Monday, June 06, 2011

Pahlawan Pedang Allah




Tajuk : Pahlawan Pedang Allah

Artikel Oleh : Sangtawal Sakranta.


Siapa lagi kalau bukan manusia hebat bernama Khalid Al-Walid yang digelar Pahlawan Pedang Allah. Dia adalah pedang dari pedang-pedang Allah!

Insan bergelar ‘Saifullah’ ini bukan sahaja hebat dalam ilmu mempertahankan diri dan taktik ketenteraannya, tetapi seorang insan yang sangat teguh imannya dan kental semangat juangnya disamping mempunyai kebijaksanaan yang luar biasa dalam memastikan kemenangan selalu berada di pihak tentera islam pada setiap kali peperangan yang dipimpin olehnya.

Bermula dengan penentangan yang cukup keras terhadap Nabi Muhammad saw dan islam. Dengan ketangkasan dan kecekapan berkudanya beliau memimpin tentera Quraisy mengalahkan tentera islam dalam Perang Uhud pada tahun ke-3 Hijrah. Khalid terus memusuhi islam sehingga tahun ke 6 Hijrah dimana selepas itu dia mula menerima cahaya kebenaran islam lalu memeluk agama islam.

Khalid menyertai Perang Muktah dimana 3000 orang tentera islam melawan 200,000 orang tentera Rom.Perang yang menyaksikan gugurnya panglima tentera islam bernama Zaid Bin Harithah yang juga anak angkat Nabi Muhammad saw. Selepas ditikam dengan tombak didadanya Panji-Panji Nabi Muhammad saw diserahkan kepada Jaafar bin Abu Talib. Bila tangan kanan Jaafar putus ditetak, dia pun melepaskan senjata ditangan kirinya lalu memegang Panji-Panji Nabi Muhammad saw di tangan kirinya. Bila tangan kirinya pula ditetak, dia mengepit Panji-Panji itu dengan kedua lengannya yang telah putus itu sambil berkata :

“Panji-panji Nabi Muhammad ini lebih berharga daripada nyawa saya!”, selepas itu datang seorang tentera Rom dari arah belakang lalu menetak Jaafar sehingga badannya terbelah dua, namun panji panji itu berjaya diselamatkan dari tangan musuh oleh Abdullah bin Rawahah setelah tentera Rom itu dibunuh oleh Khalid Al-Walid. Abdullah juga akhirnya syahid dan panji-panji Nabi Muhammad saw dipegang oleh Thabit bin Arqad.

Setelah 3 orang panglima islam tiga serangkai gugur syahid, maka panji-panji perang beralih ke tangan Khalid Al-Walid pula lalu bermulalah era kegemilangan dan kehebatan Pahlawan Pedang Allah ini dalam memimpin hampir 100 siri peperangan selepas itu untuk menegakkan syiar islam dan kalimah tauhid yang suci di muka bumi ini!

Setelah kewafatan Rasulullah saw, Khalid Al-Walid ditugaskan oleh Khalifah Abu Bakar r.a untuk membenteras gejala murtad dan nabi palsu.

Beliau pernah mengalahkan nabi palsu iaitu Musailamah al-kazab.Taman Syurga Musailamah yang menjadi tempat berlindungnya kumpulan pengikut ajaran sesat itu bertukar menjadi taman maut. Seramai 12,000 orang tentera Musailamah terbunuh manakala 600 orang tentera islam gugur syahid.Musailamah maut setelah direjam oleh lembing Wahsyi, tentera islam yang sebelum keislamannya pernah membunuh Saidina Hamzah r.a dalam perang Uhud dengan cara yang sama! Wahsyi telah berjihad dengan sepenuh jiwa dan raganya disamping ingin menebus kesalahannya yang lalu ketika dia masih belum memeluk islam.

Sewaktu ingin berperang dengan tentera Parsi, tentera islam dibawah pimpinan Khalid Al-Walid sukar mendapat bekalan air setelah semua kawasan sumber air dikepung oleh musuh.Tentera Parsi dibawah pimpinan Panglima Hurmuz sengaja tidak menyerang kerana mereka mahu melihat tentera islam mati kehausan tanpa menggunakan senjata. Disaat genting itulah Pahlawan Pedang Allah ini meminta Ibnu Abbas mendirikan solat hajat kepada Allah swt minta hujan.Doa Ibnu Abbas diaminkan oleh 20,000 orang tentera islam di makbulkan Allah.Cuaca yang cerah dan panas tiba-tiba redup lalu hujan pun turun dengan lebat selepas itu! Sehinggakan lembah tempat sumber air yang dikepung musuh menjadi banjir.Musuh menjadi kelam kabut malah ada yang mati lepas selepas itu.

