yang berpusat di Palembang. Di penghujung kurun ke-tujuh, Melayu nampaknya menjadi takluk Sriwijaya (walaupun dengan kuasa autonomi) sehinggalah 600 tahun kemudian apabila Melayu berjaya membebaskan diri sepenuhnya daripada pengaruh Sriwijaya dan akhirnya mewarisi kuasa Sriwijaya itu sendiri.
Kerajaan Melayu Sriwijaya:
Palembang juga merupakan tempat yang terpenting penting kerana di sinilah pusat Kerajaan Sriwijaya yang bangun dalam kurun ketujuh. Ahli-ahli sejarah Barat menyebutnya sebagai "the Great Malay Kingdom of Sriwijaya". Kerajaan Melayu Sriwijaya menjadi begitu gagah sehingga menguasai selama 600 tahun bukan sahaja kerajaan-kerajaan lain di Sumatra malahan keseluruhan bahagian Barat Gugusan Pulau-pulau Melayu. Di kemuncak kuasanya, wilayah yang dikuasainya begitu luas: mulai dari perairan Vietnam Utara ke timur dan sampai ke pulau Madagascar (Malagasy) di barat. Sebahagian penting penduduk dan bahasa Malagasy menunjukkan kaitan yang jelas dengan Melayu. Penuntut-penuntut di Thailand mempelajari bahawa "Sriwichai" adalah sebuah empayar dalam sejarah Siam walau pun tidak diberitahu bahawa empayar Sriwijaya ini sebenarnya Melayu. Kota-kota seperti Trang dan Surat Thani sudah wujud di zaman Sriwijaya dan merupakan pusat-pusat kuasa Kerajaannya. Asas kejayaan Sriwijaya adalah kekuatan maritim (lautan) dengan menguasai perairan antarabangsa dan pelabuhan-pelabuhan yang strategik termasuklah di Semenanjung Tanah Melayu sendiri. Kemajuannya juga berasaskan sistem perdagangan dan percukaian.
Bahasa Melayu
Oleh kerana taburan orang-orang Melayu di seluruh Gugusan Pulau-pulau Melayu dari awal lagi, tidak hairanlah kalau Bahasa Melayu menjadi bahasa perantaraan atau "lingua franca" yang difahami luas dan digunakan oleh bukan saja orang tempatan tetapi juga oleh pedagang asing. Tambahan pula, Sriwijaya menguasai seluruh Gugusan Pulau-pulau Melayu dan Bahasa Melayu adalah bahasa pemerintahannya.
Batu-batu bertulis dari zaman Sriwijaya yang ditemui di Palembang merupakan rekod-rekod terawal penggunaan Bahasa Melayu. Tulisan-tulisan dari zaman Sriwijaya ini yang terawal bertarikh tahun 682 M. Sudah tentulah bahasa Melayu digunakan sebelum itu lagi tetapi setakat ini belum ditemui tulisan-tulisan yang lebih awal. Batu bersurat di Pulau Karimun, Riau dikatakan yang tertua sekali di Gugusan Pulau-pulau Melayu tetapi malangnya setakat ini belum berjaya dibaca oleh para ilmuan.
Ugama dan Pengaruh India
Ibukota Sriwijaya merupakan pusat pengajian dan ugama Buddha yang terbesar. Dalam tahun 671 seorang sarjana dari Negeri Cina bernama Yi Ching datang melawat dan dicatatkannya bahawa terdapat seribu penuntut belajar di sana. Beliau sendiri menuntut di sana sebelum melanjutkan pengajiannya di India; beliau menganjurkan mereka yang hendak melanjutkan pengajian ke India seharusnya belajar dulu di Sriwijaya.
