Artikel Oleh : Sangtawal Sakranta
Saya meletakkan tajuk wayang kulit versi sangtawal di atas kerana saya tahu, ia mungkin berlainan dengan apa yang sesetengah dari anda semua ketahui.Oleh kerana versi wayang kulit ini diceritakan oleh arwah datuk saya kepada saya secara lisan , maka ada baiknya saya berkongsi pula dengan anda semua.Ini merupakan cerita asal wayang kulit dan jarang orang yang mengetahuinya, kerana kini kita dihidangkan dengan cerita wayang kulit siri-siri peperangan dan penaklukan Seri Rama, malah sudah ada versi yang dimodenkan sehingga cerita asalnya tenggelam dan semakin dilupakan.Maaf sekali lagi jika nama watak ,tempat dan jalan cerita adalah berbeza dengan apa yang dicatat oleh buku sejarah atau mana-mana versi cerita wayang kulit yang lain.Saya menulis cerita ini seringkas yang mungkin mengikut cara saya kerana mengikut arwah datuk, apa yang saya ceritakan ini memakan masa 7 malam jika diceritakan dalam wayang kulit sebenar.
Begini ceritanya.Suatu masa dahulu, ada sebuah negeri di alam kayangan namanya Pasir Mayang Mercapada, yang dihuni oleh dewa-dewa. Alam kayangan ini dipercayai oleh setiap tok dalang wayang kulit wujud sebelum kelahiran Nabi Muhammad saw dan ianya runtuh sebaik saja Nabi Muhammad saw dilahirkan.
Di negeri para dewa itu ada dua orang adik beradik anak dewa yang bernama Seri Rama dan Sita Dewi.Oleh kerana kedua-duanya sungguh kacak dan jelita, maka berkatalah Seri Rama kepada adiknya Sita Dewi bahawa dia bersumpah tidak akan berkahwin kecuali bertemu dengan gadis yang secantik rupa paras adiknya itu, begitu juga Sita Dewi bersumpah demikian.Tanpa disedari, percakapan mereka itu di dengar oleh Dewa Se Alam Tunggal iaitu Ketua segala dewa-dewa di negeri kayangan.Dewa Se Alam Tunggal atau Bentara Guru Agung inilah yang nantinya akan turun ke alam dunia menyamar menjadi orang biasa yang penuh keramat dan kesaktian bernama Pak Dogol.
Untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini terjadi di alam kayangan setelah mendengar sumpah dua beradik itu , maka Dewa Se Alam Tunggal pun terus menyumpah Seri Rama dan Sita Dewi menjadi sebutir buah pinang muda, lalu dibelahkan dua dan dilontarkan turun ke alam dunia.Kata arwah datuk, inilah asal usul perumpamaan seperti “pinang dibelah dua” - sama cantik dan sama padan itu.
Dipendekkan cerita sebelah buah pinang tersebut jatuh ke dalam taman permainan Permaisuri Ratna Sari di Tanah Jawa iaitu isteri kepada seorang Raja yang hebat dan sebelah buah pinang lagi jatuh dalam taman permainan Permaisuri Mamlu Daki di tanah Hindustan.Suami Permaisuri Mamlu Daki tersebut adalah bukan manusia biasa, tetapi dari kalangan Jin iaitu Bota Maharajawana.
Setelah terjumpa oleh kedua – dua permaisuri tersebut akan pinang sebelah itu, maka mereka pun rasa terliur untuk makan buah pinang tersebut.Maka setelah mereka berdua makan buah pinang tersebut, maka masing-masing pun mengandung.
Al-kisah ada seorang tua yang bijak dan mempunyai ilmu perang yang hebat sehingga mempunyai anak murid yang ramai dari seluruh dunia iaitu berjumlah kurang satu selaksa(mungkin lebih banyak dari sejuta kot?) , bertempat di Candi atau Ketit siam yang banyak patung diperbuat dari emas iaitu berjumlah kurang satu dari 40 patung (39 patung).Nama beliau ialah Tok Mah Siko Batu Api.Beliau mempunyai dua orang pengawal peribadi atau pengasuh bernama Epol dan Endeng.
Setelah tersohor seantero dunia betapa hebatnya ilmu Tok Mah Siko Batu Api ini, maka Bota Maharajawana pun teringin juga untuk pergi kesana menuntut ilmu.Sebelum dia berangkat pergi, dia tinggalkan pesan kepada isterinya, jika anak yang dilahirkan nanti adalah anak lelaki,maka peliharalah ia baik-baik dan jika anak tersebut anak perempuan, maka bunuhlah ia.Setelah beberapa bulan kemudian, maka Tuan Puteri Mamlu Daki pun melahirkan seorang anak perempuan yang sangat comel, maka beliau sangat sedih kerana terpaksa menurut pesan suaminya sebelum peninggalan nya dulu iaitu agar membunuh anak perempuannya itu.Setelah puas berfikir, maka Tuan Puteri Mamlu Daki pun tidak jadi membunuh anaknya yang sangat comel itu, tetapi pakaian anaknya itu dilumurkan dengan darah binatang, lalu disimpan sebagai bukti bahawa dia telah membunuh anaknya itu.Anaknya tersebut dimasukkan kedalam sebuah kotak dan dihanyutkan kedalam sebuah sungai.
Berbeza pula dengan Tuan Puteri Ratna Sari, dia sangat gembira setelah melahirkan seorang anak lelaki yang sangat comel lalu dinamakan dengan nama Seri Rama.setelah dia meningkat dewasa, maka ayahandanya juga mahu menghantar Seri Rama ke tempat perguruan Tok Mah Siko Batu Api di Ketit Siam.
Berbalik kepada cerita anak perempuan yang dihanyutkan tadi akhirnya sampai ke tempat Tok Mah Siko .Dia ditemui oleh dua orang pengasuh Tok Mah Siko iaitu Epol dan Endeng.Mereka membawa pulang ketempat perguruan Tok Mah Siko lalu dinamakan dengan nama Sita Dewi, dipelihara dan dijadikan anak angkat oleh Tok mah Siko didalam candi secara rahsia oleh dua orang pengasuh Tok Mah Siko tanpa diketahui oleh sesiapa pun kecuali mereka bertiga sahaja.
Setelah Sita Dewi meningkat dewasa, maka terbocorlah rahsia bahawa sang guru iaitu Tok mah Siko rupa-rupanya mempunyai seorang anak gadis yang cantik jelita.Maka ia menjadi buah mulut dan topik perbualan yang hangat dikalangan anak murid Tok Mah Siko dan Seri Rama serta Bota Maharajawana juga tidak terlepas dari menaruh hati kepada Sita Dewi.
Ternyata Sita Dewi juga menaruh hati kepada Seri Rama, namun hasratnya itu tidak boleh dipenuhi oleh ayahnya kerana takutkan anak-anak muridnya yang lain dengki dan tidak berpuas hati dengan Seri Rama.
Setelah puas berfikir, maka Tok Mah Siko pun meletakkan syarat kepada semua muridnya , iaitu barang siapa yang boleh meneka yang mana satukah Sita Dewi diantara 39 patung emas tersebut, dialah yang bakal memiliki Sita Dewi.
