Sumber : Buku : Kasyfu Al-Asrar ( Pembukaan Segala Rahsia), oleh Asy-Syeikh Muhammad Shaleh Bin ‘Abdullah Mengkabauw, diterjemah Oleh Noraine Abu, terbitan Al-Hidayah Publications, m/s 34-37.
Saya amat tertarik sekali bila membaca Kitab lama yang telah dialih dari tulisan jawi ke tulisan rumi ini.Terima kasih kepada mereka yang berusaha dan terlibat dalam menghasilkan buku-buku seumpama ini.Usaha seperti ini harus disokong dan diberi tempat istimewa dihati pemburu ilmu dan pencinta kebenaran.
Kitab “Kasyfu Al-Asrar” ini disusun dan dikupas dalam bentuk soal jawab dan asalnya bertulisan jawi, Ia banyak digunakan di pondok-pondok di negara ini dan telah diulang cetak banyak kali.
* Kulit hadapan Buku tersebut : boleh menjenguk ke laman Penerbitnya : Klik
Saya ingin memetik kupasan menarik dibawah tajuk : Asal Kejadian Anggota Badan(jasad) Adam untuk dikongsikan bersama di sini:
[ Soal 79 : Dan mana awal asal kejadian anak Adam?
Jawab : Adapun awal asal kejadian anak Adam itu, iaitu daripada anasir yang empat perkara : 1.Tanah 2. Air 3.Angin 4. Api
Soal 80: Adapun tanah itu jadi daripada apa, dan air itu jadi daripada apa, dan angin itu jadi daripada apa, dan api itu jadi daripada apa?
Jawab: Adapun tanah itu daripada air, dan air itu daripada angin, dan angin itu daripada api, dan api itu daripada rahsia Muhammad.
Soal 81 : Dan tanah itu tanah yang mana, dan air itu air yang mana, dan angin itu angin yang mana, dan api itu api yang mana?
Jawab : Adapun tanah itu badan Muhammad, adapun air itu cahaya Nur Muhammad, adapun angin itu nafsu Muhammad, dan adapun api itu nazhir(perasaan hati) Muhammad.
Soal 82 : Dan tanah itu jadi apa, dan air itu jadi apa, dan angin itu jadi apa, dan api itu jadi apa?
Jawab : Adapun tanah itu jadi daging, air itu jadi tulang, angin itu jadi urat dan api itu jadi darah.
Soal 83 : Aku Tanya lagi, mana kejadian diri yang batin?
Jawab : Adapun kejadian diri yang batin itu, iaitu kejadian daripada anasir yang empat yang batin.
Soal 84 : Dan mana anasir empat yang batin?
Jawab: Iaitu : wujud, ‘ilmu, nur dan syuhud. Dan erti wujud itu zatNya, dan erti ilmu itu sifatNya, dan erti nur itu asma’Nya, dan erti syuhud itu af’alNya.
Soal 85 : Zat itu apa kepada kita, dan sifat itu apa kepada kita , dan asma’ itu apa kepada kita, dan af’al itu apa kepada kita?
Jawab : Adapun zat itu rahsia kepada kita, dan sifat itu nyawa kepada kita, dan asma’ itu hati kepada kita dan af’al itu tubuh kepada kita * [ Sangtawal : untuk memahami apa yang disebut dalam jawapan ini, adalah lebih baik bertanya kepada mereka yang arif dalam ilmu tasawuf, semoga kita benar-benar faham akan maksud huraiannya itu ! ]
Soal 86 : Dan beberapa kejadian kita daripada ibu dan bapa ?
Jawab : Adapun kejadian daripada ibu itu, empat perkara : lemak, darah, rambut, daging. Dan empat perkara daripada bapa iaitu : kulit, ‘Ashab(saraf), urat, tulang. ]
Semoga apa yang saya sampaikan disini memberi sedikit manfaat kepada kita bersama.
Tajuk :Hidupkan Jiwa Tasawuf : Bhg 6 - Manusia Vs Syaitan
Artikel Oleh : Sangtawal Sakranta
Marilah kita renungi Firman Allah SWT yang bermaksud : “ Tidak Aku jadikan Jin dan Manusia.melainkan supaya mereka beribadat kepadaKu”.Dalam hadis Riwayat Muslim Nabi SAW bersabda “ Malaikat telah diciptakan dari cahaya.Jin telah diciptakan daripada api.Dan adam telah diciptakan daripada apa yang disifatkan pada kalian”.
Allah berfirman lagi : “Dan,sesungguhnya kami telah menciptakan manusia(iaitu Adam) daripada tanah liat kering(yang berasal)dari lumpur hitam yang diberi bentuk.Dan kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) daripada api yang sangat panas” (Al-Hijr : 26-27)
Dalam Al-Quran ada satu surah berkenaan dengan golongan jin ini :
Dalam Al-Quran juga ada satu surah berkenaan dengan golongan manusia iaitu :
Manusia:
Manusia dijadikan dari Tanah,makhluk yang dianugerahkan akal dan nafsu,merupakan sebaik-baik kejadian yang Allah ciptakan.Diberikan rahsia Ketuhanan.Terikat dengan syaria’t Allah.
Malaikat :
Dijadikan dari cahaya(nur).Tugasnya hanya beribadat kepada Allah dan sangat patuh kepada Allah .
Jin :
Berdasarkan nas-nas yang sahih, bahawa setiap manusia itu sejak dilahirkan disertakan dengan 'qarin'. Qarin bermakna teman atau pendamping. Iaitu yang akan menemaninya sejak seseorang itu lahir hinggalah tarikh kematiannya. Qarin ini adalah dari golongan jin (syaitan). Qarin ini sentiasa mengajak manusia yang didampingi ke arah kejahatan.
Perkara ini terdapat di dalam sebuah hadis Nabi SAW riwayat Muslim:
"Tiada seorang pun dari kalangan kamu kecuali ada disertakan dengan qarinnya dari jin. Mereka bertanya: "Engkau pula wahai Rasulullah?" Jawab baginda: "Ya aku juga, cuma Allah telah membantuku terhadapnya, lalu dia Islam. Dia tidak akan menyuruhku kecuali kebaikkan."
Jin merupakan sejenis roh yang berakal, berkehendak dan dibebani dengan syariat sebagaimana manusia (mukallaf). Bezanya dengan manusia ialah jin tidak terbentuk dari unsur-unsur kemanusiaan (rupa bentuk kasar manusia). Mereka tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Mereka juga mampu membentuk diri mereka dengan pelbagai jenis rupa. Asal kejadian mereka adalah dari api (lihat al-Quran, surah: al-Hijr, ayat: 26-27)
Jin adalah makhluk yang tidak tidak diberi pengetahuan tentang alam ghaib. Seperti mereka tidak tahu apakah yang akan berlaku hari-hari mendatang, dan sebagainya.
Menurut nabi SAW,jin ada 3 kelompok utama seperti sabda baginda : “ Jin ada tiga kelompok: Satu kelompok terbang melayang di udara.Satu kelompok lagi berupa ular dan anjing.Dan satu kelompok lagi diam dilumpur dan berjalan” [ Hadis riwayat At-tabarani,Al-Hakim dan Al-baihaqi dengan isnad yang sahih]
Iblis dan Syaitan :
Iblis 'abu syaitan' (bapa syaitan). Jika malaikat adalah tentera Allah yang mengajak kebaikkan, iblis dan syaitan adalah sebaliknya. Mereka adalah musuh Allah yang menyeru ke arah kejahatan dan kerosakan. Syaitan ialah golongan yang angkuh dan derhaka dari alam jin. Mereka adalah dari kalangan jin juga.
Persoalannya ialah :
1.Jika iblis atau syaitan itu diperbuat daripada api,apakah iblis juga akan merasa sakit atau tersiksa bila dicampakkan kedalam api neraka? Iaitu bila api dibakar dengan api???
2.Bolehkan kita samakan manusia bernafsu Ammarah itu sama dengan jin bernama iblis atau syaitan?
3.Bolehkah kita samakan malaikat almuqarrabin itu sama dengan manusia yang bernafsu kamilah,yang bernama insan kamil yang telah mendapat pangkat Al-Muqarrabin?
3.Jika kita nyalakan api,cahaya dari sumber api itu boleh kita gunakan untuk menerangi kegelapan,jadi, api dan cahaya itu sukar untuk dipisahkan.Adakah sama maksudnya api atau cahaya dengan Nur?
4.Apakah Nur atau nur Muhammad itu berwarna? kalau berwarna,apakah warnanya?
Sama-samalah kita fikirkan….kita belajar dan bertanya kepada orang yang berilmu….dan kepada yang berilmu…sila ajarkan dan bantulah dengan ikhlas demi perjuangan islam kerana hanya ilmu yang bermanfaat,doa anak yang soleh dan sedekah sahaja merupakan saham akhirat yang dijamin oleh Allah yang boleh sampai kepada kita di alam kubur nanti.
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang....
Bila kita membicarakan berkaitan tasawuf,maka kita tidak boleh lari dari membicarakan berkenaan dengan hati atau qalbi yang merupakan alat atau instrumen terpenting dalam menghidupkan jiwa tasawuf.Ramai yang terkeliru dengan makna dan istilah hati atau qalbi ini.Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa paras kita,tapi Allah memandang hati kita.Bukankah hati itu istana Allah?oleh itu,mengapa kita tidak mahu mengkaji misteri hati atau jantung kita sendiri secara fizikal dahulu sebelum kita menggunakannya menjadi alat untuk menyampaikan kita pada mengenali diri kita dan seterusnya mengenal Allah.
Sabda Nabi SAW bermaksud ; “ Didalam tubuh manusia itu,ada seketul darah,jika darah itu baik,maka baiklah manusia tersebut dan jika darah itu kotor maka kotorlah manusia itu.Sesungguhnya ketulan darah itu ialah hati (qalbi)”.
Kata Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i dalam kitabnya Tanbihut Thullab fi Ma’rifati Malikil wahhab : “ maka Qalbi(hati),tatkala sempurna penyiapannya dan kuat cahayanya dengan sebab berkekalan melakukan zikir yang maha tinggi bagi muraqabah yang siap sedia bagi musyahadah menjadilah ia sebagai cermin tajalli ketuhanan.adalah dia menghimpunkan antara kedua lautan muraqabah dan musyahadah.Dia tempat pertemuan bagi sekalian alam.Yang demikian itu ialah ‘Arsyullah ( Kerajaan Allah) sebagaimana yang telah diceritakan dalam hadis “hati(qalbi) orang beriman itu adalah istana Allah”[ al-ma’rifah- jld 2-Hj Wan Mohd Shagir,m/s 59]
Hati atau Qalbi adalah tempat jatuhnya tilikan Allah,bila hati bersih ia ibarat cermin,kata Al-Ghazali.Ia juga tempat hambanya yang terpilih beroleh ilmu berupa ilmu Laduni atau ilmu batin seperti sabda Rasul yang bermaksud “ilmu itu ada dua macam.Pertama;ilmu lisan,sebagai hujjah Allah dan hambanya.Kedua;ilmu batin yang bersumber di lubuk hati,ilmu inilah yang berguna untuk mencapai tujuan pokok dalam ibadat”(Buku Sirrul-Asrar- Syeikh Abdul Qadir Al-jailani,m/s 19).Kata Sheikh Abdul Qadir lagi dalam kitabnya Sirrul-Asrar: “mula-mula manusia memerlukan ilmu syariat agar badannya mempunyai kegiatan dalam mencari makrifat pada makrifat sifat,iaitu ‘darajat’.kemudian manusia menginginkan ilmu batin agar ruhnya mempunyai kegiatan untuk mencapai makrifat pada makrifat zat.Untuk tujuan ini manusia harus meninggalkan segala sesuatu yang menyalahi syariat dan tariqat.Hal ini akan dapat dicapai dengan melatih diri meninggalkan keinginan nafsu walaupun terasa pahit dan melakukan ruhaniyyah dengan tujuan mencapai redha Allah serta bersih dari riya’(ingin dipuji orang lain) dan sum’ah(mencari kemasyhuran).
Yang dimaksudkan dengan alam makrifat adalah alam Lahut,yaitu negeri asal tempat diciptakan Ruh Al-Qudsi(Ruh Termurni) dari Nur Muhammad dalam wujud terbaik.Yang dimaksudkan Ruh Al-Qudsi ialah hakikat manusia yang disimpan di lubuk hati,kemudian bila hatinya sudah hidup maka ruh Al-Qudsi itu dinamakan Tiflul Ma’ani(bayi ma’nawi).Ia lahir dari hati,seperti lahirnya bayi dari rahim seorang ibu.Bayi ini bersih dari segala kotoran dosa seperti syirik(menyekutukan Allah) dan ‘gaflah(lupa kepada Allah)[ Sirrul-Asrar m/s 20- 22].Maka beruntunglah orang yang boleh menghidupkan hati dengan cahaya tauhid dan dengan lisan sirri tanpa huruf dan suara lalu tersingkaplah segala rahsia.firman Allah didalam Hadis Qudsi : “manusia adalah rahsia-Ku dan Aku adalah rahsia manusia”.Allah berfirman lagi dalam hadis Qudsi iaitu : “Ilmu batin adalah rahsia di antara rahsia-Ku.Aku jadikan di dalam hati hamba-hamba-Ku dan tidak ada yang menempatinya kecuali Aku”
“Orang-orang yang merindukan Allah hatinya mempunyai mata.Mata hatinya melihat segala sesuatu yang tidak di lihat oleh penglihatan biasa.Hati mereka mempunyai sayap yang terbang tanpa bulu,terbang ke malakut Rabbul A’lamin”[ Sirrul-Asrar, m/s 28]
Hati juga dikatakan tempat Ruh Ruhani.Alatnya adalah Tariqat.Tempat Ruh Sulthoni pula adalah ‘Fuad’ iaitu mata hati.Alatnya adalah makrifat.Hati mestilah dihidupkan selalu melalui zikir dan ingatan yang berkekalan pada Yang Maha Pencipta.Hati yang suci bersih tempatnya di bawah Arasy Allah sebagaimana dengan sabda Nabi SAW “ Sesungguhnya Allah mempunyai hamba-hamba yang jasadnya di bumi dan hatinya di bawah Arasy Allah”.Kata Sheikh Abdul Qadir al-Jailani dalam kitabnya Sirrul Asrar : [Melihat kepada Allah di dunia tidak akan berhasil.Yang dapat dilihat di dunia adalah sifat-sifat Allah pada cermin hati.Saidina Umar berkata “hatiku melihat Tuhanku dengan cahaya Tuhanku”.manusia akan melihat pantulan ‘jamalullah’ pada cermin hatinya”]. Imam Al-ghazali juga berkata “Hidupnya hati adalah ilmu,galilah ia.Matinya hati adalah bodoh,maka jauhilah ia.”.Hidupnya hati membuahkan iman dan takwa yang mantap ,itulah sebabnya orang yang benar-benar beriman,bila disebutkan nama Allah kepada mereka,maka gementarlah hati mereka.Firman Allah di dalam surah Al-Anfal,ayat 2 bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka” kerana “hatinya tidak mendustakan apa yang dilihatnya”(An-Najm:11). Kata saidina Ali pula "Aku tidak beribadah kepada Tuhan yang tidak aku lihat”.Lihat disini bagi Saidina Ali ialah melihat dengan mata hatinya bukan dengan matanya.
