Showing posts with label ucapan. Show all posts
Showing posts with label ucapan. Show all posts

Thursday, September 23, 2010

Pemasyhuran DYMM Sultan Muhammad Ke-5 : Daulat Tuanku!!!



Sultan Kelantan, Tuanku Muhammad Faris Petra berkenan untuk menggunakan gelaran Sultan Muhammad Kelima untuk penggunaan rasmi Istana dan kerajaan negeri bagi menggantikan nama baginda.

Tuanku Muhammad Faris Petra telah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan yang baru oleh Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Istana Balai Besar, di sini pada 13 Sept lepas.

Baginda berkenan untuk menggunakan nama itu atas kehendak sendiri dan untuk mendapatkan berkat kerana nama Sultan Muhammad telah digunakan oleh keturunan baginda sejak dahulu lagi.

Sultan Muhammad I bermula pada 1800 hingga 1835 oleh Sultan Kelantan pada ketika itu dengan nama asal baginda ialah Long Muhammad dan merupakan putera sulung kepada baginda Long Yunus yang memerintah Kelantan sejak 1765 hingga 1795.

Baginda Long Senik Long Tan menggunakan gelaran Sultan Muhammad Kedua (Sultan Muhammad Mulut Merah) pada 1836 hingga 1886.

Baginda Long Kundor iaitu putera sulung kepada Sultan Ahmad menggunakan gelaran Sultan Muhammad Ketiga sejak 1890 hingga 1891.

Sultan Muhammad Keempat telah digunakan oleh Baginda Tuan Long Senik yang memerintah Kelantan pada 1900 sehingga 1920.


Siapakah Sultan Muhammad I yang sebenar ???

Ada beberapa artikel menarik dari blog Sejarahnagarakedah berkaitan dengan Sultan Muhammad I untuk sama-sama kita baca, kaji dan renungkan :

Artikel 1 : Klik Sini

“Antara petikan menarik dari artikel tersebut yang ditulis oleh anai-anai :

[..Dalam tahun 1800, di negeri Legeh (Kelantan dan Trengganu) bersemayam seorang raja yang memang terkenal dengan ilmu agamanya sehingga berkebolehan untuk menjadi seorang tokoh agama. Nama baginda ialah Tengku Nik Muhammadiah ibni Tunku Mohammad Chan. Ayahanda baginda Tunku Mohammad Chan bergelar Mat Sirat pada suatu ketika pernah menjadi Perdana Menteri Nagara Kedah.

Baginda Tunku Mohammad Chan telah berkahwin dengan Puteri Maharaja China Manchu Islam dan salah sorang dari putera-puterinya telah dilantik oleh Khalifah Sharif Abu Bakar Syah menjadi Raja Legeh bersemayam di Istana Kampung Raja Legeh, Kok Lanas Jeli. Tengku Nik Muhammadiah ini dikenali dalam sejarah Kelantan sebagai Long Muhammad (1800-1835) dan Keramat Tok Bai. Sehingga ke hari nama Al Muhammadiah begitu terkenal di Kelantan dan ia sebenanya merujuk kepada baginda……. ]

Dalam artikelnya yang lain , ada lagi petikan yang menarik tentang Sultan Muhammad I ini :

Artikel ke-2 : Klik Sini


[…Di Kedah, Nik Muhammadiah hidup sebagai orang biasa dan menjadi tokoh agama di Kedah. Baginda menetap di Alor Pak Ngah dimana baginda dipanggil penduduk kampung sebagai Ngah Haji Muhammadiah. Baginda mempunyai ramai anak murid di Kedah yang terkenal diantaranya Keramat Haji Idris (Pekan Titi Haji Idris), Keramat Haji Naik Kayu, Keramat Haji Sheikh Penjarum dan Haji Abdullah Fahim…..]


Semoga bumi Kelantan Serambi Mekah ini sentiasa aman makmur, rakyat jelatanya selamat sejahtera dibawah naungan Payung Duli Tuanku dengan izin Allah swt ! Daulat Tuanku!!!

Semoga Duli Tuanku berupaya dan berazam untuk mengembalikan semula kegemilangan islam dan syiarnya di bumi bertuah ini ! semoga keagungan dan kehebatan kerajaan islam silam seperti Samudera-Pasai -Aceh sentiasa menjadi bayangan kerajaan dan pemerintahan Kebawah Duli Tuanku!

Daulat Tuanku!!!

Wednesday, September 08, 2010

Salam Aidilfitri !



Saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri 1431H kepada semua pengunjung dan pembaca Blog Sangtawal.