Selepas itu Khalid mengutus sepucuk surat kepada Panglima Parsi yang berbunyi :

“Kepada semua tentera Parsi.Peluklah agama islam, nescaya kalian akan selamat ataupun pilihlah hak sebagai zimmah (kafir yang dilindung) dengan membayar jizyah (cukai perlindungan).Sekiranyan kalian enggan, jangan salahkan sesiapa, tetapi salahkan diri sendiri kerana kami datang dengan tentera yang menyintai mati sebagaimana kalian mencintai hidup”

Hurmuz sangat marah dan begitu sombong kerana tidak mahu menerima cahaya kebenaran islam, malah telah menggantung sebilah pedang ke leher utusan Khalid sebagai balasan kepada surat itu.Selepas itu Panglima tentera Parsi , Hurmuz yang sombong , kebal dan tidak pernah tewas di medan tempur itu akhirnya telah tewas oleh tetakan mata pedang Saifullah di medan perang! Selepas itu panglima tentera Parsi bernama Rustam juga mati terjatuh kedalam sungai Dajlah ketika sedang bertarung dengan Khalid dalam siri pertempuran kedua dengan tentera Parsi, hampir 30,000 orang tentera musuh terbunuh.Dalam siri peperangan ketiga, panglima Parsi Indrazaghur dan dan Bahman melarikan diri dari medan perang ketika melihat amukan dan asakan tentera islam yang begitu hebat hingga tentera musuh berundur ke tebing sungai Tigris dan Euprates!Ada tentera musuh yang sanggup terjun kedalam sungai untuk menyelamatkan diri!

Antara bait puisi yang ditulis oleh bekas tentera islam yang cedera dan dihantar pulang oleh Khalid iaitu Abu Makran Aswad dalam menceritakan kehebatan tentera islam di medan tempur berbunyi :

“Kami tempuhi hari-hari di Allais dengan gempita,
Singa-singa jantan bertempur gagah,
Belum pernah aku menyaksikan perang
dasyat seperti itu,
Antara tokoh tokoh terbesar,
Kami membunuh tujuh puluh ribu,
Saki-baki yang hancur menjadi tawanan..”

Dia pernah meminum racun yang sangat bisa dari tangan musuh untuk membuktikan keimanan dan tawakkalnya kepada Allah SWT dan sebagai satu cara dakwah dengan berkata bahawa racun itu tidak mampu berbuat apa-apa kecuali dengan izin Allah SWT, benar seperti apa yang dikatakan oleh Khalid, tidak ada apa-apa mudharat yang menimpa keatas dirinya selepas meminumnya membuatkan pemilik racun itu, Ibnu Baqilah tercengang kehairanan, namun Ibnu Baqilah masih belum menerima cahaya hidayah islam.

Satu lagi peperangan di Firadh, tentera yang dipimpin oleh Khalid Al-Walid telah berjaya membunuh paling ramai musuh.Kata ahli sejarah Tarikh al-Tabari :

“Seramai 100,000 orang tentera musyrikin terbunuh.Inilah pertempuran yang membunuh paling ramai musuh”.

Peperangan Yarmuk, iaitu peperangan tentera islam menentang Tentera Rom, setelah Khalid Al-Walid berjaya menundukkan Kekuasaan Parsi benar-benar menguji kekuatan emosi dan spiritual panglima agung ini.

Dalam Perang Yarmuk, tentera islam seramai 40,000 orang mampu mengalahkan tentera musuh sebanyak 6 kali ganda iaitu seramai 240,000 dimana seramai 50,000 tentera musuh maut manakala hanya 3000 orang sahaja dari tentera islam yang mati syahid.

Sebelum perang bermula, tampil seorang pahlawan dari tentera Rom yang bernama Gergorius mencabar Khalid berlawan satu lawan satu dengannya.Cabaran itu disahut oleh Khalid.Ketika mereka berhenti rehat seketika, maka terjadilah dialog antara mereka seperti dibawah :

Gergorius : saya mahu bertanya kepada saudara.

