Monday, July 26, 2010

Wayang Kulit Versi Sangtawal




Tajuk : Wayang Kulit Versi Sangtawal

Artikel Oleh : Sangtawal Sakranta


Saya meletakkan tajuk wayang kulit versi sangtawal di atas kerana saya tahu, ia mungkin berlainan dengan apa yang sesetengah dari anda semua ketahui.Oleh kerana versi wayang kulit ini diceritakan oleh arwah datuk saya kepada saya secara lisan , maka ada baiknya saya berkongsi pula dengan anda semua.Ini merupakan cerita asal wayang kulit dan jarang orang yang mengetahuinya, kerana kini kita dihidangkan dengan cerita wayang kulit siri-siri peperangan dan penaklukan Seri Rama, malah sudah ada versi yang dimodenkan sehingga cerita asalnya tenggelam dan semakin dilupakan.Maaf sekali lagi jika nama watak ,tempat dan jalan cerita adalah berbeza dengan apa yang dicatat oleh buku sejarah atau mana-mana versi cerita wayang kulit yang lain.Saya menulis cerita ini seringkas yang mungkin mengikut cara saya kerana mengikut arwah datuk, apa yang saya ceritakan ini memakan masa 7 malam jika diceritakan dalam wayang kulit sebenar.

Begini ceritanya.Suatu masa dahulu, ada sebuah negeri di alam kayangan namanya Pasir Mayang Mercapada, yang dihuni oleh dewa-dewa. Alam kayangan ini dipercayai oleh setiap tok dalang wayang kulit wujud sebelum kelahiran Nabi Muhammad saw dan ianya runtuh sebaik saja Nabi Muhammad saw dilahirkan.

Di negeri para dewa itu ada dua orang adik beradik anak dewa yang bernama Seri Rama dan Sita Dewi.Oleh kerana kedua-duanya sungguh kacak dan jelita, maka berkatalah Seri Rama kepada adiknya Sita Dewi bahawa dia bersumpah tidak akan berkahwin kecuali bertemu dengan gadis yang secantik rupa paras adiknya itu, begitu juga Sita Dewi bersumpah demikian.Tanpa disedari, percakapan mereka itu di dengar oleh Dewa Se Alam Tunggal iaitu Ketua segala dewa-dewa di negeri kayangan.Dewa Se Alam Tunggal atau Bentara Guru Agung inilah yang nantinya akan turun ke alam dunia menyamar menjadi orang biasa yang penuh keramat dan kesaktian bernama Pak Dogol.

Untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini terjadi di alam kayangan setelah mendengar sumpah dua beradik itu , maka Dewa Se Alam Tunggal pun terus menyumpah Seri Rama dan Sita Dewi menjadi sebutir buah pinang muda, lalu dibelahkan dua dan dilontarkan turun ke alam dunia.Kata arwah datuk, inilah asal usul perumpamaan seperti “pinang dibelah dua” - sama cantik dan sama padan itu.

Dipendekkan cerita sebelah buah pinang tersebut jatuh ke dalam taman permainan Permaisuri Ratna Sari di Tanah Jawa iaitu isteri kepada seorang Raja yang hebat dan sebelah buah pinang lagi jatuh dalam taman permainan Permaisuri Mamlu Daki di tanah Hindustan.Suami Permaisuri Mamlu Daki tersebut adalah bukan manusia biasa, tetapi dari kalangan Jin iaitu Bota Maharajawana.

Setelah terjumpa oleh kedua – dua permaisuri tersebut akan pinang sebelah itu, maka mereka pun rasa terliur untuk makan buah pinang tersebut.Maka setelah mereka berdua makan buah pinang tersebut, maka masing-masing pun mengandung.

Al-kisah ada seorang tua yang bijak dan mempunyai ilmu perang yang hebat sehingga mempunyai anak murid yang ramai dari seluruh dunia iaitu berjumlah kurang satu selaksa(mungkin lebih banyak dari sejuta kot?) , bertempat di Candi atau Ketit siam yang banyak patung diperbuat dari emas iaitu berjumlah kurang satu dari 40 patung (39 patung).Nama beliau ialah Tok Mah Siko Batu Api.Beliau mempunyai dua orang pengawal peribadi atau pengasuh bernama Epol dan Endeng.

