Friday, December 24, 2010

Takbur, Ujub dan Riya'



Tajuk : Takbur , Ujub Dan Riya’.

Disalin Oleh : Sangtawal Sakranta.

Sumber : Buku - Terjemahan Penawar Bagi Hati – Abdul Qadir Bin Abdul Mutahalib Al-Indunesia Al Mandili- Al Hidayah Publications.



[[Ketahui olehmu, bahawasanya membesarkan diri itu bahawa melihat ia akan dirinya lebih daripada orang yang lain pada sifat kesempurnaan, dan melihat ia akan orang yang lain itu lebih hina daripadanya.Maka ia setengah daripada segala sifat kecelaan yang di dalam hati, dan sebesar-besar maksiat yang sembunyi.

Telah berfirman Allah Ta’ala , ertinya : “… maka sejahat-jahat oleh tempat ketetapan sekalian yang membesarkan diri, iaitu api neraka Jahannam” ( Az – Zumar :72 ).

Bermula Kibriyya’ (takbur) itu meninggi atas yang lain dengan bahawa melihat ia bagi dirinya kemuliaan atas orang yang lain.

“Tiada masuk ke dalam syurga oleh seorang yang ada di dalam hatinya seberat biji sawi daripada membesarkan diri” ( Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud )

Dan seperti adalah membesarkan diri itu kelakuan yang dicela.Demikian juga sebaliknya adalah merendah diri itu kelakuan yang dipuji oleh syara’.]]

Petikan dari m/s 129 – 133.



[[Ketahui olehmu , bahawasanya ujub itu membilang besar ia akan dirinya atau satu kelakuan daripada segala kelakuannya, seperti ilmunya dan ibadahnya.Dan tiada takut ia akan hilangnya dan lupa ia akan bahawa semuanya pemberian Allah Ta’ala baginya.

Dan perbezaan antara keduanya bahawasanya takbur itu melazimkan ia akan mereka yang takbur ia atasnya, dan ujub itu ketentuan dengan seorang diri.Dan bahawasanya ujub itu kelakuan hati yang dicela akan syara’, tambahan lagi membinasakan ia akan pahala ibadat.

Dan orang yang ujub itu tiada menuntut ia akan dia kerana sangkanya telah mendapat ia akan dia.Dan ditanya akan Siti ‘Aisyah r.a “Bila masanya ada seorang itu mengerjakan kejahatan?” Maka jawabnya: “Apabila ia menyangka ia akan dirinya berbuat kebaikan”

Ketahuilah olehmu,bahawasanya sebab ujub itu jahil dan bahawasanya ubatnya ilmu.]]

Petikan dari m/s 137 – 140.




[[Ketahui olehmu ,bahawasanya riya’ itu menuntut pangkat didalam hati manusia dengan ibadah dan pekerjaan kebajikan, atau menghendaki oleh seseorang dengan ibadahnya akan manfaat riya’ seperti harta dan puji.Dan bahawasanya riya’ itu kelakuan yang dicela yang haram dengan ijma’ ulama’ dinamakan dia syirik yang kecil.

Dan sabda Nabi saw , ertinya :

“Bahawasanya yang lebih ditakuti daripada segala barang yang aku takut atas kamu syirik yang kecil, dan iaitu riya’.Berfirman Allah Ta’ala pada hari kiamat bagi sekalian yang riya’ apabila membalas Allah Ta’ala akan manusia dengan segala amal mereka itu:pergi oleh kamu kepada mereka yang ada kamu mengerjakan ibadah kerana mereka itu di dalam dunia tilik oleh kamu adakah mendapat kamu pada sisi mereka itu akan balasan” (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad)

Ertinya : Tiada kuasa mereka itu membalas amal ibadah kamu, maka tiada faedah bagi riya’ itu bahkan kamu rugi dengan penat sahaja tiada mendapat pahala.

Sabda Nabi saw lagi, ertinya :

“Bahawasanya Allah Ta’ala mengharamkan ia akan syurga atas tiap-tiap orang yang riya’” (Diriwayatkan oleh Abu Na’im dan Ad-Dailami dari Abi Sa’id r.a )

Dan ketahuilan olehmu bahawasanya , riya’ itu enam jenis :

1).Riya’ dengan tubuh badan,seperti menzahirkan ia akan kurus dan pucat badannya supaya disangka akan dia mengerjakan ibadah pada malam dan puasa pada siang.

2).Riya’ dengan kelakuan,seperti menundukkan kepala dan memejamkan mata supaya disangka akan dia memikirkan kelakuan akhirat.

3).Riya’ dengan pakaian,seperti memakai ia akan kain yang keras-keras dan yang bertampung-tampung supaya disangka akan dia daripada ahli tasawwuf.

4).Riya’ dengan perkataan,seperti riya’ orang yang berpidato dan memberi nasihat dengan Al-Quran dan hadith, dan perkataan salaf serta sunyi hatinya daripada ikhlas dan benar.Dan seperti menggerakkan bibir dengan zikir di hadapan orang lain.

5).Riya’ dengan pekerjaan, seperti memanjangkan berdiri dan rukuk dan sujud di dalam sembahyang di hadapan orang lain.

6).Riya’ dengan banyak murid dan banyak berjumpa dengan guru-guru.
Maka sekalian yang demikian itu haram,bahkan dosa besar.

Dan bahawasanya Riya’ yang lebih besar:

1).Riya’ munafik dengan menzahirkan iman pada ketika hatinya kafir.Maka ini lebih besar daripada syirik yang nyata.

2).Riya’ dengan ibadah yang wajib, seperti mereka yang sembahyang zohor ia dihadapan orang lain.Dan jika ia bersunyi seorang diri nescaya tiada ia sembahyang.

3).Iaitu yang lebih kecil bahawa tiada riya’ ia dengan fardu,bahkan riya’ ia dengan ibadah yang sunat.Dan apabila ada ia pada tempat yang sunyi nescaya tiada mengerjakan ia akan ibadah yang sunat itu.

Dan ketahuilah olehmu akan bahawasanya setengah daripada ubat yang menegah daripada datang riya’ itu bahawa engkau sembunyikan ibadah engkau seperti menyembunyikan engkau akan kejahatan engkau.

Bahkan hendaklah mengerjakan ia akan ibadah dan bersungguh-sungguh ia pada menolak akan riya’ itu.Dan jika jatuh juga riya’ itu maka hendaklah ia taubat daripadanya dengan bersegera.]]

Petikan dari m/s 145 – 154.



*[Posting ke 215- Sangtawal Sakranta ]...



Sunday, December 19, 2010

Raja Habib Yang Mendapat Hidayah



Tajuk : Raja Habib Yang Mendapat Hidayah.

Artikel Oleh : Sangtawal Sakranta.