Semua murid telah cuba meneka, termasuk Bota Maharajawana tetapi tekaan mereka meleset, yang disangka Sita Dewi itu adalah sebuah patung.Maka tibalah giliran Seri Rama pula.Dalam masa mencari akal bagaimana untuk meneka yang mana satukah Sita Dewi itulah muncul seorang anak dewa bergelar Laksamana menyatakan bahawa Seri Rama adalah berasal dari anak dewa dan dia tidak perlu bersedih kerana Sita Dewi pasti akan menjadi miliknya.Pada mulanya Seri Rama tidak percaya, maka Laksamana pun menyuruh Seri Rama membuka mulutnya dan melihat ada 7 tanda bintang kebesaran dewa didalam mulutnya.
Setelah sampai gilirannya, maka Seri Rama pun meminta sebatang lidi yang panjang lalu sambil dia berjalan diacukan ke arah mata patung-patung tersebut, maka ada satu patung yang berkelip matanya.Lalu dia meneka dengan tepat sekali bahawa itulah Sita Dewi.Semua anak murid Tok Mah Siko masih tidak berpuas hati lalu meminta syarat yang kedua.
Syarat yang kedua oleh Tok Mah Siko ialah barang siapa yang mampu memanah 7 batang Pokok Tar di situ, dia akan dapat memiliki Sita Dewi.Maka berlumba-lumba anak muridnya yang menaruh hati terhadap Sita Dewi mencuba nasib, tetapi semua panahan mereka tidak menembusi ketujuh tujuh Pokok Tar itu.Mereka semua hairan mengapa pokok yang nampak tersusun lurus itu boleh terlepas dari mata panah mereka.Seri Rama pun kembali bersedih hati takut takut panahannya juga akan tersasar.Ketika itu, Laksamana pun kembali menjelma dan memberitahu Seri Rama rahsia sebenarnya pokok Tar itu ditanam diatas belakang seekor naga, setiap kali busur panah ditarik dan dilepaskan maka naga tersebut akan menggeliatkan badannya sedikit, oleh itu sudah pasti ada anak panah yang akan tersasar.Hanya ada satu cara kata Laksamana, ketika tiba giliran Seri Rama memanah Pokok Tar itu dari arah kepala naga, Laksamana pula akan memijak ekor naga dan memastikan naga itu diam.Memang benarlah apa yang dikatakan oleh Laksamana ini, ketika giliran Seri Rama memanah, maka tembuslah ketujuh tujuh pokok Tar tersebut membuatkan semua murid Tok Mah Siko yang lain termasuk ayah Sita Dewi yang sebenar iaitu Bota Maharajawana juga tercengang dan hanya mampu menelan air liur saja dari memiliki Sita Dewi.Mitos tentang naga dan pokok Tar ini masih ada dalam cerita-cerita lama orang Kelantan sehinggakan ada sebuah kampung di Pasir Mas Kelantan yang bergelar Kampung Tar Tujuh.
Walaubagaimanapun, murid murid Tok Mah Siko masih tidak berpuas hati dan memohon syarat yang terakhir dari Tok Mah Siko.Untuk memberikan keadilan dan mengelakkan rasa tidak puas hati dikalangan murid-muridnya, maka beliau pun meletakkan syarat yang ketiga iaitu barang siapa yang dapat mengutip kembali segantang biji lenga yang akan dicampakkan ke laut tanpa berkurang sebiji pun , maka dialah yang layak memperisterikan Sita Dewi.
Selepas mencampakkan segantang biji lenga kedalam laut, maka berlumba lumba lah pula anak murid Tok Mah Siko menyelam ke dalam laut, namun mereka hampa kerana sebiji lenga pun mereka tidak mampu mencarinya.Seperti biasa, Seri Rama kembali bersedih dan berdukacita kerana syarat kali ini memang berat.Ketika itu menjelmalah kembali Laksamana menyuruh Seri Rama terjun kedalam laut dan terus berjumpa dengan raja dewa ikan meminta tolong segala ikan ikan di lautan mencari biji lenga untuknya.Maka Seri Rama pun terjun dan menyelamlah di laut itu.Setelah bertemu dengan raja dewa ikan, maka dia pun menceritakan segala hajatnya, bila diminta bukti benarkah Seri rama juga adalah anak dewa-dewa kayangan, maka Seri Rama pun membuka mulutnya dan menunjukkan tanda 7 butir bintang didalam mulutnya.Setelah berpuashati, maka Raja Dewa ikan pun menyuruh seluruh ikan mencari biji lenga dan diberikan kepada Seri Rama.Tidak sampai sehari semua biji biji lenga yang beratnya segantang itu Berjaya dikumpulkan oleh Seri Rama dengan pertolongan ikan-ikan di lautan itu.Oleh itu semua anak murid Tok Mah Siko pun berpuas hati , lalu Seri Rama pun dikahwinkan dengan Sita Dewi dalam upacara yang sangat meriah.Bota Maharajawana, dalam diam menyimpan dendam kesumat kepada Seri rama.
Setelah pengajian Seri Rama dengan Tok Mah Siko Batu Api tamat, maka beliau pun memohon kepada gurunya untuk kembali ke tanah jawa dengan membawa isterinya Sita Dewi, lalu diizinkan oleh gurunya.Seri Rama membawa isterinya dan ditemani oleh Laksamana pun berangkatlah pulang ke tanah jawa.Tanpa mereka sedari Bota Maharajawana masih mengekori mereka untuk menculik Sita Dewi.
Penat berjalan, Seri Rama pun terasa dahaga, lalu disuruhnya Laksamana pergi mencari air untuk diminum.Dengan tidak berlengah lagi Bota Maharajawana pun membuat 2 buah telaga, satu berair keruh dan satu lagi berair jernih.Telaga berair jernih telah disihir oleh Bota Maharajawana.Oleh kerana Laksamana tahu air yang jernih telah disihir, maka dia pun mengambil air yang keruh untuk abang dan kakaknya.Seri Rama amat murka lalu menolak air yang keruh lalu membawa sendiri Sita Dewi ke arah telaga yang jernih, diberi isterinya minum air yang jernih dan Seri Rama sendiri pun meminumnya.Selepas itu mereka berdua pun berubah menjadi sepasang kera berwarna putih dan terus berlari masuk ke hutan dan masuk dalam kawanan kera yang lain.Laksamana pun tahu itu adalah kerja Bota Maharajawana, lalu dia pun berpatah balik ketempat Tok Mah Siko untuk menceritakan perkara yang sebenar.
Atas nasihat Tok Mah Siko, Laksamana pun membawa benih pisang dan jagung untuk ditanam dikawasan hutan tempat Seri Rama dan Sita Dewi disumpah menjadi kera.Setelah sekian lama berhuma, dan setelah buah pisang telah masak, maka turunlah sekawan kera masuk ke dalam kebun Laksamana.Dilihatnya di antara banyak banyak kera itu, ada dua ekor kera yang lain dari yang lain, lalu Laksamana pun memasang perangkap untuk sepasang kera putih tersebut.Setelah masuk perangkap itu, Laksamana pun terus membawa perangkap itu lalu diselamkan semula ke dalam telaga berair keruh. Tiba - tiba dua ekor kera itu pun bertukar rupa menjadi Seri Rama dan Sita Dewi semula.Mereka sangat gembira lalu meneruskan perjalanan pulang.
