
Cerpen Oleh : Sangtawal Sakranta.
Haji Cilako merenung tajam anak kambing berwarna hitam kesayangannya, Si Kusam yang sedang terhegeh-hegeh menyondol rumput kering di sebuah busut anai-anai didepan rumahnya. Kesian anak kambing ini, sudahlah yatim piatu setelah ibunya mati terjatuh kedalam telaga buta tahun lepas , ayahnya pula disembelih dibuat aqiqah cucu Haji Cilako beberapa bulan yang lalu. Apakan daya , bila menantu Haji Cilako sanggup membelinya dengan harga yang tinggi , maka terpaksalah dia menjualnya. Kini kaki anak kambing kesayangannya itu yang sebelah depan kanan pula patah dibedal oleh anaknya dengan kayu.
Air sirap merah dan kuih bakul berwarna hijau yang dihidangkan oleh isterinya sekian lama terbiar begitu saja, hati dan fikirannya masih berpusat pada anak kambing kesayangannya itu. Mereka bukan tidak tahu betapa sayang dan akrabnya Haji Cilako dan kambingnya itu, kalau boleh ingin dibawanya Si Kusam tinggal dan bermalam dirumahnya saja jika Mak Aji tidak menghalanginya. Entahlah, mungkin Si Kusam ini buat salah, kalau tidak masakan anaknya memukul Si Kusam hingga patah kakinya. Entah-entah pekerja pengembala kambingnya yang buat, atau entah-entah Si Kusam ni berak atau kencing merata-rata , sebab itulah dia dihukum sedemikian rupa, congak Haji Cilako dalam hati kecilnya.
Arrrghhh… mereka bukan tak tahu betapa aku sayangkan si anak kambing ni, bukan main susah lagi aku membeli dan membiakkannya, ini bukan sebarang kambing, kambing ini jenis baka Edurgon, campuran Afrika dan Sepanyol! Otak dan dagingnya sedap dimakan .Lagipun harga pasarannya agak tinggi berbanding dengan kambing-kambing kampung baka jenis lain.Cara mengembek dalam kandang pun lain. Kambing lain dahlah bau badannya hamis ,tubuhnya kurus dan dagingnya banyak kolesterol. Harapkan janggutnya saja yang panjang. Kalau baka Edurgon ni ,dia lain dari yang lain , walaupun janggutnya pendek dan walaupun badannya gemuk banyak isi , tapi kolesterolnya kurang.Pergerakan dan lompatannya agak lincah berbanding dengan baka tempatan.Dengar katanya Pengasas dan Pengacuk baka kambing ini seorang yang handal, dia boleh mengacuk baka samaada baka jantan atau baka betina, ikut selera pembelinya.Itu sebabnya dia tak bagi ujian darah DNA kambingnya diambil dan diuji sesuka hati, takut ia ditiru atau disalahgunakan pula.Lagipun kaedah dan baka haiwan Klon ni dah jadi semakin popular sekarang.
Rintihnya lagi…. Ya Allah, jika anakku sendiri yang melakukannya, aku boleh memaafkannya, itu bukan kroni namanya, tetapi menjaga kepentingan darah daging sendiri , seperti juga tawaran untuk melancong ke Eropah oleh Mangkok Travel kepada ku tahun lepas, juga dikira hadiah terhormat buatku, bukan rasuah atau bukan bodekan. Orang lain mungkin dengki dengan aku, padahal aku menerimanya dengan ikhlas.Hanya Tuhan yang tahu , katanya dalam hati.
Sekiranya, orang lain yang buat…. nahaslah… nanti aku akan doakan supaya Allah timpakan bala buat mereka atau sekurang-kurangnya pecah perut buncit mereka setelah menderita sembelit bertahun-tahun.Bukan aku tak tahu doa itu .Aku memang belajar ketika dipondok dulu.Memang tujuan utama aku belajar pondok dulu adalah untuk mendapatkan dunia, jadi ilmu untuk mengalahkan musuh-musuh utama untuk menguasai dunia aku tuntut habis-habisan.Mereka masih belum kenal aku siapa, kalau Tuhan itu samseng, aku juga apa kurangnya, getus hatinya marah.