Alangkah ruginya orang yang buta hatinya dan tersesat dari jalan yang benar.Firman Allah dalam surah Al-Isra’ ayat 72 bermaksud : “ dan barang siapa yang buta(hatinya) di dunia ini,nescaya di akhirat(nanti) ia akan lebih buta pula dan lebih tersesat dari jalan (yang benar)".Apa yang dimaksudkan buta dalam ayat diatas ialah buta hati seperti firman Allah dalam surah Al-hajj ayat 46 yang bermaksud ; “Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta,ialah hati yang di dalam dada”
Menurut Sheikh Abdul Qadir al-Jailani lagi “ Penyebab utama kebutaan hati adalah kerana lupa yang menutupi hati setelah manusia berjanji di alam Arwah.Yang menjadi penyebab lupa adalah bodoh terhadap hakikat urusan ketuhanan.Kebodohan ini timbul kerana hati terselubung oleh sifat sifat zalim seperti;sombong,dendam,dengki,kikir,ujub,ghibah(mengumpat),namimah(mengadu domba),bohong dan sifat sifat tercela yang lain.Sifat-sifat inilah yang menyebabkan manusia jatuh ke jurang yang terendah.Adapun cara menghilangkan sifat-sifat yang tercela tadi adalah dengan membersihkan cermin hati dengan alat pembersih tauhid dan dengan ilmu serta amal;dan berjuang dengan sekuat tenaga secara lahir batin sehingga ia menghasilkan hidupnya hati dengan cahaya tauhid dan sifat-sifatNya”[ Sirrul Asrar, m/s 88)
Secara fizikal atau umumnya,hati ialah jantung kita atau disebut “Heart”.Hati atau ‘Liver’( Hepar) dalam istilah sains adalah benda atau organ yang berlainan dan berada pada tempat yang berlainan pula dalam tubuh badan kita..Fungsi dua organ ini juga adalah berbeza.
Jantung merupakan organ yang berotot pejal dan mempunyai 4 ruang(bilik) utama di mana saiz ukuran jantung ialah kira-kira ; panjangnya 12 cm, lebarnya 8-9 cm seta tebalnya kira-kira 6 cm.Berat jantung sekitar 7-15 oz atau 200 sampai 425 gram dan menyamai saiz penumbuk individu berkenaan. Ianya terletak di dalam bahagian dada(mediastinum), diantara dua paru-paru, dan dibawah tulang rusuk kiri atau lebih dikenali dalam tasawuf berada 2 jari dibawah puting susu sebelah kiri bagi tariqat naqsyabandiah.Ada juga orang tasawuf memanggil tempat ini sebagai Lathaif qalbi,Wilayah Muhammad dan warnanya kuning.Lokasi hati menurut tasawuf ini merujuk kepada tempat dimana denyutan jantung itu paling dirasai( boleh disentuh dengan tangan) dan dalam istilah sains dikenali sebagai ‘apex beat area’.
4 bilik atau ruang hati membawa maksud tersendiri bagi saya.Bila hati itu istana Allah ,perkataan Allah itu ada 4 huruf.Allah itu dibicarakan dalam 4 bab iaitu Zat,Sifat,Asma dan Af’al.Manusia itu dijadikan dari unsur yang 4 iaitu dari Tanah,Air,Api dan Angin.Manusia menempuh 4 alam yang besar dalam perjalanannya iaitu alam kandungan ibu,alam dunia,alam kubur dan alam akhirat.Dalam perjalanannya Muhammad di temani oleh 4 sahabat yang paling rapat iaitu Abu Bakar,Umar,Usman dan Ali.Dalam menjalani hidupnya manusia perlu menjalani syariat dimana manusia mesti boleh membezakan antara 4 hukum iaitu Wajib,Sunat,Haram dan Makruh.Untuk mencapai tujuan hidupnya,manusia mesti melalui 4 tahap perjalanan kerohanian iaitu Syariat,tariqat,hakikat dan makrifat.Bukankah Hakikat nyawa itu ada 4 iaitu Nafas,Ampas,Tanapas dan Nupus? Dimana Nafas letaknya di mulut,Ampas letaknya dihidung,Tanapas letaknya di antara telinga kanan dan kiri dalam kepala atau di Medula Oblongata manakalan Nupus itu letaknya di dalam hati atau qalbi.Bermulanya hidup Nafas itu kerana Ampas.Hidup Ampas kerana Tanapas.Hidup Tanapas kerana Nupus dan hidup Nupus itu dengan rahsia dan Rahsia itu adalah diri rahsia Allah swt iaitu diri batin kita. Perjalanan nafsu(jiwa) yang berliku melalui 7 tempat perhentian(maqam) sebelum kembali semula ketempat asal untuk menjadi Insan kamil.
Jantung manusia dibahagikan kepada 4 bilik iaitu dua bilik bahagian atas disebut Atrium kanan dan Atrium kiri serta dua bilik bahagian bawah disebut Ventrikel kanan dan Ventrikel kiri.Bilik jantung bahagian kanan (atas dan bawah) berfungsi untuk menerima darah melalui vena atau mengepam darah tanpa oksigen setelah digunakan oleh sel-sel badan dari bahagian atau organ badan yang lain melalui arteri pulmonary ,manakala bilik jantung kiri (atas dan bawah) berfungsi menerima darah beroksigen di Atrium kiri dan seterusnya mengepam darah beroksigen melalui ventrikel kiri keseluruh organ lain melalui sistem pembuluh darah iaitu arteri.
Peredaran darah dari bilik kanan dan kiri jantung tidak bercampur kerana adanya dinding yang memisahkan mereka .Jantung yang mempunyai 4 bilik ini mempunyai 7 pintu atau injap iaitu 4 injap/pintu disebelah kanan dan 3 injap/pintu di bahagian kiri jantung. Bahagian Atrium dan ventrikel pula dipisahkan oleh bahagian yang membentuk injap-injap jantung. injap-injap ini akan mengemudi aliran darah diantara ruang-ruang jantung. Injap ini membenarkan aliran sehala dengan menyalurkan darah ke dalam yang seterusnya dan menghalang aliran balik.
Di bahagian kanan jantung, darah mengalir melalui injap trikuspid yang terletak di antara atrium kanan dan ventrikel kanan. injap ini mempunyai tiga dedaun atau kelopak.Di sebelah kiri jantung pula, darah mengalir di antara atrium kiri dan ventrikel kiri melalui injap mitral. injap mitral juga dikenali sebagai injap bikuspid kerana ia mempunyai dua dedaun atau kelopak.
Bagi membolehkan darah mengalir dari ruang atas ke dalam ruang bawah, injap-injap tadi mestilah terbuka. injap-injap ini dikawal oleh perubahan tekanan darah di dalam setiap ruang tadi.
Injap juga terdapat di antara ventrikel dan saluran darah yang menyalurkan darah keluar daripada jantung. Darah akan mengalir melalui injap pulmonari yang memisahkan ventrikel kanan dengan arteri pulmonari. Manakala di sebelah kiri pula darah mengalir daripada ventrikel kiri ke dalam aorta melalui injap aorta.
Mengapa saya menghuraikan dengan panjang lebar mengenai perjalanan darah kita ini?.Jawapannya ialah supaya kita semua faham berkenaan dengan jalan atau lebuhraya perjalanan syaitan dalam tubuh badan kita seperti hadis shahih Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud :
“Sesungguhnya syaitan itu berjalan pantas daripada anak Adam di tempat mengalirnya darah”
Syaitan juga meniupkan perasaan was-was dan syak wasangka kedalam hati manusia untuk menimbulkan keraguan dan manusia akhirnya hilang konsentrasi dalam apa sahaja perbuatan yang dilakukannya.Firman Allah dalam surah An-Nas :ayat 1-6 yang bermaksud : “katakan! Aku berlindung kepada Tuhan(yang memimpin)manusia,Raja manusia,sembahan manusia dari kejahatan was-was (syaitan) yang tersembunyi,yang mewas-waskan ke dalam hati manusia,iaitu di kalangan jin dan manusia”.Allah juga berfirman dalam surah Al-A’raf ayat 20 yang bermaksud : “Maka syaitan telah mewas-waskan(perasaan hati) keduanya” iaitu merujuk kepada bisikan dan godaan syaitan terhadap Adam dan Hawa di syurga supaya memakan buah dari pohon yang dilarang Allah.Nabi bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a bermaksud : “Sesungguhnya syaitan meletakkan belalainya pada hati anak adam,jika ia berzikir mengingati Allah,undurlah syaitan itu dan apabila ia lupa dari mengingati Allah,ditelan hatinya,maka itulah dikatakan was-was yang tersembunyi”(Riwayat Abu Ya’la)
Bukankah Allah mengingatkan kita bahawa syaitan itu musuh kita yang paling nyata? Oleh itu adalah amat penting bagi kita mengenal hati dan perjalanan darah kita agar kita boleh berwaspada dengan taktik,bisikan dan godaan syaitan yang berpusat dihati kita,yang mempengaruhi nafsu kita kearah Ammarah itu.Syaitan juga selalu menghasut kita bermusuhan dan menumpahkan darah,meracuni akal dan pemikiran kita,malah lebih teruk lagi mempengaruhi kita untuk tidak beriman kepada Allah dan berpaling menyembah mereka.Tujuan mereka hanya satu iaitu ingin menyesatkan seramai mungkin anak cucu Adam supaya bersama-sama mereka masuk neraka di akhirat kelak.Justeru itu kita hendaklah selalu beringat-ingat dengan musuh kita yang paling nyata ini agar kita sentiasa berjalan atas landasan yang benar.Kita juga harus bergelut melawan bisikan musuh kita ini dalam relung jiwa,dalam detikan hati dan rasa,dalam angan-angan dan impian serta dalam pandangan kita.Iblis telah berjanji dihadapan Allah untuk menyesatkan umat manusia seperti firman Allah dalam surah Al-Hijr ayat 39-40 yang bermaksud ; “Ya Tuhanku,kerana Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat,maka aku benar-benar akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi,dan aku akan menyesatkan mereka semua,kecuali hamba-hamba Engkau yang Mukhlisin di antara mereka”.Siapakah hamba Allah yang Mukhlisin itu? Contoh hamba itu dizaman nabi ialah Saidina Umar dan ramai lagi sahabat rasulullah SAW,sebagaimana hadis riwayat Ahmad,At-Tirmidzi,dan Ibnu Hibban dengan isnad sahih yang bermaksud ; “ Sesungguhnya syaitan benar-benar memisahkan diri darimu,hai Umar”
Secara zahirnya jantung mempunyai lapisan yang berlapis-lapis .Selaput yang membungkus jantung paling luar sekali disebut pericardium dimana ianya terdiri daripada 2 lapisan iaitu lapisan fibrosa dan serosa, dalam pericardial cavity (ruang antara lapisan serosa dan fibrosa)berisi 50 cc cecair yang berfungsi sebagai pelincir agar tidak ada geseran antara pericardium dan epicardium sewaktu jantung berdenyut( mengembang dan menguncup). Epicardium adalah lapisan ke 3 paling luar dari jantung, lapisan berikutnya yang lebih dalam adalah lapisan miokardium dimana lapisan ini adalah lapisan yang paling tebal.Lapisan miokardium ini terdiri daripada sel-sel jantung yang berfungsi untuk mengecut dan mengembangkan jantung secara keseluruhannya. Lapisan terakhir yang paling dalam dan bersentuh dengan darah adalah lapisan endocardium.Jadi jantung mempunyai 5 lapisan kesemuanya.ia membentuk kerangka utama jantung.Bukankah islam itu ada 5 rukun dan sembahyang 5 waktu itu adalah tiang atau kerangka utama agama?sama-samalah kita fikir.
Jantung juga mempunyai 7 bukaan lain atau saya namakan sebagai jendela iaitu 2 jendela di bilik Atrium kanan untuk darah tanpa oksigen masuk dan 1 jendela di bilik ventrikel kanan untuk darah keluar ke paru-paru manakala dibahagian jantung sebelah kiri pula , ada 4 jendela untuk darah beroksigen masuk dari paru-paru ke atrium kiri dan satu jendela utama untuk darah beroksigen keluar di ventrikel kiri.
Fungsi utama jantung adalah untuk mengepam darah yang beroksigen ke seluruh bahagian tubuh.Oksigen yang diangkut dalam darah digunakan oleh sel-sel badan untuk meneruskan kehidupan. Tugas ini dilakukan dengan menguncup atau membuat denyutan sebanyak 60 hingga 90 kali bagi setiap minit. Dengan setiap penguncupan ruang jantung akan mengepam darah samada ke venrikel atau salur darah arteri. Dalam masa 24 jam jantung kita berdenyut lebih daripada 100,000 kali, 7,000 liter darah dipam melalui jarak beribu batu di dalam sistem saluran darah(vascular system).