Bota Maharajawana yang sentiasa mengekori mereka masih tidak berputus asa, lalu dia pun menukar dirinya menjadi seekor kijang emas dan berlari kencang dihadapan mereka.Sita Dewi pun terpegun dengan kehebatan dan kecantikan kijang emas tersebut lalu meminta suaminya Seri Rama memburu kijang tersebut.Maka tinggallah Laksamana bersama kakaknya Sita Dewi, sementara Seri Rama pergi memburu kijang emas tersebut.
Lama menunggu, Laksamana pun merasa tidak sedap hati dan mengagak yang Seri Rama telah tersesat jalan didalam hutan, lalu dia pun mengambil keputusan untuk pergi mencari Seri Rama.Sebelum dia pergi dia telah berpesan kepada Sita Dewi supaya tidak pergi kemana-mana, lalu dibuatnya satu goresan di tanah iaitu garisan bulat mengelilingi Sita Dewi, satu garisan hikmat yang dinamakan “Paris Laksamana”, ilmu Paris Laksamana ini masih diamalkan oleh orang-orang tua dulu untuk memagar kawasan rumah dan kebun , mengelakkan dari pencuri atau musuh.Barang siapa yang melangkah garisan ini akan patah kaki, tangan dan tubuhnya.
Peluang keemasan ini tidak disia-siakan oleh Bota Maharajawana, dia pun terus menerpa untuk menyambar Sita Dewi tetapi dia tidak mampu melintasi garisan Paris Laksamana kerana hikmat ilmunya.Bota Maharajawana pun mulalah mencari helah lain , iaitu dia pun berupa dirinya menjadi seorang wanita tua penjual bunga.Bunga-bunga yang dibawanya sangat cantik dan harum sehinggakan Sita Dewi terlupa akan pesan Laksamana, lalu dia pun melangkah keluar dari garisan hikmat Paris Laksamana.
Sebaik saja sita Dewi keluar dari garisan itu, Bota Maharajawana pun terus menyambar dan menculik Sita Dewi, diterbangkan kembali ke negeri asalnya.
Ketika Seri Rama dan Laksamana sampai ketempat Sita Dewi, mereka dapati Sita Dewi telahpun diculik oleh Bota Maharajawana, mujurlah ketika dalam perjalananan semasa diculik itu Sita Dewi sempat melemparkan perca-perca kainnya supaya Seri Rama dan Laksamana tidak kehilangan jejaknya.
Dengan mengikut jejak perca kain itu, maka mereka sampailah ke tepi sebuah lautan yang luas, maka tahulah mereka Sita Dewi telahpun diterbangkan melepasi lautan tersebut dan merekapun bersedih kerana telah kehilangan jejak.
Dikisahkan ketika Bota Maharajawana membawa pulang Sita Dewi ke istananya, dia meletakkan Sita Dewi yang sudah berbadan dua itu dalam bilik kurungan, hanya untuk ditatap saja kerana dia berbangsa jin dan tidak boleh mengahwini bangsa manusia.Oleh kerana wajahnya yang sangat cantik jelita itu, Sita Dewi diculik hanya untuk dilihat saja!
Setelah beberapa lama dalam bilik kurungan, maka Sita Dewi pun melahirkan seorang anak lelaki.Terkejut sungguh Sita Dewi kerana anak lelaki yang dilahirkannya itu berwajah manusia tetapi mempunyai ekor seperti seekor kera.Maka teringatlah Sita Dewi bahawa dirinya dan Seri Rama dulu pernah hidup sebagai kera di hutan, lalu diberikan nama anak itu Hanuman Kera Putih.Seperti perangai seekor kera, Hanuman Kera Putih itu memanjat ke sana kemari di istana Bota Maharajawana, kadang-kadang Hanuman Kera Putih itu menyelongkar bilik Bota Maharajawana sendiri sehingga Bota Maharajawana naik berang.Pada suatu hari, kerana tidak tahan mengawal perasaan marahnya Bota Maharajawana telah melempar sekuat tenaga Hanuman Kera Putih sehingga melepasi lautan dan jatuh diatas sepohon pokok ru.Dulu pokok ru daunnya lebar-lebar.
Ketika sedang memanjat di atas pokok tersebut, maka terlihatlah Hanuman Kera Putih dua orang lelaki tampan sedang tidur dibawah pokok tersebut.Setelah diamati betul-betul barulah Hanuman Kera Putih tahu bahawa orang yang berada dibawah pokok itu adalah ayahnya sendiri Seri Rama dan bapa saudaranya Laksamana.Ciri-ciri dan identiti diri mereka telahpun diceritakan oleh ibunya Sita Dewi iaitu ayahnya Seri Rama, mukanya sebelah putih dan sebelah hijau manakala bapa saudaranya Laksamana sebelah mukanya putih dan sebelah lagi merah.Oleh itu Hanuman Kera Putih pun menjatuhkan air liurnya ke atas muka ayahnya Seri Rama yang sedang tidur.Seri Rama tersedar dari tidurnya lalu mengejutkan Laksamana, tetapi Laksamana menyuruh Seri Rama supayta tidak menghiraukannya, mungkin air embun yang jatuh dari daun pokok tersebut.Setelah melihat ayahnya kembali tidur, Hanuman Kera Putih pun meludahkan air liurnya semula ke atas muka ayahnya dengan tujuan bergurau.Seri Rama pun segera bangun, mencapai panah Laksamana lalu dipanahnya pohon ru tersebut dengan “Panahan Laksamana”, Pokok Ru yang asalnya berdaun lebar,terkena panahan Seri Rama seperti dipusar taufan hebat, itu sebabnya sehingga kini daunnya menjadi halus.Selepas itu terlihatlah oleh Seri Rama akan seekor kera berwarna putih berada di atas pokok itu, rupa-rupanya inilah kera yang menganggu tidurnya.Seri Rama pun mula mengangkat busur panah dan ingin memanah Hanuman Kera Putih tetapi sempat ditegah oleh Laksamana.
Setelah dipanggil turun ke tanah, mereka pun bertanya asal usul Hanuman Kera Putih, maka diceritakan semua kisah hidupnya seperti yang pernah diceritakan oleh ibunya Sita Dewi.Seri Rama masih belum percaya itu adalah anaknya, tetapi setelah diyakinkan oleh Laksamana, bahawa suatu masa dahulu Seri Rama dan Sita Dewi pun pernah menjadi kera, dan setelah ditunjukkan bukti tanda bintang dewa di dalam mulut Hanuman Kera Putih, barulah Seri Rama akur dan mengakui itu adalah anaknya .
Bila tiba waktu makan, maka Laksamana pun mengambil sehelai daun pisang yang dulu tidak ada pelepahnya, tetapi setelah Seri Rama menggariskan dengan jari telunjuknya, membuat satu garis pemisah lurus di atas daun pisang itu agar makanannya terpisah dengan makanan Hanuman Kera Putih, maka hingga kini daun pisang itu menjadi lekuk dan membentuk pelepah pisang.Itu sebabnya dalam agama hindu, pokok ,buah dan daun pisang menjadi satu benda yang dimuliakan sehingga kini.
