Saturday, October 03, 2009

Kuda Perang Yang Berlari Kencang - Bhg 2



Tajuk : Kuda Perang Yang Berlari Kencang - Bhg 2

Oleh : Sangtawal Sakranta.


Tentera islam juga terkenal memiliki pasukan perang berkuda yang hebat. Di zaman kegemilangan islam, setiap orang tentera islam boleh dikatakan seorang yang mahir menunggang kuda dan memanah.Kemahiran ini telah menjadi kunci kepada kemenangan tentera islam melawan musuh!

Pasukan berkuda biasanya disebut kavaleri , yang berasal dari bahasa Latin caballus dan bahasa Perancis chevalier yang bererti “pasukan berkuda”. Ahmad Y al-Hassan dan Donald R Hill dalam karyanya bertajuk Islamic Technology: An Illustrated History, mengungkapkan, sebelum Islam berkembang , peradaban lain, seperti Bizantium dan Parsi telahpun memiliki pasukan kavaleri yang hebat.

Pada tahun pertama Hijrah iaitu abad ke-7 M ,pasukan Bizantium terkenal dengan pasukan perang berkuda mereka.Pasukan perang berkuda yang hebat juga pernah dimiliki oleh tentera Parsi sebelum itu.

Diawal kebangkitan kuasa islam,pasukan perang berkuda ini sangat sedikit jumlahnya. Pada masa pemerintahan Khalifah Saidina Umar, sebanyak 4000 ekor kuda telah berjaya dikumpulkan di Kufah.Selepas itu ia semakin berkembang dan menjadi bertambah kuat.

Pertempuran dalam peperangan Yarmuk merupakan perang di antara tentera Muslim dengan Kekaisaran Romawi Timur pada 636 M. Sejarawan berpendapat, Perang Yarmuk adalah salah satu pertempuran penting dalam sejarah dunia, menandakan gelombang besar pertama penaklukan Muslim di luar tanah Arab, dan menyebabkan Islam masuk dengan cepatnya ke Palestin, Suriah, dan Mesopotamia dimana rakyatnya menganut agama Kristian ketika itu.

Pertempuran ini merupakan salah satu kemenangan Khalid bin Al Walid yang paling gemilang, dan ini memperkuatkan lagi reputasinya sebagai salah seorang komandan tentera dan kavaleri muslim paling hebat di zaman Pertengahan. Pertempuran ini terjadi pada masa pemerintahan Umar bin Khattab, khilafah Rasyidah kedua iaitu empat tahun setelah Nabi Muhammad saw meninggal pada 632M.

Ketika ‘Amr bin Al-’Ash menakluk Mesir pada tahun 37-39 H / 658-660 M, komposisi kekuatannya tentera Islam telah berubah dari infanteri menjadi pasukan berkuda. Kehebatan pasukan kavaleri Muslim, sekali lagi terbukti dalam Pertempuran Sungai Talas pada 751 M antara Kekhalifahan Rasyidah dengan Dinasti Tang dari Cina. Bermodalkan pasukan kavalery yang hebat tentera Muslim berjaya meraih kemenangan. Kemenangan itu membolehkan Islam menguasai wilayah Asia Tengah dan agama islam pun mulai tersebar luas di negeri Tirai Bambu itu.

Kehebatan pasukan berkuda Islam juga terbukti ketika pasukan Turki Uthmaniah di bawah pimpinan Sultan Muhammad al-Fateh merebut Konstatinopel pada abad 14 M dengan mengalahkan tentera Romawi Byzantium dengan serangan panah dari pasukan berkuda secara bertubi-tubi.


* Sultan Muhammad Al-Fateh

Dalam artikel Pilihan 1 saya dibawah, ialah satu cerita menarik pembukaan Constantinople oleh seorang Raja seperti yang telah di ramalkan oleh Rasulullah saw 800 tahun sebelumnya.

Dalam Artikel Pilihan 2 pula ,beberapa aspek tentang kuda dan peranannya dalam islam telah dihuraikan dengan menarik sekali.

Selamat membaca!