Setelah tersohor seantero dunia betapa hebatnya ilmu Tok Mah Siko Batu Api ini, maka Bota Maharajawana pun teringin juga untuk pergi kesana menuntut ilmu.Sebelum dia berangkat pergi, dia tinggalkan pesan kepada isterinya, jika anak yang dilahirkan nanti adalah anak lelaki,maka peliharalah ia baik-baik dan jika anak tersebut anak perempuan, maka bunuhlah ia.Setelah beberapa bulan kemudian, maka Tuan Puteri Mamlu Daki pun melahirkan seorang anak perempuan yang sangat comel, maka beliau sangat sedih kerana terpaksa menurut pesan suaminya sebelum peninggalan nya dulu iaitu agar membunuh anak perempuannya itu.Setelah puas berfikir, maka Tuan Puteri Mamlu Daki pun tidak jadi membunuh anaknya yang sangat comel itu, tetapi pakaian anaknya itu dilumurkan dengan darah binatang, lalu disimpan sebagai bukti bahawa dia telah membunuh anaknya itu.Anaknya tersebut dimasukkan kedalam sebuah kotak dan dihanyutkan kedalam sebuah sungai.

Berbeza pula dengan Tuan Puteri Ratna Sari, dia sangat gembira setelah melahirkan seorang anak lelaki yang sangat comel lalu dinamakan dengan nama Seri Rama.setelah dia meningkat dewasa, maka ayahandanya juga mahu menghantar Seri Rama ke tempat perguruan Tok Mah Siko Batu Api di Ketit Siam.

Berbalik kepada cerita anak perempuan yang dihanyutkan tadi akhirnya sampai ke tempat Tok Mah Siko .Dia ditemui oleh dua orang pengasuh Tok Mah Siko iaitu Epol dan Endeng.Mereka membawa pulang ketempat perguruan Tok Mah Siko lalu dinamakan dengan nama Sita Dewi, dipelihara dan dijadikan anak angkat oleh Tok mah Siko didalam candi secara rahsia oleh dua orang pengasuh Tok Mah Siko tanpa diketahui oleh sesiapa pun kecuali mereka bertiga sahaja.

Setelah Sita Dewi meningkat dewasa, maka terbocorlah rahsia bahawa sang guru iaitu Tok mah Siko rupa-rupanya mempunyai seorang anak gadis yang cantik jelita.Maka ia menjadi buah mulut dan topik perbualan yang hangat dikalangan anak murid Tok Mah Siko dan Seri Rama serta Bota Maharajawana juga tidak terlepas dari menaruh hati kepada Sita Dewi.

Ternyata Sita Dewi juga menaruh hati kepada Seri Rama, namun hasratnya itu tidak boleh dipenuhi oleh ayahnya kerana takutkan anak-anak muridnya yang lain dengki dan tidak berpuas hati dengan Seri Rama.

Setelah puas berfikir, maka Tok Mah Siko pun meletakkan syarat kepada semua muridnya , iaitu barang siapa yang boleh meneka yang mana satukah Sita Dewi diantara 39 patung emas tersebut, dialah yang bakal memiliki Sita Dewi.

Semua murid telah cuba meneka, termasuk Bota Maharajawana tetapi tekaan mereka meleset, yang disangka Sita Dewi itu adalah sebuah patung.Maka tibalah giliran Seri Rama pula.Dalam masa mencari akal bagaimana untuk meneka yang mana satukah Sita Dewi itulah muncul seorang anak dewa bergelar Laksamana menyatakan bahawa Seri Rama adalah berasal dari anak dewa dan dia tidak perlu bersedih kerana Sita Dewi pasti akan menjadi miliknya.Pada mulanya Seri Rama tidak percaya, maka Laksamana pun menyuruh Seri Rama membuka mulutnya dan melihat ada 7 tanda bintang kebesaran dewa didalam mulutnya.

Setelah sampai gilirannya, maka Seri Rama pun meminta sebatang lidi yang panjang lalu sambil dia berjalan diacukan ke arah mata patung-patung tersebut, maka ada satu patung yang berkelip matanya.Lalu dia meneka dengan tepat sekali bahawa itulah Sita Dewi.Semua anak murid Tok Mah Siko masih tidak berpuas hati lalu meminta syarat yang kedua.

Syarat yang kedua oleh Tok Mah Siko ialah barang siapa yang mampu memanah 7 batang Pokok Tar di situ, dia akan dapat memiliki Sita Dewi.Maka berlumba-lumba anak muridnya yang menaruh hati terhadap Sita Dewi mencuba nasib, tetapi semua panahan mereka tidak menembusi ketujuh tujuh Pokok Tar itu.Mereka semua hairan mengapa pokok yang nampak tersusun lurus itu boleh terlepas dari mata panah mereka.Seri Rama pun kembali bersedih hati takut takut panahannya juga akan tersasar.Ketika itu, Laksamana pun kembali menjelma dan memberitahu Seri Rama rahsia sebenarnya pokok Tar itu ditanam diatas belakang seekor naga, setiap kali busur panah ditarik dan dilepaskan maka naga tersebut akan menggeliatkan badannya sedikit, oleh itu sudah pasti ada anak panah yang akan tersasar.Hanya ada satu cara kata Laksamana, ketika tiba giliran Seri Rama memanah Pokok Tar itu dari arah kepala naga, Laksamana pula akan memijak ekor naga dan memastikan naga itu diam.Memang benarlah apa yang dikatakan oleh Laksamana ini, ketika giliran Seri Rama memanah, maka tembuslah ketujuh tujuh pokok Tar tersebut membuatkan semua murid Tok Mah Siko yang lain termasuk ayah Sita Dewi yang sebenar iaitu Bota Maharajawana juga tercengang dan hanya mampu menelan air liur saja dari memiliki Sita Dewi.Mitos tentang naga dan pokok Tar ini masih ada dalam cerita-cerita lama orang Kelantan sehinggakan ada sebuah kampung di Pasir Mas Kelantan yang bergelar Kampung Tar Tujuh.

