Tuesday, May 18, 2010

Perang Dunia Kedua Sebenarnya Tercetus Di Bumi Serambi Mekah Ini!


Tajuk : Perang Dunia Kedua Sebenarnya Tercetus Di Bumi Serambi Mekah !

Artikel Oleh : Sangtawal Sakranta


Mungkin ramai diantara pembaca sekalian yang terkejut dan tidak percaya bila membaca tajuk artikel saya di atas. Namun percayakah anda jika saya katakan tembakan meriam dan bedilan peluru di antara tentera Jepun yang ingin mendarat di Pantai Padang Pak Amat, Kelantan dengan Tentera British yang berkubu di pinggir pantai itu adalah merupakan pencetus kepada Perang Dunia Kedua kerana ia bermula lebih awal satu jam dua puluh minit daripada serangan udara Jepun ke atas pangkalan tentera laut Amerika Syarikat di Pearl Harbour di Pulau Hawaii. Serangan itu adalah kira-kira jam 2345 (11.45 malam), 7 Disember 1941. Ia merupakan serangan pertama tentera Jepun ke atas Malaya dan seterusnya menjadi acara pembuka gelanggang perang dunia kedua!

Pasukan pelopor yang ditugaskan untuk menyerang dan menawan Kelantan ini dipanggil “Takumi Detachment” mengambil sempena nama panglima pemerintah pasukan itu iaitu Mej. Jen Hiroshi Takumi.

Ramai di antara kita yang tidak tahu, walaupun berjaya , Pihak tentera Jepun telah mengalami kemalangan dan kecederaan yang teruk semasa melakukan pendaratan di Pantai Pak Amat itu kerana ramai askarnya yang terbunuh dan cedera. Dari 6000 orang Tentera Jepun, dianggarkan seramai 320 orang terbunuh dan 538 orang tercedera dalam masa satu hari bertempur semasa mendarat dan di atas pantai. Sumber-sumber British pula seperti biasa , mendakwa bahawa angka kemalangan Jepun lebih tinggi iaitu lebih dari 2,000 askar Jepun terbunuh dan cedera.

* Gambar diatas sekali menunjukkan Pantai Padang Pak Amat

Pihak Jepun menganggap bahawa "pendaratan berdarah di pantai dekat Kota Bharu itu akan tercatat dalam sejarah sebagai operasi pendaratan paling penting dan istimewa" dan untuk mengingati peristiwa itu, mereka telah mendirikan di atas pantai berdarah di Badang dan Kuala Pak Amat dua buah tugu batu (obelisks) tertulis "Kepada mereka yang telah Gugur" dalam tulisan Jepun. Walau bagaimanapun sejak dari akhir tahun 1940an, kedua tugu batu tersebut telah jatuh ke dalam laut akibat hakisan pantai dan mungkin kini masih lagi ada terbenam di dasar laut.

Mengapa Tentera Jepun memilih untuk menyerang Malaya dari arah pantai timur? Iaitu melalui Pantai Pak Amat? Persoalan ini bermain dalam kepala saya sekian lama, padahal Jepun boleh terus menyerang Singapura kerana kunci kepada penguasaan di Timur ketika itu adalah bila berjaya mengalahkan Lt-jen A.E. Percival yang menjadi pemerintah pasukan-pasukan tentera British di Malaya dan Singapura bersama 86,000 orang tenteranya yang terdiri daripada 19,600 orang askar bangsa British, 15,200 dari bangsa Australia, 37,000 dari bangsa India dan 16,800 bangsa Asia tempatan .Pemerintahan mereka ketika itu adalah berpusat di Singapura.

Rupa-rupanya, sebelum serangan itu iaitu pada bulan Jun 1940, Jepun telahpun menandatangani satu perjanjian persahabatan dengan Thailand! Apakah isi perjanjian dan balasan Jepun kepada Thailand ? kita tidak tahu. Apakah ianya berkaitan dengan perjanjian sulit ketenteraan???

Pernah dulu, arwah datuk saya ada menceritakan bahawa dia cukup percaya bahawa Jepun telah berpakat dengan Thailand dalam misi ketenteraan Jepun di Kelantan sekaligus menyerang dan menawan Malaya ini. Ia adalah merupakan salah satu taktik Thailand mengalihkan tumpuan pejuang melayu Kelantan-Patani dalam perjuangan mereka membebaskan bumi Patani dan selatan Thailand dari kerajaan Thai. Bila difikirkan semula, dakwaan arwah datuk itu ada juga kebenarannya.

Tahukah kita semua, bahawa pada bulan Ogos 1943, Jepun telah menyerahkan Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan kepada Kerajaan Siam.Bukankah pemberian ini merupakan habuan kepada kerajaan Thailand dan sebagai tanda membalas budi Siam membantu mereka dalam kempen menawan Tanah Melayu???

Peristiwa serangan Jepun dan kekejaman tentera Jepun di era perang dunia kedua masih segar dalam ingatan datuk. Betapa susahnya hidup bila negeri dijajah orang selalu disebut-sebut olehnya.Ramai penduduk yang menggali lubang dan tinggal dalam tanah seperti tikus kerana takutkan peluru dan hujan bom, pakaian terbaik ketika itu adalah guni, petrol dan minyak tanah diharamkan sama sekali disimpan dirumah-rumah, oleh itu bila malam mereka akan bergelap. Makan minum pun tidak menentu sehinggakan untuk mencari bekalan garam pun susah! Datuk berkata, untuk mendapatkan garam tiruan, mereka terpaksa membakar batang pokok betik, lalu abunya direndam kedalam bekas berisi air sehari dua, apa yang termendak dalam bekas air itulah yang mereka gunakan sebagai garam! Bagaimana rasanya pun saya tidak tahu kerana belum pernah mencubanya.Ubi kayu menjadi makanan termahal dan paling lazat ketika itu , cerita datuk lagi.

Penampar, sepak terajang dan luka terkena benet Jepun sudah menjadi perkara biasa, bila saja orang Jepun marah, muka dan telinga mereka jadi merah dan perkataan “Bagero” keluar dari mulut mereka serentak dengan penampar yang hinggap dimuka.Pernah satu ketika tentera Jepun memaksa seorang tua kampung saya supaya tunduk menyembah kepada matahari bersama mereka pada suatu pagi, tetapi tidak diendahkan kerana takut rosak akidah lalu ditampar oleh 3 orang tentera Jepun secara bergilir-gilir sehingga berdarah bibir dan mulutnya, arwah datuk yang tidak boleh menahan sabar lalu terus membelasah 3 orang tentera Jepun yang lengkap bersenjata tersebut sehingga mereka cabut lari. Peristiwa ini menyebabkan arwah datuk membawa keluarga menghilangkan diri kembali ke Patani selama beberapa bulan kerana berasa tidak selamat di sini.