Tapi menjadikah doa aku ??? Tanya hatinya seperti tidak yakin pula.Dah banyak kali aku guna ilmu itu, tapi nampaknya ilmu itu tak menjadi dan aku sendiri pun dah mula mencurigai ilmuku ini, manalah tahu, silap doa, doa akan makan diri sendiri pula, nahas aku! Persoalan itu terus bermain di benaknya.Mengapa doa aku tidak berkat sejak akhir-akhir ini??? Tanya hati kecilnya.

Anak kambing tadi seolah-olah tahu dia diperhatikan, lalu dia pun beralih berteduh di bawah bayang pokok kayu jati yang besar dan rendang di halaman rumah Haji Cilako sambil ekornya torkodek-kodek dipunggungnya. Haji Cilako melihat pokok Jati tersebut sudah besar dan batangnya sebesar dua pemeluk orang dewasa. Dia pun belum pasti bila pokok ni tumbuh, tetapi sejak arwah datuknya ada, dia pernah bercerita sebelum dia datang berhuma dan berkampung di situ, pokok itu sudah ada di situ, nak ditebangnya sayang sebab ia sangat rendang , teduh dan menyegarkan mata memandang! dulu dibawah pokok jati itu bernah terjadi satu persidangan haram penduduk kampung untuk merampas jawatan penghulu darinya, tapi nasib baik mereka telah dihalau oleh penunggu pokok puaka itu.
Lagipun, kalau ditebang pokok itu, kesian pula pada burung – burung yang suka hinggap dan bermukim diatasnya, kalau ditebang dan dijual kayunya, hilanglah tempat tinggal burung-burung itu. Mungkin burung-burung itu akan terbang ke siam untuk mencari kehidupan yang baru! Itu boleh saja, sebab spesies burung mana terikat dengan undang-undang atau perintah mahkamah dunia.Lagipun siapalah kita untuk menghalang burung terbang naik , burung ni kan benda hidup, bukan benda mati! Haji Cilako tersengih sendirian. Lantak lah kau burung, kau nak terbang naik pakai empat kepak pun aku peduli apa, kalau dah mampu apa salahnya.
Sebenarnya Haji Cilako juga memasang angan-angan seperti burung itu juga sewaktu mula-mula dilantik menjadi penghulu kampung dulu.Mana tidaknya, pergi kemana-mana orang hormat dan panggil nama dia Tuan Penghulu! Sudahlah berpangkat, alim dan berharta pula. Tapi oleh kerana Taring Mak Aji lebih berbisa daripada dirinya , maka Haji Cilako tak berani bersuara menyatakan hasrat hatinya.Ketika dirumah, Haji Cilako takut kat Mak Aji sebenarnya.
Kadang kadang kalau ada majlis yang glamour-glamour, Mak Aji berkeras untuk membuat ucapan dan merasmikan majlis itu sebab Mak Aji tahu sudah pasti seluruh mata orang kampung akan tengok berita dalam tv esok harinya. Haji Cilako ikut saja.Dulu Mak Aji suka menyanyi lagu keroncong dan sangat minat dengan filem dan lagu Hindustan.Dulu Mak Aji tak pakai tudung, selalu dedah rambut. Tapi sekarang Mak Aji dah bertobat, itu pun selepas puas Haji Cilako berubat dan sembahyang hajat senyap-senyap. Maklumlah, Haji Cilako pemimpin besar dan imam kampung pulak tu, kena lah tunjuk contoh tauladan yang baik.
