Monday, January 30, 2012

Kaitan Antara Florida Dan Andalusia



Tajuk : Kaitan Antara Florida Dan Andalusia.

Artikel Oleh : Sangtawal Sakranta.


Siapakah Florida? Apakah kaitan antara Florida dan kekalahan Sepanyol kepada tentera islam sehingga menyebabkan cahaya islam mula bersinar di bumi Andalusia ini?

Florida adalah seorang anak perempuan Gabenor Ceuta yang bernama Julian. Kecantikan Florida tersohor di Sepanyol menyebabkan dia menjadi idaman Raja lalu diculik dan di perkosa oleh Raja Sepanyol yang zalim iaitu Raja Roderick yang berbangsa Gothik walaupun beliau tahu Florida adalah anak kesayangan kepada Gebenornya sendiri. Tidak tahan menanggung malu dan sedih Florida mengambil keputusan untuk membunuh diri. Kekasihnya Julius ,seorang hartawan dan ayahnya Gabenor Julian begitu kecewa , marah dan sangat berdendam atas perbuatan zalim serta terkutuk Raja Roderick ke atas Florida.

Bertolak dari kejadian itu, maka Gabenor Julian dan Julius mula berkonspirasi untuk menjatuhkan Raja Roderick yang zalim. Segala perbelanjaan kewangan ditaja oleh Julius.

Di Sepanyol, kaum wanita merasa terancam kesuciannya, petani dikenakan pajak tanah yang tinggi, cukai dinaikkan sesuka hati dan banyak lagi penindasan yang tak berperikemanusiaan dilakukan. Raja dan kroni-kroninya bersuka ria dalam kemewahan sedangkan rakyat selalu merintih dan sengsara. Ramai penduduk yang beragama Kristian danYahudi, berhijrah ke Afrika untuk mencari ketenangan dan memulakan hidup baru. Ketika itu Afrika terkenal sebagai sebuah negara yang aman makmur di bawah naungan pemerintahan Islam.

Gabenor Julian juga antara mereka yang berhijrah ke Afrika dengan satu matlamat iaitu untuk memohon bantuan daripada Musa bin Nusair, raja muda Islam di Afrika dari Kerajaan Bani Umiyah untuk memerdekakan negeri mereka dari penindasan raja mereka yang zalim itu.

Setelah mendapat kebenaran Khalifah dari Damsyik, maka pada bulan Rejab tahun 97 H ( bersamaan Julai 711 M ), Musa bin Nushair memerintahkan Panglimanya Thariq bin Ziyad untuk menyerang Semenanjung Sepanyol dengan memimpin 12,000 tentera Muslim menyeberangi selat antara Afrika dan daratan Eropah yang dipisahkan oleh Lautan Mediterranean sejauh 13 batu dengan kapal-kapal pemberian Julian, Gabenor Ceuta yang ditaja oleh Julius bekas kekasih anaknya Florida.

Setelah mendarat di pantai karang, Thariq bin Ziyad dan pasukannya berhadapan dengan 100,000 tentera Visigoth di bawah pimpinan Roderick. Thariq mengumpulkan tentera Muslimin di atas sebuah bukit karang, dan Thariq berucap memberi kata-kata semangat dan dorongan jihad di atas bukit itu. Bukit itu kini dikenali sebagai Jabal Thariq ( Bukit Thariq) yang kemudiannya ditukar kepada Gibraltar.




Di atas bukit setinggi 425m di pantai Tenggara Sepanyol inilah Thariq memerintahkan kesemua kapal-kapal yang telah membawa mereka menyeberangi lautan itu dibakar.

Dengan gagah berani Thariq berseru,

"Kita datang ke sini tidak untuk kembali. Kita hanya punya pilihan,menakluki negeri ini dan menetap di sini, atau kita semua syahid”.

Keberanian dan perkataannya yang luar biasa ini menyebabkan Sir Muhammad Iqbal, seorang penyair Persia, menulis dan mengabadikan sebuah syair berjudul "Piyam-i Mashriq” :

“Tatkala Thariq membakar kapal-kapalnya di pantai Andalusia (Sepanyol),
Perajurit-perajurit mengatakan bahawa, tindakannya itu tidak bijaksana.
Bagaimana mungkin mereka kembali ke negeri asal, dan peralatan peperangan adalah bertentangan dengan hukum Islam.
Malahan kekuatan bilangan tentera musuh melebihi ribuan dari tentera kaum Muslimin. Mendengar itu semua, Thariq menghunus pedangnya, dan menyatakan bahawa setiap negeri kepunyaan Allah adalah kampung halaman kita.”

Itulah Tariq Bin Ziyad , Panglima yang diutuskan oleh Musa Bin Nusair untuk menakluk Sepanyol. Beliau berasal dari bangsa Barbar, bekas seorang budak suruhan atau hamba yang kemudian dimerdekakan oleh Musa bin Nushair, Gabenor Islam di Afrika Utara dan di tangan Musa inilah Thariq memeluk Islam bersama orang-orang Barbar yang lainnya. Apa yang pasti, Thariq merupakan antara kerlipan bintang yang bersinar setelah kewafatan Rasulullah s.a.w dan selepas zaman Khilafah Ar-Rasyidin. Keimanan dan kegagahan Tariq memikat hati Musa Bin Nusair sehinggalah dia memilih Tariq menjadi Panglima perangnya dan ternyata selepas itu Tariq tidak mengecewakan Musa bin Nusair.

Kata-kata Thariq ketika berada diatas Jabal Tariq itu menaikkan semangat tentera Muslimin yang dipimpinnya.Tentara Muslimin yang berjumlah 12,000 orang mara melawan tentara Gothik yang berkekuatan 100,000 tentera. Tentera Gothic ternyata lebih ramai dan mempunyai kelengkapan senjata yang lebih canggih, namun itu tidak mematahkan semangat juang tentera islam yang sentiasa memburu syahid di jalan Allah.

Pada 19 Julai 711 M, pasukan tentera Muslimin dan Nasrani bertemu dan bertempur dekat muara sungai Barbate. Raja Roderick lari dan terjun ke dalam sungai Barbate bila bertembung dengan Panglima Tariq lalu terbunuh. Selepas itu Thariq membahagikan pasukannya menjadi 4 pasukan, dan mengarahkan mereka ke Cordoba, Malaga, dan Granada. Sedangkan dia sendiri bersama pasukan utamanya menuju ke Toledo, ibukota Sepanyol. Selepas itu kesemua kota kota besar tersebut jatuh ke tangan tentera islam dan selepas itu islam pun bersinar dengan cemerlang di Sepanyol [ Andalusia ]

Dalam kitab Tarikh al-Andalus, disebutkan bahawa sebelum meraih kemenangan ini, Thariq telah bermimpi melihat Rasulullah s.a.w bersama keempat-empat Khalifah Khulafa’ Ar-Rasyidin berjalan di atas air hingga menjumpainya, lalu Rasulullah s.a.w memberitakan khabar gembira bahawa dia akan berhasil menakluki Andalusia. Rasulullah s.a.w menyuruhnya untuk selalu bersama kaum Muslimin dan menepati janji.