Pengaruh India dalam sejarah Melayu memang tidak dapat dinafikan. Sebagai fakta sejarah, dua ribu tahun dahulu pengembara-pengembara dari India dalam perjalanan perdagangan ke Negeri Cina melalui perairan Selat Melaka singgah di Muara Sg Merbuk di Kedah. Lama kelamaan tumbuhlah pusat dagangan diikuti dengan kerajaan-kerajaan yang berasaskan ugama dan budaya Hindu di Kedah. Terdapat candi Hindu yang terkenal di Gunung Jerai (sekarang sudah runtuh) yang dipasang lampu supaya nampak dari laut sebagai pedoman bagi pengembara dalam pelayaran mereka seterusnya. Pengembara-pengembara awalan inilah yang mula memperkenalkan ugama Hindu dan Buddha serta budaya dan bahasa Sanskrit dari India yang begitu meluas masuk ke dalam budaya dan bahasa orang Melayu.
Seperti Sriwijaya, kerajaannya, orangnya, Melayu tetapi ugama dan sebahagian penting budayanya dari India. Tulisan-tulisan purba India (dan juga Marong Mahawangsa) jelas menunjukkan bahawa orang-orang yang mereka ceritakan itu bukan orang India tetapi "Java-ka", iaitu orang tempatan ("natives") dalam bahasa mereka. Ada kemungkinan itulah usul asal nama Pulau Jawa (Java) sendiri.
Menurun dan jatuhnya Sriwijaya
Dalam tahun 1025 Palembang mengalami serangan dari India dan dalam kurun yang berikutnya pusat-pusat perdagangan yang bebas daripada Sriwijaya tumbuh di utara Sumatra, Semenanjung Tanah Melayu dan Jawa. Menjelang tahun 1080, yang terpenting sekali antara pusat-pusat perdagangan ini terletak berhampiran dengan kota Jambi yang ada sekarang.
Hasil daripada keretakan dalaman, lama kelamaan Sriwijaya menjadi lemah sehingga Majapahit berjaya mengatasinya. Dalam tahun 1347, seorang anak raja, emaknya puteri Melayu Sriwijaya dan bapanya putera Jawa Majapahit, bernama Adityavarman telah dihantar dari Jawa Timur untuk memerintah Sumatra atas nama Majapahit. Tidak berapa lama selepas mendirikan kerajaannya di Jambi, entah sebab apa tidak diketahui, Adityavarman tiba-tiba meninggalkan Jambi dan mudik ke hulu Sungai Batang Hari dan dengan itu tamatlah sejarah empayar Sriwijaya dan Melayu.
Majapahit sendiri pun jatuh tidak berapa lama kemudian ke tangan kerajaan-kerajaan Islam yang mula bertapak di Perlak dan Pasai.
Peranan Melaka dalam peralihan daripada Hindu-Buddha ke Islam
Parameswara, yang mendakwa dirinya anak raja Sriwijaya, telah mengasaskan Bandar Melaka awal abad ke-15. Pusat perdagangan baru ini telah berkembang dengan pesat sehingga menjadi pusat yang terpenting dalam perdagangan antara-bangsa yang terpaksa melalui Selat Melaka. Dalam tahun 1436 Parameswara memeluk ugama Islam.
Melaka bukan merupakan pusat pertama Islam di Gugusan Pulau-pulau Melayu: kerajaan-kerajaan Perlak dan Samudra di Aceh telah menjadi Muslim dalam tahun-tahun 1290an. Tetapi ahli sejarah berpendapat apabila Melaka, pusat perdagangan yang terbesar di Asia Tenggara pada masa itu, memeluk Islam, ianya menjadi pencetus kepada pengembangan Islam yang meluas di seluruh Gugusan pulau-pulau Melayu. Ini adalah kerana pedagang-pedagang yang berulang alik ke Melaka membawa pulang ke negeri masing-masing idea dan semangat ugama baru, iaitu Islam. Akhirnya, apabila Demak menakluk dan mengIslamkan keseluruhan Jawa Utara antara 1505 dan 1546 maka tamatlah kuasa Majapahit dan kuasa-kuasa Hindu-Buddha yang lain di hampir keseluruhan Gugusan Pulau-pulau Melayu.