Khalid : silakan.

Gergorius : benarkah saudara mendapat gelaran pahlawan pedang Allah ?

Khalid : benar.

Gergorius : benarkah Tuhan turun dari langit dengan membawa sebilah pedang lalu diserahkan kepada saudara?

Khalid : tidak benar !

Gergorius : mengapa saudara digelar pahlawan pedang Allah?

Khalid : Tuhan mengutus seorang nabi dikalangan kami.Pada mulanya, saya juga menentang Nabi Muhammad, tetapi kemudian saya mendapat petunjuk daripada Tuhan lalu menjadi penyokong setia baginda.Pada suatu hari, Nabi Muhammad berkata saya adalah sebilah pedang daripada pedang-pedang Tuhan yang terhunus kepada kaum musyrik.
Baginda berdoa kepada Tuhan supaya saya menang dalam peperangan menegakkan agamanya.Kemudian saya diberi gelaran Pedang Allah.Sejak itu saya bersikap keras terhadap mereka yang menentang islam.

Gergorius: Apa yang saudara seru kepada manusia semasa menjalankan tugas?

Khalid : saya menyeru supaya mereka mengaku tiada Tuhan yang disembah selain Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.

Gergorius: Sekiranya hari ini ada orang menerima seruan saudara dan memilih tawaran menerima islam, apakah taraf kedudukan orang itu dikalangan saudara sekalian?

Khalid : Kedudukannya setaraf dengan kami tanpa mengira sama ada orang itu mulia, hina, miskin atau kaya.

Gergorius : Apakah orang yang baru memeluk agama saudara pada hari ini mendapat pahala dan kedudukan yang sama dengan saudara?

Khalid : mereka lebih mulia daripada kami.

Gergorius : mengapa?

Khalid : Kami hidup pada zaman Nabi dapat melihat mukjizat baginda.Kami menyaksikan sendiri dengan keajaibannya.Ada juga yang tidak pernah bertemu dengan Nabi Muhammad dan belum pernah menyaksikan mukjizat baginda, namun mereka tetap menerima agama kami dengan jujur dan ikhlas, maka mereka lebih mulia dari kami.

Gergorius : Demi Tuhan, saya menyahut seruan saudara.Saya mengaku tiada Tuhan yang disembah selain Allah dan Nabi Muhammad pesuruh Allah.

Khalid terkejut bercampur gembira.Muka mereka berseri dan bercahaya-cahaya.Mereka terus bersalam-salaman .Kejadian tersebut berlaku sekelip mata di medan tempur dan kedua-dua belah pasukan tentera terpegun seketika!, Maha Suci Allah yang memilih siapa sahaja dari hambanya untuk menerima cahaya hidayah.

Peristiwa di atas menimbulkan kemarahan Theodore, Panglima besar Rom yang juga merupakan adik kepada Maharaja Rom, Hercules.Tentera Rom ketika itu berjumlah 240,000 orang; 80,000 orang tentera berkuda dimana terdapat 100 ekor gajah dikalangan mereka, 80,000 orang tentera berjalan kaki dan 80,000 orang tentera yang kakinya dirantai!

Kecerdasan emosi dan spiritual Khalid Al-Walid terserlah ketika menghadapi ujian getir ketika tentera islam ingin bertempur dengan tentera Rom.Utusan dari khalifah sampai membawa dua berita.Berita pertama ialah berkaitan dengan kewafatan Khalifah Abu Bakar pada 23 jamadilakhir bersamaan 13 hijrah.Berita kedua ialah perlantikan Khalifah islam kedua iaitu Khalifah Umar sekaligus memecat Khalid sebagai Ketua Panglima tentera Islam dan digantikan oleh panglima Abu Ubaidah bin Jarah.Khalid tidak pun merasa sedih atau merajuk dengan keputusan itu.Setelah bermesyuarat dengan Abu Ubaidah, mereka merahsiakan dulu kedua-dua perkara tersebut dari pengetahuan tentera islam, malah Abu Ubaidah menyerahkan tanggungjawab memimpin tentera islam kepada Khalid buat sementara waktu sehingga peperangan selesai. Akhlak dan keperibadian Khalid yang tinggi menyebabkan Abu Ubaidah menangis!. Kata Abu Ubaidah :