Abu Jahal dan Abu Lahab selalu memikirkan bagaimanakah cara untuk membunuh Nabi Muhammad saw.Tiba-tiba Abu Jahal teringat kepada seorang Raja Syam yang bernama Raja Habib Bin Malik.Mereka pun mula merancang untuk membunuh Nabi saw melalui Raja Habib yang terkenal bengis dan zalim itu.

Mereka pun menghantar sepucuk surat jemputan kepada Raja Habib , mengundangnya ke Mekah.Raja Habib pun bersetuju setelah dijanjikan sambutan dan layanan istimewa dari pembesar Quraisy itu lalu berangkat ke Mekah dengan seribu orang pengawal.Abu Jahal dan semua pembesar Quraisy menyambut kedatangan Raja Habib dengan penuh rasa gembira dan mereka pun memberikan pelbagai jenis hadiah yang mahal kepada Raja Habib.Raja Habib pun ditempatkan di Abthah.

Selepas itu Abu Jahal pun memulakan rancangan jahatnya iaitu mula mengadu masalah yang dihadapi oleh penduduk Mekah dan memohon jasa baik Raja Habib untuk membantu mereka.Abu Jahal pun mengadu bahawa Nabi Muhammad saw telah mengaku menjadi pesuruh Allah dan membawa satu agama baru dan kononnya telah menghina Tuhan Tuhan yang disembah mereka sejak nenek moyang mereka lagi.Mereka mengadu bahawa Nabi Muhammad saw akan membawa perpecahan dan kekacauan di Mekah jika terus dibiarkan begitu sahaja.

Raja Habib pun memerintahkan supaya Nabi Muhammad saw datang mengadapnya.Pada mulanya pemergian Nabi saw ditentang oleh Abu Bakar dan isterinya Khadijah kerana Raja Habib memang terkenal sebagai seorang Raja yang zalim, namun setelah Nabi saw meyakinkan mereka bahawa Allah akan melindunginya, maka mereka pun berangkat mengadap Raja Habib.Nabi Muhammad saw telah memakai jubah yang berwarna merah dan memakai serban yang berwarna hitam.

Setelah terpandang wajah Nabi saw yang mulia, hati Raja Habib yang terkenal dengan sikap yang bengis itu tiba-tiba menjadi lembut, lalu mempersilakan Nabi saw duduk disebelahnya.

Raja Habib pun mula bertanya : “Wahai Muhammad,benarkah seperti apa yang telah saya dengar bahawa kamu telah mengaku menjadi pesuruh Tuhan?”. Jawab Nabi saw “memang benar”. Raja Habib bertanya lagi : “Siapa Tuhan kamu?” .”Allah” jawab Nabi saw.

“Sekiranya kamu seorang Nabi, sudah tentu kamu juga mempunyai mukjizat seperti Nabi –Nabi yang lain sebelum kamu” kata Raja Habib.Lalu Nabi saw pun bertanya, “Apa yang tuan mahukan?”

“Saya mahu melihat perkara pelik yang belum pernah terjadi, sekiranya kamu seorang Nabi sudah tentu kamu mampu melakukannya”.Lalu Nabi saw menjawab : “Dengan izin Allah,pasti terjadi”

“Saya mahu matahari terbenam sebelum waktunya.Kemudian bulan terbit lalu turun ke bumi.Bulan itu terbelah dua lalu masuk kedalam pakaian kamu.Bulan itu akan keluar dari lengan baju kanan dan baju kiri kamu.Kemudian bercantum semula menjadi bulat di atas kepala kamu dan bulan itu mengucapkan syahadah membenarkan kenabian kamu kemudian kembali ketempat asalnya diangkasa.Bulan itu terbenam.Kemudian matahari terbit kembali dan keadaan seperti biasa.”.Kata Raja Habib.

“Sekiranya Muhammad tidak boleh melakukannya, tuan bawa dia balik ke Syam ataupun bunuh saja” Kata Abu Lahab dengan penuh perasaan jahat bercampur gembira kerana beliau yakin Nabi saw tidak mampu melakukan perkara yang rumit itu.

“Sekiranya berlaku seperti yang tuan mahukan, apakah tuan akan beriman kepada Allah ?” Tanya Nabi saw kepada Raja Habi pula.

“Ya, barulah saya percaya kamu adalah pesuruh Allah”.jawab Raja Habib.

Nabi Muhammad saw pun mendaki Bukit Kubai yang tidak jauh dari Kaabah lalu berdoa kepada Allah swt .

Malaikat Jibril pun datang membawa Firman Allah lalu memberitahu Nabi saw :

“Wahai kekasihKu,janganlah engkau takut dan janganlah engkau bersedih hati kerana Aku bersamamu dimana pun engkau berada.Aku sudah mengetahui sejak mula apa yang diminta oleh Habib.Pergilah kepada mereka , tunjukkan ayatKu.Bentangkan secara terang dan tegas risalahmu.Ketahuilah, yang Aku sudah menempatkan matahari,bulan,malam dan siang di bawah perintahmu.Dan ketahuilah yang anak perempuan Habib akan Aku sembuhkan daripada penyakit lumpuh dan kedua-dua matanya yang buta sudah pulih semula”

Tiba-tiba berlakulah peristiwa ajaib yang belum pernah dilihat oleh manusia dan penduduk Mekah sebelum itu.Matahari dengan perlahan bergerak ke ufuk barat lalu terbenam.Cahaya siang bertukar menjadi malam.Selepas itu bulan pun terbit lalu terbelah dua.Bulan yang terbelah itu pun turun lalu masuk kedalam jubah Nabi Muhammad saw.Kemudian bulan yang terbelah itu pun keluar dari lengan baju kanan dan kiri Nabi Muhammad saw dan bercantum semula di atas kepala Nabi saw sambil mengucap dua kalimah syahadah, iaitu mengaku Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah.Kemudian bulan pun bergerak ke tempat asalnya lalu terbenam di ufuk barat.Matahari pun terbit semula lalu suasana menjadi seperti sediakala.Raja Habib dan orang ramai kagum dengan kejadian itu.

Abu Bakar bertakbir apabila menyaksikan mukjizat Rasulullah saw itu.Selepas itu Nabi saw pun turun dari Bukit Kubais lalu menemui Raja Habib.

“Ketahuilah wahai Raja Habib , anak perempuan kamu yang sakit telah sembuh dari penyakitnya dan matanya yang buta telah dapat melihat semula” Kata Nabi Muhammad saw kepada Raja Habib.

