Thursday, December 02, 2010

Tarian Yang Lembut Menjadi Asas Kepada Pukulan Yang Keras!



Tajuk : Tarian Yang Lembut Menjadi Asas Kepada Pukulan Yang Keras!

Artikel Oleh : Sangtawal Sakranta.


Tarian adalah satu entiti seni melayu yang amat mengasyikkan.Percayakah anda jika saya katakan bahawa disebalik kelembutan gerak tari tersebut tersimpan seribu satu macam rahsia yang hanya orang melayu mampu memahaminya.Ilmu yang sangat rahsia ini telah dibalut dan disembunyikan melalui gerakan yang sangat lembut tetapi penuh dengan kod-kod rahsia pergerakan yang hanya mampu dibaca dan ditafsirkan oleh mereka yang mempelajari selok belok ilmu tersebut.Itulah cara bangsa terahsia Melayu mengekalkan ilmunya.

Percayakah anda semua bahawa lagenda Kung Fu dunia Bruce Lee amat meminati seni bela diri melayu iaitu Silat? Mengapa tuan-tuan? Apakah rahsia yang terkandung dalam seni bela diri melayu itu yang menjadi minat nya? Saya tinggalkan persoalan ini buat anda semua!

Apa perlunya tari-menari semua ni tuan-tuan? Ada yang kata… lecehlah!!! Ada juga yang kata kerja-kerja tari menari ni kerja wanita… anak-anak muda yang macho zaman sekarang dah tak minat silat sebab kononnya kena banyak belajar tari-tari dan gerak lenggoknya, nampak lembik dan tak ganas, jadi mereka lebih gemar belajar seni bela diri yang nampak lebih ganas.Persepsi begini memang silap saudara..

Sebagai contoh… sila lihat bagaimana tarian yang dikatakan lembut itu menjadi asas kepada gerak dan pukulan yang keras malah menjadi pukulan-pukulan maut selepas itu.Maaf jika saya bagi contoh dari filem Thai, sila Klik Sini


Hasil dari gerakan tari yang lembut diatas, anda boleh melihat pukulan-pukulan yang keras dan hebat dalam aksi pertarungan dibawah:



Bukan maksud saya untuk mengagung-agungkan kehebatan seni bela diri diatas dan merendahkan Silat melayu, tetapi ianya hanya sebagai satu contoh untuk kita berfikir!

Dari cara dan gerak tari diatas, ianya mirip tarian melayu dan boleh ditonton dalam permainan Makyong! Apakah gerak tari dari seni bela diri diatas mempunyai persamaan dan asal usul yang sama dengan beberapa jenis silat di alam melayu ini? Saya tinggalkan persoalan ini kepada anda yang lebih arif dalam hal ini.Semoga sama-sama boleh berkongsi ilmu di blog ini.

Oleh kerana saya bukanlah orang yang ahli dalam ilmu persilatan ini, maka rasanya elok saya siarkan satu artikel yang ditulis oleh mereka yang ahlinya[dari web khalifahgayong], yang saya kira maksud penyampaiannya dan penulisannya hampir sama dengan apa yang ingin saya sampaikan, jadi tak payah lah saya buat research banyak banyak! izinkan saya siarkan atau Klik sini untuk membaca artikel penuh. sila KLIK

************************************************
Artikelnya seperti berikut :

[[…Seni Silat Pusaka Bangsa

Seni silat merupakan salah satu tradisi peninggalan nenek moyang Bangsa Melayu yang kini kian ditelan zaman. Silat begitu sebati dengan kaum melayu di seantero kepulauan melayu terutama Malaysia dan Indonesia. Jika kita selidik, terdapat berpuluh-puluh jenis silat yang terdapat di tanah melayu ini, bahkan mungkin beratus jenis silat.