Philip K.Hitti, seorang pemerhati berbangsa Eropah telah menulis:

Ini merupakan perjuangan utama yang terakhir dan paling sensasi bagi bangsa Arab itu. Penaklukan ini membawa masuknya wilayah Eropah yang paling luas yang belum pernah mereka (tentera Islam) peroleh sebelumnya ke dalam kekuasaan Islam. Kecepatan pelaksanaan dan kesempurnaan operasi ke Sepanyol ini telah mendapat tempat yang unik di dalam sejarah peperangan abad pertengahan.”

Tariq berpadangan jauh dan mempunyai cita-cita untuk meluaskan penguasaan islam keseluruh Eropah. Dia mahu islam tersebar keseluruh dunia. Namun niat suci Thariq ini dapat dihidu oleh pemimpin pemimpin negara Eropah. Mereka berkumpul di Istana Raja Perancis. Raja Perancis, Raja German dan Raja England telah bermesyuarat dan berkonspirasi untuk menyekat kemaraan tentera-tentara islam dibawah pimpinan Thariq.

Setelah mereka tahu dimana titik kelemahan Khalifah , mereka pun sebulat suara bersetuju untuk menghantar utusan mereka bersama berpuluh-puluh orang wanita cantik , emas dan permata sebagai umpan untuk Khalifah Bani Umaiyah di Damsyik. Khalifah tertawan dengan kejelitaan berpuluh-puluh orang wanita yang dihadiahkan kepadanya dan terpesona dengan habuan dunia berupa emas dan permata yang dibawa oleh musuh islam itu. Sebagai balasannya Khalifah berjanji kepada Raja-Raja Eropah untuk memenuhi permintaan mereka iaitu tidak akan menyerang negara-negara mereka di Eropah lagi.

Natijahnya, Panglima Thariq bin Ziyad dipanggil pulang ke Damsyik serta merta dan misi untuk menakluk seluruh Eropah dibatalkan begitu sahaja.

Berbeza dengan Panglima Tariq Bin Ziyad, ketika memasuki kota Portugal, beliau dan tenteranya telah diumpan oelh seorang Paderi besar Portugal dengan wanita , arak dan makanan yang lazat-lazat namun mereka tidak terpedaya dengan tipu helah musuh seperti Khalifah mereka.Ketika dihidangkan dengan makanan yang lazat , yang dicampur dengan daging babi, Thariq berkata :

“Makanan ini tidak halal bagi kita kerana bercampur dengan daging babi dan anjing.Apabila makanan yang haram masuk kedalam perut, kita akan dibakar oleh api neraka”.

Bila mereka digoda oleh wanita cantik, Thariq berkata kepada tenteranya :

“Jihad yang paling besar sekali pahalanya adalah melawan hawa nafsu”.

Setiap orang tenteranya berjaya menahan diri daripada godaan wanita-wanita cantik dengan berkata :

“Kami sedang berjihad melawan nafsu.Bidadari di syurga lebih cantik daripada kamu”.

Wanita-wanita itu merasa malu dan sungguh kecewa kerana tidak seorang pun dari tentera Thariq tergoda dengan pujuk rayu mereka.Mereka berkata :

“Mereka bukan manusia, tetapi malaikat”

Bila ditawarkan arak, mereka juga menolak ,Thariq berkata :

“Arak adalah ibu segala kejahatan. Kami diharamkan meminumnya”

Akhir sekali Paderi besar itupun mengadap Raja Portugal lalu berkata :

“Mereka manusia yang memiliki sifat malaikat. Kita pula manusia yang memiliki sifat binatang.Kita tidak mungkin dapat mengalahkan mereka, maka lebih baik berdamai dengan mereka”

Artikel ini saya tulis agar kita semua dapat mengambil iktibar darinya.

Kezaliman Raja dan pemimpin sesebuah Negara keatas rakyatnya sudah pasti akan membawa kehancuran kepada Negara itu sendiri. Florida dirogol dan akhirnya dia membunuh diri. Bapanya bekas Gabenor Ceuta, Julian berpaling tadah setelah hilang keyakinan kepada Raja Sepanyol lalu memohon bantuan negara asing iaitu dari tentera Islam di Afrika.

Untuk sesebuah kerajaan islam itu bertahan dan berkembang, pemerintah dan para pemimpin mestilah kuat iman dan amalnya serta bersungguh-sungguh dalam menegakkan syariat islam dan mengamalkan sunnah Rasulullah saw. Jika rakyatnya sahaja yang beriman, tetapi para penguasa dan pemimpin asyik dengan rasuah, asyik dengan wanita , asyik mengumpul harta atau membeli belah dan leka dengan hal-hal duniawi sehingga melupakan akhirat, maka pembentukan sebuah negara islam yang diimpikan selama ini tidak akan tercapai dengan jayanya.

Allah swt akan membantu dan memberikan kejayaan kepada hambanya yang berniat ikhlas, sabar, selalu berdoa dan mengharapkan keredhaan Allah swt serta istiqamah dalam perjuangannya.


*[ Artikel ke-243 Sangtawal Sakranta ]


Tuesday, January 24, 2012

Pinggan Gambar 7 Naga



Tajuk : Pinggan Gambar 7 Naga.

Artikel Oleh : Sangtawal Sakranta.


Bila sebut pasal naga, saya teringat akan arwah datuk . Dulu datuk ada satu pinggan yang selalu digunakannya bila makan nasi.Pinggan itu khas hanya untuk datuk seorang saja. Bila arwah datuk tiada, saya simpan pinggan itu sebagai kenang kenangan.

Gambar pinggan itu diabadikan sebagai gambar profile Sangtawal di blog ini. Apa yang menariknya pada pinggan ini ialah terdapat gambar 7 ekor naga, 1 gambar besar naga di tengah , enam ekor lagi pada bahagian tepi pinggan. Secara kebetulannya, saya juga anak yang ke-7, tapi bukan lahir pada tahun naga ye…. , saya lahir pada tahun arnab. he he he….

Pernah dulu ada seorang peminat dan pengumpul barang-barang antik datang untuk membelinya, tetapi saya tidak mahu menjualnya. Pada bahagian belakang pinggan ini ada logo bentuk Loceng dan no sirinya sekali.




Kepada pembaca sekalian yang tahu maklumat berkaitan dengan pinggan ini seperti di mana ia di perbuat dan tahun berapa ia di keluarkan bolehlah e-mel saya atau tulis di ruangan komen di bawah.

Banyak misteri dan mitos yang menyelubungi kewujudan binatang “NAGA” ini. Pada pandangan peribadi saya pula, saya percaya akan kewujudan species naga ini.