MELAYU DAN SRIWIJAYA :
Dalam usaha menjejak sejarah orang-orang Melayu, kita sebelum ini telah sampai hingga ke sempadan Thai/Burma/Laos di utara dan ke Pulau Bintan, Pulau Penyengat dan Pulau Karimun di selatan. Kita telah melawat kota-kota di Siam yang bermula di zaman Sriwijaya termasuk Surat Thani, Trang, Bhuket, Krabi dan lain-lain serta pusat-pusat kuasa Siam yang memainkan peranan dalam sejarah Melayu lebih moden seperti Ayyuthaya. Di Pulau Bintan dan Pulau Penyengat kita telah melawat pusat-pusat yang penting dalam sejarah moden Melayu, khususnya peranan Bugis yang mewarisi sifat dan kekuatan maritim Sriwijaya. Di Pulau Karimun, kita telah dapat mengunjungi monumen bertulis yang dikatakan tertua sekali dalam sejarah Gugusan Pulau-pulau Melayu, iaitu batu bersurat yang masih dalam kajian untuk mengetahui maksud tulisan purbanya. Kita juga telah melawat kawasan-kawasan Batak di Sumatra yang ada kaitan dengan fasa megalithic sejarah Gugusan Pulau-pulau Melayu.
Kali ini kita berpeluang pula ke wilayah yang terpenting sekali dan merupakan akar umbi sejarah dan kebudayaan Melayu.
Jambi
Tidak banyak lagi yang tinggal daripada zaman pemerintahan Kerajaan bernama "Melayu" di Jambi yang 1600 tahun dulu lagi sudah wujud tetapi apa yang tinggal merupakan kesan sejarah yang amat penting iaitu runtuhan tujuh candi purba yang terletak di Muara Jambi di tebing Sungai Batang Hari. Oleh kerana kekurangan dana, terlalu banyak lagi kerja-kerja arkeologi yang perlu dibuat untuk menjelmakan sejarah Melayu tetapi kita telah dapat melawat (pada 15 Oktober 1998) situs yang tahap kemajuan kerja-kerja itu lebih tinggi dari tapak lain. Selain daripada candi dan struktur-struktur yang berkaitan, bangunan atau kesan tapak yang bukan berkaitan dengan ugama seperti istana belum ditemui setakat ini. Seperti juga standard bangunan, barang-barang purba yang ditemui juga menunjukkan pencapaian kemahiran teknologi dan seni yang sangat tinggi di zaman itu.
Dari situs arkeologi Muara Jambi, selepas makan tengah-hari di sebuah rumah makan berhampiran Sg Batang Hari yang dikatakan diusahakan isteri Gubernur Jambi, kita melawat taman yang mempamirkan rumah-rumah adat dari daerah-daerah Jambi, termasuk Kerinci, Bungo-Tebo, Batang Hari dsbnya. Tetapi mungkin benda yang menarik perhatian sekali ialah batu bersurat yang dipamirkan di hadapan rumah adat dari kawasan yang batu itu ditemui. Daripada isi kandungannya, semasa batu ini ditulis, Kerajaan "Melayu" sudah menjadi takluk Kerajaan Melayu Sriwijaya. Ditulis dalam bahasa Melayu Kuno (Old Malay) dengan menggunakan huruf Pallawa, iaitu sistem tulisan daripada Sanskrit (Pali) batu ini bertujuan mengumumkan pembunuhan seorang yang memberontak terhadap "Tanderung Loah" (pemerintah Sriwijaya di kawasan berkenaan) dan sekali gus memberi amaran kepada bakal-bakal pemberontak terhadap pemerintahan Sriwijaya serta kesalahan-kesalahan lain, termasuk meracun dan menuba, menjampi orang untuk menjadikannya sakit atau gila, menggunakan ilmu pengasih dan lain-lain lagi.