Selepas itu Seri Rama memberikan tugas untuk mengambil dan membawa pulang isterinya Sita Dewi dari Bota Maharajawana kepada anaknya Hanuman Kera Putih.Tugas pertama yang perlu dilakukan oleh Hanuman Kera Putih ialah dengan cara menambak laut untuk menjadi laluan mereka ke negeri Bota Maharajawana.Siang malam Hanuman Kera Putih bekerja dengan memunggah tanah dan mencabut bukit bukau menambak laut.Bila tambak itu dibina hingga ditengah lautan,maka runtuh pula tambak itu.Bila Hanuman Kera Putih mengintip angkara perbuatan siapakah yang meruntuhkan tambaknya, maka tahulah Hanuman Kera Putih, yang membuatnya adalah seekor ikan besar dengan cara melibaskan ekornya pada tambak tersebut.Maka dengan tidak berlengah lagi Hanuman pun terjunlah kedalam laut untuk menangkap ikan tersebut.Rupa-rupanya ikan tersebut adalah jelmaan dewa perempuan, lalu dinikahi oleh Hanuman Kera Putih seterusnya melahirkan zuriatnya bernama Hanuman Kera Ikan yang akan menguasai alam di lautan.
Akhirnya tambak yang dibina semula oleh Hanuman Kera Putih siap dan mereka bertiga iaitu Hanuman bersama Seri Rama dan Laksamana pun mara lah ke negeri Bota Maharajawana untuk merampas kembali Sita Dewi dari tangan Bota Maharajawana.Tambak ini masih dipercayai wujud oleh orang-orang tua kita dulu, kerana sewaktu menaiki kapal untuk menunaikan haji ke Mekah , apabila kapal melintasi tambak ini, maka kapal seolah-olah lekat dan bergeser dengan tambak ini seketika.
Dipendekkan cerita, Hanuman Kera Putih telah mencabut sebuah bukit lalu dihempapkan ke atas Bota Maharajawana.Sehingga tahun 1800- an ,orang – orang tua kita menceritakan sesiapa yang membawa cuka melalui bukit tersebut, maka bukit tersebut akan bergegar.
Mengikut arwah datuk saya, itulah permulaan cerita asal wayang kulit, apa yang kita dengar kemudian dari itu adalah cerita-cerita peperangan dan penaklukan Seri Rama dan Hanuman Kera Putih.Watak-watak lain selain dari Pak Dogol dan Wak Long seperti Wok yoh, Samad, Said dan lain-lain itu adalah watak-watak baru yang diketengahkan oleh Tok Dalang moden untuk menyedapkan jalan cerita.
*Beberapa persoalan sekitar cerita ini yang harus kita fikirkan bersama ialah:
1.Jika Tanah Dewa runtuh,dimana pula Tanah Dewa yang baru?
2.Dimanakah lokasi sebenar dua bahagian buah pinang yang jatuh itu, benarkah satu di Tanah Jawa dan satu lagi di Tanah Hindustan?
3.Siapakah sebenarnya watak Tok Mah Siko Batu Api itu dan dimanakah tempat tinggalnya sehinggakan dia menjadi tumpuan murid dari seluruh dunia?
4.Jika benar Kampung Tar Tujuh di Kelantan ada kaitan dengan 7 pokok Tar yang tumbuh diatas belakang seekor naga, maka cerita ini bukanlah hikayat dongeng semata-mata, perlu kajian lebih teliti.
5.Dimanakah lokasi sebenar laut atau sungai yang digunakan oleh ibu Sita Dewi untuk menghanyutkannya? Apakah itu Sungai Gangga atau Sungai suci orang Hindu?
6.Dimanakah lokasi sebenar lautan yang dibina tambak oleh Hanuman Kera Putih itu?
7.Dimanakah lokasi sebenar bukit yang menindih Bota Maharajawana itu?
Lihat dalam youtube diatas, Seri Rama yang mukanya berwarna hijau, Laksamana yang mukanya berwarna merah disebelah Seri Rama, sedang berkata-kata dengan Wak Long dan Pak Dogol.
Cuba fikirkan kata-kata Pak Dogol bagaimana cara untuk mengenal Dewa Se Alam Tunggal, iaitu dengan Hakikat bukan dengan Syariat… jadi siapakah sebenarnya Dewa Se Alam Tunggal dalam cerita wayang kulit ini saudara?
Sayangi dan puliharailah seni warisan bangsa kita!
Sangtawal Sakranta
50 comments:
salam
menarik cerita hang sangtawal
aku sblm ni xlayan cerita wayang kulit ni
tapi bila baca artikel hang ni rasa macam nak tau lagi tempat n org dalam crita tu
Wayang Kulit = Wayang 3D!
^_^
Salam
Kata org tuo2 Tal 7 tu di Legor Selatan Siam. Bukit yang menghempap Rawana pun ada dekat situ.
Sebab tu ada Segenting Kra tu, dari Hanuman Kera Putih.
Baris @ Garis Laksamana tu he he he jangan buat main.
Pasal berhala kurang sa 40 tu ada maksud tersirat dalam perbomohan Melayu Kelantan, macam juga Jin kepala 7 tu ha ha ha
Takliknya lain tu.
Pokok Tal tu masih ada lagi sisanya disana.
kalau cerita 2 wyg kulit ni dpt di animasikan dan dikumpul adalah lebih baik untuk menarik minat anak2 kita, tp syg tiadanya usaha2 dr pihak yg berkemampuan untuk mencontohi apa yg dilakukan oleh walt disney. kelahiran animasi upin dan ipin sedikit sebyk dpt memberi gambaran identiti kanak2 desa yg bermain dgn kreativiti mereka sendiri. saya ada terjumpa satu animasi di pasar mlm kota bahru ala2 wayang kulit. amat menarik dan mutunya juga amat baik. yg menariknya dalam dialek kelantan. jln ceritanya lucu dan bermoral.
Setuju tu
menariknya!
misteri ni perlu dibuka..
ada org kata, yg mengajar hindu pun bukannya India.. gunung-gunung bukan tempat sebarangan. Medang Bumi jadi tilikan.
salam semua..
atok sy citer lepas Nabi Muhammad lahir. api majusi padam n kerajaan kayangan runtuh dan dewa-dewi landing kat atas gunung. cam gunung ledang n gunung jerai. sbb tu dewa dewi@jin tahap tinggi banyak lepak atas gunung. depa ni golongan kelas atasan la gamaknya.
setahu sy semua hikayat melayu ada asasnya. mungkin betul2 pernah terjadi.mungkin juga da tokok tambah. nusantara ni kan penuh misteri..
Salam semua.
Buat renungan Sahabat Sangtawal.
Tuan bertanya siapakah Dewa SeAlam Tunggal, disini Hamba akan beri klu pada Tuan tapi ada bait bait tertentu maaf terpaksa hamba kosongkan kerana akan membuat salah angapan pada yang memberatkan syariat. Selebihnya kajilah tuan tuan siapa Dewa SeAlam Tunggal ini.
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.
He Segentar Alam
SeAlam Tunggal nama engkau
Ibumu bernama.............
Bapa kau bernama..........
.........kejadian kau
Dari Zat Wa Zat
Kun Wa Kun
...............
...............
Haq tak aku kata
Lahaulawalaquataillabillah.....
Anda fikirlah sendiri siapa Dewa SeAlam Tunggal ini.
Jazakallah Saudara Sangtawal.
Bait ini Hamba dapat dari Hamba Allah di Pantai Barat Semenanjung bukan dari negeri kelahiran hamba Kelantan.
Wasalam.