Di kesempatan ini, saya ingin memohon ribuan ampun dan maaf sekiranya apa yang tertulis dan tersiar di Blog ini tidak menyenangkan atau telah melukakan hati anda, atau dengan sebab artikel dan komen-komen dari saya anda semua berkecil hati.Maaf sekali lagi dari saya yang hina.

Kepada mereka yang akan pulang berhari-raya di kampung halaman, pandulah kenderaan anda dengan berhati-hati . Periksalah dan pastikan kenderaan anda dalam keadaan yang baik sebelum bertolak pulang. Saya doakan semoga anda selamat pulang ke destinasi anda dan selamat kembali bertugas semula selepas ini.

Kepada mereka yang masih merasa berbelah bagi untuk pulang berhari-raya atas sebab-sebab tertentu seperti bergaduh dan salah faham dengan kedua orang tua atau adik beradik anda saya merayu agar anda semua pulanglah…. Inilah masa yang terbaik untuk memohon kemaafan dari mereka dan mengukuhkan kembali silaturrahim yang terputus sekian lama. Apa salahnya sekali sekala kita mengalah dan buang ketepi ego kita, kerana permusuhan tidak akan membawa kita kemana-mana, malah ia akan lebih mengusutkan jiwa dan menambahkan derita , ia juga akan lebih menghangatkan bara api neraka!

Apa salahnya kita bermaaf-maafan, kerana ucapan maaf yang tulus dari jiwa tidak perlukan modal wang ringgit atau apa-apa! Cuba anda lakukannya kali ini, saya percaya mutiara jernih dari kelopak mata anda akan menyemarakkan lagi api kasih sayang sesama kita. Alangkah indahnya hidup ini jika ianya selalu dihiasi dengan keriangan dalam keredhaan Allah swt.

Kepada anak yang pernah durhaka kepada kedua ibu-bapa, usahlah kamu berkecil hati sangat dengan apa yang mereka lakukan keatas dirimu. Sesungguhnya budi dan jasa mereka membesarkan dirimu tidak akan terbalas. Ingatlah selalu yang syurga itu dibawah telapak kaki ibu.




Pulanglah sementara mereka masih hidup dan masih tidak berputus asa dari menanti kepulangan kita. Alangkah rugi dan menyesalnya kita jika sekiranya mereka berdua telah pergi terlebih dahulu dari kita ke alam yang kekal abadi sebelum kita sempat memohon keampunan dari mereka!




Salam Aidilfitri dariku : Sangtawal Sakranta.



Sunday, May 16, 2010

Selamat Hari Guru 2010 !



Tajuk : Selamat Hari Guru 2010 !

Oleh : Sangtawal Sakranta.


Sempena menyambut hari guru pada hari ini , saya ingin mengucapkan selamat menyambut hari guru buat semua guru, bekas guru dan bakal-bakal guru yang menjadi pembaca atau pengunjung blog Sangtawal ini.

Semoga guru-guru sekalian sentiasa sihat dan tetap bersemangat dalam mendidik anak bangsa menjadi orang yang berguna di dunia dan akhirat.

Benarkah dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan ramai guru-guru yang sentiasa sakit ? saya pernah mendengar rungutan ini dari beberapa orang yang bekerja secara langsung dalam bidang kesihatan.Kata mereka, di antara banyak – banyak bidang kerja dalam sektor kerajaan , mereka yang paling ramai dan kerap memohon Medical Certificate [MC] atau MC= ‘Minta Cuti’ adalah di kalangan guru, benarkah begitu?

Saya amat berharap agar dakwaan diatas tidak benar.Oleh itu , untuk menolak dakwaan itu , rasanya adalah menjadi satu kewajiban pihak Kementerian Pelajaran untuk membuat satu kaji selidik ringkas iaitu dengan membuat satu borang kajian dengan soalan-soalan ringkas sebegini:

1. Apakah kerjaya pesakit yang selalu memohon MC di Klinik / Pusat kesihatan/ Hospital ini?

2.Apakah gejala atau tanda sakit yang selalu diadukan/ dihadapi oleh mereka?

3.Apakah gejala atau tanda sakit itu juga masih terjadi atau berkurangan ketika cuti sekolah atau cuti hari minggu?

4.Berapa peratuskah dari pesakit di atas yang ingin diri mereka dirujuk ke hospital atau pakar perubatan?

5.Apakah mereka memiliki kerjaya lain selepas waktu bekerja seperti wakil jualan langsung, MLM, wakil insurans, bekerja sebagai guru tuisyen sambilan, terlibat dengan politik atau terlibat dengan aktiviti-aktiviti perniagaan lain dll ?

