Tuesday, October 27, 2009

Generasi Al-Quran : Keupayaan Menangani Perubahan Dan Kemajuan Ummah.



Tajuk : Generasi Al-Quran : Keupayaan Menangani Perubahan Dan Kemajuan Ummah.

Artikel Oleh : Sangtawal Sakranta.


Waktu cuti hujung minggu beberapa hari yang lalu,saya habiskan bersama keluarga balik ke kampung halaman saya.Memang setiap minggu saya pasti akan balik menjenguk wajah ibu saya walaupun sekejap kerana dialah insan yang sangat saya sayangi dan telah banyak berkorban tenaga dan wang ringgit untuk membesarkan saya setelah ketiadaan ayah di usia saya 5 tahun lagi.

Kebetulan waktu itu hujan lebat dan saya tak ke mana-mana.Entah bagaimana timbul niat dihati untuk membelek album-album lama yang tersimpan di rumah ibu.Sudah lama saya tidak melihatnya.Orang kata, biarlah gambar itu bercerita sendiri …. Kata M.Nasir dalam lagunya ‘Suatu Masa’ … tiap wajah berkisah…tiap madah bererti…



Ada satu gambar saya yang hampir rosak.Lihat kat bawah!

*Gambar ketika sedang bertanding Musabaqah Al-Quran Peringkat Negeri 1987.

Gambar tersebut membawa satu kenangan manis dalam hidup saya! Waktu itu umur saya 12 tahun.Saya sedang membaca Al-quran sebagai peserta wakil dari Daerah pada pertandingan Musabaqah dan Tahfiz Al-Quran Peringkat Negeri Kelantan tahun 1987 dan Alhamdulillah nasib baik mewakili diri saya kerana berjaya menjadi juaranya!

Pada tahun yang sama,saya juga dilantik oleh guru sekolah rendah sebagai Ketua Pelajar sekolah dan telah berjaya menjadi Johan Syarahan Agama Peringkat Sekolah-Sekolah Rendah Negeri Kelantan 1987.Pada tahun sebelumnya,1986, saya telah memenangi tempat pertama dan johan peringkat negeri bagi kategori Syarahan Agama membuatkan saya memenanginya secara 2 tahun berturut-turut.

Namun tahun 1987 membawa kejayaan berganda buat saya kerana menjadi Johan peringkat negeri dalam 2 bidang yang berlainan iaitu Tilawah Al-Quran dan Syarahan Agama!sayang seribu kali sayang ,gambar-gambar kenangan dulu sewaktu pertandingan sudah rosak dan ada yang telah hilang.Bila anak-anak saya bertanya,hanya sijil-sijil penyertaannya saja yang boleh saya tunjukkan sebagai bukti.

Kesusahan dan keperitan hidup dalam sebuah keluarga yang miskin tidak pernah menghalang saya mencapai apa yang saya idamkan.Seperti pesan ibu selalu- kesungguhan, usaha berterusan , semangat, keyakinan diri dan doa kepada Allah swt menjadi kunci setiap kejayaan hidup saya.

*Ketika sedang berpidato pada Pidato Piala Diraja Peringkat Negeri 1991. ( kalah!!! he.. he.. he)


Cara kehidupan yang lasak, tanpa pengawasan dan kasih sayang seorang ayah disisi tidak pernah mengecewakan saya atau melunturkan semangat saya,malah saya jadikan itu sebagai satu cabaran dan pembakar semangat juang saya.Ternyata kini, setelah sekian lama bersusah payah , saya bersyukur dengan segala nikmat dan pemberian Allah swt.Kalau dulu orang orang kampung membenci dan menghina saya sekeluarga,dek kerana kemiskinan kami, namun kini tidak lagi.Saya tidak pernah berdendam kepada mereka, saya selalu ingat pesan ibu, hidup di dunia ini janganlah sombong seperti lalang, kena selalu merendah diri,ingat resmi padi makin tunduk makin berisi kata ibu!