Arwah datuk saya kata Naga memang wujud dan dalam cerita wayang kulit versi sangtawal pada artikel yang lalu saya ada ceritakan bagaimana Seri Rama telah berjaya memanah ketujuh-tujuh batang pokok Tar dalam satu pertandingan merebut Sita Dewi dimana Seri Rama tahu kesemua tujuh batang pokok Tar itu terletak diatas belakang seekor naga. Lagenda itu diabadikan pada satu nama kampung iaitu Kampung Tal Tujuh di Kelantan. Arwah guru saya juga pernah bertemu dengan seekor naga ketika beliau bertapa di Tasek Chini.

Apakah misteri yang masih menyelubungi di dasar Tasek Chini???


*Tasek Chini dan Bunga-bunga Teratai.



*[ Artikel ke - 242 Sangtawal Sakranta ]...

Wednesday, January 18, 2012

Pendekar India Dan Samurai Jepun Pernah Tewas Oleh Libasan Pedang Hang Tuah.



Tajuk: Pendekar India Dan Samurai Jepun Pernah Tewas Oleh Libasan Pedang Hang Tuah.

Artikel Oleh :
Sangtawal Sakranta.



Kita sepatutnya merasa bangga kerana pernah mempunyai seorang Tokoh Persilatan Yang Terbilang di Alam Melayu ini, yang tiada tolok bandingnya ketika itu iaitu Laksamana Hang Tuah. Seorang insan yang mempunyai kecerdasan fizikal, emosi dan spiritual yang tinggi. Kebolehan beliau bertutur dalam 12 jenis bahasa,minat berniaga sejak dari kecil lagi dan bila dewasa menjadi Ketua Pertahanan Negara serta menjadi Laksamana atau Duta Sultan Melaka ke peringkat antarabangsa adalah bukti bahawa Tokoh ini adalah seorang manusia hebat di zamannya.

Kehebatan beliau bermain keris sudah diketahui umum, namun jarang sekali kita dengar beliau juga adalah seorang pemain pedang yang handal! Malah beliau juga mahir dalam seni mempertahankan diri menggunakan senjata-senjata lain .




Mari kita ikuti kisah Hang Tuah menewaskan pendekar India dalam Hikayat Hang Tuah ini:

“..Titah baginda ( Raja negeri Bijaya Nagaram-Benua Keling-India sekarang), `Hai Laksamana, tahu-kah engkau bermain pedang perisai?` Maka sembah Laksamana, `Daulat tuanku, tahu juga patek barang2 kadar-nya’…” ( ms:359)

“Maka baginda pun menyuroh memanggil pendekar yang tahu terlalu sa-kali pada bermain pedang dan perisai. Maka titah Kisna Rayan, `Hai pendekar, engkau hendak ku-surohkan bertuju dengan Laksamana Hulubalang Melayu.` Maka sembah pendekar itu, `Daulat tuanku, berapa puloh hulubalang Melayu itu akan bertuju dengan patek? Jika sa-orang dua, bukan lawan patik…” ( ms: 360)


“…Maka Laksamana pun melangkah pintu keluar. Maka di-lihat oleh Laksamana pendekar itu hadhir menanti dengan perisai di-luar pintu. Maka Laksamana pun segera mengambil pedang dan perisai di-luar pintu itu daripada tangan orang-nya. Maka Laksamana pun memekis serta menghunus pedang-nya, lalu melompat serta di-kirap-nya (ditangkisnya) perisai menyalahkan parang (tebasan) pendekar itu. Setelah lalu parang pendekar itu, maka di-parang (pancung) oleh Laksamana kena perisai-nya, belah dua lalu ka-pinggang-nya. Maka Laksamana pun menyarongkan pedang-nya. Maka Nala Sang Guna ( Perdana Menteri Bijaya Nagaram) pun memegang tangan Laksamana lalu di-bawa-nya masok ka-balairong.” ( ms 360 )


Berikut pula adalah kisah Hang Tuah menewaskan Samurai Jepun :

“Berapa lama-nya Laksamana dudok di-benua Siam itu, sa-kali persatua, maka Phra Chau pun bertitah, `Hai Oya Bagelang, mana dia pendekar Jepun yang bernama Chin Chu itu?`Maka sembah Oya Bagelang, `Ada, tuanku, pendekar itu, dari Kemboja datang, terlalu mashhor. Jika sa-puloh, bukan lawan-nya. Maka titah Phra Chau, `Segera panggil pendekar Jepun.’ ( Ms : 390 )

“…Maka titah Phra Chau, `Hai pendekar, engkau aku titahkan bermain pedang dengan utusan Melayu ini.` Maka kata Jepun itu, `Berapa puloh orang Melayu itu? Jika sa-orang dua bukan lawan patek.` Hang Tuah sebagai `Hulubalang Melayu` tiada dapat mendengar kata-kata yang keji di-tengah majlis lalu menyambut cabaran pendekar Jepun dengan berkata: `Cheh! Hendak berdusta pula. Bicara kamu ini empat lima berdiri pun tiada endah padaku!” ….



“…Maka pendekar Jepun itu pun turun ka-tanah menghunus pedangnya serta dengan amarah-nya, beberapa dilarang oleh hulubalang Siam tiada di-dengarnya. Phra Chau ( Raja Siam) sendiri lalu larang-nya . Maka ia pun berseru2, katanya, `Hai Melayu, turun-lah engkau! Jika tiada turun supaya ku-naiki balairong ku-tendas kepala-mu”.

“…Maka kata Laksamana, `Hai si-Kafir yang keras hati-mu, apa engkau hendak perbuat, perbuat-lah oleh-mu.` Sa-telah pendekar itu melihat Laksamana sudah turun, maka segera di-parang-nya. Maka Laksamana pun melompat hendak menangkis parang-nya itu, kerana (pendekar Jepun) memarang dengan dua belah tangan-nya. Sa-telah lalu, di-parang pendekar itu, maka di-parangnya oleh Laksamana telinga-nya, putus terpelanting ka-tanah maka Laksamana pun segera melompat naik ka-atas balairong itu. Maka orang pun hairan pantas Laksamana itu. Sa-telah pendekar itu melihat telinga-nya putus itu, makin bertambah marah-nya dan malu-nya lalu di-usirnya akan Laksamana hendak naik ka-balairong itu. Maka Laksamana pun segera terjun di-atas balai berhadapan dengan Jepun itu pula”.

“Maka di-parang oleh Jepun itu, di-salah-nya (dielak) oleh Laksamana, serta di-parang-nya hidung pendekar itu, putus. Maka Laksamana melompat naik ka-atas balairong itu pula. Maka di-rasa-nya oleh pendekar itu hidong-nya putus, maka lalu di-usir-nya, maka hendak di-naiki ka-balairong itu. Maka Laksamana pun terjun pula berhadapan dengan jepun itu, lalu di-parang-nya Jepun, bahu-nya pun putus gugor ka-tanah. Maka jepun itu pun mengusir pula dengan bersunggoh2 hati-nya, maka diparang pula oleh Laksamana kepala-nya belah dua…” ( Ms.391).