Silat merupakan sejenis tarian atau gerakan mempertahankan diri ataupun tarian perang. Pergerakan tari silat yang lembut tersirat pukulan-pukulan maut dan gerakan menepis atau mengunci musuh. Jika dilihat dengan mata kasar kita tidak nampak apakah maksud di sebalik gerakan tari silat tersebut. Bahkan ada yang memandang rendah terhadap kemampuan silat dalam seni mempertahankan diri kerana dianggap lembik dan tidak glamour. Aku pun dulu pernah terfikir belajar boxing lebih baik daripada belajar silat. Buat apa belajar silat dengan tari-tari yang tidak dapat digunakan ketika berlawan. Masa berlawan, takkanlah nak menari lagi…itulah pandangan sinis daripada orang-orang yang tidak tahu nilai seni silat termasuk aku. Boxing lebih baik sebab Nampak pukulannya dengan jelas, dengan hayunan penyepak yang bisa menjatuhkan lawan dan siku yang boleh membelah tempurung kepala musuh. Tari boxing atau langkah sembah kelihatan lebih gagah dan megah sesuai dengan jiwa aku yang suka lasak heheh…itu dulu, dan setelah aku mendalami ilmu persilatan baru aku merasai kehebatan Seni Pusaka Tuah ini.

Barulah aku sedar rupa-rupanya aku silap…silap menilai pusaka yang telah banyak membunuh musuh, menghalau penjajah, mempertahankan negeri. Apakah senjata yang digunakan datuk nenek kita sewaktu melawan penjajah kalau bukan dengan silat. Walaupun berparang, berkeris atau bersenjata , silatlah yang menjadi tonggak menghunus senjata-senjata tersebut. Keadaan berlawan pada zaman dulu adalah dalam jarak dekat, oleh itu tidak dapat lari dari silat kerana kita tahu seni mempertahankan diri melayu adalah silat. Silat adalah seni mempertahankan maruah tertua bagi bangsa melayu. Keris pula merupakan senjata yang sinonim dengan silat, dan lambang bagi bangsa melayu.

Dalam kelembutan ada ketangkasan, dalam ketangkasan ada pukulan, Dalam tarian terkandung seribu jurus, itulah kehebatan silat. Pun begitu, silat hanyalah ilmu untuk mempertahankan diri bukan untuk menunjuk-nunjuk kehebatan sendiri. Gerakan silat yang lemah lembut menunjukkan kelembutan orang melayu yang sinonim dengan bangsa melayu yang kaya dengan budi bahasa dan sopan-santun hatta dalam bertempur sekalipun. Ini ialah Seni Silat. Manakala bila berGayong tidak ada lagi tari dan kelembutan . Ianya lebih menumpukan kepada ketangkasan, ketepatan dan kemusnahan. Pasal tu Arwah Dato Meor mengatakan Gayong adalah khusus untuk berperang.

Biarpun begitu, segelintir sahaja yang minat dengan ilmu silat. Generasi muda sekarang didedahkan dengan ilmu mempertahankan diri seperti taekwon-do, karate, judo dan sebagainya yang Nampak gah berbanding silat melayu. Seolah-olah silat melayu tidak begitu bernilai ataupun tidak dapat menyaingi kehebatan ilmu mempertahankan diri lain. Apakah ini kerana ketiadaan guru-guru silat yang membuka kelas atau darjat silat yang dianggap kekampungan menyebabkan tiada selera anak muda dengan silat…?

Jika menyelusuri sejarah silam, alangkah beruntungnya kita kerana dapat mewarisi ilmu ini. Bukan kerana kemegahan atau keegoan, tetapi kerana betapa besarnya nilai sesebuah ilmu persilatan itu. Pada masa aku kecil, diceritakan ketika tercetusnya pergaduhan kaum semasa 13 Mei 1969 , selepas benteng tentera dan polis..Silatlah yang mempertahankan kaum melayu. Terutamanya Silat Seni Gayong dan Selendang Merah pimpinan Kiyai Salleh

Antara Silat Segera dan Fast Food

Jika dilihat senario sekarang berlambak wujudnya silat segera yang belajar pun nak segera.. Guru-guru silat pun lebih ramai daripada anak murid. Silat gaya pos pun ada. Masukkan duit dalam akaun bank, guru akan menghantar senaskah amalan…Agaknya lebih tepat kita katakan Silat IT Namun yang paling BAHAYA ialah ada perguruan yang menggunakan khidmat JIN bagi menunjukkan kehebatan yang mencarik adat.. Rujuklah alim ulamak bagi membezakan diantara Karamah dan Istidraj.