Biarpun saya begitu aktif dalam kegiatan ko-kurikulum dan sukan terutamanya bolasepak dan sepak takraw, namun pelajaran tetap menjadi satu keutamaan dalam hidup saya kerana saya tahu hanya dengan ilmu pengetahuan sajalah saya akan dapat mengubah nasib hidup saya.Di sekolah menengah saya dilantik sebagai Ketua Pengawas sekaligus ketua pelajar sekolah 1992.

*Bersama Piala Pusingan Peringkat Negeri Kelantan 1992. (Disebelah saya -ustaz sekolah saya)

Tahun 1992 membawa sekali lagi kenangan istimewa dalam hidup saya dimana pada tahun itu saya sekali lagi berjaya mewakili Negeri Kelantan dalam bidang Syarahan Agama ke Peringkat Kebangsaan kali ke-19 di Sekolah Agama Kedah,Alor Setar pada 26hb hingga 30 hb Mei 1992.

*Buku atucara Majlis Tadarus Al-Quran dan Syarahan Agama Peringkat Kebangsaan 1992.

Biarpun hanya mendapat tempat ke-3,(markah kurang dari segi isi dan fakta), namun itu sudah cukup bermakna dalam hidup saya.Ini adalah kerana isi kandungan syarahan agama tersebut ditulis oleh saya sendiri!

Mungkin bakat ini adalah bakat semulajadi anugerah Ilahi kepada saya,bakat berpidato atau berucap di khalayak ramai ini bukan senang, ia memerlukan keberanian, daya konsentrasi dan keyakinan yang tinggi.Jika kita gelabah atau stress,semua teks ucapan itu akan hilang dari ingatan kita dan semuanya akan menjadi tak keruan. Sehingga kini ada beberapa orang rakan sekolah lama yang bergiat dalam bidang politik mengajak saya menceburkan diri dalam bidang politik, namun saya tidak minat berpolitik.Biarlah orang politik dengan politik mereka.Biar saya berjuang dengan cara saya sendiri.Seperti senikata lagu ini yang sungguh mendalam pengertiannya….biar ku menjadi lilin… memberikan cahaya… menerangi sekeliling…. Biarpun sering diragui…



Sekali sekala saya dijemput memberi ceramah motivasi kepada pelajar sekolah,namun saya tidak pernah mengambil apa-apa bayaran pun.Saya cukup gembira bila anak-anak bangsa saya berjaya dalam hidup dan kalau boleh biar mereka lebih berjaya daripada saya. Cuma saya amat vokal dan tegas pendirian dalam dua perkara : jika agama islam yang saya anuti ini dipermain-mainkan, dijadikan barang dagangan untuk menagih simpati politik peribadi murahan dan satu lagi bila bangsa saya Melayu dihina! Sudah pasti saya tidak akan berkompromi!

Sekiranya anda membaca semua entry dalam blog ini , anda pasti menganggap saya sebagai pro-kerajaan dan selalu menghentam pembangkang.Sebenarnya anda silap.Cuba anda baca semula baik-baik setiap artikel saya dan menilainya semula.Sudah pasti anda akan ketemui komen dan teguran yang keras saya buat kerajaan juga!

Biarpun bidang pengajian saya ialah bidang sains, namun saya amat meminati seni.Saya amat meminati bidang penulisan puisi terutamanya puisi berkonsepkan sastera islam.Mengumpul koleksi barang-barang antik dan hasil karya seni lukis juga menjadi hobi yang tak mampu dipisahkan.Perkembangan seni bela diri dan Tomoi Siam sudah menjadi sebati dalam darah daging saya terutamanya setelah arwah datuk sebelah ibu saya membawa saya menziarahi sanak saudara yang masih tinggal di wilayah Patani Thailand 20 tahun yang lalu.

Sewaktu lawatan itu arwah datuk pernah menunjukkan tempat dimana ianya adalah gelanggang pertama datuk belajar silat .Hasil dari perbualan datuk dengan sanak saudaranya, saya seakan tidak percaya bahawa datuk saya yang di penhujung usianya adalah seorang imam madrasah kampung dan seorang guru Al-Quran yang nampak selekeh itu sebenarnya pernah memenangi beberapa pertandingan Tomoi Siam di sekitar daerah Golok dan pernah ke Bangkok! Insyaallah dalam entry yang lain saya akan tulis kisah datuk saya pula.