Secara tiba-tiba angin bertiup dan pokok jati itu pun bergoyang.Alamak, kalau la pokok ni tumbang bila berlaku ribut betul nanti lalu menghempap rumah aku , bagaimana pula? Sudah tentu aku susah, kaum keluarga aku pun susah, mungkin seluruh penduduk kampung juga susah, terpaksa menanggung beban mengerat dan memotong dahan-dahan kayu yang meranapkan rumah aku nanti.Pokok ni bukan kecil, ia dah sampai tahap batang balak dah ni…Sepatutnya aku yang kena fikir untuk bantu mereka , aku yang kena buat rancangan untuk memajukan hidup mereka, sebab tangungjawab aku kepada Allah dan penduduk kampung ini besar, aku dilantik dan diberi kepercayaan untuk menjadi penghulu dan imam dikampung ini! Ini tak boleh jadi, katanya… dalam diam dia mengira betapa banyaknya masjid – masjid yang berjaya dibina dikampungnya, sudah tentu jumlahnya melebihi jumlah kuil Indu, jumlah patung budha besar atau gereja yang telah dibina.Sudah tentu dia lebih berjasa berbanding Haji Pak Sikular yang menjadi penghulu sebelumnya dulu.
Aku perlu tebang pokok ini!!! Katanya dalam hati penuh nekad.Kalau batangnya aku jual pun sekurang-kurangnya dahan yang besar dan lurus itu aku boleh sedekahkan untuk dijadikan titi anak-anak kampung menyeberang sungai ke sekolah menuntut ilmu. Ranting-ranting yang halus itu aku boleh beri pada ibu-ibu miskin sebagai kayu api buat menanak nasi dengan dapur kayu, lagi jimat dan berfaedah juga.Eh, kenapa pulak kepala hotak aku ni datang pula idea-idea begini pulak??? Selama ini aku tak pernah fikir macam ni ke??? Padahal Aku kan dah lama pegang jawatan penghulu dan imam ini???
Patut la ada sesetengah orang kampung dalam mesyuarat AJK surau kata aku ni lembab sikit, patutla orang selalu ambil kesempatan atas diri aku!!! Tapi alhamdulillah …sekarang aku sudah sedar dan akan berubah.Azam Haji Cilako dalam hatinya.
Sekiranya pokok ini tumbang sebelum aku menebangnya , bagaimana pula? Aku mesti sediakan wang yang banyak untuk menanggung segala kerugian yang bakal dihadapi nanti, tapi bagaimana aku mahu mencari dan mengumpulkan wang sebanyak itu??? Harapkan tabung surau , sedekah , wang zakat dan derma orang ramai mana cukup, berapa sen je yang aku dapat. Nak minta bantuan raja , raja anak beranak pun huru-hara sekarang ini.Tiba-tiba pandangannya beralih kepada anak sungai disebelah rumahnya itu dengan pandangan yang sayu dan hampa , lalu hatinya berkata, kalaulah sungai itu menjadi lautan minyak…. Alangkah bertuahnya aku dan penduduk kampungku ini.Sudah pasti kampungku akan maju dan membangun!
Teringin juga aku bersara, tapi jawatan ini aku nak bagi kat siapa pula? Kalau aku mahu dikenang jasa selama-lamanya, aku mesti buat sesuatu sebelum aku berhenti.Ahhh… aku boleh beri jawatan ini kepada orang bukan melayu atau orang yang bukan islam, mungkin ada sedikit perubahan yang akan berlaku menguntungkan anak-cucuku nanti.Aku akan dilabel sebagai ulamak yang paling adil tanpa mengira agama dan bangsa.Bangsa lain sudah pasti berduyun-duyun masuk agama islam melaui strategi yang akan aku buat ini. Tapi, jika aku berbuat begitu, nanti apa kata orang melayu islam kampung ini, majoriti penduduk kampung ini melayu-islam! Ahhh… tak apa… mereka taksub pada aku, aku tahu… mereka akan terima cadangan aku bulat-bulat kerana sudah pasti mereka menganggap percaturan ini adalah buah tanganku yang paling hebat sebelum aku mengangkat kaki dan seliparku pergi!!! Mana mungkin mereka menolak cadangan aku, aku kan pemegang kunci pintu pagar kampung ini.Kalau aku menguncinya , tak siapa akan terselamat untuk masuk atau keluar dari kampungku ini.