Adapun silat berbentuk kebatinan amatlah rumit untuk mempelajarinya. Ini kerana kesilapan amalan boleh memberikan kesan buruk kepada pengamalnya. Inilah mungkin penyebab ketiadaan orang mahu meneruskan ilmu ini. Dimanakah hilangnya ilmu ibu gayong sendi gedang tunggal, semar alam tunggal, belah bumi kipas nandung, raja kipas nandung. Kalau ada pada seorang guru pun adakah dapat dipelajari dan menguasainya dalam masa 24 jam sahaja…Silat batin ini, menurut cerita-cerita orang tua, pokok kelapa boleh tumbang hanya dengan menolak angin sahaja. Musuh boleh terpelanting hanya dengan menghembus nafas dan boleh berdiri di atas daun pisang. itu semua adalah kehendak Allah kepada hambanya yang istiqamah dalam perjuangan menegakkan yang Haq dan menentang yang Batil. Cuma yang menjadi persoalan sekarang adakah ilmu ini sudah tiada pewarisnya. yang ada sekarang bolehlah dianggap ibarat

“mee maggi cepat dimasak sedap dimakan akhirnya MEMUDARATKAN BADAN”

Manakala silat yang tidak berbentuk kebatinan ini Kehebatannya tetap ada dan menyimpan rahsia yang tersendiri ( ambil rasa baru mengetahuinya ) . Namun tidak perlu kepada mengamalkan ayat-ayat tertentu dan sesuai dipelajari semua golongan. Pun begitu, masih ada ayat-ayat dan petua yang dijadikan sebagai pendinding atau amalan dalam silat tertentu. Seperti artikel lepas belajar biar berguru dan pemahaman Islam wajib dipertingkatkan dari masa ke semasa.

Setiap Gerak Ada SENI Setiap SENI ada RAHSIA

Gerakan-gerakan tari silat adalah berbeza antara satu sama lain.Antaranya Seludang Jatuh, Lenggang Janda, Benang Kusut, Merbah Berlaga, Kayuh Raja Beradu, Tarik Rotan Banar, Cacok Racik, Helang Berlegar, Helang Melayang, Angkat Pulut, Belah Udang, Bersikat, Limbai, Gajah Berdorong, Permainan Empat Penjuru, Langkah Tiga, Mengumpan Ayam Putih, Tikam Serong, Buang Luar, Buang Dalam, Belebat, Tembung, Parang, Dorong, Spelet, Panah Arjuna dan Sembah Lela dan pelbagai lagi. Tari-tari itu sebenarnya adalah teknik serangan atau menangkis yang digayakan dalam bentuk tari, lemah lembut sesuai dengan adat melayu bersopan santun. Namun orang ramai masih tertanya-tanya ialah silat tari atau silat jatuh, apakah ianya adalah silat perang atau sekadar untuk persembahan?..

“Dalam Gerak ada Tari.. dalam tari ada Buah.. Bila Buah DiPetik nescaya Musuhkan Rebah“

Manakala bila berGayong gerakan kita bukan lagi bersifat lembut bahkan setiap gerakan adalah untuk memusnahkan musuh, misalnya gerakan Rajawali, timang puteri, gerakan harimau, cindai dan lain-lain lagi. Pernah sekali saya melihat batu yang sebesar kepala kita hancur berkecai dipukul oleh Cikgu Awang di air terjun Titi Hayun dengan menggunakan kain pelikatnya semasa mengajar Seni Cindai. Itu bukannya kuasa kebatinan tetapi SENI ( momentun,halaju,ketepatan, daya.. ala saintifik lah katakan) kalau nak tahu bergurulah dengan yang mewarisi pusaka bangsa ini.

Jijok Angin

Misteri dalam silat ialah muziknya. Tiupan serunai dan gendang merupakan “pembakar semangat” yang meresapi seseorang pesilat… Pesan Arwah Dato Meor sekiranya Gayong ingin dipersembahkan hendaklah dibaca Sajak Gayong semasa persembahan dijalankan , pesilat akan bersemangat dan kemahuan dalaman membuak-buak menyuruh membuka sembah memula pencaknya. Inilah yang dikatakan “Angin silat ” sepertimana angin makyung, angin dikir,dan angin teri. Itulah misteri yang belum terungkai ..

