Monday, April 26, 2010

Majlis Ilmu: Bhg 2 - Surah Al-Fatihah



Tajuk : Majlis Ilmu:Bhg 2 – Surah Al-Fatihah.

Artikel Oleh : Sangtawal Sakranta.


Ulangkaji Majlis Ilmu :


Bhg 1 – Basmalah (Klik)


Saya memilih untuk menulis sedikit artikel berkaitan Surah Al-Fatihah dalam Majlis Ilmu-Bhg 2 kali ini.Semoga kita sama-sama mendapat sedikit manfaat darinya.

Sebagai permulaannya, saya rasa eloklah kita membaca satu artikel dalam akhbar Utusan Malaysia seperti dibawah berkaitan dengan Surah Al-Fatihah :

Sumber : Klik

[[ Al-Fatihah - Keistimewaan dan fadilatnya

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI, Pensyarah Kanan Kolej Uniti, Pasir Panjang, Port Dickson, Negeri Sembilan.


SURAH ini dinamakan dengan berbagai-bagai nama seperti al-Fatihah, Um al-Kitab, as-Sab'ai al-Masthani dan lain-lain. Imam al-Qurtubi menghitung 12 nama Fatihah, sedangkan al-Alusi menyebut sebahagian ulama mengira sampai dua puluh dua nama, sama ada secara tauqif daripada nabi atau ijtihad para sahabat.

Mempunyai tujuh ayat dengan ijmak yang bersalahan ulama pada cara bilangannya, sama ada basmalah termasuk dalam ayat atau tidak.

Surah al-Fatihah termasuk surah-surah Makkiah seperti yang dinyatakan oleh al-Wahidi dalam Asbab an-Nuzul dan ath-Tha'labi oleh Ibn Abi Syaibah, Abu Naim dan al-Baihaqi.

Ada pendapat yang menganggap surah ini termasuk surah Madaniah berdasarkan kepada apa yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah, Abu Said bin al-A'rabi, at-Tabarani daripada Mujahid daripada Abi Hurairah : menangislah iblis ketika diturunkan al-Fatihah di Madinah.

Menghimpun

Pendapat yang ketiga, ia diturunkan dua kali, Mekah dan Madinah sebagai menghimpun antara riwayat-riwayat.

Nas-nas hadis yang menunjukkan banyak kelebihan surah al-Fatihah antaranya :

1. Sebesar-besar surah dari segi kelebihannya seperti riwayat al-Bukhari daripada Abi Said bin Mu'alla.

2. Tiada tandingan dan bandingan dengan mana-mana surah dan kitab seperti Taurat, Injil, Zabur dan al-Furqan daripada surah al-Fatihah seperti riwayat Imam Ahmad daripada Ubay bin Ka'ab.

3. Dua cahaya yang digembirakan oleh malaikat iaitu al-Fatihah dan penutup surah al-Baqarah seperti riwayat Muslim daripada Ibn Abbas.

4. Penyembuh penyakit seperti terkena patukan ular, kala jengking dan lain-lain. Ini dinyatakan al-Bukhari dan Muslim daripada Abi Said al-Khudri.

5. Kelebihan Fatihah jelas apabila diwajibkan dalam setiap rakaat solat seperti riwayat al-Bukhari, Muslim dan at-Tirmizi daripada Abu Hurairah.

6. Menyembuh penyakit gila seperti riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, an-Nasa'i, Ibn Sunni, Ibn Jarir, al-Hakim yang mensahihkannya daripada Kharijah bin as-Salt at-Tamimi daripada bapa saudaranya yang datang bertemu Rasulullah s.a.w. dan pulang, kemudian lalu di perkampungan yang terdapat seorang lelaki yang dirantai dengan besi lantas kata keluarganya : Adakah kamu boleh rawatnya, kerana kamu datang daripada sahabatmu (Rasulullah s.a.w.) yang amat baik.

Aku pun membaca al-Fatihah selama tiga hari sebanyak dua kali pada waktu pagi dan petang setiap hari, aku hembus ke mukanya kemudian dengan izin Allah dia sembuh dan diberikan kepadaku 100 ekor kambing, aku datang kepada Rasulullah s.a.w. dan menceritakannya, sabda Rasulullah s.a.w : Makanlah, siapa yang berjampi dengan bathil? Sesungguhnya kamu berjampi dengan sebenarnya.

Inilah sebahagian daripada fadilat al-Fatihah.

INTI PATI DAN KANDUNGAN

Al-Fatihah mempunyai makna-makna al-Quran yang diasaskan dengan maksud-maksud secara ijmal, terdiri daripada usul ad-din dan cabang-cabangnya seperti akidah, ibadah, tasyri', iktikad dengan Hari Akhirat, beriman dengan sifat-sifat Allah yang mulia, mengesahkannya dalam beribadat, meminta pertolongan dan doa.Selain itu memohon hidayah ke jalan yang benar di samping menetapkan iman dan jalan orang-orang solehin, menjauhkan daripada golongan yang dimurka Allah dan yang sesat. Justeru dinamakan Um al-Kitab kerana menghimpun segala maksud-maksud asas.