Itulah serba sedikit sedutan babak-babak pertarungan Hang Tuah yang ditulis dalam buku Hikayat Hang Tuah. Pendekar India dipancung dengan mudah sekali oleh Hang Tuah manakala Samurai Jepun kepalanya terbelah dua ditetak oleh Hang Tuah.

Melayu dulu gagah berani dan mempunyai semangat juang yang tinggi.

Oleh itu, hayatilah pantun melayu asli ini sambil menyelami makna dan falsafah yang tinggi yang disembunyikan didalam rangkap pantunnya:


"Lompat tinggi tinggi

Sampai ke cucur atap

Belum tumboh gigi

Sudah pandai baca kitab
"




Oleh itu, ajarilah anak-anak kita melompat tinggi-tinggi kerana ada rahsia melayu yang tersembunyi disebalik perbuatan melompat itu saudaraku…( bertanyalah kepada mereka yang ahli dalam hal ini… )

Antara rahsia itu ialah seperti apa yang dilakukan secara spontan oleh Dato Laksamana Hang Tuah dalam langkah mempertahankan dirinya seperti dibawah :

“…Orang mengamok itu pun datanglah berlari-lari dengan keris terhunus menuju Hang Tuah… datanglah ke hadapan Hang Tuah serta ditikamnya dada Hang Tuah. Maka Hang Tuah pun melompat menyalahkan tikam orang itu, maka salah tikamnya itu. Maka Hang Tuah pun melompat, maka diparangnya (dibelah) kepala orang mengamok itu dengan kapak, kena, belah dua, maka lalu larilah. Maka orang mengamok itu pun rebah lah lalu mati.” ( Ms:29 ).


Semoga pejuang melayu islam kembali bermuafakat, bersatu hati dan rapatkan saf-saf perjuangan demi survival sebuah bangsa melayu islam yang semakin terancam dari setiap sudut kehidupan ini...



Bangkitlah wahai para pejuang!!!


*Apakah Hang Tuah wujud??? KLIK sini

*Is Hang Tuah fact or fiction??? KLIK sini


*[ Artikel ke-241 Sangtawal Sakranta... ]



Wednesday, January 11, 2012

Ijtihad Seorang Hakim



Tajuk : Ijtihad Seorang Hakim

Artikel Oleh : Sangtawal Sakranta.


Bidang kehakiman adalah sebuah institusi yang mulia kerana ia diwujudkan bertujuan memberikan ketenteraman dan keadilan di dalam masyarakat serta menjunjung tinggi kedaulatan undang-undang Negara. Namun menjadi seorang hakim juga terdedah dengan pelbagai risiko seperti ada yang tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat, sedangkan di akhirat pula seorang hakim itu akan diancam dengan bakaran api neraka jika menjatuhkan hukuman tidak sesuai dengan yang apa yang sepatutnya.

Nabi Muhammad saw bersabda yang bermaksud :

“Hakim ada tiga; dua di antara mereka masuk neraka, sedangkan satu diantara mereka masuk syurga. iaitu seorang lelaki yang mengetahui Al Haq, lalu ia memutuskan perkara dengannya ( al haq), maka ia masuk syurga. Adapun lelaki yang mengetahui Al Haq, tapi ia tidak memutuskan perkara dengannya, maka ia masuk neraka. Sedangkan seseorang yang tidak mengetahui al haq lalu ia memutuskan perkara manusia dengan kebodohannya maka ia juga masuk neraka.”

( Hadis Riwayat Abu Dawud, At Thawawi)

Itulah amanah dan tanggungjawab yang harus dipikul oleh seorang Hakim. Di tangannya lah kebenaran adalah benar dan yang salah menjadi salah ATAU sebaliknya yang benar menjadi salah dan yang salah seolah-olah menjadi seperti benar.

Tugas seorang Hakim yang arif itu adalah untuk menegakkan kebenaran dan keadilan. Oleh kerana tugas ini amat berat maka dulu Imam Abu Hanifah pernah menolak jawatan itu yang ditawarkan kepadanya walaupun beliau mempunyai cukup kelayakan bahkan tidak ada seorang pun yang lebih hebat daripadanya dari segi ilmu di waktu itu.

Hakim adalah pembuat keputusan dalam mahkamah dunia.

Bagaimana pula seorang Hakim itu dilihat dari perspektif islam ?

Dalam istilah Islam , Hakim merupakan sumber hukum iaitu Allah SWT. Hal ini jelas kelihatan dalam terminologi “hukum” yang dikemukakan oleh kalangan ushuliyyin, iaitu khitab ( titah ) Allah SWT yang berhubungan dengan perbuatan mukallaf.

Terminologi ini menunjukkan bahawa sumber hukum tersebut adalah Allah SWT. Oleh yang demikian Allah SWT-lah yang dinamakan sebagai Hakim (Al- Hakim) yang sebenarnya dalam Islam.

Dalam pengertian lain, hakim disinonimkan dengan kata al qadhi. Keduanya memiliki persamaan makna atau dikatakan juga sebagai pelaksana undang-undang atau hukum di dunia Islam.

Untuk itu hakim dikatakan sebagai “yang menyelesaikan persoalan hukum yang dihadapkan kepadanya baik yang menyangkut hak-hak Allah SWT maupun yang berkaitan dengan peribadi hamba secara individu.”

Oleh itu, Hakim sebagai pelaksana hukum-hukum Allah SWT mempunyai kedudukan yang sangat penting karena melalui produk hukum yang ditetapkannya diharapkan dapat mencegah segala bentuk kezaliman yang terjadi di tengah masyarakat atau setidak tidaknya dapat meminimakannya sehingga ketenteraman dalam suatu komuniti dapat direalisasikan.

Para intelektual hukum Islam telah berijtihad menetapkan syarat-syarat yang harus dipenuhi oleh seseorang itu untuk menduduki jabatan sebagai Hakim, iaitu:

Laki-laki, baligh, berakal, merdeka, Islam, adil, tidak rusak pendengaran dan penglihatannya.

Al Shan’ani pula menambahkan syarat lain iaitu seorang hakim harus memiliki pengetahuan yang memadai tentang Al Qur’an dan seluk beluk keilmuannya, sunnah, ijma’ ulama salaf, ilmu ketatabahasaan, dan qiyas. Hakim juga hendaklah seorang Muslim yang adil, takwa, jujur, bijaksana, berwibawa, dan berbudi luhur.

Aspek intelektual seorang hakim sangat diharapkan karena ia dituntut terutama sekali dalam mengambil langkah-langkah ijtihad.