Dewa sealam tunggal tu jin ler sebab ada mak bapak yg disembah2 oleh manusia2 animisme yg belum sampai kepada mereka ajaran2 mentauhidkan allah.
Nama pun seri rama, ada pengaruh hindu. Tak caya tengok kuil2 hindu zaman moden ni banyak betul dewa dorang. Seri Rama pun ado.
Sadis betul aku tengok sang tawal ni, agama islam tapi masih percaya dewa dewa dan jin jin.
Bertaubat la beb!
Salam Buat
Anon July 29,2010 9:22AM
Jangan cepat jatuh hukum, belajarlah banyak aliran ilmu baru tahu betul dan salah. Angapan anda tentang Dewa SeAlam Tunggal tu Jin tu masih tak betul tu. Sebab tu Hamba tak nak masukkan nama Ibu dan Bapak dia lagi lagi kelangkabut jadinya. Kan Sangtawal ada kata bahawa nak mengenal Dewa SeAlam Tunggal tu dengan Hakikat bukan dengan Syariat. Pikirlah sendiri. Kalau Zaman Nabi Adam pun dah Islam tentu lah Islam itu ada sepanjang masa hingga zaman Rasulullah Nabi Muhammad ni.
Wasalam.
salam semua.
Sama,
terima kasih atas komen.saya juga seperti tuan, setelah tahu serba sedikit berkaitan dengan wayang kulit ni, saya pun mula meminatinya.
DiRaja,
memang permainan wayang kulit ni dalam kelasnya yang tersendiri, itu sebabnya sudah ada pengiktirafan UNESCO.waktu dulu rasanya inilah hiburan yang paling best dizaman itu!
Hu. Kalathana
terima kasih atas info berkaitan dengan segenting kra, pokok tal dan bukit tu:)pasal paris laksamana tu, ia memang hebat! bagaimana pula dengan panah arjuna??? he he he.
Jmazli,
terima kasih, lama tak dengar cerita!
ya, saya sangat setuju jika ada pihak yang mengusahakan siri-siri animasi sedemikian... upin ipin pun dah jadi fenomena dikalangan anak-anak kita.
fadz,
terima kasih atas komen,
ya, bangsa gunung penuh misteri!
Pancabaiduri,
setuju dengan tuan, ya cerita tu mungkin benar, tetapi sudah menjadi sifat hikayat dahulukala, ia dituturkan secara lisan dari satu generasi ke satu generasi, mungkin ada tokok tambah atau kurang dimana-mana, versi saya di atas pun mungkin sudah ditokok tambah, saya tidak pasti.
Hu. Kalathana,
Dewa Sealam Tunggal, ia tunggal.
anon 9.22am,
Terima kasih atas komen yang bernas!
ya saya percaya jin dan alam ghaib, tuan bagaimana pula? sila beri satu nas ayat Quran atau hadis bahawa orang islam tidak boleh percayakan jin.
Hu.Kalathana,
ya, setuju dengan tuan.anon kat atas kena kaji dan belajar banyak lagi.... sambil sambil tu silalah selidik bangsa melayu yang penuh misteri ini!
wassalam.
ilmu guris laksmana@garis laksmana banyak versinya. ada yg guna jampi mentera ada yg guna ayat Al Quran. cuma yg sama waktu makrifatkan di tanah masa kita wat garisan. berguna masa dikejar musuh. saper lintas muntah darah la jawabnya.
dulu atok den selalu citer pelik2. dengar jela..ahli tarekat tapi tarekat ape tak tanyala pulak. katenya alam ni beribu2 lapis. ade gak citer pasal tasik pawajanggi.
Salam ziarah..
Jika tidak keberatan boleh tuan bagitahu nama datuk tuan yg menceritakan cerita seri rama di atas..
mungkin cerita ini dari keturunan Tok Jambul Sg. Petai P. Putih atau Tok Beh Gunung atau Pokcek Kolam..
ruper2 nyer best citer wayang kulit nie.. sebab bile kite tgk & dgr x paham tok dalang tu ckp.. tu yg timbul x minat..
tq sangtawal sebab bagitahu.. insyaAllah hamba akan cari kisah nyer..
ni la cerita hok ambo duk selalu dengar masa kecik kecik dulu dari arwah mek ambo.cerita dari mulut ke mulut.so hok buleh guna pakai ialah bila lahirnya muhammad bin abdullah tu,runtuhnya kerajaan kayangan.cerita wayang kulit ni banyok maksud tersirat adik kakok weh.hanya dengan makrifat dapat menangkap hakikat cerita wayang kulit nih.teruskan usaha sangtawal
Salam
Ada benda hok mesti di susuk Abe Lokan wee ha ha ha
Betul tak Sahabat Sangtawal
ok tak apa, kalu benda belah ni pun nk susut jgk gak terima kasih banyak2lah..ambo bkn kata nk gi korek cari cerita tu, cuma sekadar nk tahu jelujur titehan cerita mari kot mana..hehe
salam semua,
Pancabaiduri,
terima kasih berkongsi ilmu tentang paris laksamana tu.menarik jua pasal tasek pauhjanggi tu, banyak sangat disebut dalam cerita makyong dan main puteri.
Lokanbertepuk,
boleh e-mail saya utk itu.
am,
terima kasih,
zarilla,
ya, banyak maksud tersirat di dalamnya.
anon@10.30am,
bukan tak nak bagitau lokan siapa datuk saya, bukan nak 'susut' sangat pun!nanti lokan e-mail saya.
wassalam.
Eh..ada eh citer pasal tasik pawajanggi@tasik pauhjanggi dalam makyong ngn main puteri. sy xpnah tau pun sbb bkn org kelantan. cume atok sy kalo ngubat org kena gangguan jin memang dia makrifatkan hantar kat tasik tu. katanya tempat buangan jin.
pusat tasik pauh janggi tu di segi tiga bermuda
Salam
Mudoh benar merajuk Abe Lokan ni ha ha ha.
Wasalam.
Salam,
tasik pauh janggi adalah satu garisan lurus jer...zon statik. Takder la naik turun mcm graf tu...hehehe...teka2 jer ni :)
Nabi Khidir?
Firman Allah dalam surah Al-Jinn ayat 6, mafhumnya-
"Dan sesungguhnya seorang lelaki diantara Manusia minta berlindung kepada beberapa lelaki diantara Jin, lalu mereka (manusia) menjadikan jin-jin bertambah sombong". Keterangan ayat: Begitu telahAllah gambarkan bahawa jika manusia meminta pertolongan dari pihak Jin
dengan Ber µsahabat¶ dengan mereka, bukannya akan membetulkan keadaan, malahan menyebabkan
kaum Jin itu bertambah-tambah sombong dan bongkak terhadapAllah swt. Maka apabila manusia
berkawan dengan musuh-musuhAllah itu dengan sendirinyalah mereka itu sama seperti sahabat-sahabat
mereka itu juga.