Soalan – soalan seperti diatas boleh dikaji dan di analisa oleh pihak Kementerian Pelajaran demi menjaga kebajikan dan kepentingan guru-guru sekalian agar mereka semua sentiasa dalam keadaan sihat dan bersemangat waja dalam meneruskan kerja mulia mereka sebagai pendidik yang cemerlang demi melahirkan generasi yang terbilang.

Contoh paling mudah ialah dengan membandingkan soalan 4 dan soalan 2. Jika ‘aduan masalah yang sama’ bila ditanya dalam soalan 2, tetapi tidak menjawab ‘ya’ dalam soalan 4 iaitu mereka kerap mengadu mengalami masalah kesihatan yang sama tetapi tidak mahu mendapatkan rawatan susulan atau “Diagnostic investigation / work out” seperti dirujuk kepada pakar perubatan dan sebagainya, maka perkara ini seharusnya diambil perhatian sewajarnya oleh pihak Kementerian Pelajaran.

Jika anda sendiri berkesempatan ke Klinik atau mana-mana pusat rawatan, sambil berbual-bual tu , anda bolehlah cuba bertanya kepada doktor yang merawat anda , golongan kerjaya manakah yang kerap MC [ Minta Cuti ].Jika anda amat rapat dengan doktor itu, anda boleh membelek salinan buku MC diatas mejanya, kerana disitu ada menyatakan pesakit itu bekerja di mana. Harap-harap jawapannya bukan ber-kerjaya guru!

Akhir sekali, saya amat menghargai sekali jasa bakti guru-guru semua, tanpa guru siapalah saya!

Semoga guru semua sentiasa sihat, ikhlas dan amanah dalam memikul tanggungjawab yang berat ini!

*************************************

Definasi Guru mengikut Sangtawal : ialah mereka yang memberikan ilmu yang berguna untuk kepentingan hidup di dunia dan akhirat.

Oleh itu, seorang guru tidak semestinya mempunyai diploma atau ijazah barulah ilmunya akan diiktiraf, mungkin anak kita atau sahabat kita atau si fakir atau dia seorang raja pun boleh kita anggap guru kita jika mereka memberikan ilmu yang berguna buat kita.Oleh itu janganlah marah jika saya katakan bahawa murid guru disekolah juga boleh dianggap guru oleh gurunya kerana mungkin gurunya telah belajar satu ilmu yang berguna dari anak muridnya itu , contoh mudah ialah dalam ilmu IT, tak semua guru-guru yang hampir pencen itu pandai IT.

Pendapat saya , konsep murid – guru ini perlulah diperluaskan lagi makna dan ruang lingkupnya, agar budaya ilmu dan wacana pemikiran generasi berilmu akan dapat diperkembangkan dan dibangunkan. Istilah pembelajaran formal di dalam bilik darjah perlu diubah dan di inovasikan agar ianya menjadi lebih menarik dan menjana kecerdasan spiritual kerana ilmu itu ada dimana-mana.

Ilmu yang dicari bukan nya tersimpan dan terpisah didalam kawasan pagar sekolah atau bilik darjah sahaja, kerana ilmu berguna untuk hidup didunia dan akhirat perlu juga dicari hatta sampai ke rumah atau pondok-pondok buruk , menuntut dari seorang yang arif lagi bijaksana yang hidupnya cukup sederhana dan zuhud seperti contoh dalam youtube dibawah ini.

Jangan memandang kepada rumah atau bantal buruknya, jangan melihat kepada gelap biliknya dan janganlah merungut panas kerana bilik tidak berhawa dingin seperti dalam dewan kuliah di tempatnya, tapi dengar dan renungilah mutiara-mutiara kata dan ilmu yang keluar dari mulutnya yang tentunya dari akal, hati dan jiwanya itu!



Wassalam.

Sangtawal Sakranta


Wednesday, February 24, 2010

Ya Rasulullah : Dari Cahaya Membawa Cahaya Kepada Cahaya.


Ya Rasulullah : Dari Cahaya Membawa Cahaya Kepada Cahaya.

Oleh : Sangtawal Sakranta.


Ya Rasulullah SAW….
Kami amat menyayangimu,
Kami amat merindui saat bertemu denganmu,
Kami amat mendambakan bimbinganmu,

Ya Allah, Engkau musnahkanlah musuhMu dan musuh musuh RasulMu,
Ya Allah, Engkau hancurkan pengkhianat agamamu dan pengkhianat RasulMu,
Ya Allah, Engkau musnahkan mereka yang menyebut namaMu, ingin memiliki namaMu, tetapi tidak beriman kepadaMu dan mendustai kekasihMu Muhammad.
Ya Allah, Engkau bantulah Ahlul Bait RasulMu dengan kemenangan,
Ya Allah, Engkau hancur leburkan rancangan dan fitnah Ahlul Bait Palsu.