Sewaktu penjajahan Jepun pelbagai projek telah dibuat oleh mereka, antaranya ialah pembinaan Jalan Kereta Api Maut sepanjang 415 kilometer dari Thailand ke Myanmar.Sepanjang tempoh 1942 hingga 1946, sebanyak 72,000 penduduk menjadi buruh paksa bagi membina landasan itu, namun hanya kira-kira 30,000 orang saja selamat pulang manakala selebihnya hilang dipercayai mati.

Bila membicarakan tentang kekejaman tentera Jepun, kita tidak terlepas dari membicarakan pasal Benet Jepun, iaitu sejenis senjata tajam yang diletakkan di muncung senapang mereka.



Benet Jepun diatas adalah merupakan hadiah dari arwah datuk kepada saya, hulu dan sarungnya dibuat sendiri olehnya.Mengikut ceritanya beliau memperolehi benet ini setelah menukar sepucuk senapang buatan tangannya dengan seorang tentera Punjab, entah mengapa benet Jepun berada di tangan tentera Punjab ( askar british) , saya tidak tahu dan arwah datuk tidak pernah cerita.



Benet diatas masih baik dalam jagaan saya, lihat bahagian ulunya, spring pemetik bulat untuk di lock ke muncung senapang masih baik berfungsi.Lihat dalam youtube di bawah pada minit ke 2.55 hingga ke 3.00 bentuk benet Jepun dan cara memasangnya ke senapang.

Selagi ada hayat saya, saya akan menjaganya dengan baik sebagai koleksi peribadi yang tidak ternilai harganya.Bila melihatnya, maka saya teringat kepada arwah datuk saya, teringat kepada kekejaman dan penaklukan tentera Jepun terhadap tanah air saya yang diceritakan oleh datuk.Dan sudah pasti dengan merenungnya, ia akan membangkitkan semangat juang untuk memastikan negara ini terus aman dan tidak akan dijajah oleh Jepun atau oleh bangsa bermata sepet yang seangkatan dengannya!

Jika perang dunia kedua tercetus disini, apakah perang dunia ketiga juga akan bakal tercetus disini? atau di selatan Thailand atau ianya bermula di Kota Singa???

Dan jika perang dunia ketiga tercetus semula disini, maka akan basahlah bumi serambi mekah ini dengan darah…. barangkali musuh kita kali ini bukanlah orang-orang yang dipimpin oleh “Harimau Malaya”.. dan jika “Singa Malaya” sekalipun…. Kita akan bangkit menentangnya habis-habisan!!! ….

Jika dulu mereka ada pasukan Jihad ala Kamikaze, namun kini, kita doakan dan kita nantikan kedatangan pejuang yang akan bernaung dibawah bendera jihad dan panji hitam dari timur yang akan menyelamatkan kita di akhir zaman.

“Takkan Melayu Hilang Di Dunia”

Sangtawal Sakranta.




Artikel Pilihan 1

Sumber : Klik

http://www.kelantan.edu.my/1.htm

PENDAHULUAN

Kemungkinan berlakunya serangan Jepun keatas Malaya (Tanah Melayu) menjadi semakin jelas sejak langgaran Jepun keatas Manchuria dalam tahun 1931.Dalam bulan November 1936 Jepun dan Jerman menandatangani Pakatan Anti-Commintern (Anti Komunis Antarabangsa) dan dalam bulan Julai pada tahun berikutnya serangan besar kedua Jepun di negeri China bermula.Kemudian dalam bulan September 1938 telah ditandatangani pula Persetujuan Munich (diantara Britain, Perancis, Jerman dan Itali).Persetujuan itu telah memberi kesan serta merta kepada dasar Jepun.Jepun mengambil keputusan bahawa kelemahan yang ditunjukkan oleh Brintain dan Perancis dalam menghadapi Jerman dan Itali meyakinkan yang ia boleh bertindak dengan sewenang-wenangnya di Asia Tenggara.Dalam tahun 1939, Jepun menolak undangan untuk menyertai rakan-rakannya yang Anti-Commintern di dalam satu pakatan tentera.

Penumpuan Jepun ke arah selatan bermula dalam bulan Persetujuan Munich ditandatangani apabila ia merampas Canton dan mengasingkan Hong Kong daripada Tanah Besar China.Peristiwa ini diikuti pula oleh perampasan tempat-tempat strategik di Laut China Selatan, Pulau Hainan berdekatan dengan Indochina Perancis dalam bulan Februari 1939 dan kepulauan Sinnan, termasuk kepulauan Spratley dalam bulan Mac.Pulau Hainan meletakkan Jepum 1300 batu jaraknya daripada Singapura dan Pulau Spratley pula hanya 700 batu sahaja.Dalam November 1939 Jepun melancarkan gerakan yang besar ke dalam propinsi Kwangsi serta menawan bandar raya Nanning dan memutuskan jalan strategik China yang menghubungi Indochina Perancis yang menjadi tujuan utamanya.Dengan jatuhnya Perancis dan Holland kepada Jerman ,maka jajahan takluk mereka di Asia Tenggara terdedah tanpa pertahanan yang cukup bagi menghadapi kemungkinan serangan Jepun.

Dalam bulan yang sama ketika Perancis jatuh ke tangan Jerman, bulan Jun 1940, Jepun menandatangani satu Perjanjian Persahabatan dengan Thailand.Dalam bulan September 1940 dua perkembangan yang serius telah berlaku di Timur Jauh.Pertamanya, askar-askar Jepun menduduki bahagian utara Indochina Perancis, yang memberikan Jepun satu pangkalan yang dekat sekali dengan Malaya.Keduanya, Jepun menandatangani satu Pakatan Tiga Negara dengan Jerman dan Itali yang menjadikan Jepun terikat hubungannya dengan Kuasa Axis (Jerman dan Itali).Adapun tujuan politik pakatan itu dengan jelas sekali ialah bagi mencegah Amerika Syarikat daripada memberi pertolongan bersenjata kepada Britain serta membolehkan Jepun mengambil alih semua jajahan takluk British dan Belanda di Timur Jauh.Dari segi ketenteraan pula,pakatan itu memberi peluang kepada para pegawai Jepun dan Jerman mengadakan perundingan-perundingan dan peluang itu digunakan sepenuhnya oleh Jepun.Misi-misi tentera laut dan tentera darat Jepun dengan serta merta telah dihantarkan ke Berlin,manakala Kerajaan Jerman pula mengirim para pakarnya ke Jepun bagi mengkaji serangan ke atas Singapura dan membantu perkembangan atau kemajuan industri pembuatan pesawat terbang Jepun.Di samping itu Kerajaan Jepun mula menghimpun bekalan kelengkapan perang.