Pusingan peredaran darah jantung(cardiac cycle) bermula dibahagian kanan jantung. Salur darah vena (inferior dan superior vena cava) menyalurkan semula aliran darah yang rendah kandungan oksigen ke dalam ruang atrium kanan. Aliran darah tadi akan mengalir dari Atrium kanan ke dalam Ventrikel kanan di mana ia akan dipam ke dalam sistem saluran darah paru-paru melalui arteri pulmonari di mana ia akan menyerap oksigen dan melepaskan karbon dioksida. Darah yang tinggi kandungan oksigen ini akan memasuki jantung semula dimana ia akan mengalir ke dalam Atrium kiri melalui dua pasang vena pulmonary (4 jendela) setiap pasang dari paru-paru kanan dan kiri. Daripada atrium kiri darah tadi akan memasuki ventrikel kiri dan dipam keluar ke dalam salur darah besar aorta untuk penyaluran kesetiap bahagian badan manusia.Salah satu cabang pembuluh darah yang naik keatas membekalkan darah ke otak ialah salur darah Carotid Artery…yang boleh kita rasai denyutannya di leher kita.Maha suci Allah,maka benarlah firmannya“Kami lebih dekat kepadanya dari pada urat lehernya sendiri” (Surah al-Qaf –ayat 16).Bukankah Nodus SA atau SA Nodes itu letaknya di atrium kanan dan sangat berdekatan dengan Carotid Artery???Sama-samalah kita fikirkan….
Jantung juga mempunyai sistem aliran darahnya sendiri(cardiovascular system) yang berfungsi memberikan bekalan darah kepada otot-otot jantung. Ianya terdiri daripada arteri koronari kanan dan kiri. Arteri koronari kanan muncul daripada aorta dan mengelilingi bahagian kanan lekukan atrioventrikular dan menyalurkan darah kepada atrium kanan dan ventrikel kanan dan sebahagian pembahagi[septa] belakang. Arteri koronari kiri juga muncul daripada aorta. Bahagian permulaannya arteri kiri koronari utama dan menjadi arteri kiri bawah dan arteri sirkumfleks. Kesemuanya menyalurkan darah bahagian atrium kiri dan ventrikel kiri dan sebahagian pembahagi depan.
Jantung kita mempunyai sistem arus elektrik yang meransang jantung untuk menguncup atau berdenyut. Setiap denyutan bermula dengan ransangan elektrik yang berasal dari bahagian khas di dalam atrium kanan yang dipanggil nodus sinoatrial ataupun nodus SA(SA nodes).Nodus SA ini merupakan pencetus atau suis semulajadi jantung. Ia menerima maklumat daripada otak dan pusat-pusat kawalan lain di dalam sistem saraf yang mengarahkannya menyesuaikan kadar denyutan jantung yang optima bergantung kepada keperluan badan manusia. Setelah ransangan tadi dihasilkan oleh nodus SA ia akan mengalir kepada atrium-atrium yang menyebabkan mereka menguncup dan mengepam darah masuk ke dalam ventrikel di bawah. Ransangan elektrik ini kemudiannya mengalir ke satu kumpulan sel khusus yang dikenali sebagai nodus atrioventrikular atau nodus AV. Dari sini ransangan tadi akan mengalir laju keseluruh bahagian jantung melalui rangkaian His( Bundle of His), cabang kiri dan kanan,kepada Serabut Purkinje (Purkinje’sfibres) dan seterusnya ke sel-sel miokardium. [kesemuanya adalah sistem aliran rangsangan elektrik jantung]. Otot-otot jantung menguncup dan jantung berdenyut akibat daripada ransangan-ransangan ini.
Oleh itu boleh kita ringkaskan perjalanan impulse atau arus eletrik ini dari TIADA/RAHSIA(1) kepada Nodus SA(2) kepada Nodus AV(3) kepada Bundle oh His(4) kepada Purkinje’s fibres(5) kepada sel myocardium(6) dan menyebabkan keseluruhan jantung bergerak atau berdenyut(7) dan balik semula kepada TIADA/RAHSIA(1) dan seterusnya tanpa henti dan hanya akan berhenti bila ada arahan dari TIADA/RAHSIA.Ini saya simpulkan bahawa perjalan itu bermula dan berakhir melalui 7 tempat atau makam…Bukankan arus elektrik itu (impulse) umpama nafsu yang berjalan di 7 maqam dalam qalbu kita???...maha suci Allah…maka benarlah firman Allah dalam surah Al-Mukminun ayat 17 yang bermaksud : “ Sesungguhnya kami telah menciptakan keatas kamu tujuh jalan(nafsu)” dan firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 156 yang bermaksud : “ Daripada Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali”
Salah satu ciri jantung yang unik dan mempesonakan manusia ialah sifat “Automaticity” yang ada pada sel-sel jantung(myocardium) itu sendiri iaitu jantung boleh berdenyut secara teratur dan independent(dengan sendirinya/spontan) tanpa adanya intervensi atau hubungkait dengan sistem tubuh lain. Dengan kata lain apabila jantung sihat yang normal kita pisahkan dari tubuh, maka jantung tadi masih boleh berdenyut dengan sendirinya.Kenapa berlaku demikian? Karena jantung memiliki sel-sel pacemaker alami atau semulajadi ciptaan Allah yang secara automatis mengeluarkan impuls secara teratur. Jantung mempunyai beberapa tempat utama sel-sel pacemaker yaitu SA node, AV node, Bundle of His dan Furkinje fiber. Normal sel pacemaker jantung berada di SA node yang secara teratur mengeluarkan impuls 60-100x/minit, AV node 40-60x/minit, Furkinje fiber 20-40x/minit.Lihatlah betapa hebat dan ajaibnya mekanisma ciptaan Allah kepada jantung hambanya ,dalam proses pengecutan dan kontraktiliti otot sel miokardium seperti yang ditunjukkan dalam youtube dibawah ini.
Kembali kita membicarakan Hati dari pandangan tasawuf pula.Sebenarnya banyak pelajaran berguna yang boleh dipelajari daripada jantung ini. Jantung ini berakhlak mahmudah (akhlak yang terpuji). Jantung itu adalah amanah Allah.Jantung menjalankan amanah yang cukup berat kepada Allah. Jantung tidak pernah mencuri. Sel jantung yang namanya endocardium tidak akan mengambil darah yang beroksigen buat dirinya..Jika 100% darah yang diterima, 100% darah yang berkualiti juga akan dipam(disedekahkan) semula(cardiac output). Tidak pernah sesekali sel miokardium ini menggunakan darah itu buat keperluan dirinya.
Sekiranya salur darah coronary artey tersumbat, jantung tetap tidak akan mencuri.. Apa yang akan terjadi? Sel miokardium akan kekurangan oksigen dan seterusnya akan mengorbankan dirinya menjadi kematian sel atau disebut ischaemia.Jantung ada prinsip nya tersendiri iaitu lebih baik mati dalam kemulian daripada mati dalam kehinaan.Kematian sel jantung adalah kematian sel kekal seperti juga sel saraf (neuron).Hanya 2 jenis sel ini yang tidak akan bercambah(growth) dalam badan manusia.Mereka yang mengalami kematian dan hilang fungsi sel miokardium ini disebut Ischemic heart Disease(IHD).Mereka yang ada IHD berpotensi untuk diserang Coronary Artery Disease(CAD) atau Acute Coronary syndrome(ACM).
Jantung juga tidak mementingkan diri. Dia tahu organ-organ lain di dalam badan memerlukan bantuannya. Dia bekerja dalam jemaah, ada "team work". Jantung mengepam 5 Liter darah dalam masa satu minit. Jumlahnya hampir-hampir satu baldi air. Dia bekerja tanpa rehat,dia berdenyut sepanjang masa sehingga mendapat arahan dari tuannya Yang maha Kuasa iaitu Allah untuk berhenti.Terhentinya denyutan nya bermakna ajal tuan jasadnya sudah sampai.Sekiranya manusia tidur, otaknya akan berehat. Tapi jantungnya akan terus menjalankan tanggungjawabnya kepada Allah dikala kita tidur dan tanpa sedar.
Jantung menerima arahan dari SA node. Bahasa mudahnya, SA node ini seperti seorang ketua dan jantung akan mematuhi setiap arahan ketuanya. Dia tahu betapa penting dirinya. Dia perlu selalu berinteraksi, menjaga batas perhubungannya. Sekiranya dia berhenti berinteraksi, akan berlaku "sudden cardiac death". Jantung akan tiba-tiba mati.
Satu lagi perkara mengenai jantung - dia tidak akan berhenti bergerak. Apa yang akan terjadi kalau jantung berhenti bergerak? Darah akan bergumpal dan seterusnya menyebabkan strok dan serangan sakit jantung yang akhirnya menyebabkan kematian.
Jantung mengajar kita agar sentiasa belajar .Usaha pembelajaran adalah satu usaha berterusan. Sebagai seorang muslim, kita perlu belajar dari buaian sehingga ke liang lahad.
Jantung ini patuh pada penciptanya, Allah. Kalau dia patuh pada selain Allah,nescaya huru haralah degupan jantung dan pengedaran darah dalam badan kita.jantung akan berdenyut secara tak sekata iaitu arrhythmia.
Kadangkala kita tidak sedar betapa hebatnya kasih sayang Allah buat hambaNya. Derhaka macam mana pun kita pada Allah, jatung tetap berfungsi dengan baik. Semua itu nikmat. Nasihat saya buat diri saya dan anda semua… bertaubatlah sebelum jantung itu berhenti berfungsi kerana mematuhi perintah RabbNya.Diwaktu itu segala penyesalan tiada berguna lagi.
Akhirnya ,beruntunglah orang yang mengenali hatinya lalu mengenali dirinya sendiri dan akhirnya mengenali Tuhannya.Alangkah bahagianya jiwa bila Allah menjemput kita supaya memasuki syurganya setelah kita berjaya membersihkan jasad ,nafsu dan hati kita sebagaimana firman Allah dalam surah Al-fajr ayat 27-30 yang bermaksud ; “Wahai orang yang bernafsu Mutmainnah,pulanglah kepangkuan tuhanmu,dengan perasaan lapang dan kesenangan dan jadilah kamu hambaku dan kekallah dirimu di dalam syurgaKu”.Firman Allah lagi dalam surah Asys-Syams ayat 7-10 yang bermaksud : “Demi nafsu(manusia) dan kesempurnaan(kejadian) maka Allah mengilhamkan kepada nafsu itu jalan kefasikan dan ketakwaan.Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang menyucikan nafsunya".
Tajuk :Hidupkan Jiwa Tasawuf : Bhg 4 – Bicara Tasawuf.
Apabila kita berbicara tentang tasawuf,rasanya janggal jika tidak menyentuh berkaitan inti ajaran Al-Arabi iaitu ‘Wahdatul Wujud’ atau disebut sebagai ‘Martabat Tujuh’ di alam melayu atau Nusantara ini.Isu berkaitan Wahdatul Wujud ini adalah merupakan isu yang paling kontroversi sepanjang zaman dalam dunia tasawuf.Bukan bermaksud saya ingin menghidupkan kembali ajaran ini,Cuma ingin sekali saya memperkatakan berkaitan dengannya agar ilmu ini tidak dilupai begitu saja oleh setiap pencari kebenaran sejati dalam menempuh perjalanan kerohanian mereka.Walau bagaimanapun saya berharap agar kita selalu berbincang dengan guru yang mursyid,terutamanya dalam usaha kita mendalami ilmu ini supaya kita betul-betul faham akan makna dan maksud sebenar setiap salik dalam proses mengenal dirinya dan seterusnya mengenal akan Tuhannya.
Kitab yang paling masyhur dalam membicarakan Martabat Tujuh ini ialah kitabTuhfatul Mursalah yang disusun oleh Syeikh Muhammad bin Fadhlullah al-Burhanfuri al-hindi pada awal abad ke-17. Walau bagaimanapun para ulama berpendapat tidak membenarkan orang ramai belajar tasawuf termasuk ‘Martabat Tujuh’ tanpa kepada guru atau syeikh yang benar-benar mahir dalam bidang tersebut.Al-palimbani memuji kitab ini dan berpendapat kitab ini sangat baik , adalah untuk dipelajari oleh mereka yang sudah mencapai tahap muntahi sahaja.Orang awam tidak digalakkan untuk membaca atau membicarakannya kerana takut membawa kepada jalan kebinasaan.Seperti kata Syeikh Muhammad Zain al-Asyi dalam kitabnya Bidayah al-Hidayah:
“Adapun pada belajar Martabat Tujuh itu,tiadalah wajib menuntut ia.Lagi pula tiada ada ahlinya pada masa ini.Maka sayogianya ditinggalkan kerana tiada kita ketahui akan artinya.dan terkadang menyalahi akan syara’;maka jadi membawa kepada membinasakan”(ruj: Al-ma’rifah.jld 2-m/s 6)
Oleh kerana saya bukan ahli dalam bidang ini dan saya tidak layak untuk membicarakan ilmu tasawuf peringkat tinggi ini,eloklah rasanya saya siarkan saja beberapa artikel pilihan untuk kita kongsi bersama di blog ini.Semoga penulisnya mendapat ganjaran atas usahanya berupa pahala dari Allah swt dan semoga kita dapat menilai sendiri berkaitan ilmu ini dan semoga Allah membuka pintu hati kita untuk menerima setiap kebenaran dan kebaikan serta sentiasalah kita diredhai oleh-Nya.
Sebelum meneruskan artikel pilihan saya,eloklah juga kiranya kita membaca fatwa Al-palimbani kepada mereka yang menuduh ulama sufi atau tariqat yang muktabar terkeluar dari ajaran al-quran dan hadis adalah kafir:lihat sini- http://al-ashairah.blogspot.com/2008/10/sheikh-abdus-samad-al-falimbani.html
Artikel Pilihan 1 :
Sumber :http://wwwfafiruilallah.blogspot.com/ @ Blog Kanzun mahfiyyan
Disiarkan pada : 09 April 2009
Tajuk :WAHDATUL WUJUD.
Fahaman Wahdatul Wujud bukanlah satu ajaran baru yang sesat dan menyesatkan. Fahaman ini adalah ibarat tunjang dan teras batin dalam tasauf yang akarnya tertancap di dasar bumi ketujuh dan puncaknya menjulang menujah langit terus ke Sidratul Muntaha.