Realiti Silat di Masa Kini

Teringat saya waktu kecil-kecil dulu, selepas sahaja menuai padi, gelangang-gelangang silat dibuka dikampung, kalau tidak pun gelangang boxing, anak-anak muda ramai yang datang belajar. Sebab itulah orang-orang dulu jarang yang tidak pandai bersilat, kalau tidak bersilat pun pandai boxing. Mereka gemar belajar, mungkin kerana tidak ada kerja yang nak dibuat, atau mungkin kerana hiburannya tak banyak seperti sekarang, tapi yang pasti mereka rajin menimba ilmu, lepas seperguruan seperguruan pula, lepas segelangang segelangang pula. Lepas mereka belajar silat jatuh, belajar silat tongkat pula, pendeknya mereka rajin.



*Rindu sekali untuk melihat anak bangsaku bersatu seperti di atas dan bergerak dalam satu saf demi perjuangan yang satu!

Kita tengok dulu jarang berlaku gejala sosial yang pelik-pelik seperti hari ini, kalau ada pun tak sama macam sekarang, yang menjadi ancaman dalam negara, yang mengusarkan hati semua orang. Apa tidaknya, kes bunuh, rogol, zina, subang muhram, bahkan seribu satu macam gejala yang terkadang letih untuk disebut berlaku setiap hari. Orang dulu belajar silat bukan semata-mata silat, mereka diasuh menghormati guru, bukan sahaja guru silat mereka, guru orang lain pun mereka hormat, menghormati ibubapa lebih lagi, mereka ada disiplin dan pantang larang. Boleh jadi budaya inilah yang mereka bawa dalam masyarakat. Mereka tak mudah bergaduh walau pun pandai bersilat, kadang-kadang makin pandai bersilat makin merendah diri, macam resmi padi makin berisi makin tunduk, tidak seperti ayam, bertelur sebiji riuh sekampung. falsafah yang diajar (Selagi air mata tidak mengalir, selagi darah tidak menitis jangan pukul orang sekali-kali). Ini sesuai dengan ajaran Islam kalau diamalkan.

Yang pelik bin ajaibnya kenapa budak-budak hari ini jarang yang berminat kearah itu, tidak seperti orang dahulu. Mereka lebih suka merempit yang sudah pasti mengundang geruh, ada yang suka telan pil kuda sehingga hidup tak keharuan bahkan macam-macam lagi. Syabas dan tahniah kepada Penggerak Pusaka Bangsa yang berjaya mendidik anak bangsanya sendiri, ilmu dan usaha yang baik itu pasti akan direstui Allah. Istiqamah lah kita semua insya Allah.


Umat Melayu Menjunjung Tinggi


Kita harus sedar bahawa proses menghargai seni pusaka bangsa pada diri seseorang adalah tertanam sejak mereka lahir. Misalnya Anak yg baru lahir sedang menyusu pada ibu biasanya mendengar dodoi, dendangan dan nyanyian belaian ibunya akan tersemat rasa seni itu pada jiwa mereka. Makin besar anak itu makin bertambah pengalaman seni pada diri mereka. Seni muzik, seni suara, seni tari, seni silat akan mempengaruhi anak2 itu.

Dalam hal ini mereka akan merasa senang dan puas hati bilamana mendengar atau melihat apa yang telah di alami oleh mereka semasa kecil dahulu. Mungkin kepada peringkat yang telah berumur akan merasa puas hati dan bersemangat serta gembira bila serunai dan gendang silat di mainkan, lagu makyung di alunkan, lagu dikir barat di nyanyikan dan di hayati oleh generasi tersebut. Pepatah ada menyebut ” tempat jatuh lagikan dikenang inikan pula tempat bermain”. Anak kita masih dapat dan sempat mengalami pengalaman ini, tetapi cucu-cucu kita mungkin proses penerimaan nya sudah mula berkurangan. Anak yang berkurangan pengalaman oleh kerana tiada bersambungnya seni tersebut tidak dapat menghayati rasa seni lagi sebagaimana ayah dan datuk mereka dahulu.

Dalam masa 20 tahun saja jika di perhatikan bahawa anak muda yang lahir menjadi sudah pun berumur 20 tahun. Oleh kerana kekurangan pendedahan kesenian tradisi kita, maka minat mereka sudah pudar. kepada mereka bunyi gong gendang, serunai rebab adalah sebagai bunyi bising yg menganggu mereka sahaja, sedangkan bunyi alat2 tersebut bagi orang2 tua mereka adalah satu kemegahan dan timbul rasa puas hati.