Palembang
Pada pagi 16 Oktober, 1998, kita bertolak ke Palembang. Oleh kerana jalan rosak teruk dan tiada dana memperbaikinya, perjalanan yang biasanya dalam lingkungan 3-4 jam memakan masa hampir tujuh jam
Di Palembang terdapat beberapa tempat yang penting bagi mereka yang minat terhadap sejarah dan budaya Melayu, antaranya Muzium "Balaputra Dewa" (nama Raja Sriwijaya yang memerintah abad kelapan-sembilan), Taman Purba Kerajaan Sriwijaya, Bukit Seguntang, Muzium Budaya Sultan Mahmud Badaruddin.
Tulisan bahasa Melayu terawal
Mungkin pameran yang terpenting sekali di Muzium "Balaputra Dewa" ialah batu-batu bersurat yang bertarikh dari zaman Sriwijaya.
Kita telah mengunjungi Muzium ini pada 17 Oktober, 1998 dan berpeluang meneliti batu-batu bersurat berumur 1300 tahun dalam Bahasa Melayu Kuno (Old Malay) menggunakan huruf Pallawa. Jelas yang terpenting sekali ialah batu bersurat yang dinamakan prasasti "Kedukan Bukit" yang ditemui di kaki Bukit Seguntang. Tulisannya menyebut tarikh penempatan Sriwijaya di suatu tempat yang sekarang dikenalpasti Palembang (bersamaan 682 M).
Apabila dihalusi, terdapat sebahagian besar perkataan bahasa Melayu yang digunakan 1300 tahun dahulu hampir sama dengan bahasa kita sekarang. Oleh kerana ugama ketika itu Buddha terdapatlah istilah-istilah yang tidak dipakai sekarang, contohnya "Swasti" ("Sawasdi" di Thailand), nama-nama bulan ("wulan") mengikut kalendar Buddha, acara-acara khusus Buddha seperti "siddhayatra" dsbnya. Mungkin juga ada perkataan Melayu yang sukar ditulis dengan tepat dalam huruf Pallawa kerana ketiadaan bunyi yang tertentu menyebabkan "yang" ditulis "yan" "dengan" ditulis "danan". Masalah ini terdapat juga apabila Bahasa Melayu ditulis dengan huruf Arab (contoh: cahaya, gaya, nyawa, nganga dsbnya).
Satu perkara yang menarik ialah bahawa dalam tulisan-tulisan purba tidak terdapat perkataan Raja. Ketua Pemerintahan Sriwijaya disebut Datua dan gelaran hormatnya Dapunta. Ini selari dengan pendapat ahli sejarah bahawa sistem asal pemerintahan orang Melayu adalah berdasarkan "penghulu" yang dipersetujui rakyat. Hanya apabila orang-orang dari India khususnya sami-sami Hindu membisikkan kepada mereka bahawa sebenarnya mereka adalah keturunan "Dewa-dewa" ("concept of divine rulers") barulah ketua-ketua Melayu menjadi "Raja" (istilah Hindu).
Beberapa batu bersurat yang lain juga terdapat di Muzium Balaputra Dewa. Yang terbaru ditemui adalah yang dinamakan Prasasti "Boom Baru" (nama tempat ditemui). Oleh kerana sebahagian batunya pecah, tulisannya tidak lengkap tetapi jelas ia merupakan "sapatha" atau sumpah. Sumpah ini ditujukan kepada barangsiapa yang tidak setia kepada negara (tida ya bhakti tatwa arjawa dy-aku). Mereka akan dibunuh oleh sumpahnya (niwunuh ya sumpah), hilang ingatan (maka langit), sakit (maka sakit) dan gila (maka gila). Perbuatan melawan negara itu bentuknya bermacam-macam seperti durhaka (drohaka), meracun orang lain (upuh tuwa), mengguna-gunai orang lain supaya jatuh cinta (kasihan), mengguna-gunai orang lain supaya tunduk kepada kemahuannya (wasikarana).
Tetapi sebaliknya apabila rakyat bakti-setia kepada negara (kadaci ya bhakti tatwa arjawa dy-aku), mereka akan dapat keselamatan (santi) dengan seluruh keluarganya (dngan gotra santananya), sejahtera (swastha), sihat-walafiat (niroga), bebas dari kecelakaan (nirupadrawa) dan makmur sejahtera (subhiksa).