Ya Allah, jauhilah kami dari fitnah Dajal dan kuncu-kuncunya,
Ya Allah, jauhilah kami dari perangkap dan tipu daya Iblis.
Ya Allah, bimbinglah kami dengan cahaya kepada cahayaMu,
Ya Allah, rahmatilah Nabi Muhammad saw dan seluruh ahli keluarga Baginda,
Ya Allah, berikanlah kami ilmu , semangat dan kekuatan untuk bersama menegakkan Islam di hari kebangkitan akhir zaman.

Masanya sudah hampir tiba..

Ihzim Hum, Ihzim Hum, Ihzim Hum,
Wan Shurna Alaihim.

La Tahzan Innallo hama ana

***********

*Hayatilah baik-baik ucapan oleh Habib Munzir di bawah, dia pasti menyampaikan apa yang terucap atau terlintas dari hatinya!




*Setiap orang insan dalam perjalanan hidupnya, pasti menuju ke satu tujuan akhir. Apakah matlamat akhir perjuangan kita???



Selalulah beramal dengan Selawat Badar ini :



SELAMAT MENYAMBUT MAULIDUR RASUL

Dari :

Sangtawal Sakranta.

Thursday, November 26, 2009

Salam Aidil Adha 1430H


Maaf Zahir Dan Batin

Berkorbanlah Dengan Penuh Keikhlasan Kerana Allah.

Dari:

Sangtawal Sakranta

Saturday, September 19, 2009

Salam AidilFitri 1430H

Di kesempatan ini,saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua pengunjung , rakan bloggers, followers dan pemberi komen di blog ini.

Di keheningan syawal ini,saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf sepanjang tempoh perkenalan kita di dunia siber ini andainya saya telah banyak melukai hati anda semua!

Semoga Aidilfitri tahun ini disambut dengan penuh meriah dan penuh kebahagiaan.

Semoga mereka yang miskin dan serba kekurangan serta anak-anak yatim tidak dilupakan di hari yang mulia ini!

Saya doakan agar anda semua sentiasa sihat, murah rezeki, panjang umur dan bahagia selalu!

Kepada mereka yang memandu pulang berhari-raya,pandulah dengan cermat.Biar lambat asal selamat dan ingatlah mereka yang tersayang sedang menanti kepulangan kita di hari raya.




Selamat hari raya,maaf zahir batin.

Wassalam.

Monday, June 15, 2009

Sejambak Bunga Ros,Sepotong Kek dan Nasihat Lukman Al hakim di Hari Istimewa!






Tajuk : Sejambak bunga,Sepotong Kek dan Nasihat Luqman Al hakim di hari istimewa!


Oleh : Sangtawal sakranta.


Hari ini adalah hari yang agak istimewa buat saya.Setiap tahun saya pasti menyambutnya dalam keadaan yang cukup sederhana biarpun ia bukan dari ajaran islam.Cuma saya jadikan ia sebagai hari untuk mereka yang dekat di sisi saya untuk menghargai saya.

Hari kelahiran saya kalau mengikut kalendar hijrah islam bukan hari ini,tetapi jika mengikut tahun masihi,jatuhnya pada hari ini.

Tepat jam 12.01 am tadi saya telah dihadiahkan sejambak bunga ros oleh isteri tercinta dan sebiji kek dari anak-anak saya.Biarpun harga sejambak bunga Ros itu hanyalah RM30.00 dan sebiji kek itu hanyalah berharga RM15.00 ,saya cukup gembira dan cukup-cukup menghargainya!Apakah perasaan anda jika anak-anak anda yang sebaya dengan umur anak saya 10 tahun itu mengambil duit simpanan dalam tabungnya semata-mata untuk membeli hadiah untuk anda,orang tuanya biarpun harganya tidak seberapa! yang penting disitu ialah ingatan mereka buat kita,bukan nilai harga hadiah itu. Bukan saya tidak mampu menyambutnya di hotel yang bertaraf 5 bintang atau diluar negara,namun cukuplah bagi saya menyambutnya dirumah sahaja,bersama orang-orang yang tersayang.Ucapan “Selamat harijadi ,ayah!” dari anak-anak dan “Happy birthday ,sayang!” dari isteri yang tercinta sudah cukup bagi saya.Mereka dan ibu saya adalah segala-galanya bagi saya.





Isteri saya tahu saya seorang yang sukakan bunga Ros.Anak-anak saya juga tahu saya sukakan warna hijau.Bunga Ros dan warna hijau adalah favourate saya . Lihatlah warna kek dan warna bunga di kek pilihan anak saya itu! Saya meminati bunga dan kehijauan kerana ia melambangkan kehidupan,kesegaran,kasih sayang, keindahan, keharuman , harapan dan cita-cita!

