Saturday, July 07, 2012

Jangan Biarkan Kapal Ini Tenggelam.



Tajuk : Jangan Biarkan Kapal Ini Tenggelam.

Artikel Oleh : Sangtawal Sakranta.


Negara ini umpama sebuah kapal. Kerajaan ibarat nakhodanya dan rakyat jelata adalah penumpangnya. Kerajaan juga adalah terdiri dari rakyat jelata pada asalnya, lalu diangkat menjadi pemimpin. Biasanya mereka adalah terdiri dari rakyat yang terpilih.

Dalam sebuah negara demokrasi seperti negara kita, sistem demokrasi itu sendiri telah memecahkan rakyat kepada dua kelompok iaitu yang menyokong kerajaan dan satu pihak lagi yang membangkang kerajaan. Pengubalan dan perlaksanaan dasar-dasar kerajaan mestilah di ‘check and balance’ oleh pembangkang, barulah ia boleh diterima pakai untuk memenuhi hasrat rakyat.

Pembangkang juga harus ingat, tugas mereka adalah untuk memperbaiki sistem yang sedia ada demi kepentingan rakyat.Teguran dan cadangan membina haruslah untuk penambahbaikan dan memberi manfaat kepada rakyat jelata jua.Walau apa pun pegangan politik mereka, kepentingan rakyat mestilah diletak paling hadapan.Parlimen perlu dijadikan medan mempersembahkan ilmu dan idea serta harapan rakyat bukannya menjadi medan perbalahan atau perang mulut yang memalukan bila dilihat oleh rakyat!

Setiap pemimpin mestilah berilmu, bijak dan mampu bekerja untuk rakyat, bukan rakyat yang perlu memerah keringat mengkayakan segelintir pemimpin yang kemaruk wang dan kuasa atau betina. Pemimpin yang naik bukan dengan jalan yang betul, seperti bodek, ugut, rasuah dan penipuan biasanya tidak kekal lama. Pemimpin seperti ini adalah pemimpin yang rosak moralnya dan akan jatuh dengan hina dalam kancah politik di dunia ini sebelum dibakar dengan api neraka di akhirat.

Pemimpin perlu kuat dan berani serta mampu membuat keputusan dengan bijak dan tepat tanpa mudah dipengaruhi oleh sesiapa termasuk bini, anak menantu , pencacai politik pembodek setia.

Aristotle

Wahai pemimpin politik dalam negara , renungilah kata-kata Aristotle ini:

“Tujuan politik adalah bagi kebaikan manusia” ( Aristotle, NE, 1.2, 1094 a26-b7 )

“Ketika kita mengkaji persoalan-persoalan ini, kita mungkin akan mendapatkan pandangan yang lebih baik mengenai persoalan yang berkaitan dengan jenis perlembagaan yang terbaik, dan bagaimana masing-masing perlembagaan disusun, hukum dan adat apa yang perlu dipakai jika ingin memperoleh hasil yang terbaik” ( Aristotle, NE,X.9, 1181 b20-2 )

Tulis Aristotle, guru Alexander The Great itu lagi dalam bukunya yang berjudul Politics :

“Jenis orang (Plethos) yang sesuai bagi pemerintahan (politicon) adalah orang yang secara alaminya eksis ( kuat / berkuasa ) dalam suatu kumpulan (plethos) warga/orang yang mampu berperang, yang mampu memerintah dan diperintah, sesuai dengan hukum yang mengagihkan jawatan kepada orang yang mampu berdasarkan kebaikan. Jadi, ketika beralih ke seluruh keluarga ataupun beberapa individu , yang memiliki kebaikan luar biasa mengungguli orang lain, maka adalah adil keluarga ini mesti diberikan kerajaan dan kekuasaan ke atas semua orang, dan orang ini semestinya menjadi raja…” ( Aristotle , politics, buku 111.17, 1288a6-15 ).

Oleh itu, rakyat ibarat sebagai penumpang sebuah kapal, jangan biarkan nakhoda memusnahkan atau menenggelamkan kapal dengan sengaja. Rakyat pula , jangan bertindak membocorkan kapal dari bawah dek kerana tidak berkenan dengan nakhoda di atas, kerana dengan tindakan bodoh itu kapal pasti akan tenggelam.

Kapal ini kapal kita, marilah bersama bersatu melayarkannya dengan gagah membelah ombak dan badai di samudera.


*[ Artikel ke - 252 Sangtawal Sakranta ]...