Namun begitu haruslah kita renungi pula sabda Rasulullah saw ini :

“Lidah seorang hakim berada di antara dua bara api, sehingga ia menuju syurga atau neraka.”

( Hadis Riwayat Abu Nu’aim dan ad Dailami).

“ Barangsiapa diangkat menjadi seorang hakim, maka ia telah disembelih tanpa menggunakan pisau.”

( Hadis Riwayat Abu Dawud ).



**************************************************************


Menyentuh soal keputusan Hakim dalam kes DSAI yang mengejutkan banyak pihak, saya tidak mahu mengulas panjang, cuma dalam artikel saya yang lepas berjudul “menjelang PRU 13” saya hanya tulis berkaitan dengan tarikh dan angka keputusan akan dibaca sahaja. Bagi sesetengah pembaca, mungkin sudah dapat menangkap apa yang cuba saya sampaikan itu....

Keputusan tersebut bukan saja mengejutkan pihak pro kerajaan, malah ia juga mengejutkan DSAI dan pihak pembangkang juga. Apa tidaknya sudah bertahun-tahun mereka mengutuk Hakim dan sistem kehakiman Negara, kononnya berpihak kepada kerajaan. Sehingga ada yang menulis Hakim sebagai “Hakim Neraka”. Buktinya?…. anda semua baca sendiri di sini :

KLIK

KLIK




Dalam Akhbar Suara Keadilan bil ke- 16 pada muka depannya bertajuk 'Hakim Neraka' telah mengulas isu Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan DSAI membela diri dalam kes liwat.

Bekas Presiden ABIM, ketika mengulas tindakan Hakim Mahkamah Tinggi memerintahkan DSAI bela diri berkata bahawa Jika Hakim dalam kes ini seorang hakim yang adil dan baik , beliau sepatutnya membuat keputusan dengan merasa ketakutan luarbiasa terhadap ALLAH, bukan arahan manusia.

Itulah antara prasangka dan tohmahan yang dilemparkan kepada Hakim, malah mereka juga berusaha agar Hakim ini ditukar dalam kes ini kerana mereka mengira dalam kes ini keputusannya tidak akan memihak kepada DSAI. Menurut mereka DSAI dijangka akan dihantar ke penjara apabila perbicaraan seterusnya tamat. Namun anda semua sudah sedia maklum apa keputusan yang dijatuhkan oleh Hakim yang mereka keji selama ini adalah sebaliknya.

Akhir sekali dari saya, marilah kita renungi maksud kata-kata Hakim dalam kes ini sewaktu memerintahkan tertuduh (DSAI) membela diri dulu iaitu :

“ .... pengadu (mangsa) adalah seorang saksi yang benar dan berwibawa....”

KLIK:


Manakala , ketika membuat keputusan yang akhir, beliau pula berkata :

“…. mahkamah keberatan untuk menyabitkan tertuduh hanya berdasarkan keterangan mangsa”



Buat mangsa liwat Saiful dan seluruh keluarganya , teruskan perjuangan kamu untuk menegakkan kebenaran, semoga kes ini dibuat rayuan dan diadili semula!


*[ Artikel ke- 240 Sangtawal Sakranta... ]


Saturday, January 07, 2012

Waspada Dari Serangan Bala Tentera Iblis



Tajuk : Waspada Dari Serangan Bala Tentera Iblis.

Artikel Oleh : Sangtawal Sakranta.


Sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang NYATA bagi manusia. Ingat pesanan ini!!!

Iblis telah mengutuskan sebanyak tiga ratus (300) bala tenteranya ke atas seseorang anak Adam untuk menyelewengkannya dari jalan yang haq ( benar) atau menyesatkannya melalui empat arah serangan .

“Kerana Engkau telah menghukum aku tersesat, aku akan menghalangi mereka dari jalan Engkau yang lurus. Kemudian aku akan mendatangi mereka dari arah hadapan dan arah belakang mereka, dari arah kanan dan dari arah kiri mereka, Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat)”

( Surah Al-A`raf:16,17 ).

Strategi serangan mereka ialah:

1. Dari hadapan - tentang urusan akhirat.

2. Dari belakang - tentang urusan duniawi

3. Dari kanan- tentang urusan agama ( kebaikan )

4. Dari kiri- tentang urusan dosa ( keburukan )

Apa pun bentuk serangan dan dari sudut manapun ia dilakukan, tujuannya ke atas anak Adam hanya satu iaitu untuk melemahkan dan kemudian menewaskan mereka menjadi tawanan perangnya. Selepas itu manusia ini akan menjadi hambanya atau teman seiringan untuk bersama-sama masuk neraka nanti.


Maka , perlulah pula kita menangkis serangan mereka dengan cara :


1. Jika serangan daripada hadapan - gunakan senjata ampuh zikirullah

2. Jika serangan daripada belakang - gunakan akal yang waras dan fitrah insan suci sejati.

3. Jika serangan daripada sebelah kanan - gunakan ilmu berlandaskan wahyu Ilahi (al-Quran ) dan hadis nabi saw.

4. Jika serangan daripada sebelah kiri – gunakan istighfar dan taubat nasuha.


Iblis dan syaitan akan bergembira jika benteng pertahanan manusia dari salah satu penjuru itu dapat dikalahkan dan mereka akan bersedih dan susah hati jika taktik mereka gagal.

Namun , kaedah popular di kalangan Iblis yang ternyata banyak memberikan kejayaan kepada mereka ialah seperti dalam Teori Komunisme manusia iaitu :

"Hendaklah kita masuk menganggotai dan bersekongkol terlebih dahulu dengan gaya hidup masyarakat sesuatu puak bangsa itu kemudian hendaklah kamu mempengaruhi pula mereka dengan falsafah dan teori fahaman kita".


Sesungguhnya istana Sang Iblis itu dibina di atas permukaan air . Setiap masa, syaitan berbondong-bondong keluar masuk istana ini untuk melaporkan atau menerima arahan terbaru yang tujuannya hanya satu: Untuk menyesatkan anak Adam a.s, dan pastinya mereka tidak kenal erti putus asa dan penat lelah!

Hadis Rasulullah saw , Dari Abu Musa yang diriwayatkan oleh Ibnu Jauzi :


“Apabila telah pagi-pagi, Iblis menyebarkan tenteranya di muka bumi ini, dan ia berjanji; `Barangsiapa dapat menyesatkan seorang muslim, nescaya kupakai-kan mahkota kepadanya”


Apabila Iblis berkumpul dengan bala tenteranya ( jin dan syaitan) mereka tidak akan merasa gembira melainkan terhadap tiga perkara utama yang terjadi atas anak Adam iaitu :

1. Seseorang mukmin yang membunuh seorang mukmin lain.

2. Seseorang anak Adam yang kafir mati dalam kekafirannya.

3. Hati anak Adam yang sangat takut kepada kefakiran atau kemiskinan.

Dalam erti kata lain, mereka suka manusia bermusuhan, saling membunuh sesama sendiri, melakukan pertumpahan darah, murtad, melekakan manusia dengan maksiat , kufur nikmat Allah swt dan menambahkan rasa cinta dunia dan takut mati kepada anak Adam a.s.