Raja Habib pun terkejut kerana tidak ada sesiapun yang tahu penyakit anaknya itu iaitu lumpuh dan matanya buta kecuali orang-orang istana dan mereka yang dekat dengannya sahaja.Dia merasa gembira lalu berkata :

“Wahai seluruh penduduk Kota Mekah,tidak ada kekafiran sesudah beriman.Ketahui yang saya percaya tidak ada Tuhan kecuali Allah dan mengaku Muhammad adalah hamba dan pesuruhNya”.Selepas itu Raja Habib dan seribu orang pengawalnya telah memeluk islam, namun Abu Jahal dan Abu Lahab masih terpinga-pinga,marah dan masih tidak mendapat hidayah!

Raja Habib pun terus pulang ke Syam bersama pengawalnya tanpa menghiraukan Abu Jahal dan Abu Lahab.Setibanya di Syam, anak gadisnya yang lumpuh dan buta sedang berdiri menunggu dihadapan istana sambil mengucapkan kalimah syahadah.Raja Habib pun bertanya dari manakah anaknya itu belajar mengucap itu, lalu anaknya menjawab :

“Saya bermimpi didatangi oleh seorang pemuda yang mengatakan bahawa ayah telah memeluk islam dan saya akan sembuh daripada penyakit bila mengucap kalimah syahadah.Maka saya ucapkannya didalam mimpi.Bila bangun dari tidur, saya dapati penyakit saya sudah sembuh dan mata saya sudah dapat melihat semula” jawab anak gadisnya itu.

Raja Habib pun bersujud tanda kesyukuran kepada Allah swt.Sebagai tanda ucapan terima kasih kepada Nabi Muhammad saw, Raja Habib pun mengirimkan hadiah berupa emas,intan dan permata yang banyak sehingga perlu dibawa oleh 5 ekor unta!

Bila utusan Raja Habib sampai ke Mekah, maka Abu Jahal pun mendakwa hadiah itu adalah untuk dirinya, tetapi telah dinafikan oleh pengawal utusan Raja Habib bahawa semua hadiah itu adalah untuk Nabi Muhammad saw.Suasana menjadi kecoh dan menarik perhatian ramai bila Abu Jahal menuduh pengawal utusan itu sudah terkena sihir Muhammad.

Bila mengetahui hal tersebut Nabi Muhammad saw pun pergi ke tempat itu.Abu Jahal yang tamak haloba itu masih mendakwa hadiah itu adalah untuk dirinya dan pembesar Quraisy yang lain.

Abu Sufian bertanya orang ramai siapakah yang boleh menjadi pengadil dalam hal itu, lalu Nabi saw pun mencadangkan agar bertanya kepada unta yang membawa hadiah itu sendiri.

Abu Jahal pun bersetuju, maka tempoh sehari diberikan lalu Abu Jahal pun balik menyembah dan memohon pertolongan dari berhala al-Latta dan al-Uzza bagi mendapatkan harta dari Raja Habib itu.

Bila tiba hari pengadilan, maka bertanyalah Abu Jahal kepada unta itu :

“Wahai unta, atas nama tuhan-tuhanku, al-Latta , al-Uzza dan al-Manata, beritahu kami untuk siapakah hadiah yang kamu bawa ini?” . Unta itu senyap dan tidak menjawab walaupun telah ditanya oleh Abu Jahal berulang-ulang kali sehingga beliau sendiri naik jemu dan penat.

Maka tibalah giliran Nabi Muhammad saw bertanya kepada unta itu pula :

“Dengan izin Allah,maka berkata-katalah wahai unta, untuk siapakah barang-barang yang kamu bawa ini?”

Lalu salah seekor dari unta itu pun menjawab “Kami membawa barang barang ini sebagai hadiah daripada Raja Habib bin Malik untuk Nabi Muhammad saw”. Selepas mendengar kata-kata unta itu, orang ramai sekali lagi terpegun dan Abu Jahal pun terpaksa mengalah.

Selepas itu Nabi saw menyuruh Abu bakar dan sahabat-sahabatnya membawa kesemua barang itu naik keatas Bukit Kubais.Selepas itu Nabi saw pun berdoa kepada Allah swt agar semua emas, permata, intan berlian itu agar menjadi tanah.Dengan izin Allah, dalam sekelip mata semua barang itu bertukar menjadi tanah!

Itulah serba sedikit kisah seorang Raja yang mendapat hidayah, walaupun baginda berada jauh di Syam, tidak mempunyai pertalian keluarga dengan Nabi saw , namun selepas ditunjukkan bukti mukjizat Nabi Muhammad saw , baginda terus beriman kepada Allah swt dan Rasulnya, sedangkan Abu Jahal, Abu Lahab dan beberapa orang pembesar Mekah masih tertutup pintu hatinya untuk islam dan beriman kepada Allah swt walaupun telah diperlihatkan berpuluh-puluh kali mukjizat oleh Nabi Muhammad saw. Itulah nikmat iman dan hidayah…. Semuanya anugerah Tuhan…ianya tidak boleh dijualbeli, tidak boleh dipaksa dan tidak boleh ditiru oleh sesiapa, kecuali kepada mereka yang dikehendaki olehNya jua.

*[Artikel ke-214 Sangtawal Sakranta ].

Wednesday, December 15, 2010

Perangkap Lubang Abu Lahab Makan Tuan Sendiri



Tajuk : Perangkap Lubang Abu Lahab Makan Tuan Sendiri.

Artikel Oleh : Sangtawal Sakranta


Abu Lahab adalah di antara mereka yang amat memusuhi Nabi Saw walaupun dia salah seorang dari bapa saudara Nabi saw .Isterinya Hindun juga turut serta dalam perjuangan suaminya Abu Lahab memusuhi dan membenci Nabi saw.Hindun sanggup mengupah perempuan tua meletakkan duri dan tahi unta di sepanjang laluan Nabi saw.Walaupun pada suatu hari perempuan tua itu jatuh sakit, Nabi saw pun pergi melawatnya, malah Nabi saw menyuapkan ubat serta makanan ke mulutnya, akhlak Nabi saw seperti itu pun masih tidak menginsafkan isteri Abu Lahab juga.

Bapa saudara Nabi saw Abi Talib pernah bersemuka dan bertanya kepada Abu Lahab mengapa dia sangat membenci dan memusuhi Nabi saw, Abu Lahab mengaku yang dia sangat cemburu dan tidak senang hati bila Allah swt melantik Nabi saw menjadi Nabi dan Rasul sedangkan dia merasakan dialah yang paling layak menjadi Nabi , dia pemimpin yang kaya raya sedangkan Nabi saw adalah orang miskin dan anak yatim piatu.Dia bimbang jika seluruh orang arab akan mengikut agama Islam yang dibawa oleh Nabi saw dan menjadikan Nabi saw sebagai pemimpin mereka kelak, maka dia akan kehilangan pengaruh dan kedudukan .