Batu-batu megalithic
Muzium Balaputra Dewa turut mempamirkan beberapa batu misteri yang be
rasal dari kawasan Lahat berhampiran Bukit Barisan dan sempadan Bengkulu. Batu-batu berpahat ini dikatakan berumur 2000 - 4000 tahun dan melambangkan budaya "megalithic". Di antara batu-batu yang termasyhur ialah yang dikenali sebagai "Batu Gajah". Ianya disimpan di Muzium Balaputra Dewa bersama beberapa contoh lain tetapi masih terdapat banyak batu-batu budaya megalithic ini bertaburan di kawasan Lahat. Setakat ini, tujuannya masih menjadi misteri.
Bukit Seguntang
Mengikut dongeng tempatan, di bukit inilah anak raja keturunan Iskandar Dzulkarnain(Alexander the Great) turun dari langit lalu menjadi raja pertama Sriwijaya. Cerita yang lebih kurang sama terdapat juga dalam buku "Sejarah Melayu". Mengikut "Sejarah Melayu" Wan Empo' dan Wan Malini berhuma di situ. Pada satu malam dipandangnya dari rumahnya "di atas Bukit Seguntang bernyala-nyala seperti api". Pagi esoknya mereka naik ke atas Bukit Seguntang, "maka dilihatnya padinya berbuahkan emas dan berdaunkan perak dan batangnya tembaga suasa". Mereka juga bertemu tiga orang lelaki muda, seorang daripadanya berkenderaan lembu putih dan yang lainnya berdiri di sisinya. Salah seorang daripada mereka memklumkan kepada Wan Empo' dan Wan Malini bahawa mereka adalah asal daripada anak cucu Raja Iskandar Dzul Karnain dan nama-nama mereka adalah Nila Pahlawan, Krishna Pandita dan Nila Utama. Lembu putih pula memuntahkan buih dan daripada buih itu keluar manusia lelaki dinamai Batala. Batala menggelar Nila Pahlawan Sang Si Perba Taram-seri-teri-buana yang menjadi Raja Palembang, mengambil alih daripada Demang Lebar Daun yang turun menjadi mangkubumi.
Kita melihat beberapa makam, satu dikatakan kubur "Segentar Alam", kononnya keturunan Iskandar Dzul Karnain, Raja pertama. Yang anihnya, sambil diakui bahawa raja ketika itu berugama Buddha, terdapat buku-buku Ya Sin selari dengan kemian dan tanda-tanda amalan khurafah di sekelilingnya.
Kalau diketepikan dongeng, adalah dipercayai bahawa Bukit Seguntang sebenarnya adalah bekas tempat suci agama Buddha (Buddhist sanctuary) yang penting di zaman Sriwijaya. Galian arkeologi di kawasan itu menemui barang-barang yang biasa digunakan dalam upacara Buddha.
Taman Purbakala Kerajaan Sriwijaya
Sudah lama dipersetujui bahawa pusat Kerajaan Sriwijaya terletak di Palembang tetapi tidak ada kepastian di mana dalam kawasan Palembang. Berikutan pemetaan foto udara memperlihatkan adanya bangunan air dan struktur batu-bata yang memanjang di kawasan Karang Anyar, galian (excavation) dibuat 1984-87 dan ini menghasilkan pendapat yang kuat bahawa Kerajaan Sriwijaya adalah bertempat di sekitar daerah Karang Anyar.
Kita telah melawat Taman Purbakala ini dan mendapati beberapa barang pameran yang menarik. Selain replica batu-batu bersurat, terdapat sebatang kemudi besar dibuat dari kayu yang umurnya lebih seribu tahun. Daripada saiznya jelas ia sebahagian daripada kapal yang sangat besar. Kapalnya terbenam di satu kawasan yang telah dibina perumahan dan tidak dapat dikeluarkan oleh kerana ia akan memerlukan penempatan semula penduduk yang ramai.