Begitulah perasaan cumburu, irihati, kebencian dan api permusuhan yang sangat dalam sekali dihati Iblis kepada seluruh Manusia keturunanAdam as. Ini hanya merujuk kepada kelompok Jin-jin kafir dan Jin-jin Islam yang fasiq dan munafiq. Ia tidak termasuk pada kelompok Jin Islam yangAbadi, Solihin,Arifin, Muttaqin dan mendapat darjat WaliAllah, golongan Jin yang mengambil Rasullah saw sebagai penjaga mereka. Kelompok ini tidak mengganggu umat Manusia, mereka hanya sibuk dengan urusan mereka sendiri dan tidak turut campur akan permusuhan Iblis dan Manusia itu. Mereka ini lah yang tergolong daripada Umat Muhammad yang masuk Syurga yang ada juga disebut didalamAl-Qur'an. Mereka juga tidak terlibat menjadi Khadam atau Sahabat atau berkahwin dengan Manusia atas sebab malas beribadah. Mereka sangat Taat akan perintah Rasul dan perintahAllah tetapi jumlahnya hanya sedikit . Jika hendak dibuat perbandingan, mungkin dalam sejuta ekor hanya seekor dari kelompok ini. Seperti juga manusia,
yang dipilih menjadi kekasihAllah swt hanyalah sedikit sahaja.
Dan firmanAllah didalam surah Al-Mumtahinah ayat 1, mafhumnya; "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuh mu menjadi wali
(penolong atau penjaga), kamu hubungkan kepada mereka kasih sayang padahal mereka itu kafir (Iblis
yang kufur) kebenaran yang datang kepada mu. Mereka mengusir Rasul dan kamu (NabiAdam as dan
keturunannya), kerana kamu beriman kepadaAllah Tuhan mu, Jika kamu keluar berjuang pada jalan-Ku
dan menuntut kereadhaan-Ku, kamu rahsiakan kepada mereka kasih saying, padahalAku mengatahui
apa-apa yang kamu sembunyikan dan apa-apa yang kamu lahirkan. Barang siapa berbuat demikian
diantara kamu, maka sesungguhnya ia telah sesat dari jalan yang lurus ".
Encik Tawal
Memang boleh mempercayai ada nya jin, kerana mereka juga adalah makhluk Allah sama seperti pokok dan binatang2.
Jin merupakan merupakan makhluk2 halus yg kebanyakan adalah kafir dan bilangan islam adalah sedikit. Mengikut pendapat setengah2 ulama',umumnya yg islam tidak mahu ada percampuran dan mengganggu manusia.
Manakala yg selalu mengganggu manusia adalah jenis yg bukan islam. oleh kerana ditakrifkan sebaik2 jin adalah sejahat2 manusia, jika jin itu mengaku islam, tentu saudara boleh fikir dan pilih sendiri untuk pedoman berdasarkan pemerhatian manusia yg pernah hidup terlebih dahulu dan lama dari encik tawal sendiri, iaitu melalui karangan2 ulama' terdahulu yg adakalanya disampaikan oleh ulama' sekarang.Ilmu untuk dikongsi dan diamalkan.
Tapi jika encik tawal rasa lebih pandai dan tahu dan ingin mencipta idea dan pendapat sendiri mengenai jin dan terus mempercayai, bukan setakat mempercayainya ujud malah begitu seronok mengkaji sampai sanggup berbalah2 menegakkan kebenaran, itu encik tawal sendiri lebih maklum akan akibat dari perbuatan sendiri.
Sebab apa2 perkara mendatang, samada bahaya kepada diri sendiri dan kaum keluarga malah lebih teruk ke peringkat menggugat keimanan terhadap Allah swt. adalah terletak di bahu dan pilihan encik tawal sendiri. Kalau encik tawal ingin teruskan dengan pendirian encik tawal, tiada siapa yg menghalang, kerana yg memberi komen tahu, yg memikul bebanan mendatang adalah encik tawal sendiri.
Lebih baik kita berfikir niat ikhlas teguran dari memikir segala teguran adalah menjatuhkan. Ini pun terpulang pada budi bicara dan bijaknya "judgement" encik tawal sendiri.
Apalah sakitnya sangat perkataan bangang, bodoh dan samdol, jika dibandingkan bahaya berlipat gandanya sakit jika encik tawal terjerums ke lembah "mendua kan Allah' sesat dan terpedaya dari gangguan jin.
Sperti kata bidalan "blessing in disguise" mungkin sesuatu itu nampak tak baik dan keras perkataan utk kita, dan disabitkan perkataan itu dan teguran yg sakit itu, encik tawal terselamat dari mara bahaya mendatang walau dari bentuk apa pun.
Wassalam.
Aku rasa yg menjadi isunya, sebab terlampau taksub dengan cerita rama dan sita dan geng2nya. Tak tau la ni citer jin atau asal manusia.
Yg salahnya pulak adalah gerun, kagum pada benda2 camni melebihi dari kau gerun pada Allah.
Yg sama macam masy jahiliyah pulak, zaman nabi dulu, kaum nya sampai buat berhala, si tuhan a kawin tuhan b, dapat anak namanya c. dorang karang cerita dorang sembah pulak.
Zaman akhir zaman ni pulak, karang takla sangat, ambik cerita zaman dulu, kaji punya kaji, bila tak boleh soreh cerita salasilah, mula kaitkan dengan perkara2 bidaah, ada kuasa ada magis, ada pengaruh jin, punya la power jin sampai manusia tak nampak, ini yg manusia nak sangat ni.
Power tu pun bukan power apa pun, asal kejadian memang dah tuhan buat camtu, dorang pun terimalah, manusia dalam alam nyata, jin dalam alam tak nyata. Tapi ini semua kehendak Allah belaka. Yang korang pergi ambik tahu nama kolam, siapa punya kolam dan dimana kolam tempat lahir cerita, tempat buang itu ini, semua nak tahu, bila tak tau jawab, mula lah merasa takjub dan kagum.
Sedangkan sesama manusia pun tak boleh kagum berlebih2 sangat sampai meyembah2, inikan pulak benda2 jin ni.
Bak kata Nabil, lu pikir la sendiri.
Auowk.
[yang 'syariat' teruskanlah dgn urusannya..betullah apa yang disangka..kerna "Aku,adalah sebagaimana mengikut apa yang hambaku sangkakan.."]
yang lain-lainnya.. teruskanlah..kerna jalan critanya masih panjang,tak tercapai dek "tubuh"..tak terjangkau dek "akal"..tak terduga dek "rasa".. insan kerdil spt hamba....
cuma jgnlah dinafi "kurniaan" tuhan ini..
"aku ciptakan 7 lapis langit dan 7 lapis bumi..." ini kalam tuhanmu, wahai sekalian anak-anak adam...
jadi???....
lu pikir laa sendiri..{kata nabil}
Assalam,
nak bertanya sdikit.
Ada tak yang tahu apa yang dinamakan 'JANGGI GERJANA'?..
Nama asalnya?..Keturunannya?..
Dan siapa yang pernah tengok?...
"yang kwe maksudkan ni bukan anak Adam ye".. tq.
Kalau gitu tak yah ada doa Rajilulghaib tu ye dak.
watpo lah nak tau citer bukan anak adam, citer anak adam pun ko tak katam.
Quran pun belum tentu kau baca tajwid betul, terjemahan ada pun ko maleh nak baca.
Citer2 tak pekdah, pasal jin, teringin sangat mencari2, ada ke sama banyak dan berat kalau ditimbang macam mana ko tau hal2 agama.