Perlu diingat, strategi Iblis yang paling licik iaitu menipu daya anak Adam dari jalan yang haq dalam berbuat ibadah. Oleh itu janganlah kita terlalu berbangga sangat dengan penampilan, amalan, parti yang bernama islam ( pergunakan islam) yang kita ikuti, pemimpin berserban besar atau berjanggut lebat mana yang kita kagumi kerana ia ( kita dan mereka) belum tentu lagi terlepas dari masuk ke dalam jerat dan tipu daya iblis ini. Perhatikan strategi mereka seperti berikut :

Antaranya ialah :

1. Melakukan hasutan dengan mencegah manusia dari membuat ibadat yang diperintahkan Allah.

2. Jika manusia berjaya mengatasinya mereka akan berusaha pula menanamkan keraguan (was-was) dalam jiwa manusia dalam hal ibadat.

3. Jika kedua perkara itu dapat diatasi oleh manusia , mereka berusaha pula agar ibadah tersebut dibuat dengan cepat atau buat ala kadar saja.

4. Jika manusia berjaya mengatasi semua serangan diatas, mereka akan membiarkan penyempurnaan ibadah manusia itu namun ditanamkan pula dengan sifat `Riya` dalam ibadatnya.[ Di tahap ini ramai yang tidak sedar, itu sebabnya pengajian tasawuf adalah perlu demi mengenal perjalanan nafsu-nafsu kita.Jangan asyik dengan berpolitik sahaja, carilah ilmu ini sebagai bekal perjalanan yang masih panjang lagi.]

5. Jika manusia itu dapat mengatasi sifat `riya`nya , maka dibisikkan pula sifat `Ujub` ke dalam hati anak Adam.

6. Jika segala strategi di atas tidak berjaya, mereka akan mencuba kaedah yang lain pula dan begitulah seterusnya…..

Antara taktik lain ialah termasuk 10 perkara yang dimohon sendiri oleh Iblis dengan Allah swt seperti apa yang diakui sendiri oleh Iblis ketika bersoal jawab dengan Rasulullah saw iaitu:


(1) `Aku minta agar Allah (1) berbagi dalam harta dan (2) anak pinak manusia. Dia mengizinkan.`

“Dan gerakkanlah siapa yang dapat engkau gerakkan dengan suara engkau, dan kerahkanlah mereka dengan pasukan ( bala tentera ) yang berkuda dan jalan kaki, dan bersyarikatlah dengan mereka tentang harta dan anak-anak, dan janjikanlah kepada mereka. Dan apa yang dijanjikan syaitan itu kepada mereka, tiada lain dari tipuan belaka.” (QS, AL-ASRA: 64)

(2) Kata Iblis lagi : `Harta yang tidak dizakatkan, aku makan darinya. Aku juga makan dari makanan haram dan yang bercampur dengan riba. Aku juga makan dari makanan yang tidak dibacakan nama Allah SWT.’

(3). ‘Aku minta supaya Allah SWT membiarkan aku ikut bersama dengan orang berhubungan (jima`) dengan isterinya tanpa berlindung dengan-Nya`. (Jika tidak memohon perlindungan daripada Allah daripada kehadhiran syaitan masa mahu jima` maka syaitan akan dapat ikut bersamanya (menjima`isterinya) dan anak yang dilahirkan hasil jima` itu akan sangat patuh kepada hasutan syaitan pula-sebab dah jadi macam separuh anak syaitan juga anak itu)

(4) `Aku minta supaya boleh ikut bersama dengan orang yang menaiki kenderaan bukan untuk tujuan halal`

(5) `Aku minta supaya Allah SWT menjadikan kamar mandi sebagai rumahku`

(6) `Pasar sebagai masjidku`.

(7) `Syair (nyanyian berunsur nafsu) sebagai Qur`anku.

(8) `Pemabuk ( mabuk arak, mabuk dadah, dan lain-lain) sebagai teman tidurku`

(9) `dan memberikan aku saudara- maka Allah SWT jadikan orang yang membelanjakan hartanya untuk maksiat sebagai saudaraku`

Firman Allah SWT: Ertinya, `Orang-orang pemboros itu adalah saudara syaitan sedang syaitan sangat ingkar kepada Tuhannya` (Al-ISRA:27).

(10) Iblis berkata seterusnya `wahai Muhammad, aku minta supaya Allah SWT membuatku boleh melihat manusia sementara mereka tidak boleh melihatku dan aku minta supaya Allah SWT memberiku kemampuan untuk mengalir dalam aliran darah manusia`.

Permintaan-permintaannya itu semuanya diizinkan Allah SWT.

Tetapi bagi hamba-hamba Allah SWT yang mengambil ingatan dan pedoman dari pesanan Rasulullah s.a.w dan memohon perlindungan dengan ikhlas kepada Allah SWT dari tipu daya bala tentera iblis ini , maka InsyaAllah mereka akan dilindungi oleh Allah SWT.

Pada pendapat saya, permintaan ke-10 Iblis tersebut adalah permintaan yang paling bahaya untuk anak adam! Maka berhati-hatilah wahai saudaraku…. Sudahlah mereka berjumlah 300 melawan kita seorang, mereka pula tidak ternampak oleh mata kasar kita malah mereka boleh terus masuk mengalir bersama darah kita pula! Itu sebabnya ramai tok-tok alim yang lingkup, terutamanya dengan dugaan ‘perempuan’, malah ada juga pemimpin yang pernah kantoi berkhalwat dengan bini orang…

Apakah senjata paling ampuh yang kita mampu sediakan saudara?

Senjata itu adalah Kalimah Toyyibah… Zikrullah... seperti pesan Rasulullah saw :

"Sebaik baik zikir ialah ucapan Laa ilaahaillallah".

(Riwayat termizi dan ibni Majah-kata Termizi hadits hasan)

Bacalah dan beramallah wahai saudaraku sekalian…. Itulah Pedang Jihad kita untuk pertahanan zahir dan batin…… bacalah sekurang-kurangnya 100 kali sehari atau 313 kali sehari… ia adalah benteng di barisan depan sekali. Jika musnah benteng ini, maka musnahlah Urusan Akhirat kita!

Kalimat tauhid itu mampu memancung dan membakar syaitan-syaitan musuh kita itu, walaupun ia dari jenis manusia atau jin syaitan ( bala tentera Iblis), kerana kalimat itu perwujudan api bakaran bagi bala tentera iblis dan cahaya (Nur) bagi orang yang bertauhid.

Selain itu apa lagi senjata kita ?

DOA….