Salah satu yang menarik adalah melihat perkembangan tulisan Melayu daripada huruf Sanskrit, ke huruf Ulu, ke huruf Melayu dan akhirnya ke huruf Belanda (Rumi); daripada batu, ke buluh dan akhirnya ke kertas. Satu perkara yang anih ialah sambil kita mengenali huruf berasaskan Arab sebagai "Jawi", di Palembang ianya dikenal sebagai huruf "Melayu". Agaknya gelaran "huruf Jawi" ini berpunca daripada kebiasaan Arab menggelar semua wilayah dalam Gugusan Pulau-pulau Melayu sebagai "Jawa" dan orang dan bahasanya sebagai "Jawi". Walhal daripada batu bersurat (1297) yang terdapat dekat Lokhseumawe, orang yang mula sekali menggunakan huruf Arab di Gugusan Pulau-pulau Melayu adalah orang Aceh.
Beberapa tarikh penting dalam Sejarah Melayu Sriwijaya
5000 - 2000 Sebelum Masehi - Penghijrahan orang-orang yang umum disebut Melayu ke Gugusan Pulau-pulau Melayu dari Selatan Cina
400an Masehi - Kerajaan "Melayu" di Jambi menghantar bunga emas ke Negeri Cina
671 M - Sarjana Cina Yi Ching tiba di Ibukota Sriwijaya
671-673 M - Sriwijaya menghantar utusan pertama ke Negeri Cina
682 Masehi - Dapunta Hiyang menubuhkan "wanua" diberi nama Sriwijaya
1000an M - Sriwijaya menguasai wilayah terluas dalam sejarahnya - dari
perairan Vietnam Utara hinga ke Madagascar.
1025 M - Ibukota Sriwijaya mengalami serangan dari India
1178 M - Laporan Cina menyebut barang-barang dagangan di pusat-pusat perdagangan Sriwijaya terlalu mahal. Pedagang asing mula menggunakan pelabuhan-pelabuhan lain
1200an - Melayu membebaskan diri daripada kuasa Sriwijaya
1294 M - Majapahit ditubuhkan
1347 M - Adityavarman memerintah Melayu (nama seluruh Pulau Sumatra) bagi pihak Majapahit
1389 M - Majapahit mula menurun
1403 M - Melaka ditubuhkan dan menjadi pusat perdagangan terbesar di Asia Tenggara
1436 M - Melaka memeluk Islam diikuti negeri-negeri lain lalu merebak ke hampir seluruh Gugusan Pulau-pulau Melayu
1546 - Demak menghancurkan Majapahit
PRASASTI:
Transkripsi Prasasti Kedukan Bukit dari huruf Pallawa ke huruf Rumi
1. Swasti sri sakawarsatita 604 ekadasi
2. suklapaksa wulan waisakha dapunta hiyan nayik di
3. amwau manalap siddhayatra di saptami suklapaksa
4. wulan jyestha hiyang marlapas dari minana
5. tamwan mamawa yan wala dua laksa danan kosa
6. dua ratus cara di samwau danan jalan sariwu
7. tlu ratus sepuluh dua wanakna datan di mukha upa(n)
8. sukhacitta di pancami suklapaksa wulan (n asada)
9. laghu mudita datan marwat wanua (.........)
10. Sriwijaya jaya siddhayatra subhiksa ni (t)y(akala)
Terjemahan Prasasti Kedukan Bukit dari Bahasa Melayu Kuno
1. Selamat! Tahun Saka telah 604, pada hari kesebelas
2. paruh-terang bulan Waisakha Dapunta Hiyang naik di
3. perahu "mengambil siddhayatra" Pada hari ketujuh paruh-terang
4. bulan Jyestha Dapunta Hiyang bertolak dari Minanga
5. sambil membawa 20,000 tentera dengan perbekalan
6. sebanyak dua ratus (peti) berjalan dengan perahu dan yang berjalan kaki
sebanyak seribu
7. tiga ratus dua belas datang di Mukha Upang
8. dengan sukacita. Pada hari kelima paruh-terang bulan Asada
9. dengan cepat dan penuh kegembiraan datang membuat benua (....)