Penurunan permainan tradisi amat ketara pada mereka sudah tiada lagi. Seni Silat ,Makyung, Wayang kulit, dan lain-lain yang tinggi nilai seninya sudah tidak dapat di hayati lagi. Hal-hal seperti ini sekali lagi tidak dapat di persalahkan kepada mereka. Apa yang penting sekarang ialah kita yang masih ada ini hendaklah menjadi kesinambungan kepada generasi terdahulu yang telah pergi meninggalkan kita supaya pusaka tradisi kita tetap terjaga , terpelihara dan di kembangkan kepada generasi muda.

Sehebat dan Segagah silat yang pernah menyanjung nama bangsa Melayu pada kurun terdahulu, adakah masih kuat untuk melawan arus abad kini. Bangsa Melayulah yang harus mempertahankannya, sebagaimana silat pernah mempertahankan bangsa melayu dahulu. Takkan hilang Melayu di dunia…Melayu akan hilang jika identiti Melayu ini hilang…

Anak langsat dibuat tongkat
Keris lembing senjata melayu
Usaha kita membawa berkat
Menyuburkan seni agar tak layu.

“Ilmu kaloh pada Petua, Petua kaloh pada Raso”

Pesan arwah Tokku

Aku dan gayong
www.khalifahgayong.wordpress.com …]]

*******************************************************


Berikut adalah beberapa contoh gerak tari silat saja , maaf kepada ahli seni bela diri lain yang tidak diletakkan video atau linknya disini .



Amat menarik, begitu berseni dan harmoni sekali pergerakan silat mereka dibawah ini !



Akhir sekali pesan saya, jangan jadi “lelaki Melayu lembut berterusan bersifat sotong”… jadilah lelaki melayu yang lembut budi bahasanya, beradab dan bersopan dengan orang tua tetapi gagah perkasa di medan juang untuk membela Agama,bangsa dan tanahairnya yang tercinta!

Hidup Silat warisan pusaka bangsa kita!!!

Hidup seluruh persatuan seni silat di alam melayu yang berpaksikan Al-Quran dan sunnah!!!
Amin!


*[Artikel ke-210 Sangtawal Sakranta ]



17 comments:

  1. salam sangtawal,

    sy suka sgt dgn artikel ni..a'ah bruce lee kalah dgn guru silat gayong m'sia dato' sapa ntah..sy x ingat..dikatakan akibat pukulan dr silat tu bengkak dan makin teruk smpailah dia mati..

    saya rasa menyesal lah x blajar silat..sy blaja taekwando. huhu. dulu sy rasa silat ni lembik sgt..mcmana nak menang dgn martial art lain yg laju2..mcm kungfu dan karate. mm..ni kes sy buta sejarah lah dulu..haish..menyesal sungguh..

    ReplyDelete
  2. inilah alam melayu.......

    ReplyDelete
  3. Salam saudaraku, Sangtawal...


    Alhamdulillah, terima kasih atas artikel ini. Benar saudara, satu masa dahulu saya pernah merasakan seperti apa yang tercatat dalam artikel saudara diatas.


    "Apa lah, buang masa je belajar silat, dah lah lembab, orang dah serang baru nak bukak bunga... baik belajar kungfu, pantas dan tangkas..."


    Kata-kata seperti ini sering bermain dikepala saya satu masa dahulu. Namun setelah lama berjalan dan berjalan, akhirnya saya jumpa juga apa disebalik tari bunga yang diajarkan dalam perguruan silat itu. Bahkan, dalam kungfu milik orang cina juga diajarkan benda yang sama, iaitu tari yang lembut menghasilkan buah pukul yang padu.


    Semoga dengan artikel ini dapat membuka mata dan minda orang kita yang masih berfikiran bahawa seni budaya kita tiada nilainya.


    ~Melayu Kan Gagah Di Nusantara~
    ~Gagah Melayu Kerana Islam~


    BiIzniLlah...
    Salam dari kejauhan...
    -Seni Silat Macan Pasrah.

    ReplyDelete
  4. Serunai ni boleh ke tak boleh dimainkan sebenarnya?