Walaubagaimanapun, murid murid Tok Mah Siko masih tidak berpuas hati dan memohon syarat yang terakhir dari Tok Mah Siko.Untuk memberikan keadilan dan mengelakkan rasa tidak puas hati dikalangan murid-muridnya, maka beliau pun meletakkan syarat yang ketiga iaitu barang siapa yang dapat mengutip kembali segantang biji lenga yang akan dicampakkan ke laut tanpa berkurang sebiji pun , maka dialah yang layak memperisterikan Sita Dewi.

Selepas mencampakkan segantang biji lenga kedalam laut, maka berlumba lumba lah pula anak murid Tok Mah Siko menyelam ke dalam laut, namun mereka hampa kerana sebiji lenga pun mereka tidak mampu mencarinya.Seperti biasa, Seri Rama kembali bersedih dan berdukacita kerana syarat kali ini memang berat.Ketika itu menjelmalah kembali Laksamana menyuruh Seri Rama terjun kedalam laut dan terus berjumpa dengan raja dewa ikan meminta tolong segala ikan ikan di lautan mencari biji lenga untuknya.Maka Seri Rama pun terjun dan menyelamlah di laut itu.Setelah bertemu dengan raja dewa ikan, maka dia pun menceritakan segala hajatnya, bila diminta bukti benarkah Seri rama juga adalah anak dewa-dewa kayangan, maka Seri Rama pun membuka mulutnya dan menunjukkan tanda 7 butir bintang didalam mulutnya.Setelah berpuashati, maka Raja Dewa ikan pun menyuruh seluruh ikan mencari biji lenga dan diberikan kepada Seri Rama.Tidak sampai sehari semua biji biji lenga yang beratnya segantang itu Berjaya dikumpulkan oleh Seri Rama dengan pertolongan ikan-ikan di lautan itu.Oleh itu semua anak murid Tok Mah Siko pun berpuas hati , lalu Seri Rama pun dikahwinkan dengan Sita Dewi dalam upacara yang sangat meriah.Bota Maharajawana, dalam diam menyimpan dendam kesumat kepada Seri rama.

Setelah pengajian Seri Rama dengan Tok Mah Siko Batu Api tamat, maka beliau pun memohon kepada gurunya untuk kembali ke tanah jawa dengan membawa isterinya Sita Dewi, lalu diizinkan oleh gurunya.Seri Rama membawa isterinya dan ditemani oleh Laksamana pun berangkatlah pulang ke tanah jawa.Tanpa mereka sedari Bota Maharajawana masih mengekori mereka untuk menculik Sita Dewi.

Penat berjalan, Seri Rama pun terasa dahaga, lalu disuruhnya Laksamana pergi mencari air untuk diminum.Dengan tidak berlengah lagi Bota Maharajawana pun membuat 2 buah telaga, satu berair keruh dan satu lagi berair jernih.Telaga berair jernih telah disihir oleh Bota Maharajawana.Oleh kerana Laksamana tahu air yang jernih telah disihir, maka dia pun mengambil air yang keruh untuk abang dan kakaknya.Seri Rama amat murka lalu menolak air yang keruh lalu membawa sendiri Sita Dewi ke arah telaga yang jernih, diberi isterinya minum air yang jernih dan Seri Rama sendiri pun meminumnya.Selepas itu mereka berdua pun berubah menjadi sepasang kera berwarna putih dan terus berlari masuk ke hutan dan masuk dalam kawanan kera yang lain.Laksamana pun tahu itu adalah kerja Bota Maharajawana, lalu dia pun berpatah balik ketempat Tok Mah Siko untuk menceritakan perkara yang sebenar.

Atas nasihat Tok Mah Siko, Laksamana pun membawa benih pisang dan jagung untuk ditanam dikawasan hutan tempat Seri Rama dan Sita Dewi disumpah menjadi kera.Setelah sekian lama berhuma, dan setelah buah pisang telah masak, maka turunlah sekawan kera masuk ke dalam kebun Laksamana.Dilihatnya di antara banyak banyak kera itu, ada dua ekor kera yang lain dari yang lain, lalu Laksamana pun memasang perangkap untuk sepasang kera putih tersebut.Setelah masuk perangkap itu, Laksamana pun terus membawa perangkap itu lalu diselamkan semula ke dalam telaga berair keruh. Tiba - tiba dua ekor kera itu pun bertukar rupa menjadi Seri Rama dan Sita Dewi semula.Mereka sangat gembira lalu meneruskan perjalanan pulang.