Dalam tahun 1940,Britain mula menghantar pasukan tenteranya ke Malaya.Dari bulan September 1940 hingga bulan April 1941 dua batalion tentera British dari Shanghai tiba di Malaya.Ini diikuti pula oleh ketibaan dua briged askar berjalan kaki India iaitu 6th dan 8th India Infantry Brigades dan juga markas kepada 11th Indian Division.Kemudian daripada itu kontinjen pertama Australian Imperial Force,yang mengandungi unit-unit markas dan pertadbiran kepada 8th Australian Division dan 22nd Australian Infantry Brigade Group sampai di Singapura.Tiada lama berselang 15th Indian Infantry Brigade dan 1st Echelon of Headquarters 9th Indian Division tiba dari India yang diikuti pula oleh satu field regiment dari United Kingdom dan 22nd Indian Infantry Brigade dari India.

Di kawasan timur Malaya telah ditempatkan 9th Indian Division yang mengandungi dua brigade group.Salah satu daripada briged tersebut iaitu 8th Indian Brigade Group,di bawah perintah Brigadier B.W.Key,telah ditempatkan di kawasan negeri Kelantan.

Pasukan 8th Indian Brigade di bawah pimpinan Brig.Key mengandungi unit-unit berikut:19th Indian Field Company Royal Bombay Sappers and Miners,2/10th Baluch Regiment,272nd Anti-Tank Battery,3/17th Dogra Regiment,21st Indian Mountain Battery,2/12th Frontier Force Regiment,1/13th Frontier Force Refles,1st Hyderabad Infantry,9th Battery Hong Kong and Singapore Royal Artillery,1st Mysoru Infantry,73rd Field Battery of 5th Field Regiment,4th Pahang Volunteers,Perak Volunteers(Malaya Frontier Patrol),The Kelantan Volunteers and 'A'Company 2nd Battalion,Malay Regiment.

Pantai-pantai di Kelantan seperti Badang,Kuala Pak Mat dan Sabak di pasang pagar kerawat besi berduri dan ditanam periok api dan dilengkapi dengan kubu-kubu semin(pill-boxes) pada jarak 1000 ela tiap-tiap satu kubu tersebut.Setiap kubu itu dikendalikan oleh seorang Pegawai Tidak Bertauliah (Non-Commisioned Officer/NCO) dengan enam orang askar yang bersenjatakan senapang rifel (rifle) dan dua hingga tiga senapang mesin (machine-gun) serta 100 biji bom tangan.Di belakang pagar besi berduri,dibina pula kubu-kubu kecil simpanan dengan jarak yang sama tiap-tiap satu,tetapi dikendalikan oleh beberapa orang sahaja.

Dalam bulan Mei 1941, Lt-jen A.E. Percival tiba di Singapura untuk menjadi pemerintah pasukan-pasukan tentera British di Malaya dan Singapura. Beliau mempunyai sejumlah 86,000 orang askar pada 7 Disember 1941 yang terdiri daripada 19,600 orang askar bangsa British, 15,200 dari bangsa Australia, 37,000 dari bangsa India dan 16,800 bangsa Asia tempatan.

Di pihak Jepun pula, walaupun Jepun telah berperang di negeri China sejak dari tahun 1931, dan telah menduduki Indochina Perancis dalam bulan Julai 1941, namun ia tidak berperang dengan United Kingdom atau Amerika Syarikat. Sungguhpun begitu, perundingan-perundingan mengenai sekatan perdagangan (trade embargo) yang dikenakan oleh United Kingdom (Great Britain) dan Amerika Syarikat terhadap Jepun semakin meruncing dan berada di tahap yang genting dan dalam hubungan ini pihak Jepun telah membuat keputusan iaitu seandainya ia gagal mendapat konsesi daripada Amerika Syarikat, maka peperangan akan bermula di pagi hari Ahad 8 Disember 1941. Panglima-panglima kanan tentera Jepun telah diberi kebenaran untuk menentukan masa pasukan-pasukan mereka mula melancarkan serangan dan faktor yang penting ialah pasukan mereka hendaklah sampai di sasaran-sasaran masing-masing pada masa yang telah ditetapkan.

Bagi Jepun, terutama sekali di masa kepungan Amerika Syarikat sedang ditingkatkan, Malaya menjadi sasaran utama dan dianggap hadiah yang berharga kepada Jepun. Di samping mengeluarkan 38% bekalan getah dunia, Malaya juga mengeluarkan 58% bijih timah, dan di hujung selatan Semenanjung terletak Pulau Singapura yang merupakan pangkalan tentera laut Britain yang besar - dan kunci kepada kuasanya di Timur Jauh. Dalam bulan September 1941, Jepun mula membuat persediaan yang bersungguh-sungguh bagi melancarkan serangannya ke arah Selatan - dengan Selatan Thailand dan Malaya sebagai sasaran utamanya. Lt-Jen Tomoyuki Yamashita telah dilantik sebagai Pemerintah Agung bagi 25th Army yang akan menyerang Malaya. Beliau dibantu oleh Laksamana Madya Jisaburo Ozawa sebagai Pemerintah Agung Skuadron Selatan, Tentera Laut Jepun. Lt-Jen Michio Sugawara sebagai Pemerintah Agung 3rd Air Division, Tentera Udara Jepun.

Pasukan tentera Jepun yang dipilih untuk menyerang/melanggar dan menawan Kelantan adalah askar-askar dari 23 rd Infantry Brigade yang diketuai oleh Mejar-Jeneral Hiroshi Takumi dan askar-askar dari 56 th Infantry Regiment di bawah pimpinan Kolonel Yoshio Nasu. Kedua-dua unit ini adalah dari pasukan Japanese 25 th Army yang diketuai oleh Lt-Jen Tomoyuki Yamashita. Ada pun kekuatan pasukan tentera Jepun tersebut ialah diantara 5,300 hingga 5,590 orang. Pasukan pelopor untuk menyerang dan menawan Kelantan ini dipanggil Takumi Detachment mengambil sempena nama panglima pemerintah pasukan itu iaitu Mej. Jen Hiroshi Takumi.