*********************************************************************************


Artikel Pilihan 1


Tajuk :
Sultan Muhammad al-Fateh dan Pembukaan Costantinople


Sumber : http://satuperkongsian.wordpress.com/2007/06/26/sultan-muhammad-al-fateh-dan-pembukaan-costantinople/ @ Klik Sini



HADIS RASULLAH SAW TENTANG PEMBEBASAN CONSTANTINOPLE :


Sabda Rasulullah s.a.w. ketika menggali Parit Khandaq;

“..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……”
(Hadis riwayat Imam Ahmad)

Umat Islam berlumba-lumba membebaskan Constantinople untuk mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh Allah swt di dalam Hadis tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua kempen yang dilancarkan menemui kegagalan. Di antaranya, 5 kempen di zaman Kerajaan Umayyah, 1 kempen di zaman Kerajaan Abbasiyah dan 2 kempen di zaman Kerajaan Usmaniyah.

Di dalam salah sebuah kempen semasa zaman Kerajaan Umayyah, seorang sahabat besar Nabi saw iaitu Abu Ayyub Al Ansary ra telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri. Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau menjawab, “Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Constantinople”. Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi saw.

Hadis Nabi saw ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al Fatih, khalifah ke-7 Kerajaan Usmaniyyah dan 150,000 orang tenteranya.

Siapakah Sultan Muhammad Al Fatih? Apakah kehebatan Baginda dan tentera-tenteranya sehingga disebut “sebaik-baik raja” dan “sebaik-baik tentera” di dalam hadis tersebut.

PENGENALAN

Baginda dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di Adrianapolis (sempadan Turki – Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah hidup Baginda sebenarnya telah bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut sebagai “sebaik-baik raja” di dalam Hadis tadi. Baginda juga dikenali dengan gelaran Muhammad Al Fatih kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.

Baginda menaiki takhta ketika berusia 19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451 – 1481). Baginda merupakan seorang negarawan ulung dan panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen peperangan. Baginda mangkat pada 3 Mei 1481 kerana sakit gout. Ada ahli sejarah berpendapat Baginda mangkat diracun.

PENDIDIKAN

Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Di dalam bidang keagamaan, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al Wali dikatakan dari keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq ra. Di dalam ilmu peperangan pula, Baginda diajar tentang tektik peperangan, memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera.

Di dalam bidang akademik pula, Baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam 7 bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Di dalam bidang Ilmu Pemerintahan pula, ayahanda Baginda , Sultan Murad II, dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk ke Pulau Magnesia, telah melantik Baginda yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan Khalifah. Dalam usia semuda ini Baginda telah matang menangani tipu helah musuh.

KEPERIBADIAN

Baginda sentiasa bersifat tawadhu’ dan rendah diri . Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, Baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulamak-ulamak dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja
Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulamak dan selalu berbincang dengan mereka tentang permasalahan negara.


PERSIAPAN AWAL MEMBEBASKAN CONSTANTINOPLE

Selama 2 tahun selepas menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota Costantinople setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang tentang strategi yang sesuai untuk digunakan.

Baginda mengarahkan dibina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Constantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Constantinople apabila diserang nanti.

Baginda membawa bersama para ulamak dan pakar motivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu Kota Constantinople, Baginda mengarahkan dilaungkan Azan dan solat berjemaah. Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat di belakang pemimpin mereka dengan laungan suara takbir memecah kesunyian alam.

MELANCARKAN SERANGAN KE ATAS CONSTANTINOPLE

Setelah segala persiapan lengkap diatur, Baginda menghantar utusan kepada Raja Bizantin meminta beliau menyerah. Keengganan beliau mengakibatkan kota tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan dimulakan. Kota tersebut hujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya rosak tetapi dinding tengahnya masih teguh.

Menara Bergerak

Seterusnya Baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera Byzantin berjaya memusnahkan menara tersebut setelah ianya menembusi dinding tengah kubu mereka.

Bantuan Dari Pope Vatican

Pope di Rome menghantar bantuan 5 buah armada yang dipenuhi dengan senjata dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada Usmaniyah. Ini menaikkan semula semangat tentera Bizantin.

