Monday, January 19, 2009

Kisah seketul tulang dan sebidang tanah


Masih belum terlewat rasanya untuk saya mengucapkan tahniah kepada wakil rakyat yang memenangi pilihanraya beberapa hari yang lepas.Semoga anda dapat menyempurnakan amanah rakyat dan Allah swt sebagai orang yang terpilih untuk menjadi pemimpin yang berwibawa dan adil.



Teringat saya pada arwah guru saya yang pernah bercerita tentang satu kisah yang menarik berkaitan keadilan ini.Oleh itu rasanya perlu saya tuliskan semula cerita itu di blog ini untuk pengajaran kita bersama.



Semasa Saidina Umar bin Al-Khattab menjadi khalifah,beliau melantik ramai gabenor bagi mentadbir wilayah-wilayah yang sudah dimerdekakan oleh tentera islam daripada penjajahan empayar Rom yang beragama kristian.



Diantara gabenor itu ialah Amru bin Ash,yang dilantik sebagai gabenor di Mesir.Di Mesir beliau tinggal dalam sebuah istana yang besar.Dihadapan istana beliau ada sebidang tanah yang luas dan lapang.Ada juga sebuah pondok buruk disitu.Amru pun terfikir untuk membeli tanah tersebut yang dimiliki oleh seorang yahudi untuk di buat sebuah masjid yang besar setaraf dengan istana beliau itu.




Pada suatu hari Beliau telah menjemput orang yahudi itu .maka Tanya Amru, “Tuan,saya bercadang untuk membeli tanah tuan dan membina sebuah masjid disitu.Izinkan saya membelinya.berapakah harga tanah tuan itu?”.jawab orang yahudi itu, “Saya tidak berniat untuk menjual tanah itu”,kata orang yahudi itu.Kata Amru lagi, “Saya sanggup membayar 3 kali ganda daripada harga pasaran tanah itu”.Orang yahudi itu pun mengulangi pendiriannya untuk tidak menjual tanah itu. Si gabenor pun memujuk orang itu lagi,katanya “Bagaimana jika saya tawarkan harga 5 kali ganda?”.jawab yahudi itu, “tidak,saya takkan menjualnya”.lalu Amru bertanya lagi, “Kamu takkan menyesal selepas ini?”,maka jawab orang itu, “tidak”.kemudian dia pun minta diri untuk pulang.




Selang beberapa hari selepas itu,Amru pun mengeluarkan surat arahan kepada pegawainya supaya mengosongkan tanah tersebut,pondok buruk itu mesti dirobohkan,dan sebuah masjid perlu di dirikan disitu untuk kegunaan dan kepentingan orang ramai.



Orang yahudi itu pun pergi ke Madinah untuk mengadu hal tentang rampasan tanah oleh Amru itu kepada khalifah Saidina Umar.Setibanya di Madinah,orang yahudi itu pun terkejut besar bila melihat dengan mata dan kepala beliau sendiri raja sekalian raja orang islam yang berkuasa memerintah satu pertiga dunia itu tidak tinggal dalam istana besar dan megah seperti gabenor gabenor baginda di tempat lain.Dia terjumpa dengan khalifah Umar di depan masjid dan sedang duduk berehat dibawah sepohon kurma.lalu dengan tidak membuang masa beliau pun terus membuat pengaduan kepada si khalifah.



“Sungguh sangat melampau perbuatan Amru bin Ash ini!”kata Saidina umar.

Kemudian beliau pun berkata kepada orang yahudi itu, “lihat di sana,ada tempat longgokan sampah,Tolong ambilkan saya sepotong tulang kering,bawa kesini”.Yahudi itu pun pergi seperti yang diarahkan.Diambilnya seketul tulang belikat unta dan diserahkan kepada si khalifah.

Dengan menggunakan hujung mata pedangnya,Saidina Umar pun menuliskan sesuatu di atas tulang busuk itu,dan katanya “Bawa tulang ini baik-baik ke Mesir,kemudian serahkan kepada Amru bin Ash,gabenor saudara”




Kata si yahudi itu, “Tuan raja sekalian orang islam yang mulia,saya datang dari jauh semata mata untuk berjumpa dengan tuan bagi mendapatkan keadilan,tapi tuan hanya memberikan saya sepotong tulang yang sudah kering!”maka jawab khalifah umar,

“Saudara orang yahudi,pada tulang itu terletak keadilan yang tuan cari.pergilah kepada gabenor anda,pasti dia akan memberikan keadilan buatmu”




Kemudian orang yahudi tua itu pun pulanglah ke Mesir dengan rasa tidak berpuas hati,marah dan bercampur kebingungan lalu diserahkan kepada Amru bin ash.



Sebaik saja Amru mendapat kiriman tulang dari khalifah itu,membaca hakikat tulisan Khalifah Umar itu,beliau menagis dan terus mengarahkan supaya pegawainya merobohkan masjid yang sudah siap dibina dan memulangkan balik tanah yang dirampas itu kepada orang yahudi itu.



Maka ,pada hari orang ramai berkumpul untuk merobohkan masjid itu seperti yang di tetapkan,tiba-tiba orang yahudi itu pun berjumpa Amru.”maaf tuan,jangan robohkan dulu masjid itu,saya mahu bertanya satu kemusykilan”kata si yahudi itu. “tanyalah” jawab Amru bin Ash. “Apakah yang menyebabkan tuan ingin merobohkan masjid ini dan memulangkan kembali tanah milik saya ,hanya setelah menerima kiriman seketul tulang kering dari khalifah?”soalnya.