Artikel Pilihan 2 :

Sumber :Klik

http://www.kelantan.edu.my/2.htm

PENDARATAN ASKAR JEPUN DI PANTAI KUALA PAK AMAT : 7/8 DISEMBER 1941

Pada kira-kira jam 2345 (11.45 malam), 7 Disember 1941, askar-askar Pertahanan Pantai British yang ditempatkan di kawasan pantai Badang dan Sabak, di persimpangan Kuala Pak Amat lebih kurang satu setengah batu ke timur laut Lapangan Terbang Kota Bharu di Pangkalan Chepa (kira-kira 7 batu ke timur laut bandar Kota Bharu) telah melaporkan beberapa buah kapal perang "musuh", sedang berlabuh di tepi pantai itu.

Tiada lama berselang, meriam-meriam pertahanan pantai British melepaskan tembakan ke atas kapal-kapal perang "musuh" itu sebagai membatas tembakan-tembakan atau bedilan-bedilan yang dimulakan oleh kapal-kapal perang 'musuh' tersebut yang membedil kubu-kubu pertahanan pantai pihak British di kawasan Pantai Kuala Pak Amat. Pada ketika itu tiada siapa pun menyedari atau menyangka bahawa peristiwa tembakan atau bedilan meriam di pantai Kelantan itu menandakan bermulanya peperangan diantara Jepun dan British di Kelantan dan di Malaya. Sebenarnya tembakan atau bedilan meriam di pantai Kelantan pada tengah malam 7/8 Disember 1941 itu merupakan "tembakan pertama" peperangan di Malaya dan juga permulaan Perang Dunia Kedua di Timur Jauh dan Pasifik. Patut disebut disini bahawa pendaratan atau serangan Jepun di Kelantan itu telah berlaku satu jam dua puluh minit lebih awal atau terdahulu daripada serangan udara Jepun ke atas pangkalan tentera laut Amerika Syarikat di Pearl Harbour di Pulau Hawaii.

Adapun yang dikatakan kapal-kapal perang "musuh" itu ialah satu konvoi kapal perang Jepun yang mengandungi tiga buah Kapal Pengangkut Tentera (Awagisan Maru, Ayatosan Maru dan Sakura Maru) yang diiringi oleh lima buah kapal perang di bawah perintah Rear-Admiral Shintaro Hashimoto. Kapal-kapal perang itu ialah kapal penjelajah ringan bernama Sendai dan empat kapal pembinasanya yang bernama Isonami, Uranami, Shikinami dan Ayanami. Tiga kapal pengangkut itu membawa askar-askar Jepun yang dipanggil Takumi Detachment.

Kapal-kapal perang Jepun itu berlabuh kira-kira satu setengah batu dari pantai pada kira-kira waktu tengah malam 7/8 Disember 1941. Sungguhpun pada waktu itu laut bergelombang kuat, namun angkatan perang Jepun itu telah berjaya menurunkan askar-askarnya ke dalam kapal-kapal pendarat (landing craft). Pada ketika itu juga kapal-kapal perang Jepun pun mula menembak kawasan pantai itu sebagai tanda bermulanya pendaratan.

Pada kira-kira jam 0025 pagi (12.25 pagi) 8 Disember, kumpulan hadapan askar-askar Jepun itu telah mendarat di Pantai Kuala Pak Amat yang terletak di antara Pantai Badang dengan Pantai Sabak dan pada jam 0100 (1.00 pagi), setelah berlaku pertempuran yang sengit telah berjaya menawan kubu-kubu pihak British yang dikendalikan oleh askar-askar bangsa India dari pasukan 3/17 th Dogras yang memberi tentangan yang hebat serta menimpakan kemalangan yang teruk ke atas askar-askar Jepun yang sedang mara itu sebelum mereka sendiri dibinasakan oleh askar-askar Jepun itu. Kubu-kubu pihak British yang kuat itu telah menembak dengan hebatnya sehingga askar-askar Jepun yang mara dari arah pantai itu terpaksa merangkak, sebelah kaki dalam air dan sebelah kaki lagi atas pasir dan tiada dapat mengangkat kepala mereka kerana takut terkena peluru.

Pendaratan askar-askar Jepun itu telah dilaksanakan dengan tiga kumpulan atau gelombang yang berasingan dengan jarak masa selama kira-kira satu jam tiap-tiap satu gelombang dengan menggunakan kapal-kapal pengangkut yang membolehkan askar-askar dan juga kenderaan-kenderaan tentera mendarat dari haluannya (landing craft) yang sama bagi mengangkut askar-askar ketiga gelombang itu.

Gelombang pertama mengandungi dua puluh kapal pendarat atau pengangkut yang diketuai oleh Letnan-Kolonel Nakamura. Walaupun mengalami kemalangan teruk oleh kerana bedilan meriam artileri pihak British dan tentangan hebat oleh askar-askar bangsa India dari pasukan 3/17 th Dogra Regiment, mereka berjaya juga mendarat di pantai Kuala Pak Amat pada kira-kira jam 12.30 tengah malam, 7/8 Disember 1941.

Gelombang kedua di bawah pimpinan Mejar Kasui dan diikuti juga oleh Mej. Jen Hiroshi Takumi dan Kol. Yoshio Nasu, terpaksa berlepas lambat sedikit iaitu pada kira-kira jam 3.30 pagi (8 Disember 1941) kerana pada masa mereka bersiap sedia hendak berlepas, dengan tiba-tiba diserang oleh pesawat-pesawat terbang British/Australia, jenis Hudson dari pasukan No 1 Squadron RAAF (Royal Australia Air Force) dari Lapangan Terbang Kota Bharu di Pangkalan Chepa dan juga jenis Vickers Vildebeeste yang berpangkalan di Lapangan Terbang Gong Kedak dan Lapangan Terbang Lalangluas dekat Machang. Pesawat-pesawat terbang pihak British/Australia itu datang menyerang kapal-kapal pengangkut tentera Jepun dan ditentang hebat oleh bedilan meriam-meriam penangkis pesawat terbang kapal-kapal perang dan pengangkut Jepun. Dalam serangan itu kapal pengangkut tentera Jepun yang bernama Awagisan Maru terbakar setelah sepuluh kali terkena bom dan bedilan dan kemudian sebuah lagi kapal pengangkut tentera Jepun iaitu Ayatosan Maru juga terbakar setelah enam kali terkena bom dan bedilan oleh pesawat-pesawat terbang British/Australia itu. Pihak British mengatakan salah sebuah daripada kapal pengangkut tentera Jepun itu membawa kereta kebal dan meriam (artillery). Pihak Jepun pula mengatakan bahawa mereka telah menambak jatuh tujuh buah pesawat terbang British yang datang menyerang itu. Tetapi pihak British mengaku kehilangan hanya sebuah sahaja pesawat terbang ditembak jatuh oleh Jepun.