Inilah sesungguhnya, diulangi, demi sesungguhnya, inilah pati, intipati dan saripati agama yang menjadi pegangan para Nabi dan Rasul dan Auliya-Auliya Allah yang agung sejak zaman Nabi Adam as sehinggalah kiamat dunia.
Wahdatul Wujud adalah Quran Batin dan Islam Batin yang dapat dilihat dengan sejelas-jelasnya tersembunyi dalam ayat-ayat mutasyabihat tetapi demikianlah Maha Kuasanya Allah menyembunyikan sesuatu yang teramat terang. Sesungguhnya sesuatu itu apabila menjadi teramat terang, akan tersilau lalu tertutup pengihatan oleh kesilauan.
Fahaman ini adalah pegangan batin kepada hakikat al Haq dalam Sifat 20 - Nafsiah, Salbiah, Maani dan Manuwiyah – terdiri dari wujud, qidam, baqa, mukholal fatuhu taala lilhawadis, qiamuhu taala binafsih, wahdaniat, qudrat, iradat, ilmu, hayat, samak, basar, qalam, qanuhu taala qadirun, qanuhu taala maridun, qanuhu taala alimun, qanuhu taala hayyun, qanuhu taala samiun, qanuhu taala basirun dan qanuhu taala mutakallimun.
Inilah pegangan jiwa-jiwa yang kudus dan agung sepanjang zaman, wujud dalam semua zaman, tetapi menempuh proses evolusi yang berkembang sempurna dan mencapai puncaknya apabila terutusnya Muhammad Habibullah saw.
Sesungguhnya tentulah suatu hal yang amat luar biasa dan menjadi puncak ketakjuban pula, menjadi lemahlah seluruh akal yang lemah, apabila Dia yang menjadi sumber wujud bagi seluruh kewujudan, Dia lah Zat Yang Maha Nyata dan Zahir, yang Maha Nyata dan Maha ZahirNya tidak didahului oleh apa-apa atau siapa-siapa, tiba-tiba Dia pulalah juga yang Maha Ghaib dan Tersembunyi.
FirmanNya:
‘Dialah Yang Awal dan Yang Akhir, Yang zahir dan Yang Batin’
Seluruh ketakjuban ini tersembunyi dalam rahsia kalimah teragung
‘Laailaha Illallah Muhammadar Rasulullah’
yakni Hakikat Allah dan Hakikat Muhammad saw.
Inilah asas pertama teras akidah Ahlul Sunnah Waljamaah. Meyakini dengan tepat dan benar hakikat Allah dan Muhammad ertinya mengetahui dengan jelas dan tepat Hakikat Ketuhanan Allah Rabbul Alamin serta Hakikat Kerasulan Muhammad, hubungkait antara Nur Allah dan Nur Muhammad antara Zat dan Sifat dan keharmonian Jalalullah dan Jamalullah sehingga memanifestasikan hayat dan wujud bagi semesta alam.
Konsep inilah yang dapat ditemui dalam ajaran Taoisme dalam konsep The Three Pure Ones seperti berikut:
The Tao Producing The One (Tai Chi) The One Produce Two (Ying and Yang) The Two Produce The Three (The Three Pure Ones) The Three Produce All The Myriad Being (All of Existence)
(Tao melahirkan yang Satu Yang Satu melahirkan yang Dua Yang Dua melahirkan yang Tiga Yang Tiga melahirkan semua makhluk)
Menerusi interaksi dan hubungan harmoni antara Ying dengan Yang, The Three Pure Ones menjadi nyata. Inilah kombinasi dan kesan interaksi Zat dan Sifat, Jalalullah dan Jamalullah!
Dapat dilihat juga dalam konsep Brahman seperti berikut:
In the beginning there was Existence, One only, without a second (Pada permulaannya hanya ada satu Wujud, Maha Esa, tanpa ada yang kedua) - Upanishad, Chandogyia. Before creation, all that was the Self, the Self alone. Nothing else was. Then Self thought: Let me send forth the worlds (Sebelum kejadian, seluruh yang ada cuma dia.Dia sahaja. Tidak ada yang lainnya. Kemudian dia berfikir:Biar Aku adakan alam semesta) – Upanishad, Aitareya
He thought: Behold the worlds. Let me now send forth their guardians. Then he send forth their guardians. (Dia berfikir: Lihat alam semesta. Biar aku adakan para penjaganya. Kemudian Dia mencipta penjaganya) Upanishad. Aitarey
Let a man, freeid from the taint of passion, worship Brahman alone (Mestilah seorang manusia, terbebas dari godaan nafsu, menyembah Brahman sahaja) Upanishad, Chandogya.
Brahman is supreme. He is self – luminous. He is beyond all thought. Subtler than the subtlest is He, farthest than the farthest, nearer than the nearest. He resides in the lotus of hearth of every being ( Brahman itu maha agung. Dia cemerlang sepanjang zatnya. Dia berada di luar seluruh pemikiran.Dia maha ghaib dari yang paling ghaib, maha jauh dari yang paling jauh, maha dekat dari yang paling dekat. Dia bersemayam di dalam seroja hati setiap makhluk) - Upanishad, Mundaka.(Agama-AgamaBesar Di Dunia hal. 44-45)
Persoalan yang sangat menggugat pegangan umat Islam akhir zaman ialah mengenai konsep Muhammad. Siapakah Muhammad saw? Pegangan yang paling lemah mengenai Nabi Muhammad saw adalah apabila diputarbelitkan oleh Yahudi dan orientalis Barat melalui pengajian di universiti sekular Islam yang mengatakan bahawa Baginda saw adalah insan yang menjadi Nabi terakhir yang diutuskan di Mekah yang riwayat Baginda saw bermula cuma sejak 571M-632M. Inilah bencana! Melalui maklumat sedemikian, maka timbullah sangkaan dan kepercayaan kepada umat Islam bahawa sejarah Agama Islam cuma bermula pada abad ke 6M. Inilah juga bencana!
Nabi Muhammad saw sesungguhnya adalah Rahsia Agung. Baginda saw adalah tajalli kanzun mahfyyan – Cahaya Allah memanifestasi kepada Cahaya Muhammad, Rahsia Agung yang tersembunyi dalam Zat manifestasi kepada Sifat.. Ruh Muhammad saw adalah ruh yang termurni sebagai makhluk pertama dan asal seluruh makhluk sesuai dengan Sabda Rasullullah saw:
‘Aku dari Allah dan orang-orang mukmin dari aku’
Firman Allah swt dalam Hadis Qudsi:
‘Kalau Aku tidak menciptakanmu, maka Aku tidak akan menciptakan ‘Falak’ (alam semesta)’
‘Tatkala Adam as telah terbuat suatu kesalahan (menyebabkan Baginda as tersingkir dari syurga, Baginda as berdoa memohon ampun). Sekali Baginda as mengangkat kepalanya ke arah langit dan memohon. “Ya Allah! Aku memohon keampunan kepada Engkau dengan berkat syafaat Muhammad saw”.
Maka Tuhan mewahyukan kepadanya:”Siapakah Muhammad saw ini yang engkau memohon keampunan dengan berkatnya?”.
Baginda menjawab:”Ketika Engkau menjadikan aku, maka sekali aku memandang ke arah ArasyMu dan aku melihat ada tertulis padanya ‘Laa illa haillallah Muhammadar Rasulullah’, maka aku telah yakin bahawa tiada sesiapapun yang lebih tinggi daripadanya pada sisiMu yang namanya Engkau telah meletakkan bersama dengan namaMu”.
Lantas Tuhan mewahyukan kepadanya:”Wahai Adam! Sesungguhnya dia adalah Nabi Akhir Zaman dari keturunanmu. Sekiranya dia tiada maka sudah pasti Aku tidak menjadikan engkau”
Firman Allah swt.
‘Telah datang kepada kamu sekalian cahaya (Nabi Muhammad saw) dan Kitab yang menjelaskan’(Al Maidah:15)
‘Dan tidaklah Kami mengutus kamu melainkan untuk kasih sayang (rahmat) bagi semua alam’ (Al Anbiya:107)
‘Dan tiada Kami mengutus kamu melainkan kepada umat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui’ – (Saba: 28)
Dalam Hadis Qudsi: 'Aku adalah kanzun mahfiyyan' (perbendaharaan tersembunyi). Aku ingin ditemukan dan dikenali.Kuciptakan makhluk agar mereka mengenaliKu'.
Inilah di antara ayat-ayat yang disembunyikan oleh musuh-musuh Allah dan RasulNya kerana bukan faktor mutasyabihat tetapi di belakangnya mengandungi jarum halus dan licik bangsa Yahudi atas kedengkian mereka kerana Nabi Muhammad saw tidak diutuskan sebagai Bangsa Yahudi.
Selain dalam ajaran ‘agama yang kekal abadi’ - Sanatara Dharmaa - (Hindu) dan agama Pemberi Cahaya – Buddha, intipati Islam ini dapat juga dilihat dalam ajaran agama lain – Kristian, Yahudi, Zoroasterime, Kung Fu Tze (Confucius) dan Taoism (Lao Tze).
Bahkan bukan sahaja dalam ajaran yang bersifat keagamaan, intipati Islam ini dapat dilihat unsurnya dalam bicara falsafah hasil penemuan ilham tinggi dari ahli-ahli falsafah yang masyhur sebelum masihi dalam tamadun Greek-Yunani seperti Phytogoras, Socrates, Plato, Aristotle, mazhab Neo Platonisme dan sebagainya yang berat sangkaan kami mengatakan mereka terdiri dari kalangan para Nabi dan Rasul yang berjumlah seramai 313 orang.
Mazhab Neo Platonisme adalah aliran falsafah Greek yang terakhir dibangunkan oleh Plotinus (205-270m) pada abad ke 3 masihi di Iskandariah, Mesir. Ahli falsafah Greek ada yang berpendapat bahawa Plotinus pernah mendalami ilmu falsafah di India dan pokok ajarannya ialah mengenai ‘mengenali Dia di dalam diri sendiri’ dan ‘ Dia berada dalam seluruhnya’ dan ‘ seluruhnya adalah Dia’ yang banyak terdapat dalam Kitab Veda terutama kitab Upanishad, melahirkan faham bahawa Wujud Tunggal Pencipta meresapi seluruh alam. Dunia falsafah menyebutnya sebagai fahaman pantheism atau dalam Tasauf Islam terkenal dengan fahaman Wahdatul Wujud.
Fahaman ini pernah dianut oleh ahli-ahli sufi Islam sejak abad ke 10M, misalya Jalaluddin Al Rumi (1207-1273M), Mahyuddin Ibnu Arbi (1165-1240M) dan Bahauddin Al Naqsyabandi (1317-1389M). Bahkan sufi besar Al Hallaj (858-922M) pada saat-saat fanafillah sering terlatah mengucapkan ‘Ana’l Llah’ yang bererti ‘Akulah Allah’ dan ‘Ana Al Haqq’ yang bererti ‘Akulah Al Haqq’, lalu dijatuhi hukuman mati di Baghdad pada masa Khalifah Al Muqtadir (908-932M) – (Agama-Agama Besar Di Dunia hal.49).
Intipati Islam ini serta berbagai-bagai disiplin ilmu lainnya - ilmu sains dan cabang-cabangnya, matematik, astrologi dan astronomi, geografi, psikologi dan antropologi, perubatan, kejuruteraan, dan berbagai-bagai bidang ilmu teknologi kemahiran hidup lainnya, berkembang serentak atau beredar dari satu tamadun kepada satu tamadun yang lain silih berganti – Tamadun India, Tamadun China, Tamadun Yunani, Tamadun Mesir, Tamadun Irak dan lain-lain pada abad-abad Sebelum Masihi. Seluruh tamadun dunia zaman sebelum masihi ini pada akhirnya mencurah menimbun dan berkumpul serta berkembang dengan sangat indah sempurna dalam induknya - tamadun Islam; bermula pada zaman Rasulullah saw bersempena Baginda saw sebagai penutup para Nabi dan Rasul. Inilah erti Nabi Akhir Zaman iaitu Nabi terakhir yang telah menyempurnakan seluruh tamadun al Haq sejak zaman Nabi Adam as bagi mencapai kesempurnaan tertinggi dalam tamadun kemanusiaan menjelang kiamat.
Ajaran Islam yang sudah lengkap sempurna sempena zahirnya ‘bapa segala roh’ ini terus mencapai zaman gemilang dan terbilang pada zaman para Sahabat rh dan seterusnya pada zaman-zaman seterusnya sewaktu Islam menjadi pentadbir dunia di Zaman Empayar Umaiyyah, Abbasiyah, Fatimiyyah, Uthmaniah, Dinasti Moghul/Kesultanan Delhi, Kesultanan Acheh, Kerajaan Islam Demak, Kesultanan Islam Brunei, Kesultanan Sulu, Kerajaan Melayu Melaka dan sebagainya.
Inilah rahsia ayat:
‘Dialah Yang Awal dan Yang Akhir, Yang zahir dan Yang Batin’
Serta firman Allah swt: `Pada hari ini Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmatKu, dan telah Ku ridai Islam itu jadi agama bagimu’ (Al Maaidah:3)
Kedurjanaan bangsa Yahudi memporak-perandakan umat Islam menjadi begitu berbisa apabila para ilmuan Islam yang mukhlisin, para ulama warasatul ambiya dan para pendukung ilmu tasauf yang hidup penuh muhabbah kepada al Khaliq, pada zaman-zaman terdahulu telah dituduh dipengaruhi oleh ajaran Tasauf yang sesat dari pemikiran ahli-ahli falsafah Greek Yunani terutamanya aliran NeoPaltonisme, Hindu dan Buddha, lantas dilemparkan sangkaan Tasauf Islam diserapi pengaruh Hindu dan Buddha selain pengaruh NeoPlatonisme. Inilah bencana ratusan tahun kepada ummah, ilmu dan tamadun Islam!