Saya dilahirkan dalam sebuah keluarga kampung yang miskin,kehidupan semasa kecil saya penuh dengan duri dan ranjau.Perjalanan hidup saya penuh liku dan air mata.Mencari ikan di sungai dan sawah,melastik burung di hutan,bermain dari petang sampai senja.Bertumbuk dan bergaduh dengan teman sepermainan itu lumrah biasa.Kehidupan saya penuh lasak.Kesekolah berjalan kaki.Wang saku ke sekolah kadang-kadang bawa,kadang-kadang tiada.


Ayah berpisah dengan emak meninggalkan saya sewaktu saya berumur 5 tahun.Dulu saya sangat membenci ayah,tapi kini, setelah ayah tiada di dunia ini saya amat menyesalinya.Saya sempat melihat genangan airmata ayah sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.Saya sempat memohon ampun dan maaf darinya.Saya tahu dia menyesal dan bersedih dengan jalan hidup yang dia pilih sendiri.Hidup ayah tiada bahagia ke akhir hayatnya.Hidup emak cukup tenang dan bahagia berkat kesabarannya dahulu.Emak sudah ke Mekah buat haji dan umrah dan masih sihat sehingga kini .


Kehidupan saya dahulu cukup susah dan dibenci oleh masyarakat kerana kemiskinan kami.Saudara mara malu untuk mengaku waris.Emak selalu berhutang kerana tidak cukup wang untuk membiayai kami 7 beradik,tetapi emak akan menjelaskan hutang itu secepat mungkin.Emak seorang yang tabah ,sabar dan penuh tawakkal.Tapi kini bila hidup sedikit selesa, emak dan saya menjadi ramai saudara mara.Ramai yang mengaku menjadi waris warah.Emak menjadi tempat mengadu orang-orang kampung pula.Emak tak kisah,dia tidak pernah berdendam dan berasa hati.Ramai orang yang dia tolong biarpun saya tahu orang itu dulunya pernah menghina emak dan kami semua.Emak kata tidak baik berdendam dan bermusuh dengan orang.Itulah dunia.Putaran kehidupan,sekali kita diatas dan akan tiba masanya kita akan berada dibawah.


Kadang-kadang saya menjadi seorang pemarah juga,tapi emak kata itu tidak baik,marah itu hasutan syaitan dan nafsu yang bertahap rendah.Emak banyak mengajar saya erti kehidupan.Walaupun emak tidak ada kelulusan tinggi ,namun didikannya cukup berbekas dihati saya dan anak anak yang lain.Namun ada ketikanya emak saya kata saya adalah anak yang tabah,tinggi cita-cita dan kental jiwanya.Saya tidak tahu apakah kata emak itu betul atau tidak,namun saya tahu setiap apa yang saya hajati dalam hidup ini biasanya akan tercapai dengan izin Allah.

Setiap kali saya bangun tidur untuk kesekolah,emak telah siap menyediakan sarapan pagi yang paling ringkas.Emak selalu sediakan susu dan madu untuk saya.Saya juga pernah makan ubi kayu untuk ke sekolah.Emak selalu berkata,jika malas belajar hidup saya akan susah dan anak-anak saya nanti akan makan ubi kayu macam saya juga.Itulah cara emak mendidik kami.Falsafahnya tentang hidup ini adalah sangat tinggi.Emak akan pergi menoreh getah seawal 6.30 pagi meredah hutan belukar dalam embun kesejukan bertemankan sebilah parang demi membesarkan kami semua.Sebelum saya ke sekolah saya selalu jamah bantal kekabu emak,bantalnya selalu basah kerana air mata.Emak tidak pernah memarahi atau memukul saya menyuruh saya belajar dari dulu sampai saya ke universiti.Jika saya masukkan dua jari saya kedalam lubang hidung saya setiap pagi sudah pasti ada warna hitam melekat dek kerana asap pelita yang saya gunakan setiap malam untuk belajar.Cita-cita saya sangat tinggi.Pernah dulu ,ketika saya bersekolah rendah di kampung,saya beritahu guru saya dalam kelas cita-cita saya,guru saya ketawa mengejek saya dan kawan-kawan saya yang lain diam saja.Waktu saya dalam darjah 5,guru besar saya mengambil saya menjadi anak angkatnya,tinggal dirumahnya ,belajar bersama anaknya dibawah cahaya lampu kalimantang untuk menghadapi Peperiksaan darjah 5 sehingga selesai peperiksaan..Biarpun berat rasa hati emak untuk melepaskan saya,tapi demi pelajaran,anak-anak, emak merelakannya. Berkat kegigihan saya dan doa emak, dengan izin Allah saya berjaya agak cemerlang berbanding anak guru besar saya.Saya telah ditawarkan belajar di 2 buah MRSM ,1 sekolah sains dan satu sekolah agama.Emak dan datuk saya memilih untuk menghantar saya ke Sekolah Menengah Agama Falahiah Pasir Pekan.Saya sangat manja dengan emak dan tidak boleh berjauhan dengannya.Saya berhenti dari sekolah itu dalam masa seminggu kerana jiwa dan cita-cita saya berlainan dari aliran agama.Saya balik bersekolah biasa di kampung halaman saya sehingga ke tingkatan 5.Selepas tingkatan 5 saya terpaksa berjauhan dengan emak iaitu belajar di matrikulasi.Ditahun kedua matrik saya telah terpilih untuk menyambung pelajaran dalam bidang yang saya minati ke luar negara,namun saya memilih untuk belajar di dalam negara.Keputusan untuk belajar dalam negara menjadi punca keretakan hubungan saya dengan orang yang pernah saya sayangi.Lagipun emak tidak berapa merestui hubungan kami kerana saya miskin dan mereka orang berpangkat dan kaya raya. Pertemuan dengan orang yang pernah saya kenali disekolah Menengah membuahkan cinta dan kasih sayang kembali sehingga kini.Saya amat gembira sekali bila dapat belajar dalam negeri yang saya cintai iaitu negeri Cik Siti Wan Kembang ini.Hampir setiap minggu saya boleh balik berjumpa emak!