Bota Maharajawana yang sentiasa mengekori mereka masih tidak berputus asa, lalu dia pun menukar dirinya menjadi seekor kijang emas dan berlari kencang dihadapan mereka.Sita Dewi pun terpegun dengan kehebatan dan kecantikan kijang emas tersebut lalu meminta suaminya Seri Rama memburu kijang tersebut.Maka tinggallah Laksamana bersama kakaknya Sita Dewi, sementara Seri Rama pergi memburu kijang emas tersebut.

Lama menunggu, Laksamana pun merasa tidak sedap hati dan mengagak yang Seri Rama telah tersesat jalan didalam hutan, lalu dia pun mengambil keputusan untuk pergi mencari Seri Rama.Sebelum dia pergi dia telah berpesan kepada Sita Dewi supaya tidak pergi kemana-mana, lalu dibuatnya satu goresan di tanah iaitu garisan bulat mengelilingi Sita Dewi, satu garisan hikmat yang dinamakan “Paris Laksamana”, ilmu Paris Laksamana ini masih diamalkan oleh orang-orang tua dulu untuk memagar kawasan rumah dan kebun , mengelakkan dari pencuri atau musuh.Barang siapa yang melangkah garisan ini akan patah kaki, tangan dan tubuhnya.

Peluang keemasan ini tidak disia-siakan oleh Bota Maharajawana, dia pun terus menerpa untuk menyambar Sita Dewi tetapi dia tidak mampu melintasi garisan Paris Laksamana kerana hikmat ilmunya.Bota Maharajawana pun mulalah mencari helah lain , iaitu dia pun berupa dirinya menjadi seorang wanita tua penjual bunga.Bunga-bunga yang dibawanya sangat cantik dan harum sehinggakan Sita Dewi terlupa akan pesan Laksamana, lalu dia pun melangkah keluar dari garisan hikmat Paris Laksamana.

Sebaik saja sita Dewi keluar dari garisan itu, Bota Maharajawana pun terus menyambar dan menculik Sita Dewi, diterbangkan kembali ke negeri asalnya.

Ketika Seri Rama dan Laksamana sampai ketempat Sita Dewi, mereka dapati Sita Dewi telahpun diculik oleh Bota Maharajawana, mujurlah ketika dalam perjalananan semasa diculik itu Sita Dewi sempat melemparkan perca-perca kainnya supaya Seri Rama dan Laksamana tidak kehilangan jejaknya.

Dengan mengikut jejak perca kain itu, maka mereka sampailah ke tepi sebuah lautan yang luas, maka tahulah mereka Sita Dewi telahpun diterbangkan melepasi lautan tersebut dan merekapun bersedih kerana telah kehilangan jejak.

Dikisahkan ketika Bota Maharajawana membawa pulang Sita Dewi ke istananya, dia meletakkan Sita Dewi yang sudah berbadan dua itu dalam bilik kurungan, hanya untuk ditatap saja kerana dia berbangsa jin dan tidak boleh mengahwini bangsa manusia.Oleh kerana wajahnya yang sangat cantik jelita itu, Sita Dewi diculik hanya untuk dilihat saja!

Setelah beberapa lama dalam bilik kurungan, maka Sita Dewi pun melahirkan seorang anak lelaki.Terkejut sungguh Sita Dewi kerana anak lelaki yang dilahirkannya itu berwajah manusia tetapi mempunyai ekor seperti seekor kera.Maka teringatlah Sita Dewi bahawa dirinya dan Seri Rama dulu pernah hidup sebagai kera di hutan, lalu diberikan nama anak itu Hanuman Kera Putih.Seperti perangai seekor kera, Hanuman Kera Putih itu memanjat ke sana kemari di istana Bota Maharajawana, kadang-kadang Hanuman Kera Putih itu menyelongkar bilik Bota Maharajawana sendiri sehingga Bota Maharajawana naik berang.Pada suatu hari, kerana tidak tahan mengawal perasaan marahnya Bota Maharajawana telah melempar sekuat tenaga Hanuman Kera Putih sehingga melepasi lautan dan jatuh diatas sepohon pokok ru.Dulu pokok ru daunnya lebar-lebar.