Sementara itu, gelombang kedua dan gelombang ketiga askar-askar Jepun, walau pun diserang dan dibedil oleh pesawat-pesawat terbang serta juga terpaksa menghadapi gelombang laut (ombak) yang kuat, namun akhirnya berjaya juga mendarat di pantai, satu demi satu. Gelombang ketiga diketuai oleh Kolonel Matsuka. Pada kira-kira jam 4.00 pagi (8 Disember 1941), askar-askar Jepun telah pun berjaya bertapak di Pantai Kelantan itu iaitu di Pantai Kuala Pak Amat. Menjelang dinihari (fajar) pihak Jepun telah pun selesai mendaratkan sebanyak tiga batalion di pantai itu dan berjaya berkubu di situ dan segera mereka menghantar patroli-patroli masuk menyeludup ke kawasan pendalaman di belakang garisan pertahanan pantai pihak British yang terletak di antara pantai dengan Lapangan Terbang Kota Bharu di Pangkalan Chepa.

Sementara itu, sebaik saja pendaratan pertama askar-askar Jepun berlaku, pasukan 2/12 th Frontier Force Regiment (kurang satu kompeni di sebelah Barat Sungai Kelantan) dan pasukan 73 rd Field Battery mara ke utara dari Pulai Chondong untuk mencegah sebarang penyusupan askar-askar Jepun ke arah Lapangan Terbang Pangkalan Chepa dan juga untuk menyerang balas. Pada masa yang sama Panglima Tentera Udara British Timur Jauh mengeluarkan perintah kepada Pasukan Penggempur Udara supaya bekerjasama dengan Tentera Darat menangkis serangan Jepun ke atas negeri Kelantan. Selanjutnya skuadron-skuadron pesawat terbang yang berpangkalan di Lapangan-lapangan Terbang di Kedah, Kuantan dan Tengah (Singapura) telah diperintahkan supaya menyerang kapal-kapal perang Jepun yang berada dekat pantai negeri Kelantan pada waktu pagi. Apabila sampai di pantai negeri Kelantan (sekitar Sabak) pesawat-pesawat terbang British itu tidak menjumpai kapal-kapal perang pengangkut Jepun itu yang telahpun beredar berlindung di belakang kepulauan Perhentian kira-kira 15 batu dari pantai negeri Kelantan. Skuadron-skuadron itupun kembali ke pangkalan masing-masing. Tetapi dalam penerbangan pulang ke lapangan-lapangan terbang mereka, beberapa buah pesawat terbang itu telah diserang oleh pesawat-pesawat pengebom dan pesawat-pesawat penggempur Jepun dan menanggung kerugian yang teruk.

Apabila hari mulai cerah askar-askar Jepun yang telah mendarat di pantai itu tidak dapat bergerak mara disebabkan oleh bedilan-bedilan dari jarak dekat yang bertalu-talu dari kubu-kubu pertahanan pihak British di pantai itu. Oleh itu pegawai-pegawai dan askar-askar Jepun itu terpaksa menggali lubang di pantai dengan tangan serta melindungkan kepala mereka dengan tangan dan terus berada di dalam lubang-lubang itu. Mereka terus menggali lubang itu sehingga ke paras bahu dan seluruh badan mereka terlindung dari peluru-peluru yang bertalu-talu datang dari kubu-kubu British. Kedudukan askar-askar Jepun itu begitu dekat dengan kubu-kubu pertahanan pihak British sehingga mereka boleh melontarkan bom-bom tangan ke dalam kubu-kubu itu dengan senang sahaja. Sepanjang masa tersebut, askar-askar Jepun menggunakan topi-topi besi mereka dan mara ke hadapan. Sejurus kemudian mereka sampai ke pagar kawat duri yang sedia terpasang di sepanjang pantai. Mereka yang membawanya alat pemotong kawat duri pun mula memotong kawat-kawat berduri itu. Tetapi sebelum mereka dapat berbuat apa-apa lagi, tiba-tiba kedengaran letupan yang dahsyat menyebabkan pasir di pantai berterbangan di sekitar mereka seolah-olah hujan pasir dan asap. Rupa-rupanya mereka sampai di kawasan di mana pihak British telah menanam periuk-periuk api. Sambil bergerak-gerak di atas mayat-mayat rakan-rakan mereka yang telah mati terbunuh oleh letupan itu, mereka memotong kawat duri itu. Di belakang mereka beberapa orang askar mengekori sambil membuat timbunan-timbunan pasir dengan menggunakan topi-topi besi dan terus merangkak mara ke hadapan. Askar-askar pihak British yang menjaga kubu-kubu itu berjuang dengan tergopoh-gapah. Tiba-tiba seorang askar Jepun merebahkan dirinya di atas sebuah luang atau kubu pihak British sambil kumpulan askar-askar Jepun yang lain merempuh serta menyerang kubu-kubu British itu. Berlontaranlah bom-bom tangan dan bergeseranlah benet-benet di tengah-tengah pekikan-pekikan perang serta bunyi-bunyi suara kecemasan. Dalam awan asap yang hitam, kubu-kubu pertahanan depan pihak British pun dapat ditawan oleh askar-askar Jepun yang menyerang itu.

