Wednesday, December 23, 2009

CKKAZ II - Bhg 7 : Bersolat Dan Berzikirlah - Pasti Kita Akan Menang!


Tajuk : CKKAZ II : Bhg 7 – Bersolat Dan Berzikirlah , Pasti Kita Akan Menang!

Artikel Oleh : Sangtawal Sakranta.


Mungkin dalam kehidupan seharian kita, datang satu pertanyaan seperti “mengapa dengan Solat 5 waktu hati atau jiwa kita akan menjadi tenang?”

Jawapannya ada dalam maksud Firman Allah ini :

“Hai jiwa yang tenang tenteram.Kembalilah kepada Rabbmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya.Maka masuklah ke dalam jama'ah hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam syurga-Ku". [QS .89 :27-30 ]

Ternyata disini, untuk mendapatkan keadaan tenang atau keadaan otak kita yang berada dalam gelombang alfa bukannya mudah.Masih ingat siri artikel CKKAZ II saya yang lepas berkaitan dengan fenomena Eureka?. Kita sebagai seorang muslim dituntut dan diajar oleh Nabi Muhammad saw supaya berusaha mengekalkan keadaan gelombang otak kita di tahap alfa!

Bukan sahaja keadaan alfa itu untuk hidup di atas dunia ini saja,malah ia akan dibawa oleh jiwa kealam akhirat juga atau jiwa yang berada di tahap alfa ini akan dijemput oleh Allah swt seperti dalam ayat al-quran di atas untuk memasuki syurgaNya pula.

Hans Berger, seorang pakar saraf dari Jerman telah berhasil merakam gelombang elektrik otak dalam sehelai kertas pada tahun 1924 setelah mengkaji teori yang dikemukan oleh seorang doktor Inggeris sebelumnya yang bernama Richard Caton , pada tahun 1875 yang mengatakan otak manusia mempunyai gelombang elektrik yang mewujudkan gelombang otak dalam frequensi tertentu.

Ada empat jenis gelombang otak yang telah dirakam .Ia disebut EEG. Keempat –empat gelombang tersebut sangat berkait dengan keadaan emosi kita. Gelombang tersebut adalah delta, teta, alpha, dan beta.

Gelombang Delta memiliki frekuensi antara 0.5 - 3.5 Hz. Gelombang ini terjadi ketika kita sedang tidur nyenyak dan tidak mengalami mimpi. Otak kita pada saat ini benar-benar "tidak bekerja" atau maksudnya kita hilang kesedaran atau kewarasan kita.Keadaan delta ini sangat baik dalam proses penyembuhan penyakit. Oleh sebab itu ada beberapa kaedah perubatan yang menggunakan Ubat tidur agar otak turut berehat sekaligus membantu tubuh untuk tidak bekerja keras dalam keadaan sakit.

Gelombang kedua adalah Teta.Frekuensinya adalah 3.5 – 7.0 Hz. Pada saat kita tidur dan mengalami mimpi maka pada saat itu otak kita dalam keadaan teta. Keadaan teta ini juga baik untuk penyembuhan penyakit. Mimpi pula mampu menghantar jiwa manusia ke satu alam yang misteri!saya tidak mahu mengulas panjang tentang mimpi disini, cukuplah saya katakan mimpi itu adalah satu fenomena yang benar dan penuh misteri! Kalau tidak masakan ada ilmu mentafsir mimpi . Mimpi para Nabi dan orang soleh merupakan contoh tepat untuk menggambarkan otak kita berada dalam keadaan gelombang teta ini, seperti mimpi Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Yusuf a.s.

Gelombang ketiga adalah gelombang Alfa. Gelombang inilah yang ingin saya tekankan dalam artikel saya pada kali ini.Frequensi gelombang ini adalah pada tahap 7.0 – 13.0 Hz.
[ mengapa 7 dan 13 ye ??? ]

Gelombang keempat adalah gelombang Beta. Secara umumnya , gelombang ini dimiliki oleh kita semua pada keadaan jaga, stress , cemas dan gelisah!!! Semakin kita stress atau semakin kuat kita berfikir , frequensi nya juga akan meningkat melebihi 13 Hz .

