Wednesday, May 12, 2010

Ukiran Kalimah Bertimbal Balik



Tajuk : Ukiran Kalimah Bertimbal Balik.

Artikel Oleh : Sangtawal Sakranta.


Ketika balik ke rumah ibu dikampung pada Hari Ibu yang lepas, saya duduk-duduk di dapur rumah sambil berbual-bual dengan keluarga, tiba-tiba mata saya tertarik kepada sebuah kerusi berukiran kayu yang berada di satu sudut dapur rumah ibu.

Bila melihat kepada kerusi itu, ingatan saya kepada arwah datuk yang biasa kami panggil namanya “Tok Ayah” kembali bermain di ingatan.

Sebenarnya ia bukanlah sebuah kerusi, tetapi asalnya adalah sebuah katil yang dibuat oleh arwah datuk kepada saya , kemudian setelah ianya rosak, abang saya telah membaiki dan menjadikannya sebuah kerusi pula kerana sayangkan ukiran tangan Tok Ayah pada kepala katil tersebut.

Saya masih ingat lagi, 20 tahun yang lepas , ketika itu saya masih belajar di tingkatan 3, Tok Ayah mengajak saya tinggal bersama dirumahnya yang tidak jauh dari rumah saya.Ibu mengizinkan saya pergi tinggal bersama Tok Ayah memandangkan di rumah Tok Ayah , suasana untuk belajar adalah lebih selesa dan tenang, lagipun ketika itu saya akan menghadapi peperiksaan SRP.

Memang saya tahu, Tok Ayah (ayah kepada ibu saya) amat sayang kepada saya. Dia telah menyediakan sebuah bilik untuk saya.Semua hajat saya , jarang yang tidak dipenuhi oleh Tok Ayah.Tidak dapat dinafikan lagi bahawa saya merupakan cucu kesayangannya! Namun saya tidak mahu menyusahkan beliau dengan meminta itu dan ini, bagi saya kasih sayang yang dicurahkan olehnya sudah cukup memadai buat saya.Kadang-kadang ibu saya merungut kepada Tok Ayah kerana terlalu memanjakan saya sejak kecil lagi, namun Tok Ayah senyap dan hanya tersenyum.

Memang benar, saya sangat manja dengan arwah datuk, mungkin disebabkan saya kehilangan kasih sayang ayah ketika saya berusia 5 tahun setelah ibu dan ayah berpisah, menyebabkan segala kasih sayang dan segala macam masalah saya tercurah buat datuk!

Ketika saya mula tinggal bersama Tok Ayah, dia pun mulalah mengukir kayu dan membuat sebuah katil untuk saya, berminggu-minggu juga Tok Ayah menghabiskan masa untuk menyiapkannya, maklumlah pada siang hari dia sibuk membantu nenek menguruskan kedai runcit dan bekerja sebagai guru Al-Quran di madrasah kampung saya dan bergaji tetap dengan Majlis Agama iaitu selepas waktu zohor hingga asar dan malam pula mengajar Al-Quran secara percuma selepas isyak kepada anak cucu dan sanak saudara terdekat.

Sekarang, itu semua sudah menjadi nostalgia, hanya katil yang diubahsuai menjadi kerusi dibawah saja menjadi kenangan berharga buat kami semua.

*Kerusi yang asalnya adalah katil saya yang diperbuat oleh Tok ayah

Tanpa disedari saya merasa sedih dan sayu bila mengenangkan arwah Tok Ayah.Semakin direnung kerusi itu ingatan kepada Tok Ayah semakin kuat.

Tiba-tiba mata dan hati saya terpaut pada satu sudut ukiran kayu Tok Ayah, hati berasa bergetar dan saya terpaku sejenak!


Rupa-rupanya bentuk corak ukiran katil yang sebelum ini saya anggap bunga atau seni ukir biasa rupa-rupanya mengandungi Kalimah tertentu , kalimah Muhammad bertimbal balik yang sangat difahami oleh mereka yang memahaminya saja!!!

Ibu dan adik beradik saya yang lain pun turut terpegun dengan ukiran kalimah itu, kerana sebelum ini memang kita orang semua tak perasan benda itu ada sejak 20 tahun yang lalu! kami anggap ia adalah corak bunga pada ukirannya!

Terima kasih Datukku, Al-Fatihah buatmu… semoga ruhmu dicucuri rahmat Ilahi ketika ini dan semoga Allah swt redha denganmu di alam sana.

Patutlah dulu, arwah Tok Ayah selalu berpesan, tidur elok-elok atas katil ni, jangan langkah kepala katil ini…. sebelum tidur, ambil air sembahyang, mengucap dan bacalah mana-mana ayat-ayat suci Al-Quran sebelum melelapkan mata…. tidur adik beradik mati katanya… selalu selawat kepada Nabi Muhammad kerana kata Tok Ayah, siapalah kita kalau bukan kerana Muhammad !