Walau pun askar-askar India pasukan Dogra berjuang mati-matian untuk mempertahankan kubu-kubu mereka, namun jurang yang telah ditembusi oleh askar-askar Jepun itu terus dikuasai mereka. Maka panglima British mengambil keputusan iaitu jika Lapangan Terbang Kota Bharu di Pangkalan Chepa hendak dipertahankan jurang yang ditembusi dan ditawan Jepun itu mestilah direbut kembali sebelum waktu senja. Justeru itu beliau pun mengeluar perintah supaya pasukan 1/13 th Frontier Force Rifles melancarkan serangan balas ke sebelah timur sepanjang pantai daripada Pantai Badang dan pasukan 2/12 th Frontier Force Regiment (kurang satu kompeni) melancar serangan balas ke arah sebelah barat daripada Pantai Sabak, kemudian kedua pasukan itu bergabung tenaga untuk membinasakan askar-askar Jepun yang telah mendarat di kawasan itu. Pada masa yang sama, pasukan meriam 73 rd Field Battery dan 21 st Mountain Battery Indian Artillery akan memberi sokongan kepada serangan balas itu daripada kedudukan mereka berhampiran dengan lapangan terbang itu. Walau pun begitu kedua serangan balas pihak British itu gagal mencapai tujuannya disebabkan keadaan kawasan itu sukar dengan adanya sungai-sungai kecil dan paya. Serangan balas yang dilancarkan berikutnya pada pagi itu juga tidak berjaya dan keadaan di kawasan pantai tersebut menjadi kelam kabut dan mengelirukan.

Sementara itu, sekitar jam 9.00 pagi (8 Disember 1941), tiba-tiba datanglah sejumlah pesawat terbang Jepun dari arah barat menyerang Lapangan Terbang Kota Bharu di Pangkalan Chepa, pesawat-pesawat terbang British/Australia yang ada di situ, bangunan-bangunan dan pegawai-pegawai/kakitangan dengan menembak dan mengebom dari paras rendah. Serangan udara Jepun ini dilancarkan secara terus menerus sepanjang hari itu dengan lapan kali serangan yang berasingan dan menghalang pihak British/Australia daripada mengendali dan menerbangkan pesawat-pesawat terbang jenis Hudson.

Pihak Jepun mengalami kemalangan teruk semasa melakukan pendaratan dan ramai askarnya yang terbunuh dan cedera. Mengikut sumber-sumber Jepun, dalam masa satu hari bertempur semasa mendarat dan di atas pantai, mereka kehilangan "320 askar terbunuh dan 538 askar cedera" daripada sejumlah askar kira-kira hampir 6000 orang semuanya. Sumber-sumber British pula menyebut angka kemalangan Jepun yang lebih tinggi iaitu lebih dari 2,000 askar Jepun terbunuh dan cedera.

Pihak Jepun menyebut bahawa "pendaratan berdarah di pantai dekat Kota Bharu itu akan tercatat dalam sejarah sebagai operasi pendaratan paling penting dan istimewa" dan mereka telah mendirikan di atas pantai berdarah di Badang dan Kuala Pak Amat dua tugu batu (obelisks) tertulis "Kepada mereka yang telah Gugur" dalam tulisan Jepun. Walau bagaimanapun sejak dari akhir tahun 1940an, kedua tuga batu tersebut telah jatuh ke dalam laut akibat hakisan pantai dan mungkin masih lagi ada terbenam di dasar laut.


Artikel Pilihan 3 :
-Perjuangan Merebut Lapangan Terbang Kota Bharu Di Pangkalan Chepa: 8 Disember 1941
Klik Sini

Artikel Pilihan 4:
-Perjuangan Merebut Bandar Kota Bharu: 9 Disember 1941
Klik Sini


Artikel Pilihan 5 :

-Perjuangan Merebut Negeri Kelantan: 10 - 20 Disember 1941
Klik Sini

*********************************************


Artikel Pilihan 7:


Kamikaze calar ego British

Sumber : Klik

Oleh Nasron Sira Rahim (nasron@bharian.com.my)
petikan Berita Minggu 8 Julai 2007

Tentera Jepun berbasikal paksa askar Punjabi, Inggeris berundur

“ASKAR Jepun menyerang! Askar Jepun menyerang!” jeritan lantang seorang askar Punjabi yang menjadi pengawal British di Pantai Padang Pak Amat, Kelantan menyebabkan penduduk kampung di sepanjang pantai itu panik dan kelam-kabut berlari menyelamatkan diri.

Beberapa saat kemudian, pengawal pantai mendengar peluru meriam berterbangan di atas kepala mereka. Askar upahan British itu mula sedar yang peperangan antara Jepun dengan British di negara ini sudah bermula, Jepun datang untuk menjajah Tanah Melayu.

Sebaik tiba di gigi pantai, segerombolan askar Jepun meluru sambil melepaskan tembakan, tanpa menyedari yang banyak jerangkap samar sudah ditanam di sekitar pantai itu. Kegelojohan memulakan serangan menyebabkan sekelip mata saja nyawa askar asing itu melayang terpijak jerangkap samar.

Bagaimanapun, dengan semangat juang ‘kamikaze’, askar Jepun terus mengasak askar Punjabi dan penduduk kampung sehingga mereka berjaya menakluk kawasan berkenaan.

Ketika askar Punjabi di ambang kekalahan, mereka meminta bantuan batalion tentera British yang berkubu di Pangkalan Chepa. Bantuan yang diminta segera dikerahkan ke kawasan itu sehingga berlaku pertempuran terbuka sehingga mengorbankan ramai mangsa, termasuk askar Jepun, British dan penduduk kampung.

Bagaimanapun, peperangan sengit berakhir dengan kemenangan kepada Jepun.

Seterusnya dari kawasan pantai itu, tentera Jepun membina angkatan yang kuat dengan berbekalkan strategi terancang serta slogan ‘Asia Untuk Orang Asia’ bagi menarik sokongan penduduk tempatan.

Bangsa yang mula mengenal erti kemajuan di bawah pemerintahan Maharaja Meiji itu terus mara ke pusat pentadbiran British di Kota Bharu dengan menunggang basikal dan mereka berjaya menguasai bandar berkenaan dalam masa sehari.
Semangat untuk menjulang nama bangsa, negara dan keperluan sumber ekonomi sebagai bahan mentah industri pekilangan mendorong tentera Jepun semakin agresif sehingga menawan seluruh Kelantan selepas 10 hari Jepun mendarat di Tanah Melayu.

Maruah tentera British yang sebelum itu mendabik dada mengaku kononnya mereka bangsa hebat dan berpengaruh serta memiliki kekuatan tentera, tercalar teruk diperlakukan Jepun sepanjang tempoh itu.

Dalam tempoh 10 hari itu juga, Jepun yang dikenali sebagai Nippon mula melebarkan jajahannya. Selain Kelantan, mereka menyeberang sempadan Thailand-Tanah Malaya untuk masuk ke Kedah dan Perak.