Maka beruntunglah orang-orang yang boleh mengekalkan keadaan gelombang otaknya di tahap alfa selalu kerana gelombang alfa inilah yang dicari-cari oleh mereka yang inginkan ketenangan jiwa dan beroleh ilham berupa Eureka! Bagaimana caranya?

*Bersolatlah dimana saja kamu berada!

Sudah tentu untuk mencapainya kita perlu Solat! Solat 5 waktu sehari itu sudah cukup untuk mengekalkan kita berada ditahap alfa selalu dan bila ditambah dengan solat-solat sunat atau selalu berzikir kepada Allah, sudah pasti hati akan menjadi lebih tenang.Oleh itu jika kita solat dengan baik dan menjaga mutu solat itu atau dengan kata lain kita khusyuk dalam solat, isyaAllah kita akan memperolehi ganjaran yang sangat besar dari Allah swt berupa keadaan alfa di dunia dan diakhirat!

Apa yang penting disini ialah ketika saat Roh kita dicabut oleh malaikat maut itu, apakah ia berada dalam keadaan Husnul khatimah (alfa) atau tidak.

Oleh itu, sebagai seorang muslim, perlukah lagi kita mengamalkan teknik – teknik seperti meditasi yoga untuk mendapat ketengan jiwa atau jiwa di tahap alfa ini? Pada pendapat saya cukuplah memadai hanya dengan solat dan zikir sahaja.Jika ditambah dengan ibadat puasa sunat setiap hari isnin dan khamis, ternyata kesannya lagi hebat! Kenapa?... tak percaya???

Baiklah, kita disuruh solat dengan penuh tertib atau kita perlulah menjaga Toma’ninah solat, ini semua adalah bagi mendatangkan atau mempercepatkan tahap alfa pada diri mereka yang bersolat itu! Itu sebabnya sembahyang ekspress biasanya tidak memberikan kesan apa-apa kepada kita.Oleh itu jagalah kualiti solat kita! Segala bacaan dan gerakan tubuh badan kita dalam solat hendaklah dilakukan dengan tenang supaya cepat memberikan kesan pada jiwa kita.

Betapa pentingnya kesan dari solat mereka yang mendapat gelombang alfa ini ialah seperti Firman Allah dalam surah Al-Ankabut , ayat 45 yang bermaksud :

“Dan dirikan olehmu akan sembahyang, bahawasanya sembahyang itu mencegah daripada kejahatan dan pekerjaan yang munkar.Dan sesungguhnya zikrullah itu terlebih besar ”


Solat (lima waktu) merupakan satu-satunya ibadah wajib yang harus dikerjakan selama mana otak kita berada dalam keadaan sedar atau waras, biarpun anggota tubuh yang lain sudah tidak berfungsi. Jika seseorang tidak berupaya untuk solat dengan berdiri maka dia dibenarkan solat sambil duduk, jika tidak mampu duduk maka dibenarkan solat sambil berbaring, jika dalam keadaan terbaring dan semua anggota tubuh tidak berfungsi untuk digerakkan pun , tetapi jika kita masih sedar dan fikiran kita masih waras, kita wajib melakukan solat biarpun dengan isyarat mata dan jika tidak mampu membuka mata, tetapi fikiran masih waras, hendaklah kita berniat dalam hati .Inilah tingkat terakhir untuk mengerjakan solat demi menyatakan kewujudan kita sebagai makhluk yang dicipta oleh Allah dan kita adalah sebagai hambaNya.

Oleh itu jangan mudah terpengaruh dengan ajaran sesat atau mereka yang mendakwa seorang yang mempunyai maqam yang tinggi dalam tareqat, dekat dengan Tuhan , yang mengatakan sembahyang itu hanya perlu dengan niat saja. Apakah mereka itu lebih hebat dari nabi Muhammad saw? Sedangkan Nabi Muhammad saw sendiri pun bersolat !Apa yang cuba saya sampaikan disini ialah orang Tareqat tidak boleh meninggalkan Syariat !!!