* Rantai besi yang digunakan untuk merantai Teluk Golden Horn


Melancarkan Kapal Perang Dari Puncak Gunung


Kegembiraan mereka tidak lama. Keesokan paginya, mereka dikejutkan dengan kehadiran 72 buah kapal perang Usmaniyah di perairan Teluk Golden Horn. Ini adalah hasil kebijaksanaan Baginda mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Taktik ini diakui sebagai antara taktik peperangan (warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh para sejarawan Barat sendiri. Kapal-kapal itu kemudiannya membedil dinding pertahanan belakang kota.

Kapal-kapal perang tentera Byzantin habis terbakar kerana bedilan meriam Usmaniyah. Pertahanan Byzantin menjadi semakin lemah. Baginda mengambil kesempatan pada malamnya dengan memberikan semangat kepada tenteranya serta mengingatkan mereka kepada Hadis Rasulullah saw dan bersama-sama berdoa kepada Allah swt.

Memanjat dan Melastik Dinding Kota

Keesokan paginya tentera Usmaniyah cuba memanjat dinding dalam kubu dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit pihak Byzantin menyebabkan ramai yang syahid. Baginda memerintahkan tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga tengahari.

Karisma Seorang Pemimpin

Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan telah menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera Baginda. Pada saat yang genting ini Baginda berucap menaikkan semangat tenteranya, “Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku!”.

Mendengarkan itu, Hasan Ulubate, salah seorang tentera Baginda mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak bendera Islam di situ. Mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani anak panah musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan Byzantin sambil melaungkan kalimah Allahu Akbar.

Penawanan Constantinople

Pada 29 Mei 1453, Kota Constantinople jatuh ke tangan Islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) . Gereja Besar St Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda dengan tawadhuknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi gelaran “Al Fatih” iaitu yang menang kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.

SEBAIK-BAIK RAJA DAN SEBAIK-BAIK TENTERA

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya,

“Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!”. Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.

Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!”. Sebahagian daripada tenteranya duduk.

Kemudian Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!”. Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fatih sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh . Inilah dia anak didikan Syeikh Shamsuddin Al Wali. Bagindalah sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah saw di dalam Hadisnya itu.

Sila lihat bagaimana mujahidin Jund Ansar sedang melatih kuda mereka untuk berperang dalam youtube di bawah :





Artikel Pilihan 2 :



Tajuk : Kuda Dalam Islam.

Sumber : http://fakulti0.tripod.com/kudapadi/id3.html @ Klik Sini




Buku-Buku Tentang Kuda

Islam begitu memberi perhatian dan sanjungan terhadap kuda.Dapat dilihat betapa banyaknya kitab-kitab dalam Bahasa Arab yang menyatakan perihal kuda termasuk sejarah kuda , ternakan , asas-usul , kaedah permakanan, teknik menunggang, keistimewaan kuda , kaedah berlumba dan mencari baka kuda baik-baik dan lain-lain.

Diantara kitab-kitab yang menyatakan perihal kuda ialah:-

1. Kitab Al-khayal olehAttabi
2. Kitab Al-Khayal al-kabir oleh Ahmed Abi Tahir
3. Kitab Khalq al-faras oleh Asmai
4. Kitab al-sarj wal-lijam oleh Asmai
5. Kitab khalq al-faras oleh Washsha
6. Kitab Khasyl al-saghir & Kitab al-sarj wal-lijam oleh Ini Durayd
7. Kitab al-khayl bi khatt al-Kufi oleh Ahmed Habib
8. Kitab al-khayl al-sawabik oleh Khawlani
9. Kitab nasab al-khayl oleh Muhammad bin Ziad
10. Kitab al-khalq as faras oleh Ibrahim al-Zujaj

dan terdapat lebih dari 30 kitab-kitab lain yang menceritakan tentang kuda.