Ini di namakan pengaruh setan, terpengaruh benda2 tak pekdah, ada lagi pekdah malas nak baca. Benda tak tau ujung pangkal, gedik nak ambik tau. Benda ada depan mata, saja gatal takmo belajar, takmo ambik tau. Ada pulak tu, tau sedikit, tapi dicampur aduk kan dengan citer jin, jin pulak yg dipaut dalam hatinya, hal2 agama ambik mudah aja, tak pun di kona dan takrif ke lain.
Salam buat bro and sis semua.
Pentas dunia ni hanyalah 'lakonan' dan 'mainan' belaka.
Tak ada yang betul, semuanya 'khayalan' dan 'tipu daya'.......
Kita ni dahulu datang 'kosong', balik nanti pun 'kosong'.
Janganlah rasa bangga dengan "amal"
yang tak ada nilai sebenarnya tu..
Jangan 'tegang'..'tenang-tenang' sahaja.
Adios.
sukahati orangla nak minat cite pasal jin ke malaikat ke syaitan ke. xsalah pun. korang tu macamla alim sangat. jin dan syaitan tu memang musuh yg nyata. sbb tu kita kena kaji. kalo xtau kekuatan musuh macam mana nak menang kalo perang. zaman nabi pun ada pasukan peninjau utk tafsir kekuatan lawan. Allah suruh kita berusaha bukan lepas tu baru tawakal. korang cuba baca blog kubra news. korang ingat maklumat yg dia dapat tu tibe2 je ada dlm kepala otak. semua tu usaha.kalo xminat xkaji camner nak tau mana sesat mana tak.
korang kata xda pekda benda ni semua. macamla korang xpenah buang masa tgk tv berjam-jam. sanggup bangun kul 3 pagi nk tengok world cup.yg tu ada pekdah ke.
korang ingat kitorang ni xtau bezakan mana betul mana tak ke?.
semakin banyak kita kaji ciptaan alam ni.semakin tersingkaplah kebesaran Allah. Tiada yg berkuasa melainkan Allah. makhluk tiada kuasa Allah Maha Berkuasa.
Allah bagi kita nikmat syurga bukan sbb banyaknya amal kita atau berjuta2nya zikir kita. tetapi kerana rahmat dan keredaanNya..ada paham.
Salam semua,
Saudara PANCABAIDURI............
SETUJUUUUUUUUU saya dengan pendapat Tuan tu.
assalamualaikum...
setuju dengan komen di atas..
jangan menilai sesuatu dengan secara luaran sahaja..
tiap sesuatu perkara ada hikmahnya...
untuk ambil pengajaran bagi sesuatu itu.. perlukan perhatian, kajian n perbincangan yg baik diantara semua...
bukanlah kita mahu bermusuh musuhan..
sekadar mahu kuatkan barisan...
yg tahu teruskan memberi pengetahuan...
agar generasi kemudian tidak buta dlm pencarian..
Allah Maha Kuasa Makhluk Tiada Kuasa
-pembaca senyap-
salam semua,
Tujuan artikel diatas ialah untuk berkongsi khazanah seni, bukan untuk menyesatkan orang atau pembaca disini,harap faham kepada mereka yang buat-buat tak faham.
kepada anon @2.56pm izinkan saya quote kata-kata kamu :
"Apalah sakitnya sangat perkataan bangang, bodoh dan samdol, jika dibandingkan bahaya berlipat gandanya sakit jika encik tawal terjerums ke lembah "mendua kan Allah' sesat dan terpedaya dari gangguan jin".
.....berat tuduhan kamu tu...
kamu sendiri dah boleh bezakan antara Jin,Iblis dan syaitan ke? apakah kamu juga terlepas dari bisikan Jin Al-Khannas yang berlari dalam salur darah kamu dan membisikkan sesuatu kedalam hatimu???
anon@5.14pm,
Janggi Gerdana adalah seekor kuda kenderaan Inderaputera dalam Hikayat Inderaputera.
pada m/s 65 ada disebut "warnanya hijau,kepantasannya umpama kilat.Pelananya bertatahkan ratna mutu maknikam tertulis nama “Janggi Gerdana”. perihal kuda ini juga disebut di mukasurat 137-138.
Pancabaiduri& Hulubalang kalathana,
terima kasih atas komen dan faham apa yang cuba saya sampaikan.
kepada pemberi komen yang lain,
terima kasih atas komen.anda semua bebas melontarkan pendapat disini.
wassalam.
kalu x paham jangan komen,makin nampak kekurangan yg anon anon x de tapi koya ada.rasa mcm tahu tapi tak tahu,tak tahu tanya,jgn menghukum ikut nafsu sendiri.bercakap mcmlah islam tu milik diri sendiri,surga tu untuk dirinya sendiri,allah tu milik dia sorang diri.
salam.
sy sokong. diorang ni jenis x percaya parang2 terbang ni apatah lg cerita2 merepek ni. betul tak betul sy tak taulah tp cerita ni best. apa2hal pun makasih sangtawal sy pun x tau biji butir cerita wayang kulit ni kalo boleh wayang kulit jawa pun nak tau jugak.
azre
Salam semua. Saya setujuuuuuuuuu sesangat-sangat dg komen PANCABAIDURI!!!! Kepada anon2 yang tak pepaham-paham tuuu, bukak laaa, minda mike tu lelueh selueh-luehnyer.. Kenape???? TAK BOLEH KE BERBANGGA DENGAN BUDAYA SENDIRI??? DARIPADA DOK P BERBANGGA DG BUDAYA BARAT yg tak tentu hala tuu LEBIH BAIK BERBANGGA DG BUDAYA WARISAN MELAYU.. wp ketika itu namanya bukan beragama ISLAM tetapi MANALAH TAHU mungkin mereka menyembah kepada ALLAH SWT yg SATU. Name jer berbunyi n berbau HINDU tapii SALAH KE JIKA KITA MAHU MEMECAHKAN N MENGHURAIKAN N MENYUSUN 1 PER 1 MISTERI BANGSA MELAYU KITA???
YG kita X Tahu Hujung Pangkal "TU LER" YG MESTI KITA SIASAT.. BILA DAH TAHU.. BUKAN KER PUASHATI.
Aduhaiii... TERLALU BANYAK TEKA-TEKI YG TERSELINDUNG DISEBALIK CERITA2 HIKAYAT..TU MAKNANYER DEPA SOH KITA "PIKIR,SIASAT n SELIDIK" dr ALIF sampai ke YA.
Kenapa Ek... ORANG2 MACAM ANON2 kt atas ni macam TAK SUKA ORANG2 KITA NI BERFIKIR???? Sedangkan didalam Al-Quran pun ALLAH SWT menyuruh KITA SEMUA NI BERFIKIR, MENGKAJI & MENYELIDIK????!!!!
TAKKAN NAK DOK TADAH JERK N TERIMA JER BULAT2 APE2 INFO WP ADA YG PALSU TANPA DIKAJI-SELIDIK.... contoh yg dekat seperti SEJARAH TANAH MELAYU, TERLALU BANYAK PEMBOHONGAN n PENYELEWENGANNYER..
MUDAH-MUDAHAHAN KITA MENEMUI RAHSIA/SENJATA BERHARGA YG TERSEMBUNYI.. Umpama PERMATA yg Tersorok d dlm Lumpur!!! INSYAALLAH.!!