Setelah pelbagai cara dibuat untuk membunuh Nabi saw gagal, Abu Lahab merancang untuk memasang satu perangkap dengan harapan Nabi saw akan masuk kedalam perangkap yang dipasangnya itu.Dia berharap agar Nabi Muhammad saw akan termakan umpannya dan terjatuh kedalam lubang itu lalu dia akan menyuruh orang-orangnya mengambus lubang itu dengan tanah agar Nabi Muhammad saw boleh dibunuh dan ditanam hidup-hidup!

Suatu hari Abu Lahab mengupah beberapa orang menggali satu lubang yang dalam didalam bilik tidurnya .Setelah siap digali lubang itu dia pun menutup lubang itu dengan sehelai kain.Abu Lahab pun berpura-pura sakit dan menyuruh orang memanggil Nabi Muhammad saw kononnya dia mahu berjumpa dengan Nabi saw segera.

Nabi Muhammad saw pun terus pergi kerumah Abu Lahab dan didapati Abu Lahab berada dalam biliknya.Ketika masuk ke bilik Abu Lahab itu, Allah swt memerintahkan malaikat Jibril a.s agar memaklumkan kepada Nabi saw akan taktik kotor dan perangkap lubang Abu Jahal yang sudah siap terpasang itu, maka Nabi saw pun tidak mendekati katil Abu Lahab walaupun Abu Lahab berlakon sedang mengerang kesakitan.

Kerana terlalu marah dengan tindakan Nabi saw yang duduk berjauhan dengannya sedangkan dia telah memanggil Nabi saw berkali-kali agar datang dekat dengannya dan memicit kepalanya, maka Abu Lahab pun bangun untuk memarahi dan memukul Nabi saw.Ketika itu sahabat Nabi saw Abu Bakar sampai kerumah Abu Lahab untuk memberitahu Nabi saw bahawa ada perangkap yang sedang dipasang untuk membunuh Nabi saw.Abu Bakar mendapat tahu rahsia ini setelah memberikan hadiah wang sebanyak 100 dirham kepada isteri Abu Lahab.Kerana tamakkan wang dan berhati busuk, maka rahsia suaminya telah dibongkarkan kepada Abu Bakar oleh isteri Abu Lahab sendiri.

Belum pun sempat Abu Bakar memberitahu Nabi saw, tiba-tiba Abu Lahab sendiri terjatuh kedalam lubang perangkapnya sendiri .Selepas itu orang-orang suruhan Abu Lahab yang sedang bersembunyi di satu sudut dalam bilik itu pun keluar bila mendengar orang terjatuh, namun mereka sempat mendengar Abu Lahab memekik meminta tolong dan mengarahkan agar dia tidak dikambus dengan tanah atau dibunuh! Abu Bakar yang baru sampai dan masih terkejut dengan kejadian itu, tidak dapat menahan ketawanya.Apa tidaknya perangkap telah memakan tuannya sendiri.Manusia hanya mampu merancang, Allah swt yang menentukannya.

Itulah cerita Abu Lahab dengan perangkap lubangnya.Kalau dah berniat jahat dan berhati busuk untuk melakukan khianat, maka diatas dunia lagi Allah swt akan tunjukkan balasannya! Inikan pula orang yang ingin dikhianatinya itu adalah seorang Nabi dan Rasul, malah Nabi Muhammad saw adalah merupakan ‘Anugerah Tuhan’ yang tidak ternilai untuk umat ini!

Sebagai satu ingatan untuk mereka yang melakukan perbuatan terkutuk, seperti juga kisah kaum Luth dengan hubungan sesama jenisnya , watak Abu Lahab dan isterinya ini diabadikan dalam Al-Quran, malah ada satu Surah dinamai Surah Al-Lahab.

“Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab dan binasalah dia bersama; hartanya dan segala yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya.Dia akan menderita dibakar api neraka yang marak menjulang. Dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api(penyebar fitnah). Dilehernya sejenis tali, dari tali-tali yang dipintal” [ Al-Lahab : 1- 5 ]



*[ Artikel ke-213 Sangtawal Sakranta ]



Saturday, December 11, 2010

Taubat Seorang Ketua Perompak



Tajuk : Taubat Seorang Ketua Perompak .

Artikel Oleh : Sangtawal Sakranta.


Kisah ini berlaku ketika Imam Hambali masih didalam kandungan ibunya dan belum dilahirkan lagi.Pada waktu itu bapa Imam Hambali, Muhamad bersama ibunya ingin berhijrah ke Baghdad dari Khurasan lalu mereka pun menyertai satu kafilah dagang dari Khurasan.

Ketua kafilah dagang , iaitu Sheikh Ali al-Khurasani dan seluruh anggota rombongan itu amat mempercayai kejujuran hati dan memuji akhlak bapa imam Hambali, lalu mereka pun mengumpulkan semua wang mereka dan menyerahkan kepadanya untuk dijaga sepanjang perjalanan mereka kerana bimbang dirompak oleh perompak padang pasir.Ketua kafilah bimbang dia akan menjadi sasaran lanun kerana dia adalah ketua kafilah.

Walaupun menolak permintaan ketua kafilah itu , tetapi ketua kafilah tetap mahu beliau menjaga amanah itu dan menyerahkan kembali kepadanya bila sampai di Baghdad nanti.Dia pun terpaksa menerima amanah itu dengan rasa penuh tanggungjawab. Berat sekali amanah yang terpaksa dipikul oleh bapa imam Hambali kerana jumlah wang itu sangat banyak iaitu 100,000 dinar.Untuk mengelakkan diserang dan dirompak lanun, Sheikh Ali mengarahkan semua ahli rombongan menukarkan pakaian mereka kepada pakaian ihram untuk mengelirukan lanun padang pasir agar mereka dilihat sebagai rombongan yang ingin mengerjakan haji kerana biasanya rombongan haji tidak diganggu .

Bila tiba disatu daerah di antara Abu Warda dan Sirjis, tanpa disedari rombongan mereka sedang diintip oleh seorang ahli kumpulan perompak yang paling digeruni yang diketuai oleh Fazil bin Ayaz.

Fazil bin Ayaz seorang ketua perompak yang terkenal dan amat ditakuti oleh kafilah dagang yang melalui kawasan itu, namun dia tidak pernah meninggalkan solat 5 waktu, dia berpuasa sepanjang bulan Ramadhan dan mengeluarkan zakat! pernah dia ditanya kenapa dia masih merompak sedangkan dia juga seorang islam yang taat kepada segala perintah Allah, lalu dia menjawab:

“Aku merompak kerana itu saja kebolehan yang aku ada bagi mencari rezeki.Aku bersembahyang dan mengeluarkan zakat kerana mengharapkan keampunan dari Allah”

Pada suatu hari Fazil memasuki sebuah rumah seorang gadis yang paling cantik dikampungnya untuk memperkosa gadis itu, lalu tiba-tiba dia terdengar gadis itu sedang membaca al-quran , surah al-Hadid ayat 16 yang bermaksud :

“Belumkah sampai waktunya bagi orang-orang yang beriman untuk tunduk hati mereka bagi mengingati Allah serta tunduk kepada kebenaran yang telah diturunkan (kepada mereka) dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah turun al-kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka tetapi hati mereka menjadi keras, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasiq” [Al-Hadid : 16]

Selepas mendengar ayat tersebut, Fazil tidak jadi memperkosa gadis itu lalu terus keluar dan terus berazam untuk bertaubat kepada Allah swt.