10. Sriwijaya menang, perjalanan berhasil dan menjadi makmur senantiasa
sumber : http://business.fortunecity.com/rocke/24/sriwijaya_m4.html
Sejak kebelakangan ini, timbul pula persoalan benarkah palembang itu adalah Pusat kerajaan atau empayar Sriwijaya yang sebenar.berikut saya siarkan ulasan menarik seorang penulis bernama Hj Abdul halim Bashah dalam tulisannya bertajuk:
“Wali Songo dengan perkembangan Islam di Nusantara”
Sila baca tulisan beliau yang berikutnya:
Sejarah itu tidak pernah berdusta, Cuma penjajah sahaja memutar belit dan menyembunyikan data kebenaran kerana ingin memadamkan semangat juang dan jihad yang membawa kepada jalan takwa.
Kerajaan Sriwijaya Awal: Indonesia atau Malaysia?
Kelantan adalah sebuah negeri diSemenanjung yang banyak menyimpan rahsia-rahsia sejarah. Kalau dikaji dari sejarah Kelantan purba sehinggalah Kelantan di zaman Long Yunus [Kelantan Moden] maka kita akan membuat satu konklusi bahawa Kelantan merupakan KUNCI pembukaan sejarah-sejarah di Asia Tenggara seterusnya memegang peranan penting dalam penyebaran berbagai agama dan kebudayaan yang mengaitkan negeri China, Korea, Jepun, Arab dan India. Ternyata bumi Kelantan adalah PUSAT segala-galanya.
Sebut sahaja nama-nama negeri atau pulau-pulau, maka Kelantan tetap dikaitkan walaupun ianya mempunyai nama yang sering berubah-ubah. Inilah yang menimbulkan kebingungan dan kekeliruan para ahli pengkaji sejarah dalam menentukan lokasi nama-nama tempat atau negeri sehingga berlaku percanggahan di antara satu sama lain.
Dua faktor yang menyebabkan peninggalan-peninggalan lama hilang dan tidak dapat dikesan lagi lokasinya ialah:
1-kerana dari sudut geografinya Kelantan merupakan sebuah negeri di Semenanjung yang sering dilanda banjir. Hakisan-hakisan yang sering berlaku banyak meruntuhkan dan menenggalamkan kesan-kesan sejarahnya ke dalam bumi dan sungai, dan;
2-peperangan-perangan yang berlaku samada oleh serangan-serangan dari luar atau perangan sendiri telah membawa bencana dan banyak membinasakan kesan-kesan purba. Contohnya satu tempat yang terdapat di hilir Kelantan sekarang kira-kira 3 batu di sebelah barat-daya Bukit Panau, ibu kota yang namanya YAWATOKI bagi negeri Kelantan dalam abad pertama sehingga beberapa abad kemudian dikatakan telah tenggelam ke dalam bumi [pada akhir abad yang ke 14 masehi sewaktu menjadi ibu-kota Empayar Chermin Jeddah]
Kota YAWATOKI dan BUKIT PANAU waktu itu dikatakan terletak di tepi pantai. YAWATOKI bererti “TITK JAWA” yang bermaksud, DARI KOTA INILAH POLITIK DAN KEBUDAYAAN [BANGSA] JAWA MULA BERKEMBANG KE SELURUH ASIA TENGGARA.
Ahli-ahli sejarah dan arkeologi Indonesia, ahli arkeologi dari Amerika dan Belanda masih tercari-cari pusat kerajaan SRIWIJAYA yang pertama kerana tiga buah kawasan utama iaitu di Bukit Siguntang di Palembang, Muara Takus dan Muara Jambi tidak ada kesan-kesan yang menunjukkan bukti bahawa kawasan-kawasan tersebut wujud bersama-sama kerajaan SRIWIJAYA di peringkat awal.