Seorang Doktor Amerika, Herbert Benson sering berkunjung ke Tibet dan telah mempelajari dan mendalami teknik senaman yoga, lalu dia membuat kesimpulan dalam laman web rasminya bahawa kesihatan tubuh manusia sangat tergantung kepada sejauh manakah otaknya mengalami relaksasi atau dengan kata lain ketenangan!

Dia telah memperkenalkan asas- asas atau tahap relaksasi yang terkenal dalam meditasi yoga seperti berikut :

[Pilih kalimat pendek.
Duduk dengan tenang dalam posisi nyaman.
Tutup mata perlahan-lahan.
Kendurkan otot tubuh.(muscle relaxation)
Tarik nafas perlahan-lahan dan teratur.
Secara serentak, ulangi kata atau kalimat yang menjadi fokus.
Lakukan selama sepuluh atau dua puluh minit
Setelah selesai, jangan langsung berdiri.
Teruslah duduk tenang selama satu minit atau lebih.
Lakukan kegiatan ini minimal satu kali sehari]


Sekali lagi saya tekankan, kita sebagai seorang muslim haruslah bersyukur dan berbangga kerana dalam islam dan ajaran nabi yang mulia sudah terkandung rahsia-rahsia tersembunyi yang hebat untuk manusia melalui suruhan-suruhan Allah swt.Jadi , mengapa harus dicari kaedah alternatif lain seperti meditasi Yoga jika segalanya sudah tersedia dengan begitu banyak dalam ISLAM untuk kita amalkan?

Boleh baca artikel saya yang lalu berkaitan Suluk Sufi Vs Meditasi Yoga : Klik Sini

Kita disarankan agar memperbanyakkan solat dan zikir kepada Allah, kita juga disarankan memperbanyakkan membaca Al-Quran. Sudahlah Allah mengupah kita dengan memberi ganjaran berupa pahala yang besar di akhirat , tetapi apa yang kita buat itu sebenarnya untuk memberikan manfaat kepada diri kita sendiri di dunia ini, Lihatlah betapa Sayang dan Pemurahnya Allah swt kepada hamba-hambanya! Allah tidak berkehendakkan kita membayar segala nikmatnya kepada kita,cukuplah sekiranya kita selalu bersyukur dan selalu patuh pada perintahNya ! Oleh itu , wajarlah Nabi Muhammad saw menjawab pertanyaan isteri baginda Siti Aisyah yang bertanya mengapa harus baginda beribadat kepada Allah sehingga bengkak-bengkak kaki sedangkan baginda telah dijamin oleh Allah dengan syurga . Lalu Nabi berkata kepada isterinya itu apa salahnya baginda bersyukur kepada Allah swt atas segala nikmatNya.

Nah, itulah jawapan yang muncul dari seorang insan mulia, pembawa rahmat untuk sekalian alam sepanjang zaman, seorang insan yang mempunyai Kecerdasan Spiritual yang sangat tinggi dan jiwanya selalu berada dalam gelombang alfa! Tidak mahukah kita mencontohi baginda kerana baginda adalah sebaik-baik manusia untuk dicontohi.

“Suruh olehmu akan ahli kamu dengan mendirikan sembahyang dan sabar ia atasnya, tiada Kami pinta akan kamu rezeki, Kami yang memberi rezeki kepada kamu”
[ Surah Thaha : Ayat 132 ]

Disini juga saya ingin mengajak anda membaca satu artikel menarik dari sahabat saya Warfeel-Efairy berkaitan dengan Konspirasi Dajjal sehingga keatas sejadah atau tikar sembahyang kita pun mereka masih berpeluang dan mampu merencanakan agenda jahat mereka! Klik Sini
Lambang Masonic Pada Sejadah!

Disini saya tulis kembali beberapa perenggan tulisan Sheikh Daud Al-Fathani pada permulaan kitabnya yang termasyhur berkaitan sembahyang iaitu Munyatul Musolli :

[ “Ku mulai risalah ini, dengan nama Allah yang amat murah, lagi amat mengasihani akan hambaNya yang mukmin di dalam negeri akhirat.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam, Tuhan yang menjadikan sembahyang lima waktu, ini jalan segala orang yang muttaqin.