Tidak ketinggalan juga dalam bidang seni suara! Walaupun tidak mempunyai suara sehebat mana, tapi oleh kerana minat yang mendalam kepada bidang ini saya pernah menubuhkan sebuah Kumpulan Nasyid “Suara Nurani” bersama rakan rakan ketika belajar di matrikulasi dulu sekadar suka suka aje! Jika anda pernah belajar bersama saya tentu anda ingat kumpulan kami telah mengadakan persembahan pada malam Aspirasi Seni , tetapi secara tiba-tiba blackout sebab terputus bekalan letrik! Namun selepas tamat matrikulasi, masing-masing membawa haluan sendiri.

Saya amat meminati lagu-lagu berunsurkan ketuhanan dan perjuangan terutamanya dari kumpulan Nasyid Nadamurni dan sempat berkenalan dengan arwah ustaz asri Rabbani ketika konsertnya di tempat pengajian saya ketika saya di kampus dulu.Namun kini setelah ketiadaannya, semuanya hanya tinggal kenang- kenangan. Pernah juga bertanding irama lagu dikir barat sebagai “calon bidang terjun” sewaktu di kampus dulu dan tanpa diduga menjadi juaranya dalam tahun 1995.Namun ibu saya tidak suka saya menceburkan diri dalam bidang seni suara .Biarpun ibu tidak pernah menghalangnya,namun dari air muka dan riak wajahnya saja ,saya cukup mengerti bahawa ibu amat tidak menyukainya.

Ibu amat suka dan berbangga bila sekali sekali saya balik ke kampung menjadi imam masjid ,atau membaca khutbah pada hari raya dan sekali-sekala melaungkan azan di masjid! kadang-kadang ibu mengalirkan air mata bila bersembahyang berjemaah bersama saya di rumah kami di kampung, bila ditanya, ibu berkata dia tidak menyangka yang saya ini, walaupun dibesarkan dalam keadaan penuh kemiskinan dan tanpa kasih sayang seorang ayah boleh menjadi ‘Orang” juga.Dia pernah berkata dia tidak berasa hairan atau bangga dengan kereta saya atau kedudukan saya, tetapi dia berbangga sekiranya saya menjadi anaknya yang patuh pada suruhan agama.Hanya amalan baik yang akan dibawa sebagai bekal kehidupan di negeri yang abadi dan baqa’ katanya.

Dalam entry blog kali ini, eloklah saya berkongsi isi kandungan atau teks syarahan agama yang saya tulis ketika memasuki pertandingan peringkat kebangsaan 1992 itu dengan pembaca semua!

Selamat membacanya , semoga ada sedikit manfaatnya untuk kita semua :


Teks penuh ucapan syarahan saya seperti berikut:

[Dimulai dengan Selawat dan salam….

Berdirinya saya disini, pada hari yang berbahagia dan dirahmati allah ini, adalah untuk menyampaikan sebuah syarahan agama yang bertajuk : Generasi Al-Quran- Keupayaan Menangani Perubahan dan Kemajuan Ummah.

Sebelum jauh terlanjur bicara,ingin saya memberikan definisi kepada tajuk syarahan agama saya pada hari ini.Generasi al-quran, adalah merupakan golongan manusia yang dididik dan mengamalkan cara hidup berpandukan Al-Quran sepenuhnya,manakala keupayaan menangani perubahan dan kemajuan ummah pula bermaksud ;generasi Al-Quran boleh membawa perubahan ,kemajuan serta pembangunan kepada seluruh insan, dalam apa jua bidang kehidupan,berlandaskan ketetapan Allah di dalam Al-Quran.Satu perubahan yang akan membawa kesejahteraan bukannya kehancuran, kemajuan yang dapat mengimbangi antara keluhuran jiwa, dan material, demi untuk kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Sidang hadirin sekalian,

