Artikel Oleh : Sangtawal Sakranta.
Artikel ini sepatutnya disiarkan pada tahun lepas, tapi entah bagaimana ia tercicir.
Pada suatu hari saya dihubungi oleh seorang abang angkat , Abang N yang juga seorang peminat dan pengumpul barang-barang lama agar segera datang kerumah nya kerana ada beberapa barang yang ingin ditunjukkan kepada saya. Seperti biasa, sekembalinya Abang N dari perantauan baik dalam negara atau dari luar negara, dia selalu menghubungi saya untuk menunjukkan barang-barang lama yang dibawanya pulang.
Dipendekkan cerita, Abang N yang baru pulang dari Aceh, menunjukkan 15 bilah pedang kepada saya. Dia membelinya secara borong dari seorang pengumpul barang-barang lama di sana yang terdesak mahu menggunakan wang untuk mengubati isterinya yang akan membuat satu pembedahan ‘Kidney Transplant’. Kebetulannya saya selalu berpesan kepada Abang N, kalaulah ada terjumpa pedang yang saiz panjang matanya berukuran selilit kepala saya, saya mahu membelinya. Itu sebabnya Abang N terus menghubungi saya sebaik saja dia tiba di Kelantan.
Dari 15 bilah pedang, hanya 2 bilah saja yang memenuhi ciri-ciri yang saya kehendaki.Walaupun 2 bilah pedang itu tidak sempurna pada bahagian hulu dan sarungnya saya tetap gembira kerana mata pedang itu masih dalam keadaan baik dan ukurannya sesuai dengan saya. Maklumlah pedang-pedang itu adalah di antara ribuan senjata-senjata yang diserahkan kepada pihak penguasa oleh para pejuang GAM [Gerakan Aceh Merdeka], sudah pasti tuan punya pedang-pedang itu mengambil semula ‘barang-barang penting’ yang telah disepuh, dipasang atau diikat pada senjata tersebut. Anda boleh lihat sendiri pada 2 bilah pedang diatas. Biarpun 2 bilah pedang itu tidak begitu sempurna, namun ia memiliki roh atau semangat juang Bangsa Aceh untuk diwarisi dan disejarahkan, itu yang lebih penting buat saya! Apa pun penambahan 2 bilah pedang itu menjadikan koleksi pedang peribadi milik saya sudah menjadi 7 bilah !
Dah terlanjur membicarakan perihal senjata lama bersama Abang N, saya memohon keizinannya untuk melihat beberapa koleksi keris milik peribadinya untuk diambil gambar.Untuk maklumat anda semua , ini hanyalah sebahagian kecil dari koleksi keris yang dimiliki olehnya, ada banyak lagi keris dan pedang yang lebih cantik dan berusia lama dalam simpanannya, gambarnya ada dalam simpanan saya, tapi, rasanya belum sampai masanya lagi untuk saya siarkan disini. Jumlah koleksi Kerisnya memang banyak, saya sendiri pun tidaklah mempunyai jumlah sebanyak itu! Sehinggakan dia menyediakan sebuah bilik khas untuk simpanan senjata lamanya itu.Pernah dulu saya berkunjung dan menghabiskan masa dari pagi sampai ke petang untuk melihat kesemua keris dan pedang yang ada didalam bilik itu!
Di bawah ini adalah sebahagian dari koleksi Keris Abang N. Semoga pembaca Blog ini yang berminat dengan senjata lama berpuas hati dengan entry kali ini….