Ketika sedang memanjat di atas pokok tersebut, maka terlihatlah Hanuman Kera Putih dua orang lelaki tampan sedang tidur dibawah pokok tersebut.Setelah diamati betul-betul barulah Hanuman Kera Putih tahu bahawa orang yang berada dibawah pokok itu adalah ayahnya sendiri Seri Rama dan bapa saudaranya Laksamana.Ciri-ciri dan identiti diri mereka telahpun diceritakan oleh ibunya Sita Dewi iaitu ayahnya Seri Rama, mukanya sebelah putih dan sebelah hijau manakala bapa saudaranya Laksamana sebelah mukanya putih dan sebelah lagi merah.Oleh itu Hanuman Kera Putih pun menjatuhkan air liurnya ke atas muka ayahnya Seri Rama yang sedang tidur.Seri Rama tersedar dari tidurnya lalu mengejutkan Laksamana, tetapi Laksamana menyuruh Seri Rama supayta tidak menghiraukannya, mungkin air embun yang jatuh dari daun pokok tersebut.Setelah melihat ayahnya kembali tidur, Hanuman Kera Putih pun meludahkan air liurnya semula ke atas muka ayahnya dengan tujuan bergurau.Seri Rama pun segera bangun, mencapai panah Laksamana lalu dipanahnya pohon ru tersebut dengan “Panahan Laksamana”, Pokok Ru yang asalnya berdaun lebar,terkena panahan Seri Rama seperti dipusar taufan hebat, itu sebabnya sehingga kini daunnya menjadi halus.Selepas itu terlihatlah oleh Seri Rama akan seekor kera berwarna putih berada di atas pokok itu, rupa-rupanya inilah kera yang menganggu tidurnya.Seri Rama pun mula mengangkat busur panah dan ingin memanah Hanuman Kera Putih tetapi sempat ditegah oleh Laksamana.

Setelah dipanggil turun ke tanah, mereka pun bertanya asal usul Hanuman Kera Putih, maka diceritakan semua kisah hidupnya seperti yang pernah diceritakan oleh ibunya Sita Dewi.Seri Rama masih belum percaya itu adalah anaknya, tetapi setelah diyakinkan oleh Laksamana, bahawa suatu masa dahulu Seri Rama dan Sita Dewi pun pernah menjadi kera, dan setelah ditunjukkan bukti tanda bintang dewa di dalam mulut Hanuman Kera Putih, barulah Seri Rama akur dan mengakui itu adalah anaknya .

Bila tiba waktu makan, maka Laksamana pun mengambil sehelai daun pisang yang dulu tidak ada pelepahnya, tetapi setelah Seri Rama menggariskan dengan jari telunjuknya, membuat satu garis pemisah lurus di atas daun pisang itu agar makanannya terpisah dengan makanan Hanuman Kera Putih, maka hingga kini daun pisang itu menjadi lekuk dan membentuk pelepah pisang.Itu sebabnya dalam agama hindu, pokok ,buah dan daun pisang menjadi satu benda yang dimuliakan sehingga kini.

Selepas itu Seri Rama memberikan tugas untuk mengambil dan membawa pulang isterinya Sita Dewi dari Bota Maharajawana kepada anaknya Hanuman Kera Putih.Tugas pertama yang perlu dilakukan oleh Hanuman Kera Putih ialah dengan cara menambak laut untuk menjadi laluan mereka ke negeri Bota Maharajawana.Siang malam Hanuman Kera Putih bekerja dengan memunggah tanah dan mencabut bukit bukau menambak laut.Bila tambak itu dibina hingga ditengah lautan,maka runtuh pula tambak itu.Bila Hanuman Kera Putih mengintip angkara perbuatan siapakah yang meruntuhkan tambaknya, maka tahulah Hanuman Kera Putih, yang membuatnya adalah seekor ikan besar dengan cara melibaskan ekornya pada tambak tersebut.Maka dengan tidak berlengah lagi Hanuman pun terjunlah kedalam laut untuk menangkap ikan tersebut.Rupa-rupanya ikan tersebut adalah jelmaan dewa perempuan, lalu dinikahi oleh Hanuman Kera Putih seterusnya melahirkan zuriatnya bernama Hanuman Kera Ikan yang akan menguasai alam di lautan.

Akhirnya tambak yang dibina semula oleh Hanuman Kera Putih siap dan mereka bertiga iaitu Hanuman bersama Seri Rama dan Laksamana pun mara lah ke negeri Bota Maharajawana untuk merampas kembali Sita Dewi dari tangan Bota Maharajawana.Tambak ini masih dipercayai wujud oleh orang-orang tua kita dulu, kerana sewaktu menaiki kapal untuk menunaikan haji ke Mekah , apabila kapal melintasi tambak ini, maka kapal seolah-olah lekat dan bergeser dengan tambak ini seketika.

Dipendekkan cerita, Hanuman Kera Putih telah mencabut sebuah bukit lalu dihempapkan ke atas Bota Maharajawana.Sehingga tahun 1800- an ,orang – orang tua kita menceritakan sesiapa yang membawa cuka melalui bukit tersebut, maka bukit tersebut akan bergegar.