Nabi Muhammad saw memang tidak menyampaikan konsep Wahdatul Wujud secara meluas – kecuali kepada sahabat-sahabat khusus dan ahli Suffah - kerana membimbangi berulangnya malapetaka yang telah menimpa umat-umat Nabi terdahulu yang akibat ‘keterbatasan ilmu dan akal’ di kalangan umat, lalu membuat tafsiran-tafsiran dan takwilan yang menyesatkan sehingga meletakkan unsur ketuhanan dan kedewaan kepada manusia-manusia luar biasa seperti itu lantas dipatungkan, disembah dan dipuja. Ini sangat jelas dalam ajaran Kristian, Buddha dan Hindu.
Umat Nabi Muhammad saw secara majoritinya dibiarkan dalam keadaan ’ orang awam’ yang berpegang seteguhnya kepada Syariat Rasulullah saw dan Islam Zahir sambil membenarkan, mengikuti, mencontohi, mentaati dan mencintai personaliti yang berilmu yang terbukti memiliki ilmu yang tidak terjangkau oleh mereka.
Inilah maksud sabda Penghulu Junjungan saw:
’Para Sahabatku umpama bintang di langit. Mengikuti mana-mana satupun kamu akan mendapat petunjuk’.
Menempuh jalan Tasauf sesungguhnya menempuh medan perjuangan yang teramat berat. Inilah yang ditempuhi oleh para sufi. Dalam proses mencari dan ‘mengenal diri dan ketuhanan’ seseorang ‘salik’ yang menjalani berbagai-bagai jalan tasauf dan zikir tarekat, akan melakukan zikir secara khilwah, bertapa, suluk, meditasi dan berbagai-bagai istilah lagi; akan tersingkap kepada jalan berliku dan simpang-siur perjalanan, dan tanpa bimbingan rohani sempurna terdedahlah kepada berbagai-bagai takwilan ketuhanan.
Mencari pembimbing ruhani sempurna atau guru mursyid – insan warasatul ambiya yang mewarisi ilmu zahir (Fekah –Syariat Zahir) dan ilmu batin (Tasauf – Syariat Batin) - adalah wajib supaya terselamat seseorang salik dari duri dan pancaroba penghuni alam ghaib dan rohani. Imam Al Syafie ra mengatakan,’ Jadilah fakih dan sufi; jangan hanya menjadi salah satunya. Sungguh, demi kebenaran Allah, aku menasihatimu dengan ikhlas’. Dan Imam Malik ra mengingatkan, `Orang yang bertasauf tanpa mempelajari fekah telah merusak imannya, sedangkan orang yang memahami fekah tanpa menjalankan tasauf telah merusak dirinya. Hanya orang-orang yang memadukan keduanyalah yang menemukan kebenaran’. (Tasauf dan Ihsan hal: 178)
Dalam proses penyucian jiwa untuk menghampiriNya teramatlah sukar membezakan antara ilham kemalaikatan dengan bisikan iblis, syaitan, jin dan berbagai-bagai makhluk halus. Hanya salik yang benar-benar ikhlas akan selamat sampai ke destinasi.Inilah juga masalah dalam alam tasauf akhir zaman terkhususnya di Kepulauan Alam Melayu – sukarnya untuk mendapat pembimbing ruhani sempurna setelah sekian lama Islam disekularkan di bawah sistem dan ideologi Barat.
Oleh sebab konsep WahdatulWujud adalah suatu persoalan metafizika yang paling halus dan terdalam yang “seakan-akan tertutup” dan disebarkan pula secara tradisinya ‘tertutup dan secara rahsia’, sebab itulah pengamal-pengamal tasauf sendiri bertelingkah dan pecah kepada dua golongan sejak sekian abad. Mereka yang benar-benar mukhlisin di sisi Allah Azawajalla dan mencapai Al Haq, mereka yang sedikit jumlahnya adalah golongan muqarrabin dan rohaniah dari kalangan umat Nabi Muhammad saw yang melintasi Siratul Mustaqim tanpa hisab adalah satu bilangan yang kecil sahaja iaitu seramai 70,000 berbanding dengan umat-umat Nabi dahulu kala yang besar jumlahnya.
Al Quran menerangkan mengenai hal ini:
‘Dan orang-orang yang paling dahulu beriman, merekalah yang paling dahulu (masuk syurga). Mereka itulah orang-orang yang didekatkan (kepada Allah).Berada dalam kenikmatan. Segolongan besar dari orang-orang yang terdahulu dan segolongan kecil dari orang-orang yang kemudian (Al Waqiah:56:10-14)
Akan tetapi Nabi Muhammad saw tetap berbangga dengan ramainya umat Baginda saw yang masuk syurga; dan ramai pula masuk dengan syafaat Baginda saw sendiri dan syafaat golongan muqarrabin sehingga umat Baginda saw yang masuk syurga menyamai bilangan semua umat 313 Nabi dan Rasul-Rasul terdahulu.
Al Quran menerangkan: ‘(Kami ciptakan mereka – bidadari) untuk golongan kanan (iaitu) segolongan besar dari orang-orang terdahulu dan segolongan besar pula dari orang-orang kemudian’ (Al Waqiah:56:38-40)
Golongan muqarrabin dalam kalangan umat Nabi Muhammad saw jumlahnya sekadar 70,000 berbanding berbilion manusia Islam sejak zaman Rasulullah saw sehinggalah ke hari kiamat. Selain sejumlah para Sahabat dan para Auliya Allah yang agung dari kalangan bangsa Arab dan Timur Tengah, terdapat sedikit di kalangan bangsa-bangsa yang lain di serata dunia Islam. Di Alam Melayu yang titisannya kebanyakan dari kalangan Ahlul Bait cuma sekadar segelintir, berbanding ratusan juta umat Melayu sejak kedatangan Islam pada sekitar abad ke 13 lalu.
Golongan muqarrabin adalah golongan paling istimewa. Mereka menempati syurga tingkat empat hingga ke tujuh.
Sabda Nabi saw mengenai nikmat golongan ini: ‘Allah memiliki syurga yang tanpa bidadari dan istana serta tanpa madu dan susu.Kenikmatan di syurga itu hanya satu, iaitu melihat Zat Allah’
Al Quran pula menerangkan: ‘Wajah-wajah (golongan muqarrabin) pada hari itu berseri-seri’ (Al Qiyamah:22)
Juga dijelaskan dalam Hadis Nabi saw: ‘Kamu sekalian akan melihat Tuhanmu seperti kamu melihat sinar bulan purnama’
Wahdatul Wujud sesungguhnya bukanlah masaalah akidah. Wahdatul Wujud pada hakikatnya tidak ada apa-apa perbalahan dengan aqidah Ahlul Sunnah Waljamaah. Aqidah adalah soal keyakinan iaitu setelah melepasi tingkat kepercayaan. Keyakinan ada lapisan-lapisan atau tingkat-tingkat iman tersendiri, bermula dari keyakinan berasaskan ilmu – ilmu yaqin.
Bila keyakinan hati semakin meningkat, hati akan mencapai tingkat ainul yaqin dan inilah iman yang baik dan berguna. Benih Wahdatul Wujud bermula dari ainul yaqin, lantas mencapai keyakinan yang benar – haqqul yakin.
Keyakinan yang benar ialah melihat yang benar itu adalah benar iaitu benar yang hakiki sebagaimana adanya atau sebagaimana sepatutnya – kebenaran wujud Al Haq; lantas seterusnya mencapai keyakinan yang sempurna – kamal yaqin.
Inilah martabat kamil muqamil. Wahdatul Wujud sesungguhnya bukan konsep akidah, tetapi adalah berkaitan dengan pegangan batin dan jiwa – sesuatu yang diluar batas akal dan kognitif tetapi adalah persoalan metakognitif dan metafizika – rahsia terindah dalam batin yang paling dalam!
Firman Allah swt.
‘Dan tidaklah Kami ciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya, melainkan dengan benar’ (Al Hijr:15:85)
Sabda Nabi Muhammad saw: ‘Barangsiapa melihat daku sesunguhnya ia melihat Haq Taala”
Allah Taala sesungguhnya adalah Zat Al Haq.Al Haq adalah salah satu dari Nama-Nama Allah Yang Maha Agung, lawannya batil. Sesuatu yang batil ertinya sesuatu yang tiada, lenyap, luput dan binasa.
Firman Allah swt: ‘Dan katakanlah:”Yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap“. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap’ (Al Isra:17:81)
Firman Allah swt seterusnya: ‘Tiap-tiap sesuatu pasti binasa kecuali Allah’ (Al Qasas:28:88)
Zat Al Haq adalah wujud abadi kerana: ‘Dialah Yang Awal dan Yang Akhir, Yang Zahir dan Yang Batin”(Al Hadid:57:3)
Hadis Rasulullah saw: ‘Janganlah kamu memaki masa! Sesungguhnya Allah itu Yang Mencipta masa’ dan dihuraikan dalam makna intrinsik ‘Aku lah masa itu’.
‘Sekuntum syair yang paling benar yang diucapkan oleh seseorang penyair ialah ucapan
Lubaid:”Ketahuilah., setiap sesuatu selain Allah itu batil”
Di kalangan ariffinbillah mengatakan.
‘Allah sekarang adalah seperti Allah dahulu jua’
Inilah yang dimaknakan oleh Imam Al Ghazali : ‘Maka barangsiapa mengenal kebenaran nescaya melihat yang demikian pada tiap-tiap sesuatu.Kerana tiap-tiap sesuatu itu adalah daripadaNya, kepadaNya, dengan Dia dan untuk Dia. Maka Dialah semua, menurut yang sebenarnya. Dan barangsiapa tidak melihat yang demikian pada tiap-tiap sesuatu yang dilihatnya, maka seolah-olah dia tidak mengenalNya. Dan barangsiapa mengenalNya, nescaya mengenal bahawa tiap-tiap sesuatu selain Allah itu batil dan tiap-tiap sesuatu itu binasa selain wajahNya.
Bukan sesuatu itu akan batil dalam keadaan yang kedua nanti (kiamat), tetapi sekarang juga batil, kalau dipandang kepada dirinya dari segi diri itu sendiri.Kecuali dipandang adanya (wujudnya) sesuatu itu, dari segi adanya dengan sebab Allah Azzwajalla dan dengan QudrahNya’ (Jld 2 hal 130)
Demikian penjelasannya lagi:
‘Orang yang tidak melihat Allah Taala pada tiap-tiap sesuatu, tentu melihat lainNya. Dan tiap apa saja yang dipandang oleh hamba kepadanya selain Allah Taala, nescaya pandangannya itu mengandung sesuatu syirik yang tersembunyi kerana tauhid yang bersih adalah tidak melihat pada tiap-tiap sesuatu selain Allah Azzawajalla’ (Ihya 2 hal.144).
Inilah ‘nirvana’ dalam pengalaman Gautama Buddha iaitu kemuncak tertinggi yang dicapainya dalam meditasinya yang ertnya mencapai ‘arahat’ yang bererti mencapai ‘tiada’ kerana yang mutlak ada ialah Zat Yang Maha Esa. Agama Sanatara-dharma memanggilnya mencapai ‘moksya’.Taoisme menyebutnya Wu wei yang bererti "without action" or "effortless doing" yang ertinya ialah muroqabah dalam khilwah atau bertapa yang matlamatnya ialah kesepaduan/keserasian (alignment) dengan Tao, bagi menyingkap yang halus dan kuasa tersembunyi dalam segala perkara (hakikat).
Sesungguhnya Wahdatul Wujud mempunyai takwilan dan huraian-huraian batin mengenai ayat-ayat di atas dan huraian Imam Al Ghazali ra juga adalah dalam makna yang intrinsik lagi halus mendalam, keranaWahdatul Wujd bukan lagi soal kepercayaan atau keyakinan tetapi menyentuh soal-soal dan persoalan diluar batas ilmu dan akal, bahkan tidak dapat difahami oleh hati yang mati iaitu soal musyahadah dan mukasyafah, soal rasa dan merasai bahkan mengalami; sebagaimana seseorang cuba menghuraikan secara ilmiah bagaimana dan apakah hakikat pada perasaan dan rasa: ‘sakit’, ‘pahit’ atau ‘manis’ yang samasekali di luar kemampuan bicara dan bahasa.
Sehingga orang-orang yang pendek fikiran menyangka dalam bentuk-bentuk zahiriah yang diketahui dengan pancaindera lalu mereka menyerupakan dengan makhluk (at tasybih), bersatu dengan Tuhan (al ittihad), Tuhan bertempat padanya (al hulul), mentubuhkan dan membentukkan (menyerupakan Allah dengan manusia dalam bentuk tubuh dan bentuknya), mengatakan ‘dia itu Tuhan’ kalimat yang menyesatkan orang-orang Nasrani mengenai Nabi Isa as; sebagaimana sesatnya Yahudisme, Zoroastarianisme, Hinduisme, Buddhisme, Taoisme, Confucianisme dan berbagai-bagai kabilah tasauf dan sufisme di tanah air.
Wahdatul Wujud sesungguhya adalah kesempurnaan dalam pencapaian rasa dalam makna ayat-ayat berikut:
`Adapun orang-orang beriman sangat cinta kepada Allah’ (Al Baqarah:2:165)
‘Katakanlah: Kalau bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum-keluargamu, kekayaan yang kamu perolehi, perniagaan yang kamu khuatiri menanggung rugi dan tempat tinggal yang kamu sukai; kalau semua itu kamu cintai lebih dari Allah dan RasulNya dan dari berjuang di jalan Allah, tunggulah sampai Allah mendatangkan perintahNya. Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang fasik’ (At Taubah:24)
FirmanNya lagi.
`Allah mencintai mereka dan merekapun mencintaiNya’ (Al Maidah:54)
Apabila ayat ini dibacakan di hadapan Syaikh Abu Said Al Maihani, lalu beliau mengatakan:”Demi umurku! IA mencintai mereka dan biarkanlah IA mencintai mereka. Maka dengan sebenarnya IA mencintai mereka kerana sesungguhnya IA mencintai diriNYA”
Abu Said mengisyaratkan dengan yang demikian bahawa IA yang mencintai dan DIA yang dicintai. Inilah tingkat tinggi yang tidak anda fahami selain dengan contoh menurut batas akal engkau - (Ihya Ulumiddn. Jld.6 hal:345)
Hadis-Hadis Rasulullah saw:
‘Tiada beriman seorang kamu sehingga adanya Allah dan RasulNya itu lebih dicintai dari yang lain’
Hadis saw seterusnya.