Pada hari dia bertembung dengan rombongan kafilah yang disertai oleh ayah Imam Hambali itu pun hatinya sudah bertekad mahu bertaubat dan itulah rompakannya yang terakhir.Dia terpaksa merompak juga pada hari itu kerana desakan kawan-kawannya.

Selepas solat asar, Muhamad ( bapa imam Hambali ) pun pergi duduk bersama dengan isterinya yang sedang mengandung jauh sedikit dari peserta rombongan lelaki yang baru selesai solat kerana hanya isterinya satu satunya peserta wanita dalam rombongan itu.

Fazil menyuruh anak buahnya saja pergi memeriksa dan merompak .Dia hanya berpesan supaya jangan membunuh orang yang dirompak kecuali jika dalam keadaan terpaksa sahaja. Fazil pun duduk berseorangan dan hanya memandang dari jauh .

Ketika rombongan mereka sedang diperiksa, Muhamad, bapa imam Hambali pun melihat ada seorang lelaki yang berbadan tegap dan memegang senjata sedang duduk sendirian.Tanpa melengah-lengahkan masa Muhamad pun terus berlari mendapatkan lelaki itu lalu berkata :

“Kami sedang dirompak.Tetapi saya yakin tuan seorang yang baik.Tolong simpankan bungkusan ini kerana didalamnya ada harta yang diamanahkan kepada saya untuk menjaganya.Selepas perompak itu pergi ,pulangkanlah semua bungkusan yang berisi harta ini kepada saya” kata Muhamad.

“Adakah kamu yakin saya tidak akan melarikan bungkusan harta ini?” tanya Fazil.Muhamad pun menjawab :

“Saya yakin tuan seorang yang baik, kerana itu saya bersangka baik dengan tuan, sebentar tadi saya sudah berdoa semoga Tuhan memberi taufik dan hidayah terhadap tuan supaya tidak mengkhianati saya” kata Muhamad.Fazil terkejut dengan jawapan itu kerana masih ada lagi orang yang sudi mendoakan orang jahat sepertinya agar diberikan hidayah.

“Betulkah kamu jemaah haji yang sedang dalam perjalanan mengerjakan haji ke Tanah suci?” Tanya Fazil.

“Oleh kerana tuan jujur , maka saya mesti menjawabnya dengan jujur.Sebenarnya kami bukan jemaah haji, tetapi kami menyamar dengan memakai pakaian ihram agar tidak dirompak, tetapi nampaknya rancangan kami gagal kerana kumpulan perompak itu lebih cerdik dari kami” jawab Muhamad.

Tiba-tiba anak buah Fazil iaitu Malik datang memberi maklumat tentang rombongan itu, lalu terkejutlah Muhamad bapa imam Hambali bahawa orang yang telah diserahkan harta itu rupa-rupanya seorang ketua Perompak yang sedang merompak kafilah mereka.

Selepas Malik pergi, Fazil terus bertanya kepada Muhamad : “Apakah kamu terkejut bila mengetahui siapa aku sebenarnya?” Tanya Fazil kepada Muhamad.

“Saya masih yakin bahawa tuan orang yang baik, dan tuan tidak akan mengkhianati saya” jawab Muhamad.

Oleh kerana kejujuran dan perasaan baik sangka Muhamad terhadapnya, maka Fazil menjadi insaf dan tidak tergamak mengambil bungkusan wang itu lalu meyerahkan semula kepada Muhamad kerana takutkan Allah dan ingin bertaubat.

Tiba-tiba muncul seorang lelaki berpakaian serba putih dan menunggang seekor kuda putih menghampiri mereka lalu berkata :

“Orang jahat yang banyak dosa itu masih lagi mempunyai peluang untuk bertaubat dari dosa-dosanya” lalu terus menghilangkan diri.

Peristiwa itu benar-benar membuatkan dia insaf, kerana Muhamad berkata lelaki itu mungkin malaikat yang diutuskan Tuhan bagi menyedarkan mereka.Fazil pun terus beristigfar dan memohon keampunan dari Allah swt.Dia pun terus memanggil semua ahli kumpulannya dan berucap di hadapan rombongan itu bahawa dia ingin bertaubat dan mahu memulangkan balik semua harta yang telah dirompak itu.Semua ahli kumpulannya patuh kepada arahannya tetapi mereka tidak mahu bertaubat lalu pergi meninggalkan Fazil bersama rombongan kafilah itu.Fazil pun segera meminta izin dari rombongan itu untuk menyertai mereka ke Baghdad bagi menuntut ilmu.Dia juga memohon maaf dari setiap ahli rombongan itu seorang demi seorang.

Kebetulan dalam rombongan itu, ada seorang pendeta Yahudi yang juga ingin pergi ke Baghdad, beliau selalu membaca kitab Taurat.Bila tiba giliran Fazil memohon maaf darinya, dia tidak mahu memaafkan Fazil kecuali dengan dua syarat.

Syarat yang pertama ialah agar Fazil memindahkan gunung pasir didepan mereka itu dengan segera.Permintaan pendeta itu mengejutkan Fazil dan semua ahli rombongan, namun dengan niat untuk berubah dan setelah dia bertaubat dan betul betul insaf, Fazil pun berkata :

“Sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa, aku akan memohon bantuan kepadaNya” jawab Fazil lalu terus berdoa kepada Allah dengan penuh yakin . Tiba-tiba angin pun bertiup kencang lalu memindahkan bukit pasir didepan mata mereka itu ketempat yang lain.Semua mereka amat merasa kagum dengan kejadian itu.

Syarat yang kedua pula ialah, agar Fazil menukarkan seguni tanah liat yang diisi oleh pendeta yahudi tadi agar ia menjadi emas.Sekali lagi Fazil akur dengan permintaan pendeta itu lalu terus berdoa kepada Allah dengan penuh keyakinan dan khusyuk.Tiba-tiba tanah liat itu pun berubah menjadi emas.