Pancabaiduri, ko rasa ko layak ke jadi pasukan peninjau? kahkahkah
setakat tahu jin aja dah boleh jadi pasukan peninjau? Kabalah punya geng dan illuminati lagi banyakle geng2 jin. Maklum sesat. jin semua buat geng sesat lagi menyesatkan.
KOMPOM tak boleh masuk tentera imam mahdi sebab sama kriteria aja ngan geng2 dajjal. kah kah kah kehhh
kahkahkah..lawak la komen ko tu.
ko tanya aku layak ke x jadi pasukan peninjau. ko kata aku xlayak jadi tentera imam mahdi.
ketahuilah sesungguhnya aku pun tidak layak menilai diri aku..Allah yg akan menilai aku.bukan ko.tidak ada manusia yg layak menilai manusia lain. kita sama-sama makhluk Allah. seburuk atau sehina mana pun seseorang itu di mata manusia lain. bukan hak kita menilai ciptaan Allah. semulia mana dan sehebat mana pun seseorang manusia itu.kita tidak boleh memujinya secara berlebihan. kembalikanlah segala puji pujian itu kepada Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
langkah pertama untuk aku mempersiapkan diri telah aku ambil. baiah wasilah rabitah.
semoga Allah lindungi aku dari sifat UJUB, RIAK DAN TAKABBUR.
Aamiin...
Org syariat tetap dlm wilayah dye, ble masuk bab hakikat mule la berpandangan skeptikal (wlaupun sy belum berbaiah lg, tp azam tetap ad...).
@Anon, kamu bnyk berbicara lg menunjukkan kekurangan kamu. Lebih baik kamu senyap. Tafsir sesuatu cerita menurut akal je tak memadai. Cuba tafsir dgn mata hati.
@PANCABAIDURI, betul tu. Kte tak layak menilai org dr rupa luaran, bahkan dalaman pun jk nak menilai perlukan pengetahuan yg tinggi. Semua pengetahuan didlm genggamanNya. Kta sebagai hamba hnya layak beristighfar dn berserah pd Allah.
Rasa mcm phm cerita nh tp bila phmkn balik tetibe rasa keliru.
:)
jdi2..keno sgguh cerito ni
salam
saya ada baca beberapa artikal tentang siapa itu 'dewa'
asal usul 'dewa'
dan tugas dewa atas muka bumi
jadi kalau ikut klu yang hulubalang kalathana tu sebut
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.
He Segentar Alam
SeAlam Tunggal nama engkau
Ibumu bernama.............
Bapa kau bernama..........
.........kejadian kau
Dari Zat Wa Zat
Kun Wa Kun
...............
...............
Haq tak aku kata
Lahaulawalaquataillabillah.....
dan jika dewa sealam tunggal itu ketua segala dewa
adakah sealam tunggal tu
Adam as..
sekadar bertanya untuk mengetahui..
Benda ni kna masuk sekolah pondok dah bnyak ilmu cari guru belajar tasauf belajar tarekat ..nt akan jumpa semua ..tp ujian sngat berat klu tesalah pilih jln jd sesat jd iseng jd gila ..klu betul pilih jln ada mukjizat wali lain dari biasa ...
Kelakar la korang sume..nice story..hikayat lama2 mmg layan..
slm all...
Isu 1 :
Ada sesetenganh yg menuntut ilmu hakikat dan ilmu makrifat ini mengatakan Dewa si Alam Tunggal dlm wayang kulit itu refer/merujuk kpd Allah swt...ini sudah mensyirikkan Allah swt...sesat lagi menyesatkan
Dalam banyak2 ajaran tasauf,tarekat di dunia ini sama ada yg betul atau yg sesat tiada satupun yg kaitkan dengan watak2 dlm wayang kulit..melainkan sesetengah pengamal ilmu2 tasauf,ilmu hakikat dan ilmu makrifat di Malaysia/Indon shj..
Ada pula yang mengaitkan Dewa Se alam Tunggal ini dgn Nur Muhammad dan ada juga yang mengaitkan dengan Baginda Rasulullah saw sendiri...ini sudah terlalu sesat jadinya...
..nenguk rangkap tuan :
Assalamualaikum wbt.
He Segentar Alam
SeAlam Tunggal nama engkau
Ibumu bernama.............
Bapa kau bernama..........
.........kejadian kau
Dari Zat Wa Zat
Kun Wa Kun
...............
...............
Haq tak aku kata
Lahaulawalaquataillabillah.....
Anda fikirlah sendiri siapa Dewa SeAlam Tunggal ini.
Penjelasan ambo:
Sesungguhnya Allah swt itu Esa/Tunggal..tidak beranak dan tidak diperanakkan dan tiada sesuatupun yg menyerupaiNYA...
jadi jangan duk kaitkan watak wayang kulit Pak Dogol sbg jelmaan Dewa Se Alam Tunggal dgn Allah swt...Maha Suci Allah swt dari segala sifat kekurangan dan Tiada sesuatupun yg menyerupai Allah swt.Sekiranya Allah swt itu menjelma seperti kepercayaan agama Hindu Tuhan menjelma dlm bentuk manusia atau lain2 maka Tuhan itu bersifat makhluk dan lemah..
Maha suci Allah swt dari segala sifat2 kekurangan.
Kalu belajar ilmu Tasauf,ilmu hakikat atau makrifatpun jangan campur adukkan dengan unsur2 khurafat spt watak2 dlm wayang kulit tu...
Sucikan aqidah dan Tauhid kamu itu...
sesunguhnya kamu diperdaya oleh syaitan laknatullah...
Isu Ke-2:
Kalau si Alam tunggal ada ibu..kalu se alam tunggal itu ada bapa..dan menyamakan dengan zat Allah swt maka terlebih syirik jadinya /syiri jali dan cenderung kpd kepercayaan Trinity jadinya...
Kalu ia mengaitkan dgn Nur Muhammad atau baginda Rasulullah saw lagilah sesat...
Isu ke 3...
Ambo rasa eluk pakat gi belajar di pondok2 agama adalah lebih baik...
...kalu nak tahu pasal kebudayaanpun jangan duk campur aduk dgn aqidah dan ketauhidan kpd Allah swt. lebih2 lg sbg umat yg mengikuti ahlul sunnah waljamaah.
Banyak ilmu tarikat,ilmu hakikat dan ilmu makrifat yg sesat lg menyesatkan....
Percaya kpd perkara ghaib itu adalah rukun iman kita..kewujudan makhluk ghaib itu dinyatakan dlm al-quran dan dlm hadis Rasulullah saw...termasuklah mempercayai alam jin dan makhluk jin...
kembalilah kepada Aqidah sebenar...kembalillah kpd Allah swt dan kembalilah kpd As Sunnah Rasulullah,Nabi Muhammad saw...
ilmu itu banyak tapi jangan duk campur adukkan yg haq dgn yg batil...
belajar dan mengetahui sesuatu perkara itu tidak salah tapi jagalah iman dan aqidah sebenar kita...waullahu alam...
menarik penceritaannya, cuma mungkin boleh dibetulkan tentang hikmat garisan bulatan Laksamana, bukan 'paris' tetapi adalah 'Garis Laksamana' bukan paris, orang2 tua dan sesetengah perguruan silat masih menggunakan nama tersebut dalam hikmat dan jurus memagar kawasan atau memasung dengan nama tersebut.
Garisan laksamana
Langkah laksamana
Post a Comment