    ReplyDelete
  5. salam saudaraku...

    saya pengamal silat cekak ustaz hanafi...silat nie pon ok dan bagus jgak...tiada amalan2 yg meragukan dan syirik...guru utamanya pula tidak menyembunyikan apa2 buah pon kepada anak2 muridnya...semua yg guru tu ada...semua itulah yg akan diperturunkn kpd muridnya...

    saya mendapati ada sesetngah silat...mahagurunya akan simpan satu buah untuk dirinya sendiri yg tidak akan diajar kpd muridnya supaya muridnya tidak makan 'tuan'...silat gayong ni plak macamana ???

    kalau setiap guru buat camtu...bukankh lama-kelamaan semakin sedikit ilmu yg akan diperoleh oleh murid2nya ??last2 xda langsung..betol ker ???

    apa pandangan saudara mengenai perkara nie ???

    saudara pengamal silat gayong ka ??

    #maaf jika terkasar bahasa...saya hanya ingin mengetahui dan belajar...kepada pengamal2 silat yg baca komen ni, boleh la kita berdiskusi yer...

    ~salam ukhuwah semua~
    ~takkan melayu hilang di dunia selagi islam tertanam di hati~

    ReplyDelete
  6. Assalammualaikum..

    Saudara Sangtawal mungkin perlu buat kajian sejarah mengenai Silat Kuntau Selempang Merah milik Kiyai Salleh.. kerana ia tidak mempunyai tarian..

    Sangtawal boleh ke youtube mencari Silat Kuntau ini..

    Nama asalnya adalah selempang merah dan ia ditukarkan selendang merah atas sebab zaman..kini Silat Selempang milik Kiyai Salleh ini diwarisi oleh Ayahanda Tok Ayah..

    Tetapi ia masih mengekalkan kemelayuan dan agama didalam isi Seni Silat ini..

    -Zuha-

    ReplyDelete
  7. Hulubalang KalathanaDecember 3, 2010 at 9:50 AM

    Salam sahabat,

    Pandai menari Tari Lilin, akan cantik mainan Tari Pedang Melayu. Gitu jugak Tarian Zapin Johor @ Joget Pahang akan tangkas dan lincah pergerakan langkah dan pergerakan Silat. Tari Inang pula melembutkan pergerakan.

    ReplyDelete
  8. Alhamdulillah sy mmg mencintai silat. Sy start belajar di kampung. Guru sy pula memang menggalakkan pelajar menggali ilmu mengenai bela diri, bkn shj silat. Kami diajar berfikir, kenapa dan mengapa utk setiap gerakan. Bila di KL, suasana di sini lebih komersial.

    Ilmu silat, petua dan falsafah bkn shj terbatas utk fizikal shj malah boleh juga diaplikasikan dalam kehidupan sehari seperti dlm perniagaan. Cuma orang melayu ms kini kurang mengkaji, akibat buta sejarah, sanggup mengabaikan budaya bangsa, mengagungkan bangsa lain. Orang asing ramai yang mengejar ilmu silat.

    Ada org melayu bertaraf Tan Sri pernah berkata kpd sy bhw anak nya semuanya belajar karate, silat ni byk menari, macam mana nak lawan." Itulah persepsi sesetgh org Melayu sendiri.

    Tujuan belajar silat selain utk mempertahankan diri, juga utk belajar budaya bangsa, dengan masa yang terhad, komitmen lain, rasanya tak mampu belajar semua. Nasib baiklah masih ada yang sanggup jadi guru silat, penyambung ilmu.

    ReplyDelete
  9. salam sejahtera serta ketenangan buat semua.

    kawan main silat diri..mudah, kerana barangnya sudah berada dalam diri kita..
    semenjak lahir lagi kita dah bawa barang ni..
    cantiknya tak perlu dipelajari tetapi perlu dikenali..
    cuma masa gunanya time
    emergency je.

    segala kesempurnaan sudah nyata allah titipkan didalam diri..

    w'alam.
    wasalam.

    lost soul.. 'the nothing'

    ReplyDelete
  10. Salam Sahabatbu Sangtawal.

    saya suka artikle ini. terima kasih.

    berkenaan

    "mahagurunya akan simpan satu buah untuk dirinya sendiri yg tidak akan diajar kpd muridnya supaya muridnya tidak makan 'tuan'"

    mungkin ada dalam beberapa silat yang begitu tetapi 'guru yang sejati' tidak me-rashiakan apa-apa

    dan sebagai 'adap' atau tertib berlajar pabila ilmu baru hendak diturunkan mestila mengikut tahap penghayatan dan permahaman seseorang itu.

