Monday, August 06, 2012

Badiuzzaman Said Nursi




Tajuk : Badiuzzaman Said Nursi. 

Artikel Oleh : Sangtawal Sakranta. 


Bersempena dengan sambutan hari Nuzul al-Quran hari ini, saya dedikasikan artikel ini untuk seorang wali Allah swt Badiuzzaman Said Nursi.

 

Badiuzzaman Said Nursi adalah merupakan seorang pejuang, pemikir islam Turki dan seorang Wali Allah swt.Membaca kisah hidup dan liku-liku perjuangannya membuatkan air mata saya mengalir. Pengorbanan yang dilakukan oleh beliau amat besar maknanya buat seluruh rakyat Turki dan seluruh dunia islam.

Ketika Negara Turki bertukar menjadi sebuah Negara Republik dan mengenakan dasar sekular, Allah swt telah mempersiapkan seorang Mujahid unggul untuk menentang segala agenda musuh-musuh Allah swt ke atas seluruh umat islam yang berpusat di Turki.

Beliau seorang manusia yang pintar dan bijaksana, sehinggakan didalam biliknya ketika dia menjadi pelajar dahulu , dia menulis dan menggantung ayat : “Di sini akan diselesaikan setiap permasalahan yang rumit dan setiap soalan akan dijawab, tanpa mengemukakan sebarang soalan kepada orang lain.”

Beliau adalah seorang ulama yang memperjuangkan agama dan menegakkan syariat.Beliau juga turut dianugerahkan ilmu ladunni oleh Allah swt.Dia juga pernah berkata : “Sesungguhnya agama adalah sinaran bagi hati, sedangkan ilmu-ilmu moden adalah cahaya bagi akal”

Maka benarlah seperti Sabda Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad ra : “Sesungguhnya Allah akan membangkitkan bagi umat ini di setiap permulaan kurun, orang-orang yang memperbaharui urusan agama mereka”


 

Ternyata Mujahid yang dibangkitkan pada kurun itu bukan dikalangan ahli sufi. Badiuzzaman Said Nursi selalu menyebut bahawa zamannya itu bukannya zaman tasawuf atau tareqat, tetapi adalah zaman bagi menyelamatkan iman.Tulisan-tulisan beliau dalam Risalah An-Nur yang masyhur itu bukanlah risalah-risalah sufi, tetapi ia berkaitan dengan persoalan-persoalan akidah.

Beliau menulis : “Sesungguhnya aku andaikan sekiranya Syeikh Abdul al-Qadir al-Jaylani, Shah al-Naqshabandi dan Iman Rabbani sekiranya hidup pada zaman kita ini, nescaya mereka akan mencurahkan segala kemampuan mereka bagi memperteguhkan hakikat keimanan dan akidah islam.”

Sifat luarbiasa Said Nursi terjadi ketika beliau masih bayi lagi.Pada setiap bulan puasa, pada siang harinya dia tidak mahu menyusu dan hanya menyusu pada sebelah malam sahaja. Kepintarannya terserlah sejak dari kecil lagi.

Pernah suatu masa beliau pergi menuntut ilmu dengan Molla Abdul Karim.Gurunya itu pada mulanya tidak mahu mengambilnya sebagai murid kerana usianya baru 15 tahun, tetapi Said Nursi tetap mahu berguru dengannya, oleh itu Molla Abdul Karim pun menyuruh dia membaca dan memahami dulu 7 buah kitab , kerana ketika itu murid-muridnya yang lain sedang belajar kitab yang ke-8. Said Nursi pun menghabiskan membaca 8 buah kitab hanya dalam masa 3 hari sahaja dan faham kesemua isi kandungannya sehinggakan dia dikagumi oleh gurunya dan seluruh pelajar disitu.Ketika itu juga dia ditawarkan oleh gurunya untuk menjadi seorang guru di madrasah itu namun ditolak dengan baik oleh Said Nursi.

