Tuesday, August 24, 2010

Istimewa Buat Pembaca Blog : Minuman Herba Sangtawal



Tajuk : Istimewa Buat Pembaca Blog : Minuman Herba Sangtawal

Artikel Oleh : Sangtawal Sakranta.


Salam buat pembaca Blog Sangtawal sekalian.Maaf kerana sudah lama menyepi dan tidak menulis artikel.Terima kasih kepada pengunjung setia blog dan teman-teman seperjuangan maya atas sokongan, komen dan perkongsian ilmu di blog ini. Maaf juga dipohon kepada pembaca yang terlewat menerima balasan e-mail dari saya.Bukan saya sengajakan, tetapi saya terpaksa bereskan dulu beberapa urusan yang tertangguh sekian lama.

“In spirit of Ramadhan" ini, saya terpaksa tangguhkan dulu beberapa artikel, harap anda semua bersabar atas penangguhan ini yer !

Apa agaknya menu atau minuman berbuka puasa anda petang ini ?

Rasanya eloklah saya kongsikan disini satu menu atau resepi minuman orang dulu-dulu yang kami sekeluarga amalkan selalu.Resepi ini boleh dikatakan warisan keluarga sekian lama.

Resepinya begini, sediakan :

1 genggam pokok Pegaga sekali dengan akarnya.
1 genggam pokok Dukung Anak sekali dengan akarnya.
1 genggam gula batu
3 ruas tebu yang setiap ruasnya dibelah 4.
5 helai daun lidah jin

Basuh dan cuci bahan-bahan diatas hingga bersih, masukkan kedalam periuk. Masukkan lebih kurang 2 liter air. Rebus bahan-bahan tersebut sehingga airnya menjadi separuh atau 1 liter. Tudunglah periuk sepanjang proses rebusan. Digalakkan menggunakan periuk yang saiznya besar supaya proses pemanasan dan pengewapan berlaku dengan baik.Ramuan ini boleh digunakan sehingga tiga kali rebusan, cuma setiap kali rebusan baru, tambahkan sedikit gula batu.

Jika mahukan ramuan itu lebih berlemak dan lazat, lebihkan sedikit pegaga, jika mahukan ramuan itu rasa kelat dan pahit, lebihkan pokok Dukong anak.

Selamat mencuba dan rasakan sendiri kelazatannya!!! Biasanya, sebaik saja anda minum separuh gelas ramuan diatas, anda akan berpeluh. Amalkan selalu kerana minuman ini boleh membantu meningkatkan peredaran darah dalam saluran darah dan mempunyai rahsia perubatan yang berguna( elok diminum ketika suam). Tak perlu lagi anda sekeluarga cari air minuman Tongkat Ali atau Air minuman Kacip Fatimah selepas ini!!!


Jika anda tinggal dikampung atau di pinggir-pinggir bandar, tumbuhan herba yang saya nyatakan di atas sangat senang ditemui, Cuma terpulang kepada anda samaada mengenalinya atau tidak.


Pokok Pegaga


Rasanya anda cukup kenal dengan herba pegaga ini dan khasiatnya memang banyak!


Pokok Dukong Anak


Kegunaan/khasiat Dukong anak:

Akar, daun, buah, jus dan keseluruhan tumbuhan ini mempunyai nilai perubatan. Dalam perubatan ayurveda ia digunakan sebagai penghilang dahaga,bronchitis, kusta,anemia, penyakit kelenjar kencing, anuria dan asma. Boleh juga digunakan untuk mengubat penyakit berak berdarah(dysentery) yang kronik (mengikut kaedah perubatan unani dari India).

Buahnya digunakan untuk mengubati luka, kerengsaan (keradangan), penyakit kudis buta(scabies) dan kurap(fungal infection).

Akarnya pula (yang masih segar) adalah penawar yang berkesan untuk penyakit kuning(jaundice) terutamanya pada bayi yang baru lahir. Daun yang telah dilumatkan dan dicampur dengan sedikit garam dapur boleh merawat jangkitan kudis buta(scabies). Jika tidak dicampur garam ia boleh ditampal pada luka dan lebam.ia juga boleh digunakan untuk merawat bisa gigitan ular.

Kaedah perubatan ayurveda banyak menggunakan tumbuhan ini samaada dalam bentuk tumbuhan ini dikeringkan dan dijadikan serbuk atau terus menggunakan tumbuhan ini dalam bentuk tumbuhan segar.

*Pokok ini mudah dikenali kerana daunnya seakan pokok semalu, tapi ia tidak menguncup ketika disentuh, lagi satu ciri khas pokok ini ialah di bahagian bawah daunnya ada buah/biji yang berbentuk bulat. untuk mendapat gambaran yang baik, sila tengok gambarnya di link dibawah.

Lagi gambar pokok Dukong anak, sila klik sini



Pokok Lidah Jin



Kegunaan/Khasiat Pokok Lidah Jin :

Menghancurkan batu karang , membersihkan buah pinggang dan melawaskan kencing.Untuk menghancurkan batu karang, ambil daunnya 3 atau 5 helai dan rebus untuk diminum airnya. Boleh juga dicampur sedikit gula untuk menambahkan kelazatannya seperti air teh.



Tebu



Gula Batu :




Selamat menjalani ibadat puasa dan lebihkan sedikit amalan dimalam 27 Ramadhan [Ahad malam Isnin] ni yer !!!


Wassalam.



Sangtawal Sakranta.


Monday, August 09, 2010

Aaa, Iii, Uuu



Tajuk : Aaa, Iii, Uuu.