As-Shahid Hasan al-Banna dalam risalahnya - Mukadimah fi at-Tafsir - berkata : Tiada syak siapa yang tadabbur al-Fatihah yang mulia ini pasti dapat melihat kayanya makna dan keindahannya serta keserasiannya, antara lain dapat dilimpahi cahaya pada hatinya.

As-Shahid Syed Qutb dalam tafsirnya - Fi Zilal al-Quran antara lain berkata : Sesungguhnya surah ini mengandungi inti pati akidah Islamiyah tasawwur Islami, perasaan dan harapan doa kepada Ilahi yang diisyaratkan daripada hikmah pemilihan surah ini pada setiap rakaat solat.

As-Syeikh Abdul Rahman Habannakah al-Midani di dalam kitabnya Ma`arij at-Tafakkur membahagikan inti pati al-Fatihah kepada empat :

1. Asas iman yang wajib diimani hamba-hamba Allah yang diujinya ketika berkelana di dunia secara mesti.

2. Tuntutan Allah terhadap hamba-Nya beribadat dan bergantung kepada-Nya tanpa sekatan dengan yang lain.

3. Agama pilihan Allah bagi hamba-hamba-Nya yang diuji, hanya sirat al-mustaqim yang dapat kemenangan yang disuruh pohon hidayah kepada-Nya.

4. Dua masa ujian, ujian di dunia dalam kehidupan semenjak lahir dan hingga kiamat terhadap tuntutan Allah.
Justeru dinamakan surah ini Um al-Quran kerana rangkuman segala inti pati al-Quran ]]

**************************

Marilah kita membincangkan Surah Al-Fatihah ini dengan lebih mendalam lagi:

Surah ini dibaca oleh setiap muslim sekurang-kurangnya 17 kali sehari! Iaitu dalam setiap rakaat solat 5 waktu kita.Dalam Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari Muslim, Rasulullah saw bersabda :

“Tidak ada solat bagi orang yang tidak membaca Fatihah Al-kitab”

Hadis diatas sudah cukup memberikan satu keistimewaan kepada Surah ini.Dalam satu hadis lain yang diriwayatkan oleh Abu Abdillah, Rasulullah saw bersabda :

“Sesungguhnya Iblis menjerit 4 kali .Pertama, pada hari ia dilaknat, kedua, ketika ia turun ke bumi, ketiga, Ketika Allah swt mengutuskan Muhammad saw pada tempoh terhentinya rasul, dan keempat, ketika diturunkan Umm al-Kitab yakni “Alhamdulillahi robbil ‘alamin”. Dan Iblis tertawa terbahak-bahak 2 kali, pertama, ketika Adam makan buah dari pohon dan kedua, ketika ia diturunkan ke bumi”

Ketika Surah Al-Fatihah diturunkan, semua iblis menangis kerana ketakutan.Suara tangisan iblis terdengar oleh seluruh makhluk kesegenap penjuru dunia kecuali manusia.Ada riwayat yang mengatakan semua iblis berkumpul dan menjerit dengan sekuat kuatnya sebanyak empat kali ketika surah ini diturunkan.

Dalam Sahih Muslim, Rasulullah menyatakan bahawa Allah Swt terus menjawab bacaan Al-Fatihah hambanya, diriwayatkan dari al-‘Ala’ bin Abdur Rahman, dari ayahnya dari Abu Hurairah RA, Rasulullah saw bersabda :

“Aku telah membahagi solat dua bahagian antara diriKu dan hambaKu. Bagi hambaKu apa yang dia minta. Jika dia mengucapkan, “Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam”, maka Allah berfirman “HambaKu telah memujiKu”.Dan jika dia mengucapkan “Yang menguasai hari pembalasan”, maka Allah berfirman “HambaKu telah memuliakanKu”. Jika dia mengucapkan "Hanya kepada Engkaulah kami beribadat dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan”. Maka Allah berfirman “Inilah bahagian antara hambaKu dan diriKu, untuk hambaKu apa yang dia minta”. Dan jika dia mengucapkan “iaitu jalan orang-orang yang Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat”, maka Allah berfirman “ Ini untuk hambaKu dan bagi hambaKu pula apa yang dia minta”.

Dalam sembahyang pula, seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu daud, Sahmi, dan ‘Amr ad-Dani disahihkan oleh hakim, bahawa Rasulullah saw membaca surah ini dengan berhenti pada setiap akhir ayat(waqof), tidak menyambung satu ayat dengan ayat berikutnya(Washol).