Mengikut arwah datuk saya, itulah permulaan cerita asal wayang kulit, apa yang kita dengar kemudian dari itu adalah cerita-cerita peperangan dan penaklukan Seri Rama dan Hanuman Kera Putih.Watak-watak lain selain dari Pak Dogol dan Wak Long seperti Wok yoh, Samad, Said dan lain-lain itu adalah watak-watak baru yang diketengahkan oleh Tok Dalang moden untuk menyedapkan jalan cerita.

*Beberapa persoalan sekitar cerita ini yang harus kita fikirkan bersama ialah:

1.Jika Tanah Dewa runtuh,dimana pula Tanah Dewa yang baru?

2.Dimanakah lokasi sebenar dua bahagian buah pinang yang jatuh itu, benarkah satu di Tanah Jawa dan satu lagi di Tanah Hindustan?

3.Siapakah sebenarnya watak Tok Mah Siko Batu Api itu dan dimanakah tempat tinggalnya sehinggakan dia menjadi tumpuan murid dari seluruh dunia?

4.Jika benar Kampung Tar Tujuh di Kelantan ada kaitan dengan 7 pokok Tar yang tumbuh diatas belakang seekor naga, maka cerita ini bukanlah hikayat dongeng semata-mata, perlu kajian lebih teliti.

5.Dimanakah lokasi sebenar laut atau sungai yang digunakan oleh ibu Sita Dewi untuk menghanyutkannya? Apakah itu Sungai Gangga atau Sungai suci orang Hindu?

6.Dimanakah lokasi sebenar lautan yang dibina tambak oleh Hanuman Kera Putih itu?

7.Dimanakah lokasi sebenar bukit yang menindih Bota Maharajawana itu?



Lihat dalam youtube diatas, Seri Rama yang mukanya berwarna hijau, Laksamana yang mukanya berwarna merah disebelah Seri Rama, sedang berkata-kata dengan Wak Long dan Pak Dogol.

Cuba fikirkan kata-kata Pak Dogol bagaimana cara untuk mengenal Dewa Se Alam Tunggal, iaitu dengan Hakikat bukan dengan Syariat… jadi siapakah sebenarnya Dewa Se Alam Tunggal dalam cerita wayang kulit ini saudara?

Sayangi dan puliharailah seni warisan bangsa kita!


Sangtawal Sakranta



Thursday, July 22, 2010

Dikir Barat - Seni Warisan Bangsa



Tajuk : Dikir Barat - Seni Warisan Bangsa

Artikel Oleh : Sangtawal Sakranta


Sejak minggu lepas lagi, anak sulung saya,yang baru darjah 5, Along sering pulang lewat dari sekolah.Katanya dia ada perjumpaan Kelab iaitu Kelab Seni Warisan di sekolahnya.Bila balik ke rumah sesekali terdengar dia menyanyi di dalam bilik air di rumah, sehinggalah kepada 3 hari yang lepas Along memberitahu saya yang dia dipilih oleh gurunya untuk menyertai pertandingan dikir barat antara kelab-kelab di sekolahnya.

Saya pun bertanya beliau, kenapa last minit baru bagitahu, dia kata dia malu dan takut ayah marah dan tak suka dia masuk pertandingan dikir barat.Dia minta maaf dan agak berat untuk menerima tugas yang diamanahkan kepadanya oleh guru kelab, lebih-lebih lagi Along kena jadi Tok Jogho dan Tukang karutnya sekali.Walaupun dia menolak, cikgunya terpaksa juga beri tugas itu kepada Along sebab ahli kelab Along tu ramai ahli perempuan dan tidak ramai murid lelaki.Jadi Along dipilih secara bidang terjun saja!

Saya pun kata pada Along, saya tak marah, dikir barat adalah seni warisan kita, tambah-tambah lagi kita orang klate .Saya beri izin Along masuk pertandingan tersebut, malah beri sokongan padanya agar terus berlatih, terimalah tugas yang diamanahkan oleh guru dengan hati yang ikhlas. Along pun rasa gembira dan mula berlatih depan adik-adik dan emaknyanya tanpa sembunyi sembunyi dalam bilik air lagi.

Bila saya minta Along nyanyikan lagu dikir tersebut depan saya, Along malu dan kata “ Kalau ayah nak dengar, kena pergi sekolah di hari pertandingan nanti, sebab sebelum ni pun ayah selalu sibuk bekerja, emak saja yang selalu pergi”. Saya terkejut dengan kata-kata Along tersebut, memang benar , saya jarang pergi ke majlis atau apa -apa acara sekolahnya, saya selalu suruh isteri saya je yang pergi seperti mesyuarat PIBG dan sebagainya, jadi logik lah kalau Along terasa hati pun.Rupa-rupanya benda-benda kecil dan kita anggap remeh temeh dan membuang masa itu, rupa-rupanya menjadi perhatian besar bagi anak-anak kita.