Ditahun kedua pengajian, saya berkahwin.Di tahun ke-3 pengajian saya sudah mempunyai seorang anak! Di tahun akhir pengajian saya mempunyai 2 cahaya mata.Sewaktu saya masih bergelar mahasiswa,isteri saya bekerja.Setelah saya mula bekerja,isteri saya berhenti kerja dan telah menjadi suri rumahtangga sepenuh masa sehingga kini.setelah beberapa tahun bekerja dengan kerajaan,saya cepat bosan dan sekarang saya bekerja sendiri.saya minat berniaga.Saya jadi bos dan sayalah kulinya.Hidup saya tenang.Keluarga saya sangat bahagia!

Pernah suatu hari anak sulung lelaki saya balik dari sekolah dan bertanya saya
“ ayah,ramai kawan-kawan along tanya kenapa along panggil ayah dan emak saja ,orang lain panggil abah,mama,papa,mummy untuk ibubapa mereka.mereka kata panggilan nama ayah dan emak itu hanya untuk orang dulu-dulu je”

Saya tersenyum mendengar pertanyaan anak saya yang sememangnya suka bertanya itu.Saya jawab tak apalah,hidup ni jangan suka ikut orang sangat.Saya dan isteri suka dengan panggilan itu.Sukar untuk saya menerangkan kepada mereka kenapa .Sebenarnya bila anak-anak menggil saya “ayah” saya berasa saya seorang melayu yang asli.Setiap kali panggilan ayah terdengar,saya teringat kehidupan saya yang miskin dulu,saya ingat asal usul saya,kampung halaman saya,saya teringat bau sawah padi dan busuk getah sekerap dijari saya dulu,saya teringat waktu makan nasi dengan ikan kering dan budu dahulu.Syukur kepada Allah kerana memberikan saya rezeki kini.Cuma saya cukup cukup bimbang kalau anak-anak saya nanti lupa diri,sombong,riya’ dengan segala pemberian Allah ini.

Sesungguhnya kemiskinan dan kekayaan itu ujian dari Allah.Namun bagi saya lebih baik menjadi orang kaya yang hidupnya penuh berkat dan diredhai Allah dari menjadi seorang miskin kerana kepapaan itu boleh membawa kepada kecelakaan.

Bila membandingkan kehidupan saya dulu yang miskin dan kehidupan kini yang agak selesa saya merasakan ujian kesenangan ini sebenarnya lebih kuat dan hebat dari ujian ketika miskin.Mungkin itulah sebabnya para wali Allah dan orang-orang yang dekat denganNya memilih jalan zuhud dan kefakiran supaya hati tidak berpaling menyintai dunia yang sementara ini melebihi akhirat yang kekal abadi.

Terima kasih ibuku,terima kasih isteriku,terima kasih anak-anakku dan terima kasih yang tidak terhingga kepada Mu Ya Allah atas segala rahmat dan nikmatMu ini.


Buat Anak-anak ku dan diriku sendiri…hayatilah Nasihat Luqman Al-hakim kepada anak-anaknya ini :


25 NASIHAT LUQMAN AL HAKIM

01 - Hai anakku: ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yang bernama TAKWA, ISInya ialah IMAN dan LAYARnya adalah TAWAKKAL kepada ALLAH.