Dalam Al-Quran sendiri Allah telah menyatakan tentang 7 ayat yang di ulang-ulang :

“Dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu (wahai Muhammad) , tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh Al-Quran yang amat besar kemuliaan dan faedahnya”
[ Surah Al-Hijr: ayat 87 ]

Khairul Ghazali dalam bukunya “Misteri aura & energi Surah Al Fatihah”, pada mukasurat 44, menulis tentang nama-nama lain bagi surah ini :

[[ Berdasarkan hadith-hadith ,umumnya mufassir(yang terdahulu mahupun yang kemudian) menyebut tujuh nama; al-Quran menyebut 12 nama; al-Fakhr al-Razi dan al-Alusi, 22 nama dan Sayyid Muhammad Haqqi al-Nazili, 30 nama.

Senarai nama-nama lain bagi surah Al-Fatihah :

1.Fatihah al-Kitab (Pembuka al-kitab)
2.Fatihah al-Quran (Pembuka al-Quran)
3.Umm al-Kitab (Induk al-Kitab)
4.Umm al-Quran (Induk al-Quran)
5.Al-Quran al-Azim (Quran yang agung)
6.Al-Sab’al-Mathani (Tujuh yang berulang)
7.Al-Wafiyah (Yang memenuhi)
8.Al-Waqiyah (Yang melindungi)
9.Al-Kanz ( Perbendaharaan)
10.Al-Kafiyah (Yang mencukupi)
11.Al-Asas (Asas)
12.Al-Nur (Cahaya)
13.Surah al-Hamd (Surah pujian)
14.Surah al-Syukr (Surah Syukur)
15.Surah al-Hamd al-Ula (Surah pujian pertama)
16.Surah al-Hamd al-Qushwa (Surah pujian terakhir)
17.Surah al-Ruqyah (Surah mantera penawar)
18.Surah al-Syifa’ (Surah Ubat)
19.Surah al-Syafiyyah (Surah penyembuh)
20.Surah al-Solat (Surah Solat)
21.Surah al-Du’a ( Surah Doa)
22.Surah al-Tolab (Surah permintaan)
23.Surah al-Su’al (Surah permohonan)
24.Ta’lim al-Mas’alah (pengajaran masalah)
25.Al-Minajat ( Bisikan)
26.Al-Tafwidh (Kepasrahan)
27.Al-Mukafaat (Penggantian)
28.Afdhal Suwar al-Quran ( Surah al-Quran paling utama)
29.Akhir al-Surah min suwar al-Quran (Surah al-Quran terakhir)
30.A’zham surah fi al-Quran ( Surah al-Quran paling agung) ]]

Oleh itu, marilah kita sama-sama beramal dengan Surah yang hebat ini.

Kepada semua pembaca sekalian yang sudi berkongsi ilmu berkaitan dengan surah ini, anda semua dialu-alukan untuk menulis di ruangan komen di bawah.


Wassalam.

Sangtawal Sakranta.

5 comments:

  1. salam,

    Sama2 kita amalkan baca surah Al fatihah 41 kali yer setiap hari. Pak Teh kata cahaya langit dan bumi tu :)

    ReplyDelete
  2. salam adik sang,
    Terima kasih. ya, itulah sebenarnya yg cuba saya amalkan dan ingin saya sampaikan.

    wassalam.

    ReplyDelete
  3. Salam sahabatku,

    maaf xdpt jenguk2 teratak kamu, kerana tgh sibuk menyiapkan proposal untuk komplex sukan.

    terima kasih kerana tidak putus-putus berkongsi Ilmu yg ternilai harganya.

    sekadar berkongsi.

    Al-Fatihah bila baca berulang-ulang kali dengan memaksudkan ayat itu.. terasa getaran yang bertapa AgungNya Tuhan yang menciptakan kita.

    dan getaran ini biasa saya abiskan dgn surah An-Nas.


    [1]Katakanlah "Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia.

    [2]"Yang Menguasai sekalian manusia,

    [3]"Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia,

    [4]"Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, -

    [5]"Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, -

    [6]"(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia".

    -

    ReplyDelete
  4. salam sahabatku Ihya,
    terima kasih kerana sudi meluangkan sedikit masa diteratak hamba.

    ya, surah annas adalah yang terakhir diturunkan!sangat mendalam maksud dalam surah An Nas ini.... ia berkaitan dengan hati kita dan al khannas yang selalu membisikkan sesuatu kedalamnya.

    wassalam.

    ReplyDelete
  5. Salam Tuan,

    Berbanyak terima kasih atas perkongsian ini...
    Di dlm kitab Miftahul Jannah ada dinyatakan ttg 7 nama syaitan di dalam surah Al-Fatihah yg disebut sekiranya bacaan kita tidak betul.
    Mohon kpd tuan blog atau pembaca yg lain berkongsi pendapat dan ilmu berkaitan hal ini.

    Terima kasih.

    Fakir Andalusia

    ReplyDelete