Prasasti-prasasti [batu bersurat] yang dijumpai tidak dapat menunjukkan bahawa Palembang pusat SRIWIJAYA di awal abad 7 Masehi. Prasasti Kedukan Bukit di Palembang yang paling tua tarikhnya [638Masehi] dan paling penting dalam konteks kajian untuk mencari lokasi pusat SRIWIJAYA yang awal juga tidak menemukan bukti-bukti yang jelas dan masih disangsikan.
Bronson seorang ahli arkeologi dari Amerika yang telah mengemuka beberapa hipotesis hanya dapat menjumpai kesan-kesan peninggalan sejarah terutama di Bukit Siguntang dan Palembang yang menunjukkan bekas-bekas permukiman manusia dan penemuan arca dan seramik yang berasal dari China dan Thailand adalah pada abad ke 14 hingga 17 Masehi.
Beliau kemudian mengemukakan pendapatnya bahawa apa yang ditemui oleh para arkeologi Indonesia adalah penemuan seramik dan arca perbakala peninggalan MAJAPAHIT dan SINGGOSARI serta KESULTANAN PALEMBANG.
Jadi di manakah pusat SRIWIJAYA yang sebenarnya?
Garis lintang 5 darjah 50 minit !
Posted by: faizn in Kelantan-Patani's Forgotten History
Sumber : http://faizn.blog.friendster.com/
6 comments:
Assalamualaikum,
Adityawarman pergi ke Pagar Ruyung dan menjadi raja Kerajaan Pagar Ruyung
Keturunan Adityawarman termasuklah Megat Terawih,Megat Panji Alam dan Megat Sri Rama(Laksamana Bentan)
Allah lebih mengetahui
Salam semua,
Pada pandangan saya, pusat kerajaan kelantan kuno adalah terletak di antara sempadan kelantan dan perak..Pada waktu ini, kawasan tersebut telah di tutupi oleh hutan belantara.
saya ada mendengar dari rakan karib saya, seorang pencari harta karun, bahawa beliau telah ke sana dan telah menemui pelbagai artifak kuno, termasuk alatan persenjataan kerajaan kelantan pada waktu itu.
Menurutnya juga, harta karun purba termasuk tiara permaisuri kelantan yang di carinya ada penjaganya. Usia barangan barangan purba itu melebihi seribu tahun.
Menurutnya lagi, pencariannya itu telah di biayai oleh seorang Sultan yang amat kaya di rantau ini.
Di harap, ada usaha usaha untuk membuka rahsia lipatan sejarah yang amat berharga dalam tamadun Melayu ini.
Waallahualam
salam buat lekir,
maaf komen awak terlepas pandang,
terima kasih atas info yang berguna.
salam buat anon @ 8.18pm,
Terima kasih atas komen anda.
Ya, kawasan yang anda sebut itu menyimpan khazanah rahsia yang tak ternilai harganya, sentiasa diburu oleh mereka yang tahu berkaitan dengan kewujudannya.
Rasanya masih banyak rahsia yang anda sudah tahu berkaitan dengannya.Rasanya juga tak perlu dibuka lagi rahsia itu kerana belum tiba masanya!rasanya anda sudah faham apa maksud saya :)
wassalam.
sy agak terkilan bila di akhir komen tuan minta dirahsiakan perkara ini. soalan saya:
1)bilakah ms yg sesuai?
2)bgmana tuan akan tahu ms yg sesuai tersebut? adakah terdapat sbrg petunjuk?
3)knp perlu dirahsiakan buat ms skrg?
4)yang terakhir...apakah rahsia tersebut jika tuan tidak keberatan...
time kasih.
teori melayu dari Yunnan sudah lapuk. kita berasal dari nunsantara mengikut kajian j.crawfurd. k himly, Gorys Keraf. tolong ubah agar tidak memeningkan kepala-kepala anak-anak melayu. thanks.
adakah adityawarman tu ialah sang sapurba, kerana kedua2nya menjadi raja pagaruyung
Post a Comment