‘Tiada beriman seorang hamba sebelum adalah aku lebih dicintai dari isterinya, hartanya dan manusia semuanya’
Pada satu riwayat ‘Dan dari dirinya sendiri’
‘Abu Razin Al ‘Uqaili bertanya:”Ya Rasulullah! Apakah iman itu?”
Rasulullah saw menjawab:” Bahawa adalah Allah dan RasulNya lebih kamu cintai dari yang lain”
Wahdatul Wujud adalah martabat cinta. Cinta Allah dan Rasulnya. Makam tertinggi dan terakhir dalam perjalanan dan pengembaraan jiwa rohani seseorang salik dalam mencari dan mengenal Tuhannya.Inilah yang dilalui oleh para sufi dan pengamal tasauf zaman berzaman dari Nabi Adam as sampai Kiamat. Mereka ‘menjalani, mengalami, merasai dan menikmati agama’; bukan sekadar ‘mengetahui’.Mereka menjalani agama bukan dengan ilmu dan akal semata-mata tetapi dengan seluruh jiwa raga dan rasa. Mereka menghayati dan mengalami rasa keagamaan pada makam-makam tertentu dalam agama. Cinta dan lain-lain makam dalam ilmu tasauf – sabar, redha, zuhud, syukur, tawakal, jinak hati, rindu dan lain-lain - sesungguhnya bukan soal bicara. Wahdatul Wujud adalah soal rasa pada kewujudan Al Haq yang lautannya dalam tidak terhingga.
Wahdatul Wujud membawa jiwa kepada cinta, asyek dan rindu – mazhab asyik, cinta dan rindu antara dua kekasih lantas seluruh jiwanya asyek dengan ibadah demi cinta dan rindu sehingga mencapai makam fana. Di sinilah timbullnya istilah fanafillah yang mencetuskan kegemparan-kegemparan besar pada zaman-zaman yang lalu apabila terkeluar bahasa-bahasa cinta dari ‘kekasih kepada kekasih’, sehingga keluarlah fatwa-fatwa syariat yang memadamkan bara dan api Islam sejak sekian lama.
Untuk memahami bahasa cinta dalam kehidupan orang-orang beriman pada darjat kemuliaan, bacalah kesah-kesah hidup mereka pada zaman silam yang hidup dan matinya demi cinta hanya untuk Allah dan RasulNya semata-mata!
‘Tatkala Allah Taala menyuruh NabiNya saw mencari kedekatan kepada Allah, lalu dikatakan kepadanya:
Dan sujudlah dan dekatkan diri (kepada Allah)- Al Alaq:19
Maka beliau membaca dalam sujudnya: Aku berlindung dengan kemaafanMu daripada siksaanMu. Aku berlindung dengan kerelaanMu daripada kemarahanMu. Dan aku berlindung denganMu daripadaMu. Tiada dapat aku hinggakan pujian kepadaMu sebagaimana Kamu memujikan diriMu sendiri.
Maka sabda Nabi saw. Aku berlindung dengan kemaafanMu daripada siksaanMu, adalah perkataan dari kesaksian perbuatan Allah saja. Seakan-akan dia tidak melihat selain Allah dan AfaalNya (perbuatanNya). Maka ia meminta perindungan dengan perbuatanNya daripada perbuatanNya.
Kemudian ia mendekatkan diri lalu ia fana (lenyap) daripada kesaksian sifat-sifat. Maka ia membaca Aku berlindung dengan kerelaanMu daripada kemarahanMu. Dan itu adalah dua sifat (rela dan marah)
Kemudian ia melihat yang demikian suatu kekurangan pada tauhid. Lalu ia mendekatkan diri dan mendaki dari ‘maqam musyahadah sifat-sifat’ ke ‘musyahadah zat’. Lalu beliau membaca Dan aku berlindung denganMu daripadaMu. Dan ini adalah lari daripadaNya kepadaNya dengan tidak melihat perbuatanNya. Akan tetapi ia melihat dirinya lari daripadaNya kepadaNya. Meminta pelindungan dan memujikanNya.Maka ia fana daripada kesaksian dirinya kerana ia melihat yang demikian itu suatu kekurangan. Dan ia mendekatkan diri lalu membaca Tiada dapat aku hinggakan pujian kepadaMu sebagaimana Kamu memujikan diriMu sendiri. Maka bacaannya Nabi saw Tiada dapat aku menghinggakan itu adalah pengkhabaran dari kefanaan dirinya dan keluar daripada kesaksian diri itu.
Dan bacaannya saw Sebagaimana Kamu memujikan diriMu sendiri itu, adalah penjelasan, bahawa IA yang memuji dan dipujikan. Dan semuanya tidak dapat tidak daripadaNya dan kepadaNya akan kembali. Dan bahawa tiap-tiap sesuatu itu binasa selain WajahNya, maka adalah permulaan maqamnya itu penghabisan maqam orang-orang bertauhid (al muwahhidin) iaitu bahawa ia tidak melihat selain Allah Taala dan afaalNya. Lalu ia meminta perlindungan dengan perbuatan dari perbuatan.
Maka perhatikanlah kepada yang berkesudahan penghabisannya apabila berkesudahan kepada YANG MAHA ESA, YANG MAHA BENAR sehingga terangkat dari pandangannya dan kesaksiannya, selain Zat Yang Maha Benar’ – Ihya Uliumiddin Jld.6 hal 348-349.
Perhatikan pula doa Rasulullah saw diriwayatkan oleh Saidina Ali bin Abi Thalib ra:
‘Sesungguhnya Aku itu Allah. Tuhan sarwa sekalian alam. Sesungguhnya Aku itu Allah, tiada Tuhan yang disembah selain Aku, yang hidup yang berdiri sendiri. Sesungguhnya Aku itu Allah, tiada yang disembah selain Aku, Yang Maha Tinggi, Yang Maha Agung. Sesungguhnya Aku itu Allah, tiada yang disembah selain Aku. Aku tidak beranak dan tiada diperanakkan. Sesungguhnya Aku itu Allah, tiada yang disembah selain Aku, Yang Maha Pemaaf Lagi Maha Pengampun. Sesungguhnya Aku itu Allah, tiada yang disembah selain Aku, yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dan kepada Aku ia kembali, Yang Mulia, Yang Bijaksana,Yang Pengasih, Yang Penyayang, Yang Memiliki Hari Akhirat, Yang Menjadikan Kebajikan dan Kejahatan, Yang Menjadikan Syurga dan neraka, Yang Esa, Yang….dan seterusnya….’
Nabi saw menyebutkan sebelum tiap-tiap kalimat, akan kata-kata:’ Sesungguhnya Aku itu Allah, tiada yang disembah selain Aku (I’nnii ana’llaah, laa ilaaha I’llaa ana)’ sebagaimana yang telah kami bentangkan di atas. Maka orang yang mendoa dengan nama-nama tersebut, maka hendaklah mengucapkaan: ‘Sesungguhnya Engkau itu Allah, tiada Tuhan yang disembah selain Engkau’
Demikianlah maqam fana dan baqa Nabi saw. Demikianlah juga persis makam fana para Nabi dan Rasul serta auliya-auliya Allah yang agung, sekadar memperteguhkan hujahan hakikat, bahawa Wahdatul Wujud adalah sunnah Rasulullah saw – sunnah yang khusus bagi orang-orang muntahi atau yang berada pada tahap penghabisan dalam perjalanan rohani. Antara wasiat mereka - misalnya Syeikh Daud al Fatani kepada orang-orang Islam yang tidak memahami perjalanan rohani: “bahawasanya adalah bagi segala kaum penghulu ahli al Saufi beberapa istilah mereka itu yang tiada mengetahui akan dia melainkan ahlinya. Maka tiada harus yang bukan ahlinya itu mentalaahkan segala kitab mereka itu kerana yang tiada mengetahui akan kehendaknya diambilnya atas zahir perkataan mereka itu maka membawa kepada kufur; sebab itulah diharamkan mentalaah segala kitab mereka itu, yang bukan ahlinya, seperti kata Syeikh Muhyi’l-Din ibn al-‘Arabi ra, nanhu qaumun tahrim mutaala’ati kutubina…ertinya bahawasanya adalah kami suatu kaum yang haram mentalaahkan kitab kami yakni apabila tiada tahu akan segala istilah mereka itu – (Martabat Tujuh oleh Muhammad Uthman El Muhammady)
Dzun-Nun al Misri iaitu salah seorang pemuka utama dari golongan ini mengatakan:’Mahasuci Allah yang menjadikan jiwa itu sebagai tentera yang berbaris. Maka jiwa orang-orang bermakrifah itu agung dan kudus.Maka kerana itulah mereka itu rindu kepada Allah Taala. Jiwa orang-orang mukmin itu kerohanian. Maka kerana itulah mereka ingin kepada syurga. Dan jiwa orang-orang yang lalai itu penuh kenafsuan.Maka kerana itulah mereka cenderung kepada dunia’.
Maka tanyalah diri dengan setulus hati, di manakah diri anda dan di manakah cinta anda! Wahdatul Wujud sesungguhnya Tauhid KeEsaan Wujud – Tauhid Kecintaan Wujud Hakiki kerana Zat Kanzun Mahfiyan Mencintai DiriNya Sendiri lalu mencipta alam semesta untuk dikenali dan dicintai, demi cintaNya - batil atau menafikan wujud selainNya. Inilah hakikat wujud - wujud hakiki bukan khayali!
Ciri terakhir dari cinta yang hakiki kepada Allah itu,menurut keterangan sesetengah ulama tasawuf itu ialah Redha atas segala ketentuanNya.Seperti Al-Ghazali,Al-Palembani juga menganggap redha itu makam tertinggi yang merupakan buah dari Mahabbah(cinta).(ibid.,hlm 40;bandingkan Ihya',jilid IV,hlm 333).
menurut Al-Palembani,erti Redha itu"tidak menyangkal akan segala perbuatan yang diperlakukan Allah atasnya dan(atas) orang lain yang lain daripadanya kerana sekalian perbuatan yang wuqu'(terjadi) di dunia ini,perbuatan-Nya dan wajib ia redha akan perbuatan-Nya.(ibid ,hlm 138)
Rabiatul Adawiah pernah ditanya.."Bilakah seorang hamba Allah redha kepadaNya?".. jawabnya.."apabila kegembiraannya menerima musibah sama dengan kegembiraannya menerima nikmat" ..namun ini bukan bermaksud seseorang harus redha pula menerima kemaksiatan dan kekafiran.
Oleh itu menurut Al-Palimbani...redha yang lahir dari Cinta kepada Allah itu adalah pintu yang amat besar,yang merupakan jalan masuk kepada makrifat Allah Taala dan adalah maqam yang terlebih tinggi,iaitu maqam orang yang muqarrabin,yakni orang yang hampir kepada Allah taala(lihat sair,jilid IV,hlm 139)… ; Sangtawal Sakranta… ]
Tajuk:Hidup Jiwa tasawuf : Bhg 3 - Mengenal Allah.
Sumber : Disunting dari buku-buku:
1. “Mengenal Allah”- Satu Kajian Tesis Phd mengenai ajaran Tasawuf Sheikh Abd.Samad Al-Palimbani Oleh Dr.M.Chatib Quzwani. 2. “Berpetualang ke Aceh-Sirih Pulang Ke Gagang”,bab 10 – Angkara Nuruddin? Mula kejatuhan Aceh tulisan Radzi Sapiee. 3. “Al-Makrifah”- Pelbagai Aspek Tasawuf Di Nusantara-Jilid I- tulisan Allayarham Hj Wan Mohd Saghir Abdullah.
Dalam artikel kali ini, saya ingin mengajak anda semua melihat sepintas lalu kaedah mengenal Allah mengikut pandangan tasawuf dari mata-hati para ulama tasawuf serta cabaran yang terpaksa dihadapi oleh pejuang ilmu tasawuf merentasi zaman yang selalu dipandang sepi dan negatif usaha mereka,malah ada yang menuduh mereka ini sebagai mulhid,sesat dan menyesatkan.Perbezaan pendapat antara ulama feqah dan ulama sufi ini mencapai kemuncaknya bila ulama feqah yang bukan ahli sufi cuba membahaskan ayat-ayat berunsur “syathahiyat” seperti “Ana al-Haq” menggunakan aqal mereka tanpa melalui sendiri pengalaman perjalanan kesufian yang penuh misteri dan rahsia itu.
Para Ulama Sufi tidak dapat dinafikan lagi memainkan peranan yang besar dalam penyebaran dakwah islam ke Nusantara.Sejarah islam mencatatkan bahawa seorang ulama besar sufi iaitu Sheikh ‘Abdullah ‘Arif pernah menyebarkan dakwahnya ke Aceh pada abad ke-12 M lagi .Beliau yang merupakan seorang Wali Allah adalah murid kepada Sultan Para Wali yang terkenal iaitu Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani.Sebuah kitab tasawuf yang masyhur karangan Sheikh ‘Abdullah ‘Arif iaitu Bahrul Lahut itu mencerminkan aliran sufi pegangannya.Didalamnya ada membicarakan kejadian Nur Muhammad secara terperinci dan mendalam sekali.Tulis Hj W. Mohd Saghir dalam bukunya Al-Makrifah jld- I ,m/s 7 … “uraian kitab Bahrul Lahut itu sangat jauh dan dalam pengambilannya tak ubahnya seperti berbicara dengan rumuz yang bersumber dari Abu Manshur al-Hallaj dan Syeikh Muhyiddin Ibnu ‘Arabi layaknya”.