Ya… doa yang ikhlas dan penuh harap kepada Allah swt… InsyaAllah doa dari hati yang ikhlas dan penuh harap itu akan mendapat tilikan Allah swt. Bila seseorang hamba Allah mendapat tilikan ar - Rahman , maka terpeliharalah dia dalam lindungan Allah swt. Sesetengah orang tu jelajah ke seluruh Negara meminta orang lain mendoakan untuk keselamatan dirinya, tetapi dia sendiri tidak mahu mendoakan untuk dirinya sendiri, tidak mahu bersama solat hajat untuk membuktikan kebenaran bila diminta, malah tidak mahu bersumpah dengan nama Allah swt untuk menolak fitnah keatas dirinya padahal itulah benda yang paling mudah jika dia dipihak yang benar! Oleh itu saudaraku sekalian, janganlah sesekali terpedaya dengan manusia bertopengkan syaitan seperti itu !!!

Selain itu, banyakkanlah solat dan amalkan diri kekal dalam keadaan berwudhuk…

Sebaik-baik zikir itu pula… perbanyakkanlah zikir di dalam hati… sebutlah dan bunyikanlah sekuat-kuatnya Allah Allah Allah …. di dalam hatimu…. kerana disitulah kubu terkuat seorang mukmin!

Kubu pentadbiran utama insan inilah yang hendak ditakluk oleh bala tentera Iblis dengan serangan yang bertalu-talu. Itulah tujuan utama mereka ingin memasuki pembuluh darah dan mengalir bersama darah kita kerana mereka tahu itulah benteng terakhir seorang insan.

Serangan dari arah belakang pula adalah berkaitan dengan urusan dunia. Syaitan dan jin kafir bala tentera Iblis diperintahkan : “ jika umat islam tidak mahu menyembah : memuja patung berhala seperti palang salib kristian-Nasrani, berhala Yahudi, berhala patung Buhda-Hindu maka godalah mereka dengan duniawi itu sendiri sebagai berhala jiwa mereka”.

Jadi , renunglah …. Siapakah orang yang pernah berkata mereka rela berkawan dengan syaitan… sedangkan berkali-kali Allah swt menyatakan bahawa Syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kita, orang ini juga mungkin terdiri dari pemimpin yang dikagumi dan orang semua taksub kepadanya, padahal dia lebih mementingkan pembinaan berhala dari membina masjid, lebih mementingkan persahabatan dan ukhwah dengan orang kafir berbanding dengan manusia sebangsa dan seagama mereka, merelakan orang islam murtad, mengeluarkan lesen arak dan judi. Demi kuasa dan kepentingan diri mereka sanggup menjual agama dan kalimah suci al-Quran di pentas-pentas ceramah demi untuk meraih undi. Apakah anda semua yakin orang-orang ini tidak termasuk ke dalam perangkap Iblis saudara? Apakah anda semua yakin bahawa orang-orang ini tidak menjual agamanya untuk dunia?

Oleh itu, untuk menangkis serangan Iblis dan kuncu-kuncunya, kita mestilah juga menuntut dan mengamalkan ilmu tasawuf, tujuannya untuk menyucikan diri dan jiwa, agar jiwa dan nafsu kita mendapat kemenangan di dunia dan seterusnya di akhirat nanti.


Firman Allah swt ertinya:

‘Demi nafsu (manusia) dan yang menjadikannya (Allah) lalu diilhamkannya mana yang buruk dan mana yang baik, sesungguhnya dapat kemenanganlah orang yang menyucikan (nafsunya) dan rugilah (celakalah) orang yang mengotorkannya’

( Surah Al- Sams: 7-10 )


Oleh itu serangan Iblis dari arah belakang berbentuk ‘tipuan duniawi’ perlu dipertahankan dengan ilmu penyucian jiwa (tasawuf) . Kerana jiwa atau Fitrah nan suci bagaikan matahari dunia yang memberi cahaya cerah indah dan sempurna kepada bulan (akal). Fitrah yang suci dan akal yang sempurna akan dapat mematahkan serangan dan tipu daya jin dan syaitan bala tentera Iblis itu dan seseorang anak Adam yang telah dengan ikhlas menyucikan nafsunya itu, maka mereka akan mempunyai ketajaman mata hati yang boleh mengenal manakah bisikan daripada malaikat dan manakah bisikan daripada bala tentera Iblis , maka selamatlah mereka.

Firman Allah bermaksud :

“Wahai jiwa mutmainnah (berfitrah suci) kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang tenang tenteram serta diredhai Tuhanmu, masuklah olehmu dalam golongan hamba-hambaku yang soleh dan masuklah kamu kedalam syurgaKu`.

( Surah Al-Fajar; ayat 27-30 )

Jika serangan terhadap anak Adam gagal dari arah depan dan belakang, maka mereka tidak akan berputus asa, akan berusaha lebih keras lagi, akan mencuba pula dari arah kanan iaitu dalam urusan agama atau kebaikan.


Iblis berkata: `Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik perbuatan maksiat di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semua.` (Qs: Al Hijr, 39).

Amal jahat (terlarang dalam agama) dihias menjadi cantik oleh syaitan , amal yang salah dan sesat dihias di hati manusia agar ia nampak benar. Amal-amal soleh dianggap menyimpang dari kehidupan normal. Segala sunnah Rasulullah saw dan cara kehidupan para nabi-nabi terdahulu berlandaskan agama Allah dianggap sudah ketinggalan zaman dan bercanggah dengan naluri dan nilai kehidupan manusiawi secara global serta bercanggah dengan fahaman-fahaman falsafah hasil ciptaan akal logik manusia.Maka lahirlah berbagai fahaman inspirasi syaitan seperti:

Democratisme, sosialisme, anarkisme, liberalisme, pluralism, dogmatisme, naturalisme, kapitalisme, komunisme, etheisme, hidonesme dan fahaman hak-hak kebebasan manusia serta lain-lain isme lagi atau pendapat pemikiran dan perbuatan yang banyak bercanggah dengan kehendak dan ajaran Allah SWT yang menjadi ideologi ciptaan para sarjana dan para professor syaitan,[ sehingga mereka yang terpedaya mendakwa merekalah yang mendapat petunjuk yang benar dari tuhannya], tidak lain dan tidak bukan untuk mencapai matlamat dan janji sumpah Iblis dihadapan Allah swt iaitu : ‘Aku akan menyesatkan mereka` itu.


Fahami dan renungilah Firman Allah SWT ini: `Katakanlah:`Apakah akan Kami beritahukan kepada mu tentang orang orang yang paling merugi perbuatannya?`. Yaitu orang orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini,sedangkan mereka menyangka bahawa mereka berbuat sebaik baiknya.`

(Surah Al-Kahfi: ayat 103 - 104).