02 - Orang - orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari ALLAH. Orang yang insaf dan sedar setalah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemuliaan dari ALLAH juga.

03 - Hai anakku; orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada ALLAH, maka dia tawaduk kepada ALLAH, dia akan lebih dekat kepada ALLAH dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada ALLAH.

04 - Hai anakku; seandainya ibu bapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya ibu bapamu adalah bagaikan baja bagi tanam-tanaman.

05 - Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.

06 - Dan selalulah berharap kepada ALLAH tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai ALLAH. Takutlah kepada ALLAH dengan sebenar-benar takut (taqwa), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat ALLAH.

07 - Hai anakku; seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak melamunkan hal hal yang tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.

08 - Hai anakku; engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada semua itu, adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang jahat.

09 - Hai anakku; janganlah engkau mengirimkan orang yang bodoh sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan.

10 - Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang berbahaya.

11 - Hai anakku; bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.

12 - Janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan kepada anjing sahaja.

13 - Hai anakku; janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan saja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.

14 - Makanlah makananmu bersama-sama dengan orang-orang yang takwa dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulama dengan cara meminta nasihat dari mereka.

15 - Hai anakku; bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yang mencari kayu bakar, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.

16 - Hai anakku; bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura-pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu, maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati-hatilah.

17 - Selalulah baik tuturkata dan halus budibahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.

18 - Hai anakku; bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.

19 - Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya yang akan mendatangkan cela pada dirimu.

20 - Hai anakku; janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan olah dunia saja kerana engkau diciptakan ALLAH bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.

21 - Hai anakku; usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.

22 - Hai anakku; janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia-siakan hartamu.

23 - Barangsiapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi racun, dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan menyesal.

24 - Hai anakku; bergaullah rapat dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.

25 - Hai anakku; ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu


Sangtawal Sakranta…

Saturday, May 16, 2009

Terima Kasih Cikgu !

Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Guru kepada semua guru-guru saya dan seluruh guru-guru di Malaysia diatas segala jasa dan pengorbanan mereka dalam mendidik saya dan seluruh anak bangsa.Tidak lupa juga buat semua sahabat dan semua kenalan maya atau guru-guru yang sedang melayari blog kerdil saya ini.saya ucapkan selamat Hari Guru.Terimalah sebuah puisi dari saya khas buat guru-guru semua :


Angin…
Sampaikan simpulan lagu ini…
Katakanlah…atau bisikkan pada mereka..
Ada hati yang menyanjungi..
Ada jiwa yang menagih bakti…

Betapa setianya suara ombak dipantai memecah kesunyian..
Betapa itulah kasih sayangmu dalam mendidik hatiku..
Betapa mulia hatimu guruku.
Tanpa penat dan jemu…mencurahkan segala ilmu.

Engkaulah pelita pemberi cahaya,
Engkaulah pemberi paling setia,
Engkau hidangkan ilmu dalam bejana paling istimewa,
Buat santapan akal dan jiwa murid mu yang selalu dahaga.

Guruku..
Tanpamu …siapalah aku.
Butalah mata tidak nampak cahaya..
Hilanglah arah ke puncak jaya.
Jasa dan pengorbananmu amatlah berharga.

Sesungguhnya..selalu ku ingat pesanmu guru ;
"Lembut hati itu wazir ilmu,
Kasih sayang itu bapa ilmu,
Merendah diri itu pakaian ilmu"

Selamat hari guru….
Terima kasih cikgu….

Nukilan : Sangtawal Sakranta….16.5.2009 @ 11.35 am.


p/s: teristimewa buat guru-guru sahabat blogger BPN,terutamanya cikguman@waadat dan ramai lagi...


Sunday, March 08, 2009

Muhammad Kekasih Allah

Selamat menyambut Maulidur Rasul...ulangtahun ke ? 1439

Allah berfirman kepada kekasihnya Muhammad:

“Aku jadikanmu Muhammad kerana Ku…dan Aku jadikan sekalian makhluk kerana mu”

Nabi Muhammad SAW…..dialah kekasih Allah.



Ya Rasulullah….kami umatmu, amat merindui mu…



Kaulah yang teristimewa… ya rasulullah

Semangat perjuanganmu dalam Selawat Badar



Sesungguhnya engkau ya Rasulullah diutuskan sebagai Rahmat untuk sekalian alam.


Wednesday, December 31, 2008

Salam Tahun Baru 2009




Di kesempatan ini saya mengucapkan selamat menyambut tahun baru 2009 kepada semua pengunjung teratak sangtawal.Semoga tahun 2009 lebih bermakna dan semoga dimurahkan rezeki,diberi kesihatan tubuh badan,dijauhkan segala penyakit dan bala bencana serta fitnah orang,dipanjangkan umur dan diberkati Allah SWT dalam setiap perkara.