Artikel Oleh : Sangtawal Sakranta


Semua bahasa di dunia ini menggunakan bunyi Aaa, Iii dan Uuu dalam konsonan atau kombinasi vokal bahasa mereka.Saya sangat tertarik membicarakan berkaitan tiga jenis bunyi ini dalam konteks bahasa Al-Quran diturunkan iaitu bahasa Arab. Bunyi vokal Aaa dari huruf Alif. Bunyi vokal Uuu terbit dari huruf Wau dan bunyi vokal Iii terbit dari huruf Ya.

Tiga bunyi Aaa , Iii dan Uuu itu adalah merupakan asas kepada segala bunyi dalam alam semesta raya ini kerana ia bersifat universal. Bunyi – bunyi ini dibunyikan oleh manusia dan semua makhluk .

Tiga bunyi asas ini membentuk kata-kata dan suara berbentuk bahasa.Kemampuan berbahasa ini juga terdapat dalam diri Adam, makhluk manusia pertama yang berakal.Manusia juga disebut makhluk Al-Bayan[ surah Al-Rahman ayat 1-4 ] kerana kemampuannya berkata-kata.

Bunyi panjang Aaa, berjalan ke bawah dan menggerakkan hati iaitu tempat letaknya sifat-sifat ketuhanan. Bunyi panjang Iii mengembara ke atas dan meransang Kelenjar Pineal yang terletak dibahagian rongga otak iaitu bersetentang dengan tempat antara dua kening di dahi dan menggerakkan tenaga hayat dengan izin Allah. Bunyi panjang Uuu, bergema diluar bibir yang dikucupkan lalu bercampur dengan nafas keluar masuk dengan izin Allah jua.

Hati(qalbu), Kelenjar Pineal dan nafas adalah tiga unsur penting dalam meningkatkan kecerdasan spiritual.

Bagi sesetengah ahli tareqat, mereka lebih selesa membunyikan zikir-zikir tertentu seperti Allah, Allah ,Allah…. atau Hu, Hu , Hu…. atau Hayy, Hayy,Hayy… dan sebagainya sehingga timbul kelazatan-kelazatan tertentu atau pengalaman mistik yang tersendiri kepada si pengamalnya.

Bagaimana cara mudah untuk melatihkan diri kita membunyikan tiga bunyi diatas dengan betul disamping mendapatkan manfaatnya sekaligus? Bagi saya, Jawapannya ialah mudah : bacalah Al-Quran selalu!

Tiga bunyi atau suara ini bukanlah boleh didendangkan sesuka hati atau dibualkan di kedai-kedai kopi, tetapi perlu dinyatakan dengan cara bacaan yang dapat disuarakan dengan betul setelah berlatih membaca Al-Quran.

Dengan membaca Al-Quran, ia bukan saja melatih kita menyebut tiga bunyi Aaa, Iii dan Uuu itu saja, tetapi ia juga adalah satu latihan nafas yang lengkap.Contohnya Surah Al-Fatihah boleh dibaca senafas, 3 nafas atau dengan 7 nafas.Silalah bertanya kepada guru Al-Quran atau Qari anda untuk mendapat lebih ilmu mengenainya .Oleh itu sempena bulan Ramadhan al-mubarak yang bakal tiba, marilah kita sama-sama perbanyakkan bacaan Al-Quran.

Dari segi pemilihan kata, bahasa yang digunakan dalam Al-Quran memang cantik dan mempunyai komposisi dan perkataan yang menunjukkan banyak ‘ keanehan’ dan ‘keajaiban’ sesuai dengan tarafnya sebagai mukjizat yang menakjubkan.Contohnya perkataan al-hayah (kehidupan) didapati sama banyak dengan perkataan al-maut (kematian) iaitu sebanyak 145 kali. Perkataan al-harr (panas) disebut sama banyak dengan perkataan al-bard (dingin) iaitu 3 kali.Banyak lagi perkataan lain seperti al-kufr (kafir) dan al-iman (iman) sebanyak 17 kali, al-naf’(manfaat) dan al-madharrah(mudharat) pula disebut sebanyak 50 kali.

Yang paling menakjubkan ialah perkataan yaum(hari) disebut dalam Al-Quran sebanyak 365 kali iaitu sama dengan jumlah bilangan hari dalam setahun.Begitu juga dengan perkataan ayyam ( hari dalam bentuk jamak) ,ia disebut sebanyak 30 kali,sama banyak dengan bilangan hari dalam sebulan.Perkataan syahr/asyhur (bulan) pula disebut sebanyak 12 kali iaitu sama banyak dengan bilangan bulan dalam setahun!

Kehebatan mukjizat Al-Quran telah diabadikan oleh Allah dalam surah Al-Isra’ ayat 88 yang bermaksud :

“Katakanlah: sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul bagi membuat yang serupa dengan Quran ini,nescaya mereka tidak mampu membuat yang serupa dengannya, sekalipun sebahagian daripada mereka menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain”

Oleh itu, bersyukurlah kita kepada Allah swt atas nikmat dan kudrat yang diberikan olehnya untuk kita bersuara dan berkata-kata. Jika dikaji dengan teliti dan berfikir dengan mendalam proses yang terjadi di peti suara (vocal cord ) kita bagaimana suara dihasilkan, kita akan merasa takjub dengan ciptaan Allah swt, di mana berpuluh-puluh jenis otot (musles) bertindak serentak ,yang disarafi oleh saraf tertentu seperti Laryngeal nerve untuk menghasilkan suara yang bermakna dan difahami oleh kita.Percayalah semua itu tidak terjadi dengan sendirinya tanpa izin Allah !!!

Bagaimana bunyi atau suara dihasilkan? sila lihat youtube dibawah:




Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menunaikan ibadat puasa kepada pembaca sekalian.




Sangtawal Sakranta....