Orang ramai yang terpegun dengan kejadian itu pun terus bertanya kepada pendeta yahudi itu bagaimana perkara yang ajaib itu boleh berlaku keatas ketua perompak yang baru bertaubat itu, lalu dia pun menjawab:

“Wahai sekalian manusia, dengarkanlah kata-kataku ini ; Aku telah membaca kitab Taurat,dalam kitab tersebut ada disebut bahawa seseorang yang bertaubat dan dia benar-benar bertaubat di atas segala dosa dan kesalahannya maka benar atau tidaknya dia bertaubat dapat dilihat dalam dua perkara.Pertama dia boleh memerintahkan gunung bergerak dan kedua dia boleh menukarkan tanah liat menjadi emas.Jadi aku menyuruh lelaki ini melakukan dua perkara tersebut untuk mengetahui kebenaran bahawa dia benar-benar bertaubat atau tidak.Sekarang barulah aku tahu bahawa lelaki ini benar-benar telah bertaubat dan taubatnya telah diterima oleh Tuhan, dia sudah menjadi orang yang baik dan mulia”

Semoga cerita diatas dapat memberi pengajaran kepada kita semua. Sesungguhnya permohonan taubat nasuha yang benar benar ikhlas dari lubuk hati, dengan penuh penyesalan dan berazam dengan bersungguh-sungguh untuk meninggalkan perkara atau perbuatan keji akan mendapat keampunan dari Allah swt kerana Allah swt itu sangat Pengasih lagi amat Penyayang terhadap makhlukNya.

*[Artikel ke-212 Sangtawal Sakranta ]

Thursday, December 02, 2010

Tarian Yang Lembut Menjadi Asas Kepada Pukulan Yang Keras!



Tajuk : Tarian Yang Lembut Menjadi Asas Kepada Pukulan Yang Keras!

Artikel Oleh : Sangtawal Sakranta.


Tarian adalah satu entiti seni melayu yang amat mengasyikkan.Percayakah anda jika saya katakan bahawa disebalik kelembutan gerak tari tersebut tersimpan seribu satu macam rahsia yang hanya orang melayu mampu memahaminya.Ilmu yang sangat rahsia ini telah dibalut dan disembunyikan melalui gerakan yang sangat lembut tetapi penuh dengan kod-kod rahsia pergerakan yang hanya mampu dibaca dan ditafsirkan oleh mereka yang mempelajari selok belok ilmu tersebut.Itulah cara bangsa terahsia Melayu mengekalkan ilmunya.

Percayakah anda semua bahawa lagenda Kung Fu dunia Bruce Lee amat meminati seni bela diri melayu iaitu Silat? Mengapa tuan-tuan? Apakah rahsia yang terkandung dalam seni bela diri melayu itu yang menjadi minat nya? Saya tinggalkan persoalan ini buat anda semua!

Apa perlunya tari-menari semua ni tuan-tuan? Ada yang kata… lecehlah!!! Ada juga yang kata kerja-kerja tari menari ni kerja wanita… anak-anak muda yang macho zaman sekarang dah tak minat silat sebab kononnya kena banyak belajar tari-tari dan gerak lenggoknya, nampak lembik dan tak ganas, jadi mereka lebih gemar belajar seni bela diri yang nampak lebih ganas.Persepsi begini memang silap saudara..

Sebagai contoh… sila lihat bagaimana tarian yang dikatakan lembut itu menjadi asas kepada gerak dan pukulan yang keras malah menjadi pukulan-pukulan maut selepas itu.Maaf jika saya bagi contoh dari filem Thai, sila Klik Sini


Hasil dari gerakan tari yang lembut diatas, anda boleh melihat pukulan-pukulan yang keras dan hebat dalam aksi pertarungan dibawah:



Bukan maksud saya untuk mengagung-agungkan kehebatan seni bela diri diatas dan merendahkan Silat melayu, tetapi ianya hanya sebagai satu contoh untuk kita berfikir!

Dari cara dan gerak tari diatas, ianya mirip tarian melayu dan boleh ditonton dalam permainan Makyong! Apakah gerak tari dari seni bela diri diatas mempunyai persamaan dan asal usul yang sama dengan beberapa jenis silat di alam melayu ini? Saya tinggalkan persoalan ini kepada anda yang lebih arif dalam hal ini.Semoga sama-sama boleh berkongsi ilmu di blog ini.

Oleh kerana saya bukanlah orang yang ahli dalam ilmu persilatan ini, maka rasanya elok saya siarkan satu artikel yang ditulis oleh mereka yang ahlinya[dari web khalifahgayong], yang saya kira maksud penyampaiannya dan penulisannya hampir sama dengan apa yang ingin saya sampaikan, jadi tak payah lah saya buat research banyak banyak! izinkan saya siarkan atau Klik sini untuk membaca artikel penuh. sila KLIK

************************************************
Artikelnya seperti berikut :

[[…Seni Silat Pusaka Bangsa

Seni silat merupakan salah satu tradisi peninggalan nenek moyang Bangsa Melayu yang kini kian ditelan zaman. Silat begitu sebati dengan kaum melayu di seantero kepulauan melayu terutama Malaysia dan Indonesia. Jika kita selidik, terdapat berpuluh-puluh jenis silat yang terdapat di tanah melayu ini, bahkan mungkin beratus jenis silat.

Silat merupakan sejenis tarian atau gerakan mempertahankan diri ataupun tarian perang. Pergerakan tari silat yang lembut tersirat pukulan-pukulan maut dan gerakan menepis atau mengunci musuh. Jika dilihat dengan mata kasar kita tidak nampak apakah maksud di sebalik gerakan tari silat tersebut. Bahkan ada yang memandang rendah terhadap kemampuan silat dalam seni mempertahankan diri kerana dianggap lembik dan tidak glamour. Aku pun dulu pernah terfikir belajar boxing lebih baik daripada belajar silat. Buat apa belajar silat dengan tari-tari yang tidak dapat digunakan ketika berlawan. Masa berlawan, takkanlah nak menari lagi…itulah pandangan sinis daripada orang-orang yang tidak tahu nilai seni silat termasuk aku. Boxing lebih baik sebab Nampak pukulannya dengan jelas, dengan hayunan penyepak yang bisa menjatuhkan lawan dan siku yang boleh membelah tempurung kepala musuh. Tari boxing atau langkah sembah kelihatan lebih gagah dan megah sesuai dengan jiwa aku yang suka lasak heheh…itu dulu, dan setelah aku mendalami ilmu persilatan baru aku merasai kehebatan Seni Pusaka Tuah ini.

Barulah aku sedar rupa-rupanya aku silap…silap menilai pusaka yang telah banyak membunuh musuh, menghalau penjajah, mempertahankan negeri. Apakah senjata yang digunakan datuk nenek kita sewaktu melawan penjajah kalau bukan dengan silat. Walaupun berparang, berkeris atau bersenjata , silatlah yang menjadi tonggak menghunus senjata-senjata tersebut. Keadaan berlawan pada zaman dulu adalah dalam jarak dekat, oleh itu tidak dapat lari dari silat kerana kita tahu seni mempertahankan diri melayu adalah silat. Silat adalah seni mempertahankan maruah tertua bagi bangsa melayu. Keris pula merupakan senjata yang sinonim dengan silat, dan lambang bagi bangsa melayu.