Jawab Amru “Tulang itu adalah tulang biasa,malah baunya busuk,tetapi khalifah menuliskan huruf alif berdiri yang dipalang di tengah-tengahnya dengan dua garis!”kemudian Amru pun menerangkan maksud dua garis yang ditulis saidina Umar dengan mata pedangnya itu….katanya “Maksud tulisan itu ialah ; wahai Amru bin Ash,ingatlah saudara,walau siapa pun saudara sekarang,biar bagaimana tinggi pangkat dan kuasa saudara,satu saat nanti anda pasti menjadi tulang-tulang yang busuk.Oleh itu hendaklah saudara berlaku adil seperti huruf alif yang tegak lurus,adil kepada orang diatas dan kepada orang di bawah anda dan maksud garis yang kedua pada tulang itu ialah jika saudara tidak adil dan lurus(betul),saya akan palang saudara di tengah-tengah iaitu saya akan penggal leher anda dengan pedangku ini!”



Mendengar jawapan gabenor itu,maka orang yahudi itu pun berkata “Tuan gabenor yang mulia,janganlah robohkan masjid itu,saya wakafkan tanah saya itu untuk kebajikan orang ramai dan saya berhasrat untuk memeluk islam!ajarilah saya!”



Demikianlah kisah yang paling mengesankan dalam sejarah islam tentang makna keadilan,ianya terus segar dan harum dalam lipatan sejarah.




Pengajaran dan hikmah yang dipetik sangtawal:



1.Pemimpin itu mestilah amanah dan bertanggungjawab keatas orang yang dipimpin.


2.Pemimpin perlu berlaku adil tanpa mengira agama,bangsa,pangkat dan kedudukan kepada mereka yang meminta keadilan.


3.Setiap perbuatan ,yang walaupun matlamatnya baik,contohnya untuk membina masjid dan untuk kepentingan umum,namun jika cara yang digunakan itu tidak betul dan tidak adil,maka ia tetap salah di sisi Allah.


4.Pemimpin mestilah bijak dan perlu berusaha mencapai tahap keimanan yang tinggi serta mengenal Tuhannya.Umpama Khalifah Umar dan Amru bin Ash yang berinteraksi menggunakan hakikat dan makrifat! kebenaran hanya boleh dikenal dengan kebenaran jua.Umar menulis huruf alif dan menyampaikan segala maksud tersiratnya dengan teknologi kalbu,begitu juga Amru yang faham dan terus menangis bila membaca huruf alif yang dipalang ditengah itu kerana dia mengerti secara hakikat teknologi kalbu yang disampaikan Umar.Itu sebabnya Khalifah umar berkata,”kamu orang yahudi”,maksudnya kamu bukan islam,mana mungkin kamu dapat menguasai teknologi kalbu yang hanya boleh dikuasai oleh orang islam.Teknologi inilah juga yang digunakan oleh Asif Barkhia untuk mengangkat istana ratu balqis dalam sekelip mata!Teknologi inilah yang digunakan oleh Umar untuk mengarahkan pergerakan tentera islam melawan musuh yang jauhnya beribu batu hanya dengan arahan dari atas mimbar khutbah masjid!



5.Pemimpin perlu menurut perintah pemimpin yang lebih tinggi darinya.Pemimpin juga tidak perlu malu untuk menyatakan kebenaran biarpun ia pahit dan berani mengaku kesilapan seperti gabenor Amru bin Ash itu.



6.Perjuangan dan dakwah perlu berjalan seiringan.Kaedah dakwah yang bijak seperti yang ditunjukkan dalam kisah diatas amat mempesonakan kita semua.



7.Pemimpin yang sebenar ialah yang semakin tinggi ilmunya semakin tunduk dia,jiwanya kaya biarpun miskin harta.Hatinya hidup dengan penuh dengan ketenangan dan selalu zikrullah.




Kesimpulan Sangtawal :



Pemimpin yang sebenar ialah pemimpin yang bijak lagi adil,yang tidak boleh dipengaruhi oleh orang lain.Pemimpin yang mengaku beragama islam tetapi menjadi boneka atau alat kepada orang lain amatlah memalukan umat islam.Tanah itu milik Allah,bukan hak milik kekal seseorang,dunia ini hanyalah pinjaman,maka berlaku adil lah dalam usaha memberikan tanah agar tidak menyakiti hati orang lain.Semoga pemimpin islam itu tidak menggunakan islam sebagai alat untuk mencari dan mengejar keduniaan.Pemimpin boleh bergerak kemana-mana,hatta dengan berjalan kaki asalkan sampai ketempat tujuan atau boleh berteduh dibawah pohon kurma kerana mereka tidak perlukan istana yang besar atau kenderaan yang mewah lagi bergaya untuk bergerak.Oleh itu berlaku adil lah kepada semua.janganlah kita memberi nama keadilan atas usaha kita,padahal masih banyak lagi janji –janji kita yang belum terlaksana dan betapa masih ramai lagi yang sedang merana dan sengsara dikala kita sedang lena di dalam istana mewah dipuncak bukit yang harganya berjuta-juta!Ingatlah satu hari nanti kita akan menjadi seketul tulang-tulang yang busuk jua!



1 comment:

  1. Satu lagi pengajaran yang saudara lupa, walau apa pun agama, bangsa, keadaan sesorang samada beriman, kafir atau fasik, haknya adalah tetap haknya. melainkan allah swt sendiri yang mengambilnya kita tiada hak merampasnya secara zalim...

    ReplyDelete