Dia pun bertolak ke Madrasah Beyazid untuk berguru dengan Syeikh Muhammad Jejali pula.Tempoh belajar yang biasanya diambil oleh kebanyakan murid gurunya untuk belajar ilmu dengan Sheikh tersebut biasanya memakan masa 15 tahun, tetapi telah dihabiskan oleh Said Nursi hanya dalam masa 3 bulan sahaja! Dengan kejayaannya itu Said Nursi dikurniakan Ijazah oleh gurunya dan diberi gelaran “Molla Said” serta ditawarkan menjadi guru di madrasah itu, “kamu sudah boleh memakai jubah dan serban ulama” kata gurunya itu namun ditolak dengan baik oleh Said Nursi dengan berkata “ Saya lebih suka memakai pakaian darwis sahaja”

Ketika berjumpa dengan abangnya Abdullah selepas 8 bulan tidak bertemu kerana masing-masing sibuk menuntut ilmu ,abangnya dengan bangga memberitahu bahawa dia telah membaca dan mengkaji kitab syarh asy syamsi dan beberapa buah kitab lagi sehingga dia layak dan diberikan kebenaran untuk membuka sebuah madrasah tempat pengajian agama oleh gurunya. Lalu dia bertanya pula kepada Said Nursi sebanyak mana pula ilmu yang telah Said Nursi pelajari. Dengan merendah diri Said Nursi menjawab bahawa beliau telahpun membaca dan menghafal 80 buah kitab termasuk syarh asy syamsi! Abdullah terkejut dan tidak percaya pada mulanya, tetapi setelah diuji, ternyata adiknya itu seorang yang pintar dan berkata benar.Abdullah sangat gembira lalu memohon untuk menjadi murid adiknya itu pula.

Oleh kerana kepintarannya yang luar biasa Said Nursi telah diberi gelaran “Badiuzzaman” yang bermaksud “Kekaguman Zaman” kepadanya oleh gurunya Sheikh Fathullah Efendi. Beliau pernah berdebat dengan seorang guru ilmu Geografi dari Eropah dan hanya mengambil masa 24 jam untuk membaca kesemua buku berkaitan dengan ilmu alam sebagai persediaan lalu mengalahkan guru itu.

Beliau juga pernah berdebat dengan seorang ahli Fizik dari Eropah tentang ilmu fizik dan hanya mengambil masa selama 4 hari untuk mentelaah kesemua buku-buku fizik dan memahami hukum-hukum fizik lalu mengalahkan ahli fizik yang telah menghabiskan masa selama 4 tahun untuk mendalaminya. Keadaan itu menyebabkan ahli fizik tersebut berasa kagum dan terus menjadi anak murid Said Nursi pula.

Setelah Said Nursi membaca kesemua buku-buku yang terdapat di dalam perpustakaan Tahir Pasya, dia telah dapat menguasai ilmu-ilmu sains moden seperti matematik,astronomi, fizik, kimia,falsafah, sejarah , kaji hayat dan banyak lagi menyebabkan ilmunya begitu dikagumi pada zaman itu. Oleh kerana kebijaksanaannya itu maka ada segelintir pihak yang benci dan irihati terhadap kemasyhuran Said Nursi lalu memfitnahnya sebagai mengidap penyakit jiwa.Dia pernah ditangkap dan pernah suatu hari seorang doktor merawatnya.Dia memberikan sebuah buku perubatan dan yang belum pernah dibaca oleh Said Nursi.Dengan izin Allah swt Said Nursi membaca sepintas lalu sebanyak lima mukasurat lalu memberikan semula buku itu kepada doktor itu.Dia mula membaca semula apa yang tertulis sebanyak lima mukasurat itu sambil disemak oleh doktor itu tanpa meninggalkan sepatah perkataan pun.Doktor tersebut terkejut dan dalam keadaan takjub itu beliau berkata : “Sesungguhnya tuan bukan seorang yang gila tetapi seorang yang luar biasa!”.Selepas itu Said Nursi dibebaskan dan tuduhan gila keatasnya gugur setelah doktor itu mengesahkan Said Nursi seorang yang sihat .

Ketika dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan fitnah mencetuskan kekacauan, beliau dengan berani berkata di depan hakim : “Sekiranya saya ada seribu nyawa, saya sanggup mengorbankan semuanya demi untuk syariat islam.Kerana syariat itu adalah sumber kesejahteraan dan kebahagiaan, keadilan sejati serta kebajikan” Bila ditanya oleh hakim apa pendapat said Nursi terhadap pemerintah, beliau dengan tegas menjawab : “Ketua sebuah Negara adalah hamba kepada Negara itu.Selagi seseorang ketua Negara itu menurut sunnah Rasulullah maka dia pemimpin kami dan kami patuh dengan arahannya.Tetapi sekiranya ketua sesebuah Negara tidak mengikut sunnah, maka dia adalah perompak”

Beliau seorang yang berani dan pernah berjuang menentang tentera rusia dengan menubuhkan pasukan “Tentera Songkok Bulu” yang amat digeruni oleh musuh.Didapati bom tidak meletup jika dilemparkan ke arahnya dan peluru tidak pernah singgah ke tubuh wali Allah swt itu.