Dalam kelembutan ada ketangkasan, dalam ketangkasan ada pukulan, Dalam tarian terkandung seribu jurus, itulah kehebatan silat. Pun begitu, silat hanyalah ilmu untuk mempertahankan diri bukan untuk menunjuk-nunjuk kehebatan sendiri. Gerakan silat yang lemah lembut menunjukkan kelembutan orang melayu yang sinonim dengan bangsa melayu yang kaya dengan budi bahasa dan sopan-santun hatta dalam bertempur sekalipun. Ini ialah Seni Silat. Manakala bila berGayong tidak ada lagi tari dan kelembutan . Ianya lebih menumpukan kepada ketangkasan, ketepatan dan kemusnahan. Pasal tu Arwah Dato Meor mengatakan Gayong adalah khusus untuk berperang.

Biarpun begitu, segelintir sahaja yang minat dengan ilmu silat. Generasi muda sekarang didedahkan dengan ilmu mempertahankan diri seperti taekwon-do, karate, judo dan sebagainya yang Nampak gah berbanding silat melayu. Seolah-olah silat melayu tidak begitu bernilai ataupun tidak dapat menyaingi kehebatan ilmu mempertahankan diri lain. Apakah ini kerana ketiadaan guru-guru silat yang membuka kelas atau darjat silat yang dianggap kekampungan menyebabkan tiada selera anak muda dengan silat…?

Jika menyelusuri sejarah silam, alangkah beruntungnya kita kerana dapat mewarisi ilmu ini. Bukan kerana kemegahan atau keegoan, tetapi kerana betapa besarnya nilai sesebuah ilmu persilatan itu. Pada masa aku kecil, diceritakan ketika tercetusnya pergaduhan kaum semasa 13 Mei 1969 , selepas benteng tentera dan polis..Silatlah yang mempertahankan kaum melayu. Terutamanya Silat Seni Gayong dan Selendang Merah pimpinan Kiyai Salleh

Antara Silat Segera dan Fast Food

Jika dilihat senario sekarang berlambak wujudnya silat segera yang belajar pun nak segera.. Guru-guru silat pun lebih ramai daripada anak murid. Silat gaya pos pun ada. Masukkan duit dalam akaun bank, guru akan menghantar senaskah amalan…Agaknya lebih tepat kita katakan Silat IT Namun yang paling BAHAYA ialah ada perguruan yang menggunakan khidmat JIN bagi menunjukkan kehebatan yang mencarik adat.. Rujuklah alim ulamak bagi membezakan diantara Karamah dan Istidraj.

Adapun silat berbentuk kebatinan amatlah rumit untuk mempelajarinya. Ini kerana kesilapan amalan boleh memberikan kesan buruk kepada pengamalnya. Inilah mungkin penyebab ketiadaan orang mahu meneruskan ilmu ini. Dimanakah hilangnya ilmu ibu gayong sendi gedang tunggal, semar alam tunggal, belah bumi kipas nandung, raja kipas nandung. Kalau ada pada seorang guru pun adakah dapat dipelajari dan menguasainya dalam masa 24 jam sahaja…Silat batin ini, menurut cerita-cerita orang tua, pokok kelapa boleh tumbang hanya dengan menolak angin sahaja. Musuh boleh terpelanting hanya dengan menghembus nafas dan boleh berdiri di atas daun pisang. itu semua adalah kehendak Allah kepada hambanya yang istiqamah dalam perjuangan menegakkan yang Haq dan menentang yang Batil. Cuma yang menjadi persoalan sekarang adakah ilmu ini sudah tiada pewarisnya. yang ada sekarang bolehlah dianggap ibarat

“mee maggi cepat dimasak sedap dimakan akhirnya MEMUDARATKAN BADAN”

Manakala silat yang tidak berbentuk kebatinan ini Kehebatannya tetap ada dan menyimpan rahsia yang tersendiri ( ambil rasa baru mengetahuinya ) . Namun tidak perlu kepada mengamalkan ayat-ayat tertentu dan sesuai dipelajari semua golongan. Pun begitu, masih ada ayat-ayat dan petua yang dijadikan sebagai pendinding atau amalan dalam silat tertentu. Seperti artikel lepas belajar biar berguru dan pemahaman Islam wajib dipertingkatkan dari masa ke semasa.

Setiap Gerak Ada SENI Setiap SENI ada RAHSIA

Gerakan-gerakan tari silat adalah berbeza antara satu sama lain.Antaranya Seludang Jatuh, Lenggang Janda, Benang Kusut, Merbah Berlaga, Kayuh Raja Beradu, Tarik Rotan Banar, Cacok Racik, Helang Berlegar, Helang Melayang, Angkat Pulut, Belah Udang, Bersikat, Limbai, Gajah Berdorong, Permainan Empat Penjuru, Langkah Tiga, Mengumpan Ayam Putih, Tikam Serong, Buang Luar, Buang Dalam, Belebat, Tembung, Parang, Dorong, Spelet, Panah Arjuna dan Sembah Lela dan pelbagai lagi. Tari-tari itu sebenarnya adalah teknik serangan atau menangkis yang digayakan dalam bentuk tari, lemah lembut sesuai dengan adat melayu bersopan santun. Namun orang ramai masih tertanya-tanya ialah silat tari atau silat jatuh, apakah ianya adalah silat perang atau sekadar untuk persembahan?..

“Dalam Gerak ada Tari.. dalam tari ada Buah.. Bila Buah DiPetik nescaya Musuhkan Rebah“

Manakala bila berGayong gerakan kita bukan lagi bersifat lembut bahkan setiap gerakan adalah untuk memusnahkan musuh, misalnya gerakan Rajawali, timang puteri, gerakan harimau, cindai dan lain-lain lagi. Pernah sekali saya melihat batu yang sebesar kepala kita hancur berkecai dipukul oleh Cikgu Awang di air terjun Titi Hayun dengan menggunakan kain pelikatnya semasa mengajar Seni Cindai. Itu bukannya kuasa kebatinan tetapi SENI ( momentun,halaju,ketepatan, daya.. ala saintifik lah katakan) kalau nak tahu bergurulah dengan yang mewarisi pusaka bangsa ini.

Jijok Angin

Misteri dalam silat ialah muziknya. Tiupan serunai dan gendang merupakan “pembakar semangat” yang meresapi seseorang pesilat… Pesan Arwah Dato Meor sekiranya Gayong ingin dipersembahkan hendaklah dibaca Sajak Gayong semasa persembahan dijalankan , pesilat akan bersemangat dan kemahuan dalaman membuak-buak menyuruh membuka sembah memula pencaknya. Inilah yang dikatakan “Angin silat ” sepertimana angin makyung, angin dikir,dan angin teri. Itulah misteri yang belum terungkai ..