Petang tadi pun Haji Cilako seperti membenarkan dan bersetuju perkataan Allah disebut oleh orang-orang bukan islam dikampungnya.Bagi Haji Cilako, ia dibenarkan kerana Allah itu for all, bukan milik mutlak orang islam.Hari itu pun bila si keling dan si sepet membaca ayat suci Al-quran, Haji Cilako tidak membantah, begitulah jauhnya pemikiran dan strategi dakwah yang lahir dari pemikiran genius kepala hotak Haji Cilako demi memastikan syiar islam berkembang pesat dikampungnya.
“Abang Haji oooiii, dok asyik termenung je , air tu dah jadi tawar dah!” laung mak aji isterinya yang datang kian menghampirinya.

Tersentak sebentar Haji Cilako mendengarnya, lalu terus mencapai gelas air sirap yang semakin pudar warna merahnya itu lalu terus meminumnya. Ah sudah tawar air ni, katanya. Dicubitnya paha mak aji lalu berkata “ Kenapa air ni tawar, mak aji tak ingat untuk tambah gula ke?” .
Tiba-tiba Mak Aji melatah : “ Eh Abang Cilako,Cilako,Cilako!!! Sudah! Sudah! Sudah! Eh Cilako,Cilako,Cilako, eh … sudah , sudah eh…” . kambing-kambing lain dibawah rumah sangat terkejut dengan latahan Mak Aji itu.Tidak berani mereka mengembek atau memprotes apa-apa.
Haji Cilako pun turut terkejut sama, makin melarat pulak lah latah isterinya ini, kadang-kadang dengan sikap latahnya itu, membuatkan Haji Cilako malu dan takut untuk membawa isterinya mak aji bersama ke majlis-majlis kenamaan, takut dilatahnya benda yang bukan-bukan, malu besar dan jatuh air muka Haji. Pernah dulu dia melatah dan mencarut di satu majlis, nasib baik orang tak ramai sangat, jadi malunya sedikit saja.
Setelah penat melatah, Mak Aji pun menjawab dalam keletihan , “ Tadi airnya manis, sekarang memang la dah tawar, sebab abang aji, saya tengok asyik dok termenung je dari tadi !” .
Betul juga kata isterinya itu, bisik hati Haji Cilako.
Dia ingin mengambil kuih berwarna hijau yang telah lama tersedia tetapi tidak jadi kerana ada beberapa ekor lalat sudah mendahului tangan Haji Cilako hinggap diatas kuih tersebut.Kenapa ada lalat pulak, kuih tu nampak baik je, bau pun tak busuk lagi, mungkin intinya kat dalam sudah basi atau busuk kut, tu sebab lalat banyak mengerumuninya.Rungutnya dalam hati.
“Pergi awak tambahkan gula sedikit kedalam air ni, dan simpan sahajalah kuih ni, nanti lepas maghrib abang akan menjamahnya” . Mak Aji mengambil bekas kuih dan gelas air itu lalu terus pergi.
Mengapa aku tak memilih gula untuk dicampurkan dengan air? Kenapa selama ini aku sombong dan bodoh memilih minyak untuk dicampurkan dengan air? Tiba-tiba soalan itu terbit dari dalam hatinya yang dalam.
Ya, jika ku pilih gula sudah tentu ia akan larut bersama air dan aku tentunya mendapat banyak faedah seperti badanku akan menjadi segar dan bertenaga, tetapi malangnya aku telah memilih minyak selama ini. Ya, minyak tak akan bercampur dengan air untuk selama-lamanya, paling tidak pun minyak tak akan beralah dengan air, ia pasti ingin berada diatas permukaan air, lama-lama ia boleh memudharatkan kesihatan tubuh badanku, aku mungkin boleh mati lemas kerana ketiadaan oksigen di dasar gelas ini.Bukan aku saja, anak cucuku dan segala hidupan akan lemas nanti.