Mereka berjaya menawan Lapangan Terbang Sungai Petani, Butterworth dan Alor Star pada 9 Disember 1941 dan pada hari seterusnya, pesawat Jepun menyerang dan menenggelamkan kapal tempur British HMS Prince of Wales dan HMS Repulse di perairan Pahang.

Jitra dan Alor Star dikuasai Jepun pada 12 Disember dan empat hari kemudian, British yang berpangkalan di Pulau Pinang melarikan diri meninggalkan pulau itu selepas menghadapi kebangkitan Jepun yang mengebom pangkalan berkenaan hampir setiap hari.

Senjata, bot, bekalan dan alat penghubungan radio ditinggalkan begitu saja dalam tergesa-gesa dan akhirnya jatuh ke tangan tentera Jepun. Nippon terus membawa masuk tambahan kereta kebal, pesawat dan kelengkapan perang bagi mempergiatkan serangan untuk menduduki Tanah Melayu.

Tentera Jepun mara ke selatan dan menawan Ipoh pada 26 Disember. Penentangan sengit terhadap kemaraan Jepun tercetus dalam Pertempuran Kampar yang berlangsung selama tiga hari tiga malam sebelum Jepun beroleh kemenangan pada 2 Januari 1942.

Pada 7 Januari 1942, dua pasukan Briged India Tentera British dipintas dalam Pertempuran Slim River yang memberi tentera Jepun laluan mudah ke Kuala Lumpur yang menjadi ibu negara Tanah Melayu.
Pada 9 Januari, kedudukan British semakin terdesak dan Komander Jeneral Wavell memutuskan untuk mengundurkan keseluruhan Tentera British dari Kuala Lumpur ke utara Johor. Kesempatan itu menyebabkan Jepun masuk dan menduduki Kuala Lumpur dengan mudah tanpa tentangan pada 11 Januari.

Askar Jepun terus mara dalam asakan hebat daripada meriam dan tembakan senjata api tentera British dan tentera bantuan dari Australia.

Pertempuran sengit dengan tentera Australia di Jambatan Gemencheh pada 14 Januari menyebabkan Jepun mengalami kekalahan taktikal buat kali pertamanya dan ia memberi tamparan hebat kepada Jepun kerana mengorbankan 600 askarnya.

Kalah dalam pertempuran di Gemencheh, Jepun semakin mengganas dalam pertempuran lain. Pertempuran sengit di Parit Sulong selama empat hari menyebabkan tentera Australia dan askar upahan British kalah teruk.

Melihat jumlah yang mati dan tercedera meningkat, Leftenan Kolonel Anderson yang mengetuai Pasukan Muar mengarahkan setiap orang bawahannya ‘menyelamatkan diri masing-masing’.

Mereka melarikan diri merentas hutan, paya dan ladang getah manakala mereka yang tercedera ditinggalkan. Seramai 133 askar disiksa dengan kejam dan sadis oleh tentera Jepun.

Pertempuran kamikaze oleh tentera Jepun menyebabkan British dan sekutunya diasak sehingga ke penghujung jalan. British mula menyedari yang mereka tiada lagi peluang untuk menang dan akhirnya mengarahkan pengunduran umum pihaknya menyeberangi Selat Johor ke Singapura. Menjelang 31 Januari 1942 iaitu selepas 55 hari, keseluruhan Tanah Melayu jatuh ke tangan Jepun.

Pada 15 Februari 1942, pemerintah tentera British di Tanah Melayu, Leftenan Jeneral Arthur Ernest Percival bersama-sama 60,000 tentera British menyerah diri secara rasmi kepada Pemerintah Tentera Jepun, Leftenan Jeneral Tomoyuki Yamashita di Ford Plant Bukit Timah, Singapura.

Pengumuman kekalahan British itu menyebabkan bermula era penjajahan Jepun di negara kita.

Hidup sengsara di zaman Jepun

JEPUN menjajah Tanah Melayu selama hampir empat tahun dan sepanjang tempoh itu penduduk merasai kekejaman askar penjajah itu yang tidak teragak-agak untuk menyeksa dan membunuh sesiapa saja yang menentang mereka.

Penduduk mula merasai peritnya hidup di bawah pemerintahan kuku besi Jepun yang lebih kejam dan tidak berperikemanusiaan berbanding British. Mereka diperlakukan bagai hamba abdi dan haiwan, jika masih hidup.

Askar Jepun pimpinan Leftenan Jeneral Tomoyuki Yamashita yang digelar ‘Harimau Malaya’ dikatakan gemar melakukan ‘upacara’ memotong kepala dan penyembelihan beramai-ramai terhadap rakyat tidak berdosa.

Malah, di Kampung Parit Tinggi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, lebih 800 orang dibunuh dalam masa dua hari dengan pelbagai cara tidak berperikemanusiaan. Ada yang diseksa di hadapan ayah, ibu, anak-anak, isteri atau suami masing-masing.

Penduduk ditikam dengan bayonet, dipaksa minum air sabun, dicampak ke dalam perigi dan paling menyayat hati, seorang ibu hamil dilapah perut sehingga kaki bayi dikandungnya terjulur keluar.

Rakyat benar-benar sengsara dan hidup dalam ketakutan sepanjang penjajahan British. Ekonomi di Tanah Melayu merosot seterusnya lumpuh sepanjang pentadbiran tentera yang diamalkan Jepun di negara ini.

Jepun memperkenalkan mata wang mereka untuk digunakan di Tanah Melayu tetapi pengeluarannya yang tidak terkawal menyebabkan nilai mata wang itu rendah manakala harga barang makanan menjadi mahal.

Pengeluaran barang utama juga dikawal dan permit dikenakan untuk sebarang jenis pengangkutan dan perdagangan. Harta benda penduduk dirampas. Catuan makanan diwujudkan dengan penduduk perlu mendapatkan kupon untuk membeli beras. Setiap keluarga dibenarkan mendapat kira-kira tujuh kilogram beras saja sebulan menyebabkan mereka terpaksa mencari alternatif lain antaranya ubi kayu sebagai makanan.

Penduduk juga dipaksa bekerja untuk kepentingan Jepun. Mereka dipaksa memanjat pokok kelapa untuk memetik buahnya, menjadi buruh binaan dalam pelbagai projek antaranya pembinaan Jalan Kereta Api Maut sepanjang 415 kilometer dari Thailand ke Myanmar.