Kelmarin, rabu 21/7/2010, tibalah hari pertandingan yang dinanti-nantikan oleh Along.Bukan main gembira lagi dia bila saya katakan bahawa saya sudahpun beritahu pekerja-pekerja saya supaya menutup perniagaan pada sebelah petang dan akan menghantarnya ke sekolah dan menyaksikan sendiri Along bertanding. Cuma saya minta Along buat yang terbaik dan kalau boleh biarlah menang!barulah berbaloi ayah tutup kedai.

Setelah undi dicabut, Kelab Along mendapat giliran sebagai peserta nombor ke- 9 , dari 11 kelab yang dipertandingkan!penat jugaklah saya kena tunggu giliran Along.

*Along (baju melayu merah) gelisah menanti gilirannya



*Along sedang membuat persembahan.Nampak nervous sikit!



*Fuhh... dah selesai.. lega Along.


Terhibur juga hati seketika bila bersama keluarga menyaksikan salah seorang dari ahli keluarga kami yang bertanding.Juga amat terhibur dengan lagu-lagu dan kerenah peserta, ada yang tak ingat senikata, ada yang tersilap buat bunga tepuk dikir. Ada juga kelab yang mempersembahkan dikir dalam bahasa inggeris, walaupun agak janggal bunyinya, namun ia adalah satu usaha yang baik untuk meningkatkan kemahiran dalam matapelajaran tersebut.

Apa yang penting disini ialah usaha gigih guru melatih murid-muridnya patut diberikan pujian! Semangat bekerjasama dalam pasukan juga dibentuk dengan baik sepanjang sesi latihan oleh setiap murid dalam kumpulan , hasilnya mereka boleh bersatu menghayati lagu dan senikata, menggerakkan tangan dan badan dengan lenggok dan gerak tari yang sama, menghasilkan satu persembahan dikir yang cukup teratur dan harmoni!

Yang lebih penting lagi ialah penyertaan anak-anak kecil dalam pertandingan sebegini boleh menambahkan lagi keyakinan dan jati diri mereka, terutamanya bila berdepan dengan khalayak ramai.

Bila tiba waktu keputusan diumumkan, kelab Along kalah dan gagal mendapat tempat 1 hingga 3, Along nampak begitu kecewa!

Tiba-tiba Ketua Hakim berkata, pada hari itu mereka bertuah kerana berjaya mencungkil bakat-bakat baru dan…. pemenang bagi Kategori Khas iaitu Tok Jogho terbaik hari itu jatuh…. ke tangan Along !!!

Saya sebenarnya telah menduga dari awal lagi yang Along boleh menang, kerana saya juga telah mendengar kesemua lagu dikir dari 11 kelab yang dipertandingkan [jadi juri awam lah kononnya!!!].

Ternyata apa yang saya duga itu benar, Tahniah buat Along!

Teringat pengalaman saya dulu, juga pernah menjadi Tok Jogho Dikir Barat bersama kawan-kawan semasa di Universiti, tapi bukan masuk bertanding, cuma buat untuk persembahan biasa je! Itu kisah 16 tahun yang dulu, tidak disangka-sangka kini anak saya pula yang mengikuti jejak itu yer… sekejap masa berlalu, ia berputar seperti roda… begitulah lumrah hidup ini.

*Saya yang pegang microfon, berbaju putih, duduk bersila jadi "Tok Jogho" dalam gambar atas tu! he he he, saja suka-suka dengan "group budak klate" buat persembahan dikir barat di negeri orang! maaf ,gambar dalam album lama ni dah usang.


Apapun, terima kasih kepada pihak sekolah yang menjayakan Festival Seni Warisan ini, semoga ianya akan menjadi acara tahunan sekolah dan semoga ia berjaya memupuk kesedaran dan rasa cinta para pelajar kepada warisan seni dikir barat yang semakin dilupakan ! semoga generasi akan datang menjadi penyambung dan pejuang kepada warisan seni budaya bangsa kita!


Wassalam.

Sangtawal Sakranta

Sunday, July 18, 2010

Melayu Hilang Kuasa?



Tajuk : Melayu Hilang Kuasa ?

Artikel Oleh : Sangtawal Sakranta.


Saya rasa terpanggil untuk mengulas sedikit artikel dari akhbar Utusan hari ini seperti dibawah :

Klik Sini


[[ Melayu hilang kuasa pada PRU-13?
Oleh SITI MARIAM MD. ZAIN
utusanperak@utusan.com.my

IPOH 17 Julai - Orang Melayu akan hilang kuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) jika UMNO dan Pas terus berdegil untuk tidak bersatu.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang melahirkan kebimbangan tersebut berkata, kedegilan kedua-dua parti Melayu terbabit untuk meletakkan keutamaan agama di tempat sepatutnya hanya akan memberi kesan buruk kepada masa depan orang Melayu sendiri.