Antara kekeramatan beliau yang lain ialah, boleh berjalan di atas air, boleh membuka gari ditangannya sendiri untuk mengambil wuduk, boleh ghaib dan keluar dari sel tahanan di penjara sebanyak dua kali dan pergi bersolat jumaat di tiga tempat berlainan dalam satu masa.Beliau juga diracun berpuluh-puluh kali ketika dalam tahanan tetapi masih selamat dengan izin Allah swt.

Tekanan lebih hebat dikenakan ke atas beliau, terutamanya selepas kejatuhan kerajaan khilafah Uthmaniah dimana Kamal Attartuk menjadi Presiden Republic Turki. Said Nursi telah dibuang ke daerah pendalaman dan dikenakan hukuman penjara berkali-kali selama lebih dari 30 tahun dengan tujuan untuk menghapuskan pengaruh dakwah wali Allah swt yang terkenal ini.

Selepas Badiuzzaman Said Nursi meninggal dunia, orang ramai berduyun-duyun menziarahi pusara beliau.Keadaan ini menyebabkan pihak keselamatan terpaksa memindahkan kubur Said Nursi ke satu tempat yang tersembunyi.Bila kuburnya diselongkar, ternyata jasad wali Allah swt berserta kain kafannya itu masih utuh , tidak hancur walaupun setelah tiga bulan beliau disemadikan.

Walaupun dia sering mendakwa bukan seorang sufi, namun cara hidup dan amalannya adalah mirip seorang ulama sufi.Ketika meninggal dunia beliau hanya meninggalkan seutas jam tangan, jubah, serban dan wang sebanyak 20 lira.

Karangan beliau yang termasyhur iaitu Risalah al-Nur telah diterjemah kedalam 40 bahasa dan disebarkan keseluruh dunia.Ia merupakan satu tafsiran al-Quran yang disusun melebihi 130 tajuk.Secara umumnya risalah ini berkisar kepada persoalan-persoalan berkaitan dengan akidah dan keimanan.Satu-satunya sumber rujukan untuk risalah ini ialah kitab suci al-Quran. Kebanyakan dari risalah – risalah tersebut ditulis ketika beliau dibuang daerah dan semasa beliau ditahan di dalam penjara.


Untuk membaca keseluruhan kisah hidup Badiuzzaman Said Nursi, ada sebuah buku yang ditulis oleh Novelis Abdul Latip Talib amat bagus untuk dibaca.Saya telah membaca buku tersebut selepas anak saya, peminat setia buku-buku tulisan Pak Latip telah membelinya beberapa bulan yang lalu.Buku tersebut elok dibaca oleh setiap melayu muslim.Kisah perjuangan dan pengorbanan beliau amat menarik untuk dihayati.

Al-Fatihah buat Allayarham Badiuzzaman Said Nursi, seorang pejuang dan pemikir islam yang bijaksana serta seorang pejuang kebenaran al-Quran.

*[Artikel ke- 253 Sangtawal Sakranta ]....


6 comments:

  1. Al-fatihah buat beliau... teringat kembali, saya mula kenal dgn nama Badiuzzaman Said Nursi semasa di masjidil haram. Ada saudara dr Turki (Nama Ali) yg saya hny kenal ketika beliau solat di sblh saya, telah menghadiahkan saya karya Allahyarham Said Nursi iaitu Risalah El-Nur (english version)... rupanya Allahyarham mmg betul2 hebat. Insan pilihan.

    ReplyDelete
  2. Salam Sang Tawal...
    Alhamdulillah....bertambah ilmu bila mengenali seorang lagi ulama' yang hampir dilupakan...terima kasih atas post ini...salam ramadhan

    ReplyDelete
  3. salam..

    maaf of topik..x tahu kt mana nk berhubung dgn bro sangtawal...

    sy ada terbaca tentang pertikaian mengenai puisi keturunan raja2 kelate purba (puisi sangtawal) yg dikatakan mistik..bukan dr sumber sahih..penceritaan yg melampau2..

    apa pandangan bro sangtawal..

    ReplyDelete
  4. Salam. T.ksh krn berkongsi. Teruskan.

    ReplyDelete
  5. salam sejahtera buat semua terutama kepada tuan rumah,

    pengumuman,blog 9111tanyasamaituhudhud telah diubah ke teratak yang baru,jemput singgah ya...peace..:)

    ReplyDelete
  6. selamat hari raya buat sangtawal..

    salam perkenalan dari saya..:)

    ReplyDelete