Disini saya ingin kongsi bersama wasiat Nabi SAW kepada Saidina Ali :



1. Wahai Ali,bagi orang yang celaka itu 3 alamatnya :

- Makanan yang haram

- Menjauhkan orang alim

- Menjauhkan petunjuk yang benar.



2. Wahai Ali,bagi orang yang rosak akal itu 3 alamatnya :

- Meringan-ringankan perkara yang difardukan oleh Allah

- Banyak berkata-kata dari berzikir kepada Allah

- Mencela Allah



3. Wahai Ali,bagi orang riya’ itu 3 alamatnya :

-Menyempurnakan rukuk dan sujudnya apabila sembahyang beserta manusia dan

dikuranginya bila sembahyang bersendirian

-Cergas terhadap orang yang memujinya

-Berzikir dia pada Allah ditempat orang ramai.



4. wahai Ali,orang munafik itu,3 alamatnya :

-Apabila bercakap dia berbohong,bila berjanji tidak ditepati.

-Bila diberi amanah dia khianat

-Tidak bermanfaat baginya pengajaran dan peringatan yang diberikan kepadanya.



5. Wahai Ali,bagi orang kafir itu,3 alamatnya:

-Ragu dia pada Zat Allah

-Benci kepada hamba Allah yang beribadat kepada Allah

-Lalai dari taat kepada Allah.



6. Wahai Ali,orang yang bertaubat itu,3 alamatnya :

-Menjauhkan yang haram

-Gemar menuntut ilmu agama

-Tidak akan kembali berbuat dosa.



7. Wahai Ali,tanda orang alim itu,3 alamatnya :

-Bercakap yang benar

-Menjauhkan yang haram

-Merendahkan diri.



Petikan dari buku Fadilat bulan rejab,Syaaban dan ramadhan ,tulisan Budiman Radzi m/s 51.edisi baru 1990.

Sunday, December 28, 2008

Al - Fatihah




Dengan segala takzimnya saya mengucapkan tahkziah atas kemangkatan Kebawah Duli Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman iaitu Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ,kepada seluruh ahli keluarga dan kerabat diraja negeri sembilan serta seluruh rakyat negeri sembilan umumnya.

Semoga roh Al-marhum Tuanku dirahmati Allah dan ditempatkan bersama orang orang yang mendapat kesejahteraan dan kebahagiaan yang abadi disisi Allah SWT.

Surah Al-Baqorah : 156 bermaksud : "Daripada Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali"



Al-Fatihah.....


Setiap yang pasti datang adalah hampir
Yang masih diangan-angankan adalah jauh,
Mati adalah sesuatu yang pasti
Mati adalah tunang semua orang
Tiba masanya bersandinglah manusia dengan kematian
Berpelaminkan kuburan


Apakah kita sengaja melupakan mati,
Sedangkan mati tidak pernah melupakan kita.
Mati adalah satu hakikat
Yang pasti tiba,cepat atau lambat.


Mati bukanlah pengakhiran hidup
Tetapi ia adalah permulaan
kepada satu kehidupan yang lebih kekal
Kata Saidina Ali:
"Semua orang hidup adalah mati,
Bila mati baru mereka terjaga"


Apakah kita lupa Ungkapan keramat ahli sufi:
"Bukankah mati syarat menemui cinta?"

Nukilan: Sangtawal Sakranta , 28.12.2008 at 10.32 am.



Sunday, December 07, 2008

Berkorbanlah ! demi agama.

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menyambut hari raya korban kepada semua,semoga kita semua dapat mengambil iktibar dan pengajaran dari sejarah pengorbanan agung nabi Allah Ibrahim dan puteranya Nabi Allah Ismail dalam mentaati perintah Allah SWT.

Sesungguhnya setiap perjuangan itu memerlukan pengorbanan.Pengorbanan pula tiada erti jika tiada keikhlasan dari lubuk hati kita.Oleh itu jagalah hati,lidah,anggota jasad kita agar selari dengan niat dan nawaitu perjuangan kita.

Semoga kita menyambut hari raya dengan penuh kesederhanaan.Bantulah mereka yang memerlukan pertolongan kita agar mereka juga dapat mengecap sedikit nikmat kebahagiaan di hari raya...biarpun hanya untuk seketika cuma....

Semoga kita tidak terkorban secara hina atau sia sia dalam perjuangan.
maaf zahir batin .Salam perjuangan dari saya: Sangtawal Sakranta.......

hayatilah lagu ini :klik sini