Syarat-Syarat Pertandingan kuda Mengikut Tradisi Islam Dan Arab :

Di zaman Rasullullah saw, Saidina Ali ra telah diamanahkan untuk menjaga dan menguruskan pertandingan kuda lalu beliau melantik Surqa bin Malik sebagai pembantunya. Diantara syarat dan aturcara pertandingan yang ditetapkan ialah:-

1. Sebelum bermula, semua kuda hendaklah dalam barisan yang sama.
2. Tiga kali hebahan dilaungkan untuk membuat semua persiapan pertandingan.
3. Perlumbaan bermula dengan laungan takbir sebanyak tiga kali, bila takbir kali
ketiga berakhir, pertandingan dimulakan.
4. Kemenangan muktlak ialah bilamana telinga kuda pertama yang sampai ketempat
akhir pertandingan.

Saidina Ali ra sendiri membuat garisan pertama dan garisan terakhir, kebiasaannya Saidina Ali akan berada digarisan penamat untuk menentukan kemenangan.


Kuda Dalam Pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab.

Perkembangan Dunia Islam dibawah pemerintahan Khalifah Omar telah membuka era baru dalam dunia kuda atau equestrian, dimana banyak taktik baru dipelajari dalam peperangan berkuda dan begitu juga kuda-kuda Arab dari berbagai negara dibiakkan melalui 'cross breed' saperti kuda dari Iran, Turkey, Rome, Greek dan lain-lain.

Tariq Al-Ziad Menawan Sepanyol

Atas arahan Rasulullullah saw, orang-orang Arab Beduin mula menternak dan membiak kuda-kuda Arab baka baik dan pernah ahli sejarah Abnu Khallikan menyatakan dalam Kitabnya bahawa " Tariq bin Ziad telah membawa 12,000 pasukan berkuda dari Morrocco dan Tunisia ( Kuda Barb ) bersama 12 ekor kuda Arab. Itulah pertama kali Kuda Arab telah dibawa masuk dan diasilmilasikan atau integrasi dengan kuda-kuda Inggeris. Yang seterusnya mencetuskan kuda pembikinan manusia yang masyhur pada hari ini iaitu 'thoroughbred'

Tanda Ibujari Rasulullah saw Di Leher Kuda Arab

Dizaman Rasullullah saw Kuda Arab tidak pernah dijual kepada orang-orang luar, Kuda Arab hanya berada di Arabia dan tidak pernah keluar dari tanah Arab. Di leher Kuda Arab asli 'pure breed' terdapat tanda dileher kuda, dimana baka kuda tersebut dikatakan telah dipegang oleh Rasulllulah saw hingga meninggalkan tanda ibujari dilehernya.

Jika anda benar-benar memiliki Kuda Arab, cuba perhatikan tanda tersebut.

Kuda Arab yang dijual dinegara-negara Europah atau Australia hari ini, dikatakan bukanlah ' original' dari bumi Arab.Tetapi mereka mengekalkan identitinya sebagai 'baka Arab' ! Wallahhuallam.


*Sultan Mizan sedang menunggang seekor kuda


Kuda dalam Al-Quran


Kuda dalam bahasa Arab disebut sebagai 'faras', kuda jantan 'fahl' atau pada umumnya disebut juga sebagai al-khayl. Didalam al-Quran perkataan 'kuda' disebut sebanyak 5 kali. Dalam Surah 79 dan Surah 100 disebut al-naziat, al-adiyat dimaksudkan sebagai 'kuda' sementara Surah 37 al-saffat, Surah 51 al-dhariyat dan Surah 77 al-mursalat dimaksudkan kepada kuda.

Dalam Al-Quran dinyatakan bahawa.

" Dan ( Dia Mencipta) kuda dan keldai untuk kamu tunggang as zinat" Surah 16: 8

Perkataan Arab zinat ertinya kesukaan dan kebaikan yang dimaksudkan sebagai kuda dan keldai diciptakan bukan sahaja untuk dinaiki, tunggang tetapi juga untuk dibiakkan dan membuat pertandingan. ( bukan perjudian)

Mengikut catitan dari buku kuda " Fadl al-khayl" karangan al-Dimyati menyatakan bahawa Rasullullah saw memberi keizinan untuk mengadakan pertandingan perlumbaan unta dan kuda bersama anak panah ( khuff, hafir, nasl) Tetapi mengikut tradisi suku kaum arab, perlumbaan kuda adalah lumrah dikalangan suku kaum arab dibpergunungan..