Dan Tuhan yang menjadikan di dalam sembahyang itu sejuk matahati penghulu segala mursalin.Yakni dijadikan sejuk matahati Nabi saw dengan musyahadah akan Tuhannya di dalam sembahyang.Dan menjadikan sembahyang itu satu rukun daripada rukun agama islam.

Dan menjadikan padanya lazat manis khidmat sembahyang yang menempati syurga yang disegerakan di dalam dunia bagi segala hambaNya yang muhibbin. Dan tempat galian segala rahsia daripada bagi Tajalli Allah bagi orang yang ‘asyiqin, yaitu rindu mereka itu akan mahbubnya………..

Bahawasanya sembahyang lima waktu itu tiang agama islam, dan yang terlebih besar kejadian rukun islam yang lima perkara kemudian daripada mengucap dua kalimah syahadah.

Dan tempatnya daripada agama islam seperti tempat kepala daripada tubuh.Maka seperti bahawasanya tiada hidup bagi orang yang tiada kepalanya baginya.Maka demikianlah tiada agama bagi bagi orang yang tiada sembahyang baginya” ]

( Ruj : Buku Mun-Yatul Mushalli – Sheikh Daud Bin Abdullah Al-fathani, transliterasi oleh Hj Wan Mohd Shagir Abdullah, Khazanah Fathaniyah, m/s 27- 28 )

Dalam kitabnya itu juga Sheikh Daud mengatakan rupa sembahyang itu ada zahir dan batinnya, kita mestilah memenuhi kedua-dua rupa sembahyang ini untuk mencapai tujuan sembahyang yang sebenar.

Rupa zahir sembahyang seperti berdiri, takbir, membaca fatihah, rukuk, i’tidal, dua sujud, duduk antara dua sujud, duduk ta-syahhud, tahiyat dan salam serta menyempurnakan syarat, rukun dan sunatnya. Rupa zahir ini digambarkan seperti badan dan segala anggota kita.

Manakala rupa batin sembahyang itu seperti khusyuk, hadir hati, sempurna ikhlas, tazallul, tafahhum bagi ma’ani qiraah, tasbih. Rupa batin sembahyang boleh diibaratkan bahagian hati dan sirr badan kita. Di mana tempat tilik Allah swt itu adalah pada hati dan sirr kita.

Sheikh Daud juga memetik kata-kata Imam Ghazali yang mengibaratkan jika kita sembahyang zahir saja, seumpama kita menghadiahkan seorang dayang atau perempuan jelita kepada raja tetapi telah mati dan tiada roh, manakala jika kita mendirikan rupa sembahyang batin saja , umapama kita menghadiahkan seorang dayang atau perempuan jelita yang terpotong anggota/ cacat dan buta matanya!

Apa yang paling penting ialah bersembahyang lah kita sebelum mayat kita disembahyangkan orang!



Bagaimana pula dengan zikir?

Cuba perhatikan maksud Firman Allah swt ini :


“Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah, hati menjadi tenteram”
[QS , 13:28 ]

Mengingati Allah dalam ayat diatas ialah merujuk kepada Zikrullah!

Firman Allah dalam Surah An-Nisa’ ayat 102 yang bermaksud ;

“Maka apabila selesai kamu menunaikan sembahyang, maka sebut olehmu akan ALLAH dalam keadaan berdiri dan duduk, dan atas lambung kamu”

Saidina Abdullah bin Abbas r.a mentafsirkan ayat diatas berkaitan dengan saranan Allah tentang Zikrullah “pada malam dan siang, pada darat dan laut, dan di dalam pelayaran dan di dalam negeri, dan pada ketika kaya dan papa, dan sakit dan sihat , dan sir dan nyata”

Firman Allah dalam Surah Al-Jum’ah, ayat 10 bermaksud :

“Dan sebut olehmu akan ALLAH dengan sebutan yang banyak, mudah-mudahan kamu mendapat kemenangan”

*Manisnya iman kesan dari Zikrullah!

Betapa hebatnya kesan zikrullah ini saudara, hanya dengan memperbanyakkan sebutan ALLAH, Allah swt menjanjikan kemenangan buat kita! Ini janji Allah, bukan main-main saudara!