Sebagaimana yang telah kita ketahui,Al-Quran adalah merupakan wawasan untuk manusia yang diturunkan oleh Allah swt, penuh dengan hikmah,membawa risalah iman dan amal,petunjuk dan juga panduan sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ,ayat 1-2 , yang bermaksud : “Alif Lam Mim.Al-Quran itu tidak syak dan tidak ragu-ragu lagi ,menjadi petunjuk kepada orang-orang yang bertaqwa”

Para hadirin dan hadirat yang saya hormati,

Generasi Al-Quran sentiasa bertaqwa kepada Allah,mereka berlumba-lumba membuat kebaikan,berjuang supaya tertegaknya hukum Allah, serta sanggup mengorbankan harta dan jiwa untuk kepentingan ummah.Inilah satu ummah yang dinyatakan oleh Allah sebagai ‘Ummatan wasatollitaku nu syuhadaa a a’lannas’ dan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.

Ke arah melahirkan generasi Al-Quran,pendidikan memainkan peranan yang penting.Hanya generasi yang dididik dengan Al-Quran sahajalah yang dapat menjamin kesempurnaan hidup di dunia dan di akhirat.Al-Quran sahajalah yang menganjurkan konsep pendidikan bersepadu disamping adanya integrasi dari disiplin-disiplin ilmu akal, kesepaduan antara rohani,emosi,fizikal dengan tauhid dan akidah sebagai paksinya.

Proses pendidikan yang sentiasa beroreantasikan islam yang syumul,hendaklah dimulai dari peringkat rendah hinggalah ke institusi-institusi pengajian tinggi, demi melahirkan suatu generasi Al-Quran yang bertaqwa,saintifik dan progresif.Generasi yang inovatif dan dan sentiasa memandang ke hadapan,yang tidak sahaja menjadi pengguna kepada teknologi, tetapi merupakan penyumbang kepada tamaddun saintifik dan teknologi masa kini dan akan datang.

Al-Quran menganjurkan kita supaya mengkaji,menyelidiki dan menganalisa setiap apa yang dijadikan oleh Allah hatta menembusi langit atau bumi sekalipun.

Sidang hadirin sekalian,

Dalam hal ini, kerajaan mestilah memainkan peranan penting untuk melahirkan generasi Al-Quran.Para pemimpin mestilah menjadikan Rasulullah saw sebagai model utama untuk dicontohi kerana sudah terbukti, Nabi Muhammad melalui mukjizat wahyu Al-Quran berjaya membawa perubahan dan kemajuan kepada bangsa arab yang ketika itu hidup dalam kejahilan dan kegelapan ilmu.Lantas mereka bangkit sebagai sebuah bangsa yang maju dan bertindak sebagai pemimpin kepada kemajuan dan tamaddun dunia yang disegani.

Dalam kecanggihan teknologi maklumat masa kini, media massa, samada media cetak atau media elektronik perlulah memainkan peranan yang penting seperti menyiarkan rancangan-rancangan yang bercorak keagamaan, lagu-lagu atau filem-filem yang menjurus kepada mentauhidkan Allah.Tokoh tokoh dan para ilmuan islam pula perlulah memperbanyakkan karya-karya bermutu dan ilmiah yang bertemakan islam, yang boleh memimpin akal manusia ke arah ketaqwaan kepada Allah.

Setelah terbinanya generasi Al-Quran,maka tidak syak dan ragu-ragu lagi bahawa generasi ini akan dapat membawa perubahan yang besar dalam semua dimensi kehidupan, baik dari segi sosial,ekonomi dan politik sejajar dengan anjuran Al-Quran.

Dalam bidang sosial umpamanya,generasi al-Quran akan dapat berhubung dan bergaul baik sesama mereka,mempunyai ikatan persaudaraan yang utuh, seutuh persaudaraan dan perpaduan kaum Ansar dan muhajirin yang pernah dibentuk oleh rasulullah saw bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud :

“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara”.

Dalam bidang ekonomi pula,mereka akan dapat melaksanakan sistem ekonomi islam sejajar dengan hukum Al-Quran yang adil dan menentang keras segala bentuk penipuan riba,rasuah dan penindasan.