    begitu juga berlajar agama adakah terus-terus diajar permahaman yang tinggi.

    tp semuanya bergantung pada kita sendiri dalam memahami hakikat "buah yang dirashiakan atau guru simpan buah 'rashia'" kerana sebagai seorang guru adakah perlu takut kepada anak murid disebabkan "buah rashia" ? sepatutnya guru insyaAllah lebih memahami maarifatullah dari anak murid maka mungkin orang beritahu ini strategi , tp

    percayala berbeza jika anak murid tahu smua buah dan guru tahu semua buah. ia tidak berbeza dari segi Ilmu lahiriah tetapi ia berbeza dari ibu gayung/Rohaniah.

    Waallahualam.

    *cuba luaskan pandangan Ilmu insyaAllah kita memahami dan menghormati Ilmu-ilmu yang lain.

    (ada juga kisah tetang 'buah rashia' ini sebenarnya bukan buah pun.tetapi apa dia? ini lah rashia yang perlu dirasa jika ingin merasa. )

    ReplyDelete
  11. bukanke dato meor rahman yg menewaskan brucee lee? dlm mastika ada cerita dulu?

    ReplyDelete
  12. Apa pun nama perguruan kamu kena ingat satu perkara:jgn cuba nak meninggi bhw silat kamilah the best,yg lain tak hebat.Penjajah makan tok nenek kita dulu krn guna pepecahan ini utk adu domba sesama kita.Kami tidak nampak apapun kehebatan dlm silat kecuali displin kearah Akhirah.Sebab itulah mana2 silat yg tidak ada pendidikan asas Islam(Tauhid,Fiqah,Tasauf)dikira tak sempurna silat itu...guru kami Pa`Lang Mid buka pondok,bawa guru2 dari Pondok Lanai utk mengajar ilmu2 tadi kepada murid2nya diKedah.Kami diKelantan diperintah oleh beliau menadah kitab2 ASWJamaah dari guru2 Pondok disini minimum 3jam seminggu...kalau tidak apa saja yg dipelajari dalam perguruan kami tidak maufakat dgn silsilah kami..TG Hj Mahmood Nasri,TG Hj Tayyib Seberang Pasir Mas,To`Kenali,TG Hj Abd Rahman Jabat,Syaikh Ahmad Zain Al-Fathony...kesemua silsilah kami Pendekar,Ulama`,Sufi..jgn duk berbangga saja dgn silsilah kamu,buktikan juga pada diri,setidak2nya dgn duk menadah kitab 3jam seminggu termasuk dlm golongan belajar...Ingat...hanya tiga golongan saja yg selamat dari kutukan Ilahi...Alim Ulama`,Penuntut&Zikirullah...pelajarilah silat anda utk Islam...jgn lupa menadah kitab...amalkan thariqah yg muktabar utk baiki nafsu&hati...amal Hikmat2 Kesaktian utk persiapan Jihad.Insya Allah anda akan mati mulia...Husnulkhatimah.Muallim1

    ReplyDelete
  13. salam.. hamba salah seorang pengamal silat cekak ustaz hanafi dibawah pimpinan YM Hj Md Radhi Hj Hanafi.. Semoga allah memberkati beliau.. amin..

    hamba sgt meminati silat.. dr kecik minat tu timbul.. walau pn ramai org (kawan2 sendiri)byk memperlekeh kn silat tapi hamba tetap meminati silat.. ayat2 yg biase digunakan "ala.. maner main silat2.. skang org main pistol jer.. hehe".. tetapi kite perlu ingat maner nk cari pistol utk org awam mcm hamba nie.. kl lah dpt pistol pn x tau gune or tembak x tepat pn x guna.. masakan pistol tu meletup.. kl x leh tembak mcm ner?.. itu lah guna nyer seni mempertahan kn diri.. Arwah Ustaz hanafi pn ade ckp.. dlm pergaduhan sebenar, kl kt tangan kite ade senjata jgn buang.. pakai wai'ma kl ade kunci kereta kt tangan pn leh jadik senjata merbahaya..