Lebih menyayat hati lagi, jika permukaan minyak diatas air itu disambar api, sudah pasti ia akan terbakar walaupun ia berada diatas air.Ahh… ini tak boleh jadi!!!
Mengapa aku selalu memandang serong kepada gula sebelum ini, padahal air dan gula memang tidak boleh dipisahkan sejak dulu lagi, kalau dipisahkan pun cuma dari segi perasa yang dicampurkan kedalam air saja, ada teh, ada kopi dan ada tongkat ali, dan macam macam lagi perasa . Ah, aku tidak boleh menyalahkan gula saja, aku perlu menyalahkan diriku juga, bukan sebab gula itu manis sifatnya lalu aku kena penyakit Diabetes, tetapi cara penggunaan seharian aku dalam pengambilan gula perlu dikaji semula.
Memang banyak semut yang mati kerana gula, tetapi itu semut yang tamak haloba, memakan benda yang dicuri dari khazanah tuan gula sehingga mati dalam rasa kemanisan dan kekenyangan tanpa memperdulikan nasib bangsa semut lain untuk mendapatkan hak mereka juga.
“Apa yang dimenungkan sangat tu abang Aji?” Tanya isterinya.
“Sebenarnya abang dok memikirkan berkenaan umur kita, esok sudah masuk tahun baru 2010, umur kita semakin pendek, bukan semakin panjang sebenarnya”
“Lagipun esok dijangka gerhana bulan , dah la tu , pada hari jumaat pula, dulu abang ada mengaji juga pasal kiamat dan akhir zaman ni, tahun lepas saja 1 gerhana matahari dan 2 gerhana bulan sudahpun berlaku, hati abang makin tak sedap ni”. Katanya dalam nada hiba bercampur sedih….
“Kenapa abang aji kata begitu?” Tanya Mak Aji pula.
“ Tak…. Sebenarnya abang takut bala Allah menimpa keatas kita semua, sedangkan kita semua masih belum bersedia”. Jawabnya penuh penyesalan.
“Insyaallah , nanti abang akan memilih gula dalam kadar yang betul untuk dicampurkan kedalam air bagi menghindari penyakit yang akan memudharatkan tubuh badan kita dan anak cucu kita, mak aji pun sama, kalau masak tu kurangkanlah guna minyak atau buang saja minyak itu dari masakan kita!” sambung Haji Cilako lagi.
“Amboi, semangatnya abang Aji kita, inilah pertama kali saya dengar abang Aji ada sebut pasal air,minyak dan gula, azam tahun baru ke?” Tanya mak aji selamba.
“InsyaAllah…. Saya akan berubah di tahun baru esok” kata Haji Cilako perlahan dan penuh sebak di dada.
“Dah la Abang Aji, hari pun dah senja, waktu maghrib pun dah dekat ni, mari naik atas rumah, dok termenung kat situ lagi, nanti jadi kawan syaitan pulak” ajak Mak Aji dengan selambanya.
Alangkah manis dan lazatnya air bercampur gula secukup rasa buatan Mak Aji, habis segelas diminumnya.Dia pun mengangkat punggungnya lalu berdiri sambil memakai kembali selipar jepun berkatnya itu lalu terus naik kerumah dengan satu harapan dan azam baru yang merah menyala !
Kambing kesayangannya itu terkebil-kebil biji matanya melihat telatah tuannya itu, lalu cuba mengagak secara sepintas lalu apakah hari esok gerhana bulan semakin kelabu atau hari esok cerah cuacanya seperti selalu ! biarlah Allah yang menentukannya! Namun jauh disudut hati anak kambing itu , dia juga bermohon agar besok jangan hujan turun , kerana semua bangsa kambing memang takut akan air!

Selamat Tahun Baru 2010. Pilihlah jalan yang betul diantara banyak jalan untuk memastikan perjalanan kita dan anak cucu kita selamat sampai ke destinasi yang diimpikan!
Nukilan : Sangtawal Sakranta.











