Ingin mendengar kisah betapa ajaibnya zikrullah ini? Mari kita ambil satu contoh yang berlaku di zaman rasulullah saw dimana seorang kafir Quraish yang bernama Suraqah, telah menghunus pedangnya ke dada Rasulullah untuk membunuh baginda sambil berkata:

“Hai Muhammad , siapa penolongmu dalam situasi begini?"

Dengan penuh ketenangan dan mantap Nabi menjawab satu patah perkataan saja iaitu :

"Allah"

Hanya dengat satu patah perkataan saja… maka tiba-tiba pedang yang berada kemas dalam genggaman tangan Suraqah tersebut jatuh dan dia sendiri pun lemah tak berdaya lalu jatuh terkulai ke bumi!banyak lagi kisah kisah ajaib wali-wali Allah dan orang-orang soleh yang saya percaya anda semua telah membacanya.Cukuplah saya ambil satu contoh diatas untuk menunjukkan betapa hebatnya kesan dari Zikrullah ini!

Itu sebabnya untuk menjadi seorang pendekar sejati, hendaklah kita berusaha untuk menjadi seorang pendekar sufi.Anda tentu faham maksud saya bukan?

Lihat bagaimana anugerah Ketenangan Hati telah dikurniakan oleh Allah kepada nabi Muhammad ketika Baginda bersama Abu bakar di dalam sebuah gua :

“Jikalau tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya (yaitu) ketika orang-orang kafir ( musyrikin Mekah ) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seseorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, diwaktu dia berkata kepada temannya: "Janganlah berduka cita, sesungguhya Allah bersama kita". Maka Allah menurunkan ketenangan kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentera yang kamu tidak melihatnya, dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” [QS. 9 : 40]

Akhir sekali, saya tutup artikel terakhir siri CKKAZ II ini dengan satu ayat Al-Quran dalam surah Ar-Ra’du, ayat 11 yang bermaksud ;

“Sesunguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum(bangsa) sehingga kaum(bangsa) itu sendiri yang mengubah dirinya sendiri”.

Oleh itu bersolatlah dan perbanyakkanlah solat. Berzikirlah dan perbanyakkanlah Zikrullah, insyaAllah kita akan mencapai kemenangan!!!

Jika susah sangat untuk menyebut zikir-zikir yang panjang…. Sebut saja Allah, Allah, Allah…… dan jika susah menyebutnya dengan bibir dan suara anda sebut saja Allah, Allah, Allah saja didalam Qalbi… kerana inilah zikir khafi bertahap tinggi dan sangat cepat mendatangkan kesannya…. kerana ia (zikir khafi) hanya anda dan Allah saja yang tahu, Malaikat pencatat amalan anda pun tidak tahu! Ingin mendalami zikir ini??? …. Carilah mana-mana guru yang mursyid untuk memimpin tangan kamu dalam perjalanan kamu menjadi seorang salik menuju Khaliqnya!!!

Oleh itu tinggalkanlah biji-biji tasbih sebesar ibujari kaki kita itu, kerana itu hanya membazirkan tenaga memikulnya dan masa kita sahaja, zikir anda tidak ikhlas kerana Allah dan tidak akan membawa anda kemana-mana melainkan mengikat kita di perhentian Ammarah saja, jika hanya untuk menunjuk-nunjuk sesama manusia saja! Melainkan kita telah sempurna ikhlas kepada Allah, maka bawalah bersama kita tasbih sebesar biji bola pun tidak mengapa dengan syarat bila kita sudah mencapai kamil - mukammil , sudah pasti ia tidak akan mengganggu- gugat iman dan cinta kita kepada Allah!

*Aduh !!! beratnya memikul tasbih besar ini dengan niat untuk menunjuk-nunjuk, tapi sia-sia! oleh itu gunalah tasbih kecil saja, kerana musuh Allah dan Rasulnya tidak gerun kepada betapa besarnya buah tasbih atau serban kita!


Ingat Kata Kunci ini : Perbanyakkan zikrullah… sudah pasti kita akan menang! Ini janji Tuhan.


Wassalam.