Mengikut "Hidayat al-fursan fi shi'ar al-shujan oleh Ibn Hudhayl menyatakan bahawa Islam melarang perjudian ( maisar) tetapi tidak menghalang pertandingan memanah (nasal), lumba lari ( qadam) and lumba kuda (hafir).

Mengikut kitab al-Sarj karangan Abu Ubaidah dan Kitan al-Al-khayl karangan Asma'i banyak menceritakan tentang pertandingan lumba kuda dikalangan suku kaum Arab, baik sebelum kedatangan Islam dan juga diwaktu pemerintahan Islam dizaman Rasullullah saw, kemudian dizaman sahabat, zaman khalifah, zaman pemerintahan Bani Umayah dan Bani Abbasiah.

Dalam Kitab "Hidayah" juga dinyatakan 4 jenis kuda yang terdapat dikalangan suku kaum Arab diwaktu itu ialah:-

Birzaun or Burzun ( kuda barat dari luar negara )
Atiq ( Kuda Arab baka pertama )
Hain ( Kuda kacukan, jantan luar, ibu Arab )
Separuh Arab ( bapa arab, ibu dari luar )

Khalifah Harun Al-Rashid

Penakluk Palestin

Khalifah Harun Al Rashid adalah seorang pemimpin yang terkenal dikalangan negara-negara Arab kerana kemashyurannya menakluk dan pembebaskan Negara Palestin dari penjajahan Barat dan Yahudi. Baginda sendiri telah mengadakan beberapa pertandingan lumba kuda.

Kuda baginda bernama - Mushammir pernah memenangi tempat pertama dan tempat kedua dimenangi oleh anaknya.

Pernah satu ketika bila kuda baginda memenangi tempat pertama, baginda memanggil ahli syair terkenal, Asma'i untuk menulis satu puisi khas tentang kuda yang akhirnya disiapkan penuh dengan ciri-ciri keistimewaan kuda.

Sejak dari zaman Rasullullah saw hinggalah sekarang para pemimpin Arab menjadikan kuda sebagai satu hobi mereka untuk berbagai tujuan. Kini para Sheikh dari Bahrain dan Dubai adalah penaja utama perlumbaan kuda di negara teluk.


Ciri-Ciri Kuda Yang Dikehendaki :

Mengikut Kitab Asma'i, ciri-ciri kuda adalah saperti berikut:-

Thoroughbred perut yang tinggi (batn), belakang pendek (zahr),
kaki panjang (tul al wazifatain fil rijlain) dan qasral wazifatatayn fil yadain.

Lain-lain ciri yang dikehendaki ialah tanda puteh didahi (ghurar atau blaze), stoking dikaki ( tahjil) atau tanda puteh dikuku kaki.

Bentuk badan yang menarik (al-a-ali ), al-safill, al muqaddim, al muaakhir, .
Bila menunggang, mestilah kelihatan kemas (thubat) dan tali untuk berlari adalah kemas
( taswiyat al inan)

Bangsa Turki terkenal dengan kemahiran menunggang kuda sambil memanah atau membawa berbagai jenis senjata dengan sempurna.


Empat Imam


Imam Abu Hanifa dan Iman Shafie menyatakan bahawa lumba kuda tidaklah haram. Imam Malik dan Imam Ahmed Hanbali, tidak mengalakkan pertandingan unta atau keldai dan beranggapan hanya kuda boleh dipertandingkan dalam perlumbaan.

Kuda arab,Kuda Rasulullah

Kuda adalah sejenis binatang yang amat dihormati di dalam Islam. Malah di dalam Kitab Al-Quran dan hadith banyak dibicarakan tentang kuda.