Oleh itu untuk melawan serangan Iblis dari arah kanan ini saudara, kita hendaklah menggunakan ilmu Wahyu Ilahi ( al-Quran) dan ilmu Hadis serta panduan Sunnah RasulNya. Hujah ini mengambil kata amanah Nabi Muhammad.saw. iaitu Ketua Agung dalam kepimpinan dan penyelamatan umat anak Adam sebab Allah swt sendiri ada menyatakan tentang perlantikan ini:

1.`Dan kami tidak mengutus kamu (sebagai penyelamat) melainkan kepada umat manusia seluruhnya…` (Qs.Sab`:28)

2.`Dan tiadalah kami mengutus kamu (ya muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam`. (QS.Anbia:107)


Nabi Muhammad penyelamat Agung umat manusia ada berpesan melalui sayyidina Ali krw. mengenai Al-Quran:

`Kamu harus mengikut al Quraan, padanya terdapat sejarah manusia sebelummu dan berita tentang peristiwa-peristiwa sesudahmu, terdapat keputusan-keputusan yang ada di antara sesamamu. Dialah pembeza yang jelas dan tegas. Kerananya, orang yang tidak mahu mengikutinya, dia telah disesatkan Allah, sedangkan yang mencari petunjuk kepadanya, maka pastilah dia akan ditunjuki Allah kepada jalan yang benar (Islam).’


Serangan dari arah kiri terhadap anak Adam adalah serangan paling hebat dari bala tentera iblis. Pengalaman yang cukup lama Sang Iblis laknatullah semenjak menewaskan Habil dan Qabil putera Adam a.s iaitu pembunuhan paling awal di atas muka bumi ini dan seterusnya akan digunapakai. Tujuh jurus serangan yang membawa dosa besar pada diri anak Adam itu ialah:

(1). Empat macam yang dapat diserang pada hati sanubari seorang anak Adam iaitu: Syirik, kecenderungan berbuat pelbagai jenis maksiat, putus asa dan keinginan selalu menghindar dari perintah perintah (ketentuan) Allah swt.

Syirik dalam akidah adalah perkara paling pokok. Kerana Iblis tahu Allah s.w.t.akan mengampuni dosa-dosa manusia kecuali syirik. Serangan terkini dalam akidah ketuhanan sekarang ialah keinginan untuk menggunakan nama Tuhan `Allah` dalam agama nasrani iaitu dalam penulisan `Bible` mereka. Maka inilah bisikan idea baru syaitan kepada tali barutnya yang dalam wajah anak Adam. Ini adalah satu kaedah serangan dalam hal akidah yang baru ditimbulkan untuk mengacau bilaukan fahaman anak-anak orang Islam yang belum matang atau yang tidak mempunyai latar belakang akidah tauhid Islam yang tulen dalam bab ketuhanan Islam supaya menjadi syirik. [ Perkara ini pun dianggap tidak penting oleh segelintir pihak yang dirinya sendiri telah termakan umpan iblis…. Perkara ini dianggap remeh temeh berbanding isu-isu lain yang lebih cenderung memihak atau boleh mendatangkan keuntungan politik kepada mereka, contohnya mempertahankan pemimpin mereka yang terlibat dalam masalah moral yang teruk]

2. Empat jenis serangan pada lidah iaitu: Persaksian dusta, menuduh zina, sumpah palsu dan sihir.

3. Tiga jenis serangan pada bahagian perut: Meminum atau mengambil benda-benda yang boleh memabukkan dan yang merosakan saraf akal dan mendatangkan khayalan (Arak, ectasy, dadah, ganja dan lain-lain), memakan harta anak yatim atau hasilan harta yang tidak halal, rasuah, memakan riba.

4. Dua jenis serangan pada bahagian kemaluan anak Adam: Perzinaan dan hubungan sejenis [ homosex dan lesbian] .Agenda ini sedang diperjuangkan , LGBT di Negara ini oleh wakil-wakil Iblis.

5. Dua jenis serangan pada bahagian tangan: Pembunuhan yang tidak dalam perkara yang haq, perompakan dan lain-lain.

6. Satu serangan pada bahagian kaki: Lari dari medan jihad fiisabilillah.

7. Satu serangan menyeluruh pada sekelian jasad anak Adam: Menderhakai orang tuanya dan guru pembimbing kerohaniannya yang ikhlas.

Kini anak muda dirasuk jiwanya supaya menderhakai hati ibubapa dan guru, suara orang muda suara keramat katanya, demonstrasi dimana-mana akibat hasutan dari manusia Iblis , mahasiswa dijadikan lembu tunggangan mereka.

Oleh itu, senjata untuk menangkis serangan dari sebelah kiri manusia ialah dengan perbanyakkan Istighfar dan taubat nasuha. Pusaka taubat ini telah dimulakan oleh Nabi Allah Adam a.s sendiri iaitu bapa keturunan manusia:

Firman Allah swt maksudnya : “Maka Adam telah menerima beberapa perkataan dari Tuhannya (meminta ampun), maka Allah menerima taubatnya, sungguhnya Allah itu Maha Pengampun, Maha penyayang` ( Surah Al Baqarah : ayat 37 )

Rasulullah s.a.w.pernah bersabda:

`Ketika musuh Allah iaitu Iblis mengetahui bahawa Allah Azza Wajalla mengabulkan doaku dan mengampuni umatku, iblis mengambil pasir dan ditaburkan di atas kepalanya sendiri dan berseru: sungguh celaka, sungguh binasa. Melihat Iblis yang ketakutan itu aku pun tertawa.”

( Hadis Riwayat Ibnu Majah).

Mengapa Iblis sangat takut bila manusia beristighfar dan bertaubat saudara?

Ini adalah kerana setiap orang anak Adam yang bertaubat nasuha dan berinabah akan mencapai kebaikan seperti berikut:

1. Menjadi anak kunci membuka pintu redha .
2. Bila ikhlas taubatnya, akan dimurahkan rezeki oleh Allah zahir dan batin, disampaikan segala hajat dan dijauhkan segala bala.
3. Disucikan jiwa dari sifat-sifat jahat keiblisan (mazmumah), diisi jiwa dengan sifat-sifat kebaikan (mahmudah).
4. Dikurniakan Allah hidup bahagia dunia dan akhirat.
5. Dimatikan dalam keadaan iman, Islam dan ihsan .

Firman Allah swt maksudnya:

“Sesungguhnya Allah menyukai orang orang yang bertaubat dan menyukai orang orang yang mensucikan diri”

( Surah Al-Baqarah: ayat 222).


Akhir sekali dari saya, selalulah berdoa kepada Allah swt seperti FirmanNya :

“Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau sesatkan kami sesudah Engkau tunjukkan kami, dan berilah kami rahmat dari sisi-Mu, sesungguhnya Engkau Maha Pemberi”

(Surah Ali-Imran: Ayat 8).


*[ Artikel ke 239- Sangtawal Sakranta ]