Realiti Silat di Masa Kini

Teringat saya waktu kecil-kecil dulu, selepas sahaja menuai padi, gelangang-gelangang silat dibuka dikampung, kalau tidak pun gelangang boxing, anak-anak muda ramai yang datang belajar. Sebab itulah orang-orang dulu jarang yang tidak pandai bersilat, kalau tidak bersilat pun pandai boxing. Mereka gemar belajar, mungkin kerana tidak ada kerja yang nak dibuat, atau mungkin kerana hiburannya tak banyak seperti sekarang, tapi yang pasti mereka rajin menimba ilmu, lepas seperguruan seperguruan pula, lepas segelangang segelangang pula. Lepas mereka belajar silat jatuh, belajar silat tongkat pula, pendeknya mereka rajin.



*Rindu sekali untuk melihat anak bangsaku bersatu seperti di atas dan bergerak dalam satu saf demi perjuangan yang satu!

Kita tengok dulu jarang berlaku gejala sosial yang pelik-pelik seperti hari ini, kalau ada pun tak sama macam sekarang, yang menjadi ancaman dalam negara, yang mengusarkan hati semua orang. Apa tidaknya, kes bunuh, rogol, zina, subang muhram, bahkan seribu satu macam gejala yang terkadang letih untuk disebut berlaku setiap hari. Orang dulu belajar silat bukan semata-mata silat, mereka diasuh menghormati guru, bukan sahaja guru silat mereka, guru orang lain pun mereka hormat, menghormati ibubapa lebih lagi, mereka ada disiplin dan pantang larang. Boleh jadi budaya inilah yang mereka bawa dalam masyarakat. Mereka tak mudah bergaduh walau pun pandai bersilat, kadang-kadang makin pandai bersilat makin merendah diri, macam resmi padi makin berisi makin tunduk, tidak seperti ayam, bertelur sebiji riuh sekampung. falsafah yang diajar (Selagi air mata tidak mengalir, selagi darah tidak menitis jangan pukul orang sekali-kali). Ini sesuai dengan ajaran Islam kalau diamalkan.

Yang pelik bin ajaibnya kenapa budak-budak hari ini jarang yang berminat kearah itu, tidak seperti orang dahulu. Mereka lebih suka merempit yang sudah pasti mengundang geruh, ada yang suka telan pil kuda sehingga hidup tak keharuan bahkan macam-macam lagi. Syabas dan tahniah kepada Penggerak Pusaka Bangsa yang berjaya mendidik anak bangsanya sendiri, ilmu dan usaha yang baik itu pasti akan direstui Allah. Istiqamah lah kita semua insya Allah.


Umat Melayu Menjunjung Tinggi


Kita harus sedar bahawa proses menghargai seni pusaka bangsa pada diri seseorang adalah tertanam sejak mereka lahir. Misalnya Anak yg baru lahir sedang menyusu pada ibu biasanya mendengar dodoi, dendangan dan nyanyian belaian ibunya akan tersemat rasa seni itu pada jiwa mereka. Makin besar anak itu makin bertambah pengalaman seni pada diri mereka. Seni muzik, seni suara, seni tari, seni silat akan mempengaruhi anak2 itu.

Dalam hal ini mereka akan merasa senang dan puas hati bilamana mendengar atau melihat apa yang telah di alami oleh mereka semasa kecil dahulu. Mungkin kepada peringkat yang telah berumur akan merasa puas hati dan bersemangat serta gembira bila serunai dan gendang silat di mainkan, lagu makyung di alunkan, lagu dikir barat di nyanyikan dan di hayati oleh generasi tersebut. Pepatah ada menyebut ” tempat jatuh lagikan dikenang inikan pula tempat bermain”. Anak kita masih dapat dan sempat mengalami pengalaman ini, tetapi cucu-cucu kita mungkin proses penerimaan nya sudah mula berkurangan. Anak yang berkurangan pengalaman oleh kerana tiada bersambungnya seni tersebut tidak dapat menghayati rasa seni lagi sebagaimana ayah dan datuk mereka dahulu.

Dalam masa 20 tahun saja jika di perhatikan bahawa anak muda yang lahir menjadi sudah pun berumur 20 tahun. Oleh kerana kekurangan pendedahan kesenian tradisi kita, maka minat mereka sudah pudar. kepada mereka bunyi gong gendang, serunai rebab adalah sebagai bunyi bising yg menganggu mereka sahaja, sedangkan bunyi alat2 tersebut bagi orang2 tua mereka adalah satu kemegahan dan timbul rasa puas hati.

Penurunan permainan tradisi amat ketara pada mereka sudah tiada lagi. Seni Silat ,Makyung, Wayang kulit, dan lain-lain yang tinggi nilai seninya sudah tidak dapat di hayati lagi. Hal-hal seperti ini sekali lagi tidak dapat di persalahkan kepada mereka. Apa yang penting sekarang ialah kita yang masih ada ini hendaklah menjadi kesinambungan kepada generasi terdahulu yang telah pergi meninggalkan kita supaya pusaka tradisi kita tetap terjaga , terpelihara dan di kembangkan kepada generasi muda.

Sehebat dan Segagah silat yang pernah menyanjung nama bangsa Melayu pada kurun terdahulu, adakah masih kuat untuk melawan arus abad kini. Bangsa Melayulah yang harus mempertahankannya, sebagaimana silat pernah mempertahankan bangsa melayu dahulu. Takkan hilang Melayu di dunia…Melayu akan hilang jika identiti Melayu ini hilang…

Anak langsat dibuat tongkat
Keris lembing senjata melayu
Usaha kita membawa berkat
Menyuburkan seni agar tak layu.

“Ilmu kaloh pada Petua, Petua kaloh pada Raso”

Pesan arwah Tokku

Aku dan gayong
www.khalifahgayong.wordpress.com …]]

*******************************************************


Berikut adalah beberapa contoh gerak tari silat saja , maaf kepada ahli seni bela diri lain yang tidak diletakkan video atau linknya disini .



Amat menarik, begitu berseni dan harmoni sekali pergerakan silat mereka dibawah ini !



Akhir sekali pesan saya, jangan jadi “lelaki Melayu lembut berterusan bersifat sotong”… jadilah lelaki melayu yang lembut budi bahasanya, beradab dan bersopan dengan orang tua tetapi gagah perkasa di medan juang untuk membela Agama,bangsa dan tanahairnya yang tercinta!

Hidup Silat warisan pusaka bangsa kita!!!

Hidup seluruh persatuan seni silat di alam melayu yang berpaksikan Al-Quran dan sunnah!!!
Amin!


*[Artikel ke-210 Sangtawal Sakranta ]