Kalau disebut sejarah kuda, sudah pasti kita tidak akan terlepas dengan sanjungan dan kemuliaan terhadap 'Kuda Arab'. Kuda Arab adalah satu spesis kuda yang terbaik didunia dengan mempunyai ciri-ciri kecantikan dan keunikannya tersendiri, antaranya ialah:

1. Kuda terpantas
2. Tahan lasak dengan cuaca panas dan sejuk
3. Handal dalam enduran
4. Cekap dan bijak.

Tidak hairanlah kuda Arab menjadi kegilaan setiap kaki kuda. Kuda dan manusia tidak dapat dipisahkan. Sebelum kedatangan Nabi Muhammad saw, kuda sudah pun berada dibumi dan dipelihara oleh setiap manusia dimerata dunia.

Nabi Ismail sebagai tradisi orang Arab pernah menunggang kuda.

Nabi Sulaiman as telah mewarisi lebih dari 1000 ekor kuda dari Nabi Daud as.

Pernah dalam sejarah dikatakan bahawa satu suku kaum yang dinamakan Azad pernah mengunjungi Nabi Sulaiman dan meminta sesuatu hadiah dari baginda, lalu baginda menghadiahkan seekor kuda.

Tetapi dengan kedatangan Islam yang dipimpinan oleh Rasulullah saw, kita dapat melihat betapa hebatnya pengaruh kuda dikalangan orang Arab malah, para kakikuda yang masyhur diseluroh dunia memperakui bahawa Rasulullah saw dan sahabat-sahabatnya adalah pelupur utama dalam penubuhan Tentera Islam Berkuda atau dikenali dalam bahasa Inggeris sebagai 'Cavlry'

Rasullullah saw memerhatikan bahawa pada peperangan Uhud, tentera Islam mempunyai hanya 2 ekor kuda. Sebaik sahaja selepas peperangan baginda terus berusaha sekuat tenaga bersama-sama para sahabat untuk membentuk pasukan berkuda dengan memelihara dan membiak baka kuda terbaik ditanah Arab iaitu 'Kuda Asli Arab'.

Dalam masa yang singkat sahaja, kita perhatikan bahawa kuda merupakan aset yang paling penting dan berharga dalam mempertahan dan mengembangkan kedaulatan Islam dibumi Arab.

Baginda, Rasullullah saw sendiri telah menyeru umat Islam supaya berusaha mengembang dan membiakkan kuda demi untuk membangun dan mempertahan Islam dari ancaman musuh. Dalam keadaan muka bumi yang tandus, kering kuntang, gurun, bukit bukau dan padang pasir yang begitu luas, kuda merupakan satu kenderaan yang amat penting pada tamadun Arab.

Mulai dari detik peperangan pertama itulah memberi lambaran baru bagi umat Islam supaya memelihara dan membiakan baka kuda yang paling baik

Sebab utama ialah untuk mempertahankan kesucian agama Islam yang sentiasa terancam oleh musuh-musuh disekeliling termasukkan ancaman dari kerajaan kuno Romawi, Greek, Berzentin, Persia dan lain-lain.

Oleh itu tidak hairanlah Nabi Muhammad saw sendiri telah mengambil inisitif untuk membiak, mengembang, melatih kuda-kuda yang baik untuk meneruskan dan menegakkan panji-panji Islam dibumi Arab.

Untuk menguatkan keyakinan terhadap pemeliharaan kuda, Rasullullah saw sendiri telah menganjurkan berbagai pertunjukan dan pertandingan kuda di Madinah.

Hadis-Hadis Tentang Kuda

Diriwayat oleh Ibn Banin bahawa Rasullullah saw mengajurkan pertandingan lumba kuda dimana yang pertama diberi hadiah 'sabiq' tiga, 'musalli’ dua, tiga satu kuda, keempat satu dinar, kelima satu dirham, yang ke6 satu qasabah.

Rasullullah bersabda" Sesungguhnya Berkat Allah kepada kamu yang memang 'sabiq' dan yang kalah 'fiskil'.

Al-Baladhuri menyatakan: Aku telah diberitahu oleh Muhammad bin Sad al-Waqidi, Sulaiman bin al-Harith, az-Zubayr bin al-mundhir bin Abi Usayd, yang berkata:

" Abu Usayd as-Saidi telah bertanding menunggang kuda Rasulullah saw yang bernama, Lizaz dan baginda memberi hadiah Jubah Yamen."