“saya malu menerima jawatan itu kerana ada yang lebih layak daripada saya di kalangan kita. Jawatan bukannya lambang kemegahan, tetapi tanggungjawab.Sekiranya tidak mampu ditunaikan, ia menjadi tanggungjawab di dunia dan akhirat.Saya berasa tidak layak memegang jawatan yang penting itu”

Khalid memimpin 40,000 orang tentera islam menewaskan 240,000 tentera Rom. 50,000 orang tentera Rom mati dan hanya 3,000 orang tentera islam yang gugur syahid.Panglima Gergorius gugur syahid setelah dibunuh oleh bekas rakannya Panglima Theodore manakala Panglima Theodore pula maut ditangan Khalid, Pahlawan Pedang Allah!

Kekalahan tentera Rom kepada tentera islam amat mengejutkan dan memalukan Maharaja Rom iaitu Maharaja Hercules.Bila ditanya sebab-sebab kekalahan mereka, seorang tentera Rom menjawab :

“ Tuanku, tentera kita berperang dengan satu kaum yang berpuasa di siang hari dan beramal ibadat pada waktu malam.Mereka berpegang teguh pada janji, saling berkasih sayang sesama mereka bagaikan saudara. Mereka sentiasa mengerjakan kebaikan dan tidak melakukan kemungkaran. Tentera kita pula suka minum arak, melakukan zina, selalu mungkir janji, suka berbuat jahat, dan melakukan kezaliman.Disebabkan itulah kita kalah”

Hari hari terakhir Khalid dihabiskan di Syam(Syiria).Sewaktu beliau sakit tenat, beliau berkata :
“umur saya sekarang 58 tahun.Saya sudah menyertai lebih dari 100 peperangan. Saya terlibat secara langsung dalam peperangan besar seperti perang Muktah, berperang dengan Parsi, melawan tentera Rom di Yarmuk, merebut Damsyik dari Rom, menakluki Mesir dan menawan Baitul Maqdis dari kuasa Kristian.”

“Saya bercita-cita mahu mati syahid, tetapi mengapa saya masih hidup? impian saya untuk mati syahid tidak tercapai, saya tidak mahu mati di atas katil begini, hanya orang pengecut saja yang mati begini” kata Khalid dengan nada penuh kesayuan.Air matanya mengalir membasahi pipinya.

“Saya tidak mahu mati diatas katil, saya mahu mati di medang perang!” Pahlawan Pedang Allah itu terus merintih hiba.

Tiba-Tiba Abu Zanad berkata untuk menenangkan Khalid Al-Walid:

“Saudara tidak boleh mati di medan perang dan saudara juga tidak boleh tewas apabila bertarung dengan musuh”.

“Mengapa?” Tanya Khalid.

“Nabi Muhammad mengurniakan kepada saudara gelaran pahlawan pedang Allah.Baginda juga mendoakan saudara menang dalam setiap peperangan.Disebabkan itulah saudara tidak boleh mati dibunuh oleh orang kafir.Saudara juga tidak boleh tewas dalam peprangan kerana doa Nabi Muhammad dimakbulkan Tuhan” kata Abu Zanad dengan lembut. Khalid terdiam dengan kata-kata itu.

Akhirnya pahlawan pedang Allah itu menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan hajatnya untuk syahid tidak kesampaian.Pemergiannya diratapi oleh seluruh umat islam.

Kata Adi bin hatim :

“Pemergian Khalid adalah satu kehilangan besar kepada umat islam.Nama Khalid bin Al-Walid dapat mengalahkan musuhnya sebelum peperangan bermula!”

Al-Fatihah untukmu wahai Saifullah ….



*[Artikel ke-226 Sangtawal sakranta...]


5 comments:

Sang Guna said...

ALLAHUAKBAR ALLAH MAHA BESAR.

Fahmishah said...

Islam pernah gah di mata dunia, kini dipijak diludah. Semoga muncul seorang lagi pahlawan untuk membela Islam.

Anonymous said...

ALLAHUAKBAR ALLAHUAKBAR ALLAHUAKBAR

Sahabah r.a./r.huma ada lah manusia yg terbaek yang dipimpin dan dibimbing oleh kekasih Allah s.w.t, Rasullulah s.a.w

Unknown said...

Janji Allah swt itu pasti.

Unknown said...

Allah Hu Akbar