Pada Abad ke-18,kebanyakan para ulama nusantara telah kembali ke tasawuf Sunni Al-Ghazali.Sebagai contohnya Sheikh Abdus-Samad Al-Palimbani telah menterjemahkan dua buah kitab Al-Ghazali iaitu Lubab Ihya ‘Ulumiddin kepada Sairus-Salikin dan Bidayatul Hidayah kepada Hidayatul-Hidayah.Dalam karyanya yang terbesar iaitu Sairus Salikin,beliau ada menyebutkan nama-nama Syamsuddin As-Sumatrani dan Ibnul ‘Arabi dan menganjurkan kitab kitab mereka itu hanyalah boleh dibaca oleh penuntut-penuntut tasawuf yang sudah mencapai peringkat muntahi sahaja.Beliau juga menyebutkan ajaran Al-Arabi dengan menggunakan nama Al-Ghazali menunjukkan beliau telah merumuskan atau memahami inti kepada ajaran Al-Arabi itu lalu membuat penyesuaian mengikut Tasawuf Sunni Al-Ghazali pula.
Ibnul ‘Arabi (561H/1165M – 638H/1240M) adalah orang pertama yang memperkenalkan ajaran Wahdatul-Wujud(Keesaan Wujud) yang memandang alam semesta ini adalah sebagai penampakan lahir (Tajalli) dari nama-nama dan sifat-sifat Tuhan yang sebenarnya ialah esensi-Nya yang mutlak itu hanya satu saja,walaupun penampakannanya berbeza-beza.Dari ajaran Al-ghazali ,yang selanjutnya sangat terkenal dalam tasawuf seperti Hakikat Muhammad (al-haqiqat al-muhammadiah).Hakikat Insan(al-haqiqat al-insaniyyah),Prototaip-prototaip atau kenyataan mantap ( al-a’yaan as sabithah),yang diertikan sebagai stadium-stadium antara dalam proses penampakkan yang Qadim dan abadi itu.Istilah yang lebih penting ialah Insan kamil (al-insannul-kamil)-yang dianggap sebagai penampakkan lahir yang paling sempurna dari nama-nama dan sifat-sifat Tuhan itu.( mengenal Allah - pengantar m/s XV )
Ajaran Wahdatul Wujud ini sering dianggapPantheisme,tetapi pantheisme Al-arabi ialah yang bertolak dari asumi bahawa Tuhan itu adalah suatu wujud mutlak,tiada terbatas,Qadim dan abadi,yang merupakan sumber dan dasar dari semua yang ada, yang pernah ada dan yang akan ada,lalu secara beransur-ansur mengambil bentuk akosisme ,yang menganggap alam fenomena ini hanya bayang-bayang dari realiti yang berada disebaliknya.(ibid.,hlm.54)
Namun bagi Al-Ghazali(450H/1058M – 505H/1111M) pula,pandangan “bahawa yang ada hanya Allah” itu adalah pandangan batin atau musyahadah orang-orang arif tingkat tertinggi(as-siddiqin)yang telah mencapai suatu peringkat kesedaran yang disebut “fana dalam tauhid”,yakni terpusatnya seluruh kesedaran batin seseorang kepada Allah,sehingga ia “tidak menyedari lagi wujud dirinya dan wujud semua makhluk”(Wahdatusy-syuhud).Pandangan batin ini menurut Al-ghazali adalah sekilas saja,seperti kilat dan jarang bertahan lama,dalam kata lain pernyataan “bahawa yang ada hanya Allah” itu bagi Al-Ghazali adalah perasaan orang arif yang dialami dalam masa masa tertentu sahaja,bukan suatu ungkapan atau gagasan yang berterusan mengenai hubungan-Nya dengan alam semesta ini seperti yang diperkatakan Al-Arabi itu.Malah bagi Al-Ghazali apa yang disebut oleh Al-Arabi sebagai prototaip-prototaip Mantap atau al-a’yan as-sabitah itu tidak ada tempatnya.
Ajaran Al-Arabi berkembang dalam kurun ke-17 di Acheh Melalui Hamzah Fansuri dan anak murid nya Syamsudin As-Sumatrani.fahaman ini pernah dikecam Oleh Sheikh Nuruddin Ar-Raniri yang menganggap penganut ajaran ini sebagai Wujudiyyah yang mulhid (Wahdatul Wujud yang sesat).Dalam masa yang sama Sheikh Nuruddin memperkenalkan pula suatu ajaran yang disebutnya Wujudiyyah yang Muwahhid.
Dalam artikel ini saya tidak mahu menyebut tentang ajaran Sheikh Nuruddin,kerana bagi saya Sheikh Nuruddin adalah seorang ulama yang perlu dipersalahkan… bila mengetahui siapa sebenarnya ulama yang datang dari Ranir India ini.Beliau datang setelah ketiadaan Hamzah Fansuri dan Syamsuddin As-Sumatra-i untuk membela diri dan ajaran tasawuf peringkat tinggi atau muntahi ini,iaitu semasa Sultan Iskandar Thani(1636-1641), yakni selepas era kegemilangan islam Aceh pada waktu Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam.Beliau yang berasal dari Gujerat ini,dengan pangkat Mufti serta Qadi malikul Adil Aceh berjaya menghasut Sultan supaya membakar seluruh karya-karya agung Tasawuf yang bernilai Hamzah Fansuri dan muridnya Syamsudin As-Sumatrani,iaitu semua kitab atau catatan ilmu tasawuf yang tidak sealiran dengannya didepan masjid Baitul Rahman.Mungkin dia adalah ulama upahan Belanda untuk menghancurkan Islam khususnya di Aceh dan secara amnya di Nusantara,saya tidak pasti tetapi fatwanya yang menyatakan ajaran mereka adalah sesat dan pengikutnya halal dibunuh adalah satu konspirasi yang paling besar dalam sejarah umat islam Nusantara.
Yang menjadikan saya hairan ialah mengapa didalam kitab karangannya iaitu Bustanus Salatin(Taman Raja-Raja),Nuruddin tanpa sedar amat mengkagumi dan memuji Sheik Syamsudin seperti berikut : “Pada masa itu wafatlah Syeikh Syamsuddin bin ‘Abdullah as-Sumatra-i yaitu pada malam isnin 12 hari bulan rajab pada hijrah 1039 tahun.bahawa Sheikh itu ‘alim pada segala ilmu dan ialah yang termasyhur pengetahuannya pada ilmu tasawuf dan beberapa kitab yang dita’lifkannya”.(Al-makrifah –jld 1,m/s 52),padahal dalam kitabnya yang lain iaitu Tibyan fi Ma’rifatil Adyan ,Nuruddin ada menyebut “Maka tatkala zhahirlah kaum wujudiyah yang zindiq Mulhid,lagi sesat,daripada murid Sumatra-i yang sesat maka berbahaslah mereka itu dengan kami beberapa hari di hadapan hadhrat Sulthan Iskandar Tsani ‘Aliuddin Mughayat Syah bergelar Marhum Darus salam,ialah mendirikan agama Allah dengan keteguhan yang amat ajaib”.(Al-Makrifah-jld I, m/s 152).Dalam ayatnya itu, disamping beliau mengecam Syamsuddin dan pengikutnya,beliau juga membodek raja dan mengangkat dirinya sebagai pendiri agama Allah dengan keteguhan yang ajaib!
Menurut banyak catatan sejarah,beliau mula tiba di Aceh pada tahun 1637M/1047H, yang pada waktu itu Sultan Iskandar Thani baru berumur 1 tahun.Bukankah waktu kelahiran Nuruddin, Gejerat sedang ditakluk oleh Portugis?Goa menjadi markas utama percaturan kafir untuk menakluki Nusantara.Bukankah kitab sejarah melayu kita pernah dibawa ke London,diambil oleh portugis dan disimpan di Goa dan siapakah pula yang membawa kitab sejarah melayu atau hikayat melayu itu dari Goa ke Aceh sedangkan waktu itu Aceh dalam era pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam(1607 – 1636M).Bukankah Sultan iskandar Muda Mahkota Alam pernah cuba untuk membebaskan Melaka setelah jatuh ke tangan Portugis 1511,maksudnya Aceh juga amat memusuhi Portugis.
Professor Naquib Al-Attas dalam bukunya “The Mysticism of Hamzah Fansuri” pun melihat ada sesuatu yang tidak kena dengan tindakan Nuruddin mengeluarkan fatwa tersebut.Ulamak ini pernah mengarang lebih kurang 25 buah kitab tasawuf semata-mata untuk membantai ajaran tasawuf Hamzah Fansuri..dia juga telah diangkat dan dijulang oleh pengikutnya sebagai penyelamat akidah terulung Aceh dan kitabnya bertebaran di alam nusantara selepas menghapuskan semua kitab dan catatan tasawuf Al-fansuri.Beliau juga mengarang kitab Bustanus Salatin atau Taman Raja-raja yang penuh dengan ayat-ayat bodekan untuk raja.Penulis buku Berpetualang ke Aceh ,Radzi Sapiee juga percaya yang Nuruddin pernah bertemu dan berkenal-kenalan dengan Bendahara Johor Tun Sri Lanang,penulis kitab Sejarah Melayu dalam tahun 1612 – 1615,dimana waktu itu Tun Sri lanang menjadi tahanan Aceh bersama beberapa pembesar melayu yang lain.Ada kemungkinan Sejarah Melayu yang ditulis itu berdasarkan maklumat dari Nuruddin.(BKA-siri-sirih pulang ke gagang,m/s 84).kalau begitu,ada kemungkinannya Sejarah Melayu yang kita baca hari ini telah diubahsuai oleh Orientalis lalu jadilah ia versi Raffles atau Shellabear.
Bagi saya misi Nuruddin sangat jelas dan lebih fokus iaitu ; untuk menghancurkan ajaran tasawuf peringkat tinggi atau Muntahi fahaman Hamzah Fansuri dan muridnya Syamduddin as-Sumatra-i atau ingin melumpuhkan rahsia atau alter rahsia tersembunyi bangsa melayu-islam nusantara iaitu amalan tasawuf peringkat tinggi yang juga menjadi penyebab kepada keagungan dan kegemilangan islam sebagaimana kita pun tahu Sultan Malikus Salih atau Merah Silu sendiri adalah raja lagi wali yang mengamalkan tasawuf peringkat tinggi ini dan sejarah keagungan kerajaan islam Aceh di zaman Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam adalah kerana baginda juga adalah pengamal ajaran tasawuf peringkat Muntahi ini.
Misi dan fokus beliau ini dapat kita lihat dalam Kitabnya Fathul Mubin,beliau menulis…
“Ya Tuhanku!,ku hadiahkan kiranya kitab ini semata-mata demi Hadrat-Mu jua,dan sesuatu pun tiada hamba menghendaki balasan,hanya memandang wajahMu Yang maha Tinggi dalam syurga.Inilah haluanku,kiriman kepada segala saudaraku yang di Pulau Aceh,yang di negeri Kedah,dan yang Pulau Banten,dan yang di Pulau Makasar,dan di negeri Johor,dan yang di negeri Pahang,dan yang di negeri Patani,dan yang di negeri Sanggora dan kepada segala daerah negeri yang di bawah angin.Dipeliharakan Allah kiranya mereka itu dari segala bahaya dari dunia,serta diteguhkan dan ditetapkan Allah kiranya mereka itu dalam agama islam,dijauhkan dari beri’tiqad salah dan sesat.” (Al-makrifah-jld 1,m/s 199)
Kecelaruan pemahaman tasawuf mengikut aqal Nuruddin terserlah bila beliau menghentam karya Hamzah Fansuri dalam fathul Mubin tetapi tanpa disedarinya,dia telah mengambil atau tercedok tulisan Al-Fansuri pula untuk melawan atau membahaskan karya al-Fansuri sendiri.Ini jelas tertulis begini…pada kurasy kesepuluh,halaman 9,juga berasal dari Ruba’i…
“Kata Manshur yang Saiyidil ‘Asyiq, Mengatakan dirinya itulah Khaliq, Mengatakan Anal haq janganlah takut, Itulah ombak menjadi laut”…[karya Hamzah fansuri….]
Lalu Nuruddin ,dalam halaman yang sama,tersilap salin tulisan Hamzah Fansuri dalam kitabnya Zinatul Muwahhidin….sebagai ulasan kepada syair diatas berbunyi…
“Adapun Ahlul ‘Asyiq,tiada dapat ia menyembunyikan rahsianya,jikalau dikatanya perkataan yang bersalahan dengan syari’at sekalipun maka tiadalah dosa.Seperti kata maula rum yakni “akulah Allah,akulah Allah”.Ini menunjukkan dia juga bersetuju dengan al-Fansuri sebenarnya tetapi tidak mahu mengakui kehebatan dan ketinggian ilmu al-fansuri! Jika dia tahu itu adalah tulisan al-Fansuri atau muridnya Syamsuddin as-Sumatra-i,nescaya dia akan mengecam habis-habisan tulisan itu.Inilah tahap yang membezakan antara dua orang ulama itu,satunya menulis dengan kekuatan aqal dan seorang lagi menulis setelah beroleh makrifatullah.
Kata Hamzah Fansuri :
“Kita ini bandingan cermin, Itulah pandang sekalian mursalin, Lengkap kepada kafir dan mu’min, Nyatalah sifat Rabbil’Alamin”
Katanya lagi dalam syairnya yang lain:
“Ma’rifat itu terlalu ‘ajib, akan pakaian wali yang beroleh nasib, Barang siapa mendapat ia menjadi jaib, Kepada rabbil’Alamin manzalnya qarib”
Melihat kepada keseluruhan isi kitabnya yang banyak bertaburan itu,tujuan Nuruddin adalah satu, iaitu hanyalah untuk menyanggah ilmu Al-Fansuri dan Syamsuddin as-Sumatra-i sahaja,tetapi dalam masa yang sama beliau juga ada merujuk isi atau fakta penulisan kitabnya dari al-Hallaj dan Al-Arabi tanpa sedikitpun mengecam atau membantah ajaran al-Arabi dan al-Hallaj padahal isi dan intipati ajaran al-Fansuri adalah sefahaman dengan al-Arabi.Ini dikuatkan lagi dengan pujiannya pada al-Hallaj dalam kitabnya Fathul Mubin dengan membenarkan pula “syathahiyat” al-Hallaj dan Sheikh Yazid al-Bistami malah katanya merujuk kepada al-Hallaj : “dan Hallaj itu pun syahid fi sabilillah jua”(ibid,kurasy 11,hlm 17),malah beliau memuji al-Hallaj dalam perenggan lainnya dengan menyebut al-Hallaj melakukan sembahyang sunat sebanyak seribu rakaat setiap malam dan pada malam sebelum dia disula itu ,al-Hallaj sempat sembahyang solat sunat sebanyak 500 rakaat.( Al-makrifah-jld 1, m/s 199)
Jika diteliti kebanyakan kitabnya,Nuruddin hanya membahaskan ajaran al-Fansuri ataupun Syamsuddin secara perbandingan istilah-istilah tasawuf atau bahasa sufi saja.Untuk membahaskan ajaran al-fansuri,beliau banyak merujuk kepada kitab-kitab dan hujah ulama lain orang .Walaupun begitu beliau diakui mempunyai akal dan ingatan yang sangat baik untuk berhujah sedangkan beliau sendiri adalah lebih cenderung kepada ulama feqah dan dipersetujui ramai ulama yang beliau tidak mengamalkan apa-apa tariqat.