''Kalau kita terus berpecah-belah, kita akan terima kekalahan (pada PRU-13), itu sahaja. Dan akan berlaku satu bentuk penjajahan baru," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Melayu Perak 2010 di Dewan Bankuet Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini.

Hadir sama dalam perhimpunan sehari anjuran Gagasan Melayu Perak (GMP) itu ialah presidennya, Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail.

Harussani menegaskan, pemimpin Melayu perlu sedar bahawa mereka memikul tanggungjawab memastikan kepentingan orang Melayu terjamin.

''Adakah agama yang mengajar kita suruh berdegil? Sedangkan degil itu adalah sifat keji dalam Islam. Kalau itu sifat keji, kenapa tidak dibuang daripada diri kerana ia tidak akan menguntungkan diri.

''Kalau dia pemimpin, dia tidak akan menguntungkan rakyat. (Sedangkan) bila jadi ketua, amanah untuk menjaga ummah itu kewajipan dia. Kalau dia berdegil, amanah tiada pada dia, rakyat akan hancur," ujar beliau.

Ditanya apakah masih ada harapan untuk orang Melayu khususnya membabitkan UMNO dan Pas bangkit dan bersatu semula jawabnya:

''Insya-Allah disebabkan kedua-dua puak (parti) ini mempunyai keinginan hendak bersatu.

''Ada pemimpin Pas datang berjumpa saya, begitu juga pemimpin UMNO. Mereka minta pandangan bagaimana untuk disatukan (kedua-dua parti)."

Mengulas lanjut kata Harussani, penyatuan masih tidak dapat dilakukan sehingga hari ini kerana kedua-dua pihak telah meletakkan faktor keutamaan di tempat yang salah.

''Saya percaya tujuan orang Pas memperjuangkan Islam ikhlas tapi meletakkan (keutamaan) di tempat yang salah. Mereka taksub sebab tidak faham. Orang UMNO serupa juga.

''Kalau kedua-dua parti memahami faktor keutamaan itu, apa yang perlu diutamakan? Keutamaan adalah agama dahulu dan agama tidak menyuruh kita membenci sesama umat Islam bahkan kasih-mengasihi sesama kita," katanya.

Dalam perkembangan sama, Harussani berkata, langkah GMP menganjurkan perhimpunan seumpama itu dapat membantu menyatupadukan orang Melayu.

Sementara itu, Mohd. Hilmi menegaskan, perlunya satu perhimpunan Melayu membabitkan semua lapisan masyarakat termasuk raja-raja dan pemimpin parti politik sendiri untuk melahirkan semangat Melayu dalam menyata dan memperjuangkan hak mereka seperti termaktub di dalam Perlembagaan Negara.

''Cara ini dapat menginsafkan pemimpin-pemimpin Pas dan UMNO yang masih berdegil dan tidak memikirkan tentang masa depan orang Melayu," katanya. ]]

Ya, mungkin melayu akan hilang kuasa tak lama lagi adalah benar seperti yang dijangkakan oleh Mufti Perak diatas jika orang melayu tidak melakukan penyatuan dengan kadar segera.Sudah la kuasa ekonomi ditangan kaum lain, kuasa politik orang Melayu juga bakal hilang. Dulu Melayu pecah dua , sekarang Melayu pecah tiga; UMNO, PAS dan PKR.

Anda boleh baca satu artikel menarik di blog sahabat saya GAP, berkaitan dengan mengapa orang melayu perlu bersatu , Klik Sini

Saya pun hairan, mengapa orang Melayu susah sangat untuk bersatu.Melayu sangatkah UMNO? Islam sangatkah PAS? Adil sangatkah PKR? … Semoga persoalan-persoalan sebegini dibuang dan marilah kita bersatu atas tuntutan agama islam dengan rasa penuh tanggungjawab dan rasa persaudaraan islam yang sebenar.

Nisbah pengundi berdaftar 1:40 yang dikeluarkan beberapa minggu lalu amat menggerunkan kepada setiap orang melayu yang ingin berfikir!

Selain daripada perkara diatas, ada beberapa isu lain yang amat saya bimbangi iaitu pemberian PR (Taraf Kerakyatan Tetap Malaysia) kepada sesiapa saja, dari apa Negara sekalipun asalkan ada/belajar PHD! jika ia benar-benar dilaksanakan di negara ini, apakah ia akan menjadi satu bentuk penjajahan baru secara terancang? Selepas ini kemana agaknya orang melayu yang tidak ada phd akan pergi jika Negara sudah dipenuhi oleh orang asing yang bijak dan punyai phd???

Fikir-fikirkanlah wahai bangsa ku.

Jika Mufti dan orang agama pun amat bimbang tentang kedudukan dan kepentingan orang Melayu akan terhakis, bagaimana pula dengan pemimpin-pemimpin politik kita???


Sangtawal Sakranta