    silat2 yg lain pn sgt2 hebat.. hasil dr perbualan dan pengamatan dgn sahabat2 pengamal silat lincah & gayong.. nampak berbunga dan lembut tp ade ketegasan & kekerasan nyer..

    berkenaan dgn buah yg guru simpan pd pandangan hamba bukan lh bererti guru menyembunyi kn ape yg diamanah kn utk mengajar kepada anak murid mereka.. tapi bile sampai satu tahap guru yg mengajar nie biase nyer tergolong dlm org2 yg pemikir, genius, menghayati gerak tari & langkah.. so MAKAM mereka sebagai guru akan nampak dimana kepincangan or kelemahan or blindspot musuh or lawan untuk counter attack.. apa2 pn kl ketangkasan x dpt dikuasai BUAH GURU2 nie x dpt diapply kn.. ini sekadar pandangan peribadi hamba yg kerdil & jahil ini..

    slogan2 dlm persilatan amat membangkit kn semangat seperti makan gerak dlm gerak, elak kene tepis makan, penumbuk bermata, dan lain2.. tapi jika tidak dijaga ayat2 ini oleh pengamal silat akan menimbul kn seperti kata2 sombong & bercakap besar.. walau pn pd hakikatnye perkara itu benar.. maklum lah lidah lebih tajam dr pedang.. sebab tu arwah Hj Hanafi & YM Hj Md radhi berpesan didalam salah satu pantang larang utk pengamal silat cekak ustaz hanafi "JANGAN MENCACAI ATAU MENGHINA SILAT MELAYU YG ASLI"..

    so hamba sgt2 berbesar hati & berpesan kepada sahabat2 sekalian supaya ajak lh kawan2, adik2 saudara mara, sahabat handai utk mewarisi seni silat melayu.. ajak mereka mempelajari wadah yg dibawa oleh pendekar2 sufi ini.. mudah2an akan terlihat ape yg tersurat & tersirat didalam ilmu persilatan.. amin..

    ReplyDelete
  14. hmm.. ade kebenaran nyer pandangan dr anon 6 december 3:18pm..

    kdg2 kite terlepas pandang dlm berkata2.. lalu tanpa disedari kite telah timbul kn satu perasaan tidak enak pd org lain..

    ReplyDelete
  15. untuk kasihMu ku cuba meraih bintang di angkasa..

    walau tak terdaya ..

    untuk kasihMU ku korban apa saja..

    ReplyDelete
  16. Salam semua,

    Saya terperasan.... dalam video Ong Bak 3 itu, Tony Jaa ada guna buah-buah seni tari Silat Buaya Putih yg pernah dimainkan oleh Tok Janggut dalam melawan Inggeris dahulu. Silat ni banyak digunakan oleh orang lama Kelantan dalam menangkis buah-buah keras Muay Thai sampaikan Askar Thai pun pening kepala dengan pahlawan Melayu kat sini.

    Arwah Atok saya dulu ajarkan silat ni pada saya.. nak wat camner? Family belah ayah saya pun asalnya dari Pattani. Kalau berhadapan dengan Muay Thai pun org kata, dah sebati dengan jiwa kita orang Kelantan-Pattani. Tapi saya tetap yakin, banyak lagi silat di Malaysia ni yg ada sepuluh ribu rahsia yg saya sendiri pun belum capai makam-nya untuk huraikan.

    Macam Silat Cekak. Arwah atok saya pernah cakap, saya akan jadi orang laut. Berkelana di laut, bekerja atas kapal. Jadi dia suruh saya belajar Silat Cekak dan Silat Sekeping Papan kerana ia permainan Laksamana Armada Laut Kesultanan Melayu dulu kala. And ya... saya skrg bekerja di atas kapal. Jadi saya pun kena cari jugak la guru-guru Silat cekak ataupun Silat Sekeping Papan ni untuk dibuat bekal belayar. Hai.. orang tua dulu. Bijak tetapi zuhud dan menunduk macam padi. Lagi berisi, lagi tunduk.

    Peace~

    -AkuAnonJugak-
    Sekarang sudah jadi orang Teluk Intan, Perak. :D

    ReplyDelete
  17. Masakan orng british blh terpikat dgn adat dan tarian orng melayu. Sehingga mereka menggunakan adat orng melayu.

    ReplyDelete