Al-Fakir wal Haqir : Sangtawal Sakranta

*Nantikan siri CKKAZ III yang akan datang!


12 comments:

eeeihtxis said...

assalamualaikum, wah posting baru. adalah nyata diterangkan dan diingatkan berkali kali kepada kita perkara pertama dituntut di akhirat amalan dan solat. bukan harta benda dan pangkat.

sesungguhnya ada kemudahan dlm kesusahan. cuma org yg tidak pernah bergantung kpd Allah swt sahaja(mengingati Allah) akan merasakan kosong dan mudah utk terpedaya dgn hasutan syaitan dan cepat berputus asa.

terima kasih sekali lagi kerana menghasilkan posting dakwah dan informasi yg sangat berguna.

arizWanmerahs said...

Salam,

saya sedang membaca artikel2 saudara secara perlahan dan teliti bermula dari awal tetapi belum berakhir.. Tahniah atas usaha saudara, moga akan membuahkan hasil..

!!! said...

yes ! itulah rutin kita,ade profesor juga kate tentang solat dapt redakan emosi kita ,berkaitan rapat dengan saf-saf,dan mungkin anda juga tahu..

!!!

Keris said...

Salam sdara tawal..

terima kasih =)

Sangtawal Sakranta said...

salam buat sixthiee,

salam perkenalan dan selamat berkunjung ke blog ini.

terima kasih atas komen dan galakan.

Salam buat Merah_s,

salam perkenalan dan selamat membaca.
moga-moga... doakan.

Salam !!!,
setuju dengan anda.!!!

salam buat keris,

sama-sama. :)

wassalam.

Anonymous said...

cantik tu komen tu...:-)

tmp

Nur Mawaddah Mahdiyah said...

assalamualaikum...

hehe ana tdak ingn komen fasal solat dan zkir...dlu ana main slat jer tp bila memahami stiap bcaan dlm slat,mlt mmbca hati mntafsr maksdnya subhanallah nikmat slat dan kbaikannya mresap msk dlm dr, hatn dan jwa skligus mmbwa kpd prlakuan dan pbuatan kta sharian..zikrullah jika diamalkan stiap hari dgn sndrnya hati kta akan terdetik dan bzkr mngtngati Allah...teeeettttt...

nak knsi nga saudr..hartu ms ana pg KL,, ttba trnampk dan ana prhatikan mngenai sunway lagoon...ukirannya mnyamai zaman ukran firaun...dan ana tgk mjrti yg msk dlm tuu org mlayu Islam..maybe saudara bmnat mngkaji mngnai sjrah ini atau sdah mnkajinya..skdar pndapat..nak kaji sjarah sndr klo xbiasa jd xphm n mls..hehehhe....

Sangtawal Sakranta said...

Salam buat Nur,
terima kasih atas komen.

tentang sunway lagoon... mungkin bacaan di blog ni boleh membantu saudari:

http://holywar-efairy.blogspot.com/2009/08/konspirasi-dunia-asas-asas-binaan-dajal.html

wassalam.

TM said...

salam,

Saya suka artikel ini, terima kasih.

Sangtawal Sakranta said...

salam sense,
terima kasih atas komen.semoga artikel ini berguna buat tuan.

wassalam.

Anonymous said...

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum WBT. Saudara, ada ke pertubuhan tu?
kalau ada..bole x btau sy?
Sy nk sgt masuk.
Kita buat sdiri Pertubuhan Muslimin xboleh ke?
sy berharap dpt berhubung dgn saudara, sbb kita kn saudara.
Sy harap ada reply. Allah & Rasuln-Nya lebih mengetahui. Wallahua'lam. Muhammad Zaki

Email sy : puteritidur@yahoo.com

Anonymous said...

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum WBT. Saudara, ada ke pertubuhan tu?
kalau ada..bole x btau sy?
Sy nk sgt masuk.
Kita buat sdiri Pertubuhan Muslimin xboleh ke?
sy berharap dpt berhubung dgn saudara, sbb kita kn saudara.
Sy harap ada reply. Allah & Rasuln-Nya lebih mengetahui. Wallahua'lam. Muhammad Zaki

Email sy : puteritidur@yahoo.com