Bila melihat gambar di atas ini dalam blog sahabat saya TMP dan membaca slogan tertulis “Awal dan akhir- Bertimbal balik di Ayuthia” hati saya sayu dan tersentuh , malah masih berfikir hingga kini apakah tujuan datuk saya mengabadikan ukiran kalimah itu di kepala katil saya!

Wassalam.

Sangtawal Sakranta.

10 comments:

kawie2020 said...

salam tuan,

apa maksud kalimah muhammad yang terbalik itu?

diharap tuan dapat merungkai persoalan itu.

terima kasih

hijabul crewz said...

salam...

sedih dan sayu sungguh kisah saudara nie...

"menjentik menikam kalbu sanubari hati yang beratna manikam permata berkilau-kilauan di setiap penjuru..."

al-fatihah saya sedekahkan..

Sangtawal Sakranta said...

salam,

kawie2020,
Terima kasih atas komen.
Yang terbalik itu hanyalah simbolik.Rasanya tuan lebih tahu dalam hal ini dan saya merasa saya tidak layak dan cukup ilmu untuk membincangkan berkaitan Muhammad terbalik itu di ruangan ini.semoga ada yang sudi membantu atau mungkin mereka yang biasa menggunakan kalimah ini dalam silat-silat tertentu boleh menghuraikannya :)

Hijabul crewz,
terima kasih atas komen,

fuhh... kata-kata yang berlapik mutiara nan indah, he he he!
biar jauhari saja yang menilai maknikamnya :)

wassalam!

Am said...

saya pn masih mencari apa khasiat AHMAD MUHAMMAD timbal tebalik.. sebab allahyarham Ustaz Hj. Hanafi pengasas silat cekak hanafi menempat kn kalimah tu betul2 di bahagian ulu hati pada baju pemakai.. dan baju rasmi silat cekak hanafi pn hanya layak dipakai oleh pengamal silat cekak hanafi yg sudah menerima buah serang yakni buah yg terakhir dlm silibus pembelajaran..
semoga allah merahmati mereka2 yg menegak kn syiar islam.. amin..

Az said...

ada byk tmpt kat mesia ni yg ada tulisan kalimah timbal balik ni..mengikut cerita org2 lama, bila tanya almarhum Ust Hanafi apa kaitan logo yg digunakan silat cekak dgn yg lain2.. almarhum jawap "semuanya satu sekolah..."
.. hanya yg faham akan dapat faham..

hijabul crewz said...

salam,

Az, ape maksudnya tu ???
boleh terangkan tak ???
hehe...

Anonymous said...

salam,

wah bertuah saudara sang tawal.

Megat al-Jefri said...

megat al-jefri said

A.kum sangtawal, utk pengetahuan saudara sekelian, lambang itu ialah lambang menteri-menteri kedah tua merong mahawangsa.dekat kampung ana pun ada lambang sedemikian iaitu d kota senjaya. tulisan muhammad timbal balik itu ialah bermaksud pemerintah kwsn itu under keluarga muhammad s.a.w iaitu ahlul-bait Kedah tua merong mahawangsa

Sangtawal Sakranta said...

salam semua,

Am,
Terima kasih atas komen dan info.
Ya Ustaz hanafi adalah seorang pengamal ilmu persilatan melayu yang hebat, saya juga amat mengkaguminya seperti juga arwah Dato' Meor Abd Rahman.... mereka ini tergolong dalam barisan 'pendekar sufi' yang sampai pada 'hakikat silat' itu sendiri.

Az,
"semuanya satu sekolah" maksudnya semua cabang seni adalah bersumberkan kepada apa yang diajar oleh Allah swt melalui malaikat Jibril a.s kepada setiap rasul dan nabi-nabi dan kepada sahabat-sahabat sehingga seni itu diperturunkan lalu pecah kepada cabang-cabang yang banyak mengikut cara dan gaya mana "Muhammad" itu membawa rahsia dirinya yang batin, yang bertimbal balik itu- demi untuk mencapai matlamat yang satu, iaitu menegakkan kalimah Allah swt di muka bumi ini!

Hijabul crewz,
rasanya sedikit penerangan diatas boleh membantu saudara :)

anon@3.43am,
terima kasih,
kadang-kadang mereka yang bertuah itu terasa berat pula menanggung amanahnya!

Megat al-jefri,
terima kasih atas komen dan selamat berkunjung ke teratak buruk sangtawal.
Ya, arwah datuk berketurunan "wan" dan "nik", nenek moyang kami berasal dari Patani, dulu orang kedah-patani-kelantan adalah serumpun tiada sempadan, bila ikut acuan barat, kita pun dipisah-pisahkan padahal kita semua adalah bersaudara dan ada ikatan tali persaudaraan dan kekeluargaan sebenarnya.
saya telah ziarah ke blog tuan, amat menarik sekali, teruskan penulisan tuan.

wassalam.

Anonymous said...

bnyak mksud tersirat dan tersurat 2,untung lah awk...cari lah sungguh2 ape yg tersembunyi dri lambng muhamaad timbal balik..cari lah guru yg sampai sanat.
Assalamualaikom.