Abu Hassan Ahmed bin Yahya bin Jabir al-Baladhuri, Ibn Sad al-Waqidi, Abd al Muhayamin bin Abbas bin Sahl bin Sad, bapanya ( Abbas), datuknya Sahl, beliau berkata," Satu ketika Rasullullah saw mengadakan pertandingan lumba kuda, aku menunggang kuda baginda bernama az-Zarib. Baginda memberi aku serban Yamen."

Mengikut riwayat Dar Qutni ( 2: 552) Sanjah adalah kuda Rasullullah saw yang sering ditunggangi baginda. Satu ketika kuda ini telah menang dalam pertandingan dan Rasullullah saw begitu gembira."

Kuda pertama dimiliki oleh Rasulullah saw bernama 'As-Sakaf' yang dibeli baginda dari suku kaum Fezara. Baginda menunggang kuda ini dalam peperangan Uhud.

Baginda Rasullullah saw juga memilki seeokor lagi kuda yang bernama Sabaha dan pernah memasuki pertandingan dan menang dalam pertandingan tersebut. Baginda begitu gembira.

Kuda ketiga yang dimiliki oleh Rasullullah saw bernama al-Murtajis.

Pertandingan Lumba Kuda

Ibnu Umar menyatakan bahawa, Rasullullah saw sering menganjurkan pertandingan lumba kuda dan baginda memberi hadiah kepada pemenang. Semua ini dilakukan oleh baginda untuk mengembang sukan berkuda, melatihan kepintaran berkuda serta kesihatan tubuh badan.

Iman Ahmad bin Hanbali telah meriyawatkan dalam kitabnya "Masnad' dimana Anas telah ditanya:

" Adakah Rasulullah saw memasuki pertandingan kuda ?" Anas menjawab "Ya"

"Demi Allah, baginda berlumba dengan kudaNya bernama Subbah. Kuda tersebut memenangi perlumbaan dan baginda amat gembira." Hadith Bukhari diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar.

Rasullullah saw mengadakan pertandingan kuda dari Ath-Thaniya sehingga Masjid Banu Zurayk. Abdullah bin Umar juga menyatakan bahawa beliau juga menyertai pertandingan tersebut.

Jarak Pertandingan :

Rasullah saw tidak melarang pertandingan lumba kuda, malah baginda sendiri memberi nasihat aturcara pertandingan, antaranya baginda pernah menganjurkan perlumbaan kuda di Madinah diantara:-

Dari Hafiya ke Thaniyyat al-Wada ( 60 ghalwa = 5 hingga 6 batu ) untuk kuda dewasa
Dari Thaniyyat al-Wada ke Banu Zurayk ( 10 ghalwa = 1 batu ) untuk kuda muda.

Baginda sendiri menyertai pertandingan tersebut dimana kuda baginda pernah memenangi pertandingan beberapa kali.

Rasullullah saw amat mengemari kuda dan mengalakkan pertandingan lumba kuda, berikut adalah beberapa keratan tentang minat bagida terhadap kuda, antaranya:-

" Terdapat banyak keberkatan dalam pemeliharaan kuda" ( Kitab Masnab)

" Belajarlah memanah dan menunggang kuda" ( Hadith Muslim).


Ciri-ciri kuda istimewa Yang Digemari Rasulullah.

“Kuda yang baik adalah kuda hitam,terdapat jalur puteh di kepala dan mempunyai warna puteh dibibir bahagian atas” [ Hadis Bukhari ]



4 comments:

Penjejak Konspirasi Dalam Mimpi said...

Teruskan menyampaikan sejarah dan fakta:)

Sangtawal Sakranta said...

salam spikerblog,

terima kasih dan selamat membaca! :)

Anonymous said...

Assalamualaikum wrt.
1. saya diamanahkan untuk mengumpul gambar-gambar kuda untuk suatu tugasan.
2. bolehkah saya mendapatkan maklumat dari saudara?

salam ukhwah
kabi@ikhwan2009

Sangtawal Sakranta said...

salam buat kabi@ikhwan2009

insyaallah,
sila e-mail saya di sangtawal@yahoo.com