Sepanjang tempoh 1942 hingga 1946, sebanyak 72,000 penduduk menjadi buruh paksa bagi membina landasan itu, namun hanya kira-kira 30,000 orang saja selamat pulang manakala selebihnya hilang dipercayai mati.

Jepun juga menubuhkan pelbagai pasukan bagi merekrut penduduk tempatan menjadi sekutu atau bekerja dengan mereka antaranya Pasukan Khas Tempatan (Giyugun), Pasukan Pertahanan Awam (Jikeidan) dan Pasukan Sukarelawan Tambahan (Heiho).

Pendidikan Jepun diperkenalkan bagi memastikan budaya Nippon diamalkan penduduk dan budaya Inggeris yang diperkenalkan British sebelum itu dihapuskan. Penduduk diajar menyanyikan lagu kebangsaan Jepun iaitu Kimigayo, menundukkan kepala apabila bertemu dan mempelajari bahasa Jepun. Penggunaan Bahasa Inggeris pula diharamkan.

Penjajahan dan penindasan Jepun menyebabkan terdapat beberapa penduduk bangkit menentang terutama secara gerila. Orang Cina paling dahsyat ditindas berikutan permusuhan tradisi Jepun dengan China. Penindasan itu menyebabkan beribu penduduk Cina melarikan diri ke pinggir hutan, seterusnya hasutan Parti Komunis Malaya (PKM) menyebabkan penduduk Cina itu menubuhkan Malayan People’s Anti Japaness Army (MPAJA).

Orang Melayu pula menyertai askar gerila Melayu iaitu Force 136 yang ditubuhkan British bagi mengumpulkan penduduk tempatan untuk menentang penjajah itu.

Pagi 6 Ogos 1945, pesawat Superfotress Amerika Syarikat terbang memasuki ruang udara Jepun. Sebaik mendapati sasaran dan masa yang ditunggu sesuai, juruterbang menggugurkan bom atom di Hiroshima, sebagai serangan balas terhadap pangkalan Pearl Harbour yang dilakukan Jepun pada 8 Disember 1941.

Letupan atomik menggegarkan bumi wilayah Jepun itu pada hari berkenaan. Api yang teramat panas membakar bandar Hiroshima dan merentungkan penduduknya. Kegemparan kemusnahan Hiroshima masih belum reda apabila bom atom kedua, digugurkan ke Nagasaki, tiga hari kemudian.

Kemusnahan besar yang dialami di negara mereka menyebabkan pihak Jepun menyerah kalah dalam Perang Dunia Kedua kepada Tentera Berikat. Seterusnya pada 12 September 1945, tentera Jepun di Tanah Melayu menyerah diri sebagai tanda berakhirnya penjajahan kuasa itu di negara kita.


8 comments:

  1. boleh tambah sedikit ya...part permulaan perang dunia tu kena tambah sikit, perang pasifik sebab jepun memulakan perang dunia di sebelah rantau pasifik manakal sekutunya di sebelah rantau atlantik. saya ada tgk satu rencana bagaimana taktik jepun menyerang dan berjaya dalam masa 2 MINGGU saja dalam misinya menakluk tanah melayu. tentang permuafakatan jepun dengan siam masa tu memang benar. sebelum itupun negri2 di sebelah pantai timur dan utara semenanjung memang di bawah takluk siam akbat perjanjian bangkok siam inggeris(celaka punya inggeris, suka2 hati jer dia bg negri org kat org lain) siam masa tu nak jaga perut dia jer. di ceritakan sebelum jepun attack malaya, jepun dah ada base di siam secara senyap2. jepun juga memang target KB sebab KB ada base kapal terbang inggeris dan dekat dengan laut, jadi memang strategik la. sebab jepun x nak serang singapura dulu sebab jepun dah dapat maklumat yang kapal perang inggeris dah merayau kat laut china selatan, jadi utk mematahkan kekuatan laut inggeris yang amat terkenal masa tu, jepun perlukan base dan yg paling hampir di KB. terima kasih tuan sebab keluarkan cerita jepun ni. anak muda zaman sekarang ni byk yg tak tau, jgnkan cerita jepun, komunis pun dia x tau aper...semoga tuan dikurniakan kudrat utk menulis lagi artikel semacam ini. saya akan sentiasa menyokong perjuangan suci tuan.

    ReplyDelete
  2. Salam jmazli,
    terima kasih atas komen, sokongan dan info yang berguna.
    Selagi terdaya, saya akan terus menulis untuk berbakti pada agama,bangsa dan negara setakat yang termampu oleh saya.

    wassalam.

    ReplyDelete
  3. silap! perang dunia kedua bermula di eropah apabila tentera nazi jerman menyerang poland pd tahun 1939..amerika hanya terlibat dlm perang dunia kedua apabila pearl harbor diserang tentera jepun pd tahun 1941..

    ReplyDelete
  4. salam anak johor,
    terima kasih atas komen dan info.

    ReplyDelete
  5. sebelum jepun menjajah dan mendarat di kelantan,dia dah pasang ramai spy jepun yang hidup macam orang cina dan bercampur gaul dgn msyarakat setempat mcm org cina.

    mereka mengkaji geografi,sosio-budaya,kuat dan lemahnya masyarakat pd masa itu.

    kita aje yg tak perasan.ada spy yang berkawan baik dgn org melayu....hanya beberapa hari sebelum jepun mendarat di KB dia beri tau pd org melayu itu supaya berhati2 kerana jepun akan menjajah Tanah Melayu.lepas tu spy itu pun hilang....

    masa tu sapa yg percaya....hati2 lah kita dengan org asing di Malaysia yg tercinta ini...

    ReplyDelete
  6. Tuan telah menceritakan tentang Jepun mula menyerang Kelantan. Bila perang tamat 14 hari pula di perintah oleh Komunis. Ceritakan kejadian di KB tentang Masjid di baling babi dan orang Pasir Pekan datang menuntut bela.

    ReplyDelete
  7. kelantan hanya merupakan salah satu medan pertempuran perang dunia kedua..

    ReplyDelete
  8. salam untuk semua, saja nak berkongsi maklumat, saya pernah terbaca tulisan di ruangan ulama nusantara

    http://ulama-nusantara.blogspot.com/2006/11/raja-ali-kelana-ulama-pejuang-riau-dan.html

    dua org anak murid sheikh ahmad petani, raja ali kelana dan raja khalid hitam pergi menghadap maharaja jepun untuk meminta bantuan jepun menghalau penjajah. wallahualam.

    ReplyDelete