Bila kita renungi kisah konspirasi keatas Hamzah fansuri ini,teringat pula kepada konspirasi kejam peristiwa pembunuhan Al-Hallaj.Ketika itu beliau tenang menghadapi hukuman bunuh dengan kejam secara disula dan kemudian dibakar,yang kemudian abunya dibuang ke Sungai Tigris.Sejarah dan cabaran telah berulang terhadap perjuangan tasawuf namun Allah SWT tidak akan menghapuskan ilmu tasawuf ini dari hati-hati hambanya yang terpilih,sebagaimana Firman Allah di dalam Surah Yunus,ayat ke-62 yang bermaksud:
“Ingatlah sesungguhnya wali-wali Allah itu tiada kekhuathiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati iaitu orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertakwa.Untuk mereka berita gembira di dalam kehidupan di dunia dan akhirat,tiada perubahan di dalam kalimah-kalimah Allah(janji-janji).Yang demikian itulah kemenangan yang besar”
Apa yang menjadi persoalan saya lagi ialah mengapa Nuruddin begitu tergesa-gesa meninggalkan Aceh pada tahun 1054H/1654M dan kembali ke Ranir India,sehinggakan tidak sempat menghabiskan kitabnya yang terakhir iaitu Jawahirul ‘Ulum iaitu “Manikam Segala Ilmu Pada menyatakan Maklum” sehinggakan beliau menyuruh anak muridnya menyudahkan tulisan kitab itu.Mungkin misinya sebagai “orang suruhan Belanda” sudah tamat atau telah ditamatkan biarpun hanya tinggal di Aceh selama 7 tahun sahaja!!!Nuruddin meninggal dunia di Ranir India,kampung halamannya pada 10.9.1659,kitabnya yang terakhir ketika di sana juga tidak sempat dihabiskan bertajuk “Minuman Syurga bagi umat Muhammad pada jalan tasawuf” lalu disudahkan oleh muridnya Salah-ad-Din Ibrahim bin ‘Abdullah dengan jalan memasukkan khutbah( Al-Makrifah,jld I, m/s 222).
Kembali kita kepada perbincangan asal artikel ini iaitu mengenal Allah,dalam buku “Mengenal Allah” Dr M.Chatib Quzwani,dalam tesis phdnya,pada m/s 66 telah membuat satu kesimpulan yang menarik tentang konsep aliran tasawuf Al-Palimbani dengan menulis “ Menurut Al-palimbani,sumber terakhir ini menjelaskan 7 peringkat nafs al-ammarah,al-lawwamah,al-muthma’innah,ar-radhiah,al-mardiyyah dan al-kamilah.Setiap peringkat nafs tersebut mempunyai perjalanan,alam,tempat,keadaan(hal),lintasan batin(warid) dan sifat-sifatnya.
Dalam ajarannya,hati(qalb),roh dan nafs itu,nampaknya tidak dianggap sinonim seperti halnya dalam ajaran Al-Ghazali tadi.Disini,hati dan roh dianggap sebagai tempat bagi nafs,roh adalah lapisan dalam dari hati,yang didalamnya masih ada lagi beberapa lapisan lagi,iaitu sirr,sirrus-sir,khafi dan akhfa.sehingga manusia,dengan tubuh jasmani sebagai lapisan luarnya,terdiri dari 7 lapisan.dalam ajaran ini,nafs itu dianggap berpindah tempat dan berubah alam menurut peringkat kesedaran dan pengetahuan”
Disini,saya ringkaskan jalan-jalan yang perlu ditempuh oleh seorang salik mengikut Al-Palimbani iaitu bermula perjalanan dengan ilallah = “kepada Allah” di alam ajsam kepada lillah= “kerana Allah” di alam misal kepada‘alallah=tiada jatuh tilik mata hatinya itu melainkan atas syuhud(pandangan batin) akan perbuatan Allah Taala yang terbit dari kudrat Allah swt jua di alam arwahkepadama’allah= “serta Allah” di alam al-haqiqatul-muhammadiyyah,tempatnya di dalam sirr kepadafillah= “dalam Allah” di alam Lahut,tempatnya didalam sirrus-sirr,iaitu keadaan atau halnya ialah fana daripada diri dan fana daripada segala sifatnya yang basyirah(kemanusiaan),tetapi nafs yang berada dalam peringkat ini tidak mempunyai warid kerana yang dikatakan warid itu menurut Al-Palimbani hanya ada “serta dengan iktibar sifat”,sedangkan pada peringkat ini”gugur segala iktibar sifat,asma’ dan af’al” orang yang sedang berada pada peringkat ini sifatnya”zuhd fi ma siwallah,yakni benci akan segala barang yang lain selain Allah,Redha dia dengan tiada it’tiradl(membantah)…serta karam ia di dalam syuhud jamal(keindahan) Allah yang Mutlak.
Perjalanan diteruskan dari fillah kepada‘anillah= “yakni mengambil ilmu dari Allah Taala dan kembali ia kemudian daripada sampaikepada Allah taala itu kepada makhluk kerana memberi irsyad(bimbingan) akan makhluk” di alam asy-syahadah atau ajsam ,tempat letaknya di khafi.
Perjalanan terakhir ialah menuju kepada billah= “yakni dengan kudrat Allah Taala dan iradat-Nya dan dengan quwwah(daya) Allah taala dan dengan haul(upaya)-Nya…alamnnya ialah syuhudul-kasrati fil-wahdah dan syuhudul-wahdat fil-kasrah” iaitu memandang keberbilangan di dalam keesaan dan memandang keesaan didalam keberbilangan.tempatnya ialah diam didalam akhfa.Pada persinggahan akhir inilah si salik itu digelar Insan kamil pada martabat kamil(sempurna) mukammil(menyempurnakan),yang khawas(khusus) lagi khawashul-khawash(khusus dari yang khusus).
[Perhatian: semoga pembaca dapat berkongsi ilmu dengan penulis/sangtawal dan sekiranya tidak memahami beberapa persoalan dalam artikel ini,hendaklah kiranya bertanya kepada guru mursyid anda dan sekiranya ada apa-apa kesilapan dalam artikel ini atau ada ilmu-ilmu yang dikira baik untuk dikongsi bersama sebagai tambahan,bolehlah memberi komen disini.atau e-mail kepada sangtawal@yahoo.com .kerjasama anda amat dialu-alu kan.Terima kasih- sangtawal]
Sebarang maklumat, artikel, komen,gambar atau bahan penulisan yang tertera dalam blog ini yang bukan ditulis atau disediakan oleh pemilik blog adalah menjadi tanggungjawab atau liabiliti sepenuhnya penyumbang atau penghantar bahan berkenaan dan saya sebagai pemilik blog menafikan sebarang tanggungjawab atau liabiliti ke atas bahan itu.Harap maklum.Terima kasih.
Kata-Kata Aluan Dari Sangtawal
Selamat bertandang ke teratak Sangtawal Sakranta...
Di sini hamba sediakan satu wadah perjuangan buat Melayu-Islam mengikut cara hamba yang tersendiri.
Ambillah apa-apa yang anda fikir berguna dan jangan ambil peduli dengan apa yang anda fikirkan tidak berguna.
Setiap insan pasti ada kekurangan pada dirinya dan hamba juga tidak terkecuali dari itu kerana hamba juga bukanlah orang yang paling sempurna.
Selamat membaca, berfikir dan selamat berjuang untuk agama,bangsa dan negara !
“Setiap artikel yang tersiar di Blog Sangtawal ini dihasilkan untuk tujuan pendidikan , dakwah , perjuangan islam dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat @ link http://sangtawal.blogspot.com/hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan.
Keajaiban Hati / Istana Allah / Qalbi Ciptaan Allah
Sabda Nabi SAW bermaksud ; “ Didalam tubuh manusia itu,ada seketul darah,jika darah itu baik,maka baiklah manusia tersebut dan jika darah itu kotor maka kotorlah manusia itu.Sesungguhnya ketulan darah itu ialah hati (qalbi)”.
"Seandainya ada 100 orang pejuang Islam, pastikan salah seorangnya adalah kamu. Seandainya ada 10 orang pejuang Islam, pastikan salah seorangnya adalah kamu. Seandainya hanya tinggal seorang pejuang Islam, pastikan dia ialah kamu....”
(Abu al-A’la al-Maududi)
Perjalanan Dan Belitan Ular Zion
Berwaspada Dengan Freemason
Waspadalah Kita Terhadap Lingkaran Musuh -Musuh Kita :
Berwaspadalah Dengan Misi,Visi Dan Strategi Mereka :
Mengapakah gereja terbesar,CCC terletak di Bukit Jalil?dan renungilah kata kata Paderi Kristian Calvary Church,CCC disini
Bahayanya Belitan Ular....hati-hati...
??? Bahtera nabi Nuh A.S
Semenanjung Emas... Inikah Tanah Yang Dijanjikan(Land Of Promise) ?
Dimanakah Lokasi Sebenar Land Of Promise Itu???
.........Mereka sendiripun tidak tahu dan belum pasti di manakah lokasi Land of Promise yang sebenar seperti yang disebutkan dalam kitab Mormon itu yang ditulis oleh ? nabi Joseph Smith itu.Pelbagai usaha dan kajian saintifik telah dibuat oleh yahudi zionis atau oleh golongan Kristian untuk menyatakan kepada dunia bahawa Land Of Promise itu di Mesoamerica.Maka terciptalah satu hypothesis iaitu “Meso Hypothesis” untuk memberitahu dunia bahawa merekalah bangsa yang terpilih dan Tanah air merekalah yang terpilih sebagai Land Of Promise yang dijanjikan.
Biarpun sejarah selalu ditulis oleh mereka yang menang,namun sejarah tidak pernah menipu kita ,kitalah yang mencatat sejarah,dan saya selalu berkata pada diri saya bahawa kebenaran tetap ada di sepanjang zaman!
Pada tahun 1995, seorang bekas Professor kimia dari Montana State University iaitu Dr Ralp A. Oslen,Ph.D telah menulis sebuah buku hasil dari kajian spesifik beliau bertajuk : The Malay Peninsular as the Setting for the Book Of Mormon , sebuah buku setebal 295 mukasurat itu menyanggah dakwaan Meso Hypothesis tetapi membuktikan kepada dunia dan zionis-Kristian bahawa apa yang mereka dakwa Land Of Promise dalam kitab Mormon itu adalah Meso America adalah palsu dan ciptaan mereka untuk mengaburi mata manusia lain di atas muka bumi ini!
Dalam bukunya yang penuh dengan kontroversi itu,beliau telah menyokong sepenuhnya teori atau The Malay Hyphotesis ( Mala Hypothesis) setelah membuat kajian terperinci dari segala aspek termasuk mengkaji semula apa yang tertulis dalam kitab Bible dan Old Testament.
Selepas itu beliau membuat kesimpulan dan mempunyai kepercayaan yang penuh bahawa Land Of Promise itu adalah Semenanjung tanah melayu atau Semenanjung Emas ! Bukti-bukti yang dikemukan oleh beliau amat memukau pemikiran saya.Perincian dan penerangan yang khusus tentang lokasi lokasi terpilih dalam Kitab Mormon itu diterangkan secara logik,berfakta dan cukup bijak.Contoh yang saya sertakan disini adalah sedikit berbanding dengan apa yang beliau tulis dalam bukunya yang setebal 295 mukasurat itu:
Banyak perkataan ini merujuk kepada Bandar Bandar yang ada di Land Of Promise , ada disebut dalam kitab Mormon itu seperti : neck of land adalah Segenting Kra,Zarahemla adalah Tanah Merah,Bountiful adalah Kota Bharu,Moroni adalah Maran,Nephi adalah Kuala Pilah,Mormon adalah Malim,River Sidon adalah sungai Kelantan,Manti adalah Gunung Tahan,Corianton adalah Kuantan, Antiparah adalah Tapah,Mulek adalah Pasir Puteh,ada juga disebut Cameron Highland dan banyak lagi…anda boleh membacanya sendiri!
Hypothesis dari Dr Oslen ni mengatakan bani israel ke 13 (bani khazar) yg dikatakan hilang dari tanah Kanaan satu masa dulu mengembara dan belayar mencari zion hingga sampai ke Malay Peninsula dan mereka menggelarkannya sebagai "the Land of Promise". Teori Dr Oslen ni adalah berdasarkan dari manuskrip - Book of Mormon (BM), yg dipadankan lokasinya berdasarkan dari keadaan geografi yg diterangkan dalam BM ini dan mendapati ianya bertepatan dengan keadaan geografi di Malay Peninsula. Apakah kepentingannya bani ke 13 yg hilang ini hingga ramai scholar yg mengkaji Book of Mormon itu????
"Allah adalah cahaya langit dan bumi. Perumpamaan cahaya- Nya adalah seperti sebuah lubang yang tak tembus, yang di dalamnya ada sebuah pelita besar. Pelita itu di dalam kaca (dan) kaca itu seakan-akan bintang (yang bercahaya) seperti mutiara, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang banyak berkahnya, (yaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur dan tidak pula di sebelah barat, yang minyaknya saja hampir2 menerangi walaupun tidak disentuh api.Cahaya di atas cahaya. Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang Dia kehendaki, dan Allah membuat perumpamaan bagi manusia dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." [Al Quran An Nur : ayat 24 – 35],