Dalam bidang politik pula,generasi Al-Quran akan dapat melaksanakan sistem politik dan pentadbiran seperti mana yang dituntut oleh Al-Quran.Menghukum dengan hukum Allah, dengan menjunjung Al-quran dan hadis sebagai penyuluh sendi-sendi pentadbiran.dalam konteks ini Allah telah berfirman dalam surah Ali –Imran ayat 85 yang bermaksud ;

“Dan sesiapa yang mencari lalu mengikut selain daripada islam sebagai agama atau cara hidup, maka tidak akan diterima darinya,dan di akhirat nanti dia akan termasuk ke dalam golongan orang yang rugi”

Hadirin yang dimuliakan,

Ketahuilah, untuk mencapai segala apa yang kita hajati,mahu tidak mahu,terpaksa kita hadapi berbagai cabaran.Contohnya ada segelintir pihak di barat yang beranggapan bahawa golongan yang berpegang kepada agama adalah mundur dan tidak mampu untuk maju ke depan. Apakah ini benar saudara?... Tidak!

Setiap individu islam mestilah mengakui dan menyakini bahawa Al-Quran dan islam tidak pernah memusuhi ilmu,budaya intelek dan tamaddun manusia,tetapi yang menyebabkan umat islam itu mundur dan tidak mempunyai masa depan adalah kerana sikap umat islam itu sendiri.Mereka sendiri yang tidak mahu mengubah nasib hidup mereka.Ini sejajar dengan firman Allah yang membawa maksud “Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehinggalah kaum itu sendiri yang mengubahnya”

Saudara-saudari yang dihormati sekalian,

Dalam sejarah pernah tercatat, pada tahun 1964, sebuah muzium lama di Holland telah mengeluarkan satu kenyataan atau pengakuan yang jujur berbunyi :

“Sebenarnya, islam di sebelah timurlah yang terlebih dahulu mempertemukan barat dengan tamaddun, bukannya barat yang mempertemukan timur dengan tamaddun”

Kaum muslimin dan muslimat yang saya kasihi,

Sebagai penutup dan kesimpulannya, percaya dan yakinlah, bahawa generasi Al-Quran yang seimbang dari segi fizikal,emosi dan rohani, yang sempurna akal dan imannya,yang kreatif dan inovatif, serta ideal dan waqi’e dalam segala tindakannya, pasti akan melahirkan insan yang bergelar Khalifah Allah di muka bumi ini dan mereka nanti sudah pasti mampu membawa perubahan dan kemajuan kepada seluruh insan .InsyaAllah.

Sekian….. ]

Sangtawal Sakranta...

5 comments:

M.O said...

sungguh menarik pengalaman anda,kami doakan anda ditetapkan amal dan iman



-M.O

Sangtawal Sakranta said...

salam M.O,

terima kasih atas doa kalian.
InsyaAllah.

wassalam.

Nur Mawaddah Mahdiyah said...

kalau ada msa dan rajin..jengok2 teratak blog sya ekk..bg komen yg membina skit..hehe..
"aku hanya insan yg lemah" hehe

Sangtawal Sakranta said...

Salam buat adik Nur Mawaddah,

Terima kasih atas komen,

selamat belajar dan teruskan perjuangan... semoga kejayaan menjadi milikmu... good luck for your final exam!!!

Usah ditangisi permasaalahan hari ini sehingga melupakan kebahagiaan hari esok ...

Ini kata kunci Perjuangan saya :
"Jangan mudah menyerah kalah pada jiwa yang tak mudah kalah!"

Abang juga doakan semoga anak-anak abang akan berjaya di dunia dan akhirat.

Wassalam :)

Unknown said...

Assalamualaikum,membaca coretan tuan membuatkan saya mengimbau kembali kenangan semasa majlis tilawah berkenaan di smka mergong kedah.sy menjadi johan syarahan agama kategori perempuan di majlis itu namun sayang tak pernah terfikir utk menyimpan teks syarahan spt tuan.Terima kasih utk perkongsian coretan ini..